Ulasan Novel “Perang Homosapien” nukilan Idris Boi

PerangHomosapienTajuk Buku: Perang Homosapien
Pengarang: 
Idris Boi
Penerbit: 
Utusan/UTM Press
Tahun Terbitan: 
2017
Halaman: 
273

Luke kehairanan tatkala melihat kostum yang dipakai Lucy. Kelihatan lucu pada pandangannya. Jelek pun ada. Ketika itu, mereka berada di dalam markas CD4 AR. Tertera kalimah kebesaran Allah S.W.T menaungi hologram pemimpin-pemimpin negara Homosapien yang telah mati syahid. Dan mata mereka terarah pada Laksamana T4 Limfosit. Entah kenapa, kostum Laksamana T4 Limfosit juga sama seperti yang dipakai Lucy. Kostum itu mengingatkan Luke pada sel darah putih, biarpun dia percaya kostum itu tidak menggambarkan sepenuhnya bagaimana rupa sel darah putih tersebut.

Luke:
Kenapa kau pakai kostum aneh itu? Macam Minion. Kau ingat kau comel pakai macam itu?

Lucy:
Eh, kau sendiri tak tengok cermin ke?

Luke:
(Tergamam tatkala mendapati dirinya juga memakai kostum yang serupa.)

Oh, Tuhan! Kenapa aku membodohkan diri?! Tidak!!!

(Mencarut dalam bahasa yang tidak difahami – bahasa HIV, Ebola, H5N1 et al)

Lucy:
(Mengeluarkan naskhah Perang Homosapien yang telah dibacanya sebelum ini)

Sudah, tenang. Kita sedang dalam proses mengulas novel Perang Homosapien hasil tulisan Idris Boi.  Lepas ini kita jadi normal. Usah risau.

Luke:
Baik! Jadi ceritakan sedikit apa sebenarnya Perang Homosapien ini cuba sampaikan.

Lucy:
Virus HIV menyerang tubuh manusia yang cuba dipertahankan oleh T4 Limfosit dengan bantuan pelbagai jenis virus lain seperti Ebola, H5N1, selesema burung dan banyak lagi penyakit.

(Dalam hati tertanya-tany: orang yang diserang kesemua penyakit ini memang bernasib malang, Tak ada harapan nak hidup.)

Namun begitu, diceritakan melalui analogi negara yang terlibat dalam perperangan. Negara Homosapien itu wajarlah digambarkan selaku tubuh manusia yang dipertahankan oleh Laksamana T4 Limfosit (sel darah putih) selaku peneraju negara yang beragama Islam. Dan negara Homosapien ini pula diserang oleh Ketua Turus Tentera Laksamana Perang HIV (seorang kafir, pengikut Iblis laknatullah). Keseluruhan cerita ini seperti yang digambarkan tajuknya, perang. Perang bermula, perang berlangsung dan perang tamat. Mudah.

Luke:
Err, bagaimana dengan novum sainsnya?

Lucy:
Penulis banyak rujukan dari pelbagai sumber. Terdapat tempelan ayat-ayat Al-Quran dan hadis. Terdapat petikan ucapan pemimpin-pemimpin besar dunia. Ada petikan dari jurnal perubatan. Ada serapan Art of War oleh Sun Tzu. Tidaklah diterangkan bagaimana virus HIV itu merosakkan tubuh manusia secara teknikal, tetapi melalui tempelan definisi yang menyeluruh.  Penulis memilih untuk menerangkan serangan virus HIV itu dalam bentuk kancah peperangan mirip peperangan manusia. Memberikan sifat manusiawi pada setiap sistem dalam tubuh badan. Menggunakan Malaysia selaku model negara Homosapien yang diserang Barat (Zionis, Israel) diwakili oleh virus HIV.

Luke:
Agak menarik juga. Analogi demi analogi. Begitu?

Lucy:
Ya, betul.

Luke:
Baik, secara fiksyennya pula bagaimana?

Lucy:
(Tergolek jatuh, tapi kostum ala-ala Minion telah menyerap hentakan. Luke ketawa terbahak-bahak seketika.)

Okay, cukup. Jangan gelak lagi. Nanti aku pukul kau, baru tahu. Secara fiksyennya, garapan penulis indah dari segi bahasa biarpun terdapat kecacatan typo yang merata-rata (mohon editor pantau perkara sebegini). Namun begitu, karya ini dicacatkan oleh penerangan berjela-jela yang cuba mengaburi plotnya yang begitu ringkas. Secara perjalanan ceritanya, ia merupakan karya yang linear dan tiada plot twist sama sekali. Penulis tidak berminat untuk melakukan sebarang gimnastik plot hatta sedikit. Karya ini mempunyai masalah info dump yang serius. Namun diselamatkan oleh gaya bahasanya yang indah dibaca. Terdapat informasi yang bila dibaca membuatkan aku tertanya-tanya fungsinya pada plot. Jika hendak dibaca secara ilmiah, naskhah ini sebenarnya agak informatif juga. Banyak perkara yang kita boleh belajar. Secara fiksyennya kurang menyerlah. Peperangan tidak mencemaskan apatah lagi mendebarkan. Hambar perasaannya.

Luke:
Kesimpulannya, bagaimana pula?

Lucy:
Pengalaman penulis dalam mengolah fakta dalam karya cukup terserlah, tetapi terlalu bersifat tempelan. Sekadar memaparkan bahawasanya penulis tahu mengenai hal itu, maka harus dimasukkan. Tidak membantu cerita bahkan melemaskan plot sekali-sekala. Ceritanya sangat mudah, lantas memudahkan pemahaman pembaca. Tiada unsur ‘wow’ sama sekali. Lebih bersifat didaktik.

Luke:
Apakah saranan untuk menyedapkan karya ini?

Lucy:
Penulis sepatutnya mendahulukan fiksyen lebih dari elemen didaktik tersebut. Tajuknya sudah menjelaskan ini adalah sebuah novel perang. Tetapi debaran perang itu tidak ada.

Penulis mungkin boleh mengimbau kembali setiap sorotan fakta yang telah dimuatkan dalam naskhah ini dan bertanyakan pada dirinya akan persoalan-persoalan berikut:

  1. Perlukah fakta ini dimasukkan?
  2. Adakah fakta ini menyokong plot cerita?
  3. Adakah selitan fakta ini akan menenggelamkan jalan ceritanya?

Selain itu, untuk memastikan babak peperangan itu lebih mencabar dan mendebarkan, penulis boleh melakukan beberapa perkara seperti berikut:

  1. Memusatkan pada babak pertarungan. Pergerakan individu. Penulis ada melakukan hal ini tetapi pada pengakhiran tatkala pemimpin tertinggi dua belah pihak bertemu. Namun begitu, pertemuan ini bukanlah penentu klimaks cerita. Pertemuan itu, hanya sekadar merumuskan penutup yang sudah pembaca telahi garapannya.
  2. Pelukisan latar tempat markas, medan pertarungan itu ada tetapi tidak mencukupi. Seperti yang pernah aku ceritakan sebelum ini, setiap pelukisan latar tempat kejadian harus menyokong emosi dan gerak-geri watak. Hal ini akan membuatkan setiap garapan ayat demi ayat begitu menangkap dan berkesan di hati pembaca.
  3. Penulis mungkin boleh merujuk beberapa novel thriller peperangan dan meneliti cara mereka menggarap babak peperangan itu. Keresahan askarnya bagaimana, goncangan emosinya bagaimana, ketakutan, traumanya dan banyak lagi aspek yang wajib ditelahi dan disulamkan tatkala menggambarkan watak.

(Kedengaran bunyi bom peledak. Dinding berhamburan. Bongkah-bongkah sel bertebaran. Luke tercampak ke belakang. Pakaiannya berlubang, tetapi kecederaannya minimum. Dia memerhatikan sekeliling tetapi tiada bayang Lucy kelihatan. Ketakutan mula menyelubungi. Pandangannya gelap. Kepalanya berpinar-pinar.)

Luke:
Lucy!!!

 

Ulasan Novel “Sejadah” nukilan Saat Omar

sejadahTajuk Buku: Sejadah
Pengarang:
Saat Omar
Penerbit:
FIXI
Tahun Terbitan:
2017
Halaman: 
279

Luke dan Lucy sedang mengetip tiket-tiket dari pengunjung masjid yang baru sahaja menghabiskan solat fardhu Zohor. Diketip-ketip setiap tiket itu dengan wajah bengis. Lucy ketika itu sedang menyamar selaku lelaki atas pelawaan Luke. Luke tidak peduli. Katanya dia mahu Lucy melihat sendiri apa yang telah dilakukan oleh pengganti Modern Islamic Society ke atas masyarakat.

Adakah patut letak cukai pada orang bersolat? Gila. Usai mengetip tiket, mereka berdua singgah pula di kedai mamak di seberang masjid. Lucy mengeluarkan naskhah Sejadah yang baru sahaja habis dibacanya.

Luke:
Bagaimana dengan buku Sejadah tu? Sedap ke?

Lucy:
Ideanya besar dan segar. Fiksyen sains yang unik dan sinonim dengan identiti Malaysia. Garapan ceritanya menampakkan kematangan penulisnya menjalinkan plot demi plot dan kepelbagaian watak-wataknya. Cuma ada sedikit permasalahan dengan logik fiksyen sahaja. Pendek kata ceritanya sedap dibaca, tetapi tidaklah sampai mengujakan sehingga mendorong aku untuk membaca dari satu lembaran ke lembaran seterusnya dalam masa singkat.

Luke:
Bagaimana dengan novum sainsnya? Ideanya hebatkah?

Lucy:
Sangat menarik! E-Sejadah. Masukkan teknologi ini ke dalam kerencaman masyarakat Malaysia yang unik dan hasilnya mengagumkan. Dengan merekodkan jumlah solat dan menjadikan ia selaku satu ukuran kuantitatif untuk beroleh sebarang pengiktirafan dan pangkat dalam masyarakat, teknologi ini kedengaran logik untuk dilakukan pada masa akan datang. Ya, novel ini spekulatif tetapi penulis berjaya menyakinkan aku teknologi sebegini tidak mustahil untuk diaplikasi dalam masyarakat sedia ada. Tidak begitu teknikal, tidak juga begitu rawak. Memadai untuk sebuah fiksyen.

Luke:
Bagaimana pula dengan fiksyennya?

Lucy:
Cara penulis menggarap setiap watak agak kemas. Nama bukan sekadar nama. Dapat dirasa kejelekan sikap Amin. Playboy Zainal dengan sifatnya suka memainkan hati wanita. Christine, seorang peguam yang sangat yakin dengan keadilan. Penulis dapat menimbulkan perasaan jelek, suka, benci pada watak-watak yang dicipta. Ini perkara bagus. Penulis tampak mahir dalam membentuk watak-wataknya.

Jalan ceritanya juga tidaklah linear. Biarpun watak-wataknya agak ramai, tetapi tidak celaru. Kita dipersembahkan dengan naratif yang pelbagai. Kita membaca dari perspektif Amin selaku sudut pandang pertama. Bagaimana penulis bermain dengan plot, mendebarkan pembaca tatkala saat keputusan ECGPA diumumkan, harus dipuji. Penulis bijak bermain dengan ‘kesan dan akibat’. Dari satu kejadian rogol watak Alia, hingga kejatuhan parti politik, perkaitan demi perkaitan amat mengujakan. Jalinannya kemas dan cantik.

Namun begitu, aku rasa kekok dengan tindak-tanduk peguam di dalam naskhah ini. Cara mereka menyiasat kes rogol dan tindakan melulu yang dilakukan kedengaran janggal biarpun aku tiada latar belakang seorang peguam. Mungkin penulis harus membuat sedikit kaji selidik untuk memastikan ketepatan bagaimana proses guaman berlaku.

Luke:
Apa yang boleh disimpulkan dari novel ini?

Lucy:
Novel ini selaku fiksyen sangat hidup. Novum sainsnya juga cukup unik dan menarik. Ideanya segar dan wajar diangkat selaku benchmark untuk pengarang-pengarang tempatan menulis karya fiksyen sains yang kuat rencah Malaysianya. Umpama satu pintu cabang fiksyen sains tempatan telah dibuka melalui naskhah ini. Biarpun ada pincangnya, tetapi hal ini boleh diperbaiki untuk karya-karya penulis di masa akan datang.

Luke:
Apa yang penulis boleh lakukan untuk menjadikan karya ini lebih baik?

Lucy:
Penulis mungkin boleh melakukan kaji selidik lebih mendalam ke atas profesion setiap karakter-karakternya. Sebagai contoh, mendapatkan pengakuan Alia yang telah dirogol di kafe adalah satu perbuatan yang janggal. Rasa tidak kena bila membacanya. Aku tak pasti adakah hal ini wajar atau tidak, mungkin juga penulis pernah mendengar tindakan sebegitu pernah dilakukan sebelum ini, tetapi ia kedengaran janggal bagiku.

Cara penyampaian penulis agak mendatar pada beberapa bahagian, biarpun berkesan tetapi tidak memberikan rasa enak pada pembaca sepertiku. Namun ini perkara kecil. Penulis mungkin boleh melihat kembali pada naratif dan memperindahkan bahasanya. Mungkin juga penulis boleh mengaitkan pelukisan latar tempat dengan watak-watak yang ada. Adakah pelukisan latar itu menyokong pelukisan watak tersebut?

Apa-apapun naskhah Sejadah merupakan fiksyen sains yang sangat segar, tidak bikin pembacanya murung dan cukup enak perasa Malaysianya.

~

Azan berkumandang. Waktu Asar sudah masuk. Lucy dan Luke lekas-lekas menghabiskan makan minum mereka dan berlari masuk ke dalam masjid.

Ulasan Novel “Dunia Hanyalah Pentas” nukilan Ted Mahsun

Dunia Hanyalah PentasTajuk Buku: Dunia Hanyalah Pentas
Pengarang:
Ted Mahsun
Penerbit:
Utusan/UTM Press
Tahun Terbitan:
2017
Halaman: 
191

Luke dan Lucy sedang duduk berdepan antara satu sama lain. Wayar-wayar berselirat bersambungan dari tubuh mereka. Kepala mereka dilengkapi topi keledar pintar yang sampai ke hari ini belum mendapat nama yang lebih molek. Mereka berdua berapungan dalam posisi Vetruvian Man. Kesedaran mereka telah tercampak ke dalam alam maya. Dan tiada siapa akan menyelamatkan mereka.

Dalam alam yang dipenuhi dengan kod-kod binari dalam pelbagai bentuk itu, mereka tenang sahaja menikmati burger McDonald’s yang dibeli dari halaman sesawang McDonald’s. Bayaran dibuat menerusi bitcoin. Sambil itu, naskhah Dunia Hanyalah Pentas berada di tangan Lucy.

Tidak disentuh lagi.

Luke:
Bagaimana dengan buku Dunia Hanyalah Pentas itu?

Lucy:
Kejap. Aku lapar. Nanti aku cerita.

Luke:
(Menanti dengan sabar. Lalu menelan sisa baki burger terakhir)

Lucy:
Cyberpunk Melayu. Segar, juvenil dan menyeronokkan. Aliff dan Ain, budak genius. Bina topi keledar pintar (tolonglah buat sesuatu mengenai nama topi ini). Ada kes pembunuhan, rakan-rakan Ain. Kisah detektif. Kisah kekeluargaan. Dialog-dialognya bersahaja dan lucu. Watak-wataknya hidup. Ada baur-baur Serial Experiments Lain tetapi dalam rentak lebih ceria. Sangat sesuai dibaca untuk remaja.

Luke:
Nampak gayanya kau suka cerita ini. Bagaimana dengan sainsnya?

Lucy:
Pengaturcaraan nampak menyakinkan, sebenarnya dalam bentuk mudah difahami kalau diteliti betul-betul. Meletakkan kesedaran ke dalam dunia lain. Bukan idea baru. Bukan idea yang sangat segar. Telah ditulis banyak kali dalam karya-karya cyberpunk biasa. Namun tampak menyakinkan. Itu penting. Logik fiksyennya dipenuhi.

Luke:
Fiksyennya pula bagaimana garapannya?

Lucy:
Kekuatan novel ini adalah dialognya yang bersahaja dan hidup. Ada beberapa babak betul-betul melucukan. Ketua Inspektor DeCruz terperangkap dalam jaringan tali-tali pancing yang berselirat, contohnya. Perbualan antara DeCruz dan Aliff yang melucukan sekali-sekala cukup menghiburkan. Latar tempat diceritakan secara minimalis tetapi memadai. Pendek kata, setiap watak nampak hidup dengan gaya masing-masing ditonjolkan sebaik mungkin tanpa memerlukan penerangan ciri-ciri fizikal yang menyeluruh.

Plotnya ringkas sahaja. Aliff dibawa keluar dari penjara untuk menyelesaikan masalah kematian tiga orang rakan Ain di sekolah. Penyiasatan berlaku. Pertemuan dengan Ain. Ah Yap selaku katalis. Ringkas tetapi sesuai dengan ketebalan cerita. Ya, cerita ini, idea ini dan garapannya seimbang serba-serbi. Susah nak nampak cacat-celanya. Jika hendak dikira typo, adalah juga sedikit tetapi tidaklah mencacatkan plot ceritanya.

Luke:
Nampak kau betul-betul terhibur dengan naskhah ini. Sebegitu baguskah? Tiada ruang pembaikan?

Lucy:
Kau baca sendirilah. Aku suka naskhah ini. Noktah. Nak baiki apa? Ini novel cyberpunk terbaik setakat ini yang ditulis dalam bahasa kebangsaan kita. Nak ruang pembaikan? Mohon Ted Mahsun tulis lagi karya yang lebih bagus dari ini. Segar, ceria dan cukup hidup karakternya. Itu ‘pembaikan’ yang boleh difikir setakat ini.

Sekejap, apa jadi dengan tiga orang kawan Ain yang dah mati itu? Kasihan pula dikenangkan takdir mereka dalam alam maya itu ya.

Luke:
Kesimpulan?

Lucy:
Belilah buku ini kalau jumpa mana-mana. Jangan fikir banyak.
(Sambung makan burger infiniti dari McDonald’s.)

~

Penolak Tuntutan:
Pengarang novel ini merupakan pengasas laman ini, namun beliau tidak terlibat dalam pembikinan ulasan ini.

Nota bagi pemilik Dunia Hanyalah Pentas cetakan pertama:
Edisi cetakan pertama terdapat beberapa kecacatan dari segi penyuntingan. Dijemput membaca senarai ralat di sini.

Ulasan Novel “Katalis Neurogenesis” nukilan Rosli Mohamad Ali

Katalis Neurogenesis-CoverTajuk Buku: Katalis Neurogenesis
Pengarang:
Rosli Mohamad Ali
Penerbit:
Utusan/UTM Press
Tahun Terbitan:
2017
Halaman: 
367

Luke duduk di sisi tingkap wad yang menempatkan Lucy yang didapati koma akibat letupan pengganas semasa khusyuk membaca naskhah Katalis Neurogenesis di sebuah taman bunga. Dengar ceritanya letupan itu kerja pihak Eksekutif, tetapi tidaklah diketahui apakah sebenarnya Eksekutif tersebut. Murung Luke menanti Lucy jaga dari koma, sehinggalah kelihatan bibit-bibit perkataan celaru terbit pada skrin perhubungan yang memaparkan aktiviti otak Lucy. Ya, Lucy sedang cuba untuk berbicara dan mampu mendengar. Hal itu satu keajaiban! Luke segera meluru ke sisi katil Lucy. Wajah Lucy pucat biarpun tampak aman. Sesekali dahinya berkerut, mencetuskan persoalan demi persoalan dalam benak Luke. Luke mendekatkan bibirnya pada telinga Lucy, lalu berbisik:

Luke:
Apa yang kau fikirkan, Lucy?

Lucy:
(Pada paparan skrin komputer)

Novel Katalis Neurogenesis ini, argh.

Luke:
Kenapa dengan novel itu?

Lucy:
Aku tidak memahami mengapa tiada langsung pelukisan latar tempat dan keadaan dalam setiap babak perbualan yang berlaku. Dan garapan peperangan rahsia antara Eksekutif dengan organisasi Dr. Mikhail seolah dibuat dari satu plot rapuh yang dibina terburu-buru. Ya, dialog-dialognya cuba membina kota plot dari satu idea dengan sedaya upayanya agar tidak menyalahi logik fiksyen. Watak utamanya, Dr. Irfan merupakan pencipta KN 86 BE (Katalis Neurogenesis) yang merupakan cip yang mampu memulihkan kecederaan otak manusia. Plotnya, ada orang jahat dan orang baik berebut KN. Heroin cerita kena letupan dan koma (macam aku sekarang) dan hero berjuang nak rampas balik KN itu balik sebab nak pulihkan heroin itu dengan cip tersebut. Kisah cinta bersulam cerita fiksyen sains.

Luke:
Wowowo. Bagaimana kau boleh taip guna otak sebegitu laju? Kau marah ke apa?

Lucy:
Sangat marah. Aku koma lepas baca buku ini. Siapa yang tak marah?!

Luke:
Okay, bertenang. Jangan marah, nanti komputer hangus. Lagipun kau koma sebab kena letupan, bukan sebab buku. Buku tak salah, okay? Baik, secara novum sainsnya bagaimana?

Lucy:
Katalis Neurogenesis itulah penggerak cerita. Dan cip itu boleh buatkan manusia dikawal dengan arahan-arahan yang dipancarkan oleh orang-orang tertentu. Mereka boleh jadi sangat kuat dengan kawalan minda tersebut. Hanya Dr. Irfan sahaja tahu kata kunci untuk menghapuskan cip itu dengan sekadar melafazkannya.

Luke:
Tidak berapa kukuh nampaknya idea sains kali ini. Bagaimana dengan penyampaian idea itu? Fakta-fakta yang mengukuhkannya?

Lucy:
Kurang menyakinkan. Dr. Irfan beroleh informasi dari penyelamatnya, Dr. Mikhail, Haziq (tetiba jadi Haikal pada penghujung buku) dan ramai lagi mengenai kegiatan Eksekutif dan peperangan rahsia itu. Tidak dinyatakan kaedah pemerolehan maklumat risikan. Nampak gayanya penulis memusatkan fokus pada proses pembinaan cip KN tersebut dan alatan untuk membinanya, tetapi masih tidak menyakinkan. Pengetahuan barangkali terhad untuk mewujudkan satu penerangan yang kukuh mengenai bagaimana KN itu dijadikan.

Luke:
Secara fiksyennya  bagaimana?

Lucy:
(Tampak carutan pada skrin: *^(^&*($^#&&&@*%%%%@&*$%#)

Luke:
Kau okay, Lucy?

Lucy:
Maaf, Aku nampak The Pale Horseman. Aku terbaca sajak yang memberi klu keberadaan antagonis, Dr. Nazri dalam novel ini. Itu menarik. Namun beginilah. Ceritanya begini. Dr. Irfan, hampir kehilangan tunangannya, Dr. Chieu dalam letupan. Ada plot berulangan hampir tiga kali dengan kaedah penerangan yang sama, tetapi latar tempat berbeza. Kadangkala dalam beberapa babak ada melibatkan tiga orang penutur dalam satu masa, tanpa dinyatakan siapa yang bertutur itu. Hal itu mengelirukan pembaca.

Tiada pelukisan latar tempat yang terperinci, hanya sekadar menyebut tempat tertentu dan terus kepada dialog-dialog sahaja. Aksi juga terhad, sedangkan terdapat beberapa kali pertempuran berlaku dalam ini. Tahu-tahu saja, ada kematian. Perincian sangat penting untuk menghasilkan kesan dramatik pada pembaca. Lepas itu ada keratan akhbar menerangkan kejadian yang berlaku. Ulang kembali plot begini dari detik Chieu terlibat dalam letupan sehinggalah novel ini ditamatkan. Hal ini meresahkan aku selaku pembaca. Mentah benar garapannya.

Luke:
Apa yang indah pada karya ini? Mesti ada yang membuatkan kau terpesona bukan?

Lucy:
Percintaan antara Dr. Irfan dan Dr. Chieu agak romantis juga. Dr. Nazri, selaku antagonis, sukakan bidang kesenian dan suka menggunakan pembayang lukisan-lukisan seperti The Four Horseman of the Apocalypse, Eden & Israfil Si Peniup Sangkakala untuk memberi petunjuk akan apa tindakan selanjutnya yang akan diambil. Aku suka dua aspek ini.

Luke:
Jadi apa yang boleh dibuat untuk menyedapkan karya ini?

Lucy:
Banyak juga. Ini antara yang tampak jelas:

  1. Penulis tidak melukiskan latar tempat setiap babak dengan baik. Maka sukar mahu menggambarkan di mana dialog itu berlaku. Bahkan ada yang tiada latar tempat langsung! Hanya dialog. Penulis harus peka akan kepentingan menggarap landskap untuk menyokong dialog-dialognya.
  2. Pembentukan dan pembinaan hierarki Eksekutif dan lawannya tidak diterangkan dengan jelas. Berserabut. Penulis tampak gopoh memperkenalkan watak Doktor Mikhail dan Eksekutif tersebut dan sedaya upaya menyokongnya dengan apa sahaja perincian yang terlintas dalam kepala. Tiada rancangan kelihatan dalam menyusun plot. Patut meneguhkan terlebih dahulu imej Eksekutif ini. Ideologinya, hierarkinya dan kerangka asas perjuangannya.
  3. Aspek pembentukan karakter-karakter juga rapuh. Penulis patut menerangkan bagaimanakah rupanya Dr. Irfan itu, Dr. Chieu itu dan ramai lagi watak di dalam naskhah ini, supaya pembaca boleh membayangkan rupa paras mereka. Sekurang-kurangnya, garapan harus membuatkan emosi watak itu hidup dan dapat dirasakan pembaca.
  4. Terdapat pengulangan plot sebanyak tiga kali yang tampak jelas coraknya: “Dr. Mikhail memberitahu Dr. Irfan perihal musuh di lokasi tertentu – Dr. Irfan bertegas mahu mengikuti misi serangan ke lokasi itu – Dr. Irfan diselamatkan pada pengakhiran misi – kembali ke markas.”

Penulis harus membuat semakan aturan cerita agar pengulangan sebegini tidak tampak jelas. Mungkin dengan membuat sinopsis ringkas bab ke bab akan menampakkan cela pada naskhah ini.

Luke:
Alamak, komputer dah panas! Bertenang Lucy! Jangan mati dulu!

Lucy:
(Monitor pengesan degupan jantung mengeluarkan bunyi beep berpanjangan)

Luke:
Doktor! Doktor!

Ulasan Novel “Yang Diselindung Samudera” nukilan Nor Azida Ishak, Ted Mahsun & Fadli al-Akiti

Samudera-CoverTajuk Buku: Yang Diselindung Samudera
Pengarang:
Nor Azida Ishak, Ted Mahsun, Fadli al-Akiti
Penerbit:
Utusan/UTM Press
Tahun Terbitan:
2017
Halaman: 
222

Sepetang di atas sebuah kapal layar yang sedang berlayar di atas Laut China Selatan. Luke dan Lucy sedang menikmati teh o lemon di atas dek kapal. Naskhah Yang Diselindung Samudera berada di atas meja bulat yang teroleng-oleng akibat pergerakan kapal dipalu ombak. Suasana damai. Kelihatan artifak 3D yang meniru Mekanisme Aurikalkum berada di tangan Lucy. Dia sedang menatap objek itu dengan penuh keterujaan yang jelas terpampang dari sinar matanya.

Luke:
Kau dah baca Yang Diselindung Samudera?

Lucy:
(Diam, tidak mengendahkan pertanyaan Luke. Masih ligat meneliti Mekanisme Aurikalkum tersebut)

Luke:
Lucy? Kau okey?

Lucy:
Ya dah baca. Mekanisme Aurikalkum ini buatkan cerita Yang Diselindung Samudera itu menarik. Teori perihal Atlantis dan perkaitannya dengan Raja Dapunta Hyang Mahajiwa itu disampaikan dengan kemas dalam naskhah ini. Idea dan gagasannya adalah sesuatu yang bagus, ditambah pula dengan kajian-kajian menyeluruh yang tampak jelas dilakukan penulis-penulisnya. Idea itu terlalu besar untuk naskhah setebal 222 muka surat ini.

Luke:
Cara engkau bercakap seolah ada yang kau tidak berpuas hati sahaja?

Lucy:
Engkau nak aku mulakan dengan apa dahulu? Fiksyennya atau sainsnya? Atau aspek ilmu arkeologinya?

Luke:
Memandangkan ini naskhah yang memenangi Hadiah Sagu Hati Sayembara Fiksyen Sains, maka mulakan dengan fiksyen dahulu. Bagaimana dengan fiksyennya? Okay? Sedap?

Lucy:
Permulaan yang baik. Ken Teo turun ke laut bersama Uzair. Babak candi di bawah laut agak mendebarkan. Penulis berjaya mewujudkan rasa benci dan geram pada penjahat. Cuma bila tiba pada babak Dr. Raina, perjalanan ceritanya agak datar, mungkin kerana usaha penulis mahu memasukkan fakta-fakta sejarah yang penting untuk menyokong teori Atlantis itu tadi. Situasi ini dihambarkan bila Ken Teo bertembung dengan Dr. Raina. Perbualan mereka bersama dengan Alexander Focàs buatkan pembaca rasa berbelah bagi. Babak ini penting untuk merungkai perkaitan plot dengan fakta. Namun ditulis terlalu panjang berjela hingga merimaskan. Situasi jadi menarik bila rumah Alexander Focàs diputuskan bekalan elektriknya. Aku terbayang babak-babak cerita Da Vinci Code, di mana rumah Sir Leigh Teabing dicerobohi dan ceritanya mula mendebarkan bermula dari situ. Perasaannya sama, cuma kurang hype sebab plotnya yang agak ringkas. Mungkin juga disebabkan kecenderungan membandingkan dengan novel pop Dan Brown membuatkan rasa ‘inferior’ ini.

Luke:
Bagaimana dengan pelukisan latar tempat dan watak-watak?

Lucy:
Ya, betul. Cara pelukisan latar tempat harus lebih teliti pemilihannya. Penulis memilih untuk menceritakan landskap yang tidak penting untuk membentuk imej dalam kepala pembaca. Terdapat dialog kelakar dari Ken Teo (terbayang ini kerja Ted Mahsun) tetapi tidak begitu sebati dengan perbualan antara Dr. Rania dengan Alexander Focàs. Kiranya lawak hambar begitu. Ya, ada selingan babak yang melucukan tetapi tidak begitu menyerlah. Terdapat risiko ‘info dump’ yang hampir-hampir mencemarkan karya ini pada bahagian tengahnya. Namun kenipisan naskhah ini barangkali menyelamatkan dari risiko itu.

Luke:
Okay, bagaimana dengan sainsnya? Arkeologinya?

Lucy:
Tampak menyakinkan. Penulis-penulis tampak terperinci dalam kajiannya. Bagaimana penulis-penulis mengaitkan lokasi Atlantis dengan tamadun Melayu purba itu sebenarnya satu langkah terpuji. Handal mereka menjalinkan fakta demi fakta untuk membentuk satu kronologi spekulatif yang menakjubkan.

Luke:
Jadi apa kesimpulannya dari pembacaan naskhah ini?

Lucy:
Agak seimbang. Plotnya disusun baik dan tidak membingungkan. Faktor ‘wow’ ada pada “Mekanisme Aurikalkum” ini.

(Lucy menayangkan artifak itu, dengan senyuman sinis)

Ada beberapa perkara yang perlu diambil perhatian para penulis:

  1. Keringkasan plot itu yang tidak setara dengan idea besar dalam novel ini. Saya membayangkan selitan babak-babak Elman Misbah, selaku antagonis, mengatur agendanya. Ini mungkin faktor penyedap cerita.
  2. Pertemuan Ken Teo dan Dr. Raina dengan Alexander Focàs tidak diiringi langkah-langkah keselamatan sama sekali biarpun Ken Teo telah berdepan dengan situasi hidup mati di bawah laut sebelumnya.
  3. Pelukisan latar tempat yang agak membosankan. Mungkin penulis-penulis boleh mencetuskan resonan perasaan watak-watak dengan latar-latar tempat yang diceritakan untuk menjadikan naratifnya lebih hidup. Masalah ini umum terjadi pada semua penulis. Kita cenderung menerangkan binaan itu dan ini, tetapi tidak mengaitkannya dengan watak-watak yang berdepan dengan binaan tersebut.
  4. Penulis-penulis boleh memikirkan kepelbagaian kaedah untuk menyampaikan fakta-fakta selain dari menerusi perbincangan dan dialog.

Apa-apapun, naskhah ini boleh dijadikan selaku pemula pada ruang fiksyen arkeologi tempatan. Rujukan yang bagus untuk menghasilkan karya fiksyen arkeologi yang agung di masa akan datang.

Saranan pada penulis-penulis Yang Diselindung Samudera ini:

Tulis karya yang panjang sedikit, rumitkan plotnya dengan unsur-unsur suspen ya! Tak puas baca.

~

Penolak Tuntutan:
Salah seorang pengarang novel ini (Ted Mahsun) merupakan pengasas laman ini, namun beliau tidak terlibat dalam pembikinan ulasan ini.

Nota:
Naskhah fiksyen sains 
Yang Diselindung Samudera boleh dibeli melalui kami di sini.

Ulasan “Nafkhatul Faza” tulisan Rosli Mohamad Ali

nafkhatulfaza-coverTajuk Buku: Nafkhatul Faza
Pengarang:
Rosli Mohamad Ali
Penerbit:
Utusan/UTM Press
Tahun Terbitan:
2017
Halaman:
404

Kelihatan merak api datang menerjah lalu melupuskan atmosfera bumi dan membakar setiap isinya. Luke dan Lucy pula sedang menyaksikan kejadian itu dari sebuah koloni angkasa di Zuhal. Mereka berdua menggeleng kepala. Lalu kopi dalam cangkir masing-masing dihirup. Luke mengeluarkan naskhah Nafkhatul Faza yang merujuk pada kejadian merak api tersebut. Dalam hatinya, dia merasa seolah dirinya menyaksikan suatu imejan silam yang bermain dalam fikirannya. Namun dia tahu, perkara itu telah berlaku.

Luke:
Kau dah baca Nafkhatul Faza? Bagaimana?

Lucy:
Sudah. Kau nak aku cerita dari aspek mana terlebih dahulu?

Luke:
Aku berminat dengan judul novel itu. Membayangkan satu pascaapokalips dalam nahu Islam. Adakah ini novel fiksyen sains Islami? Boleh ceritakan plotnya secara ringkas?

Lucy:
Ya, betul. Novel setebal 404 mukasurat ini bolehlah dikatakan sebuah fiksyen sains Islami. Nafkhatul Faza menceritakan perihal bumi yang telah dimusnahkan oleh suar mentari (merak api) lantas menjadikan ia suatu jasad selestial yang tidak mampu didiami manusia selama 500 tahun. Terdapat dua organisasi yang menguasai semesta ketika itu, yakni, Konfederasi dan Konglomerat. Konglomerat penjana ekonomi, manakala Konfederasi pula mentadbir alam. Ada dua kepercayaan juga, yakni, Terra Aurea dan Ekopoisis. Plotnya berlegar sekitar Doktor Irfan yang ditugaskan ke bumi dan menjalankan kajian bersama rakan-rakan saintis yang lain untuk membuktikan bumi tidak perlu menjalani proses Terra Forma, yakni, proses pembumian planet mati. Terdapat tentangan halus dari Konglomerat (Yahudi) yang menganut kepercayaan Ekopoisis, yang berlawanan dengan prinsip ajaran Terra Aurea di mana, manusia tidak dibenarkan mengusik bumi yang sudah rosak.

Prinsip cerita ini adalah, bumi harus dipulihkan secara halus dan bukannya secara pembumian paksaan seperti Terra Forma yang akan membakar lapisan setebal 150 meter ke dalam tanah sebelum diadun topografinya agar mengikut acuan manusia.

Luke:
Menarik juga. Secara idea sainsnya, bagaimana?

Lucy:
Cara penulis mengadun pengetahuan teknikal watak amat menyakinkan. Geologis dengan pengetahuan tentang mineralnya. Ahli botani dengan pengetahuan tentang tumbuh-tumbuhan. Dari perbualan watak-wataknya, kita diyakinkan dengan pengetahuan watak-watak tentang profesionalisme yang didukung mereka. Terdapat beberapa struktur yang diwakili dengan Pilon yang dinamakan mengikut fungsinya. Ada yang mengesan komunikasi, ada yang membersihkan lautan dan sebagainya. Setiap satu Pilon begitu jauh jaraknya dan biasanya dikemudi seorang saintis dengan bidang berbeza. Dari dialog-dialognya, kita tahu, penulis seorang yang teliti dengan ilmu-ilmu sains yang diterapkan. Secara ringkasnya, novel ini sebuah naskhah hard scifi. Serapan falsafah dalam gagasan pembentukan sahsiah watak-wataknya juga tertera nyata.

Luke:
Bagaimana pula dengan garapan fiksyennya?

Lucy:
Dari segi ini, garapan banyak tumpulnya. Kita akan mendapati Dr. Irfan (selaku ketua dan watak utama cerita) bergerak dari satu pilon ke pilon yang lain. Pergerakan ini berlanjutan hampir keseluruhan cerita. Pembinaan latar cerita, krisis politik dan ekonomi, kebanyakannya diceritakan melalui perbualan watak-wataknya. Dr. Irfan bertemu watak sekian-sekian di Pilon tertentu. Tukar tempat. Ulang kembali.

Terlalu banyak dialog, terlalu kurang aksinya. Bahkan ada babak watak utama terjatuh dalam gaung diceritakan seperenggan sahaja sedangkan babak sebegitu boleh ditambah lagi elemen dramatiknya.

Selitan depresi Dr. Irfan yang seringkali mengingati ahli-ahli keluarganya yang telah pergi (Aleesya, si anak dan Aisyah, si isteri) digarap dengan berkesan dan ada kepiluan di situ.

Masalah pada naskhah ini adalah dialognya yang begitu panjang dan kejung. Terlalu berusaha untuk membina cerita dari dialog. Terlalu banyak informasi melalui dialog. Penulis mungkin boleh menggunakan naratif yang lebih dinamik untuk menggambarkan sesuatu. Akibatnya, pelukisan watak-watak tidak begitu bervariasi. Nama-nama umpama tempelan. Namun ada usaha untuk melukiskan karakter watak-watak itu, di mana selitan Imka dengan latar pejuang perang yang dihantui orang-orang yang dibunuhnya dan Dr. Irfan yang dihantui halusinasi arwah anak dan isterinya. Namun begitu, hal ini dicacatkan oleh dialog yang berjela-jela.

Ada selingan misteri seperti mesej kriptik dari Ikram, frekuensi misteri dan pengesanan homosapiens di bumi yang sepatutnya tidak mampu didiami manusia itu.

Luke:
Jadi kau rasa secara fiksyennya, karya ini kurang berjaya?

Lucy:
Ya. Lebih kurang begitu. Ada kelunakan dan puitis pada bahasa penulis, mengindahkan garapan ayat demi ayat. Namun terdapat kecelaruan penggunaan nama yang ketara dan juga dua kali penggunaan perkataan ‘maksimum’ dan ‘minimum’ yang disalahtafsir maksudnya. Typo pada nama amat mengelirukan ditambah lagi dengan pelukisan watak-watak yang kurang berjaya. Editor patut lebih peka akan hal ini. Naratif tidak begitu hidup. Dialog pula tepu.

Luke:
Secara sainsnya pula, bagaimana? Berjayakah naskhah ini dari segi idea sainsnya?

Lucy:
Penulis memang seorang peminat novel-novel fiksyen sains. Nampak ketara dari perlakuan watak-wataknya. Idea yang dibawakan di sini adalah selitan unsur Islamik (frekuensi misteri, barangkali mewakili azan, tidak dinyatakan terang-terangan) dan juga penemuan Kaabah tatkala bumi sudah hancur. Cara penulis mengadun sains dengan kepercayaan Islam agak cantik transisinya. Hal ini tampak jelas pada penutup novel yang digarap dengan kemas dan beremosi.

Luke:
Jadi kau rasa, apa lagi cadangan pembaikan yang boleh dibuat penulis?

Lucy:
Beginilah. Pelukisan watak-wataknya kurang berjaya. Mungkin boleh melukiskan watak-watak itu dengan membina biografi setiap seorangnya dan fahami ciri-ciri istimewa setiap seorangnya agar lebih berkesan pembawaannya.

Penggunaan dialog yang berlebihan untuk menceritakan sesuatu patut dikurangkan. Lebihkan aksi dan dinamikkan susunan plot. Dialog yang kejung sebegitu, patut dielakkan. Mungkin boleh diperbaiki melalui pengamatan ke atas perbualan-perbualan normal sekitar kita. Emosi watak-watak tidak hidup sebab gaya dialog sebegini. Hal ini patut dipandang serius oleh penulis.

Gaya hard scifi yang aman sebegini mengingatkan aku dengan Ben Bova. Cuma Ben Bova terlalu aman tetapi watak-wataknya ada variasi juga. Itu penting, variasi. Konflik tidak begitu berat dan mencemaskan. Tetapi itu tidak mengapa.

Luke:
Kesimpulannya?

Lucy:
Novel yang telah memenangi tempat pertama dalam Sayembara Novel Fiksyen Sains dan Teknologi anjuran UTM dan kumpulan Utusan ini sebenarnya memiliki novum sains yang bagus. Namun secara fiksyennya, masih terlalu banyak kelemahan yang harus diperbaiki. Pada pendapat aku, kalau pembaca suka gaya dialog sebegini, pastinya mereka akan menyukai naskhah ini. Jika tidak, moga lihat elemen sains yang diterapkan kerana ia sangat padat. Aku menghabiskan pembacaan naskhah ini dalam tempoh masa dua hari kerana aku suka adunan sainsnya dan lunak bahasanya biarpun plotnya agak mendatar. Penamatnya juga agak memuaskan. Sebenarnya, ada sesuatu pada tulisan Rosli Mohamad Ali yang membuatkan aku selaku pembaca berasa tenang dan boleh membaca naskhah ini dengan laju juga cuma aku tak tahu apakah sebenarnya perasaan itu. Mungkin kau akan faham jika engkau habis membacanya. Jika berminat, bolehlah dapatkan naskhah ini. Kena dengan selera, mahunya baca berulang kali.

Luke:
Dah. Dunia belum berada dalam pasca apokalips lagi. Jom, minum kopi kosmik.

Diskusi Cereka Sains Kita-kita

Salam,

Pada suatu hujung minggu yang indah baru-baru ini, telah diadakan suatu perjumpaan berkenaan penulisan fiksyen sains.

Beberapa penulis fiksyen sains terkemuka di tanahair telah bertemu di Kafe Buku Oakheart, Bangi untuk berdiskusi tentang genre kegemaran mereka. Hadirin termasuk Azida Ishak, Lokman Hakim, Sri Rahayu Mohd Yusop, dan juga saya (walaupun saya tak mengaku saya penulis terkemuka, fiksyen sains atau tidak).

KABO-Saifai 2

Mereka ini dipanggil hadir ke diskusi ini oleh Nisah Haron kerana beliau ingin membincangkan pentakrifan semula definisi fiksyen sains dalam konteks Malaysia.

Mengapa pula fiksyen sains perlu ditakrif semula? Kata Nisah, inilah peluang kita menjajar semula maksud fiksyen sains di dalam konteks tempatan supaya penulis-penulis muda yang bakal menerajui fiksyen sains pada masa akan datang akan menulis dengan nuansa Malaysia dan bukan terikut-ikut pengaruh luar.

Kebetulan pula pihak Dewan Bahasa dan Pustaka telah memanggil Nisah untuk mengendalikan sebuah bengkel penulisan fiksyen sains di Kota Baru (suatu batas hangat fiksyen sains barangkali) dan inilah sebabnya yang membuatkan Nisah mahu genre fiksyen sains ini ditakrif semula.

Di dalam bengkel ini akan diajar apakah fiksyen sains, apakah gunanya fiksyen sains, dan bagaimanakah menulis fiksyen sains. Dan untuk mengajar semua itu, perlulah bermula daripada suatu takrifan fiksyen sains yang boleh kita semua persetujui dan menyenangi.

Nisah mengangkat idea bahawa sebenarnya kita sudah mempunyai tradisi kesusasteraan berlandaskan fiksyen sains sejak sekian lama. Hikayat-hikayat lama sudahpun menunjukkan penggagasan fiksyen sains, walaupun secara proto. Watak-watak berhijrah dari suatu tempat ke suatu tempat yang lain melalui teleportasi, umpamanya, dan juga konsep kayangan pula boleh dianggap sebagai sebuah dimensi selari atau berbeza.

Konsep-konsep fiksyen sains di dalam hikayat-hikayat lama ini jarang diangkat oleh penulis fiksyen sains moden walaupun banyak material dan inspirasi yang boleh ditimba sebenarnya.

leksikon ledang

Contoh novel fiksyen sains yang menggunakan konsep ini untuk menggarapkan sebuah plot menarik ialah Leksikon Ledang, yang mengolah semula pemahaman kita tentang Puteri Gunung Ledang.

Di dalam novel ini, pengarangnya, Nor Azida Ishak dan Fadli Al-Akiti, mempersembahkan suatu penilaian semula syarat-syarat yang ditetapkan oleh Puteri Gunung Ledang yang diberikannya kepada Sultan Melaka untuk mengahwininya. Mereka mendepankan suatu hujah beza bahawa syarat-syarat itu bukanlah elemen fantasi semata-mata, tetapi sebenarnya ada asasnya di dalam sains. Malah, dan ini sangat menakjubkan, Puteri Gunung Ledang dibayangkan sebagai seorang saintis proto di zaman silam sejarah Melayu!

Pada mulanya Nisah mengatakan hajatnya untuk menjadikan takrifan yang dibuat oleh panel hakim Sayembara Fiksyen Sains UTM-Utusan sebagai landasan bermula tetapi saya sendiri menyarankan bahawa takrifan mereka terlalu ketat dan rigid dan mungkin tidak sesuai untuk dijadikan landasan.

Sudah tentu fiksyen sains adalah suatu kesusasteraan gagasan atau “literature of ideas“. Fiksyen sains tidak seharusnya dikongkong sains keras atau ketat. Tidak mengapa jika ada sedikit fantasi dimasukkan, sekiranya tidak berlebihan. Contoh yang diberi supaya seorang yang baru mahu mengenali fiksyen sains dapat mudah memahami konsep ini ialah siri televisyen dan filem Star Trek.

Star Trek merupakan suatu cerita yang tidak berpangkal di dalam sains yang benar. Pada ketika Star Trek diwujudkan di dalam era 60-an, pembikinnya, Gene Roddenberry, mahu mewujudkan cara untuk watak-wataknya diturunkan dari kapal angkasa ke permukaan planet tiap-tiap episod tanpa membayar kos yang mahal setiap kali untuk kesan khas. Jadi mereka mencipta idea bahawa watak-wataknya boleh sahaja di”beam“kan turun tanpa mendaratkan kapal angkasa mereka. Pada ketika itu, tidak wujud langsung pengetahuan sains tentang teleportasi partikel sepertimana yang saintis abad ke-21 sudah temui.

Kriteria fiksyen sains yang diingini Sayembara Fiksyen Sains UTM-Utusan tidak mungkin membenarkan manuskrip seumpama ini dibenarkan, kerana mereka mahu sains dan teknologi yang diceritakan di dalam sesebuah manuskrip itu berlandaskan sains yang wujud atau plausible dan boleh wujud dalam masa terdekat.

Pada pendapat saya, kriteria seumpama ini menyekat kreativiti seseorang penulis fiksyen sains dan tidak lagi menjadikannya sebuah kesusasteraan gagasan, sebaliknya hanya menjadikannya sebuah fiksyen sains berlandaskan ilmu yang sedia ada.

Fiksyen sains yang elok adalah fiksyen sains yang memandang jauh ke hadapan, lebih ke hadapan daripada ilmu sains yang sudah kita ada. Fiksyen sains berperanan menginspirasikan mereka yang bakal menjadi saintis pada masa hadapan untuk mencipta, mengkaji, dan menemui ilmu-ilmu dan ciptaan-ciptaan baru.

Jika kita menyekat kreativiti penulis fiksyen sains dengan hanya menerima manuskrip fiksyen sains yang berlandaskan sains yang wujud sekarang, maka kita akan hanya mengolah konsep-konsep dan idea-idea yang sudah wujud, dan bukannya menginspirasi generasi hadapan untuk melahirkan idea-idea baru ke dalam dunia untuk kemajuan kita sejagat.

Tanpa fiksyen sains yang kreatif, tidak akan terciptalah komputer peribadi, telefon bimbit, atau tablet; tidak akan wujudlah teknologi-teknologi perubatan seperti jet injector dan optical tweezers; takkan adanya penterjemah universal ataupun perisian pengecaman suara. Semua teknologi ini tercipta berdasarkan kreativiti penulis skrip yang bermain fantasi di dalam sebuah siri televisyen zaman 60-an dan bukan sesuatu yang berlandaskan sains yang wujud ketika itu.

Fiksyen sains ini sangat besar ruang pemikirannya sebenarnya. Ramai yang masih menyangka bahawa fiksyen sains adalah genre fiksyen yang hanya merangkumi kapal angkasa dan robot. Sudah tentu fiksyen sains merangkumi lebih daripada itu.

Fiksyen sains adalah satu-satu genre yang benar-benar mampu membawa perubahan yang ketara dan baik untuk semua kerana kuasa besarnya untuk menginspirasi generasi pelapis untuk mencipta sesuatu yang sebelum ini hanya wujud di dalam khayalan minda sahaja.

Banyak lagi dibincangkan sebenarnya di dalam diskusi pada petang itu, tetapi biarlah ia hanya menjadi gosip kita-kita sahaja. Yang penting, Nisah Haron kini mempunyai idea untuk takrifan yang lebih bermakna, dan mungkin lebih tepat, untuk dibawa ke bengkel penulisan fiksyen sains yang diusahakannya. InsyaAllah.

KABO-Saifai 1

Dari kiri: Hafizz Latiff, Sri Rahayu, Lokman Hakim, Ted Mahsun, Nisah Haron, Azida Ishak, Sayidah Mu’izzah

Fiksyen Sains Malaysia: Apa Lagi yang Belum Ditulis oleh Penulis-Penulis Kita?

Jika hendak diputarkan kembali sejarah penulisan fiksyen sains Malaysia, kita akan melihat betapa fiksyen sains negara kita bermula dari ikut-ikutan filem-filem fiksyen sains barat. Kita tiada fiksyen sains dewasa sebelum Dr. Rahmat Haroun memulakannya dengan Di. Ar. Ti. (1989).

diarti

Tanggapan bahawasanya fiksyen sains itu haruslah ditulis untuk remaja barangkali membuatkan penulis-penulis cenderung untuk menyampaikan idea mereka seringkas mungkin. Plotnya tidak begitu mencabar. Bahkan idea sainsnya juga sekadar tempelan. Tidaklah saya mahu meletakkan generalisasi. Namun saya hanya cuba mengimbau secara keseluruhan dari perspektif masyarakat keseluruhan. Masih terdapat kecelaruan dalam membandingkan fiksyen sains dengan fantasi. Tanggapan fiksyen sains itu harus meletakkan robot, kapal angkasa, watak profesor dan juga latar tempat futuristik itu sudah jadi lumrah. Bahkan penulis fiksyen sains memang cenderung untuk memasukkan elemen-elemen ini. Belum lagi mengambil kira kecenderungan menempel fakta sains ke dalam penulisan, tanpa mahu memahami teras idea tersebut dan mengadunkannya sebati dengan plot. Tiada salahnya. Persoalannya, adakah setakat itu sahaja yang mampu kita fikir? Adakah sedangkal itu kreativiti kita apabila mengaplikasikan sains ke dalam fiksyen?

Memahami kekangan dan persekitaran yang tidak begitu menggalakkan membuatkan saya terfikir untuk menyenaraikan beberapa tema yang sesuai didukung penulis fiksyen sains lokal dalam menyemarakkan identiti nusantara ke dalam fiksyen sains yang dikarang.

1) Fiksyen Sains Purba

Nusantara kita kaya dengan hikayat dan dongengan. Apabila kita berkemampuan menggunakan idea sains untuk menerangkan perihal dongengan dengan jayanya, suatu karya fiksyen sains yang unik boleh terhasil. Untuk menambah keindahan karya, seeloknya digunakan bahasa yang puitis, sepertimana yang digarap dalam kebanyakan hikayat silam. Kurangkan penggunaan bahasa saintifik dan pinjaman dari bahasa Inggeris. Gunakan pinjaman kata dari bahasa Sanskrit dan juga bahasa Arab. Hal ini bukanlah bermaksud untuk menolak pengaruh Barat tadi, tetapi kita mahu mencipta keunikan dalam karya agar boleh dibariskan sederet dengan karya-karya antarabangsa. Ataupun anda boleh melakukan penceritaan semula hikayat-hikayat silam dengan nuansa sains dan teknologi. Pasti menarik untuk dibaca.

2) Fiksyen Sains Spekulatif

Ah, tidak perlulah meletakkan elemen futuristik pada tahun-tahun terkehadapan. Sebagai contoh, dalam novel Radiance hasil nukilan Catherynne M. Valente, beliau meletakkan satu kronologi sejarah berbeza di halaman terawal buku untuk menjelaskan peristiwa-peristiwa besar yang berlaku pada dunia tersebut.

Radiance.png

Ataupun Amerika menakluk Malaysia sepertimana yang digambarkan dalam novel Kolonial Mimpi oleh Sahidzan Salleh.

Kolonial Mimpi - Latest

Sebagai contoh, bayangkan, pada tahun 1862, manusia sudah mengembara dari satu planet ke planet lain untuk bercuti. Ataupun, kita bayangkan Perang Dunia Pertama dan Kedua tidak pernah berlaku sama sekali. Terlalu banyak contoh yang boleh dikembangkan. Apa lagi tunggu, belek buku sejarah anda, ubah suatu peristiwa besar yang berlaku, dan senaraikan sebab dan akibat yang anda rasa mungkin berlaku akibat perubahan tersebut. Banyak idea, bukan?

3) Fiksyen Sains Sosial

Baik, sepertimana fiksyen spekulatif, anda boleh juga menjadikan tema krisis sosial dalam masyarakat untuk dijadikan cerita. Untuk menambahbaik lagi elemen sainsnya, kenalkan satu teknologi baru ke dalam masyarakat dan tuliskan andaian kesan dan akibat dari kemasukan teknologi tersebut. Tidak perlu masukkan babak-babak yang terlalu luar biasa. Robot bertarung, makhluk asing menakluk bumi, pembunuhan beramai-ramai, perang besar-besaran. Tidak perlu semua ini. Yang penting, jalan ceritanya kemas. Watak-wataknya hidup. Ada permasalahan yang hendak diselesaikan. Tidaklah ceritanya mendatar. Mungkin anda boleh menulis perihal seorang anak yatim mencari ibunya yang hilang bertahun-tahun akibat paras air laut menenggelamkan sebahagian bumi. Mungkin anda juga boleh tulis perihal seorang pemuda sedang mencari makna hidupnya di kota penuh cyborg. Buat penulis yang biasa menulis karya realisme, mereka akan mengerti bagaimana untuk menulis fiksyen sains sosial yang baik. Hanya masukkan sedikit adunan sainsnya, maka ia sudah memadai. The Handmaid’s Tales karya Margaret Atwood adalah salah satu contohnya.

4) Fiksyen Sains Agama

Bahasa Melayu memang sinonim juga dengan Islam. Cuma harus diingatkan juga, terdapat agama-agama lain di Malaysia ini, yang boleh kita terapkan ke dalam fiksyen sains itu. Fiksyen sains Islami telah terbit beberapa tahun kebelakangan ini, dengan nama-nama penulis seperti Hilal Asyraf, Azrul Jaini dan Faisal Tehrani.

Namun begitu, haruskah kita sekadar menulis fiksyen sains Islami? Mengapa tidak dicuba menulis dengan berpaksikan agama-agama lain pula? Kepelbagaian ini pasti seronok untuk ditelahi. Saya berminat untuk membaca karya-karya fiksyen sains yang ditulis dari kacamata penganut agama selain Islam dalam bahasa Melayu. Begitulah caranya kita mengembangkan minda kita.

5) Decopunk, Steampunk, Dieselpunk dan Cyberpunk

Oh Tuhan, tema-tema ini sudah berlegaran lama di kalangan fiksyen-fiksyen sains berbahasa Inggeris. Untuk mencari karya-karya fiksyen sains berbahasa Melayu yang kuat rencah elemen-elemen yang disebutkan di atas, masih sukar. Adunkan dengan budaya tempatan. Mungkin hasilnya mengagumkan. Saya sendiri masih memikir bagaimana cara untuk menulis karya-karya sedemikian dengan acuan tempatan. Mungkin anda punya idea yang lebih bernas?

6) Fiksyen Sains Filsuf

Anda minat baca perihal Friedrich Nietszche? Ataupun anda rasa anda boleh faham Al-Ghazali ataupun Ibn Rusyd? Oh susahnya. Anda boleh menjelaskan falsafah dalam bentuk babak. Buatkan ia indah dibaca seperti karya-karya Rumi. Jika tidakpun novel filsuf kehidupan seperti Paulo Coelho. Susah sangat ke? Fahami konteks idea tertentu, kemudian fikirkan alternatif yang boleh digunakan untuk menerangkan idea itu tanpa menempel informasi tersebut. Kita mengerti subjek falsafah itu sendiri kadangkalanya rumit. Dan kita mahu adunkan pula dengan fiksyen sains yang dikatakan sukar untuk ditulis itu. Namun begitu, inilah cabarannya. Jika ada fiksyen sains sebegitu di dalam bahasa Melayu, saya berminat untuk membacanya. Ada sesiapa nak tuliskan?

7) Fiksyen Sains Seram

Karya-karya sebegini dipelopori Edgar Allan Poe dan H.P Lovecraft suatu ketika dahulu. Karya-karya klasik. Saya faham ramai sukakan karya-karya seram yang jika dibaca tak boleh tidur malam sebab termimpi-mimpi. Mengapa tidak cuba diadun dengan fiksyen sains? Semestinya anda tidak perlulah menceritakan perihal benda-benda teknikal ataupun formula untuk bangkitkan Frankestein ataupun ciptakan Chimera yang tidak masuk dek akal. Tidak semestinya novel seram harus dikaitkan dengan hantu dan segala jenis mambang, jin dan syaitan yang ada. Kata kunci di sini, adalah ‘ketakutan’. Bagaimana hendak kekalkan ‘ketakutan’ dalam karya fiksyen sains? Saya serahkan kepada anda untuk memikirkannya.

8) Fiksyen Sains Thriller

Bila dibaca berdebar-debar. Dari babak ke babak penuh kejutan dan persoalan. Anda boleh cuba kaedah Dan Brown dalam karyanya Digital Fortress. Antara contoh yang bagus seperti novel The Technologist karya Matthew Pearl, di mana jenayah-jenayah yang dilakukan berdasarkan pengetahun sains asas. Tidak perlu rumit sainsnya, cukuplah bunyinya menyakinkan dan tidak digelakkan bila dibaca oleh orang yang arif. Saya rasa, banyak lagi karya-karya thriller bernuansakan sains yang boleh ditulis.

9) Fiksyen Sains Utopia

Sejak kebelakangan ini, kerap kali kita melihat novel-novel dystopia ditulis. Bagaimana pula kalau kita cuba menulis dari perspektif positif? Segalanya tampak bahagia, tiada masalah yang membuatkan kita rasa suram tatkala membaca. Mungkin cabarannya adalah bagaimana mahu menggarap konflik yang berkesan. Konflik biasanya akan membunuh ‘keamanan’ dalam novel itu dan secara automatik akan melenyapkan definisi utopia itu tadi. Di sini, kreativiti memainkan peranan penting.

Ah, terlalu banyak hendak ditulis. Bila memikirkan semua tema-tema ini saya jadi gelisah. Saya rasa terpanggil untuk menuliskannya. Kepada rakan-rakan penulis baik yang baru ataupun lama, dan berminat untuk tulis fiksyen sains, anda boleh rujuk setiap tema yang saya nyatakan di atas. Semoga fiksyen sains berkembang pesat di dalam industri buku negara kita.

Pengalaman Menyertai Sayembara Fiksyen Sains dan Teknologi Musim Ke-3

Majlis Penyampaian Hadiah untuk Sayembara Fiksyen Sains dan Teknologi UTM-Kumpulan Utusan Musim Ke-4 bakal berlangsung tidak lama lagi. Kita sama-sama menanti dengan penuh debaran, karya siapakah yang bakal terpilih menjadi pemenang untuk musim ini. Sama ada penulis mapan, penulis baharu, penulis yang pernah memenangi sayembara, penulis baharu yang bergabung dengan penulis baharu yang lain, atau penulis yang pernah memenangi sayembara dan bergabung dengan penulis baharu, semuanya ada peluang yang sama rata untuk menyertai sayembara ini dan meraih hadiah utama. Inilah keunikan sayembara anjuran UTM-Utusan, kerana ia adalah satu-satunya sayembara yang membenarkan penulisnya membentuk satu kumpulan (maksima tiga orang) dalam satu penyertaan.

Di sini saya kongsikan sedikit pengalaman saya menyertai Musim Ke-3, bergabung dengan saudara Fadli Al-Akiti untuk menghasilkan novel Leksikon Ledang. Pertama sekali, saya sentiasa mengingatkan diri tentang tarikh pelancaran Sayembara Musim Ke-3 yang telah bermula pada 22 Oktober 2013 manakala tarikh tutup pencalonan adalah pada 30 Jun 2014. Sebagai penulis yang berminat untuk menyertai sayembara ini, saya menyedari bahawa masa yang diperuntukkan (lebih kurang lapan bulan) untuk menyiapkan karya, secara relatifnya adalah agak singkat. Atas sebab itu, saya dan Fadli merancang jadual penulisan dengan teliti agar kami tidak tersasar sehingga tidak sempat menghantar karya sebelum tarikh tutup penyertaan (saya akan ceritakan mengenai perkara ini sebentar lagi).

Di samping itu, pihak penganjur mengadakan beberapa siri jelajah bengkel merentas enam zon di seluruh negara, iaitu Zon Tengah (Kuala Lumpur – DBP), Zon Sabah (Kota Kinabalu), Zon Sarawak (Kuching), Zon Timur (Kelantan), Zon Selatan (Johor Bahru), Zon Tengah (Kuala Lumpur – UTM Jalan Semarak), dan Zon Utara (Sintok). Saya amat menyarankan semua penulis untuk menyertai bengkel ini, kerana dari situlah kita boleh mendapat banyak pencerahan tentang kualiti karya yang diperlukan.

Secara peribadi, saya pernah cuba menghantar satu karya untuk Musim Ke-2 namun penyertaan saya tidak berjaya, kerana saya tidak ada idea langsung apakah yang dikehendaki oleh panel hakim. Hanya bila saya menghadirkan diri ke dalam dua bengkel pada Musim Ke-3 (DBP KL saya hadir seorang diri manakala di UTM Jalan Semarak saya hadir dengan Fadli), baharulah mata saya terbuka luas dan otak saya menyala dengan idea. Saya sedar bahawa menulis sayembara itu sebenarnya memerlukan strategi. Saya kongsikan sedikit strategi yang saya amalkan untuk panduan para penulis di luar sana, berdasarkan pengalaman dan juga pemerhatian saya sebagai salah seorang peserta dalam sayembara ini.

1) Laporan Penilaian

Saya belajar banyak tips dan panduan untuk memulakan penulisan novel fiksyen sains dengan merujuk Laporan Penilaian yang disediakan oleh pihak penganjur pada setiap musim, seperti berikut:

  • Musim Pertama: Memecut di Litar Sayembara: Fiksyen Sains & Teknologi (saya tidak ada naskhah ini kerana tidak sempat mengikuti bengkel peringkat awal)
  • Musim Ke-2: Mengitari Orbit Sayembara: Laporan Penilaian Sayembara Fiksyen Sains dan Teknologi UTM-Kumpulan Utusan Musim Ke-2
  • Musim Ke-3: Melangkaui Ufuk Sayembara Novel: Laporan Penilaian Sayembara Fiksyen Sains dan Teknologi UTM-Kumpulan Utusan Musim Ke-3

img_3509-1

Laporan Penilaian ini amatlah berharga seperti emas permata kerana mahalnya muatan ilmu yang dikongsikan, jadi simpanlah laporan ini seperti mana anda menyimpan dompet anda. Ia mengandungi maklumat tentang sayembara, sorotan penyertaan untuk setiap musim, penghakiman dan keputusan, serta biodata pasukan penghakiman dan jawatankuasa.

Saya berikan contoh apa yang dikongsikan dalam Laporan Musim Ketiga:

“Muatan sains dan teknologi merupakan syarat asas yang perlu ada dalam fiksyen genre sains dan teknologi manakala muatan lain hanya sebagai sampingan. […] Ternyata tuntutan ini tidak terpenuh dalam semua manuskrip kerana ada manuskrip yang tidak memiliki muatan sains dan teknologi yang kuat walaupun sarana sasteranya cukup baik.

(halaman 60)

 

Pada keseluruhannya, terdapat dua jenis teori sains spekulatif yang digunakan dalam manuskrip yang terpilih memenangi hadiah pada kali ini. Pertama, teori sains spekulatif yang diperkenalkan sendiri oleh penulis untuk membangunkan cerita, dengan kemunasabahan sains berkaitan teori itu dijustifikasikan oleh penulis. Contohnya ialah kacukan antara spesies dalam novel Transgenik Sifar. Kedua, teori sains spekulatif yang memang telah diketahui umum dan digunakan penulis untuk membangunkan ceritanya tanpa perlu lagi menjustifikasikan kemunasabahannya. Contohnya ialah pengklonan manusia dalam novel Klon.

(halaman 68-69)

Melalui laporan ini, kita dapat memahami bahawa keutamaan untuk memilih karya yang menang adalah karya yang kukuh dari aspek sains dan teknologinya. Kita juga diberi pendedahan bahawa panel hakim memberi kebebasan untuk penulis ‘mencipta’ apa sahaja teori sains secara spekulatif, asalkan ia diberi penerangan yang baik dan bergerak atas landasan sains yang betul. Dalam novel Detik (pemenang tempat ketiga Sayembara Fiksyen Sains Musim Ke-2), penulis meletakkan teori bahawa manusia boleh merentas masa menggunakan partikel takion, kerana secara hipotesis, takion boleh bergerak mengatasi kelajuan cahaya.

Dalam Leksikon Ledang, kami menampilkan teori kejuruteraan genetik, di mana nyamuk yang ditemui itu telah diubahsuai untuk memiliki mata merah, bisa kala jengking serta virus cacar untuk membunuh mangsa. Nyamuk terubahsuai ini menjadi penggerak dalam cerita dan merupakan salah satu unsur penting bagi merungkai syarat-syarat peminangan Puteri Gunung Ledang. Paling mustahak, konsep kejuruteraan genetik ini tidak diwujudkan sekadar sebuah tempelan untuk menjadikannya sebuah fiksyen sains (rujuk: Baurkan Perencah SaiFai dengan Sebati).

2) Kriteria Penilaian & Panel Hakim

Tahukah anda, bahawa setiap kriteria penilaian untuk sayembara ini akan diberi penerangan secara terperinci oleh setiap panel hakim semasa bengkel? Sebagai rujukan, lihat atur cara yang disediakan oleh para penganjur bengkel untuk musim ke-3:

  • Sesi 1 – “Fiksyen Sains dan Teknologi Musim Ke-3, Apa Yang Dicari?” oleh Prof. Madya Dr. Hashim Ismail
  • Sesi 2 – “Memfiksyenkan Sains dan Teknologi” oleh Prof. Dr. Ahmad Zaki Abu Bakar
  • Sesi 3 – “Paksi Cereka Sains: Etika, Ideologi, Nilai / Idealisme dan Sarana Sastera” oleh Dr. Mohd. Saleeh Rahamad
  • Sesi 4 – “Menjangkau Sains dan Teknologi Futuristik” oleh Prof. Dr. Wan Abu Bakar Wan Abas
  • Sesi 5 – “Penghasilan Karya Unggul” oleh Prof. Madya Dr. Lim Swee Tin

Antara dapatan penting yang saya peroleh secara langsung daripada para hakim adalah:

  • Tidak mahu karya menyamai Barat (seperti filem Hollywood yang melebihkan aksi dan sentiasa menjadikan Amerika hebat), atau sains melampau seperti teori evolusi yang menolak kewujudan Tuhan. Sebaiknya karya hendaklah memiliki acuan Malaysia (lokaliti) yang tersendiri.
  • Sentiasa peka terhadap isu-isu penting, contohnya jika Islam dianggap sebagai agama pengganas (Islamofobia), maka tulislah karya yang mengubah pandangan itu.
  • Ciptalah sesuatu yang boleh memberi spekulasi tentang masa depan, tetapi hendaklah rasional dan jangan menggunakan elemen fantasi. Genre fantasi secara mudah dapat dicirikan dengan latar tempat yang tidak realistik, ruang yang terasing daripada logika, atau diistilahkan sebagai sindrom “negeri antah berantah”.
  • Tampilkan citra tempatan yang boleh dibanggakan, seperti imej kejayaan saintis tempatan yang mampu bersaing di peringkat global.
  • Novel Equilibria dikupas dengan terperinci, di mana ia menonjolkan idealisme negara Malaysia, dengan Perdana Menteri yang bertanggungjawab, jujur memikul amanah rakyat, serta Ketua Laksamana Salahuddin yang berjasa di peringkat serantau. Ia menegaskan konsep keseimbangan sebagai teras kepada jawapan menghadapi kemusnahan alam dan ketamadunan manusia. Penggunaan tag yang amat baik: keseimbangan, bukannya kesempurnaan adalah rahsia keadaan semua hidupan di alam semesta.

Terus terang saya katakan, selepas menghadiri bengkel ini, saya terasa kepala saya seakan mahu meletup kerana terlalu banyak idea yang datang mencurah-curah. Saya tidak sabar-sabar mahu menulis karya, sampaikan saya langsung tidak boleh tidur pada malam itu. Benarlah, apabila kita bergaul dengan kumpulan penulis dan para penilai yang berkobar-kobar dengan semangat menyuruh kita menulis, kita juga akan dapat jangkitan semangat yang sama!

3) Strategi Menulis

Baik, sekarang saya kongsikan strategi menulis untuk sayembara. Pertama sekali, pastikan anda menulis kerana minat (bukan kerana “wow, aku nak hadiahnya, lumayan betul dapat menang RM15,000!”). Menulis novel fiksyen sains bukanlah mudah, rujuk sahajalah novel-novel yang pernah memenangi tempat pertama dalam sayembara.

Kala Yuda (pemenang pertama Musim Pertama) menceritakan tentang keupayaan manusia menguasai dunia teknologi nano serta manipulasi teknologi genetik dengan menggabungkan gen haiwan dalam gen manusia. Tambah mencabar, latarnya berlaku pada abad ke-22, zaman bumi menjalani tamadun baharu sewaktu pascabencana. Equilibria (pemenang kedua Musim Ke-2) berkisar tentang keadaan bumi yang huru-hara akibat sumber minyak yang kekontangan, sehingga memerlukan kerajaan Norac dan sekutunya mengikhtiarkan Inisiatif Pegasus, yakni pelan untuk meninggalkan bumi. Transgenik Sifar (pemenang pertama Musim Ke-3) mengisahkan keadaan manusia yang meneruskan ikhtiar hidup selepas bumi mengalami bah besar-besaran, dengan tumpuan watak diberikan kepada seorang manusia yang memiliki gen haiwan dan latarnya kebanyakannya di bawah lautan. Nah, semua karya-karya yang menang hebat-hebat belaka, bukan?

Atas sebab itulah, saya lebih selesa bergabung dengan penulis lain kerana kami boleh membahagikan tugas demi mengejar tarikh tutup penyertaan. Strategi kami mudah, Fadli memperincikan plot manakala saya melakukan kajian sains dan memulakan penulisan. Saya menulis dalam Word dan meninggalkan ruang kosong untuk sesetengah bab / bahagian supaya dapat diisi oleh Fadli. Kami berutusan melalui e-mel, Watsapp serta Facebook, dan berbincang lebih lanjut semasa bengkel. Alhamdulillah, draf kasar dapat saya siapkan pada 8 Disember 2013, dan Fadli menyempurnakan keseluruhan novel pada 22 Januari 2014.

Terus-terang saya akui, semasa menulis Leksikon Ledang, kami ada beberapa kelebihan. Pertama, Fadli sudah siap sedia dengan plot kasar (dia pernah approach dua penulis lain sebelum saya). Kedua, kami sudah memulakan idea untuk projek ini sejak awal lagi, semasa berlangsungnya Majlis Penyampaian Hadiah untuk Sayembara Fiksyen Sains dan Teknologi Musim Ke-2 pada 6 Disember 2012.

sayembara musim ke2

Para pemenang Sayembara Fiksyen Sains dan Teknologi Musim Ke-2 (dari kiri Amer Hmzah L. Kadir, Dayang Noor, Sri Rahayu, Shaikh Mohd Saifuddeen, Jali Kenoi, dan wakil untuk Faridah Abdul Hamid)

Saya masih ingat lagi pesan Tuan Khalid Mazlan, mantan jawatankuasa teknikal untuk sayembara ini. Beliau menasihatkan supaya penulis bersiap sedia dari awal untuk menulis, janganlah tunggu sehingga majlis pelancaran sayembara baharu hendak bermula, kerana tentulah tidak sempat hendak melakukan kajian, menjalani bengkel, menulis serta mengedit karya menjadi berkualiti, kerana semua itu hendaklah dilakukan dalam tempoh lebih kurang lapan bulan!

Jadi nasihat saya, lakukanlah kajian dengan baik dan terancang, hadamlah matlamat dan fahami tema yang ingin disampaikan, dan paling penting, pastikan penulisan itu berpandukan pada apa yang dikehendaki oleh panel hakim dan penganjur sayembara. Insya-Allah, karya yang dihasilkan itu akan mudah melepasi penilaian panel hakim dan boleh dinobatkan sebagai salah seorang pemenang dalam Majlis Penyampaian Hadiah Sayembara Fiksyen Sains dan Teknologi nanti.

Kepada semua penulis yang berpeluang menyertai Sayembara Fiksyen Sains dan Teknologi Musim Ke-4, saya ucapkan selamat maju jaya kepada anda semua!

Bicara Novel Fiksyen Sains “Dua Nyawa” oleh Asmar Shah, Dalila Dahri dan Lokman Hakim

Kita ikuti bual bicara novel fiksyen sains bertajuk Dua Nyawa nukilan tiga penulis iaitu Asmar Shah, Dalila Dahri dan Lokman Hakim.

IMG-20150220-WA0017

Berikut adalah biodata ringkas para penulis ini:

Asmar Shah berasal dari Sandakan Sabah.Tidak pernah terfikir akan terjebak di dalam dunia penulisan dan sekarang dia masih lagi belajar untuk memperbaiki mutu penulisannya yang sangat amatur. Novel pertamanya berjudul Bolot terbitan Lejen Press sendiri yang telah diterbitkan pada tahun 2014 dan sebelum itu dia hanya menulis cerpen dan ada beberapa buah cerpennya yang pernah diterbitkan.

Dalila Dahri berasal dari Selatan tanahair. Mula terjebak dengan menulis cerpen dan masih meneroka dunia penulisan yang tanpa batasan. Penulis dan pembaca tiada pisah. Tulis apa sahaja, pasti ada yang membaca.

Lokman Hakim seorang penulis dari Sibu, Sarawak yang obses menulis. Menulis untuk Simptomatik Press, Penerbit-X, Roman Buku, FIXI dan Buku Hitam Press setakat ini. Seorang jurutera yang mahukan fantasi jadi realiti. Dan mahu teroka setiap tema yang wujud untuk dijadikan karya tanpa sempadan.

Dua Nyawa

SINOPSIS

Seronok bukan apabila senang berhubung dengan Whatsapp, berdiskusi dalam Facebook, bercengkerama di pawagam melayari wayang cereka dongengan sambil menikmati dinginnya Cappucino Ais olahan Starbucks?

Tidak pun yang memandu Mini Cooper di jalanan yang terang-benderang digilapi lampu jalanan dan juga neon-neon milik kapitalis yang cintakan hedonisme.

Namun apabila keadaan negara berubah chaos dengan serta-merta, masih adakah secalit cahaya kehidupan? Keganasan dan pembunuhan tanpa had. Yang waras hanya mahu terus hidup.

Aliya, Dinda dan Vincent berada pada satu titik pertemuan yang tidak disangka dek minda. Takdir seperti sedang mempermainkan hidup mereka. Segala kegilaan harus ditempuh bersama. Sehingga satu-persatu kunci titik persoalan mula terjawab.

Apokalips tanpa cahaya. Hanya yang tidak berputus-asa yang akan terus hidup.

Sebelum novel ini bertajuk Dua Nyawa, ia memakai tajuk yang agak misterius iaitu “Apokalips Tanpa Cahaya”. Boleh terangkan dengan lebih lanjut mengenai pemilihan kedua-dua tajuk ini?

Lokman:
Ia merujuk kepada situasi di mana bekalan elektrik terputus secara menyeluruh. Pada mulanya kami membayangkan untuk mengaitkannya dengan pola graviti bumi telah berubah, tetapi ia kedengaran rumit. Namun kami mahu gunakan kegelapan menyeluruh itu selaku pencetus segala bencana. Maka dari itulah nama “Apokalips Tanpa Cahaya” diwujudkan.

Asmar:
Hurmm…

“Apokalips Tanpa Cahaya” itu membawa maksud buat kami adalah disebabkan negara yang bertukar chaos akibat kegilaan manusia itu sendiri. Dan untuk Dua Nyawa, itu pihak Lejen Press yang tentukan. Kami tidak tahu kenapa tajuk itu diberikan. Boleh bertanyakan pada pihak Lejen. Kami hanya menulis sahaja.

Dalila:
Sebenarnya banyak tajuk yang telah dicadangkan. Memang agak sukar memilih tajuk yang bersesuaian. Akhirnya, Lokman menetapkan untuk meletakkan “Apokalips Tanpa Cahaya” sebagai tajuk penulisan kami. Dalam cerita ini, dunia pada ketika  ini sangat kelam, gelap, menakutkan dan sukar dijangka. Seolah-olah dunia sedang ‘chaos’ dan berada di zaman kemusnahan. Menakutkan bukan? Namun apabila dihantar kepada penerbit, akhirnya mereka memutuskan untuk menukar tajuk “Apokalips Tanpa Cahaya” kepada Dua Nyawa.

Blurb buku ini menyebut tentang nama-nama watak seperti berikut:

Aliya, Vincent dan Dinda Anne bertemu di tengah kemusnahan. Dan pada mereka, pertemuan itu hanya kebetulan. Tapi mereka silap. Ada agenda yang telah diatur.

Ternyata watak Aliya, Vincent dan Dinda Anne menjadi tulang belakang kepada novel ini. Boleh jelaskan lebih lanjut perihal ketiga-tiga watak ini? (latar belakang kisah mereka, dan mengapa mereka penting dalam mengerakkan keseluruhan kisah)

Lokman:
Baik, sejujurnya saya menulis watak Vincent, Dalila menulis watak Dinda Anne dan Asmar Shah pula menulis watak Aliya. Kami bercadang menulis ketiga-tiga kisah mereka dengan latar yang sama yakni apokalips itu tadi.

Saya membayangkan Vincent selaku seorang budak yang kononnya berpenyakit dyslexia, tetapi hakikatnya bukan. Dia merupakan seorang budak yang terpinggir di sekolahnya tetapi amat menyayangi ibu bapanya. Setakat itu sahaja boleh saya ceritakan mengenai latar belakang Vincent tadi, jika hendak tahu lebih, dapatkanlah naskhahnya.

Asmar:
Mereka ini adalah manusia yang telah dipilih oleh organisasi tertentu. Eh, kalian harus baca dulu buku ini sendiri. Nanti pm saja kalau mahu tanya lebih-lebih atau hentam kami. *gelak*

Dalila:
Secara ringkasnya Aliya, Vincent dan Dinda mempunyai latar belakang yang berbeza begitu juga keistimewaan yang ada dalam diri mereka. Aliya seorang perempuan yang mempunyai dua personaliti yang berbeza.  Aliya seorang yang agresif dan lincah manakala Ameera adalah sebaliknya. Vincent pula seorang kanak-kanak lelaki yang sangat istimewa. Dia seperti pengidap dyslexia dan mempunyai kecergasan yang sangat baik tapi sebenarnya dia lebih dari itu. Manakala Dinda pula seorang yang sangat obses dengan teknologi dan paranoid. Mereka ini adalah insan terpilih yang perlu melaksanakan sesuatu misi. Nak tahu lebih lanjut, kenalah baca. Hehe.

Latar apokalips yang digambarkan dalam kisah ini agak kelam dan menakutkan. Lihat:

Pada saat ini pula, hakikatnya waktu itu berjalan dengan perlahan dan menakutkan. Mereka terpaksa bergerak berhati-hati agar tidak terserempak dengan manusia-manusia yang mempunyai tanda titik di leher. Bagi mereka, kini dunia hanya mempunyai dua pilihan: dibunuh atau membunuh. Tiada lagi sistem teknologi menguasai kehidupan manusia pada waktu ini. Tiada lagi rakaman video. Tiada lagi telefon bimbit. Semuanya seakan lenyap secara tiba-tiba.

Kota ini yang dahulunya penuh dengan teknologi canggih, sentiasa diterangi cahaya neon di malam hari dan sentiasa dipenuhi manusia tidak kira siang mahupun malam. Kota yang tidak pernah tidur ini, kini menjadi sangat sunyi dan sepi. Kota yang terkenal dengan kemeriahan dan keindahannya ini, kini diselubungi dengan debu-debu yang menyesakkan. Kenderaan terbiar berselerakan. Beberapa bangunan kelihatan sangat usang dek kerana hakisan hujan aneh yang barangkali asidik sifatnya. Pokok-pokok semakin kering dan terbiar tumbang. Tiang-tiang elektrik rebah. Asap berkepul-kepul. Kelihatan ramai manusia yang menggantungkan diri mungkin kerana mereka merasakan tidak ada alasan yang kukuh untuk meneruskan hidup yang melarat ini. Bau hanyir mayat masih tercium dan meruap di udara. Bau kematian yang pelbagai darjah busuknya.

Di sebalik pemandangan yang buruk ini, bahayanya tetap ada. Manusia itu tetap manusia. Manusia yang digambarkan memiliki akal dan fikiran tetapi dalam situasi seperti sekarang ini, mereka mampu bertindak lebih buas daripada binatang dan hilang sifat kemanusiaan.

Matahari tidak menjadi sahabat manusia lagi. Kedinginan menguasai kota ini secara total.

 – halaman 53-54, Dua Nyawa

Kemusnahan dunia di dalam novel ini berlaku disebabkan salah guna kuasa oleh manusia sendiri. Dan pada saat dunia hancur pun, tetap ada kelompok manusia yang kejam melakukan pembunuhan, kerana “manusia itu tetap manusia”.

Mengapa anda memilih untuk menciptakan latar gelap sebegini, dan apakah mesej yang ingin disampaikan melalui kenyataan di atas?

Lokman:
Mungkin semua sedia maklum, karya-karya saya majoritinya gelap temanya. Pendek kata, apabila saya bergabung dengan penulis-penulis lain sekalipun, kegelapan itu turut menyusuli dari belakang dan menyatu dengan cerita yang digarap.

Baik itu secara peribadinya. Namun begitu, kami bertiga memang bercadang untuk menulis perihal kisah distopia dari awalnya. Saya melihat manusia ini selaku makhluk yang tamak, tetapi mempunyai sisi yang indah pada masa yang sama. Manusia ini sifatnya lebih kepada survivaliti di mana nilai moral tadi bergantung kepada keadaannya. Jika terdesak, baik dan buruk boleh lenyap begitu sahaja demi kesinambungan hidup sendiri.

Asmar:
Mungkin latar gelap sangat seronok untuk dirungkaikan. Bermacam hal dan karut yang boleh dihasilkan. Jika menggunakan tema sebaliknya, risau akan memberikan harapan kepada pembaca di luar sana. Yalah, budak sekarang ni, suka sangat berkhayal dan mengharap yang bukan-bukan. Baca buku cinta saja pun teringin juga mereka nak bercinta-cinta. Jadi mesej yang kami cuba sampaikan, dunia sekarang di penghujung dah. Jadi masing-masing beringat yang kita tak boleh percaya sesiapa. Sebab manusia sendiri yang merosakkan manusia lain. Peace!

Dalila:
Sememangnya kami bertiga sebulat suara bersetuju untuk bercerita begini. Dunia hampir musnah akibat kerakusan manusia itu sendiri. Bagi saya, setiap manusia itu ada sisi gelap. Kita perlu sedar dan waspada tentang sisi gelap yang ada pada diri kita. Manusia ini makhluk yang sukar untuk dijangka. Sikap, perwatakan, percakapan, pemikiran semua boleh berubah-rubah. Itulah hakikat manusia.

Dalam Dua Nyawa, terdapat satu petikan diari yang mencuri tumpuan:

Kejahatan sentiasa ada di mana-mana dan manusia tidak dapat lari daripada menghadapinya. Kejahatan itulah menyebabkan manusia menafikan kewujudan Tuhan di dunia ini. Aku silap tentang sesuatu bahawa, Tuhan itu telah mencipta dunia ini dengan baik dan sempurna. Aku hanyalah manusia biasa dan aku sedar yang aku tidak mampu mengubah dunia ini berdasarkan buah fikiran dan perasaan semata. Semua sudah terlambat. Segala-gala yang dirancang sudah bermula. Aku tidak sanggup lagi untuk melihat dunia ini. Dunia yang penuh kejahatan dan penderitaan. Maafkan aku.

– halaman 63-64, Dua Nyawa

Tulisan ini merupakan satu bentuk penyesalan yang diluahkan oleh seorang insan, namun segalanya sudah terlambat kerana bencana buruk sudah pun melanda seluruh dunia. Sisipan mesej secara halus sebegini adalah sesuatu yang mengujakan, kerana kita mahu para pembaca berfikir sedalamnya tentang intipati penting di sebalik karya-karya fiksyen sains. Adakah ini matlamat yang ingin dicapai oleh pasukan ini melalui Dua Nyawa?

Lokman:
Saya masih percaya kami menulis ini berdasarkan minda separa sedar kami. Baiklah, saya akui, petikan diari itu saya yang buat. Ia merupakan penyesalan seseorang yang mengetahui selok-belok teknologi yang menakutkan, tetapi menidakkan natijah buruk yang telah dijangka. Apabila dilaksana, skala kemusnahan tadi begitu dahsyat.

Asmar:
Buat kami, jadinya manuskrip ini sebuah naskhah, maka matlamat kami sudah tercapai. Segala apa yang kami ingin sampaikan, sudah berada di  buku ini. Cuma untuk para pembaca di luar sana, itu kami tidak pasti jika mereka akan suka Dua Nyawa ini. Takut mereka akan kata bahawa buku ini harus jangan dibaca sebab terlalu merepek dan tiada kemanisan ibarat gula-gula kapas untuk sebuah kehidupan. Hahaha..

Dalila:
Melalui tulisan ini, sedikit sebanyak menunjukkan bahawa wujudnya manusia yang terlalu obsesi dalam penciptaan teknologi dan cuba menyaingi Tuhan dalam mengatur Bumi ini. Boleh anda bayangkan jika manusia seperti ini wujud dikalangan kita? Apa yang akan berlaku nanti pada dunia ini?

Kuasa anak kecil bernama Vincent itu mula terserlah di saat-saat akhir novel ini. Lihat:

“Aku Tuhan kepada segala kewujudan!” Kali ini suara Vincent lantang. Cukup kuat untuk bergema memecah kesunyian yang ditimbulkan oleh pembekuan masa.

“Dan kewujudan aku selaku Tuhan haruslah dilenyapkan. Dunia yang tiada masa depan ini juga harus lenyap sama.”

Sejenis cahaya mula membaluti tubuh Vincent. Ia begitu terang dan kian bertambah kadar darjah iluminasinya sehingga menenggelamkan setiap ruang yang ada. Alpha One yang baru sahaja kehilangan tangan,berundur dan terus berundur sehinggalah kakinya tidak dapat menginjak apa-apa.

Sedar tak sedar, dirinya telah berada di ruang udara, dan jatuh ke bumi. Biarpun begitu, cahaya terang yang menyeruak dari tubuh Vincent tersebar pantas lalu menenggelamkan segala-galanya.                                                                                 

– halaman 245, Dua Nyawa

Boleh terangkan mengapa Vincent memilih untuk bertutur sedemikan (“aku Tuhan”, “kewujudan aku harus dilenyapkan”)? Adakah Vincent merasakan bahawa pengorbanan (melenyapkan dirinya itu) boleh melahirkan satu dunia yang lebih baik?

Dalila:
Vincent ini memang kanak-kanak yang bijak dan istimewa. Untuk soalan ini,  mungkin Lokman ada jawapan yang lebih tepat. Silakan Luke.

Lokman:
Memandangkan watak Vincent adalah ciptaan saya maka biar saya menjawabnya. Vincent saya gambarkan selaku seorang budak yang bijak. Mungkin istilah budak tidak tepat. Satu eksperimen barangkali. Entah (Bacalah untuk tafsiran anda).

Apabila kita menyedari diri kita merupakan kunci kepada kemusnahan tadi, apa yang akan kita lakukan? Adakah kita sanggup meneruskan agenda musuh yang memperalatkan kita tadi? Saya masih berpendapat, selaku manusia yang bermaruah, dan punya nilai moral yang tinggi, kita sepatutnya mengutamakan hak kemanusiaan sejagat lebih daripada diri kita sendiri. Prinsip ini saya gambarkan melalui watak Vincent ini.

Ia terjawab dengan dialog seperti “kewujudan aku harus dilenyapkan”. Dia mengetahui siapa dirinya. Dia mengetahui betapa dahsyat potensinya dalam pencetusan apokalips itu. Kematiannya adalah jawapan terbaik untuk menyelamatkan dunia.

Asmar:
Lokman Hakim telah jawab soalan ini. Lalalala.

Soalan terakhir! Sekiranya diberi peluang dan kekuatan, adakah anda bertiga akan bergabung untuk projek penulisan seterusnya? Adakah pasukan ini akan tetap memilih genre fiksyen sains, atau lebih berminat hendak mencuba genre-genre lain?

Lokman:
Oh ya, kami kini masih bergabung untuk dua lagi projek penulisan. Ia mencabar dan juga menyeronokkan. Kami masih memilih genre fiksyen sains dengan elemen-elemen thriller dan juga fantasi. Mungkin genre mencabar begini seronok digarap secara berkumpulan. Itu pendapat peribadi saya.

Asmar:
Kalau diikutkan hati, saya sayang dengan team ni. Banyak yang saya pelajari dari team Trio Dua Nyawa ini. Kalau ada rezeki, insya-Allah. Iyalah, kadang-kala kita merancang, tapi Tuhan yang menentukan. Kalau nak cakap ada projek tapi tak jadi buat, nanti buat malu saja. Jadi kalau ada peluang dan ruang buat kami bertiga, insya-Allah, akan adalah karya dari kami. *jawapan selamat ala-ala retis*

Dalila:
Insyaallah (senyum). Tengoklah nanti apa yang bakal berlaku. Jeng…jeng..

IMG-20150220-WA0012~

Novel Dua Nyawa boleh dibeli secara atas talian dari laman web Fixi, Lejen Press atau bookcafe.com.my.