Novel “Cahaya Dari Andromeda” Mengangkat Ilmu Astronomi dan Teknologi

Cahaya dari Andromeda

Tajuk Buku: Cahaya Dari Andromeda
Pengarang: Rosli Mohamad Ali
Penerbit: Dewan Bahasa dan Pustaka
Tahun Terbitan: 2016
Halaman: 522
Harga: RM30.00

Sinopsis:

Razali terlibat untuk menyelesaikan satu kes pembunuhan yang telah berlaku lebih sedekad yang lalu. Peristiwa pembunuhan yang terancang itu sengaja disembunyikan supaya kekal menjadi rahsia. Pelbagai halangan dan dugaan yang dihadapinya semasa misi penyiasatan tersebut. Namun, segala halangan itu menjadikan Razali lebih kuat untuk menemukan titik penyelesaian. Walau bagaimanapun, Razali dalam dilema apabila nyawa neneknya turut dipertaruhkan. Razali seperti mahu mengalah. Dia tidak sanggup mengorbankan satu-satunya insan yang disayanginya demi menyempurnakan hasratnya. Mampukah Razali bertahan? Dapatkah Razali merungkai kemelut yang tersimpan begitu lama demi maruah keluarganya?

Novel fiksyen sains Cahaya dari Andromeda ini telah berjaya memenangi tempat kedua dalam Sayembara Menulis Novel & Skrip Drama Kanak-kanak & Remaja DBP 2010, Kategori Remaja 13-15 tahun.

Bidang astronomi dan penciptaan teknologi menjadi pilihan penulis sebagai tema untuk novel ini. Ia ditulis dari kaca mata seorang budak lelaki berumur 17 tahun bernama Razali yang merupakan seorang pelajar yang pintar dalam persekolahannya. Razali kehilangan kedua orang tuanya sejak kecil dan menetap bersama neneknya. Pada sebelah siang, Razali menjalani kehidupan sebagai seorang pelajar biasa, namun menjelang waktu malam, dia akan menyelinap keluar dari rumah agar dapat menjejakkan kaki ke Balai Cerap Biduk di kemuncak Bukit Kasuar. Di situ, Razali berpeluang membantu Dr. Nazri menjalani penyelidikan dan juga mendalami ilmu astronomi yang sangat diminatinya.

“Sekarang mari kita jalankan tugas. Emm..apa yang nak aku buat dulu ni?” Razali berfikir sejenak. Seketika kemudian dia ke bilik kawalan teleskop angkasa. Ia dibina khas untuk mengawal teleskop yang merupakan nadi kepada balai cerap. Dengan menggunakan mesin itulah bumi mampu melihat ke galaksi-galaksi yang berada beribu tahun cahayanya. Teleskop itu akan menangkap cahaya yang dapat dikesannya dan ditukar kepada imej bewarna yang menunjukkan  rupa bentuk galaksi atau apa saja objek angkasa yang dapat dikesannya. Terlalu banyak keajaiban angkasa. Tidak tercapai akal manusia untuk ke sana. Tidak tergapai ilmu manusia untuk melangkah ke galaksi-galaksi itu. Terlalu jauh. Seribu kali kematian dan kelahiran pun belum tentu sampai ke sana. 

(Petikan daripada Cahaya dari Andromeda)

Novel ini menghantar dengan jelas rasa kekaguman kepada alam semesta ciptaan Tuhan, di mana watak utamanya sering berdialog dan bermonolog mengenai keindahan bintang-bintang, planet-planet dan juga galaksi yang bertebaran luas di serata angkasa. Segala rasa takjub ini dihadirkan dengan kesedaran bahawa Allah SWT yang berkuasa atas segala sesuatu, sempurna mengaturkan hukum alam yang kompleks seperti yang dinyatakan dalam Surah Al A’raaf, ayat 54:

“Sesungguhnya Tuhan kamu ialah Allah yang telah menciptakan langit dan bumi dalam enam masa, lalu Dia bersemayam di atas ‘Arsy. Dia menutupkan malam kepada siang yang mengikutinya dengan cepat, dan (diciptakan-Nya pula) matahari, bulan dan bintang-bintang (masing-masing) tunduk kepada perintah-Nya. Ingatlah, menciptakan dan memerintah hanyalah hak Allah. Maha Suci Allah, Tuhan semesta alam.”

Watak Razali sesuai dijadikan model insani buat para remaja kerana peribadinya yang cekal, sikapnya yang berdaya saing dan juga pemikirannya yang inovatif. Bukan sahaja pintar dalam pelajaran, Razali giat memikirkan cara untuk memperbaiki kehidupan manusia, salah satunya adalah dengan mencipta sebuah mesin pengurai sampah kategori teknologi hijau. Ciptaannya itu berjaya meraih tempat pertama dalam Pertandingan Rekacipta Peringkat Kebangsaan pada tahun sebelumnya.

Untuk Pertandingan Rekacipta Peringkat Kebangsaan pada tahun itu, Razali mendapat ilham untuk mencipta sebuah mesin yang boleh mengurangkan peratusan karbon dalam udara. Namun demikian, halangan datang bertubi-tubi buat Razali disebabkan perbuatan pelbagai pihak yang dengki dengan kejayaannya. Banyak sekali cubaan sabotaj yang terpaksa dihadapi oleh anak muda ini, kesemuanya berisiko untuk menyebabkan dia tersasar dan mengalami kegagalan.

“Kenapa nampak sedih malam ni?” tanya Dr. Nazri.

“Mana tak sedih mesin saya. Mesin yang sama-sama kita buat tu dah kena curi.”

“Bila?” Nada suaranya menyarakan seolah dia tidak percaya akan kejadian yang berulang lagi itu.

“Malam semalam.” Dr. Nazri terdiam. Apa perasaan dia sebenarnya?

“Sebenarnya saya tak terperanjat. Ini semua disebabkan naluri primitif manusia kan? Cemburu? Dengki? Sakit hati? Dendam? Semuanya membawa kemusnahan.”

“Mana doktor tahu?”

“Kawan sendiri yang curi kan?”

“Betul, rakan sekolah sendiri. Memang dia dah lama tak puas hati. Mungkin sebab saya selalu kalahkan dia dalam pelajaran.”

“Kecewa amat kecewa, tapi benda dah berlaku. Awak nak bina kembali mesin tu?”

“Kalau boleh, sebab dah ada tawaran dari syarikat tenaga yang saya beritahu doktor hari tu.”

“Ambil masa, barang-barang ganti yang lain tu tak susah nak cari tapi mesin mengurai dan menghancurkan karbon tu bukan mudah nak dapat tapi tak apa saya sedia tolong awak bina semula mesin tu. Lagi pun itu idea awak.”

“Saya dah banyak menyusahkan doktor.”

“Saya tak keberatan untuk bersusah payah demi kebaikan umat manusia. Cuma manusia yang sukar memahaminya.”

(Petikan daripada Cahaya dari Andromeda)

Dr. Nazri merupakan seorang watak yang baik dan berperanan sebagai ‘father figure’ buat Razali. Saintis itu banyak membantu Razali dalam penciptaan mesin penguraian karbon, malah sering menitipkan kata-kata nasihat dan perangsang kepada Razali. Dr. Nazri menekankan bahawa “tugas saintis ialah menjadikan sesuatu lebih baik, mencipta sesuatu yang membawa manfaat kepada kehidupan dalam bidang sains.”

Dr. Nazri juga digambarkan sebagai seorang yang penuh dengan aura misteri, malah sering menggunakan ungkapan aneh seperti “kebaikan umat manusia”, “planet biru” dan “sebelum aku pergi dari sini.” Pembaca dapat mengenali karakter Dr. Nazri yang sebenar pada penghujung cerita ini, di mana misteri kehadiran Dr. Nazri dalam hidup Razali akhirnya terjawab dalam sebuah pengakhiran yang cukup memuaskan.

Berikut adalah sebahagian dari penutup novel ini, di mana watak ‘ayah’ itu adalah Razali yang sudah dewasa dan berkeluarga.

“Ayah kita nak ke mana ni?” Anaknya tak sabar-sabar menanyakan lokasi yang ditujui keluarganya. Dalam fikirannya jika keluar malam tentu mereka akan ke tempat-tempat yang hebat. Mungkin perjalanan malam itu agak baru baginya.

“Adalah…tempat rahsia…” Kereta itu sampai ke kemuncak bukit. Di situ masih tersergam balai cerap yang sudah semakin usang. Ayah dan ibunya memasuki balai cerap itu meninjau-ninjau keadaannya. Sejak ditinggalkan oleh penjaga terakhirnya ia dibeli Razali untuk tujuan pemeliharaan khazanah negara. Dia mengotakan janjinya menggunakan kekayaannya untuk kebaikan.

“Awak masih ingat peristiwa dulu.” Ayahnya bertanya ibunya. Ibunya mengangguk setuju. Ayahnya mencari tempat yang sesuai untuk keluarganya duduk menunggu.

“Apa yang kita tunggu ni mak?”

“Satu cahaya dari galaksi yang sangat jauh.”

“Cahaya apa ayah?” Ayahnya memandang anaknya yang mewarisi sifat ingin tahunya yang tinggi itu.

“Cahaya dari dunia yang sangat jauh. Cahaya dari Andromeda.” Ayahnya memandang ibunya dengan senyuman. Senyuman yang menghiasi hidupnya selama ini. Mereka sama-sama memandang ke angkasa. Menantikan cahaya itu.

(Petikan daripada Cahaya dari Andromeda)

Cahaya Dari Andromeda merupakan sebuah novel fiksyen sains yang sesuai untuk remaja dan menawarkan kelainan dari segi muatan sainsnya, dengan mengangkat kepentingan ilmu astronomi serta penciptaan mesin teknologi untuk menangani isu-isu alam sekitar. Penulis merupakan seorang peminat sains dan ilmu angkasa, dan ini jelas terserlah dengan kemasukan fakta-fakta serta muatan ilmu yang dijalin padu mengikut kesesuaian di dalam naskhah ini.

Semoga penulis akan meneruskan usaha penulisannya bagi menyemarakkan lagi dunia fiksyen sains di negara ini.

Wawancara Bersama Rosli Mohamad Ali, Bahagian 3

Cikgu Rosli + Books Edited

Pena SaiFai pada hari ini akan meneruskan sesi wawancara dengan Cikgu Rosli, kali ini bagi membincangkan novel fiksyen sains Katalis Neurogenesis. Novel ini telah berjaya memenangi tempat kedua dalam Sayembara Novel Fiksyen Sains & Teknologi UTM-Kumpulan Utusan Musim Ke-4. Bahagian satu dan dua boleh dibaca di sini.

Katalis Neurogenesis-Cover

Sinopsis Katalis Neurogenesis:

“Mengapa pula aku tidak mampu melakukannya? Kejayaan sudah berada di depan mata. Inilah penamatnya. Penamat kepada perjuangan dan impian yang sia-sia. Impian yang mahu mengawal minda manusia dan mengeksploitasi pemikirannya.”

Kata kunci dalam sinopsis ini adalah ‘mengawal minda manusia’. Apa yang Cikgu Rosli boleh jelaskan lebih lanjut tentang Katalis Neurogenesis? Mengapa Cikgu Rosli memilih untuk mengemukakan subjek kawalan minda dalam novel ini?

Terima kasih Pena SaiFai atas kesudian mewawancara saya bagi buku ini. Bayangkan sebuah dunia tanpa manusia. Pastinya segala kegilaan yang melanda dunia sekarang tidak akan berlaku. Ya manusia diberikan kepercayaan menjadi khalifah di muka bumi. Manusia dikurniakan akal yang tidak dianugerahkan kepada organisma yang lainnya namun segala kegilaan di dunia sekarang ini baik dari peperangan, pencemaran dan kemusnahan alam adalah disebabkan oleh manusia. Dari mana datangnya kemusnahan ini? Tidak lain tidak bukan ialah dari minda manusia sendiri.

Sebagai contoh peperangan yang berlaku berpunca dari percambahan pelbagai ideologi yang lahir dari minda manusia. Komunisme, sosialisme, nasionalis, demokrasi, oligarki, fasis dan pelbagai istilah lagi yang cukup menyenakkan pemikiran. Manusialah sebenarnya organisma yang paling merbahaya dalam dunia kerana disebabkan merekalah dunia hampir musnah.

Hal ini diperkuatkan lagi oleh klasifikasi sebuah zoo di Rep. Cezh yang meletakkan homo sapiens sebagai spesies yang paling merbahaya sekali dalam dunia. Mujur di dalam kandang itu tiada spesimen manusia. Sekali lagi saya mengetengahkan idea bagaimana jika minda manusia ini boleh dikawal dari melakukan perkara yang sebenarnya merosakkan dunia? Dari situlah lahirnya idea yang kemudiannya saya kembangkan dalam novel ini.

Katalis Neurogenesis berkisar tentang kepentingan teknologi nano, di mana nanocip KN 86 BE (Katalis Neurogenesis) berupaya memulihkan kecederaan sel-sel saraf tunjang untuk membolehkan manusia menggunakan semula deria yang hilang fungsinya. Bukan itu sahaja, Cikgu Rosli memasukkan banyak unsur sains seperti penggunaan tenaga gelombang elektrogamma dan mengaitkannya dengan bidang kejuruteraan biomedikal. Apakah rujukan dan juga inspirasi yang Cikgu Rosli gunakan untuk menulis novel ini?

Sama seperti novel terdahulu, penulisan saya banyak dipengaruhi oleh rancangan dokumentari dan pembacaan bahan berkaitan sains. Dalam satu rencana berkaitan teknologi nano, pihak saintis nano di Amerika Syarikat sedang melakukan kajian bagaimana untuk menghasilkan robot kecil bersaiz nano yang boleh dikawal dan diarahkan menuju ke sel-sel yang mengalami deformiti akibat kanser. Sel-sel ini kemudiannya dimusnahkan melalui pancaran laser robot-robot nano ini yang dijana melalui haba badan manusia. Hebat bukan? Mereka meramalkan bahawa robot nano ini sungguh kecil hinggakan ianya akan menjadi sebesar virus dan mampu melekap pada sel-sel hemoglobin atau sel darah merah yang kemudiannya mengalir ke kawasan yang menjadi tumpuan untuk dipulihkan.

Bayangkan jika teknologi ini berjaya dihasilkan, apakah kemungkinan nanti ia juga mampu dialirkan ke kawasan medula oblongata, serebrum atau sereblum manusia seterusnya mencari impuls-impuls neuron yang boleh diterjemahkan dalam bentuk aksara juga visual pada skrin komputer. Sekaligus memberikan ruang dan peluang kepada saintis untuk mengetahui akan apa yang bermain dalam minda manusia. Bagaimana jika mereka menemui cara untuk menentukan gelombang neuron itu menghasilkan arahan-arahan tindakan yang dimahukan mereka?

Katalis Neurogenesis tidak hanya memfokuskan pada bidang sains, tetapi turut menyelitkan unsur kesenian dengan menggunakan pembayang lukisan-lukisan seperti The Four Horseman of the Apocalypse, Eden (Firdausi) & Israfil Si Peniup Sangkakala. Mengapa Cikgu Rosli memilih untuk mengetengahkan gambaran ini?

Ketika Oppenheimer menyaksikan letusan bom atom yang dihasilkan oleh pasukan saintis Amerika, beliau menzahirkan perasaan sedihnya itu dengan sepotong ayat dari kitab Hindu. Seorang pakar fizik terulung dunia mampu mengingati sesuatu yang tiada pun perkaitan dengan kejadian besar yang berlaku ketika itu. Unsur sastera yang membugar bilamana dirinya dikelilingi oleh kegilaan kuantum fizik. Bukankah itu sesuatu yang indah? Bukankah itu memaparkan keperibadiannya yang cukup holistik?

Mengetahui kedua dunia yang kelihatannya cukup sukar untuk wujud bersama sastera – sains. Mengapa tidak saya mewujudkan watak sebegitu dengan memasukkan unsur kesenian yang dilihat akan membuatkan rancangan penguasaan dunia itu akan lebih kelihatan bergaya atau melankoli berbanding arahan terus yang disampaikan di meja perancangan perang? Menggunakan metafora yang hanya segelintir manusia sahaja yang memahaminya.

Four Horsemen

Saya percaya mereka yang membacanya pasti akan cuba mencari imej The Four Horseman of the Apocalypse, Eden (Firdausi) & Israfil Si Peniup Sangkakala untuk melihat sendiri imej yang menjadi perlambangan dalam penulisan ini.

Berikut adalah Laporan Penghakiman Musim Ke-4 berkenaan Katalis Neurogenesis:

“Kepelbagaian warna watak dan perwatakan dalam naratif menyumbang kepada kekuatan karya. Watak-watak dinamik seperti Dr. Ng Kim Chiew, Dr. Mikhail, Dr. Idka, bahkan Prof. Nazri juga mengukuhkan – bukan sahaja jalan cerita, tetapi juga, membulatkan idea yang diketengahkan. Sebagaimana yang disebut bahawa tujuan sesuatu ciptaan adalah untuk kebaikan sebagaimana yang dipancarkan melalui watak Dr. Irfan sebaliknya jika disalahgunakan ia memudaratkan.”

Adakah Cikgu Rosli merancang plot penceritaan dan membina semua watak-watak untuk novel ini sebelum menulis?

Seperti yang saya katakan sebelum ini bahawa saya bukan seorang penulis profesional. Saya tidak punya blue print yang perlu dipatuhi sebagaimana seorang jurutera pembinaan. Konsep penulisan saya sebenarnya cukup mudah. Saya menekankan cara penulisan berbentuk naratif. Apabila saya sudah selesai sesuatu bab maka saya akan bertanya pada diri saya. Bagaimana selepas ini? Apa yang perlu ditambah agar jalan ceritanya kelihatan menarik? Mungkin saya merancang dan melaksanakan rancangan itu tanpa sedar. Mungkin kaedah pembinaan watak saya itu saya lakukan tanpa sedar.

Dalam kedua-dua naskhah Nafkhatul Faza dan Katalis Neurogenesis, Cikgu Rosli banyak mengemukakan naratif berbentuk dialog. Ada pembaca yang tidak gemar dengan persembahan sebegini, tetapi dalam dunia penulisan kreatif, tidak ada rule khusus dalam mempersembahkan hasil penulisan. Setiap penulis bebas melahirkan gaya penulisan dan pemikirannya yang tersendiri. Teknik naratif berbentuk dialog boleh dianggap sebagai satu seni yang unik, malah berupaya mengangkat Cikgu sebagai seorang penulis yang lain daripada yang lain. Adakah ini satu bentuk penulisan yang sengaja dilakukan agar ia menjadi trademark tersendiri buat Cikgu?

Tiada manusia di dunia ini yang punya cap jari yang sama. Walaupun kembar. Fakta ini tidak mungkin boleh disangkal lagi. Penulis begitu juga. Tiada yang sama cara penulisannya. Saya anggap penulisan novel itu sama seperti menghasilkan sajak. Setiap penulis dengan gaya dan cara yang tersendiri. Tidak ada rule yang nyata.

Pembaca boleh sahaja membaca karya-karya saya yang terdahulu. Dari manuskrip pertama sehinggalah sekarang kebanyakannya adalah bersifat naratif, monolog dan dialog. Mengikut sesetengah pakar yang mempertikaikan karya saya bahawa gaya sedemikian adalah satu bentuk yang cukup membosankan. Namun itu adalah cara dan gaya saya menulis.

Bagi sesetengah orang pelukisan watak dengan menggunakan kata-kata itulah essence dalam penulisan, tetapi cuba kita berikan peluang kepada monolog dan dialog sebagai satu cara pelukisan watak. Bukankah ayat-ayat deskriptif itu lebih mudah disusun berbanding dialog yang mana memerlukan seseorang itu menghayati watak dan meletakkan dirinya dalam situasi tersebut. Istilah ‘aku’ sebenarnya sedikit sebanyak dapat membuatkan pembaca dekat dengan jalan cerita. Membuatkan mereka seolah-olahnya berada di dalam situasi yang dinyatakan.

Laporan panel hakim sayembara ini punya ciri persamaan dengan laporan terdahulu iaitu ketika Sayembara Fiksyen Sains Angkasa yang menekankan kekuatan karya yang banyak menggunakan kaedah monolog sebagai satu cara yang dapat mendekatkan watak pada mereka yang membacanya.

Sebagai penutup, sudilah kiranya Cikgu Rosli berkongsi rancangan Cikgu dalam bidang penulisan. Adakah Cikgu akan terus menyumbangkan karya untuk menyemarakkan dunia fiksyen sains di tanah air? Mungkinkah Cikgu akan mengembangkan sayap dan menulis novel dalam Bahasa Inggeris, atau sastera, atau bukan fiksyen?

Sehingga kini saya telah menghasilkan 24 manuskrip. 16 daripadanya berbentuk fiksyen sains. Dari jumlah itu sebuah diterbitkan oleh Buku Prima (HaikalHaziq), satu oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (Cahaya Dari Andromeda) dan dua oleh Utusan Publications / UTM Press (Nafkhatul Faza dan Katalis Neurogenesis).

Ada empat manuskrip pada Buku Prima yang masih menjalani proses penilaian (Orchis Aurelis, Walit E, Solusi 4R dan Siti Serenia) kesemuanya adalah genre fiksyen sains manakala manuskrip Najwa bergenre misteri dan How’zat Umpire adalah bertemakan sukan kriket.

Empat karya yang memenangi sayembara Dewan Bahasa dan Pustaka juga masih belun diketahui nasibnya. Manuskrip itu bertajuk Aurora Morgana, Lepidoptera Europa, Petaka Prisma dan Kudeta Titania. Kesemuanya bergenre fiksyen sains. Manakala manuskrip Kerongsang Embok Nyamek yang bergenre misteri dan sejarah dan Mata Merah Kera Hantu yang bertemakan misteri dan alam semulajadi masih dalam proses penilaian dan editorial. Kesemuanya diselenggarakan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka. Karya yang tertolak kini dinilai pula oleh seorang penulis fiksyen sains jika ianya boleh diterbitkan oleh penerbit yang lain pula.

Manuskrip yang tidak saya nyatakan di sini barangkali akan saya gunakan pada masa hadapan. Siapa tahu mungkin untuk sayembara seterusnya. Saya akan terus menyumbangkan penulisan genre fiskyen sains ini demi menjadikan genre ini berdiri sama tinggi dengan genre-genre yang lainnya. Saya mahu melihat suatu hari nanti muncul sebuah filem blockbuster di Amerika Syarikat yang mana idea asal cerita itu ialah idea anak tempatan kita (yang diadaptasi dari novel barangkali).

Saya juga mahu melihat anak tempatan menggondol ‘Nobel Peace Price’ dalam penulisan genre fiksyen sains iaitu Nebula dan Saturn Award. Saya juga turut menulis cerita kanak-kanak dalam Bahasa Inggeris namun masih kabur akan peluang untuk saya menerbitkannya. Saya juga akan menulis serta mungkin menterjemahkan manuskrip saya ke dalam bahasa Inggeris untuk menjadikannya lebih bersifat antarabangsa.

Saya akhiri temuramah ini dengan petikan lagu kegemaran saya…

you’re a winner for a lifetime

if you seize that one moment in time

make it shine

then in that one moment of time

I will be free…

Terima kasih Cikgu Rosli di atas sesi temubual ini!

~

Esok: Ikuti ulasan untuk novel Cikgu Rosli bertajuk Cahaya Dari Andromeda terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka. Novel ini telah memenangi tempat kedua dalam Sayembara Menulis Novel & Skrip Drama Kanak-kanak & Remaja DBP 2010, Kategori Remaja 13-15 tahun.

Wawancara Bersama Rosli Mohamad Ali, Bahagian 2

Mari kita ikuti sambungan sesi wawancara bersama pemenang Sayembara Novel Fiksyen Sains & Teknologi UTM – Kumpulan Utusan (Sayembara SaiFai) Musim Ke-4, Rosli Mohamad Ali. Bahagian satu boleh dibaca di sini.

Cikgu Rosli + Menteri Pendidikan

Baiklah, untuk sesi ini, kami akan membicarakan buku-buku Cikgu Rosli yang memenangi Sayembara SaiFai Musim Ke-4 dengan lebih khusus.

Izinkan kami memulakannya dengan sinopsis dari Nafkhatul Faza:

“Iris mataku meliar memandang ke sana dan ke mari mencari tanda-tanda kehidupan yang dikesan malam tadi. Namun, setakat ini tiada secebis kesan pun yang kelihatan pada deria. Yang ada hanyalah sisa-sisa bangunan pencakar langit yang terpacul keluar sebahagiannya, seolah-olah melawan ombak pasir yang cuba melemaskannya.”

Melalui sinopsis ini, kita mendapat sedikit bayangan bahawa novel ini berkisarkan konsep pencarian. Boleh Cikgu Rosli nyatakan dengan lebih lanjut mengenainya?

Di dalam kehidupan ini kita manusia sering melakukan kesalahan. Kecil dan besar. Antara lupa juga sedar. Sebagai seorang Islam yang terdidik dengan konsep dosa dan pahala, syurga dan neraka maka kekadang terpanggil juga untuk menyelitkan unsur ini dalam penulisan. Bukankah kita sewajibnya berdakwah akan agama kita biar pun dalam ruang yang sekecil cuma.

Pencarian dalam novel ini memang menjadi satu elemen pembinaannya. Watak seolah-seolah mencari sesuatu yang telah hilang dalam hidupnya (di saat keimanannya kian rapuh dek ujian hidup yang datang merempuh). Saya andaikan bahawa watak sebenarnya mencari sesuatu yang dapat mengembalikan keyakinan dirinya untuk menyelamatkan bumi dari dimusnahkan oleh teknologi yang dihasilkannya sendiri (kapal-kapal terra forming).

Dengan menemui apa yang dicari maka proses kemusnahan yang tidak diingininya akan terhenti dan dia tidak akan dipersalahkan jika bumi termusnah buat sekian kali. Ia juga punya jambatan perkaitan dengan konsep ketuhanan. Ia wujud tetapi cukup sukar dibuktikan. Bagaikan bayu yang menyelubungi diri. Tetapi tidak dapat dilihat dengan mata kepala sendiri.

Harus diingat bahawa sains sudah terlalu lama dimomokkan sebagai sesuatu yang lebih mendampingi hukum logika berbanding hukum segalanya terjadi disebabkan oleh Tuhan Yang Maha Esa. Jadi dengan memasukkan unsur sebegini maka sekurang-kurangnya kita dapat membuatkan pembaca kembali terfikir bahawa wujud kuasa yang lebih besar dari logika iaitu Tuhan yang mengawal segala-galanya.

Nafkhatul Faza adalah sebuah karya yang sarat dengan falsafah dan metafora. Malah, kejadian merak api yang menimpa manusia dikaitkan sebagai sebuah peringatan Tuhan, seperti petikan berikut:

 “Tetapi bukankah merak api sendiri sebenarnya api neraka yang dihantar oleh Tuhan kepada manusia atas dosa-dosa yang dilakukan oleh manusia? Ada sesetengah yang mengatakan yang suria itulah neraka sebenarnya.”

“Benar tetapi ia bukannya kiamat. Kerana jika kiamat sebenar yang berlaku maka kau dan aku tidak akan berbicara di kemuncak dunia ini. Kiamat lebih dahsyat daripada apa yang telah manusia alami selama 500 tahun ini. Tiada manusia pernah mengalami betapa dahsyatnya kiamat itu. Hanya gambaran-gambaran yang diberikan di dalam kitab suci al-Quran. Itu sahaja. Lagi pun segelintir manusia yang terselamat terus hidup dan membiak sehingga ke hari ini. Meninggalkan keturunan manusia untuk belajar daripada kesilapan yang pernah dilakukan oleh nenek moyang mereka. Maksudnya Tuhan masih menyayangi akan umat manusia. Memberikan mereka ruang dan peluang untuk terus hidup walaupun bukan lagi di dunia mereka. Abdul-Laits meriwayatkan dengan Sanad daripada Abu Hurairah r.a, Rasulullah s.a.w. pernah bersabda:

“Ketika Allah s.w.t. telah selesai menjadikan langit dan bumi, Allah s.w.t. menjadikan sangkakala dan diserahkan kepada Malaikat Israfil, maka ia meletakkannya di mulutnya melihat ke Arsy menantikan bilakah ia diperintahkan.” Saya bertanya: “Ya Rasulullah, apakah shur (sangkakala) itu?” Jawab Rasulullah s.a.w.: “Bagaikan tanduk dari cahaya.” Saya bertanya lagi: “Bagaimana besarnya?” Rasulullah s.a.w. menjawab: “Sangat besar bulatannya, demi Allah yang mengutuskanku sebagai Nabi s.a.w. besar bulatannya itu seluas langit dengan bumi, dan akan ditiup hingga tiga kali iaitu pertama Nafkhatul faza’ (untuk menakutkan), Nafkhatus sa’aq (untuk mematikan) dan Nafkhatul ba’ats (untuk menghidupkan kembali atau membangkitkan).”

“Jelas bahawa apa yang sedang kita hadapi sekarang ini bukanlah kiamat sebagaimana yang dipercayai oleh manusia yang telah sesat di luar sana. Semua ini ialah peringatan bahawa manusia jangan sesekali melawan hukum Tuhan. Tetapi biar sehebat mana pun kemusnahan yang diturunkan, Tuhan masih mahu memberikan peluang kepada manusia. Sebagaimana yang dapat kita lihat sekarang. Sedikit demi sedikit manusia sudah semakin hampir untuk kembali ke bumi. Seolah-olah manusia telah selesai menerima ujian daripada Ilahi.”

(Nafkhatul Faza, halaman 98-99)

Bagaimana Cikgu Rosli mendapat idea untuk mengaitkan perkara-perkara ini dengan peristiwa sebelum kiamat, dan mempersembahkannya pula dalam bentuk fiksyen sains?

Imaginasi barangkali. Di dalam Al-Quran banyak dinyatakan fakta-fakta sains yang berjaya dibuktikan kebenarannya oleh saintis barat. Lengkap dengan pengukuran sumatifnya melalui kaedah pengiraan yang tepat. Fakta ini terdiri dari pelbagai bidang baik biologi, astronomi malahan fizik. Mereka yang mengkajinya bukanlah ahli sufi namun terdiri dari mereka yang berlainan agama juga ateis. Tetapi akhirnya mereka mengakui kebenaran Al-Quran itu sendiri. Unsur agama boleh dijadikan suatu unsur yang melakonli dalam penulisan dan saya menggunakannya untuk menambahkan lagi kelunakan penulisan itu dengan sumber yang tidak boleh disanggah lagi – kalimah Ilahi.

Ada konsep yang amat berlainan dan boleh dikatakan satu cubaan yang sangat berani yang telah ditampilkan dalam Nafkhatul Faza, di mana watak utama sedang bergelut dengan kewarasan dirinya bila mendengar suara-suara yang datang dari dimensi berbeza. Rujuk:

“Di mana kalian semuanya? Tunjukkan diri kalian. Agar semua persoalan yang sering bermain di fikiran akan menemui noktah jawapan,” bisik hatiku. Cuba menenangkan diriku yang sedang sesat dalam kegelapan itu. […]

“Aku dengan imaginasiku. Siapa pula yang mampu menggangguku di sini kecuali imaginasi liarku ini,” ujarku. Seolah-olah memperlekehkan dimensi yang tidak dapat dilihat manusia itu, aku sekali lagi terdengar bisikan. Jeritan dan rintihan yang menyedihkan.

(Nafkhatul Faza, halaman 122-123)

“Aku cukup yakin bahawa itu bukan sekadar imaginasi. Adakah kemungkinan mereka di dunia sana cuba berkomunikasi dengan kita di dunia fana ini? Memberitahu kita sesuatu barangkali?”

(Nafkhatul Faza, halaman 132)

“Roh tidak sekali-kali boleh berubah kepada bentuk yang lain.”

“Ke mana pula roh itu pergi ayah?”

“Mengikut agama kita roh masih berada bersama tubuh kita di alam barzarkh. Alam ketiga dalam perjalanan hidup manusia sebelum dibangkitkan semula di padang Mahsyar.”

(Nafkhatul Faza, halaman 143)

Alangkah menariknya bila Cikgu Rosli melahirkan kemungkinan bahawa manusia pada zaman akan datang boleh mendengar suara dari alam kematian. Bilamana sesuatu masyarakat itu semakin maju, maka perkembangan teknologi membolehkan mereka menerobos ke dunia yang terletak di dimensi berbeza.

Memikirkan kejadian itu, kita tidak tahu sama ada mereka yang boleh mendengar suara orang mati ini akan menjadi orang yang insaf, takut atau gila. Ke mana perginya roh manusia yang telah meninggalkan tubuh tumpangan? Pergi ke alam barzakh, suatu tempat yang tidak tercapai oleh akal. Hanya Tuhan yang mengetahui dimensi itu. Apa yang terlintas dalam fikiran Cikgu Rosli semasa menulis mengenai perkara ini?

Saya sentiasa bermonolog. Berfikir itu dan ini. Sering mengutarakan persoalan dalam diri. Bagaimana jika….? Mungkinkah…? Mengapa begitu…? Persoalan-persoalan sebegini akhirnya membibitkan idea bagaimana jika manusia di dimensi ini mampu bicara dengan mereka yang berada di dimensi sana. Pasti banyak rahsia yang mampu diceritakan mereka.

Bukankah sudah banyak kejadian misteri yang berlaku bilamana suara-suara dari dimensi yang tidak dapat dicapai pancaindera manusia mampu membimbing manusia dalam menjalani kehidupan bahkan hingga mampu menjalankan pembedahan. Alam roh sesuatu yang cukup misteri. Tiada siapa yang tahu. Mengapa tidak saya ketengahkan konsep baru sebegitu? Mengadunkan unsur mistik dengan fakta-fakta sains. Lihat bagaimana dengan cerita Event Horizon. Hebat teknologi manusia tetapi tidak melawan kuasa yang tidak kelihatan (makhluk api yang memusuhi manusia). Bagaikan seorang maestro yang mengadunkan pelbagai nota muzik yang akhirnya melahirkan gema dan bunyi yang infiniti.

Watak Dr. Irfan telah kehilangan segala-galanya, ahli keluarga, tempat tinggal di Bumi, malah diserang penyakit yang bakal meragut nyawanya tidak lama lagi. Pembaca dapat merasai kesedihan dan depresi yang dialami Dr. Irfan, dan ini membuatkan pembaca menyokong semangat perjuangan beliau untuk kembali ke Bumi. Dalam pada itu, terdapat pula kehadiran suatu frekuensi misteri seperti berikut:

“Apa kandungan frekuensi itu? Apa bunyinya?”

“Apa kandungan bunyinya tidak dapat dikenal pasti. Bunyinya langsung tidak punya persamaan dengan segala bentuk bunyian yang terkandung dalam rekod yang kita miliki. Tetapi aku percaya ia adalah sejenis bunyi. Lihat corak frekuensi ini.”

Aku kembali meneliti. Coraknya bagaikan corak nyanyian. Suara barangkali. Namun siapa pula yang mampu menyebarluaskan bunyi yang sedemikian? Tidak mungkin lima pilon yang berada di bumi ini yang menghasilkannya. Kerana sistem komunikasi semua pilon sudah lama berubah dan tidak lagi menggunakan corak frekuensi yang dinyatakan Izmer. Jelas ia teknologi yang pernah digunakan oleh nenek moyang dahulu. Soalnya dari menara komunikasi mana pula mereka pancarkan frekuensi itu. Kesemua menara komunikasi manusia yang pernah berdiri megah suatu ketika dahulu pasti telah mencair semuanya menjadi debu dek kepanasan suar suria yang dahsyat itu.

(Nafkhatul Faza, halaman 77)

“Dalam jam bumi?”

“Waktu kemunculannya secara tepat tidak dapat dinyatakan cumanya ia hadir dalam lingkungan waktu di antara 0430 hingga 0530, 1145 hingga 1245, 1500 hingga 1600, 1745 hingga 1845 dan 1930 sehingga 2030.”

 (Nafkhatul Faza, halaman 154)

Watak di dalam Nafkhatul Faza langsung tidak mengenali frekuensi itu. Cikgu Rosli juga tidak meletakkan dengan jelas apa sebenarnya frekuensi itu, sebaliknya membiarkan pembaca mendalaminya dan membuat kesimpulan sendiri. Apakah ada sebab untuk Cikgu Rosli tidak menyatakannya? Apa yang sebenarnya ingin Cikgu Rosli sampaikan mengenai manusia di zaman akan datang yang langsung tidak mengenali bunyi azan?

Sekali lagi ianya menyentuh akan soal keagamaan. Sudah diperingatkan dengan jelas oleh Nabi Besar Junjungan bahawa di akhir zaman nanti agama sudah tidak menjadi keutamaan lagi. Apatah lagi dengan konsep sains yang cukup degil memisahkan dirinya dari hukum agama. Dalam erti kata lain sains itu cukup sekular.

Siapa tahu pada masa hadapan nanti pegangan agama menjadi semakin longgar hinggakan manusia sudah tidak mampu melaksanakan hal-hal yang asas termasuklah berjemaah ketika solat. Tidak peka akan masa-masa kewajipan itu dilaksanakan sepenuhnya. Atau barangkali saya mahu mempamerkan bahawa manusia ketika itu sudah melupakan kitaran masa konvensional yang berlaku di bumi berbanding dengan dunia tumpangan mereka yang pastinya menggunakan kaedah pengiraan yang lain pula. Kemungkinan yang berlaku pada masa akan datang cukup infiniti.

Alangkah indahnya bila naskhah Nafkhatul Faza meletakkan kemungkinan bahawa semua roh manusia yang telah mati akhirnya akan kembali ke bumi, biar pun jasad mereka dikebumikan di merata tempat, termasuklah di penghujung galaksi.

Cikgu Rosli meletakkan bayangan bahawa pada zaman akan datang, biar pun manusia sudah berjaya menakluk dan merantau jauh ke seluruh alam semesta, mereka akan tetap kembali ke tempat asal kewujudan mereka, kembali ke dunia yang menjadi asas binaan mereka dahulu – tanah. Dari manakah Cikgu Rosli mendapat bayangan seperti ini?

Idea ini sebenarnya saya garap ketika menulis Aurora Morgana dengan menggunakan pelukisan kapal misteri bernama KM Barzakh. Kapal ini menempatkan jutaan jasad manusia yang telah mati dan menanti agar jasad mereka bersatu dengan dunia yang menjadi asal kejadian mereka – bumi. Kapal ini dikendalikan krew yang cukup misteri. Mereka hadir setiap kali berlaku kematian. Saya gunakan semula idea ini dalam Nafkhatul Faza.

Ideanya timbul bilamana saya melihat salah satu imej galaksi yang terpapar dalam laman sesawang NASA. Terfikir saya ketika itu (berbalik pada monolog diri…bagaimana kalau?) jika manusia sudah mati katakan jasadnya di lingkaran Kuiper. Adakah rohnya akan kembali ke bumi. Bagaimana jika ya? Idea ini turut datang rentetan pengalaman ketika tinggal di Vietnam. Kita sering diingatkan bahawa jumlah tentera Amerika yang hilang ketika peperangan di sana ialah lebih kurang 2,000 orang tetapi ramai yang lupa bahawa Vietnam kehilangan lebih 200,000 tenteranya yang dianggap sebagai MIA (Missing in Action).

Salah satu cara mencari mayat mereka ialah dengan menggunakan kaedah psikik (dan dalam sesetengah kes mereka berjaya). Percaya atau tidak angkatan tentera mereka punya satu jabatan khusus mengesan tentera mereka yang hilang dengan menggunakan kaedah ini. Saya berkesempatan berbual dengan veteran mereka dan mereka menyatakan bahawa sebab mengapa ahli keluarga mereka yang mati tetapi tidak ditemui sering menerima bayangan dalam mimpi akan rintihan mereka adalah kerana jasad mereka yang tidak dapat pulang ke tanah air mereka. Bagaimana jika manusia pada masa akan datang juga begitu? Mahu kembali semula ke tanah asal mereka walaupun terkorban jutaan cahaya jauhnya.

Watak dalam Nafkhatul Faza, Dr. Irfan menjadi keliru bila mendapati satelit pengimbas telah berjaya mengesan kewujudan spesies homo sapien di bumi, sedangkan bumi masih belum selamat untuk didiami.

Paling menghairankan, pada saat frekuensi misteri itu muncul, terdapat tanda menunjukkan kemunculan homo sapien itu menjadi lebih galak, seolah-olah frekuensi itulah yang membawa nyawa kepadanya. Homo sapien itu bergerak menuju satu destinasi. Lihat:

“Bermaksud satelit ini berjaya mengesan haba manusia yang sedang berlegar-legar di koordinat ini,” ujar Izmer lagi. Identifikasi spesies itu kelihatan kekadang muncul, kekadang hilang dari skrin radar. Seolah-olah sedang mengelak daripada pancaran imbasan yang dipancarkan oleh satelit berkenaan.

(Nafkhatul Faza, halaman 80)

“Tetapi semua tompokan merah yang melambangkan mereka itu seolah-olah sedang bergerak ke arah sesuatu.”

“Maksud kamu seolah-olahnya mereka punya destinasi?”

“Begitulah jika mengikut pemahamanku. Pergerakannya tidak bersifat rawak. Imej imbasan itu bergerak ke satu arah, namun sehingga kini aku tidak tahu titik destinasi yang dituju.”

(Nafkhatul Faza, halaman 82)

Di penghujung cerita, pembaca diberi pengakhiran yang cukup memuaskan bila Dr. Irfan akhirnya berjaya sampai ke destinasi yang disebutkan. Namun, kita tidak diberitahu tentang nasib Dr. Irfan dan juga masa depan bumi selanjutnya.

Sekali lagi, Cikgu Rosli tidak meletakkan penutup dengan jelas, sebaliknya membiarkan pembaca membuat kesimpulannya sendiri. Adakah Cikgu Rosli sudah merancang hendak menutup jalan cerita Nafkhatul Faza dengan sebegitu sekali?

Mungkin sukar dipercayai bahawa penutup novel ini telah saya fikirkan terdahulu berbanding pembukaannya. Dari situ saya kembangkan jalan ceritanya. Bagaimana watak boleh sampai ke destinasinya? Apa halangan yang perlu dihadapinya? Songsang kan? Tapi itulah gaya saya barangkali.

Sepertimana saya diajar ketika di alma mater saya dahulu. Komander perang yang memenangi pertempuran yang mustahil dimenangi ialah orang yang berfikir secara unconventional. Lihat sahaja taktik Jeneral Nathan B. Forest ketika Perang Saudara Amerika. Sehingga kini taktik unconventional dikaji oleh graduan West Point.

Saya sentiasa mengimpikan penutup yang membuatkan pembaca tertanya-tanya. Sekali lagi saya kembali pada hobi saya. Menonton filem. Sudah banyak filem yang saya tonton tetapi filem Castaway lakonan Tom Hanks merupakan filem yang paling saya gemari. Mungkin ratusan kali menontonnya tetapi tidak pernah puas. Lihat penutupnya.

“You look lost…” kata wanita yang peramah itu.

“I do?” tanya Tom Hanks.

Wanita itu kemudiannya menceritakan ke mana destinasi yang boleh dituju oleh Tom Hanks melalui jalan-jalan d di simpang itu.

“Good luck…” kata wanita peramah itu.

“Thank you…” kata Tom Hanks.

Dia kemudian berdiri di tengah-tengah persimpangan. Kemudian senyum ke arah perginya trak wanita itu. Sehingga kini kita tertanya-tanya adakah dia akan pergi semula ke rumah wanita itu dan membuka kandungan kotak yang tidak kita ketahui hingga kini kandungannya. Itulah perumpamaan yang saya berikan ketika menulis penutup novel ini. Penuh pertanyaan. Ada kawan saya meneka yang watak utama memang mati. Ada juga sebaliknya. Terpulang kepada pemahaman pembaca.

~

Esok, Cikgu Rosli akan membicarakan pula novel beliau yang berjaya memenangi tempat kedua dalam Sayembara SaiFai Musim Ke-4, Katalis Neurogenesis. Sama-sama kita nantikan!

Wawancara Bersama Rosli Mohamad Ali, Bahagian 1

Pena SaiFai kali ini berpeluang menemubual seorang pengarang fiksyen sains yang banyak memenangi anugerah dalam bidang penulisan, Cikgu Rosli Mohamad Ali.

image.jpg

Di sini disertakan biodata Cikgu Rosli:

Nama: Rosli Bin Mohamad Ali

Umur: 41 Tahun

Tempat lahir: Batu Pahat, Johor Darul Takzim

Menetap: Segamat, Johor Darul Takzim

Latar belakang pendidikan:

  • SK LKTP Kemelah Segamat Johor 1985-1989
  • SMK Tenang Stesen Segamat Johor 1989-1993
  • SMK Dato’ Bentara Dalam Segamat Johor 1994-1995
  • Ijazah Sarjana Muda Sastera (Kepujian) Jabatan Pengajian Asia Tenggara & Sejarah Universiti Malaya
  • KPLI Maktab Perguruan Raja Melewar, Negeri Sembilan Darul Khusus.

Pekerjaan: Guru

Latar belakang penulisan:

Terlibat dengan dunia penulisan sejak di kampus lagi dalam penulisan buletin kelolaan Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya PMIUM. Mula menulis secara serius pada akhir tahun 2009.

Senarai karya:

  1. Haikal Haziq, Buku Prima, Karangkraf 2013.
  2. Misteri But No. 5, Buku Prima Karangkraf 2014.
  3. Kaiten Tanjung Hitam, Dewan Bahasa dan Pustaka 2015.
  4. Cahaya Dari Andromeda, Dewan Bahasa dan Pustaka 2016.
  5. Nafkhatul Faza, UTM Press-Utusan Publications 2017.
  6. Katalis Neurogenesis, UTM Press-Utusan Publications 2017.

Anugerah penulisan:

  1. Sayembara Menulis Novel & Skrip Drama Kanak-Kanak & Remaja DBP 2010.
  • Kedua, Cahaya Dari Andromeda, Kategori Remaja 13-15 tahun.
  • Saguhati, Mata Merah Kera Hantu, Kategori Kanak-kanak 9-12 tahun.
  1. Peraduan Mengarang Pantun Pendidikan Untuk Penjawat Awam (KPM) Puspanita-DBP 2013.
  • Saguhati 1 (Sepuluh Pantun).
  1. Sayembara Menulis Novel Sains Angkasa DBP 2013/2014.
  • Pertama, Aurora Morgana, Kategori Remaja.
  • Ketiga, Lepidoptera Europa, Kategori Remaja.
  • Saguhati, Kudeta Titania, Kategori Remaja.
  • Saguhati, Petaka Prisma, Kategori Remaja.
  1. Sayembara Novel Fiksyen Sains &Teknologi UTM-Kumpulan Utusan Musim Ke-4 2015/2016.
  • Pertama, Nafkhatul Faza.
  • Kedua, Katalis Neurogenesis.

Salam, Cikgu Rosli. Pertama sekali, kami dari pihak Pena SaiFai ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Cikgu Rosli kerana berjaya menggondol dua hadiah utama dalam Sayembara Novel Fiksyen Sains & Teknologi UTM-Kumpulan Utusan (Sayembara SaiFai) Musim Ke-4.

Cikgu Rosli melangkah bergaya dengan membawa pulang hadiah bernilai RM25,000 untuk dua novel fiksyen sains bertajuk Nafkhatul Faza (menang tempat pertama RM15,000) dan Katalis Neurogenesis (menang tempat kedua RM10,000). Inilah pertama kali dalam sejarah sayembara ini, seorang penulis memenangi dua hadiah utama dan ini merupakan suatu pencapaian yang sangat membanggakan.

image (1)

Sebagai permulaan, boleh Cikgu Rosli berkongsi bagaimana Cikgu menceburkan diri dalam bidang penulisan kreatif?

Wasalam. Pertamanya jutaan terima kasih saya ucapkan kepada Pena SaiFai atas kesudian menemuramah saya. Secara jujur saya katakan bahawa saya tidak pernah sama sekali menyangka yang saya akan dikurniakan dengan kejayaan yang sebegini memandangkan mereka yang menyertai sayembara ini rata-ratanya terdiri dari mereka yang cukup berpengalaman dalam bidang penulisan apatah lagi dalam genre fiksyen sains. Namun syukur ke hadirat Ilahi kerana diberikan kejayaan ini. Saya anggap kejayaan ini sebagai satu suntikan semangat untuk terus mengimarahkan dunia penulisan fiksyen sains nusa ini.

Jika dilihat dari sudut sejarahnya saya tidak menyedari bahawa saya mampu menghasilkan penulisan kreatif sebegini. Ketika berada di dalam sidang redaksi majalah sekolah (SMK Dato Bentara Dalam dan SMK Tenang Stesen, Segamat) saya tidak terlibat dalam bahagian editorial tetapi hanya terlibat dalam bidang grafik. Ya, saya amat meminati seni lukis berbanding penulisan (cukup payah untuk saya menghabiskan karangan Bahasa Melayu sewaktu di sekolah dahulu).

Segalanya berubah ketika memasuki Tingkatan Enam bilamana saya dipaksa masuk ke aliran sastera (dari Sains akibat kekurangan guru sains ke Perakaunan dan sekarang Sastera).  Sejak itu saya mengenali kemanisan sastera Melayu. Saya mula menulis puisi setelah belajar teks puisi nukilan Baha Zain dalam naskhahnya Tiga Catatan Perjalanan.

Baha Zain

Odesi kecil saya dalam bidang penulisan kreatif ini terhenti ketika di Universiti Malaya bilamana saya terlibat pula dalam penulisan berkaitan sejarah dan pengajian strategik. Mujur PMIUM memberikan sedikit ruang untuk saya kembali mengasah bakat dengan menyumbangkan penulisan yang juga akhirnya berunsurkan sejarah dan pengajian strategik. Setelah bertugas buat sementara dengan Universiti Malaya sekali lagi minat itu terhenti. Saya mengembara ke sebuah negara ASEAN yang saya kaji sejak di universiti dengan harapan saya akan menjadi seorang pakar negara ini. Saya jadi fasih bahasanya, budaya dan pemikiran bangsa mereka sehinggalah kepentingan keluarga mengatasi segalanya dan saya pulang untuk menjaga mereka.

Pada satu pagi hari cuti ketika saya  melayari laman sesawang Dewan Bahasa dan Pustaka. Terpampang iklan sayembara. Teriak hati saya, kau di rumah sendiri. Bukankah rugi jika dibiarkan cuti berlalu pergi. Tanpa melakukan sesuatu yang bermanfaat pada diri. Tarikh itu saya masih terpahat dalam ingatan 23 Ogos 2009 tarikh saya mula melangkah kembali dalam bidang penulisan kreatif ini.

Sayembara yang Cikgu Rosli maksudkan adalah Sayembara Menulis Novel & Skrip Drama Kanak-Kanak & Remaja DBP. Alhamdulillah, itulah permulaan Cikgu dalam dunia sayembara dan kemudian Cikgu menyertai pula Sayembara Menulis Novel Sains Angkasa anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka pada tahun 2013. Boleh Cikgu ceritakan lebih lanjut mengenai novel-novel ini, dan juga proses penulisan yang berlaku di sebaliknya?

Rosli-Pertama-kategori-remaja-rm5k

Benar. Syukur, untuk Sayembara Menulis Novel Sains Angkasa saya memenangi tempat pertama, ketiga dan dua hadiah saguhati. Juga kali pertama dalam sejarah Dewan Bahasa Pustaka. Satu rekod baru barangkali. Namun kesemua manuskrip yang menang itu masih belum diterbitkan lagi.

sains-angkasa-1sains-angkasa-2

Novel Aurora Morgana berkisar akan zaman pos apokalips di mana bumi diselimuti dengan sejenis atmosfera merah yang cukup misteri. Tiada manusia yang mampu melepasi kepungan ini. Stesen Suvarnabumi ditugaskan memantau bumi. Watak utama dalam novel ini ialah seorang jurutera muda yang mencipta teknologi imbasan biologi yang mampu mengesan hidupan di bumi. Watak utama ialah insan yang menemui cara untuk menewaskan Aurora Morgana yang sebenarnya terdiri dari roh jahat dan makhluk api (syaitan dan kuncu-kuncunya) yang menghalang manusia dari kembali mengimarahkan bumi. Senjata yang cukup kuat untuk menewaskan mereka ialah gema bacaan ayat suci kalimah Ilahi.

Lepidoptera Europa pula memperihalkan kehidupan manusia yang mengekploitasi hasil air di bulan Europa, salah satu dari puluhan satelit yang ditarik graviti Musytari. Watak dalam hal ini menemui hidupan yang selama ini menyembunyikan dirinya dari manusia lantaran kesensitifan mereka pada cahaya yang dihasilkan oleh manusia.

Petaka Prisma pula mengisahkan sekumpulan saintis dan tentera yang berjuang melindungi sebuah bulan kecil yang mengandungi mineral yang amat diperlukan oleh manusia di bumi. Mereka membina sebuah meriam mega bertujuan untuk memusnahkan asteroid berbentuk prisma yang terbang laju menuju ke bulan itu yang kemungkinan besarnya jika tidak dimusnahkan pasti trajektorinya akan menghala dan memusnahkan bumi. Akhirnya diketahui bahawa asteroid prisma itu hanyalah gumpalan roh yang hadir semula dan mahu menuntut dunia yang telah sekian lama ditinggalkan mereka.

Kudeta Titania mengisahkan sekumpulan manusia yang ditugaskan di sebuah planet yang mengalami proses pembumian (terra forming). Berlaku pemberontakan yang membuatkan watak sedar bahawa mereka semuanya adalah banduan yang dipergunakan untuk melaksanakan pelbagai misi merbahaya kerana mereka adalah expandable. Dua manuskrip dihasilkan dalam tahun 2013 iaitu Aurora Morgana dan Lepidoptera Europa manaka dua lagi dalam tahun 2014.

Menyebut tentang prosesnya punya perkaitan dengan diri saya yang bukanlah penulis sepenuh masa. Hobi saya yang cukup gemar menonton pelbagai filem fiksyen sains serta membaca ensiklopedia juga wikipedia banyak membantu saya menulis kesemua novel itu. Ditambah dengan lawatan ke laman web kegemaran saya iaitu laman web NASA yang menghidangkan pelbagai perkara yang sebenarnya boleh membantu kita membina idea. Selain dari minat menonton Discovery Science yang turut memaparkan pelbagai kecanggihan pencapaian manusia dalam bidang sains.

Khabarnya Cikgu Rosli telah menghantar tiga manuskrip sebagai penyertaan untuk Sayembara SaiFai Musim Ke-4. Ini adalah sesuatu yang mencabar dan di luar jangkauan ramai penulis, kerana penulisan novel fiksyen sains memerlukan penelitian dan kajian yang mendalam. Berapa lamakah masa yang diambil oleh Cikgu untuk menulis setiap satu naskhah itu, dan apakah rujukan yang digunakan untuk menghasilkan kisah ini?

Benar. Saya menghantar tiga penyertaan. Dua dinobatkan sebagai pemenang manakala sebuah lagi bertajuk Odesi Paradoks tertolak. Barangkali idea yang terkandung di dalamnya agak ekstrem hinggakan tidak terpilih sebagai pemenang. Ia berkaitan dengan spekulasi sains iaitu merentas masa, arkeologi serta kesusasteraan Melayu juga sejarah.

Masa yang diambil ialah lebih kurang sebulan setengah untuk setiap novel. Sebulan menulis dan dua hingga tiga minggu lagi untuk proses edit ayat serta ejaannya. Rujukannya cukup banyak sebagai contoh jika saya mahu memetik ayat-ayat Al-Quran saya perlu merujuk kepada Tafsir Al-Quran. Jika ianya berkaitan dengan biomedikal saya perlu pula melayari laman web yang berkaitan. Hinggakan juga saya membaca petikan kitab-kita agama lain untuk menjadikan manuskrip ini kelihatannya lebih ‘luas’ idea falsafahnya (bukankah falsafah itu menduduki hierarki tertinggi piramid klasifikasi ilmu). Discovery Science mungkin bukanlah saluran kegemaran di Malaysia tetapi jika diamati kandungannya idea untuk penulisan fiksyen sains cukup infiniti.

Apakah rahsia dan petua yang diamalkan Cikgu Rosli untuk menulis novel fiksyen sains dengan baik dan konsisten? Apa pula pandangan Cikgu tentang fiksyen sains di Malaysia?

Tiada petua yang khusus. Mungkin pembaca sukar mempercayai bahawa motivasi saya menyiapkan manuskrip ini sama sebagaimana saya menyiapkan tugasan semasa di alma mater dulu. Segalanya harus bersungguh-sungguh. Perlu memuaskan hati pensyarah dengan rujukan yang pelbagai dan bentuk rujukan yang juga pelbagai.

Syukur, disebabkan rejim kerja saya hasil latihan yang diberikan oleh pensyarah saya menjadikan saya seorang yang cukup gemar membuat kajian, rujukan dan juga penelitian (terima kasih Prof. Dr. Shahril Talib, Jabatan Pengajian Asia Tenggara dan Prof. Dr. Danny Wong Tze Ken, Jabatan Sejarah Universiti Malaya).

Semangat perlu kuat. Perasaan malas perlu dibuang jauh-jauh. Jika terasa bosan bisikkan dalam fikiran bahawa ‘no pain no gain’. Dendangan ‘One Moment In Time’ menjadi pembakar semangat saya. Terngiang-ngiang bait katanya… to taste the sweet I face the painI rise and fall yet through it all...

Jujur saya katakan saya tidak mengikuti perkembangan fiksyen sains di Malaysia. Apa yang saya sering lakukan ialah melihat sepintas lalu akan buku-buku yang dihasilkan oleh penerbit ternama di Malaysia tetapi tidak pula tergerak hati untuk membacanya. Mungkin kekangan masa serta kesukaran mendapatkan naskhah terbabit di kawasan ini. Namun jika tidak salah saya fiksyen sains di Malaysia ini agak kerdil (terutamanya kuantiti penerbitan) jika dibandingkan dengan genre-genre lain yang cukup gagah melangkah terutamanya genre percintaan, keagamaan, misteri dan seram.

Jika boleh digunakan perlambangan maka genre fiksyen sains di Malaysia bagaikan pasukan bola sepak Republik San Marino bertemu dengan Jerman (genre percintaan), England (keagamaan) juga Perancis (misteri dan seram). Sedangkan jika di Amerika Syarikat novel fiksyen sains ialah genre yang dinanti-nantikan berbanding genre lainnya. Dijadikan kajian dan diadaptasikan ke dalam filem.

Boleh senaraikan nama penulis dan bahan bacaan yang menjadi kegemaran / rujukan Cikgu Rosli? Mengapa Cikgu memilih karya-karya ini?

Saya cukup gemar membaca buku-buku ilmiah tetapi tidak novel. Mungkin sukar dipercayai bahawa saya tidak punya penulis yang dijadikan rujukan ketika menulis. Saya benar-benar menggunakan daya imaginasi saya ketika menulis. Ditambah dengan rujukan pada bahan-bahan yang berkaitan dengan plot yang menjadi pilihan saya. Saya sering membayangkan yang saya berada di dalam novel itu. Cuba memikirkan bagaimana rasanya menjadi watak itu. Pelik bukan? Jika wataknya seorang pakar biologi saya cuba membayangkan bagaimana rasanya menjadi seorang biologis. Sahabat saya mengatakan bahawa saya menulis seperti Ben Bova. Saya terpaksa meng‘google’ untuk mencari siapa empunya diri yang dikatakan. Tetapi saya tidak pernah membaca pun karya beliau.

Hanya dua novel Bahasa Melayu yang pernah saya baca sehingga habis iaitu Merpati Putih Terbang Lagi karya Khadijah Hashim. Novel ini berkaitan dengan konflik kemasyarakatan. Novel Ke Detik-detik Sepi nukilan Zailiani Taslim (maaf jika ejaan nama salah). Satu-satunya novel fiksyen sains yang pernah saya baca (selain dari novel pemenang musim ini).

Novel ketiga ialah The Ugly American yang menjadi naskhah kegemaran saya yang cukup meminati sejarah Perang Vietnam (mungkin kerana tinggal lama di Vietnam). Selain dari itu tiada hasil karya yang saya baca. Rujukan utama saya ialah ensiklopedia dan bahan-bahan ilmiah yang lainnya.

~

Esok: Cikgu Rosli bakal membicarakan proses penulisan Nafkhatul Faza dengan lebih lanjut. Naskhah itu telah berjaya memenangi hadiah tempat pertama dalam Sayembara SaiFai Musim Ke-4 baru-baru ini. Nantikan!

Novel “Nafkhatul Faza” – Fiksyen Sains Sarat Falsafah

nafkhatulfaza-cover

Tajuk Buku: Nafkhatul Faza
Pengarang: Rosli Mohamad Ali
Penerbit: Utusan Publications & Distributors / UTM Press
Tahun Terbitan: 2017
Halaman: 404
Harga: RM50.10

Sinopsis:

“Iris mataku meliar memandang ke sana dan ke mari mencari tanda-tanda kehidupan yang dikesan malam tadi. Namun, setakat ini tiada secebis kesan pun yang kelihatan pada deria. Yang ada hanyalah sisa-sisa bangunan pencakar langit yang terpacul keluar sebahagiannya, seolah-olah melawan ombak pasir yang cuba melemaskannya.”

Nafkhatul Faza, karya seorang guru Bahasa Inggeris bernama Rosli Mohamad Ali telah berjaya dinobatkan sebagai pemenang tempat pertama dalam Majlis Penyampaian Hadiah Sayembara Novel Fiksyen Sains dan Teknologi UTM-Kumpulan Utusan Musim Ke-4 yang berlangsung pada 28 Mac 2017 di Dewan Utusan baru-baru ini.

Nafkhatul Faza mengisahkan kehidupan manusia dalam era pascabencana, setelah bumi mengalami kemusnahan akibat fenomena suar api (merak api) yang dahsyat sehingga mengurangkan bilangan umat manusia daripada berbilion penduduk kepada seratus ribu sahaja. Saki-baki manusia yang terselamat ini tidak lagi dapat menghuni bumi, sebaliknya terpaksa meneruskan kehidupan di stesen angkasa dan planet-planet lain. Sekumpulan saintis, diketuai oleh Dr. Irfan, berhasrat untuk membuktikan bahawa planet bumi yang telah rosak sejak 500 tahun dahulu, kini beransur pulih tanpa memerlukan sebarang bantuan atau campur tangan daripada manusia.

Nafkhatul Faza menghantar kesedaran bahawa kerakusan manusia memusnahkan alam semula jadi dengan begitu terlampau, akhirnya menerima balasan dan amaran Tuhan melalui fenomena merak api itu.

“Tetapi bukankah merak api sendiri sebenarnya api neraka yang dihantar oleh Tuhan kepada manusia atas dosa-dosa yang dilakukan oleh manusia? Ada sesetengah orang mengatakan yang suria itulah neraka sebenarnya.”

“Benar tetapi ia bukannya kiamat. […] Abdul-Laits meriwayatkan dengan Sanad daripada Abu Hurairah r.a., Rasulullah s.a.w. pernah bersabda:

Ketika Allah s.w.t. telah selesai menjadikan langit dan bumi, Allah s.w.t. menjadikan sangkakala dan diserahkan kepada Malaikat Israfil, maka ia meletakkannya di mulutnya melihat ke Arsy menantikan bilakah ia diperintahkan.” Saya bertanya: “Ya Rasulullah, apakah shur (sangkakala) itu?” Jawab Rasulullah s.a.w.: “Bagaikan tanduk dari cahaya.” Saya bertanya lagi: “Bagaimana besarnya?” Rasulullah s.a.w. menjawab: “Sangat besar bulatannya, demi Allah yang mengutuskanku sebagai Nabi s.a.w. besar bulatannya itu seluas langit dengan bumi, dan akan ditiup hingga tiga kali iaitu pertama Nafkhatul faza’ (untuk menakutkan), Nafkhatus sa’aq (untuk mematikan) dan Nafkhatul ba’ats (untuk menghidupkan kembali atau membangkitkan).”

(Nafkhatul Faza, halaman 98-99)

Seperti mengulang kembali kisah di dalam Al-Quran, generasi pada zaman pascabencana ini perlu bertungkus-lumus memikul cabaran dan tanggungjawab seumpama yang pernah dilaksanakan oleh Nabi Noh a.s. – membina bahtera-bahtera besar di tempat lain selain bumi atas tujuan menyelamatkan kelangsungan setiap hidupan.

“Jadinya orang pada zaman dahulu beruntung ya ayah sebab dapat tinggal di dunia yang cukup indah itu.”

“Segala nikmat itu datangnya dari Tuhan Aleesya. Sampai masa nikmat itu ditarik balik dari mereka.”

“Dan kita yang menanggung seksanya ayah…”

(Nafkhatul Faza, halaman 142)

Allah S.W.T. bagaimanapun masih menyayangi akan umat manusia dan menghadiahkan mereka peluang untuk membetulkan kesilapan lampau. Peluang itu dilihat oleh Dr. Irfan dan pasukan saintisnya melalui bukti serta data-data saintifik yang menunjukkan bahawa bumi sedang memperbaharui dirinya semula, sekaligus memberikan harapan bahawa manusia diberi peluang kedua untuk memulakan peradaban yang lebih lestari di bumi.

Membaca Nafkhatul Faza menuntut pemikiran yang mendalam mengenai konsep pencarian dan keabadian. Dr. Irfan digerakkan oleh suatu dorongan untuk mencari saki-baki kehidupan (manusia khususnya) di planet bumi, dan dalam masa yang sama ingin mencari makna di sebalik frekuensi misteri yang menghantui satelit imbasan mereka. Akal waras Dr. Irfan tidak dapat menerima hakikat bahawa ada manusia yang mampu hidup di kawasan bumi yang panas dan beracun, namun teknologi radius imbasan pilon dengan jelas menunjukkan kewujudan spesies homo sapien di bumi, malah kemunculannya menjadi lebih galak setiap kali berkumandangnya frekuensi misteri itu.

Kegagalan Dr. Irfan pada peringkat awal dalam misi pencariannya, bersulam rasa rindu yang mendalam terhadap arwah isteri dan anaknya, menjadikan beliau semakin sakit, lemah dan mula tenggelam dalam jurang kedukaan. Pada saat Dr. Irfan berjaya memahami maksud sebenar keabadian dan menyatukan diri dengan kuasa Allah S.W.T Yang Maha Agung, pada saat itulah beliau berjaya menemukan kebahagiaan dalam sebuah pengakhiran yang ditulis dengan cukup indah dan bermakna.

Nafkhatul Faza merupakan sebuah karya fiksyen sains yang sarat dengan falsafah dan metafora indah. Bumi yang termusnah dan kehidupan manusia yang huru-hara pada tahun 3035 digambarkan seperti sebuah neraka yang menakutkan. Awanan bumi bertukar merah, lantai bumi dipenuhi lahar panas yang memuntahkan isinya di sana sini, air kolam panas menggelegak, serta puncak-puncak gunung yang ditimbuni dengan debu merah yang dipanggil ‘habuk neraka’.

Setiap watak dalam Nafkhatul Faza mengimpikan untuk kembali semula ke bumi, agar mereka dapat bersatu semula dengan tanah semulajadi yang menjadi unsur utama binaan asal dalam penciptaan manusia. Bumi sebelum musnah dilambangkan sebagai syurga yang didambakan, dan kita melihat Dr. Irfan serta ahli pasukannya berusaha mengingati semula segala keindahan semulajadi yang dahulunya pernah wujud di bumi.

Ciptaan bayangan yang penuh keasyikan, angan-angan kebahagiaan serta kenikmatan hidup yang paling sempurna diletakkan di dalam sebuah taman firdausi impian. Pelukisan ini jelas mempunyai perkaitan dengan naluri serta fitrah semulajadi manusia yang menginginkan perjalanan yang sempurna ke suatu destinasi abadi, kembali ke sebuah tempat tinggal di akhirat yang penuh kedamaian, sebuah syurga terperi yang menjanjikan kebahagiaan, yakni al-Jannah.

Sekalung tahniah kepada penulis, Cikgu Rosli Mohamad Ali atas penghasilan naskhah Nafkhatul Faza yang baik dan bermakna ini. Pengisiannya yang mendalam dan berilmiah sesuai dijadikan bahan kajian dan juga rujukan buat para pencinta karya-karya tempatan.

~

Esok: Ikuti sesi wawancara dengan Cikgu Rosli di mana beliau akan menceritakan proses penulisannya dan juga buku-buku yang pernah dihasilkan. Sama-sama kita tunggu sesinya.

Ulasan Novel “Kuantum Dalam Jemala” nukilan Ahmad Muzaffar Baharudin

KuantumDalamJemala.jpgTajuk Buku: Kuantum Dalam Jemala
Pengarang: 
Ahmad Muzaffar Baharudin
Penerbit: 
Utusan/UTM Press
Tahun Terbitan: 
2017
Halaman: 
159

Kerusi roda yang menempatkan Lucy disorong perlahan ke ruang tamu. Cahaya mentari menerjah, memanaskan tubuh mereka berdua, tetapi Luke tidak peduli. Sudah begitu lama tidak menghadap mentari. Mereka terlalu takut akan serangga dan burung gagak yang sebenarnya alat pengintipan musuh. Tidaklah mereka pasti kenapa musuh itu mahu mengintip perbuatan mereka. Macamlah ada benda berharga sangat. Kelihatan gagak bertenggek di wayar elektrik yang terentang di luar rumah. Tanpa teragak-agak, Luke segera mencapai kayu lastik lalu menjentikkan sebutir guli ke atas burung itu. Tepat mengena sasaran. Burung gagak itu jatuh lalu rentung. Tampak komponen-komponen elektroniknya berkecaian.

Luke:
Nak ulas buku Kuantum Dalam Jemala pun kena intip musuh juga. Tak faham aku.

Lucy:
(Otaknya telah ditanam dengan mikrocip kuantum dan dia tidak dapat bercakap. Namun begitu, butir perbualannya tertera nyata pada fleksifon.)

Dah kau pakai mikrocip kuantum, mestilah kena intip musuh. Heksagon Inc. bukan betul sangat. Nak curi teknologi sajapun, tak perlulah nak hantar droid apa bagai. Tangkap sajalah orangnya. Apa susah?

Luke:
Apa masalah dengan novel ini? Sedap ke tidak ceritanya?

Lucy:
Plot ceritanya begini. Ahmad Fayyadh, nak selamatkan ayahnya, Tuan Roslan. Musuhnya, Toshio Krauss nakkan teknologi mikrocip kuantum milik Ahmad Fayyadh (Dr). Dan begitulah. Pergelutan demi pergelutan. Ia thriller yang tak berapa menjadi. Pemilihan babak-babak yang digunakan terasa tidak kena. Namun begitu, secara naratifnya, kita nampak pergerakan cerita. Aturannya kemas tidak memeningkan. Ceritanya bergerak secara kronologikal dan tidak rumit. Watak-wataknya tidak ramai tetapi begitu ringkas pelukisannya. Tidak cukup hidup. Ia tidak terlalu teruk, tidak juga begitu baik. Berada di tengah-tengah.

Luke:
Ini novel debut penulis, mungkin selepas beberapa buku lagi, karyanya akan jadi sedap dibaca. Tidakkah begitu?

Lucy:
Benar. Bahasanya kemas, pemilihan katanya sedap. Aku sebenarnya suka pada nama-nama watak dalam cerita ini. Sedap-sedap belaka. Cuma itulah, penulis mahu menulis cerita thriller tetapi kurang berkesan. Mengingatkan aku dengan cerita Iron Man. Pelukisan latar tempat dengan watak agak seimbang. Hanya kering. Kering serba-serbi. Perasaan aku seolah mati bila membacanya. Tidak menghadirkan rasa sayu, gembira atau apa saja.

Luke:
Bagaimana dengan idea sainsnya? Okay ke tidak?

Lucy:
Aku boleh nampak penulis punya pengetahuan dalam setiap alatan dan teknologi yang digunakan. Caranya mengadunkan dengan cerita itu agak kemas dan seragam dengan cerita. Mikrocip kuantum itu, dan penjelasan mengenai dengan menggunakan analogi bola pingpong itu agak menarik juga. Penulis berjaya meringkaskan proses yang rumit itu dalam bentuk mudah. Harus dipuji di situ.

Luke:
Baiklah, kesimpulannya apa?

Lucy:
Sederhana serba-serbi. Penulis tahu diksi, mengatur plot, penulisannya baik sekali dan kemas. Secara teknikalnya, novel ini berdiri selaku sebuah novel. Namun secara garapan emosi, tiada. Secara logik fiksyennya banyak percanggahannya. Rasional watak-watak dan tindakan demi tindakan patut diperhalusi lebih mendalam.

Luke:
Apa yang patut dibuat oleh penulis?

Lucy:
Kena baca banyak karya-karya thriller yang bagus dan teliti cara garapannya. Mungkin penulis patut baca The Technologist karya Matthew Pearl. Novel-novel pop Dan Brown pun okay selaku pemula.

Pemilihan dialog dan butir perbualan harus difokuskan untuk menyerlahkan karakter watak-watak itu. Penulis boleh melukiskan pergerakan watak dan bertanyakan pada diri sekiranya tindakan dan dialog watak-watak itu akan membangkitkan emosinya atau tidak.

Secara logik fiksyennya ada banyak keraguan bila membaca karya ini. Alasan pengeboman ke atas rumah Ahmad Fayyadh agak tidak rasional, memandangkan tidak diterangkan kebahayaan Tuan Roslan dan Ahmad Fayyadh itu ke atas Heksagon Inc. Penulis gagal meletakkan satu sebab kukuh yang membuatkan Toshio Krauss sanggup membelanjakan jutaan ringgit hanya sekadar untuk menangkap dan membunuh Ahmad Fayyadh. Benar, teknologi mikrocip kuantum itu amat berharga. Namun penulis harus menjustifikasikan tindak-tanduk Toshio Krauss yang dilihat agak melampau jika sekadar mahu mencuri/merampas teknologi ciptaan Ahmad Fayyadh.

Kelemahan pada penerapan logik fiksyen ini boleh diperbaiki sekiranya penulis mencatatkan setiap plot yang digarap dan menggariskan juga sebab dan akibat setiap tindakan yang diambil. Dengan cara ini, penulis akan nampak jelas bahagian yang tidak logik tersebut dan dapat membaikinya.

Luke:
Ya, banyak lagi yang penulis harus pelajari sebelum dapat menggarap sebuah novel yang bagus.

Ulasan Novel “Perang Homosapien” nukilan Idris Boi

PerangHomosapienTajuk Buku: Perang Homosapien
Pengarang: 
Idris Boi
Penerbit: 
Utusan/UTM Press
Tahun Terbitan: 
2017
Halaman: 
273

Luke kehairanan tatkala melihat kostum yang dipakai Lucy. Kelihatan lucu pada pandangannya. Jelek pun ada. Ketika itu, mereka berada di dalam markas CD4 AR. Tertera kalimah kebesaran Allah S.W.T menaungi hologram pemimpin-pemimpin negara Homosapien yang telah mati syahid. Dan mata mereka terarah pada Laksamana T4 Limfosit. Entah kenapa, kostum Laksamana T4 Limfosit juga sama seperti yang dipakai Lucy. Kostum itu mengingatkan Luke pada sel darah putih, biarpun dia percaya kostum itu tidak menggambarkan sepenuhnya bagaimana rupa sel darah putih tersebut.

Luke:
Kenapa kau pakai kostum aneh itu? Macam Minion. Kau ingat kau comel pakai macam itu?

Lucy:
Eh, kau sendiri tak tengok cermin ke?

Luke:
(Tergamam tatkala mendapati dirinya juga memakai kostum yang serupa.)

Oh, Tuhan! Kenapa aku membodohkan diri?! Tidak!!!

(Mencarut dalam bahasa yang tidak difahami – bahasa HIV, Ebola, H5N1 et al)

Lucy:
(Mengeluarkan naskhah Perang Homosapien yang telah dibacanya sebelum ini)

Sudah, tenang. Kita sedang dalam proses mengulas novel Perang Homosapien hasil tulisan Idris Boi.  Lepas ini kita jadi normal. Usah risau.

Luke:
Baik! Jadi ceritakan sedikit apa sebenarnya Perang Homosapien ini cuba sampaikan.

Lucy:
Virus HIV menyerang tubuh manusia yang cuba dipertahankan oleh T4 Limfosit dengan bantuan pelbagai jenis virus lain seperti Ebola, H5N1, selesema burung dan banyak lagi penyakit.

(Dalam hati tertanya-tany: orang yang diserang kesemua penyakit ini memang bernasib malang, Tak ada harapan nak hidup.)

Namun begitu, diceritakan melalui analogi negara yang terlibat dalam perperangan. Negara Homosapien itu wajarlah digambarkan selaku tubuh manusia yang dipertahankan oleh Laksamana T4 Limfosit (sel darah putih) selaku peneraju negara yang beragama Islam. Dan negara Homosapien ini pula diserang oleh Ketua Turus Tentera Laksamana Perang HIV (seorang kafir, pengikut Iblis laknatullah). Keseluruhan cerita ini seperti yang digambarkan tajuknya, perang. Perang bermula, perang berlangsung dan perang tamat. Mudah.

Luke:
Err, bagaimana dengan novum sainsnya?

Lucy:
Penulis banyak rujukan dari pelbagai sumber. Terdapat tempelan ayat-ayat Al-Quran dan hadis. Terdapat petikan ucapan pemimpin-pemimpin besar dunia. Ada petikan dari jurnal perubatan. Ada serapan Art of War oleh Sun Tzu. Tidaklah diterangkan bagaimana virus HIV itu merosakkan tubuh manusia secara teknikal, tetapi melalui tempelan definisi yang menyeluruh.  Penulis memilih untuk menerangkan serangan virus HIV itu dalam bentuk kancah peperangan mirip peperangan manusia. Memberikan sifat manusiawi pada setiap sistem dalam tubuh badan. Menggunakan Malaysia selaku model negara Homosapien yang diserang Barat (Zionis, Israel) diwakili oleh virus HIV.

Luke:
Agak menarik juga. Analogi demi analogi. Begitu?

Lucy:
Ya, betul.

Luke:
Baik, secara fiksyennya pula bagaimana?

Lucy:
(Tergolek jatuh, tapi kostum ala-ala Minion telah menyerap hentakan. Luke ketawa terbahak-bahak seketika.)

Okay, cukup. Jangan gelak lagi. Nanti aku pukul kau, baru tahu. Secara fiksyennya, garapan penulis indah dari segi bahasa biarpun terdapat kecacatan typo yang merata-rata (mohon editor pantau perkara sebegini). Namun begitu, karya ini dicacatkan oleh penerangan berjela-jela yang cuba mengaburi plotnya yang begitu ringkas. Secara perjalanan ceritanya, ia merupakan karya yang linear dan tiada plot twist sama sekali. Penulis tidak berminat untuk melakukan sebarang gimnastik plot hatta sedikit. Karya ini mempunyai masalah info dump yang serius. Namun diselamatkan oleh gaya bahasanya yang indah dibaca. Terdapat informasi yang bila dibaca membuatkan aku tertanya-tanya fungsinya pada plot. Jika hendak dibaca secara ilmiah, naskhah ini sebenarnya agak informatif juga. Banyak perkara yang kita boleh belajar. Secara fiksyennya kurang menyerlah. Peperangan tidak mencemaskan apatah lagi mendebarkan. Hambar perasaannya.

Luke:
Kesimpulannya, bagaimana pula?

Lucy:
Pengalaman penulis dalam mengolah fakta dalam karya cukup terserlah, tetapi terlalu bersifat tempelan. Sekadar memaparkan bahawasanya penulis tahu mengenai hal itu, maka harus dimasukkan. Tidak membantu cerita bahkan melemaskan plot sekali-sekala. Ceritanya sangat mudah, lantas memudahkan pemahaman pembaca. Tiada unsur ‘wow’ sama sekali. Lebih bersifat didaktik.

Luke:
Apakah saranan untuk menyedapkan karya ini?

Lucy:
Penulis sepatutnya mendahulukan fiksyen lebih dari elemen didaktik tersebut. Tajuknya sudah menjelaskan ini adalah sebuah novel perang. Tetapi debaran perang itu tidak ada.

Penulis mungkin boleh mengimbau kembali setiap sorotan fakta yang telah dimuatkan dalam naskhah ini dan bertanyakan pada dirinya akan persoalan-persoalan berikut:

  1. Perlukah fakta ini dimasukkan?
  2. Adakah fakta ini menyokong plot cerita?
  3. Adakah selitan fakta ini akan menenggelamkan jalan ceritanya?

Selain itu, untuk memastikan babak peperangan itu lebih mencabar dan mendebarkan, penulis boleh melakukan beberapa perkara seperti berikut:

  1. Memusatkan pada babak pertarungan. Pergerakan individu. Penulis ada melakukan hal ini tetapi pada pengakhiran tatkala pemimpin tertinggi dua belah pihak bertemu. Namun begitu, pertemuan ini bukanlah penentu klimaks cerita. Pertemuan itu, hanya sekadar merumuskan penutup yang sudah pembaca telahi garapannya.
  2. Pelukisan latar tempat markas, medan pertarungan itu ada tetapi tidak mencukupi. Seperti yang pernah aku ceritakan sebelum ini, setiap pelukisan latar tempat kejadian harus menyokong emosi dan gerak-geri watak. Hal ini akan membuatkan setiap garapan ayat demi ayat begitu menangkap dan berkesan di hati pembaca.
  3. Penulis mungkin boleh merujuk beberapa novel thriller peperangan dan meneliti cara mereka menggarap babak peperangan itu. Keresahan askarnya bagaimana, goncangan emosinya bagaimana, ketakutan, traumanya dan banyak lagi aspek yang wajib ditelahi dan disulamkan tatkala menggambarkan watak.

(Kedengaran bunyi bom peledak. Dinding berhamburan. Bongkah-bongkah sel bertebaran. Luke tercampak ke belakang. Pakaiannya berlubang, tetapi kecederaannya minimum. Dia memerhatikan sekeliling tetapi tiada bayang Lucy kelihatan. Ketakutan mula menyelubungi. Pandangannya gelap. Kepalanya berpinar-pinar.)

Luke:
Lucy!!!

 

Ulasan Novel “Sejadah” nukilan Saat Omar

sejadahTajuk Buku: Sejadah
Pengarang:
Saat Omar
Penerbit:
FIXI
Tahun Terbitan:
2017
Halaman: 
279

Luke dan Lucy sedang mengetip tiket-tiket dari pengunjung masjid yang baru sahaja menghabiskan solat fardhu Zohor. Diketip-ketip setiap tiket itu dengan wajah bengis. Lucy ketika itu sedang menyamar selaku lelaki atas pelawaan Luke. Luke tidak peduli. Katanya dia mahu Lucy melihat sendiri apa yang telah dilakukan oleh pengganti Modern Islamic Society ke atas masyarakat.

Adakah patut letak cukai pada orang bersolat? Gila. Usai mengetip tiket, mereka berdua singgah pula di kedai mamak di seberang masjid. Lucy mengeluarkan naskhah Sejadah yang baru sahaja habis dibacanya.

Luke:
Bagaimana dengan buku Sejadah tu? Sedap ke?

Lucy:
Ideanya besar dan segar. Fiksyen sains yang unik dan sinonim dengan identiti Malaysia. Garapan ceritanya menampakkan kematangan penulisnya menjalinkan plot demi plot dan kepelbagaian watak-wataknya. Cuma ada sedikit permasalahan dengan logik fiksyen sahaja. Pendek kata ceritanya sedap dibaca, tetapi tidaklah sampai mengujakan sehingga mendorong aku untuk membaca dari satu lembaran ke lembaran seterusnya dalam masa singkat.

Luke:
Bagaimana dengan novum sainsnya? Ideanya hebatkah?

Lucy:
Sangat menarik! E-Sejadah. Masukkan teknologi ini ke dalam kerencaman masyarakat Malaysia yang unik dan hasilnya mengagumkan. Dengan merekodkan jumlah solat dan menjadikan ia selaku satu ukuran kuantitatif untuk beroleh sebarang pengiktirafan dan pangkat dalam masyarakat, teknologi ini kedengaran logik untuk dilakukan pada masa akan datang. Ya, novel ini spekulatif tetapi penulis berjaya menyakinkan aku teknologi sebegini tidak mustahil untuk diaplikasi dalam masyarakat sedia ada. Tidak begitu teknikal, tidak juga begitu rawak. Memadai untuk sebuah fiksyen.

Luke:
Bagaimana pula dengan fiksyennya?

Lucy:
Cara penulis menggarap setiap watak agak kemas. Nama bukan sekadar nama. Dapat dirasa kejelekan sikap Amin. Playboy Zainal dengan sifatnya suka memainkan hati wanita. Christine, seorang peguam yang sangat yakin dengan keadilan. Penulis dapat menimbulkan perasaan jelek, suka, benci pada watak-watak yang dicipta. Ini perkara bagus. Penulis tampak mahir dalam membentuk watak-wataknya.

Jalan ceritanya juga tidaklah linear. Biarpun watak-wataknya agak ramai, tetapi tidak celaru. Kita dipersembahkan dengan naratif yang pelbagai. Kita membaca dari perspektif Amin selaku sudut pandang pertama. Bagaimana penulis bermain dengan plot, mendebarkan pembaca tatkala saat keputusan ECGPA diumumkan, harus dipuji. Penulis bijak bermain dengan ‘kesan dan akibat’. Dari satu kejadian rogol watak Alia, hingga kejatuhan parti politik, perkaitan demi perkaitan amat mengujakan. Jalinannya kemas dan cantik.

Namun begitu, aku rasa kekok dengan tindak-tanduk peguam di dalam naskhah ini. Cara mereka menyiasat kes rogol dan tindakan melulu yang dilakukan kedengaran janggal biarpun aku tiada latar belakang seorang peguam. Mungkin penulis harus membuat sedikit kaji selidik untuk memastikan ketepatan bagaimana proses guaman berlaku.

Luke:
Apa yang boleh disimpulkan dari novel ini?

Lucy:
Novel ini selaku fiksyen sangat hidup. Novum sainsnya juga cukup unik dan menarik. Ideanya segar dan wajar diangkat selaku benchmark untuk pengarang-pengarang tempatan menulis karya fiksyen sains yang kuat rencah Malaysianya. Umpama satu pintu cabang fiksyen sains tempatan telah dibuka melalui naskhah ini. Biarpun ada pincangnya, tetapi hal ini boleh diperbaiki untuk karya-karya penulis di masa akan datang.

Luke:
Apa yang penulis boleh lakukan untuk menjadikan karya ini lebih baik?

Lucy:
Penulis mungkin boleh melakukan kaji selidik lebih mendalam ke atas profesion setiap karakter-karakternya. Sebagai contoh, mendapatkan pengakuan Alia yang telah dirogol di kafe adalah satu perbuatan yang janggal. Rasa tidak kena bila membacanya. Aku tak pasti adakah hal ini wajar atau tidak, mungkin juga penulis pernah mendengar tindakan sebegitu pernah dilakukan sebelum ini, tetapi ia kedengaran janggal bagiku.

Cara penyampaian penulis agak mendatar pada beberapa bahagian, biarpun berkesan tetapi tidak memberikan rasa enak pada pembaca sepertiku. Namun ini perkara kecil. Penulis mungkin boleh melihat kembali pada naratif dan memperindahkan bahasanya. Mungkin juga penulis boleh mengaitkan pelukisan latar tempat dengan watak-watak yang ada. Adakah pelukisan latar itu menyokong pelukisan watak tersebut?

Apa-apapun naskhah Sejadah merupakan fiksyen sains yang sangat segar, tidak bikin pembacanya murung dan cukup enak perasa Malaysianya.

~

Azan berkumandang. Waktu Asar sudah masuk. Lucy dan Luke lekas-lekas menghabiskan makan minum mereka dan berlari masuk ke dalam masjid.

Ulasan Novel “Dunia Hanyalah Pentas” nukilan Ted Mahsun

Dunia Hanyalah PentasTajuk Buku: Dunia Hanyalah Pentas
Pengarang:
Ted Mahsun
Penerbit:
Utusan/UTM Press
Tahun Terbitan:
2017
Halaman: 
191

Luke dan Lucy sedang duduk berdepan antara satu sama lain. Wayar-wayar berselirat bersambungan dari tubuh mereka. Kepala mereka dilengkapi topi keledar pintar yang sampai ke hari ini belum mendapat nama yang lebih molek. Mereka berdua berapungan dalam posisi Vetruvian Man. Kesedaran mereka telah tercampak ke dalam alam maya. Dan tiada siapa akan menyelamatkan mereka.

Dalam alam yang dipenuhi dengan kod-kod binari dalam pelbagai bentuk itu, mereka tenang sahaja menikmati burger McDonald’s yang dibeli dari halaman sesawang McDonald’s. Bayaran dibuat menerusi bitcoin. Sambil itu, naskhah Dunia Hanyalah Pentas berada di tangan Lucy.

Tidak disentuh lagi.

Luke:
Bagaimana dengan buku Dunia Hanyalah Pentas itu?

Lucy:
Kejap. Aku lapar. Nanti aku cerita.

Luke:
(Menanti dengan sabar. Lalu menelan sisa baki burger terakhir)

Lucy:
Cyberpunk Melayu. Segar, juvenil dan menyeronokkan. Aliff dan Ain, budak genius. Bina topi keledar pintar (tolonglah buat sesuatu mengenai nama topi ini). Ada kes pembunuhan, rakan-rakan Ain. Kisah detektif. Kisah kekeluargaan. Dialog-dialognya bersahaja dan lucu. Watak-wataknya hidup. Ada baur-baur Serial Experiments Lain tetapi dalam rentak lebih ceria. Sangat sesuai dibaca untuk remaja.

Luke:
Nampak gayanya kau suka cerita ini. Bagaimana dengan sainsnya?

Lucy:
Pengaturcaraan nampak menyakinkan, sebenarnya dalam bentuk mudah difahami kalau diteliti betul-betul. Meletakkan kesedaran ke dalam dunia lain. Bukan idea baru. Bukan idea yang sangat segar. Telah ditulis banyak kali dalam karya-karya cyberpunk biasa. Namun tampak menyakinkan. Itu penting. Logik fiksyennya dipenuhi.

Luke:
Fiksyennya pula bagaimana garapannya?

Lucy:
Kekuatan novel ini adalah dialognya yang bersahaja dan hidup. Ada beberapa babak betul-betul melucukan. Ketua Inspektor DeCruz terperangkap dalam jaringan tali-tali pancing yang berselirat, contohnya. Perbualan antara DeCruz dan Aliff yang melucukan sekali-sekala cukup menghiburkan. Latar tempat diceritakan secara minimalis tetapi memadai. Pendek kata, setiap watak nampak hidup dengan gaya masing-masing ditonjolkan sebaik mungkin tanpa memerlukan penerangan ciri-ciri fizikal yang menyeluruh.

Plotnya ringkas sahaja. Aliff dibawa keluar dari penjara untuk menyelesaikan masalah kematian tiga orang rakan Ain di sekolah. Penyiasatan berlaku. Pertemuan dengan Ain. Ah Yap selaku katalis. Ringkas tetapi sesuai dengan ketebalan cerita. Ya, cerita ini, idea ini dan garapannya seimbang serba-serbi. Susah nak nampak cacat-celanya. Jika hendak dikira typo, adalah juga sedikit tetapi tidaklah mencacatkan plot ceritanya.

Luke:
Nampak kau betul-betul terhibur dengan naskhah ini. Sebegitu baguskah? Tiada ruang pembaikan?

Lucy:
Kau baca sendirilah. Aku suka naskhah ini. Noktah. Nak baiki apa? Ini novel cyberpunk terbaik setakat ini yang ditulis dalam bahasa kebangsaan kita. Nak ruang pembaikan? Mohon Ted Mahsun tulis lagi karya yang lebih bagus dari ini. Segar, ceria dan cukup hidup karakternya. Itu ‘pembaikan’ yang boleh difikir setakat ini.

Sekejap, apa jadi dengan tiga orang kawan Ain yang dah mati itu? Kasihan pula dikenangkan takdir mereka dalam alam maya itu ya.

Luke:
Kesimpulan?

Lucy:
Belilah buku ini kalau jumpa mana-mana. Jangan fikir banyak.
(Sambung makan burger infiniti dari McDonald’s.)

~

Penolak Tuntutan:
Pengarang novel ini merupakan pengasas laman ini, namun beliau tidak terlibat dalam pembikinan ulasan ini.

Nota bagi pemilik Dunia Hanyalah Pentas cetakan pertama:
Edisi cetakan pertama terdapat beberapa kecacatan dari segi penyuntingan. Dijemput membaca senarai ralat di sini.

Ulasan Novel “Katalis Neurogenesis” nukilan Rosli Mohamad Ali

Katalis Neurogenesis-CoverTajuk Buku: Katalis Neurogenesis
Pengarang:
Rosli Mohamad Ali
Penerbit:
Utusan/UTM Press
Tahun Terbitan:
2017
Halaman: 
367

Luke duduk di sisi tingkap wad yang menempatkan Lucy yang didapati koma akibat letupan pengganas semasa khusyuk membaca naskhah Katalis Neurogenesis di sebuah taman bunga. Dengar ceritanya letupan itu kerja pihak Eksekutif, tetapi tidaklah diketahui apakah sebenarnya Eksekutif tersebut. Murung Luke menanti Lucy jaga dari koma, sehinggalah kelihatan bibit-bibit perkataan celaru terbit pada skrin perhubungan yang memaparkan aktiviti otak Lucy. Ya, Lucy sedang cuba untuk berbicara dan mampu mendengar. Hal itu satu keajaiban! Luke segera meluru ke sisi katil Lucy. Wajah Lucy pucat biarpun tampak aman. Sesekali dahinya berkerut, mencetuskan persoalan demi persoalan dalam benak Luke. Luke mendekatkan bibirnya pada telinga Lucy, lalu berbisik:

Luke:
Apa yang kau fikirkan, Lucy?

Lucy:
(Pada paparan skrin komputer)

Novel Katalis Neurogenesis ini, argh.

Luke:
Kenapa dengan novel itu?

Lucy:
Aku tidak memahami mengapa tiada langsung pelukisan latar tempat dan keadaan dalam setiap babak perbualan yang berlaku. Dan garapan peperangan rahsia antara Eksekutif dengan organisasi Dr. Mikhail seolah dibuat dari satu plot rapuh yang dibina terburu-buru. Ya, dialog-dialognya cuba membina kota plot dari satu idea dengan sedaya upayanya agar tidak menyalahi logik fiksyen. Watak utamanya, Dr. Irfan merupakan pencipta KN 86 BE (Katalis Neurogenesis) yang merupakan cip yang mampu memulihkan kecederaan otak manusia. Plotnya, ada orang jahat dan orang baik berebut KN. Heroin cerita kena letupan dan koma (macam aku sekarang) dan hero berjuang nak rampas balik KN itu balik sebab nak pulihkan heroin itu dengan cip tersebut. Kisah cinta bersulam cerita fiksyen sains.

Luke:
Wowowo. Bagaimana kau boleh taip guna otak sebegitu laju? Kau marah ke apa?

Lucy:
Sangat marah. Aku koma lepas baca buku ini. Siapa yang tak marah?!

Luke:
Okay, bertenang. Jangan marah, nanti komputer hangus. Lagipun kau koma sebab kena letupan, bukan sebab buku. Buku tak salah, okay? Baik, secara novum sainsnya bagaimana?

Lucy:
Katalis Neurogenesis itulah penggerak cerita. Dan cip itu boleh buatkan manusia dikawal dengan arahan-arahan yang dipancarkan oleh orang-orang tertentu. Mereka boleh jadi sangat kuat dengan kawalan minda tersebut. Hanya Dr. Irfan sahaja tahu kata kunci untuk menghapuskan cip itu dengan sekadar melafazkannya.

Luke:
Tidak berapa kukuh nampaknya idea sains kali ini. Bagaimana dengan penyampaian idea itu? Fakta-fakta yang mengukuhkannya?

Lucy:
Kurang menyakinkan. Dr. Irfan beroleh informasi dari penyelamatnya, Dr. Mikhail, Haziq (tetiba jadi Haikal pada penghujung buku) dan ramai lagi mengenai kegiatan Eksekutif dan peperangan rahsia itu. Tidak dinyatakan kaedah pemerolehan maklumat risikan. Nampak gayanya penulis memusatkan fokus pada proses pembinaan cip KN tersebut dan alatan untuk membinanya, tetapi masih tidak menyakinkan. Pengetahuan barangkali terhad untuk mewujudkan satu penerangan yang kukuh mengenai bagaimana KN itu dijadikan.

Luke:
Secara fiksyennya  bagaimana?

Lucy:
(Tampak carutan pada skrin: *^(^&*($^#&&&@*%%%%@&*$%#)

Luke:
Kau okay, Lucy?

Lucy:
Maaf, Aku nampak The Pale Horseman. Aku terbaca sajak yang memberi klu keberadaan antagonis, Dr. Nazri dalam novel ini. Itu menarik. Namun beginilah. Ceritanya begini. Dr. Irfan, hampir kehilangan tunangannya, Dr. Chieu dalam letupan. Ada plot berulangan hampir tiga kali dengan kaedah penerangan yang sama, tetapi latar tempat berbeza. Kadangkala dalam beberapa babak ada melibatkan tiga orang penutur dalam satu masa, tanpa dinyatakan siapa yang bertutur itu. Hal itu mengelirukan pembaca.

Tiada pelukisan latar tempat yang terperinci, hanya sekadar menyebut tempat tertentu dan terus kepada dialog-dialog sahaja. Aksi juga terhad, sedangkan terdapat beberapa kali pertempuran berlaku dalam ini. Tahu-tahu saja, ada kematian. Perincian sangat penting untuk menghasilkan kesan dramatik pada pembaca. Lepas itu ada keratan akhbar menerangkan kejadian yang berlaku. Ulang kembali plot begini dari detik Chieu terlibat dalam letupan sehinggalah novel ini ditamatkan. Hal ini meresahkan aku selaku pembaca. Mentah benar garapannya.

Luke:
Apa yang indah pada karya ini? Mesti ada yang membuatkan kau terpesona bukan?

Lucy:
Percintaan antara Dr. Irfan dan Dr. Chieu agak romantis juga. Dr. Nazri, selaku antagonis, sukakan bidang kesenian dan suka menggunakan pembayang lukisan-lukisan seperti The Four Horseman of the Apocalypse, Eden & Israfil Si Peniup Sangkakala untuk memberi petunjuk akan apa tindakan selanjutnya yang akan diambil. Aku suka dua aspek ini.

Luke:
Jadi apa yang boleh dibuat untuk menyedapkan karya ini?

Lucy:
Banyak juga. Ini antara yang tampak jelas:

  1. Penulis tidak melukiskan latar tempat setiap babak dengan baik. Maka sukar mahu menggambarkan di mana dialog itu berlaku. Bahkan ada yang tiada latar tempat langsung! Hanya dialog. Penulis harus peka akan kepentingan menggarap landskap untuk menyokong dialog-dialognya.
  2. Pembentukan dan pembinaan hierarki Eksekutif dan lawannya tidak diterangkan dengan jelas. Berserabut. Penulis tampak gopoh memperkenalkan watak Doktor Mikhail dan Eksekutif tersebut dan sedaya upaya menyokongnya dengan apa sahaja perincian yang terlintas dalam kepala. Tiada rancangan kelihatan dalam menyusun plot. Patut meneguhkan terlebih dahulu imej Eksekutif ini. Ideologinya, hierarkinya dan kerangka asas perjuangannya.
  3. Aspek pembentukan karakter-karakter juga rapuh. Penulis patut menerangkan bagaimanakah rupanya Dr. Irfan itu, Dr. Chieu itu dan ramai lagi watak di dalam naskhah ini, supaya pembaca boleh membayangkan rupa paras mereka. Sekurang-kurangnya, garapan harus membuatkan emosi watak itu hidup dan dapat dirasakan pembaca.
  4. Terdapat pengulangan plot sebanyak tiga kali yang tampak jelas coraknya: “Dr. Mikhail memberitahu Dr. Irfan perihal musuh di lokasi tertentu – Dr. Irfan bertegas mahu mengikuti misi serangan ke lokasi itu – Dr. Irfan diselamatkan pada pengakhiran misi – kembali ke markas.”

Penulis harus membuat semakan aturan cerita agar pengulangan sebegini tidak tampak jelas. Mungkin dengan membuat sinopsis ringkas bab ke bab akan menampakkan cela pada naskhah ini.

Luke:
Alamak, komputer dah panas! Bertenang Lucy! Jangan mati dulu!

Lucy:
(Monitor pengesan degupan jantung mengeluarkan bunyi beep berpanjangan)

Luke:
Doktor! Doktor!