Bicara Novel SaiFai “Dua Nyawa” oleh Asmar Shah, Dalila Dahri dan Lokman Hakim

Kita ikuti bual bicara novel SaiFai bertajuk Dua Nyawa nukilan tiga penulis iaitu Asmar Shah, Dalila Dahri dan Lokman Hakim.

IMG-20150220-WA0017

Berikut adalah biodata ringkas para penulis ini:

Asmar Shah berasal dari Sandakan Sabah.Tidak pernah terfikir akan terjebak di dalam dunia penulisan dan sekarang dia masih lagi belajar untuk memperbaiki mutu penulisannya yang sangat amatur. Novel pertamanya berjudul Bolot terbitan Lejen Press sendiri yang telah diterbitkan pada tahun 2014 dan sebelum itu dia hanya menulis cerpen dan ada beberapa buah cerpennya yang pernah diterbitkan.

Dalila Dahri berasal dari Selatan tanahair. Mula terjebak dengan menulis cerpen dan masih meneroka dunia penulisan yang tanpa batasan. Penulis dan pembaca tiada pisah. Tulis apa sahaja, pasti ada yang membaca.

Lokman Hakim seorang penulis dari Sibu, Sarawak yang obses menulis. Menulis untuk Simptomatik Press, Penerbit-X, Roman Buku, FIXI dan Buku Hitam Press setakat ini. Seorang jurutera yang mahukan fantasi jadi realiti. Dan mahu teroka setiap tema yang wujud untuk dijadikan karya tanpa sempadan.

Dua Nyawa

SINOPSIS

Seronok bukan apabila senang berhubung dengan Whatsapp, berdiskusi dalam Facebook, bercengkerama di pawagam melayari wayang cereka dongengan sambil menikmati dinginnya Cappucino Ais olahan Starbucks?

Tidak pun yang memandu Mini Cooper di jalanan yang terang-benderang digilapi lampu jalanan dan juga neon-neon milik kapitalis yang cintakan hedonisme.

Namun apabila keadaan negara berubah chaos dengan serta-merta, masih adakah secalit cahaya kehidupan? Keganasan dan pembunuhan tanpa had. Yang waras hanya mahu terus hidup.

Aliya, Dinda dan Vincent berada pada satu titik pertemuan yang tidak disangka dek minda. Takdir seperti sedang mempermainkan hidup mereka. Segala kegilaan harus ditempuh bersama. Sehingga satu-persatu kunci titik persoalan mula terjawab.

Apokalips tanpa cahaya. Hanya yang tidak berputus-asa yang akan terus hidup.

Sebelum novel ini bertajuk Dua Nyawa, ia memakai tajuk yang agak misterius iaitu “Apokalips Tanpa Cahaya”. Boleh terangkan dengan lebih lanjut mengenai pemilihan kedua-dua tajuk ini?

Lokman:
Ia merujuk kepada situasi di mana bekalan elektrik terputus secara menyeluruh. Pada mulanya kami membayangkan untuk mengaitkannya dengan pola graviti bumi telah berubah, tetapi ia kedengaran rumit. Namun kami mahu gunakan kegelapan menyeluruh itu selaku pencetus segala bencana. Maka dari itulah nama “Apokalips Tanpa Cahaya” diwujudkan.

Asmar:
Hurmm…

“Apokalips Tanpa Cahaya” itu membawa maksud buat kami adalah disebabkan negara yang bertukar chaos akibat kegilaan manusia itu sendiri. Dan untuk Dua Nyawa, itu pihak Lejen Press yang tentukan. Kami tidak tahu kenapa tajuk itu diberikan. Boleh bertanyakan pada pihak Lejen. Kami hanya menulis sahaja.

Dalila:
Sebenarnya banyak tajuk yang telah dicadangkan. Memang agak sukar memilih tajuk yang bersesuaian. Akhirnya, Lokman menetapkan untuk meletakkan “Apokalips Tanpa Cahaya” sebagai tajuk penulisan kami. Dalam cerita ini, dunia pada ketika  ini sangat kelam, gelap, menakutkan dan sukar dijangka. Seolah-olah dunia sedang ‘chaos’ dan berada di zaman kemusnahan. Menakutkan bukan? Namun apabila dihantar kepada penerbit, akhirnya mereka memutuskan untuk menukar tajuk “Apokalips Tanpa Cahaya” kepada Dua Nyawa.

Blurb buku ini menyebut tentang nama-nama watak seperti berikut:

Aliya, Vincent dan Dinda Anne bertemu di tengah kemusnahan. Dan pada mereka, pertemuan itu hanya kebetulan. Tapi mereka silap. Ada agenda yang telah diatur.

Ternyata watak Aliya, Vincent dan Dinda Anne menjadi tulang belakang kepada novel ini. Boleh jelaskan lebih lanjut perihal ketiga-tiga watak ini? (latar belakang kisah mereka, dan mengapa mereka penting dalam mengerakkan keseluruhan kisah)

Lokman:
Baik, sejujurnya saya menulis watak Vincent, Dalila menulis watak Dinda Anne dan Asmar Shah pula menulis watak Aliya. Kami bercadang menulis ketiga-tiga kisah mereka dengan latar yang sama yakni apokalips itu tadi.

Saya membayangkan Vincent selaku seorang budak yang kononnya berpenyakit dyslexia, tetapi hakikatnya bukan. Dia merupakan seorang budak yang terpinggir di sekolahnya tetapi amat menyayangi ibu bapanya. Setakat itu sahaja boleh saya ceritakan mengenai latar belakang Vincent tadi, jika hendak tahu lebih, dapatkanlah naskhahnya.

Asmar:
Mereka ini adalah manusia yang telah dipilih oleh organisasi tertentu. Eh, kalian harus baca dulu buku ini sendiri. Nanti pm saja kalau mahu tanya lebih-lebih atau hentam kami. *gelak*

Dalila:
Secara ringkasnya Aliya, Vincent dan Dinda mempunyai latar belakang yang berbeza begitu juga keistimewaan yang ada dalam diri mereka. Aliya seorang perempuan yang mempunyai dua personaliti yang berbeza.  Aliya seorang yang agresif dan lincah manakala Ameera adalah sebaliknya. Vincent pula seorang kanak-kanak lelaki yang sangat istimewa. Dia seperti pengidap dyslexia dan mempunyai kecergasan yang sangat baik tapi sebenarnya dia lebih dari itu. Manakala Dinda pula seorang yang sangat obses dengan teknologi dan paranoid. Mereka ini adalah insan terpilih yang perlu melaksanakan sesuatu misi. Nak tahu lebih lanjut, kenalah baca. Hehe.

Latar apokalips yang digambarkan dalam kisah ini agak kelam dan menakutkan. Lihat:

Pada saat ini pula, hakikatnya waktu itu berjalan dengan perlahan dan menakutkan. Mereka terpaksa bergerak berhati-hati agar tidak terserempak dengan manusia-manusia yang mempunyai tanda titik di leher. Bagi mereka, kini dunia hanya mempunyai dua pilihan: dibunuh atau membunuh. Tiada lagi sistem teknologi menguasai kehidupan manusia pada waktu ini. Tiada lagi rakaman video. Tiada lagi telefon bimbit. Semuanya seakan lenyap secara tiba-tiba.

Kota ini yang dahulunya penuh dengan teknologi canggih, sentiasa diterangi cahaya neon di malam hari dan sentiasa dipenuhi manusia tidak kira siang mahupun malam. Kota yang tidak pernah tidur ini, kini menjadi sangat sunyi dan sepi. Kota yang terkenal dengan kemeriahan dan keindahannya ini, kini diselubungi dengan debu-debu yang menyesakkan. Kenderaan terbiar berselerakan. Beberapa bangunan kelihatan sangat usang dek kerana hakisan hujan aneh yang barangkali asidik sifatnya. Pokok-pokok semakin kering dan terbiar tumbang. Tiang-tiang elektrik rebah. Asap berkepul-kepul. Kelihatan ramai manusia yang menggantungkan diri mungkin kerana mereka merasakan tidak ada alasan yang kukuh untuk meneruskan hidup yang melarat ini. Bau hanyir mayat masih tercium dan meruap di udara. Bau kematian yang pelbagai darjah busuknya.

Di sebalik pemandangan yang buruk ini, bahayanya tetap ada. Manusia itu tetap manusia. Manusia yang digambarkan memiliki akal dan fikiran tetapi dalam situasi seperti sekarang ini, mereka mampu bertindak lebih buas daripada binatang dan hilang sifat kemanusiaan.

Matahari tidak menjadi sahabat manusia lagi. Kedinginan menguasai kota ini secara total.

 – halaman 53-54, Dua Nyawa

Kemusnahan dunia di dalam novel ini berlaku disebabkan salah guna kuasa oleh manusia sendiri. Dan pada saat dunia hancur pun, tetap ada kelompok manusia yang kejam melakukan pembunuhan, kerana “manusia itu tetap manusia”.

Mengapa anda memilih untuk menciptakan latar gelap sebegini, dan apakah mesej yang ingin disampaikan melalui kenyataan di atas?

Lokman:
Mungkin semua sedia maklum, karya-karya saya majoritinya gelap temanya. Pendek kata, apabila saya bergabung dengan penulis-penulis lain sekalipun, kegelapan itu turut menyusuli dari belakang dan menyatu dengan cerita yang digarap.

Baik itu secara peribadinya. Namun begitu, kami bertiga memang bercadang untuk menulis perihal kisah distopia dari awalnya. Saya melihat manusia ini selaku makhluk yang tamak, tetapi mempunyai sisi yang indah pada masa yang sama. Manusia ini sifatnya lebih kepada survivaliti di mana nilai moral tadi bergantung kepada keadaannya. Jika terdesak, baik dan buruk boleh lenyap begitu sahaja demi kesinambungan hidup sendiri.

Asmar:
Mungkin latar gelap sangat seronok untuk dirungkaikan. Bermacam hal dan karut yang boleh dihasilkan. Jika menggunakan tema sebaliknya, risau akan memberikan harapan kepada pembaca di luar sana. Yalah, budak sekarang ni, suka sangat berkhayal dan mengharap yang bukan-bukan. Baca buku cinta saja pun teringin juga mereka nak bercinta-cinta. Jadi mesej yang kami cuba sampaikan, dunia sekarang di penghujung dah. Jadi masing-masing beringat yang kita tak boleh percaya sesiapa. Sebab manusia sendiri yang merosakkan manusia lain. Peace!

Dalila:
Sememangnya kami bertiga sebulat suara bersetuju untuk bercerita begini. Dunia hampir musnah akibat kerakusan manusia itu sendiri. Bagi saya, setiap manusia itu ada sisi gelap. Kita perlu sedar dan waspada tentang sisi gelap yang ada pada diri kita. Manusia ini makhluk yang sukar untuk dijangka. Sikap, perwatakan, percakapan, pemikiran semua boleh berubah-rubah. Itulah hakikat manusia.

Dalam Dua Nyawa, terdapat satu petikan diari yang mencuri tumpuan:

Kejahatan sentiasa ada di mana-mana dan manusia tidak dapat lari daripada menghadapinya. Kejahatan itulah menyebabkan manusia menafikan kewujudan Tuhan di dunia ini. Aku silap tentang sesuatu bahawa, Tuhan itu telah mencipta dunia ini dengan baik dan sempurna. Aku hanyalah manusia biasa dan aku sedar yang aku tidak mampu mengubah dunia ini berdasarkan buah fikiran dan perasaan semata. Semua sudah terlambat. Segala-gala yang dirancang sudah bermula. Aku tidak sanggup lagi untuk melihat dunia ini. Dunia yang penuh kejahatan dan penderitaan. Maafkan aku.

– halaman 63-64, Dua Nyawa

Tulisan ini merupakan satu bentuk penyesalan yang diluahkan oleh seorang insan, namun segalanya sudah terlambat kerana bencana buruk sudah pun melanda seluruh dunia. Sisipan mesej secara halus sebegini adalah sesuatu yang mengujakan, kerana kita mahu para pembaca berfikir sedalamnya tentang intipati penting di sebalik karya-karya SaiFai. Adakah ini matlamat yang ingin dicapai oleh pasukan ini melalui Dua Nyawa?

Lokman:
Saya masih percaya kami menulis ini berdasarkan minda separa sedar kami. Baiklah, saya akui, petikan diari itu saya yang buat. Ia merupakan penyesalan seseorang yang mengetahui selok-belok teknologi yang menakutkan, tetapi menidakkan natijah buruk yang telah dijangka. Apabila dilaksana, skala kemusnahan tadi begitu dahsyat.

Asmar:
Buat kami, jadinya manuskrip ini sebuah naskhah, maka matlamat kami sudah tercapai. Segala apa yang kami ingin sampaikan, sudah berada di  buku ini. Cuma untuk para pembaca di luar sana, itu kami tidak pasti jika mereka akan suka Dua Nyawa ini. Takut mereka akan kata bahawa buku ini harus jangan dibaca sebab terlalu merepek dan tiada kemanisan ibarat gula-gula kapas untuk sebuah kehidupan. Hahaha..

Dalila:
Melalui tulisan ini, sedikit sebanyak menunjukkan bahawa wujudnya manusia yang terlalu obsesi dalam penciptaan teknologi dan cuba menyaingi Tuhan dalam mengatur Bumi ini. Boleh anda bayangkan jika manusia seperti ini wujud dikalangan kita? Apa yang akan berlaku nanti pada dunia ini?

Kuasa anak kecil bernama Vincent itu mula terserlah di saat-saat akhir novel ini. Lihat:

“Aku Tuhan kepada segala kewujudan!” Kali ini suara Vincent lantang. Cukup kuat untuk bergema memecah kesunyian yang ditimbulkan oleh pembekuan masa.

“Dan kewujudan aku selaku Tuhan haruslah dilenyapkan. Dunia yang tiada masa depan ini juga harus lenyap sama.”

Sejenis cahaya mula membaluti tubuh Vincent. Ia begitu terang dan kian bertambah kadar darjah iluminasinya sehingga menenggelamkan setiap ruang yang ada. Alpha One yang baru sahaja kehilangan tangan,berundur dan terus berundur sehinggalah kakinya tidak dapat menginjak apa-apa.

Sedar tak sedar, dirinya telah berada di ruang udara, dan jatuh ke bumi. Biarpun begitu, cahaya terang yang menyeruak dari tubuh Vincent tersebar pantas lalu menenggelamkan segala-galanya.                                                                                 

– halaman 245, Dua Nyawa

Boleh terangkan mengapa Vincent memilih untuk bertutur sedemikan (“aku Tuhan”, “kewujudan aku harus dilenyapkan”)? Adakah Vincent merasakan bahawa pengorbanan (melenyapkan dirinya itu) boleh melahirkan satu dunia yang lebih baik?

Dalila:
Vincent ini memang kanak-kanak yang bijak dan istimewa. Untuk soalan ini,  mungkin Lokman ada jawapan yang lebih tepat. Silakan Luke.

Lokman:
Memandangkan watak Vincent adalah ciptaan saya maka biar saya menjawabnya. Vincent saya gambarkan selaku seorang budak yang bijak. Mungkin istilah budak tidak tepat. Satu eksperimen barangkali. Entah (Bacalah untuk tafsiran anda).

Apabila kita menyedari diri kita merupakan kunci kepada kemusnahan tadi, apa yang akan kita lakukan? Adakah kita sanggup meneruskan agenda musuh yang memperalatkan kita tadi? Saya masih berpendapat, selaku manusia yang bermaruah, dan punya nilai moral yang tinggi, kita sepatutnya mengutamakan hak kemanusiaan sejagat lebih daripada diri kita sendiri. Prinsip ini saya gambarkan melalui watak Vincent ini.

Ia terjawab dengan dialog seperti “kewujudan aku harus dilenyapkan”. Dia mengetahui siapa dirinya. Dia mengetahui betapa dahsyat potensinya dalam pencetusan apokalips itu. Kematiannya adalah jawapan terbaik untuk menyelamatkan dunia.

Asmar:
Lokman Hakim telah jawab soalan ini. Lalalala.

Soalan terakhir! Sekiranya diberi peluang dan kekuatan, adakah anda bertiga akan bergabung untuk projek penulisan seterusnya? Adakah pasukan ini akan tetap memilih genre SaiFai, atau lebih berminat hendak mencuba genre-genre lain?

Lokman:
Oh ya, kami kini masih bergabung untuk dua lagi projek penulisan. Ia mencabar dan juga menyeronokkan. Kami masih memilih genre SaiFai dengan elemen-elemen thriller dan juga fantasi. Mungkin genre mencabar begini seronok digarap secara berkumpulan. Itu pendapat peribadi saya.

Asmar:
Kalau diikutkan hati, saya sayang dengan team ni. Banyak yang saya pelajari dari team Trio Dua Nyawa ini. Kalau ada rezeki, insya-Allah. Iyalah, kadang-kala kita merancang, tapi Tuhan yang menentukan. Kalau nak cakap ada projek tapi tak jadi buat, nanti buat malu saja. Jadi kalau ada peluang dan ruang buat kami bertiga, insya-Allah, akan adalah karya dari kami. *jawapan selamat ala-ala retis*

Dalila:
Insyaallah (senyum). Tengoklah nanti apa yang bakal berlaku. Jeng…jeng..

IMG-20150220-WA0012~

Novel Dua Nyawa boleh dibeli secara atas talian dari laman web Fixi, Lejen Press atau bookcafe.com.my.

Tips Menulis Novel Secara Berkumpulan

Sesi Pena SaiFai kali ini cukup berbeza dan istimewa kerana kita mendapat peluang berbicara dengan tiga orang penulis muda iaitu Asmar Shah, Dalila Dahri dan Lokman Hakim. Mereka bertiga telah berkolaborasi dengan baik untuk menghasilkan sebuah novel SaiFai bertajuk Dua Nyawa terbitan Lejen Press.

Asmar Dalila Lokman

Berikut adalah biodata ringkas para penulis ini:

Asmar Shah berasal dari Sandakan Sabah. Tidak pernah terfikir akan terjebak di dalam dunia penulisan dan sekarang dia masih lagi belajar untuk memperbaiki mutu penulisannya yang sangat amatur. Novel pertamanya berjudul Bolot terbitan Lejen Press sendiri yang telah diterbitkan pada tahun 2014 dan sebelum itu dia hanya menulis cerpen dan ada beberapa buah cerpennya yang pernah diterbitkan.

Dalila Dahri berasal dari Selatan tanahair. Mula terjebak dengan menulis cerpen dan masih meneroka dunia penulisan yang tanpa batasan. Penulis dan pembaca tiada pisah. Tulis apa sahaja, pasti ada yang membaca.

Lokman Hakim seorang penulis dari Sibu, Sarawak yang obses menulis. Menulis untuk Penerbit-X, Simptomatik Press, Lejen Press, Roman Buku, FIXI dan Buku Hitam Press setakat ini. Seorang jurutera yang mahukan fantasi jadi realiti. Dan mahu teroka setiap tema yang wujud untuk dijadikan karya tanpa sempadan.

Dua Nyawa

Sinopsis Dua Nyawa:

Seronok bukan apabila senang berhubung dengan Whatsapp, berdiskusi dalam Facebook, bercengkerama di pawagam melayari wayang cereka dongengan sambil menikmati dinginnya Cappucino Ais olahan Starbucks?

Tidak pun yang memandu Mini Cooper di jalanan yang terang-benderang digilapi lampu jalanan dan juga neon-neon milik kapitalis yang cintakan hedonisme.

Namun apabila keadaan negara berubah chaos dengan serta-merta, masih adakah secalit cahaya kehidupan? Keganasan dan pembunuhan tanpa had. Yang waras hanya mahu terus hidup.

Aliya, Dinda dan Vincent berada pada satu titik pertemuan yang tidak disangka dek minda. Takdir seperti sedang mempermainkan hidup mereka. Segala kegilaan harus ditempuh bersama. Sehingga satu-persatu kunci titik persoalan mula terjawab.

Apokalips tanpa cahaya. Hanya yang tidak berputus-asa yang akan terus hidup.

Apakah rahsia yang mereka pegang sehingga boleh bekerjasama dan berjaya pula menerbitkan sebuah novel secara berkumpulan? Mari kita ikuti tips dan perkongsian mereka ini.

Tahniah buat ketiga-tiga penulis di atas kelahiran buku Dua Nyawa. Bukan selalu kita dapat peluang melihat sebuah buku yang memaparkan nama tiga penulis, lebih-lebih lagi buku bergenre SaiFai. Boleh ceritakan kepada para pembaca, bagaimana kerjasama ini boleh terbentuk?

Lokman:
Terima kasih banyak-banyak. Kerjasama ini terbentuk ketika Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2014 di PWTC. Kami bertiga ketika itu datang untuk sesi autograf penulis-penulis Buku Hitam Press. Sementara duduk sambil berbual-bual mengenai penulisan, tiba-tiba terdetik idea untuk menulis bersama menyiapkan sebuah novel. Ia spontan sangat.

Asmar:
Terima kasih. Kerjasama ini terjadi apabila perbualan yang pada mulanya hanya sekadar perbualan kosong ketika di PBAKL untuk mengeratkan silaturahim antara saya, Lokman dan Dalila, bertukar menjadi perbualan berkaitan buku dan lama-kelamaan kami bertukar menjadi serius seolah-olah kami bertiga dapat utusan dari langit yang mengatakan kami ada misi yang harus dilaksanakan. Kami perlu menawan sebuah dunia yang telah ditawan oleh alien yang bernama ‘keinginan’. *maaf mengarut* haha…

Dalila:
Syukur Alhamdulillah, terima kasih. Akhirnya penulisan ini selamat diterbitkan. Apa yang boleh saya kongsikan disini, perbualan antara saya dan Asmar telah menjadi kenyataan untuk bergabung menulis bersama-sama dan disertai Lokman sekaligus menjadikan kami trio. Tiga kepala bergabung untuk menghasilkan sebuah karya, menarik bukan? Walaupun baru sekali sahaja saya berjumpa dengan Asmar dan Lokman iaitu ketika di PBAKL dua tahun lalu ketika itu kami sama-sama menulis di bawah Buku Hitam Press, seperti orang kata, ‘chemistry’ itu ada. Betulkan Asmar, Lokman? (ketawa)

Pastinya ramai yang berminat hendak tahu bagaimana anda bertiga membahagikan rutin penulisan untuk menghasilkan novel ini. Bagaimana idea serta plot awalnya terbentuk? Siapa yang memulakan penulisan dan siapa yang menjadi orang terakhir mengedit keseluruhannya?

Lokman:
Masing-masing menyenaraikan idea-idea untuk dijadikan novel. Setelah berbincang, kami memilih idea yang secocok dengan tahap penulisan dan kemampuan kami. Sesudah itu, saya mengemukakan sinopsis ringkas. Saya membayangkan kami menulis dari point of view (POV) pertama pada mulanya dengan setiap penulis menulis dari watak masing-masing.

Namun begitu, setelah menggabungkan ketiga-tiga cerita dari ketiga-tiga watak, kami mendapati ia bermasalah pula kerana kami tidak menggariskan ciri-ciri watak kami dan memaklumkan kepada setiap penulis yang terlibat dalam penulisan ini.

Kami membahagikan tiga watak utama kepada setiap seorang penulis dan memulakannya serentak. Setelah masing-masing siap menyelesaikan manuskrip ini barulah saya mencantumkannya menjadi satu cerita.

Dalila:
Pada awalnya, kami membuka ruang untuk masing-masing melontarkan idea. Selepas itu, kami sebulat suara akan memilih idea, jalan cerita, watak yang bersesuaian. Dan seterusnya, baru dilakukan pembahagian tugas. Setiap tugas yang diberi akan ditetapkan tempoh sekian-sekian. Setiap kali habis tempoh tugasan, kami akan berbincang dan meneliti semula penulisan masing-masing samada jalan ceritanya dan ideanya saling berkait atau tidak. Selebihnya rahsia (ketawa) Lokman, Asmar koranglah cerita.

Asmar:
*kesat peluh* Sebenarnya idea awal Dua Nyawa ini adalah hasil daripada kami bertiga cuba berbincang dan tulis apa yang ada di kepala otak masing-masing. Sehinggalah muncul bermacam-macam cadangan dan kami bertiga sepakat untuk mengangkat tema yang telah digunakan dalam Dua Nyawa ini. Setiap kami akan mencipta watak sendiri dan gerakkan mereka di dalam latar yang telah ditetapkan (keadaan negara yang sedang chaos) sehinggalah mereka bertiga bertembung di dalam satu pertemuan. Maka bermula dari situ, kami akan bersama-sama tulis bab yang ada. Lokman akan memastikan jalan cerita itu tidak lari dari landasan asal.

Satu cabaran yang perlu diatasi oleh penulis berkumpulan adalah clash of ideas. Ini akan menimbulkan masalah jika setiap pihak berkeras mahukan idea masing-masing diterima, sehingga kadangkala ia membunuh dinamik serta semangat penulisan. Kongsilah sedikit bagaimana anda bertiga mengatasi cabaran sebegini.

Lokman:
Saya rasa ini berbalik pada ego penulis tadi. Oleh sebab itulah, saya lebih senang idea dicadangkan oleh penulis-penulis yang terlibat dan dibincangkan bersama. Tiada langsung percanggahan idea. Setiap idea akan dipertimbangkan baik dan buruknya. Kami memilih idea berdasarkan kemampuan masing-masing. Pendek kata, setiap percanggahan ataupun perselisihan pendapat diselesaikan melalui perbincangan yang berterusan. Jika hendak menulis berkumpulan, ego itu letak tepi. Itu saja.

Asmar:
Saya tidak pasti jikalau kami ada dan pernah bergaduh serta tarik rambut sebab idea kena tolak. *gurau*

Kami bertiga cuba untuk berbincang dengan baik sehingga menemui kata putus yang mutlak. Rasanya, dalam team ini, kami cuba meletak Lokman sebagai leader walaupun sebenarnya kami tidak pernah memutuskan sebegitu. Tapi di dalam sebuah kumpulan, harus ada seorang pemimpin untuk menggerakkan kumpulan itu. Jadi Lokman adalah orang itu di dalam kumpulan ini. Dia akan terus cuba memantau pergerakan kumpulan perisikan kami ini supaya dapat menawan kerajaan negara ini. Siapa yang tidak melaksanakan tugas akan kena tembak. *senyum*

Pendek kata, kami bertiga cuba untuk saling bertoleransi dan macam Lokman cakap, ego pada diri itu harus dibuang ke dalam laut dalam.

Dalila:
Haha. Menarik. Bekerjasama bersama Asmar dan Lokman sangat menyenangkan. Masing-masing bersikap terbuka. Senanglah bekerja dengan mereka berdua ni. Saya memang ‘recommend’ mereka berdua ni. Mereka sentiasa berkongsi idea dan tips. Tambahan lagi, saya masih amatur lagi dalam bidang ini berbanding mereka berdua yang lebih otai, namun memang tiada isu ‘buli’ atau  ‘clash of ideas’. Bagi saya, bersikap terbuka dan bertolak ansur itu memang sangat penting apabila bekerja secara kumpulan.

Apakah antara kebaikan dan juga kelemahan menulis secara berkumpulan? Tentunya anda semua mempunyai pengalaman menarik semasa menghasilkan novel sebegini. Ceritalah sedikit kisah-kisah menarik itu.

Lokman:
Kebaikan menulis secara berkumpulan adalah kita boleh mengeluarkan potensi ketiga-tiga penulis tadi lalu dimuatkan ke dalam sebuah novel. Sebagai contoh, saya memerlukan sentuhan Dalila Dahri dalam novel ini untuk mengeluarkan aspek juvenil watak remaja-remajanya. Asmar Shah pula bagi saya telah memberikan sisi ngeri yang terperinci dalam penulisan ini, yang pada hemat saya, tidak mampu ditulis dari sisi saya selaku penulis.

Kelemahan yang ketara pastinya isu ketidakselarasan. Ia boleh jadi pada plot, watak, dialog, gaya bahasa atau apa saja dalam jalan cerita tadi. Sebaik sahaja Asmar Shah dan juga Dalila Dahri menghantar bahagian mereka, saya mengesan terdapatnya percanggahan ciri-ciri watak yang ditulis. Saya selaku penjahit cerita terpaksa menyemak semula setiap dialog watak-watak tadi agar menampakkan ciri-ciri yang seragam. Masalah begini barangkali boleh dielakkan jika pembentukan watak tadi dibuat pada awal perbincangan.

Pastinya semua sedia maklum, menulis berseorangan itu sendiri sudah cukup sukar. Kini kita menambah lagi tahap kesukaran itu dengan menambah jumlah penulis untuk menghasilkan sebuah novel. Menyatukan kesemua idea dari kesemua penulis dalam satu cerita itu sendiri merupakan cabaran yang menyeronokkan.

Asmar:
Sebenarnya saya hampir berputus asa untuk menghasilkan lagi novel lain apabila masalah yang datang menimpa di dalam kehidupan sangat menyesakkan. Lama saya peramkan manuskrip di dalam komputer riba (entah saya tidak tahu kenapa) sehinggalah terbentuknya kumpulan ini dan saya cuba menulis semula. Jadi apabila mula menulis semula, ayat saya sentiasa tunggang terbalik dan penuh dengan bahasa-bahasa alien yang sukar untuk dimengertikan. Maka, adanya Lokman dan Dalila di dalam menghasilkan novel ini, mereka akan cuba tegur akan kesilapan yang saya buat yang saya sendiri tidak nampak. Di samping itu, mereka terus memberi semangat untuk terus menulis walaupun persaingan tinggi di dalam negara ini, tapi yakinlah ruang dan peluang akan sentiasa ada.

Banyak input yang saya dapat hasil bebelan mereka. Saya syukur dapat berkerjasama dengan mereka berdua yang sangat cool dan tak cepat sentap. Cuma terus-terang cakap, menulis berkumpulan, anda perlu berjumpa face to face. Itu lebih baik. Jadi memandangkan sekuntum bunga di dalam kumpulan ini jauh nun di sana, maka kami berdua harus ke Johor untuk membincangkan apa yang patut kami selesaikan. Mungkin lepas ni, bunga sekuntum tu yang harus datang ke KL pulak. Hahaha.. *gurau…*

Dalila:
Memang banyak cerita menarik. Tambahan lagi ini kali pertama saya menulis secara berkumpulan dan ‘dikelilingi’ oleh otai-otai yang terhangat di pasaran seperti Asmar dan Lokman ni. Ini memang satu peluang yang baik untuk saya untuk  belajar selok belok dunia penulisan, sambil bertukar pendapat dan mencedok tips dari mereka berdua. Disebabkan saya di Selatan tanahair dan mereka berdua di Kuala Lumpur, kami hanya berhubung melalui Whatsapp dan Facebook sahaja. Sehinggakan satu tahap, kami bercadang untuk berjumpa untuk mengemaskan lagi plot cerita ini, ah itulah kali kedua saya berjumpa dengan mereka. Di mana mereka berdua telah datang ke Johor Bahru semata-mata untuk perbincangan ini. Mereka memang ‘best partner’ saya. Terbaiklah orang kata. Bekerja sambil menulis memang mencabar, ditambah waktu saya bekerja tidak menentu, terkejar-kejar tempoh masa yang ditetapkan, syukur dapat ‘team mate’ yang memahami. Memang banyak cerita yang menarik, nak tahu lebih lanjut, jomlah sesekali kita ‘kopi’ sama-sama.

Jika tak keberatan, sudilah kiranya anda bertiga berkongsi beberapa nasihat kepada para penulis yang berminat hendak memulakan projek penulisan berkumpulan. Apa kriteria utama semasa memilih ahli pasukan? Bagaimana kita hendak menimbulkan semangat dan motivasi kepada rakan penulis, lebih-lebih lagi jika rakan penulis itu sudah putus asa menulis dan bercadang hendak berhenti separuh jalan?

Lokman:
Saya menyarankan anda memilih para penulis yang betul-betul berdedikasi pada penulisan dan tidak punya komitmen yang begitu membebankan. Penulis yang terlalu banyak komitmen pada perkara lain akan memberi tekanan kepada rakan-rakan lain lantas membantutkan proses penyiapan manuskrip.

Pilihlah rakan penulis yang fleksibel serba-serbi dari segi kekreatifannya. Jika penulis itu terlalu kaku dan punya set peraturan peribadi yang menjengkelkan dalam penulisan, usahlah diajak menulis bersama. Menulis secara berkumpulan memerlukan kita meletak ego kita ke tepi dan menjulang tinggi muafakat dan sikap bertolak-ansur.

Setiap idea besar untuk penulisan tidak semestinya mampu dipikul oleh semua penulis. Ada idea yang memerlukan kematangan penulis. Ada idea yang memerlukan pengalaman yang lebih. Penulisan novel sejarah misalnya, memerlukan kepakaran dalam aspek fakta yang tinggi. Pilihlah rakan-rakan penulis yang mampu mendukung idea tadi. Ia untuk memastikan karya yang terhasil, terjaga kualitinya.

Setiap penulis tidak berputus asa tanpa sebab. Kenal pasti puncanya dan cuba selesaikan bersama-sama. Beban masalah tersebut harus dikongsi dan dibincangkan agar penyelesaian yang tepat boleh diperolehi. Namun begitu, sekiranya penulis tadi sudah menarik diri, usah dipaksa. Hormati keputusan rakan anda. Penulisan tidak boleh dipaksa.

Asmar:
Pilihlah rakan kumpulan yang tidak punyai sikap hangat-hangat tahi manuk (ayam). Saya tak suka manusia spesies ini. Tak kisahlah dia menulis lambat (macam saya), berfikir lembab (macam saya) atau susah nak dihubungi dan lain-lain, yang penting komitmen itu harus ada. Pilih manusia yang senang dibawa berunding. Jangan pilih penulis yang terkenal dan meletup-letup di pasaran tapi perangai macam hog. Ikut kepala sendiri dan besar kepala. Kumpulan anda tidak akan bergerak ke mana-mana.

Memotivasikan diri? Banyakkan bergaul dengan penulis sama ada bestseller atau tidak. Jangan banyak bergaul dengan penulis muka buku dan twitter saja. Cari penulis yang layan kau dengan baik walaupun kau bukan siapa-siapa. Kalau jumpa penulis kerek yang langsung tak pandang kau sebab kau bukan penulis terkenal dan ‘mr.popular’ dan layan acuh tak acuh bila kau berbual dengannya atau minta pendapat, kau halakan pistol dan tembak kepalanya. Eh gurau! Kau carilah penulis lain. Kat negara ni banyak lagi penulis yang baik dan boleh memberikan inspirasi untuk anda lebih bersemangat menulis. Lokman contoh yang baik. Berkawanlah dengan dia. Itupun kalau dia tak berubah. Hakakaka…

Owh ya, kalau anda ingin menulis, carilah publisher yang betul-betul anda yakin. Ya macam Lejen (mungkin). Yang rasa anda tidak akan dianaktirikan apabila anda bukan penulis bestseller. Jadi pemilihan publisher juga sangat penting. Kalau tidak, anda akan hilang semangat dan tenggelam di dalam lopak kesedihan yang akan membuatkan anda akan pegun di dalam dunia hampa. Lalalala…

Dalila:
Bagi saya, bekerja secara kumpulan ini memang menarik. Banyak perkara yang boleh kita belajar dan kongsi antara satu sama lain. Saya bersyukur kerana mempunyai ‘team mate’ seperti Asmar dan Lokman. Memang terbaiklah. Untuk anda yang berminat menulis secara berkumpulan, carilah mereka yang ada ‘chemistry’ atau ‘sebulu’ dengan diri anda. Mereka ini lah yang  akan mempengaruhi ‘mood’ penulisan anda. Bukan apa, risiko untuk penulisan itu terhenti di pertengahan jalan itu ada. Harap dijauhkanlah perkara seperti itu terjadi. Bagi mereka yang berputus asa itu, tanamkan dalam diri – ‘Jika orang lain berjaya, kenapa tidak aku? Jika orang lain boleh lakukan,kenapa tidak aku?’. Malaysia bolehkan. (ketawa). Untuk capai sesuatu kejayaan itu memang banyak ujian dan kegagalan yang akan kita tempuhi, tapi walau apapun berlaku jangan pernah sekali mengalah. Kuatkan semangat.

~

Jangan lepaskan peluang untuk mengikuti sambungan sesi bual bicara bersama Asmar Shah, Dalila Dahri dan Lokman Hakim minggu depan. Mereka akan membincangkan mengenai watak, latar dan juga mesej penting yang ingin disampaikan melalui novel SaiFai Dua Nyawa itu.

Novel Dua Nyawa boleh dibeli secara atas talian dari laman web Fixi, Lejen Press atau bookcafe.com.my.

Antologi Cerpen Daun Paku Ungu: Wawancara Bersama Penyelaras dan Editor

Cover Daun Paku Ungu

Pena SaiFai telah mewawancara Nurul Azura dan Imaen, masing-masing merupakan penyelenggara dan editor bagi antologi cerpen fiksyen sains dan fiksyen yang terbaru daripada JS Adiwarna, Daun Paku Ungu. Mereka membincangkan bagaimana terbitnya antologi cerpen ini dan berkongsi sedikit pendapat mereka tentang fiksyen sains dan fantasi tanahair. Mari kita ikuti wawancara bersama mereka.

Salam buat saudari Nurul Azura dan saudara Imaen. Terutama sekali saya ingin mengucapkan terima kasih kerana sudi diwawancara oleh Pena SaiFai.
Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada PenaSaifai dan pembaca sekaliannya. Terima kasih kembali kepada Pena SaiFai kerana sudi mewawancara kami untuk antologi cerpen Daun Paku Ungu.

Sebagai permulaan, saya difahamkan walaupun JS Adiwarna pernah menerbitkan buku antologi cerpen dan juga pernah menerbitkan novel fiksyen sains dan fantasi, buku Daun Paku Ungu ini merupakan usaha yang pertama dalam menerbitkan sebuah antologi cerpen bergenre fiksyen sains dan fantasi. Mengapa JS Adiwarna memilih untuk menerbitkan antologi cerpen dalam fiksyen sains dan fantasi, lebih-lebih lagi apabila seringkali disebutkan oleh penerbit yang lain bahawa buku fiksyen sains sukar untuk dijual?
Sebenarnya Daun Paku Ungu bukanlah genre SaiFai/fantasi pertama yang diterbitkan oleh JS Adiwarna. Sebelum ini JS Adiwarna telah menerbitkan beberapa judul genre ini (novel dewasa, remaja dan kanak-kanak). Antaranya, Epik Cinta dari Agia oleh Pingu Toha, Ossieanna oleh Sayidah Mu’izzah, Misi 2050 oleh Hafizul Osman, Saga Aldarian & Saga Aldarian: Nafas Albereth oleh John Norafizan, Beruno oleh Dihsar Ludba Haqifa, dan Lahar dan Berus Ajaib oleh Bam Bam. Tetapi kami mendapati, pasaran untuk genre ini tidak begitu menggalakkan bagi kami untuk aktif menerbitkan karya-karya sebegini.

Namun, tahun lalu rasa kami bagai dijentik-jentik untuk membuat antologi cerpen SaiFai dan fantasi pula rentetan penghasilan antologi cerpen tahunan kami. Untuk kali ini, kami mahu cuba!

Saudara Imaen merupakan seorang penulis yang agak prolifik dan bukunya popular di kalangan pembaca. Buku-bukunya seringkali diberi empat bintang di Goodreads dan novel terkini yang bertajuk Gedebe juga mendapat purata 4.45 bintang. Tetapi beliau lebih dikenali sebagai seorang penulis yang menulis cerita cinta atau mungkin lebih tepat lagi, “general fiction”. Mengapakah beliau dipilih sebagai editor antologi ini?
Sebenarnya, idea awal penerbitan antologi cerpen ini adalah idea Saudara Imaen. Namun, beliau terpaksa menarik diri sebagai penyelaras atas faktor kesihatan. Kemahiran penyuntingan Saudara Imaen tetap kami perlukan walaupun sebagai penulis, beliau bukanlah menulis dalam genre SaiFai/ fantasi.

Cuba senaraikan buku atau filem fiksyen sains yang diminati saudari Nurul Azura dan saudara Imaen? Adakah cerita-cerita itu menjadi inspirasi dalam penulisan sendiri?

Azura: Saya bukan pembaca sai-fai/fantasi sebelum saya diberikan projek ini. Tiga tahun kebelakangan ini saya menumpukan pembacaan saya kepada karya-karya sastera Melayu.

Saya menerima projek ini sebagai cabaran baharu untuk saya. Kemahiran saya adalah buku chick lit, remaja dan kanak-kanak. Genre yang jauh berbeza latar dengan sai-fai/fantasi. Saya umpama Rebecca Bloomwood yang perlu melupakan pusat membeli-belah di New York dan berhijrah ke planet Musytari sambil memakai tong oksigen dan meninggalkan koleksi kasut tinggi berjenama. Namun dengan kenaifan ini, saya belajar menekuni buku dan filem genre ini baik tempatan dan luar negara.

Imaen: Untuk SaiFai/fantasi, saya hanya menonton filem sahaja. Manakala pembacaan, saya lebih suka magic realism seperti tulisan Gabriel Garcia Marquez selain reality socialism seperti tulisan Pramoedya Ananta Toer.

Saya agak terkejut apabila kali pertama melihat buku Daun Paku Ungu ini kerana ia sangat tebal. Tentu peminat fiksyen sains dan fantasi akan teruja dengan buku ini kerana memuatkan banyak cerpen yang menarik. Antologi ini memuatkan 23 cerpen yang ditulis oleh 22 penulis, bilangan yang amat tinggi apabila dibandingkan dengan dua lagi antologi fiksyen sains dan fantasi tempatan, Imagikata, yang hanya memuatkan 16 cerpen dan Cyberpunk: Malaysia, yang hanya memuatkan 14 cerpen. Adakah bilangan cerpen tinggi ini suatu keputusan yang telah dirancangkan awal-awal lagi? Bagaimanakah proses pemilihan karya yang dimuatkan di dalam antologi Daun Paku Ungu ini? Adakah susah untuk editor menyaring dan memilih karya untuk dimuatkan di dalam antologi ini
Iya, kami masih mengingati raut wajah saudara waktu itu. Tidak. Kami tidak menetapkan sebarang jangkaan untuk jumlah cerpen yang akan diterbitkan. Pegangan kami adalah kami perlu dapat cerpen yang berkualiti dahulu. Setelah proses saringan pertama oleh beberapa juri kami, sejumlah cerpen dipilih. Proses pemilihan peringkat pertama menjadi mudah dengan laporan penilaian setiap juri. Daripada itu, penyelaras dan Puan Noor Suraya membuat penilaian kedua untuk mengecilkan lagi bilangan cerpen terpilih. Sehingga akhirnya kami mendapati 23 cerpen layak dikumpulkan dalam sebuah antologi.

Antologi ini mengambil nama daripada cerpen “Daun Paku Ungu” nukilan Norliza Baharom dan ianya juga memberi inspirasi kepada kulit depannya yang sangat menarik. Saya kira ini antara kulit yang unik untuk sebuah buku fiksyen sains dan fantasi. Apakah sebabnya cerpen ini dipilih sebagai tajuk antologi ini?
Pemilihan cerpen Daun Paku Ungu sebagai judul antologi ini bukanlah kerana cerpen ini terbaik dalam kalangan 23 cerpen tersebut. Kami telah menyenaraikan beberapa judul cerpen yang difikirkan sesuai untuk diangkat menjadi “jenama” yang pada akhirnya “Daun Paku Ungu” terpilih untuk mewakili cerpen yang lain. Idea “Daun Paku Ungu” boleh menzahirkan kulit depan yang seimbang antara sai-fai dan fantasi, justeru judul ini dipilih.

Semasa membuat research untuk kulit depan antologi ini, kami maklum dengan nuansa sai-fai/ fantasi. Kami cuba mencari idea yang tidak aneh untuk genre ini dan dalam pada masa yang sama tidak lari daripada ‘gaya’ rumah penerbitan kami.

Apakah harapan untuk saudari Nurul Azura dan saudara Imaen supaya genre fiksyen sains dan fantasi tempatan dapat berkembang?

Azura: Pertama, lebih ramai pembaca baharu SaiFai dan fantasi di Malaysia. Saya amat mengharapkan pembaca fiksyen Malaysia tidak berhenti membaca dan mencari bahan bacaan fiksyen yang lain (jika sudah bosan dengan “novel cinta”!).

Kedua, kepada para penulis sai-fai dan fantasi, jangan putus berkarya.

Imaen: Harapan saya, penulis-penulis SaiFai/ fantasi Malaysia dapat lari daripada terikat dengan acuan Hollywood.

Bolehkah peminat-peminat fiksyen sains dan fantasi mengharapkan lebih banyak lagi antologi serupa ini daripada pihak JS Adiwarna pada masa akan datang?
Insya-Allah. Kami gembira menerbitkan cerpen-cerpen ini dan setakat ini, respons daripada pembaca juga positif. Mudah-mudahan usaha ini berterusan.

Terima kasih kerana sudi menjawab soalan kami! Saya berharap dapat melihat lebih lagi buku fiksyen sains dan fantasi daripada pihak JS Adiwarna, terutama antologi cerpen seperti Daun Paku Ungu pada masa akan datang.
Terima kasih kembali, Pena Saifai!

~

Bagi yang berminat untuk membeli antologi Daun Paku Ungu ini, bolehlah anda membelinya secara atas talian di sini.

Antologi Cerpen Daun Paku Ungu: Cerita di Sebalik Cerita

Cover Daun Paku Ungu

Penerbit JS Adiwarna telah menerbitkan sebuah buku antologi fiksyen sains dan fantasi bertajuk Daun Paku Ungu yang memuatkan sebanyak 23 cerpen oleh 22 penulis. Pihak Pena SaiFai telah mempelawa sepuluh orang penulis daripada antologi ini untuk berkongsikan cerita di sebalik cerita mereka.

Daun Paku Ungu boleh dibeli secara atas talian di sini.

Tina Isaacs – “Menyamar di Tanah Firdaus”

Poster Tina Isaacs

Cerpen “Menyamar di Tanah Firdaus” diterjemahkan daripada cerita bahasa Inggeris yang saya terbitkan pada tahun 2015 dalam antologi Cyberpunk: Malaysia terbitan Fixi Novo dan diedit oleh Zen Cho. Cerita tersebut pernah disenaraikan dalam SciFi Film Festival 2015, suatu festival sains fiksyen dan fantasi antarabangsa yang diadakan di Parramatta, Australia pada tahun yang sama.

Saya mendapat ilham untuk cerpen ini lantaran sering berlegar di kawasan Jalan Tun Perak melihat kemasyhuran lelangit mewah Kuala Lumpur, sambil di bawahnya; di celah-celah longkang dan lorong, bersebelahan Masjid India, wujudnya si daif dan miskin yang kebuluran dan tidak bertempat tinggal. Landasan LRT-lah yang membahagikan mereka. Sebagai penulis, saya sering mengambil idea daripada pemerhatian dan menggunakan teknik hyperbole untuk menulisnya semula:

“Apakah akan berlaku sekiranya cerita ini diperbesarkan, sekiranya kemajuan teknologi tidak lagi menjadi penghalang?”

Dalam mengkaji subgenre cyberpunk, saya tersentuh dengan kisah The Matrix dan Blade Runner yang menunjukkan orang miskin berlawan orang kaya, dikelilingi teknologi. Oleh yang demikian, saya sengaja memilih menggunapakai trope cerita lama ala Pocahontas di mana seorang penguatkuasa dunia kaya dihantar menyeludup ke dunia miskin tapi jatuh cinta dengan alam mereka yang simple, jujur dan erat komunitinya (kita sudah melihatnya dalam filem James Cameron, Avatar). Begitulah timbul cerita “Menyamar di Tanah Firdaus” yang menggunakan latar masa tahun 2089, seorang pasukan polis dimasukkan minda dan aliran kesedarannya menggunakan implan teknologi siberbionik ke dalam tubuh seorang warga miskin. Harap semua enjoy membacanya! Dan, kalau rajin, jemput baca cerita saya yang lain dalam Bahasa Inggeris, seperti tersenarai di laman web www.tina-isaacs.com/titles.

Tany Leia Harris – “Godam”

Poster Tany Leia Harris

Sebelum ini saya sebenarnya tidak pernah membaca atau meminati buku fiksyen sains (tetapi kalau filem suka jugalah). Tulisan sebelum ini semuanya bertemakan seram atau thriller kerana dunia paranormal, berkaitan hantu dan yang pelik-pelik adalah zon selesa saya.

Saya mengambil masa lebih kurang sebulan lebih untuk mencari idea dan memahami dunia cyberpunk. Ketika itulah saya mula menyedari yang saya suka cerita berkaitan cyberpunk dan dunia distopia. Jadi, saya terfikir bagaimana rupanya jika Malaysia menjadi negara distopia yang segala aspek kehidupan dikawal oleh satu kuasa besar bukan badan kerajaan? Yang miskin tidak bercampur dengan yang kaya. Aspek sekuriti dikawal oleh robot android pintar yang kuat. Kehidupan serta ekonomi dikawal di dalam dunia realiti maya. Kanak-kanak pintar diculik untuk diasuh dan dijadikan hamba seumur hidup.

Tetapi apa akan jadi jika “kanak-kanak” itu bersatu melawan kembali kuasa besar tersebut untuk mendapatkan kebebasan yang diingini walaupun tahu risiko besar adalah kematian? Maka terhasillah cerpen “Godam” ini.

Saya ada menyimpan niat untuk memanjangkan cerpen ini menjadi satu novel – jika saya rajin. Namun, banyak lagi yang perlu saya pelajari tentang dunia penulisan SaiFai.

Tany Leia Harris – “Naima 2.0”

Poster Tany Leia Harris 2

Cerpen ini memaparkan kisah seorang suami dan ayah yang sanggup menghabiskan masa bertahun-tahun serta wang yang banyak untuk membina sebuah robot android untuk dijadikan sebagai anak perempuan demi membahagiakan isterinya. Kerana itu juga dia sanggup mengambil risiko termasuk melakukan perkara yang menyalahi undang-undang.

Pada mulanya saya ingin menulis tentang robot android yang dibina untuk dijadikan teman wanita tetapi saya rasa jika ia dibina untuk dijadikan anak adalah lebih menarik. Mungkin kerana saya seorang anak tunggal jadi pada masa kecil saya kerap teringinkan seorang adik atau kakak sebagai teman bermain.

Saya selalu membayangkan betapa seronoknya jika saya dapat membina satu robot android pintar yang berfungsi seperti manusia sebagai teman (ataupun boyfriend). Ini mungkin juga pengaruh besar komik Doraemon yang menjadi obsesi dan hiburan saya setiap malam sebelum tidur satu ketika dahulu.

Aliff Mustakim – “Mimpi Nutcraker”

Poster Aliff Mustakim.jpg

Pada mulanya – dengan berani – saya mahukan seorang perempuan dan sepasang kasut. Tetapi, saya tidak ada kasut kaca atau Cinderella. Saya menulis berdasarkan apa yang saya ada. Saya mulakan dengan mendengar muzik klasikal Tchaikovsky, “The Nutcracker Suite, Op. 71”. Saya menyukai “The Nutcracker” and “The Mouse King”. Di dalamnya, saya ada Marie dan kasutnya! Betapa saya sayang dengan gadis itu. Lalu saya terus menulis.

Saya tidak mementingkan falsafah yang tinggi. Jadi dengan mudah saya dapat menulis cerpen ini. Saya menyenangi konsep asas seperti perhubungan manusia (tidak semestinya cinta). Falsafah akan datang kemudian. Memang kegemaran saya muzik klasikal. Nasib baik bukan mendengar “Overture 1812, Op. 49” yang memiliki ledakan meriam itu. Jika tidak cerpen saya bukan “Mimpi Nutcracker” lagi. Cerpen bertemakan perang, mungkin?

“Mimpi Nutcracker” tidak saya sudahkannya sekadar sebuah cerpen sahaja. Saya sedang melanjutkannya menjadi novel.

Isha Idiaz – “Axondria dari Andromeda”

Poster Isha Idiaz

Idea asal menulis cerpen ini bermula daripada sepotong nama panggilan yang selalu meniti di bibir penulis, iaitu “Axon”. Cerpen ini adalah nukilan khas buat Axon sebagai tanda ingatan yang tidak akan luput ditelan zaman. Dari situlah, cerpen ini dikembangkan menjadi sebuah cerita cinta dari dua dunia yang berbeza.

Bisakah cinta itu dirasai kehadirannya walaupun dua jasad tidak pernah bersua? Benarkah cinta itu kepercayaan yang akhirnya mewujudkan impian? Persoalan inilah yang menggerakkan plot “Axondria dari Andromeda” dari awal hingga ke perkataan tamat. Axondria dan Arabella. Andromeda dan Bima Sakti. Dekat tapi jauh. Mustahil tapi terjadi.

“Axondria dari Andromeda” adalah sebuah nukilan dari hati, buat insan-insan yang mempunyai hati.

Aida Rafan – “Legasi 2.0”

Poster Aida Rafan.jpg

Kebenaran dalam cerita ini adalah realiti kehidupan sebagai seorang penyelidik, perlu memiliki sikap ingin tahu dan mengeksplorasikan pemikiran melangkaui imaginasi. Sementelah saya sedang menyambung pengajian dan menjadi penyelidik secara automatik. Saya hanya memandai-mandai dalam pembikinan cerita pendek ini sebenarnya.

Bermula daripada menyaksikan kekerapan fenomena gerhana bulan dan matahari yang berlaku kebelakangan ini, saya ingin membawa pembaca melihat dengan lebih jauh lagi. Bukan hanya pada fenomena yang berlaku tetapi di mana diri kita pada saat itu. Memasukkan elemen konsep fizik dan sains dalam cerita ini dengan harapan supaya generasi muda yang betah melawan arus kini kenal yang kehidupan di dunia ini bersandarkan prinsip dan realiti. Bukan fantasi semata-mata.

Sekali lagi, saya hanya memandai-mandai dalam memandaikan bangsa. Selamat membaca!

John Norafizan – “Selari”

Poster John Norafizan

Sejujurnya saya memang amat meminati sesuatu yang bersifat paranormal yang berasaskan sains dan teori fizik. Siapa yang tidak tertarik dengan idea bahawa di “dunia lain” di “dimensi berlainan”, anda sebenarnya adalah seorang adiwira atau presiden negara yang berkuasa atau selebriti yang dipuja umat manusia?

Kewujudan dunia selari atau parallel universe adalah sesuatu yang sering diperdebatkan oleh saintis dan pengkaji para-normal. Malah, ada sesetengah saintis arus perdana, menggunakan penaakulan mantik serta pengiraan matematik, “berjaya” membuktikan kewujudan “dunia lain” di sekitar kita.

Sudah tentu, ia masih lagi bersifat abstrak dan bukan sesuatu yang objektif. Dan sesuatu yang bukan objektif dan masih belum dibuktikan secara ilmiah adalah sesuatu yang menarik untuk diterjermahkan menjadi karya SaiFai. Kerana itu, saya cuba mengetengahkan plot ini di dalam “Selari”.

Selari mengambil idea daripada “cerita lelaki Taured” yang ditahan di Lapangan Terbang Haneda, Tokyo sekitar tahun 60-an di mana lelaki itu membawa pasport sebuah negara bernama Taured yang tidak ada di muka bumi. Daripada idea ini, saya mengolahnya dengan acuan versi Melayu, agar menjadi sesuatu yang lebih manis dan dekat dengan pembaca di Malaysia.

Walaupun cerpen ini adalah cerita penglipur lara abad ke-21, tetapi siapa tahu suatu masa nanti kita akan benar-benar menemui “dunia selari” di sekitar kita?

Muhammad Muhaimin – “Zahratul Hamra’”

Poster Muhammad Muhaimin.jpg

Saya menulis “Zahratul Hamra’” ini setelah usai menukang cerpen prekuelnya, “Sab’atul Mafatih” yang memenangi tempat kedua Sayembara Cerpen Sekolah Menengah DBP pada tahun 2011 (malangnya karya pemenang-pemenang sayembara tersebut tidak diantologikan atas sebab-sebab tertentu). Watak utama dan tema yang mendasari kedua-dua cerita ini tetap sama – kisah advencer dua orang adik-beradik kembar menghadapi satu misi untuk menyelesaikan suatu masalah dalam kehidupan berlatarbelakangkan dunia berteknologi canggih – tahun 2027.

Kisah obsesi saya terhadap watak kembar ini bermula sedari darjah enam lagi ketika saya begitu minat menguliti novel bersiri Kembar Terpilih oleh Meor Shariman. Obsesi itu bertambah-tambah apabila saya berada di sekolah menengah kerana saya mempunyai sahabat kembar seiras. Maka, atas kesempatan itu, mereka menjadi  inspirasi kepada penukangan kisah pengembaraan sepasang kembar bernama Syed Muhammad Ammar dan Syed Muhammad Aiman.

Namun, selain kegembiraan mengabadikan nama sahabat-sahabat saya dalam karya, perkara yang lebih penting adalah isu perbincangan pokok yang wujud dalam cerpen-cerpen saya. Bagi saya, adalah kewajipan bagi setiap tulisan saya untuk tidak dinaratifkan tanpa tanggungjawab dan kematangan. Justeru, dalam “Sab’atul Mafatih”, saya memberatkan tentang isu tanggungjawab manusia terhadap alam sekitar manakala dalam “Zahratul Hamra’” pula, perbincangan dasarnya adalah tentang perjuangan anak muda dalam dunia siasah yang mencabar. Daripada segi bahasa, pantun yang dikarang adalah asli dan mengikut piawai ciri-ciri sebuah pantun yang saya pelajari khusus untuk menukang cerpen ini. Begitu juga dengan bahasa Arab yang saya selitkan (termasuk tajuk cerpen) yang juga dipelajari khusus sebelum mengarang.

Menerokai tema SaiFai ini, saya akui masih mentah dan tulisan ini mungkin hanya tulisan biasa kepada ramai pembaca. Namun saya percaya, dalam apa-apa jua keadaan pun, kita wajar mencabar diri dari semasa ke semasa dan berani mencuba bereksperimen untuk mengenali potensi diri dengan lebih mendalam.

Saya tujukan cerpen ini kepada sahabat-sahabat saya yang banyak memberi inspirasi dan dorongan kepada saya dalam berimaginasi. Tapi, bersiap sedialah, kerana mungkin selepas ini nama kalian juga akan saya “mangsa”kan. Jangan berhenti berimaginasi, kerana mimpi yang kecil bisa menjadi cita-cita yang besar dan menjadi realiti.

Hafizul Osman – “Kronikel Rikishi”

Poster Hafizul Osman

Jika anda pernah membaca novel Misi 2050 terbitan JS Adiwarna, anda akan dapat melihat ada sedikit pengaruh cerpen “Kronikel Rikishi” daripada novel itu terutamanya latar masa 2050 dan apa yang berlaku pada zaman itu.

Saya berfikir masyarakat Malaysia dan Melayu mempunyai keupayaan untuk menghasilkan sesuatu yang extraordinary dan penghasilan perisai magnetik itu dengan tangan sendiri adalah sesuatu yang “wow”. Cumanya pembinaan perisai itu adalah menangkis serangan musuh (Baca: Barat dalam cerpen itu) yang gila menjarah tanah orang lain.

Cumanya setiap kejayaan yang ingin kita hasilkan pasti ada dalang yang merosakkan. Dan dalan setiap cerita pasti dalangnya.

Norliza Baharom – “Daun Paku Ungu”

Poster Norliza Baharom.jpg

Semenjak berazam untuk menulis, saya punya tabiat suka mengarang premis di dalam kepala yang biasanya bermula dengan “Bagaimana jika…?”

Ketika mendapat idea untuk menulis “Daun Paku Ungu”, saya berimaginasi sendirian – Bagaimana jika seorang gadis yang punya kisah lahir yang sedih, yang sedang bergelut dengan zaman dewasanya kerana dia tidak punya sesiapa dan tidak mudah percaya pada manusia, ditakdirkan Tuhan untuk bertemu dengan seseorang yang istimewa dengan cara yang paling tidak dapat diterima akalnya?

Dari situlah bermulanya kisah Marisah yang tidak menyangka daun paku ungu yang dipetik dan dibawanya bakal mengubah laluan hidupnya.

AttOkz Dikulgai – “Koloni Banyu Suci Perwitosari”

Poster Attokz Dikulgai.jpg

Sejujurnya ini cerpen lama. Saya sudah tulis 12 tahun yang lepas. Terinspirasi pada kejadian tsunami yang melanda Acheh 2004.

Banyak sekali filem atau novel sains fiksyen mengambil latar luar daripada sistem bumi atau di ruang vakum angkasaraya. Jadi saya cuba untuk berimaginasi jika terdapat koloni dalam lautan di bumi sendiri. Dan nuansanya lebih kepada berbau nusantara – lalu saya memilih Keraton Jawa (ketika itu saya asyik meledani pembacaan terhadap naskhah Babad Tanah Jawa).

Maka terhasillah “Koloni Banyu Suci Perwitosari” ini yang bererti “Penempatan Air Suci Kehidupan”.

~

Cover Daun Paku Ungu_front

Bagi yang berminat untuk membeli antologi Daun Paku Ungu ini, bolehlah anda membelinya secara atas talian di sini.

Majlis Pelancaran Novel Fantasi “Aristokra” oleh Ahmad Patria di PBAKL 2016, 8 Mei 2016

IMG_4327

Pada 8 Mei 2016, majlis pelancaran novel fantasi terbaru karya Ahmad Patria telah berjaya dilancarkan secara rasmi di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2016 di Malaysia Agro Exposition Park Serdang (MAEPS).

Novel terbarunya, Aristokra, yang diterbitkan oleh Penerbit X, mengisahkan seorang puteri bernama Melyn ien Sarra iea Nashrain, dan Aristokra yang dimaksudkan di dalam judul buku ini. Beliau harus menempuh cabaran dalam naungannya sebagai pemerintah sebuah negara kecil jauh ke utara Aurora. (Baca ulasan kami di sini.)

Majlis telah dimulakan dengan sebuah ucapan oleh Ahmad Patria, yang sempat berterima kasih kepada peminat-peminatnya yang datang beramai-ramai memeriahkan majlis ini. Kemudian majlis pelancaran itu disempurnakan apabila seorang peminat daripada Orde Wizra (penyokong-penyokong Ahmad Patria) memberikan kepadanya sebuah replika besar buku Aristokra untuk ditandatangani.

Majlis itu diakhiri dengan sebuah forum yang bertajuk “Sains Fiksyen: Konten, Pasaran, dan Adaptasi Menjadi Filem bersama Ahmad Patria, Fadli Al-Akiti, dan Roshfaizal“.

IMG_4343

Dari kiri: Asri Yussof (moderator), Ahmad Patria (pengarang Aristokra), Roshfaizal (penerbit filem), Fadli Al-Akiti (editor Dewan Sastera)

Pihak Pena SaiFai sempat merakam forum ini dalam bentuk audio dan pembaca kami dapat mendengar perbincangan forum itu di sini:

(Maaf, kualiti suara agak kurang memuaskan dalam 8 minit terakhir kerana turunnya hujan lebat pada ketika itu.)

~

Aristokra

~ Baca wawancara Fadli Al-Akiti bersama Ahmad Patria di sini.

~ Baca ulasan Lokman Hakim tentang novel Aristokra di sini.

~ Novel Aristokra dapat dibeli secara atas talian di BookCafe.

Sesi Wawancara Sofa Putih ITBM bersama Lokman Hakim di PBAKL, 2 Mei 2016

Wawancara Sofa Putih

Sesi Wawancara Sofa Putih ITBM di PBAKL pada 2 Mei 2016 ini membicarakan proses penulisan novel Jepun, tetapi saya ditanya bertubi-tubi perihal obsesi saya pada menulis itu tadi. Saya ditanya perihal mengapa saya berterusan menggalakkan rakan-rakan penulis menulis fiksyen sains. Mengapa mahu menulis karya fiksyen sains dan bukannya karya-karya genre lain?

Baik, mungkin saya tidak menjelaskan dengan cukup terperinci ketika soalan itu diutarakan tambahan pula saya tidak berapa selesa apabila berada di depan orang ramai, membicarakan perihal buku-buku yang saya karang.

Saya melihat landskap dunia penulisan lokal yang menggunakan medium berbahasa Melayu itu umpama kekurangan warna dan objek. Jika hendak digambarkan ia selaku sebuah rumah, maka kita akan lihat rumah itu umpama stor kepada dua atau tiga objek yang membentuk majoriti. Ada minoriti sipi-sipi tersorok di bucu dinding dan hampir-hampir hilang ditelan objek-objek yang memenuhi rumah itu.

Rumah itu begitu padat. Sangat padat dan menanti masa untuk meletup. Namun objek-objek di dalamnya sama dan mirip-mirip sahaja sifatnya, tidak bervariasi, tidak begitu enak dilihat, tidak begitu berseni.

Boom!

Rumah itu meletup. Objek-objek yang kononnya sama sifatnya berselerakan. Bertebaran di sebuah padang besar dengan bongkah-bongkah rumah yang meletup tadi turut mewarnai landskap itu. Namun begitu, tidak ada orang berebut-rebut meratah objek-objek yang berserakan itu, kerana nilai harganya di pasaran global rendah dan tak berbaloi dibeli.

Saya kecewa. Saya kutip setiap objek-objek itu. Saya warnakan kembali dengan elemen-elemen asing yang akan meningkatkan nilainya di mata pasaran global. Namun saya penat, saya seorang manusia kerdil dan objek-objek ini begitu banyak sekali dan saya yakin, sebelum saya sempat mewarnakan 100 buah objek yang serupa, saya akan tumbang kepenatan dan mati.

Faham?

Rumah itu adalah dunia sastera kita. Objek-objek itu pula mendukung pelbagai makna seperti genre-genre popular dalam negara kita, buku-buku yang sama tema dan jalan ceritanya dan juga cerita-cerita aneh yang memerlukan sentuhan kreatif agar dibukukan.

Lokman Ted

Naskhah Jepun ini, dan novel-novel saya yang lain, khususnya yang bergenre fiksyen sains dan fantasi baru-baru ini, merupakan warna-warna lain yang saya cuba terapkan agar ia boleh dihargai oleh pembaca-pembaca luar dari kelompok rakyat Malaysia ini.

0 Cover Simulasi Full

Cover Selestial FullMungkin bukan untuk dekad ini, ataupun abad ini. Saya tidak kisah.

Saya menulis untuk masa depan. Saya menulis untuk orang-orang kita di hari esok yang barangkali hanya akan kenal nama saya melalui sejarah. Namun ia impian semata-mata. Boleh jadi juga nama saya akan dilupakan dan diabaikan. Adakah ia penting? Entah, saya hanya tahu, saya suka menulis dan akan terus berkarya tanpa henti. Tanpa dorongan dari luar. Satu obsesi yang tiada ubatnya.

Tidakkah ia kedengaran romantis dan indah?

~

LokmanHakim

Lokman Hakim adalah jurutera awam untuk pelbagai kontraktor pembinaan dari 2007 sehinggalah sekarang. Mengambil jurusan kejuruteraan awam di Universiti Teknologi MARA dari tahun 2005 sehingga 2007. Daripada tahun 2007 sehingga 2011, beliau merupakan seorang pemuzik yang cuba memahami manusia dengan muzik. Kini beliau lebih gemar menonton kelakuan manusia-manusia di kopitiam-kopitiam merata Lembah Klang selaku rujukan untuk penulisan karya-karyanya. 

Telah menulis dengan Roman Buku, FIXI, Buku Hitam Press dan Lejen Press setakat ini. Harapan beliau adalah untuk terus-menerus berkarya biar dalam bentuk apa sekalipun, kerana baginya, imaginasi itu tiada batasan langsung.

Novel Selestial boleh dipesan melalui Whatsapp seperti maklumat di bawah.

Promosi Thukul Bersekutu

Cerpen SaiFai Lokman Hakim bertajuk Arca Kehidupan dimuatkan di dalam Antologi Cerpen X-traordinari Imagikata. (Baca Di Sebalik Tabir: Antologi Cerpen X-traordinari Imagikata)

Imagikata Cover

Antologi Cerpen X-traordinari Imagikata boleh dibeli secara atas talian di Bookcafe.com.my.

Fahmi Mustaffa dan Lokman Hakim: Pengarang Avant Garde Dalam Fiksyen Sains

Sempena berlangsungnya Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2016 dan juga kelahiran dua novel SaiFai terbaru terbitan Simptomatik Press, Pena SaiFai telah memutuskan untuk menyiarkan artikel berkaitan dua penulis hebat – Fahmi Mustaffa dan Lokman Hakim sepanjang minggu ini.

Fahmi Mustaffa muncul dengan karya SaiFai terbarunya bertajuk Suatu Hari Nanti Manusia Akan Melupakan Tuhan. (Tag: Minggu Fahmi Mustaffa)

Lokman Hakim pula muncul dengan karya SaiFai bertajuk Selestial. (Tag: Minggu Selestial)

Salam,

Pada awal Januari, dalam rencana saya yang pertama untuk Pena SaiFai, saya ada menyebut tentang beberapa orang penulis, yang secara tidak langsung, mewujudkan sebuah “gerakan” menulis fiksyen sains yang “menghembuskan nafas baru dan membangunkan semula saifai negara“.

Pada ketika itu, penulis yang bernama Fahmi Mustaffa masih belum menerbitkan buku fiksyen sainsnya, Suatu Hari Nanti Manusia Akan Melupakan Tuhan, tetapi saya sudahpun membaca zinenya, iaitu Renaisans, yang memuatkan cerpen-cerpen avant garde yang pada kiraan saya merupakan protoidea yang akan berbuah menjadi idea-idea yang akan dimuatkan ke dalam novelnya. Alhamdulillah, lima bulan kemudian novelnya yang sophomore ini akhirnya berjaya diluncurkan di PBAKL 2016 baru-baru ini.Cover SHNMAMTFahmi Mustaffa merupakan seorang penulis yang sangat tinggi kebolehannya. Jika anda tidak pernah membaca novel atau cerpennya, membaca rencana-rencananya di Pena SaiFai pun sudah cukup untuk kita rasa kagum dengan kebolehannya menganyam perkataan menjadi sesuatu yang gah dan menakjubkan.

Manakala Lokman Hakim pula sudahpun dikenali umum sebagai seorang penulis yang sangat prolifik. Di kalangan penulis-penulis tempatan, memang namanya dikaitkan dengan penulisan yang pantas. Pelbagai gelaran diberikan kepadanya termasuk “alien” dan “penulis yang menyeramkan”.

FB Zaki

Ini mungkin kerana, dengan ajaibnya, kualiti karyanya tidak terjejas walaupun beliau menulis dengan rancak. Karyanya yang diterbitkan baru-baru ini, iaitu Simulasi, telah ditulis dalam masa tiga minggu sahaja, seperti yang dicatatkan beliau di dalam rencananya, “Kronologi Mengarang Novel SaiFai Simulasi“. Tidak hairanlah jika penulis lain agak segan dengan kebolehannya menyiapkan naskhah novel dalam masa yang amat singkat.0 Cover Simulasi FullSaya memilih untuk memberi sedikit sorotan ke atas kedua-dua penulis ini–bukan kerana mereka berdua berkongsi penerbit Simptomatik di PBAKL pada tahun ini–tetapi kerana pada pendapat saya, mereka berdua ini berada di barisan hadapan sekali di kalangan pengkarya fiksyen sains tempatan dalam “pushing the boundaries of science fiction“. Mereka mengorak langkah dalam menulis fiksyen sains yang bercorak baru dan avant garde. Karya-karya mereka membuktikan bahawa karya tempatan fiksyen sains bukan buku picisan yang hanya mampu dihadam kanak-kanak sahaja malah saya rasa tidak keterlaluan jika kita golongkan karya-karya mereka ini ke dalam khazanah kesusasteraan negara.

Anda fikirkan ini semua hanya kata-kata hiperbola sahaja? Mungkin. Tetapi saya percaya, jika bukan sekarang, maka pada suatu hari kelak, mereka akan diterima sebagai sasterawan yang tersohor, walaupun mereka menulis karya fiksyen sains. Pada suatu hari nanti, fiksyen sains akan diterima sebagai genre sastera yang boleh diterima dengan serius.

Izinkan saya menarik perhatian anda kepada cerpen Fahmi Mustaffa yang dimuatkan di dalam antologi fiksyen sains, Imagikata yang bertajuk “Pantomim”. Cerpen ini menggunakan teknik skrip pentas untuk mempersembahkan ceritanya dan ia digunakan dengan sangat jayanya. Ditulis dengan nada yang sinis, terselit pula dengan mesej-mesej halus yang tersirat, ia suatu cerpen yang pada pendapat saya, harus dibaca oleh bukan sahaja peminat fiksyen sains, tetapi juga peminat dan penyokong sastera.

Pantomim

Kebetulan pula, di dalam novel Selestial, (oh, spoiler warning!) Lokman Hakim juga menyelitkan teknik skrip pentas ini di dalam novel itu dan sebuah bab dikhususkan sepenuhnya sebagai sebuah skrip pentas.Cover Selestial FullSkrip pentas ini menjadi pelantar bagi penulisnya mempersembahkan suatu perbincangan yang tidak mungkin boleh berlaku dalam penceritaan biasa maka beliau menggunakan teknik ini untuk membawa pembaca keluar dari “aliran cerita” melihat kisah di dalam novel ini dari suatu sudut yang lain.

Mungkin ada yang tertanya, apa yang istimewa sangat buat cerita fiksyen sains pakai skrip pentas ini?

Mungkin mereka bukan antara penulis yang pertama melakukannya (dalam dunia SaiFai Malaysia, mungkin mereka yang pertama, saya tidak pasti) tetapi kesanggupan mereka bereksperimentasi dan kejayaan mereka membawa hasil yang baik dalam pengolahan cerita menggunakan teknik-teknik yang dieksperimen itu perlu dipuji dan diangkat.

Yang istimewanya ialah mereka antara yang berani bereksperimen dengan pelbagai teknik kesusasteraan untuk menyampaikan cerita. Mereka berani mencuba teknik baru, melakukan “literary gymnastics” yang mempesonakan.

Sebab inilah saya mengangkat penulis Fahmi Mustaffa dan Lokman Hakim sebagai penulis-penulis avant garde fiksyen sains Malaysia yang membawa SaiFai tempatan mara ke hadapan. Semoga mereka terus berusaha menulis dan memberi kita, sebagai pembaca, banyak lagi karya-karya fiksyen sains yang hebat.

~

Cerpen SaiFai Fahmi Mustaffa bertajuk Pantomim dan cerpen Lokman Hakim bertajuk Arca Kehidupan dimuatkan di dalam Antologi Cerpen X-traordinari Imagikata. (Baca Di Sebalik Tabir Imagikata: Pantomim oleh Fahmi Mustaffa dan Di Sebalik Tabir: Antologi Cerpen X-traordinari Imagikata.)

Imagikata Cover

Antologi Cerpen X-traordinari Imagikata boleh didapati di PBAKL di booth PTS dan juga boleh dibeli secara atas talian di Bookcafe.com.my.

peta-lokasi-klibf

Kunjungi reruai Simptomatik Press di Booth A3094 – A3095 (Thukul Bersekutu) di PBAKL untuk mendapatkan buku-buku SaiFai terbaru mereka.

Buku Baru Simptomatik Press

Novel Selestial dan Suatu Hari Nanti Manusia Akan Melupakan Tuhan juga boleh dipesan melalui Whatsapp seperti maklumat di bawah.

Promosi Thukul Bersekutu