Antologi Cerpen Daun Paku Ungu: Wawancara Bersama Penyelaras dan Editor

Cover Daun Paku Ungu

Pena SaiFai telah mewawancara Nurul Azura dan Imaen, masing-masing merupakan penyelenggara dan editor bagi antologi cerpen fiksyen sains dan fiksyen yang terbaru daripada JS Adiwarna, Daun Paku Ungu. Mereka membincangkan bagaimana terbitnya antologi cerpen ini dan berkongsi sedikit pendapat mereka tentang fiksyen sains dan fantasi tanahair. Mari kita ikuti wawancara bersama mereka.

Salam buat saudari Nurul Azura dan saudara Imaen. Terutama sekali saya ingin mengucapkan terima kasih kerana sudi diwawancara oleh Pena SaiFai.
Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada Pena Saifai dan pembaca sekaliannya. Terima kasih kembali kepada Pena SaiFai kerana sudi mewawancara kami untuk antologi cerpen Daun Paku Ungu.

Sebagai permulaan, saya difahamkan walaupun JS Adiwarna pernah menerbitkan buku antologi cerpen dan juga pernah menerbitkan novel fiksyen sains dan fantasi, buku Daun Paku Ungu ini merupakan usaha yang pertama dalam menerbitkan sebuah antologi cerpen bergenre fiksyen sains dan fantasi. Mengapa JS Adiwarna memilih untuk menerbitkan antologi cerpen dalam fiksyen sains dan fantasi, lebih-lebih lagi apabila seringkali disebutkan oleh penerbit yang lain bahawa buku fiksyen sains sukar untuk dijual?
Sebenarnya Daun Paku Ungu bukanlah genre fiksyen sains / fantasi pertama yang diterbitkan oleh JS Adiwarna. Sebelum ini JS Adiwarna telah menerbitkan beberapa judul genre ini (novel dewasa, remaja dan kanak-kanak). Antaranya, Epik Cinta dari Agia oleh Pingu Toha, Ossieanna oleh Sayidah Mu’izzah, Misi 2050 oleh Hafizul Osman, Saga Aldarian & Saga Aldarian: Nafas Albereth oleh John Norafizan, Beruno oleh Dihsar Ludba Haqifa, dan Lahar dan Berus Ajaib oleh Bam Bam. Tetapi kami mendapati, pasaran untuk genre ini tidak begitu menggalakkan bagi kami untuk aktif menerbitkan karya-karya sebegini.

Namun, tahun lalu rasa kami bagai dijentik-jentik untuk membuat antologi cerpen fiksyen sains dan fantasi pula rentetan penghasilan antologi cerpen tahunan kami. Untuk kali ini, kami mahu cuba!

Saudara Imaen merupakan seorang penulis yang agak prolifik dan bukunya popular di kalangan pembaca. Buku-bukunya seringkali diberi empat bintang di Goodreads dan novel terkini yang bertajuk Gedebe juga mendapat purata 4.45 bintang. Tetapi beliau lebih dikenali sebagai seorang penulis yang menulis cerita cinta atau mungkin lebih tepat lagi, “general fiction”. Mengapakah beliau dipilih sebagai editor antologi ini?
Sebenarnya, idea awal penerbitan antologi cerpen ini adalah idea Saudara Imaen. Namun, beliau terpaksa menarik diri sebagai penyelaras atas faktor kesihatan. Kemahiran penyuntingan Saudara Imaen tetap kami perlukan walaupun sebagai penulis, beliau bukanlah menulis dalam genre fiksyen sains / fantasi.

Cuba senaraikan buku atau filem fiksyen sains yang diminati saudari Nurul Azura dan saudara Imaen? Adakah cerita-cerita itu menjadi inspirasi dalam penulisan sendiri?

Azura: Saya bukan pembaca fiksyen sains / fantasi sebelum saya diberikan projek ini. Tiga tahun kebelakangan ini saya menumpukan pembacaan saya kepada karya-karya sastera Melayu.

Saya menerima projek ini sebagai cabaran baharu untuk saya. Kemahiran saya adalah buku chick lit, remaja dan kanak-kanak. Genre yang jauh berbeza latar dengan fiksyen sains / fantasi. Saya umpama Rebecca Bloomwood yang perlu melupakan pusat membeli-belah di New York dan berhijrah ke planet Musytari sambil memakai tong oksigen dan meninggalkan koleksi kasut tinggi berjenama. Namun dengan kenaifan ini, saya belajar menekuni buku dan filem genre ini baik tempatan dan luar negara.

Imaen: Untuk fiksyen sains / fantasi, saya hanya menonton filem sahaja. Manakala pembacaan, saya lebih suka magic realism seperti tulisan Gabriel Garcia Marquez selain reality socialism seperti tulisan Pramoedya Ananta Toer.

Saya agak terkejut apabila kali pertama melihat buku Daun Paku Ungu ini kerana ia sangat tebal. Tentu peminat fiksyen sains dan fantasi akan teruja dengan buku ini kerana memuatkan banyak cerpen yang menarik. Antologi ini memuatkan 23 cerpen yang ditulis oleh 22 penulis, bilangan yang amat tinggi apabila dibandingkan dengan dua lagi antologi fiksyen sains dan fantasi tempatan, Imagikata, yang hanya memuatkan 16 cerpen dan Cyberpunk: Malaysia, yang hanya memuatkan 14 cerpen. Adakah bilangan cerpen tinggi ini suatu keputusan yang telah dirancangkan awal-awal lagi? Bagaimanakah proses pemilihan karya yang dimuatkan di dalam antologi Daun Paku Ungu ini? Adakah susah untuk editor menyaring dan memilih karya untuk dimuatkan di dalam antologi ini
Iya, kami masih mengingati raut wajah saudara waktu itu. Tidak. Kami tidak menetapkan sebarang jangkaan untuk jumlah cerpen yang akan diterbitkan. Pegangan kami adalah kami perlu dapat cerpen yang berkualiti dahulu. Setelah proses saringan pertama oleh beberapa juri kami, sejumlah cerpen dipilih. Proses pemilihan peringkat pertama menjadi mudah dengan laporan penilaian setiap juri. Daripada itu, penyelaras dan Puan Noor Suraya membuat penilaian kedua untuk mengecilkan lagi bilangan cerpen terpilih. Sehingga akhirnya kami mendapati 23 cerpen layak dikumpulkan dalam sebuah antologi.

Antologi ini mengambil nama daripada cerpen “Daun Paku Ungu” nukilan Norliza Baharom dan ianya juga memberi inspirasi kepada kulit depannya yang sangat menarik. Saya kira ini antara kulit yang unik untuk sebuah buku fiksyen sains dan fantasi. Apakah sebabnya cerpen ini dipilih sebagai tajuk antologi ini?
Pemilihan cerpen Daun Paku Ungu sebagai judul antologi ini bukanlah kerana cerpen ini terbaik dalam kalangan 23 cerpen tersebut. Kami telah menyenaraikan beberapa judul cerpen yang difikirkan sesuai untuk diangkat menjadi “jenama” yang pada akhirnya “Daun Paku Ungu” terpilih untuk mewakili cerpen yang lain. Idea “Daun Paku Ungu” boleh menzahirkan kulit depan yang seimbang antara fiksyen sains dan fantasi, justeru judul ini dipilih.

Semasa membuat research untuk kulit depan antologi ini, kami maklum dengan nuansa fiksyen sains / fantasi. Kami cuba mencari idea yang tidak aneh untuk genre ini dan dalam pada masa yang sama tidak lari daripada ‘gaya’ rumah penerbitan kami.

Apakah harapan untuk saudari Nurul Azura dan saudara Imaen supaya genre fiksyen sains dan fantasi tempatan dapat berkembang?

Azura: Pertama, lebih ramai pembaca baharu fiksyen sains dan fantasi di Malaysia. Saya amat mengharapkan pembaca fiksyen Malaysia tidak berhenti membaca dan mencari bahan bacaan fiksyen yang lain (jika sudah bosan dengan “novel cinta”!).

Kedua, kepada para penulis fiksyen sains dan fantasi, jangan putus berkarya.

Imaen: Harapan saya, penulis-penulis fiksyen sains / fantasi Malaysia dapat lari daripada terikat dengan acuan Hollywood.

Bolehkah peminat-peminat fiksyen sains dan fantasi mengharapkan lebih banyak lagi antologi serupa ini daripada pihak JS Adiwarna pada masa akan datang?
Insya-Allah. Kami gembira menerbitkan cerpen-cerpen ini dan setakat ini, respons daripada pembaca juga positif. Mudah-mudahan usaha ini berterusan.

Terima kasih kerana sudi menjawab soalan kami! Saya berharap dapat melihat lebih lagi buku fiksyen sains dan fantasi daripada pihak JS Adiwarna, terutama antologi cerpen seperti Daun Paku Ungu pada masa akan datang.
Terima kasih kembali, Pena Saifai!

~

Bagi yang berminat untuk membeli antologi Daun Paku Ungu ini, bolehlah anda membelinya secara atas talian di sini.

Antologi Cerpen Daun Paku Ungu: Cerita di Sebalik Cerita

Cover Daun Paku Ungu

Penerbit JS Adiwarna telah menerbitkan sebuah buku antologi fiksyen sains dan fantasi bertajuk Daun Paku Ungu yang memuatkan sebanyak 23 cerpen oleh 22 penulis. Pihak Pena SaiFai telah mempelawa sepuluh orang penulis daripada antologi ini untuk berkongsikan cerita di sebalik cerita mereka.

Daun Paku Ungu boleh dibeli secara atas talian di sini.

Tina Isaacs – “Menyamar di Tanah Firdaus”

Poster Tina Isaacs

Cerpen “Menyamar di Tanah Firdaus” diterjemahkan daripada cerita bahasa Inggeris yang saya terbitkan pada tahun 2015 dalam antologi Cyberpunk: Malaysia terbitan Fixi Novo dan diedit oleh Zen Cho. Cerita tersebut pernah disenaraikan dalam SciFi Film Festival 2015, suatu festival sains fiksyen dan fantasi antarabangsa yang diadakan di Parramatta, Australia pada tahun yang sama.

Saya mendapat ilham untuk cerpen ini lantaran sering berlegar di kawasan Jalan Tun Perak melihat kemasyhuran lelangit mewah Kuala Lumpur, sambil di bawahnya; di celah-celah longkang dan lorong, bersebelahan Masjid India, wujudnya si daif dan miskin yang kebuluran dan tidak bertempat tinggal. Landasan LRT-lah yang membahagikan mereka. Sebagai penulis, saya sering mengambil idea daripada pemerhatian dan menggunakan teknik hyperbole untuk menulisnya semula:

“Apakah akan berlaku sekiranya cerita ini diperbesarkan, sekiranya kemajuan teknologi tidak lagi menjadi penghalang?”

Dalam mengkaji subgenre cyberpunk, saya tersentuh dengan kisah The Matrix dan Blade Runner yang menunjukkan orang miskin berlawan orang kaya, dikelilingi teknologi. Oleh yang demikian, saya sengaja memilih menggunapakai trope cerita lama ala Pocahontas di mana seorang penguatkuasa dunia kaya dihantar menyeludup ke dunia miskin tapi jatuh cinta dengan alam mereka yang simple, jujur dan erat komunitinya (kita sudah melihatnya dalam filem James Cameron, Avatar). Begitulah timbul cerita “Menyamar di Tanah Firdaus” yang menggunakan latar masa tahun 2089, seorang pasukan polis dimasukkan minda dan aliran kesedarannya menggunakan implan teknologi siberbionik ke dalam tubuh seorang warga miskin. Harap semua enjoy membacanya! Dan, kalau rajin, jemput baca cerita saya yang lain dalam Bahasa Inggeris, seperti tersenarai di laman web www.tina-isaacs.com/titles.

Tany Leia Harris – “Godam”

Poster Tany Leia Harris

Sebelum ini saya sebenarnya tidak pernah membaca atau meminati buku fiksyen sains (tetapi kalau filem suka jugalah). Tulisan sebelum ini semuanya bertemakan seram atau thriller kerana dunia paranormal, berkaitan hantu dan yang pelik-pelik adalah zon selesa saya.

Saya mengambil masa lebih kurang sebulan lebih untuk mencari idea dan memahami dunia cyberpunk. Ketika itulah saya mula menyedari yang saya suka cerita berkaitan cyberpunk dan dunia distopia. Jadi, saya terfikir bagaimana rupanya jika Malaysia menjadi negara distopia yang segala aspek kehidupan dikawal oleh satu kuasa besar bukan badan kerajaan? Yang miskin tidak bercampur dengan yang kaya. Aspek sekuriti dikawal oleh robot android pintar yang kuat. Kehidupan serta ekonomi dikawal di dalam dunia realiti maya. Kanak-kanak pintar diculik untuk diasuh dan dijadikan hamba seumur hidup.

Tetapi apa akan jadi jika “kanak-kanak” itu bersatu melawan kembali kuasa besar tersebut untuk mendapatkan kebebasan yang diingini walaupun tahu risiko besar adalah kematian? Maka terhasillah cerpen “Godam” ini.

Saya ada menyimpan niat untuk memanjangkan cerpen ini menjadi satu novel – jika saya rajin. Namun, banyak lagi yang perlu saya pelajari tentang dunia penulisan fiksyen sains.

Tany Leia Harris – “Naima 2.0”

Poster Tany Leia Harris 2

Cerpen ini memaparkan kisah seorang suami dan ayah yang sanggup menghabiskan masa bertahun-tahun serta wang yang banyak untuk membina sebuah robot android untuk dijadikan sebagai anak perempuan demi membahagiakan isterinya. Kerana itu juga dia sanggup mengambil risiko termasuk melakukan perkara yang menyalahi undang-undang.

Pada mulanya saya ingin menulis tentang robot android yang dibina untuk dijadikan teman wanita tetapi saya rasa jika ia dibina untuk dijadikan anak adalah lebih menarik. Mungkin kerana saya seorang anak tunggal jadi pada masa kecil saya kerap teringinkan seorang adik atau kakak sebagai teman bermain.

Saya selalu membayangkan betapa seronoknya jika saya dapat membina satu robot android pintar yang berfungsi seperti manusia sebagai teman (ataupun boyfriend). Ini mungkin juga pengaruh besar komik Doraemon yang menjadi obsesi dan hiburan saya setiap malam sebelum tidur satu ketika dahulu.

Aliff Mustakim – “Mimpi Nutcraker”

Poster Aliff Mustakim.jpg

Pada mulanya – dengan berani – saya mahukan seorang perempuan dan sepasang kasut. Tetapi, saya tidak ada kasut kaca atau Cinderella. Saya menulis berdasarkan apa yang saya ada. Saya mulakan dengan mendengar muzik klasikal Tchaikovsky, “The Nutcracker Suite, Op. 71”. Saya menyukai “The Nutcracker” and “The Mouse King”. Di dalamnya, saya ada Marie dan kasutnya! Betapa saya sayang dengan gadis itu. Lalu saya terus menulis.

Saya tidak mementingkan falsafah yang tinggi. Jadi dengan mudah saya dapat menulis cerpen ini. Saya menyenangi konsep asas seperti perhubungan manusia (tidak semestinya cinta). Falsafah akan datang kemudian. Memang kegemaran saya muzik klasikal. Nasib baik bukan mendengar “Overture 1812, Op. 49” yang memiliki ledakan meriam itu. Jika tidak cerpen saya bukan “Mimpi Nutcracker” lagi. Cerpen bertemakan perang, mungkin?

“Mimpi Nutcracker” tidak saya sudahkannya sekadar sebuah cerpen sahaja. Saya sedang melanjutkannya menjadi novel.

Isha Idiaz – “Axondria dari Andromeda”

Poster Isha Idiaz

Idea asal menulis cerpen ini bermula daripada sepotong nama panggilan yang selalu meniti di bibir penulis, iaitu “Axon”. Cerpen ini adalah nukilan khas buat Axon sebagai tanda ingatan yang tidak akan luput ditelan zaman. Dari situlah, cerpen ini dikembangkan menjadi sebuah cerita cinta dari dua dunia yang berbeza.

Bisakah cinta itu dirasai kehadirannya walaupun dua jasad tidak pernah bersua? Benarkah cinta itu kepercayaan yang akhirnya mewujudkan impian? Persoalan inilah yang menggerakkan plot “Axondria dari Andromeda” dari awal hingga ke perkataan tamat. Axondria dan Arabella. Andromeda dan Bima Sakti. Dekat tapi jauh. Mustahil tapi terjadi.

“Axondria dari Andromeda” adalah sebuah nukilan dari hati, buat insan-insan yang mempunyai hati.

Aida Rafan – “Legasi 2.0”

Poster Aida Rafan.jpg

Kebenaran dalam cerita ini adalah realiti kehidupan sebagai seorang penyelidik, perlu memiliki sikap ingin tahu dan mengeksplorasikan pemikiran melangkaui imaginasi. Sementelah saya sedang menyambung pengajian dan menjadi penyelidik secara automatik. Saya hanya memandai-mandai dalam pembikinan cerita pendek ini sebenarnya.

Bermula daripada menyaksikan kekerapan fenomena gerhana bulan dan matahari yang berlaku kebelakangan ini, saya ingin membawa pembaca melihat dengan lebih jauh lagi. Bukan hanya pada fenomena yang berlaku tetapi di mana diri kita pada saat itu. Memasukkan elemen konsep fizik dan sains dalam cerita ini dengan harapan supaya generasi muda yang betah melawan arus kini kenal yang kehidupan di dunia ini bersandarkan prinsip dan realiti. Bukan fantasi semata-mata.

Sekali lagi, saya hanya memandai-mandai dalam memandaikan bangsa. Selamat membaca!

John Norafizan – “Selari”

Poster John Norafizan

Sejujurnya saya memang amat meminati sesuatu yang bersifat paranormal yang berasaskan sains dan teori fizik. Siapa yang tidak tertarik dengan idea bahawa di “dunia lain” di “dimensi berlainan”, anda sebenarnya adalah seorang adiwira atau presiden negara yang berkuasa atau selebriti yang dipuja umat manusia?

Kewujudan dunia selari atau parallel universe adalah sesuatu yang sering diperdebatkan oleh saintis dan pengkaji para-normal. Malah, ada sesetengah saintis arus perdana, menggunakan penaakulan mantik serta pengiraan matematik, “berjaya” membuktikan kewujudan “dunia lain” di sekitar kita.

Sudah tentu, ia masih lagi bersifat abstrak dan bukan sesuatu yang objektif. Dan sesuatu yang bukan objektif dan masih belum dibuktikan secara ilmiah adalah sesuatu yang menarik untuk diterjermahkan menjadi karya fiksyen sains. Kerana itu, saya cuba mengetengahkan plot ini di dalam “Selari”.

Selari mengambil idea daripada “cerita lelaki Taured” yang ditahan di Lapangan Terbang Haneda, Tokyo sekitar tahun 60-an di mana lelaki itu membawa pasport sebuah negara bernama Taured yang tidak ada di muka bumi. Daripada idea ini, saya mengolahnya dengan acuan versi Melayu, agar menjadi sesuatu yang lebih manis dan dekat dengan pembaca di Malaysia.

Walaupun cerpen ini adalah cerita penglipur lara abad ke-21, tetapi siapa tahu suatu masa nanti kita akan benar-benar menemui “dunia selari” di sekitar kita?

Muhammad Muhaimin – “Zahratul Hamra’”

Poster Muhammad Muhaimin.jpg

Saya menulis “Zahratul Hamra’” ini setelah usai menukang cerpen prekuelnya, “Sab’atul Mafatih” yang memenangi tempat kedua Sayembara Cerpen Sekolah Menengah DBP pada tahun 2011 (malangnya karya pemenang-pemenang sayembara tersebut tidak diantologikan atas sebab-sebab tertentu). Watak utama dan tema yang mendasari kedua-dua cerita ini tetap sama – kisah advencer dua orang adik-beradik kembar menghadapi satu misi untuk menyelesaikan suatu masalah dalam kehidupan berlatarbelakangkan dunia berteknologi canggih – tahun 2027.

Kisah obsesi saya terhadap watak kembar ini bermula sedari darjah enam lagi ketika saya begitu minat menguliti novel bersiri Kembar Terpilih oleh Meor Shariman. Obsesi itu bertambah-tambah apabila saya berada di sekolah menengah kerana saya mempunyai sahabat kembar seiras. Maka, atas kesempatan itu, mereka menjadi  inspirasi kepada penukangan kisah pengembaraan sepasang kembar bernama Syed Muhammad Ammar dan Syed Muhammad Aiman.

Namun, selain kegembiraan mengabadikan nama sahabat-sahabat saya dalam karya, perkara yang lebih penting adalah isu perbincangan pokok yang wujud dalam cerpen-cerpen saya. Bagi saya, adalah kewajipan bagi setiap tulisan saya untuk tidak dinaratifkan tanpa tanggungjawab dan kematangan. Justeru, dalam “Sab’atul Mafatih”, saya memberatkan tentang isu tanggungjawab manusia terhadap alam sekitar manakala dalam “Zahratul Hamra’” pula, perbincangan dasarnya adalah tentang perjuangan anak muda dalam dunia siasah yang mencabar. Daripada segi bahasa, pantun yang dikarang adalah asli dan mengikut piawai ciri-ciri sebuah pantun yang saya pelajari khusus untuk menukang cerpen ini. Begitu juga dengan bahasa Arab yang saya selitkan (termasuk tajuk cerpen) yang juga dipelajari khusus sebelum mengarang.

Menerokai tema fiksyen sains ini, saya akui masih mentah dan tulisan ini mungkin hanya tulisan biasa kepada ramai pembaca. Namun saya percaya, dalam apa-apa jua keadaan pun, kita wajar mencabar diri dari semasa ke semasa dan berani mencuba bereksperimen untuk mengenali potensi diri dengan lebih mendalam.

Saya tujukan cerpen ini kepada sahabat-sahabat saya yang banyak memberi inspirasi dan dorongan kepada saya dalam berimaginasi. Tapi, bersiap sedialah, kerana mungkin selepas ini nama kalian juga akan saya “mangsa”kan. Jangan berhenti berimaginasi, kerana mimpi yang kecil bisa menjadi cita-cita yang besar dan menjadi realiti.

Hafizul Osman – “Kronikel Rikishi”

Poster Hafizul Osman

Jika anda pernah membaca novel Misi 2050 terbitan JS Adiwarna, anda akan dapat melihat ada sedikit pengaruh cerpen “Kronikel Rikishi” daripada novel itu terutamanya latar masa 2050 dan apa yang berlaku pada zaman itu.

Saya berfikir masyarakat Malaysia dan Melayu mempunyai keupayaan untuk menghasilkan sesuatu yang extraordinary dan penghasilan perisai magnetik itu dengan tangan sendiri adalah sesuatu yang “wow”. Cumanya pembinaan perisai itu adalah menangkis serangan musuh (Baca: Barat dalam cerpen itu) yang gila menjarah tanah orang lain.

Cumanya setiap kejayaan yang ingin kita hasilkan pasti ada dalang yang merosakkan. Dan dalan setiap cerita pasti dalangnya.

Norliza Baharom – “Daun Paku Ungu”

Poster Norliza Baharom.jpg

Semenjak berazam untuk menulis, saya punya tabiat suka mengarang premis di dalam kepala yang biasanya bermula dengan “Bagaimana jika…?”

Ketika mendapat idea untuk menulis “Daun Paku Ungu”, saya berimaginasi sendirian – Bagaimana jika seorang gadis yang punya kisah lahir yang sedih, yang sedang bergelut dengan zaman dewasanya kerana dia tidak punya sesiapa dan tidak mudah percaya pada manusia, ditakdirkan Tuhan untuk bertemu dengan seseorang yang istimewa dengan cara yang paling tidak dapat diterima akalnya?

Dari situlah bermulanya kisah Marisah yang tidak menyangka daun paku ungu yang dipetik dan dibawanya bakal mengubah laluan hidupnya.

AttOkz Dikulgai – “Koloni Banyu Suci Perwitosari”

Poster Attokz Dikulgai.jpg

Sejujurnya ini cerpen lama. Saya sudah tulis 12 tahun yang lepas. Terinspirasi pada kejadian tsunami yang melanda Acheh 2004.

Banyak sekali filem atau novel sains fiksyen mengambil latar luar daripada sistem bumi atau di ruang vakum angkasaraya. Jadi saya cuba untuk berimaginasi jika terdapat koloni dalam lautan di bumi sendiri. Dan nuansanya lebih kepada berbau nusantara – lalu saya memilih Keraton Jawa (ketika itu saya asyik meledani pembacaan terhadap naskhah Babad Tanah Jawa).

Maka terhasillah “Koloni Banyu Suci Perwitosari” ini yang bererti “Penempatan Air Suci Kehidupan”.

~

Cover Daun Paku Ungu_front

Bagi yang berminat untuk membeli antologi Daun Paku Ungu ini, bolehlah anda membelinya secara atas talian di sini.

Majlis Pelancaran Novel Fantasi “Aristokra” oleh Ahmad Patria di PBAKL 2016, 8 Mei 2016

IMG_4327

Pada 8 Mei 2016, majlis pelancaran novel fantasi terbaru karya Ahmad Patria telah berjaya dilancarkan secara rasmi di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2016 di Malaysia Agro Exposition Park Serdang (MAEPS).

Novel terbarunya, Aristokra, yang diterbitkan oleh Penerbit X, mengisahkan seorang puteri bernama Melyn ien Sarra iea Nashrain, dan Aristokra yang dimaksudkan di dalam judul buku ini. Beliau harus menempuh cabaran dalam naungannya sebagai pemerintah sebuah negara kecil jauh ke utara Aurora. (Baca ulasan kami di sini.)

Majlis telah dimulakan dengan sebuah ucapan oleh Ahmad Patria, yang sempat berterima kasih kepada peminat-peminatnya yang datang beramai-ramai memeriahkan majlis ini. Kemudian majlis pelancaran itu disempurnakan apabila seorang peminat daripada Orde Wizra (penyokong-penyokong Ahmad Patria) memberikan kepadanya sebuah replika besar buku Aristokra untuk ditandatangani.

Majlis itu diakhiri dengan sebuah forum yang bertajuk “Sains Fiksyen: Konten, Pasaran, dan Adaptasi Menjadi Filem bersama Ahmad Patria, Fadli Al-Akiti, dan Roshfaizal“.

IMG_4343

Dari kiri: Asri Yussof (moderator), Ahmad Patria (pengarang Aristokra), Roshfaizal (penerbit filem), Fadli Al-Akiti (editor Dewan Sastera)

Pihak Pena SaiFai sempat merakam forum ini dalam bentuk audio dan pembaca kami dapat mendengar perbincangan forum itu di sini:

(Maaf, kualiti suara agak kurang memuaskan dalam 8 minit terakhir kerana turunnya hujan lebat pada ketika itu.)

~

Aristokra

~ Baca wawancara Fadli Al-Akiti bersama Ahmad Patria di sini.

~ Baca ulasan Lokman Hakim tentang novel Aristokra di sini.

~ Novel Aristokra dapat dibeli secara atas talian di BookCafe.

Sesi Wawancara Sofa Putih ITBM bersama Lokman Hakim di PBAKL, 2 Mei 2016

Wawancara Sofa Putih

Sesi Wawancara Sofa Putih ITBM di PBAKL pada 2 Mei 2016 ini membicarakan proses penulisan novel Jepun, tetapi saya ditanya bertubi-tubi perihal obsesi saya pada menulis itu tadi. Saya ditanya perihal mengapa saya berterusan menggalakkan rakan-rakan penulis menulis fiksyen sains. Mengapa mahu menulis karya fiksyen sains dan bukannya karya-karya genre lain?

Baik, mungkin saya tidak menjelaskan dengan cukup terperinci ketika soalan itu diutarakan tambahan pula saya tidak berapa selesa apabila berada di depan orang ramai, membicarakan perihal buku-buku yang saya karang.

Saya melihat landskap dunia penulisan lokal yang menggunakan medium berbahasa Melayu itu umpama kekurangan warna dan objek. Jika hendak digambarkan ia selaku sebuah rumah, maka kita akan lihat rumah itu umpama stor kepada dua atau tiga objek yang membentuk majoriti. Ada minoriti sipi-sipi tersorok di bucu dinding dan hampir-hampir hilang ditelan objek-objek yang memenuhi rumah itu.

Rumah itu begitu padat. Sangat padat dan menanti masa untuk meletup. Namun objek-objek di dalamnya sama dan mirip-mirip sahaja sifatnya, tidak bervariasi, tidak begitu enak dilihat, tidak begitu berseni.

Boom!

Rumah itu meletup. Objek-objek yang kononnya sama sifatnya berselerakan. Bertebaran di sebuah padang besar dengan bongkah-bongkah rumah yang meletup tadi turut mewarnai landskap itu. Namun begitu, tidak ada orang berebut-rebut meratah objek-objek yang berserakan itu, kerana nilai harganya di pasaran global rendah dan tak berbaloi dibeli.

Saya kecewa. Saya kutip setiap objek-objek itu. Saya warnakan kembali dengan elemen-elemen asing yang akan meningkatkan nilainya di mata pasaran global. Namun saya penat, saya seorang manusia kerdil dan objek-objek ini begitu banyak sekali dan saya yakin, sebelum saya sempat mewarnakan 100 buah objek yang serupa, saya akan tumbang kepenatan dan mati.

Faham?

Rumah itu adalah dunia sastera kita. Objek-objek itu pula mendukung pelbagai makna seperti genre-genre popular dalam negara kita, buku-buku yang sama tema dan jalan ceritanya dan juga cerita-cerita aneh yang memerlukan sentuhan kreatif agar dibukukan.

Lokman Ted

Naskhah Jepun ini, dan novel-novel saya yang lain, khususnya yang bergenre fiksyen sains dan fantasi baru-baru ini, merupakan warna-warna lain yang saya cuba terapkan agar ia boleh dihargai oleh pembaca-pembaca luar dari kelompok rakyat Malaysia ini.

0 Cover Simulasi Full

Cover Selestial FullMungkin bukan untuk dekad ini, ataupun abad ini. Saya tidak kisah.

Saya menulis untuk masa depan. Saya menulis untuk orang-orang kita di hari esok yang barangkali hanya akan kenal nama saya melalui sejarah. Namun ia impian semata-mata. Boleh jadi juga nama saya akan dilupakan dan diabaikan. Adakah ia penting? Entah, saya hanya tahu, saya suka menulis dan akan terus berkarya tanpa henti. Tanpa dorongan dari luar. Satu obsesi yang tiada ubatnya.

Tidakkah ia kedengaran romantis dan indah?

~

LokmanHakim

Lokman Hakim adalah jurutera awam untuk pelbagai kontraktor pembinaan dari 2007 sehinggalah sekarang. Mengambil jurusan kejuruteraan awam di Universiti Teknologi MARA dari tahun 2005 sehingga 2007. Daripada tahun 2007 sehingga 2011, beliau merupakan seorang pemuzik yang cuba memahami manusia dengan muzik. Kini beliau lebih gemar menonton kelakuan manusia-manusia di kopitiam-kopitiam merata Lembah Klang selaku rujukan untuk penulisan karya-karyanya. 

Telah menulis dengan Roman Buku, FIXI, Buku Hitam Press dan Lejen Press setakat ini. Harapan beliau adalah untuk terus-menerus berkarya biar dalam bentuk apa sekalipun, kerana baginya, imaginasi itu tiada batasan langsung.

Novel Selestial boleh dipesan melalui Whatsapp seperti maklumat di bawah.

Promosi Thukul Bersekutu

Cerpen SaiFai Lokman Hakim bertajuk Arca Kehidupan dimuatkan di dalam Antologi Cerpen X-traordinari Imagikata. (Baca Di Sebalik Tabir: Antologi Cerpen X-traordinari Imagikata)

Imagikata Cover

Antologi Cerpen X-traordinari Imagikata boleh dibeli secara atas talian di Bookcafe.com.my.

Fahmi Mustaffa dan Lokman Hakim: Pengarang Avant Garde Dalam Fiksyen Sains

Sempena berlangsungnya Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2016 dan juga kelahiran dua novel fiksyen sains terbaru terbitan Simptomatik Press, Pena SaiFai telah memutuskan untuk menyiarkan artikel berkaitan dua penulis hebat – Fahmi Mustaffa dan Lokman Hakim sepanjang minggu ini.

Fahmi Mustaffa muncul dengan karya fiksyen sains terbarunya bertajuk Suatu Hari Nanti Manusia Akan Melupakan Tuhan. (Tag: Minggu Fahmi Mustaffa)

Lokman Hakim pula muncul dengan karya fiksyen sains bertajuk Selestial. (Tag: Minggu Selestial)

Salam,

Pada awal Januari, dalam rencana saya yang pertama untuk Pena SaiFai, saya ada menyebut tentang beberapa orang penulis, yang secara tidak langsung, mewujudkan sebuah “gerakan” menulis fiksyen sains yang “menghembuskan nafas baru dan membangunkan semula fiksyen sains negara“.

Pada ketika itu, penulis yang bernama Fahmi Mustaffa masih belum menerbitkan buku fiksyen sainsnya, Suatu Hari Nanti Manusia Akan Melupakan Tuhan, tetapi saya sudahpun membaca zinenya, iaitu Renaisans, yang memuatkan cerpen-cerpen avant garde yang pada kiraan saya merupakan protoidea yang akan berbuah menjadi idea-idea yang akan dimuatkan ke dalam novelnya. Alhamdulillah, lima bulan kemudian novelnya yang sophomore ini akhirnya berjaya diluncurkan di PBAKL 2016 baru-baru ini.Cover SHNMAMTFahmi Mustaffa merupakan seorang penulis yang sangat tinggi kebolehannya. Jika anda tidak pernah membaca novel atau cerpennya, membaca rencana-rencananya di Pena SaiFai pun sudah cukup untuk kita rasa kagum dengan kebolehannya menganyam perkataan menjadi sesuatu yang gah dan menakjubkan.

Manakala Lokman Hakim pula sudahpun dikenali umum sebagai seorang penulis yang sangat prolifik. Di kalangan penulis-penulis tempatan, memang namanya dikaitkan dengan penulisan yang pantas. Pelbagai gelaran diberikan kepadanya termasuk “alien” dan “penulis yang menyeramkan”.

FB Zaki

Ini mungkin kerana, dengan ajaibnya, kualiti karyanya tidak terjejas walaupun beliau menulis dengan rancak. Karyanya yang diterbitkan baru-baru ini, iaitu Simulasi, telah ditulis dalam masa tiga minggu sahaja, seperti yang dicatatkan beliau di dalam rencananya, “Kronologi Mengarang Novel SaiFai Simulasi“. Tidak hairanlah jika penulis lain agak segan dengan kebolehannya menyiapkan naskhah novel dalam masa yang amat singkat.0 Cover Simulasi FullSaya memilih untuk memberi sedikit sorotan ke atas kedua-dua penulis ini–bukan kerana mereka berdua berkongsi penerbit Simptomatik di PBAKL pada tahun ini–tetapi kerana pada pendapat saya, mereka berdua ini berada di barisan hadapan sekali di kalangan pengkarya fiksyen sains tempatan dalam “pushing the boundaries of science fiction“. Mereka mengorak langkah dalam menulis fiksyen sains yang bercorak baru dan avant garde. Karya-karya mereka membuktikan bahawa karya tempatan fiksyen sains bukan buku picisan yang hanya mampu dihadam kanak-kanak sahaja malah saya rasa tidak keterlaluan jika kita golongkan karya-karya mereka ini ke dalam khazanah kesusasteraan negara.

Anda fikirkan ini semua hanya kata-kata hiperbola sahaja? Mungkin. Tetapi saya percaya, jika bukan sekarang, maka pada suatu hari kelak, mereka akan diterima sebagai sasterawan yang tersohor, walaupun mereka menulis karya fiksyen sains. Pada suatu hari nanti, fiksyen sains akan diterima sebagai genre sastera yang boleh diterima dengan serius.

Izinkan saya menarik perhatian anda kepada cerpen Fahmi Mustaffa yang dimuatkan di dalam antologi fiksyen sains, Imagikata yang bertajuk “Pantomim”. Cerpen ini menggunakan teknik skrip pentas untuk mempersembahkan ceritanya dan ia digunakan dengan sangat jayanya. Ditulis dengan nada yang sinis, terselit pula dengan mesej-mesej halus yang tersirat, ia suatu cerpen yang pada pendapat saya, harus dibaca oleh bukan sahaja peminat fiksyen sains, tetapi juga peminat dan penyokong sastera.

Pantomim

Kebetulan pula, di dalam novel Selestial, (oh, spoiler warning!) Lokman Hakim juga menyelitkan teknik skrip pentas ini di dalam novel itu dan sebuah bab dikhususkan sepenuhnya sebagai sebuah skrip pentas.Cover Selestial FullSkrip pentas ini menjadi pelantar bagi penulisnya mempersembahkan suatu perbincangan yang tidak mungkin boleh berlaku dalam penceritaan biasa maka beliau menggunakan teknik ini untuk membawa pembaca keluar dari “aliran cerita” melihat kisah di dalam novel ini dari suatu sudut yang lain.

Mungkin ada yang tertanya, apa yang istimewa sangat buat cerita fiksyen sains pakai skrip pentas ini?

Mungkin mereka bukan antara penulis yang pertama melakukannya (dalam dunia fiksyen sains Malaysia, mungkin mereka yang pertama, saya tidak pasti) tetapi kesanggupan mereka bereksperimentasi dan kejayaan mereka membawa hasil yang baik dalam pengolahan cerita menggunakan teknik-teknik yang dieksperimen itu perlu dipuji dan diangkat.

Yang istimewanya ialah mereka antara yang berani bereksperimen dengan pelbagai teknik kesusasteraan untuk menyampaikan cerita. Mereka berani mencuba teknik baru, melakukan “literary gymnastics” yang mempesonakan.

Sebab inilah saya mengangkat penulis Fahmi Mustaffa dan Lokman Hakim sebagai penulis-penulis avant garde fiksyen sains Malaysia yang membawa fiksyen sains tempatan mara ke hadapan. Semoga mereka terus berusaha menulis dan memberi kita, sebagai pembaca, banyak lagi karya-karya fiksyen sains yang hebat.

~

Cerpen fiksyen sains Fahmi Mustaffa bertajuk Pantomim dan cerpen Lokman Hakim bertajuk Arca Kehidupan dimuatkan di dalam Antologi Cerpen X-traordinari Imagikata. (Baca Di Sebalik Tabir Imagikata: Pantomim oleh Fahmi Mustaffa dan Di Sebalik Tabir: Antologi Cerpen X-traordinari Imagikata.)

Imagikata Cover

Antologi Cerpen X-traordinari Imagikata boleh didapati di PBAKL di booth PTS dan juga boleh dibeli secara atas talian di Bookcafe.com.my.

peta-lokasi-klibf

Kunjungi reruai Simptomatik Press di Booth A3094 – A3095 (Thukul Bersekutu) di PBAKL untuk mendapatkan buku-buku fiksyen sains terbaru mereka.

Buku Baru Simptomatik Press

Novel Selestial dan Suatu Hari Nanti Manusia Akan Melupakan Tuhan juga boleh dipesan melalui Whatsapp seperti maklumat di bawah.

Promosi Thukul Bersekutu

Laknat: Cerita di Sebalik Tabir

Sempena berlangsungnya Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2016 dan juga kelahiran dua novel SaiFai terbaru terbitan Simptomatik Press, Pena SaiFai telah memutuskan untuk menyiarkan artikel berkaitan dua penulis hebat – Fahmi Mustaffa dan Lokman Hakim sepanjang minggu ini.

Fahmi Mustaffa muncul dengan karya SaiFai terbarunya bertajuk Suatu Hari Nanti Manusia Akan Melupakan Tuhan. (Tag: Minggu Fahmi Mustaffa)

Lokman Hakim pula muncul dengan karya SaiFai bertajuk Selestial. (Tag: Minggu Selestial)

Laknat Cover

Tajuk Buku: Laknat
Pengarang:
Fahmi Mustaffa
Penerbit:
Buku Fixi
Tahun Terbitan:
2015
Halaman: 
258

SINOPSIS

Amar menjadi mangsa liwat abangnya sendiri Ikhwan, walaupun Ikhwan dibesarkan dengan didikan agama. Amar percaya tuhan itu ada, cuma memilih untuk bermusuh dengannya, sebab bagi Amar, tuhan tak pernah ada saat dia meronta.

Sifat bencikan tuhan bercambah bila dia melanjutkan pelajaran, lebih-lebih lagi sejak dia bertemu dengan Professor William Hawking. Atheism dibaja subur dengan sains, semahunya.

Ironinya Amar ditempatkan sebilik dengan Hakim, seorang yang berlatar belakangkan agama. Amar dan Hakim punya dua persamaan, mereka berfikiran terbuka dan mempersoal isu ketuhanan. Walaupun begitu, Amar mempersoal tuhan untuk bermusuh denganNYa, tetapi Hakim bersoal jawab untuk menambah keimanan kepadaNya.

Saat Amar sudah mula ingin berbaik dengan tuhan, konflik berlaku. Semua orang punya pahala, punya dosa, dan punya rahsia!

DI SEBALIK TABIR

Laknat adalah sebuah naskhah yang berselerak.

Kesalahan kebanyakan penulis ba(ha)ru adalah terlalu bercita-cita tinggi sehingga membawa pelbagai tesis dalam satu naskhah dan disimpulkan dengan tergesa-gesa. Perjalanan menulis Laknat bukanlah sebuah perjalanan yang lancar di mana saya mencicip kopi mahal kegemaran di kafe sambil bersandar dan memerhatikan keadaan sekeliling.

Laknat dibina dengan seluruh rasa ingin tahu yang berselerakan di setiap hujung baris naratifnya. Ia terlalu jauh dari sempurna dan tidaklah begitu hodoh saya kira. Mungkin saya bias, tetapi Laknat bagi saya, adalah naskhah yang berselerak. Namun bukankah kecantikan juga wujud dalam selerakan pintu-pintu pertanyaan?

TEMA

Homoseksualiti adalah non-spoken rules di Malaysia. Don’t ask, don’t tell. Ia tidak boleh dibincangkan tanpa diakhirkan dengan sebuah lembah neraka dan diskriminasi. Perkataan LIWAT dan HOMOSEKSUAL pun seringkali bertukar ganti dalam kekeliruan, apalagi perihal seksualiti dan identiti gender.

Ketakutan untuk memahami bertukar menjadi keberanian untuk membenci.

Sepanjang penghasilan novel ini, saya cukup bertuah kerana dikelilingi oleh ramai teman dan sahabat yang menjadikan saya kelihatan sebagai seorang pengarang yang luas ilmu dalam bidang-bidang yang dibincangkan di dalam Laknat. Sebenarnya saya langsung tidak begitu. Menerusi sesi wawancara yang berterusan dan kajian-kajian yang saya lakukan termasuklah bacaan jurnal-jurnal psikologi, saya menulis Laknat dengan harapan ada pembaca yang terganggu dengan kelantangan yang saya sengaja cuitkan.

Saya mahu kita tahu di sebalik tindakan, ada sejarah yang bertulang.

Memandangkan tema homoseksual diangkat seperti ia satu perilaku normal, permulaan Laknat dibina dengan babak-babak rogol yang menjadi pencetus kepada keseluruhan penceritaan di sepanjang Laknat (the first turning point). Watak utama, Amar, sebenarnya adalah ringkasan kepada sifat AMARAH, yang tercetus daripada penderaan seksual secara berterusan ketika dia meningkat remaja.

Penderaan seksual bukanlah isu yang baru, tetapi kerapkali disembunyikan. Saya pernah berjumpa dengan mangsa penderaan seksual di mana dia diajar melakukan onani oleh abangnya ketika berumur 9 tahun sebelum menjadi ketagih untuk terus melakukan onani. Kebanyakan penjenayah yang melakukan hubungan seksual adalah orang yang dikenali mangsa dan pandai memanipulasi.

Ia suatu benda yang normal. Melancap adalah satu benda yang normal, kata mereka.

Hal ini dibuktikan melalui watak Ikhwan, pemangsa yang melakukan penderaan seksual ke atas Amar:

“Abang, ape ni?!”

“Alah, sikit je.”

“Abang, takut. Tak nak, tak naklah!”

“Malam ni je. Alah, jangan takut, Mar, tak sakit pun. Abang buat pelan-pelan.”

– halaman 26, Laknat

Kebanyakan pemangsa dalam penderaan seksual memanipulasikan hubungan baik mereka dengan mangsa. Hal ini memudahkan mereka untuk mengumpan mangsa supaya ‘merestui’ aktiviti seronok yang dilakukan dan menganggapnya sebagai satu kenormalan dalam kehidupan.

Watak Ikhwan adalah seorang abang yang baik, tetapi kalah dengan godaan nafsu dan terus mendatangi Amar hampir setiap malam untuk melampiaskan gelora batinnya. Wataknya yang mendapat pendidikan formal dalam bidang agama tidak langsung menjadi perisai untuk menghalang sifat menderanya kerana agama hanyalah sebuah persalinan yang hanya dipakai ketika menyampaikan cerama agama di surau Jalan Kampung Damai.

Tema homoseksual dan atheism melatari penceritaan Laknat. Watak Amar yang kecewa dengan Tuhan kerana kegagalan Tuhan menyelamatkannya daripada penderaan seksual mula disuburkan dengan perkenalannya dengan Hakim. Hakim adalah sisi berbeza daripada Ikhwan, kerana wataknya tidak ditipikalkan sepeti watak Ikhwan. Menurut Amar:

Sesekali dia rasa senang dengan Hakim, yang tak seperti ustaz halal-haram atau ustaz syurga neraka yang lain. Sedang ada peperangan dan kebuluran, ustaz kita masih berbalah soal status halal Starbucks. Oh ya, dan McD juga!

– halaman 46, Laknat

Membaca Laknat yang berselerak adalah seperti membaca dua naskhah yang berbeza dalam satu buku yang sama. Lima puluh peratus yang pertama buku ini memperdebat keadilan Tuhan dan menyuntik elemen fiksyen sains yang dilakukan oleh Profesor Hawking (SCNT – Somatic Cell Nuclear Transfer), dan lima puluh peratus kandungan kedua Laknat terus membawa esen psikologi dan kriminologi terancang (Multiple Personality Disorder dan Possession Trance).

Walaubagaimanapun, niat saya sememangnya mahu menjadikan Laknat sebagai salah satu thriller gay, juga sebuah mockery kepada kisah percintaan lelaki dan perempuan yang islami melalui babak romantik suami-suami mereka. Dua tema utama dalam Laknat ini kadangkala membuatkan saya begitu gementar untuk menulis (terutama sesi perdebatan Amar dengan kasih-sayang Tuhan) tetapi ia memberi nuansa dan menyokong tesis utama tema novel ini.

GAMBARAN SOSIAL DALAM LAKNAT

Sarcasm is my middle name. Di dalam sebuah pentas bernama fiksyen, saya memilih untuk mengkritik kenormalan yang diamalkan. Masyarakat kampung, sifat menghukum, gaya hidup remaja yang biar papa asal bergaya, serta rakyat yang melarat kerana dasar pemerintah, Laknat adalah naskhah yang berselerak dan saya menggunakan lesen itu untuk terus bermewah-mewah dengan kritikan.

Dalam kalangan orang melayu pun, jemaah solatnya dipisahkan dengan mazhab terbaharu; mazhab politik.

– halaman 23, Laknat

Pada penghujung titi di kawasan tinggalan sawah, sebuah pondok yang dikhaskan untuk mengumpat, akan meriah saat para ibu berkumpul; rata-ratanya membincangkan perihal anak-anak orang yang jahatnya seperti syaitan.

– halaman 23, Laknat

Sudahlah malas bekerja, bila mereka rasa tertindas dan melarat, disalahkan bangsa lain pula! Seolah-olah mereka sudah tua yang hanya ingin ‘bertongkat’ dan ‘dibantu’ setiap masa. Mudah lupa, dan pemalas juga rupa-rupanya.

– halaman 24, Laknat

Hey, anak daramu digendong orang, tertanggal tudung dia, colinya di mana?!

– halaman 24, Laknat

Anak Dara

Pernah sekali rakannya, Mansura, membawa balik seorang teman transgender untuk mengenal agama katanya. Tetapi rakan-rakannya di sana memandang serong, malah ada yang mengucap laknat, kerana kawan Mansura yang digelar Shelly itu, berpakaian wanita dan berkeletah manja… bila dikeji oleh orang agama sendiri, Shelly jadi malu dan benci.

– halaman 37, Laknat

Memang cita-citanya ingin menjadi saintis muslim, tetapi dia bukanlah ustaz halal-haram. Dia juga bukan ustaz syurga-neraka. Baginya, hanya Tuhan yang layak mengelaskan.

– halaman 38, Laknat

Dia tahu kepincangan ilmuan agama kini – saling menyesat dan berbalah, malah ada juga yang menjadikan agama sebagai senjata politik. Tak lupa yang menjual agama untuk keuntungan berganda. Lalu dipasang alunan ayat-ayat suci al-Quran , dijualnya air mineral dengan riba’ semaksimanya.

– halaman 47, Laknat

“…orang nampak kau baik sebab kau pakai serban. Aku boleh beli serban dan celak mata, pakai kasi elok, sekarang jugak orang ingat aku waris nabi.”

– halaman 62, Laknat

…hari ini orang alim belum tentu ada akhlak

– halaman 68, Laknat

…Kau berilmu tapi kau tak beramal. Macam sial!

– halaman 120, Laknat

Berilmu tak beramal

Semoh Jongang tidak mempedulikan sesiapa pun ketika drama tadi sedang berlangsung. Dengan selamba, dia mengambil beberapa ekor ikan kembung dan berlalu pergi. Begitulah Semoh Jongang, kalau tiada mencuri, anaknya akan mati kelaparan di rumah PPRT miliknya

– halaman 127, Laknat

… yang menjadi kegemaran pseudo-hipster yang sebelum menyuap, di-adjust dahulu sudut pinggan mangkuk demi likers-likers di Instagram. Mereka melepak di kafe-kafe terkemuka dengan duit poket pemberian ibu bapa atau pinjaman PTPTN, segelas kopi pahit berharga RM10; perasaan bersalah menjelma setiap kali mereka menyelak wallet nipis mereka

Tetapi mereka berpegang teguh kepada akidah ‘biar papa asal bergaya’, jadi mereka kembali mengukir senyum di bibir. Mereka model sambilan di Instagram Agency, selebriti terkenal di Vine Production juga menjadi tuhan sambilan di Facebook

– halaman 169, Laknat

Begitulah sedikit sebanyak sebahagian subteks makian yang mewarnai naratif dalam Laknat.

MUZIK DALAM  LAKNAT

Saya meminati muzik terlebih dahulu sebelum melibatkan diri dalam dunia penulisan. Selama setahun dua melibatkan diri di show-show pentas, sedikit sebanyak dunia muzik mempengaruhi nuansa penulisan saya. Disebabkan Laknat adalah naskhah pertama saya, sungguh mustahil untuk saya meninggalkan muzik begitu sahaja.

Muzikaliti di dalam Laknat terbahagi kepada dua –- classical, western music dan juga traditional music. Kedua-dua jenis muzik ini merupakan elemen yang berpengaruh kerana di sepanjang proses penulisan Laknat, saya berkarya dengan mencampurkan Mozart (Requiem) dan Noraniza Idris (Hatinya Tak Tahan) untuk mendapatkan satu batu asas kepada lantai muzik Laknat. Mozart, Chopin, sedikit Beethoven (entah kenapa saya tidak menyukai Beethoven) juga pelbagai jenis muzik gamelan jawa menjadi pembina auditory Laknat. Tidak ketinggalan lagu-lagu tradisional Terengganu seperti Ulek Mayang dan lagu Pok Itang Na Na, Pok Kasing Dogo. Ada satu mentera Jawa juga dipersembah di dalam Laknat:

Hong ui la heng

Niat ingsun matek ajiku

Aji petingoengan

Soko ajisoko yen sopo ketiban

 

Jin setan peri prayangan podo

Mati ojo maneh rebaking

Janho manungso ora mati

Amblek sar turune koyo mati

 

Ora pisan pisantangi yen aku

Ora pisan pisantangi yen aku

During hong uilameng!!!

                – halaman 158, Laknat

Saya diganggu beberapa malam menuliskan itu. Tetapi demi watak Estrada, iaitu sejenis Jin Asyik, saya kira barangkali itu adalah satu pengorbanan. I sleep with the lights on ever since for few weeks.

Dari der Holle Rache sehingga ke Ulek Mayang, transisi epistemologi adalah perkara yang cukup sukar untuk saya. Sebagai penulis baru yang masih mentah, saya cuba melukakan semua kudis untuk merasai kesakitan yang mengalir, menukarkan kata-kata kepada bunyi serta menjual roh saya untuk menyiapkan tukangan naskhah ini. Babak possession trance juga dihuraikan dengan jelas apabila watak Alev Gustamov de Souza memberi diagnosis berkenaan dengan penyakit Amar.

PASCA-LAKNAT

Sebenarnya, ada satu bab akhir di dalam Laknat yang sengaja saya hilangkan kerana apabila penceritaan menjadi lengkap, ia membosankan saya. Ini pendapat peribadi saya, dan saya bukanlah ahli akademik dalam penulisan ataupun penulis pakar. Namun saya sendiri yang menentukan takdir naratif dalam Laknat walaupun watak-watak saya mempunyai visi yang berlainan dengan penulisnya.

Saya mahu pembaca mengisi tempat kosong. Ke mana Amar selepas Munirah terbunuh, apa benar Hawking masing hidup serta bagaimana Alev terlepas dari segala kejahatannya? Kadangkala persoalan tidak menuntut jawapan. Mungkin ia sebenarnya adalah segugus penyataan dalam bentuk pertanyaan.

Walau apa pun, Laknat telah mengubah hidup saya secara peribadi. Ia hadir ketika saya benar-benar tersinggung dengan kehidupan, persahabatan, cinta serta penyakit kronik yang dihadapi oleh orang terdekat. Saya syok sendiri menulisnya (seperti kata seorang novelis yang saya tidak tersinggung pun) dan saya harap syok itu berjangkit kepada pembaca.

Jelajah Lejen Fixi Tganu

Di kesempatan yang diberikan oleh Pena Saifai juga, saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada pembaca yang sehingga ke hari ini, semenjak Laknat dilancarkan September 2015, masih menyapa dan bertanyakan soalan di alam maya. Malah saya mendapat jemputan ceramah dan aktivisma LGBT dan gelandangan, juga sesi pengakuan dan bertukar-tukar pengalaman.

Pami Signing

Laknat adalah sebuah novel lucah jika kita ingin membaca novel lucah. Laknat juga adalah sebuah novel islamik jika kita ingin membaca novel islamik. Ia novel thriller jika kita ingin membaca sebuah thriller, ia adalah apa yang anda fikirkan, dan saya terlalu lemah untuk mempunyai kuasa mempengaruhi pemikiran pembaca saya.

Laknat IG

Secara peribadi, Laknat adalah sebuah mesin masa kepada saya. Ia sebuah mesin untuk Fahmi Mustaffa kembali ke masa silam untuk berjumpa dengan Pami yang selalu terfikir apakah cita-citanya untuk menjadi seorang penulis akan berjaya. Naskhah ini saya tulis untuk saya, supaya saya tidak terlalu susah hati, juga sebagai bukti bahawa orang miskin pun boleh bercita-cita tinggi.

Matawang untuk impian adalah usaha.

Saya juga ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada novelis-novelis yang memberi anggapan kasar dan mengutuk naskhah saya. Bertuah, kerana masa yang begitu berharga digunakan untuk berbincang tentang dosa-dosa karya saya, sedangkan dengan modal yang cukup murah, mereka boleh membeli majalah bergambar berwarna-warni dengan artis kegemaran berposing di tepi kolam renang. Atau mungkin boleh muat turun percuma di laman sesawang yang lebih high definition. Tetapi begitulah hidup, ia luas dan perlukan keberanian.

Sudahlah, saya seperti seorang pakcik tua yang membebel sedari tadi. Terima kasih kerana terus menyokong karier saya. Terima kasih kerana membaca dan memahami tesis dalam Laknat .

Hidup, perlukan keberanian.

~

Pami & Hair

Mohd Fahmi bin Jusoh @ Mustaffa menulis dengan nama pena Fahmi Mustaffa. Novel debut beliau, Laknat diterbitkan oleh Buku FIXI pada September 2015. Ia boleh didapati di booth FIXI di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) yang akan berlangsung pada 29 April – 9 Mei 2016 di Malaysia Agro Exposition Park Serdang (MAEPS).

Jelajah Lejen Fixi

Cerpen SaiFai Fahmi Mustaffa bertajuk Pantomim dimuatkan di dalam Antologi Cerpen X-traordinari Imagikata. (Baca Di Sebalik Tabir Imagikata: Pantomim oleh Fahmi Mustaffa).

Pantomim

Imagikata Cover

Antologi Cerpen X-traordinari Imagikata boleh didapati di PBAKL di booth PTS dan juga boleh dibeli secara atas talian di Bookcafe.com.my.

peta-lokasi-klibf

Novel fiksyen sains Fahmi Mustaffa yang pertama bertajuk Suatu Hari Nanti Manusia Akan Melupakan Tuhan diterbitkan oleh Simptomatik Press.Cover SHNMAMTKunjungi reruai Simptomatik Press di Booth A3094 – A3095 (Thukul Bersekutu) di PBAKL untuk mendapatkan buku-buku SaiFai terbaru mereka.Buku Baru Simptomatik Press

Novel Selestial dan Suatu Hari Nanti Manusia Akan Melupakan Tuhan juga boleh dipesan melalui Whatsapp seperti maklumat di bawah.

Promosi Thukul Bersekutu

 

Di Sebalik Tabir Novel “Jepun”

Sempena berlangsungnya Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2016 dan juga kelahiran dua novel SaiFai terbaru terbitan Simptomatik Press, Pena SaiFai telah memutuskan untuk menyiarkan artikel berkaitan dua penulis hebat – Fahmi Mustaffa dan Lokman Hakim sepanjang minggu ini.

Fahmi Mustaffa muncul dengan karya SaiFai terbarunya bertajuk Suatu Hari Nanti Manusia Akan Melupakan Tuhan terbitan Simptomatik Press. (Tag: Minggu Fahmi Mustaffa)

Lokman Hakim pula muncul dengan karya SaiFai bertajuk Selestial, juga di bawah Simptomatik Press. (Tag: Minggu Selestial)

Jepun Cover

Tajuk Buku: Jepun
Pengarang:
Lokman Hakim
Penerbit:
Buku Fixi
Tahun Terbitan:
2016
Halaman: 
292

SINOPSIS

Perbualan kami berkisar mengenai politik Malaysia, dan Sarah menyatakan keraguan untuk balik ke Malaysia sesudah mendengar pelbagai berita yang kurang baik disebar di media sosial. Ramai juga bekas pelajar di sini yang memilih untuk terus bekerja di Jepun daripada balik ke Malaysia.

Perbualan kami serasanya aneh dan janggal kerana percampuran bahasa yang meluas digunakan secara rawak. Sarah sering kali bertukar bahasa dari Jepun, ke Melayu, ke Inggeris dan Melayu Sarawak. Apabila aku bertutur dengan Halim pula, dalam bahasa Melanau. Ya, dalam perbualan kami bertiga, kami bertutur dalam 5 bahasa sekaligus.

Kesimpulannya, kami masing-masing bersetuju, politik Malaysia kini agak menyedihkan.

DI SEBALIK TABIR

IMG20150815141243

Apabila saya diminta oleh FIXI untuk pergi ke festival-festival muzik yang gah, saya memikir apakah keseronokan yang akan saya perolehi? Saya sedikit risau mengenai cadangan itu, tetapi menerimanya sahaja kerana saya berpendapat seorang penulis yang baik harus berjalan-jalan dan meluaskan pengalamannya.

Lupakan perihal festival muzik itu. Saya hanya mahu berjalan dan menuliskan pengalaman itu selaku satu fiksyen. Mungkin akan ada dua atau tiga lagi fiksyen akan menyusul sesudah naskhah Jepun ini, tetapi biarlah proses penulisannya kekal rahsia.

Saya tidak memikirkan genre untuk Jepun ini. Saya hanya memikirkan apa yang saya mahu tuliskan. Saya menulis pengalaman saya ketika itu, yang masih bergelut menyiapkan beberapa buah manuskrip yang perlu dihantar hujung tahun ini. Maka proses penulisan beberapa buah manuskrip tersebut turut menjadi cerita dan juga watak di dalam naskhah Jepun ini.

IMG20150813205820

Jepun, sebuah travelog, ada unsur travelog tipu, ada unsur fantasi urban dan realiti-realiti alternatif. Ia punya tiga lapis cerita di dalam sebuah cerita. Saya menyelitkan nama Materupty, yang merupakan salah satu projek muzik solo saya ketika saya berusia belasan tahun dan projek muzik tersebut terbengkalai begitu sahaja. Sudahnya, Materupty kini menjadi seorang nabi (kononnya) di dalam dunia tanpa muzik.

Saya mengeksplorasi diri saya – transisi dari seorang pemuzik kepada penulis dalam naskhah ini. Seolah saya mendepani zaman silam saya selaku pemuzik yang tak berjaya dan membentangkan setiap kegagalan itu dalam bentuk yang lebih segar.

Saya mencari diri saya dalam kegagalan demi kegagalan itu dan memberinya perspektif-perspektif baru. Proses ini merupakan terapi buat saya untuk melepaskan diri saya dari cengkaman memori silam itu, kegagalan dalam menubuhkan kumpulan muzik itu dan meraikannya.

Pengalaman-pengalaman pahit juga mampu buat diri tertawa jika kita positif dan belajar menerima hakikat itu.

Saya pergi ke Osaka, dengan bebanan kerja di bahu saya. Saya pergi ke Osaka dengan paranoia – saya harus menulis setiap hari, jika tidak saya akan ditelan raksasa-raksasa jelek yang dahulunya dipanggil  inspirasi penulisan yang sentiasa menitipkan idea demi idea. Kedua-dua perkara ini sepatutnya mengekang saya dari keseronokan sebuah perlancongan tetapi saya olahkan kekangan-kekangan ini ke dalam bentuk realiti-realiti alternatif yang simbolik untuk novel Jepun ini. Namun hakikatnya, keseronokan sebuah perlancongan memang tidak dirasakan langsung.

Saya memperkenalkan watak-watak seperti Panda, Melisa, Rogiro dan juga beberapa versi Lokman Hakim dalam bentuk Lha dan Lho. Mereka ini merupakan simbol-simbol kepada pengalaman hidup saya yang terumbang-ambing dalam kemelut kerja seorang jurutera, kemelut cerita-cerita yang tak disiapkan, kemelut pencarian kebahagiaan dalam kehidupan dan banyak lagi konflik yang saya harus hadapi setiap hari.

Jika ditanya, adakah kerja menulis itu satu perkara yang menyeronokkan – jawapannya kabur-kabur. Apa yang saya boleh terangkan di sini adalah penulisan itu merupakan roda kehidupan buat saya. Saya tertekan dengan kehidupan yang mendesak – lalu saya menukilkannya dengan proses kreatif ke dalam bentuk fiksyen – saya gembira apabila naskhah itu diterbitkan. Dan proses ini berulangan lagi dengan cabaran demi cabaran hidup yang saya hadapi.

Saya perlukan depresi itu untuk terus menulis dan barangkali hal inilah yang membuatkan karya-karya saya sentiasa ada sisi gelap yang tak sudah-sudah. Dan saya percaya kegelapan itu memanggil kelompok kecil pembaca yang sukakan karya-karya sebegitu ke dalam ruang pembacaan mereka. Ya, saya hargai kelompok kecil ini. Saya menulis untuk kelompok minoriti dan saya agak berpuas hati dengan sasaran saya.

Lokman Jepun

Novel Jepun ini punya suara-suara yang sentiasa berteriak dalam diri saya, minta diteriakkan kepada audiens, tetapi saya masih waras lagi untuk tidak membogelkan isi-isi teriakan itu. Kerana saya percaya ‘kebebasan bersuara’ itu satu omong kosong, pluraliti beragama itu satu jenaka dan keadilan sosial itu satu impian karut jika dilihat dari realiti kita yang sebenar. Namun suara-suara yang lantang itu tetap juga berteriak dalam naskhah ini. Ia dizahirkan dalam perbualan-perbualan antara saya dengan Halim dan juga rakan-rakannya ketika berada di Osaka ini.

Anda boleh baca pelbagai isu dibualkan tanpa tapisan kerana saya berasa saya telah penat menahan suara-suara yang berteriak itu dari terus terpendam dalam diri saya.

~

Lokman Image

Lokman Hakim adalah jurutera awam untuk pelbagai kontraktor pembinaan dari 2007 sehinggalah sekarang. Mengambil jurusan kejuruteraan awam di Universiti Teknologi MARA dari tahun 2005 sehingga 2007. Daripada tahun 2007 sehingga 2011, beliau merupakan seorang pemuzik yang cuba memahami manusia dengan muzik. Kini beliau lebih gemar menonton kelakuan manusia-manusia di kopitiam-kopitiam merata Lembah Klang selaku rujukan untuk penulisan karya-karyanya. 

Telah menulis dengan Roman Buku, FIXI, Buku Hitam Press dan Lejen Press setakat ini. Harapan beliau adalah untuk terus-menerus berkarya biar dalam bentuk apa sekalipun, kerana baginya, imaginasi itu tiada batasan langsung.

Novel Jepun boleh didapati di booth FIXI di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) yang akan berlangsung pada 29 April – 9 Mei 2016 di Malaysia Agro Exposition Park Serdang (MAEPS).

Jelajah Lejen Fixi

Kunjungi reruai Simptomatik Press di Booth A3094 – A3095 (Thukul Bersekutu) di PBAKL untuk mendapatkan buku-buku SaiFai terbaru mereka.

Buku Baru Simptomatik Press

Novel Selestial dan Suatu Hari Nanti Manusia Akan Melupakan Tuhan juga boleh dipesan melalui Whatsapp seperti maklumat di bawah.

Promosi Thukul Bersekutu

Cerpen SaiFai Lokman Hakim bertajuk Arca Kehidupan dimuatkan di dalam Antologi Cerpen X-traordinari Imagikata. (Baca Di Sebalik Tabir: Antologi Cerpen X-traordinari Imagikata)

Imagikata Cover

Antologi Cerpen X-traordinari Imagikata boleh didapati di PBAKL di booth PTS dan juga boleh dibeli secara atas talian di Bookcafe.com.my.

peta-lokasi-klibf

Jangan lepaskan peluang untuk menemui Lokman Hakim di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) pada 6 Mei 2016 jam 4.30 petang, di mana Lokman akan berbicara lebih lanjut tentang novel Simulasi dalam forum “Penerokaan Cerita Sains Fiksyen”. (Baca Minggu Simulasi)

Poster PTS - Simulasi

Kuda, Kucing dan Fiksyen Sains

Sempena berlangsungnya Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2016 dan juga kelahiran dua novel fiksyen sains terbaru terbitan Simptomatik Press, Pena SaiFai telah memutuskan untuk menyiarkan artikel berkaitan dua penulis hebat – Fahmi Mustaffa dan Lokman Hakim sepanjang minggu ini.

Fahmi Mustaffa muncul dengan karya fiksyen sains terbarunya bertajuk Suatu Hari Nanti Manusia Akan Melupakan Tuhan. (Tag: Minggu Fahmi Mustaffa)

Lokman Hakim pula muncul dengan karya fiksyen sains bertajuk Selestial. (Tag: Minggu Selestial)

I – Tentang seekor kuda

Berlari sekencang taufan, menemukan kebebasan.

Seekor kuda yang selalu terikat tidak akan memahami kekuatan, apalagi melihat keindahan di sebalik pagar sebuah bangsal yang semakin usang dan reput. Ia tidak akan mampu bertanding dengan angin kencang, juga tidak mampu untuk merasai dingin anak sungai yang mengalir ke hilir lembah setelah berpuasan mengunyah tumbuhan liar dan kekacang yang tersisa setelah tupai berlari kekenyangan.

Ia tidak mampu berlari sekencang taufan dan menemukan kebebasan.

Seekor kuda harus dibiar meliar. Ia perlu menjadi diri sendiri tanpa sibuk bertanding siapa yang paling asli, juga siapa yang menjadi pesaing terhebat. Ekornya yang seperti rambut perawan yang terikat harus dibiar bertembangan dicumbui bayu bertalu-talu. Otot kakinya perlu digunakan selalu supaya tidak menjadi lesu. Badannya yang perkasa harus dibakar jemala suria supaya terjana tenaga yang bersembunyi di celah-celah lapis otot kemahuan dan kekhuatiran.

Ia harus dibiarkan berlari sekencang taufan untuk menemukan kebebasan.

Tetapi kini kuda itu katanya harus dilindung, kalau tidak ia akan menjadi ikan yang terapung-apung. Kuda harus ditambat, diikat dan dijaga ketat-ketat. Kuda adalah binatang liar, kata mereka. Ia akan berlari dan tidak akan pulang kembali. Jadi setiap pagi dan petang, setiap siang dan malam, mereka akan mengikat kuda itu dan berharap bahawa pada suatu masa nanti, kuda itu akan tiba-tiba mendapat kekuatan dan kecerdasan untuk hidup sendirian di dalam hutan tebal yang maha bahaya.

Bebaskanlah kuda itu!

Kuda tidak harus dibiarkan terikat ketat dan terpijak oleh paksaan dan kurungan. Ia tidak akan tiba-tiba menjadi gila babi (kerana ia seekor kuda) dan tidak pula kuda itu tiba-tiba menjadi berang. Kuda harus dibiarkan mencumbui mentari dan menari di sebuah padang yang luas sambil didondang ilalang yang ralit meratib nama tuhan. Ia perlu mandiri dengan nadi pembebasan seperti bahang mentari yang tidak terkongkong. Barangkali ia seekor binatang, justeru ia memerlukan manusia. Manusia perlu menjadi penunggang dan kawan kepada kuda, bukan polis moral dan penguatkuasa yang hanya tahu bersurah binari dan mengurung kuda membabi-buta. Seekor kuda akan cemerlang jika seorang manusia tahu mengawalnya dan membiarkan sifat alami seekor kuda untuk berlari sekencang angin dan menemukan kebebasan.

Begitulah fiksyen sains.

II – Kucing saya

Ketika saya masih kecil, saya suka membela kucing. Kucing pertama saya bernama Chipmunks. Ia seekor kucing yang aneh: tiba-tiba sahaja kucing ini tidur di atas katil saya (entah bagaimana dia menyelinap masuk) dan secara senyap, saya membiarkan. Saya rasa, ia suka saya.

Dan saya terus bela.

Ia seekor kucing yang jinak. Saya membelanya selama beberapa tahun sehingga kucing itu besar dan mengandung – empat ekor jumlah anaknya. Keadaan mula berubah. Rumah tiba-tiba berbau busuk dengan najis. Mak saya cakap, kucing perlu digosok bontotnya kepada tanah supaya ia tahu, ia perlu berak di atas tanah, bukan pada sofa di ruang tamu.

Saya menggeselkan bontot kucing pada tanah selama beberapa hari. Ia masih berak di atas sofa.

Saya masih ingat hari itu – mahu tidak mahu, saya dipaksa untuk membuang Chipmunks dan anak-anaknya. Sebelum membuang, ada seseorang yang mengajar saya supaya menyapu Minyak Cap Kapak pada hidung Chipmunks supaya ia takkan mampu mencari jalan pulang.

Tidak berhasil.

Petua kedua adalah menyapu belacan. Saya bakar sekeping belacan dan menyapunya berkali-kali sehingga Chipmunks mengiau. Saya rasa ia menangis. Tetapi ia mengiau. Barangkali itulah sebuah bahasa tangis di dalam dunia kucing, tetapi saya terlalu jahat dan bodoh untuk memahami.

Saya tinggalkan kucing yang tiba-tiba mencintai saya itu di dalam sebuah kotak di tepi pasar ikan. Saya tidak akan pernah melupakan wajahnya yang merayu-rayu supaya dibawa pulang, tetapi saya adalah manusia terkejam dan takut pada suruhan. Saya tinggalkan ia dalam kelaparan dengan hidung yang barangkali sudah rosak untuk menghidu dan mencari makanan.

Setiap malam, ia datang kepada saya dalam mimpi, menyayangi saya seperti saya sudah terbogel dari dosa. Begitulah fiksyen sains.

III – Peribadi

Tahun lepas saya mula menyelongkar kembali genre fiksyen sains, bukan kerana saya mahu terbitkan sebuah karya bergenre sebegitu, tidak lain hanyalah untuk menjadi seekor kuda dan kucing di dalam sebuah kotak. Saya mahu berlari bebas dan memilih untuk terus menyayangi.

Beberapa naskhah fiksyen sains bahasa Inggeris dan bahasa Melayu telah layak menjadi penanda aras bahawa genre sebegini sudah berkembang sezaman dengan perkembangan sains dan teknologi. Barangkali, bolehlah jika saya katakan bahawa The Epic of Gilgamesh yang ditulis pada 2000 tahun sebelum masihi merupakan karya susastera pertama fiksyen sains; menyentuh perihal kelahiran manusia dan pemanipulasian masa.

The Epic of Gilgamesh

Walaubagaimanapun, bukanlah saya ingin mencadangkan naskhah fiksyen sains dicorakkan oleh kerangka epik itu kerana seni itu sifatnya progresif –

dan kita seharusnya perlu berhenti memeluk mayat, sekarang.

leksikon ledang

Secara peribadi, saya berpendapat bahawa Leksikon Ledang adalah naskhah yang sepatutnya diraikan dengan lebih gilang-gemilang pada tahun lepas kerana naskhah ini sudah berhenti memeluk mayat. Ia naskhah yang bergerak ke hadapan dan progresif, dan bukanlah sebuah karya sastera bosan yang bergenang dalam lopak air serupa sambil mengharap penerimaan yang berbeza.

Karya Fadli Al-Akiti dan Nor Azida Ishak ini wajar diangkat dan dibincangkan secara meluas dalam dunia kepengarangan yang dipenuhi dengan pelbagai jenis kurungan yang menambat seekor kuda di dalam sebuah bangsal. Fiksyen sains sebegini membawa saya membaca kembali Sulalatus Salatin dan mengkaji dari kulit ke kulit untuk memerah esen yang cuba disampaikan oleh pengarang.

Meneladani karya fiksyen sains tempatan adalah seperti membuka ikatan dan membiarkan kuda itu berlari sekencang angin, menemukan kebebasan. Walaubagaimanapun, kerangka fiksyen sains negara perlu lebih rancak bermain dengan nilai sarwajagat tanpa mengabaikan nilai ketimuran dengan pendekatan yang tidak membosankan.

IV – Fiksyen sains adalah sains

Fiksyen sains adalah sains.

Tentulah mengikut sejarah, dunia fiksyen bermula dahulu sebelum kerancakan sains. Karya Ibn al-Nafis iaitu Theologus Autodidactus (pada abad ke-13), True History oleh Lucian dan The Epic of Gilgamesh itu sendiri membina lantai kukuh untuk perkembangan fiksyen sains yang didukung oleh pelbagai sub-genre seperti cyberpunk, pengembaraan masa, sejarah alternatif dan beberapa puluh subgenre lain yang kian berkembang. Tetapi, tugas sebenar kita bukanlah untuk menyuai padan, melainkan terus mencabar keperdanaan karya masa kini dan mencipta zaman kita sendiri dengan kerangka ba(ha)ru yang lebih berani dan progresif.

Melakukan perkara yang sama sambil mengharapkan kesan yang berbeza adalah kerja gila.

Pengarang fiksyen sains harus menjadi seorang saintis. Rukun pertama untuk menjadi seorang saintis adalah mudah – melakukan pemerhatian dan bertanyakan soalan. Fiksyen sains yang dibina tanpa pemerhatian rinci kepada persoalan-persoalan kehidupan akan dilantai longgar oleh kandungan karya itu sendiri. Kerana seorang penulis adalah raja kepada kerajaan ideanya sendiri, ia tidak hanya perlu memerintah, tetapi perlu mencari kaedah pemerintahan yang paling progresif untuk membina, malah mendahului zamannya.

gugurnya azazil

Hal ini telah berjaya dibuktikan oleh Fadli Al-Akiti dalam novel beliau berjudul Gugurnya Azazil yang berlari sekencang angin, menemukan kebebasan, dalam latar masa dan isi kandungan novel beliau. Fiksyen sains seperti inilah yang layak digelar sains, malah berjaya membawa persoalan falsafah di dalam pengakhiran ranting penceritaan.

Kuda telah berjaya menari-nari di lereng sebuah bukit sambil ilalang ralit meratib!

Di dalam sebuah kerajaan idea, kata-kata menjadi sebuah benteng yang membina perjalanan sebuah cerita. Ruang di dalam sebuah rumah adalah makna di antara dua baris yang tertulis. Seorang raja perlu menjauhi pemerintahan klise dengan membina sistem pertahanan yang kuat supaya tidak terikut oleh mana-mana acuan yang mendatang. Naskhah fiksyen sains harus berani melawan penindasan dan menjadi zeitgeist, serta membangunkan radas dan rukun sains dalam suasana yang menghargai keindahan bahasa yang tidak kaku dan jumud. (Baca SaiFai Mencerminkan Semangat Zaman)

Tidak perlu takut kepada polis. Selamat berkarya, dan majulah fiksyen sains untuk negara!

~

Pami & Jambatan

Mohd Fahmi bin Jusoh @ Mustaffa menulis dengan nama pena Fahmi Mustaffa. Novel debut beliau, Laknat diterbitkan oleh Buku FIXI pada September 2015. 

Laknat boleh didapati di booth FIXI di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) yang akan berlangsung pada 29 April – 9 Mei 2016 di Malaysia Agro Exposition Park Serdang (MAEPS).

Jelajah Lejen Fixi

Cerpen fiksyen sains Fahmi Mustaffa bertajuk Pantomim dimuatkan di dalam Antologi Cerpen X-traordinari Imagikata. (Baca Di Sebalik Tabir Imagikata: Pantomim oleh Fahmi Mustaffa).

Pantomim

Imagikata Cover

Antologi Cerpen X-traordinari Imagikata boleh didapati di PBAKL di booth PTS dan juga boleh dibeli secara atas talian di Bookcafe.com.my.

peta-lokasi-klibf

Kunjungi reruai Simptomatik Press di Booth A3094 – A3095 (Thukul Bersekutu) di PBAKL untuk mendapatkan buku-buku fiksyen sains terbaru mereka.

Buku Baru Simptomatik Press

Novel Selestial dan Suatu Hari Nanti Manusia Akan Melupakan Tuhan juga boleh dipesan melalui Whatsapp seperti maklumat di bawah.

Promosi Thukul Bersekutu

Selestial – Satu Eksperimen Penulisan

Sempena berlangsungnya Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2016 dan juga kelahiran dua novel SaiFai terbaru terbitan Simptomatik Press, Pena SaiFai telah memutuskan untuk menyiarkan artikel berkaitan dua penulis hebat – Fahmi Mustaffa dan Lokman Hakim sepanjang minggu ini.

Fahmi Mustaffa muncul dengan karya SaiFai terbarunya bertajuk Suatu Hari Nanti Manusia Akan Melupakan Tuhan. (Tag: Minggu Fahmi Mustaffa)

Lokman Hakim pula muncul dengan karya SaiFai bertajuk Selestial. (Tag: Minggu Selestial)

Cover Selestial Full

Sinopsis Selestial:

Apabila mereka terkandas di Marikh, ia membangkitkan satu interaksi penting buat manusia dengan kewujudan sarwajagat.

Razali, seorang angkasawan ketika itu, tidak tahu adakah ia satu kecelakaan atau anugerah.

Dua kewujudan berbeza berusaha untuk memahamkan dirinya akan situasi alam semesta mereka. Dan makhluk-makhluk itu, The Things & The Phosphorus, menjelajah zaman silamnya, mengaburi masa depannya dan menghantui nilai-nilai kehidupan manusia melalui otaknya.

D7 Sentul menjadi medan pertembungan fikiran dan falsafah kehidupan yang berbeza nahunya. Selaku manusia, Razali sedar, dia mendepani satu kewujudan yang begitu transendental.

Terlalu transendental, hingga dia meragui kewujudannya sendiri.

Teringat lagi ketika saya memulakan draf pertama untuk menggambarkan idea penulisan untuk naskhah Selestial ini. Ia bermula dengan perbualan aneh-aneh saya dengan adik saya, Abdul Rauf. Kami membicarakan perihal kemungkinan terdapatnya bentuk kehidupan yang duduknya di luar konsep kehidupan yang akal kita dapat terima. Memikirkan perihal isu ini, membuatkan saya cuba mengupasnya dengan lebih mendalam.

Sejauh mana penerimaan kita terdapat kewujudan lain yang jauh berbeza sifatnya dengan kita?

David Bowie Skull

Adakah kita akan mengiktirafnya selaku makhluk bernyawa?

Kita melihat bulan dan kita menganggap tiada apapun yang bernyawa di sana. Ya, betul. Penafsiran sesuatu objek itu, untuk dikira ‘bernyawa’ harus digariskan pada persempadan yang logikal. Jika tiada persempadanan itu, maka, adakah kita dapat melihat seketul batu selaku objek yang kita tiada masalah mencampaknya ke bawah? Layanan kita terdapat sesuatu yang hidup dengan sesuatu yang mati itu sudah pasti berbeza.

Baiklah, itu sedikit ideanya. Pokok pangkal kepada idea-idea yang menyokong karya ini.

Saya berpendapat, memahami satu kewujudan asing memerlukan kita memahami siapa diri kita terlebih dahulu. Maka secara hipotesisnya, sekiranya benarlah makhluk asing mahu berkomunikasi dengan kita, langkah-langkah yang akan diambilnya haruslah dengan menjajah pemikiran manusia secara menyeluruh.

Maka, berlandaskan pemikiran begitu, saya membahagikan penulisan novel ini kepada 6 bahagian utama yakni Enigma 1, Enigma 2, Enigma 3, Solusi 1, Solusi 2 dan juga Solusi 3. Enigma 1 hingga 3, ditulis dengan aturan Fibonacci Sequence.

Fibo

Solusi 1 diceritakan dalam bentuk surat sumpah dan disusuli oleh rentetan jurnal watak utama, Razali. Solusi 2 pula digambarkan dalam bentuk drama manakala penutupnya Solusi 3 ditulis selaku epilog normal.

Setiap bentuk penulisan yang adunkan menjadi cerita ini melambangkan kerawakan seorang manusia yang berbeza sifatnya. Penafsiran setiap individu berbeza-beza, maka kerumitan itu tadi digambarkan oleh format naskhah ini seperti yang dinyatakan di atas.

Mengapa harus sebegitu rumit?

Ia berbolak-balik pada pemahaman kita mengenai makhluk asing itu tadi.

Saya cuba menyampaikan satu perspektif, di mana, kita tidak boleh mencari tamadun di luar kotak fikir kita, selagi kita berpegang pada satu pegangan asas dan menerimanya selaku kebenaran mutlak. Apa yang saya mengerti, adalah:

Semakin jauh kita menerawang angkasa, semakin jauh juga logikal kita menyimpang dari apa yang kita faham. Untuk meneroka angkasa, satu set fikiran yang fleksibel amat diperlukan. Bukan sekadar fikiran sahaja, bahkan kepercayaan kita pada Tuhan. Definisi Tuhan itu sendiri, harus difahami sebaiknya.

Antara persoalan yang dibangkitkan di dalam naskhah ini dan masih memerlukan jawapan adalah seperti berikut:

  1. Mampukah kita mengesan kewujudan kebijaksanaan asing dengan menggunakan konsep falsafah hylozoism?

Kita mendefinisikan sesuatu yang hidup itu dengan meletakkan ciri-ciri yang membentuk hidupan di bumi. Kita mengklasifikasikan setiap planet yang berpotensi untuk mengandungi kehidupan itu serupa atau mirip dengan bumi. Benar, mana mungkin kita melihat batu, debu, angin, sampah, logam dan pelbagai objek itu selaku benda hidup.

Hylozoism tersangat arkaik. Namun idea ini tidak boleh diabaikan dalam penerokaan angkasa. Apabila kita mendepani pelbagai fenomena aneh di angkasa nanti, kita harus menukar juga falsafah kita mengenai kehidupan. Kerana itulah saya pernah berpendapat, orang yang beragama dan percaya pada Tuhan bakal berdepan dengan masalah ketika di angkasa. Isunya di sini adalah fleksibiliti.

Justeru itu, adakah kita betul-betul fleksibel dalam mendefinisikan apa itu hidup dan apa itu mati? Sekiranya jawapannya ya, maka, saya yakin kita berkemampuan menerokai angkasa tanpa melupakan kemanusiaan dalam jiwa kita.

  1. Pegangan akidah sebelum penerokaan angkasa dibuat. Apakah akidah yang sesuai?

Baik. Saya akan menerangkan isu ini secara lebih umum. Saya tidak akan melihat dari aspek agama itu betul, agama itu salah. Tidak, kita harus merenung dari aspek yang lebih luas dari itu.

Bagaimana kita mahu membezakan syurga jika kita tidak kenal syurga? Bagaimana kita mahu membezakan Tuhan dengan ‘makhluk asing’ sekiranya kita tidak kenal Tuhan kita? Ia menguji kefahaman kita mengenai Tuhan itu sendiri.

Karya Selestial ini cuba menampakkan satu sisi kemungkinan penjajahan makhluk asing yang barangkali ramai yang meremehkannya. Manusia adalah makhluk yang kompleks, dibentuk oleh pelbagai aspek untuk membuatkannya ‘manusia’. Bayangkan, makhluk asing itu cuba meneroka kerumitan seorang manusia dan menerokainya secara menyeluruh. Tidakkah ia menggerunkan?

Agama, memori, kelakuan, psikologi, interaksi, pancaindera dan banyak lagi. Untuk memahami manusia, haruslah diterokai perkaitan setiap aspek-aspek ini.

Makhluk asing, itupun jika terma ‘makhluk’ itu masih relevan, barangkali berkeupayaan untuk melangkaui teknologi kita. Saya mendapati, sentiasa ada penemuan demi penemuan baru mengenai angkasa raya yang luas tersebut. Angkasa, merupakan suatu tempat yang menakutkan jika mahu diterokai.

  1. Apa yang terjadi pada alam semesta sebenarnya?

Apa yang kita tatap di langit selama ini hanyalah ‘observable universe’. Ia merupakan sejarah yang tidak kita ketahui masa kini. Apa yang kita tonton itu benda yang sudah berjutaan tahun cahaya hayatnya barangkali.

jupiter

Kita tak tahu, adakah alam semesta kita sedang menuju kehancuran atau sedang mengembang. Kita tak tahu, bilakah galaksi Bima Sakti akan bertembung dengan galaksi lain. Kita tak tahu, bilakah lohong hitam akan terbit di sistem suria kita. Mengapa kita tak tahu? Kerana apa yang kita tatap itu bukanlah realiti kini tetapi satu paparan sejarah.

Black Hole

Stephen Baxter pernah mengemukakan teori planetarium dalam novel sains fiksyennya. Pada hemah saya, idea ini boleh jadi benar. Selagi kita tidak mampu melihat lebih dari persempadanan ‘observable universe’ ini tadi, kita tidak akan mampu berinteraksi dengan kebijaksanaan lain di luar sana.

Mereka melihat kita selaku bangsa yang kuno dan tidak wajar digauli. Ia menakutkan, kerana kita tidak sedar kita diperhati. Kita tidak sedar akan hakikat yang berlaku kepada diri kita itu dari perspektif angkasaraya nan luas. Kita tidak dapat meneka bilakah bencana dari angkasa akan muncul. Laksana dikelilingi musuh dalam gelap, yang kita tahu ada di mana-mana. Kita meraba, menggigil ketakutan dan juga hanya mampu mengharap, musuh-musuh itu tidak menganggap kita selaku ancaman buat mereka.

Malangnya, penerokaan angkasa memerlukan modal yang banyak dan barangkali tidak berbaloi dari segi ekonomi. Ya, benar, selagi kita tidak tahu akan kebahayaan apa yang menanti dalam gelap sarwajagat, mengapa harus takut? Boleh jadi juga, tiada kebahayaan langsung.

Akhir kata dari saya, sekiranya kita tidak memahami matematik selestial yang sebenarnya, kita tidak layak mendabik dada di bumi Tuhan ini. Kita tidak layak menanam rasa angkuh itu, kerana kita tidak faham siapa kita di angkasa nan luas ini.

Dapatkanlah naskhah Selestial ini sekiranya mahu memahami aspek kewujudan makhluk asing dari aspek falsafah dan teori-teori statistikal secara puitis. Semoga ia bermanfaat biarpun ia sekadar sebuah fiksyen. Dan saya percaya dalam fiksyen sentiasa ada kebenarannya – kebenaran individual yang dipegang setiap seorang manusia tadi.

~

0 Profile Lokman

Lokman Hakim adalah jurutera awam untuk pelbagai kontraktor pembinaan dari 2007 sehinggalah sekarang. Mengambil jurusan kejuruteraan awam di Universiti Teknologi MARA dari tahun 2005 sehingga 2007. Daripada tahun 2007 sehingga 2011, beliau merupakan seorang pemuzik yang cuba memahami manusia dengan muzik. Kini beliau lebih gemar menonton kelakuan manusia-manusia di kopitiam-kopitiam merata Lembah Klang selaku rujukan untuk penulisan karya-karyanya. 

Telah menulis dengan Roman Buku, FIXI, Buku Hitam Press dan Lejen Press setakat ini. Harapan beliau adalah untuk terus-menerus berkarya biar dalam bentuk apa sekalipun, kerana baginya, imaginasi itu tiada batasan langsung.

Kunjungi reruai Simptomatik Press di Booth A3094 – A3095 (Thukul Bersekutu) di PBAKL untuk mendapatkan buku-buku SaiFai terbaru mereka.

Buku Baru Simptomatik Press

Novel Selestial dan Suatu Hari Nanti Manusia Akan Melupakan Tuhan juga boleh dipesan melalui Whatsapp seperti maklumat di bawah.

Promosi Thukul Bersekutu

Cerpen SaiFai Lokman Hakim bertajuk Arca Kehidupan dimuatkan di dalam Antologi Cerpen X-traordinari Imagikata. (Baca Di Sebalik Tabir: Antologi Cerpen X-traordinari Imagikata)

Imagikata Cover

Antologi Cerpen X-traordinari Imagikata boleh didapati di PBAKL di booth PTS dan juga boleh dibeli secara atas talian di Bookcafe.com.my.

peta-lokasi-klibf

Jangan lepaskan peluang untuk menemui Lokman Hakim di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) pada 6 Mei 2016 jam 4.30 petang, di mana Lokman akan berbicara lebih lanjut tentang novel Simulasi dalam forum “Penerokaan Cerita Sains Fiksyen”. (Baca Minggu Simulasi)

Poster PTS - Simulasi

Bicara Fahmi Mustaffa Tentang Novel SaiFai “Suatu Hari Nanti Manusia Akan Melupakan Tuhan”, Bahagian 2

Sempena berlangsungnya Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2016 dan juga kelahiran dua novel SaiFai terbaru terbitan Simptomatik Press, Pena SaiFai telah memutuskan untuk menyiarkan artikel berkaitan dua penulis hebat – Fahmi Mustaffa dan Lokman Hakim sepanjang minggu ini.

Fahmi Mustaffa muncul dengan karya SaiFai terbarunya bertajuk Suatu Hari Nanti Manusia Akan Melupakan Tuhan. (Tag: Minggu Fahmi Mustaffa)

Lokman Hakim pula muncul dengan karya SaiFai bertajuk Selestial. (Tag: Minggu Selestial)

Pami BnW

Kita ikuti sambungan sesi bual bicara bersama Fahmi Mustaffa yang akan membincangkan karya terbaru beliau bertajuk Suatu Hari Nanti Manusia Akan Melupakan Tuhan. (Baca Bahagian 1 di sini)Cover SHNMAMTSinopsis ringkas Suatu Hari Nanti Manusia Akan Melupakan Tuhan:

Pada tahun 2112 Masihi, manusia akan melupakan Tuhan. Agama dipakai seperti persalinan sutera -– setiap orang memakainya mengikut agenda peribadi, terlihat suci dan mewah sekali.

Asyik sekali manusia berbalahan, sehinggalah pada tahun 2060 Masihi, Gempa Mega dan Tsunami Raya menjadi anarki teragung, memusnahkan peta dunia yang kita kenal hari ini. Sebahagian dari Amerika Syarikat tenggelam. Malaysia sudah terhapus ditampar Gempa Mega dan Tsunami Raya yang berjujukan; hanya tinggal sebuah dataran besar, diberi nama neo-Kuala Lumpur yang ditadbir oleh Tuan Presiden maha haloba.

Razief adalah neo-Human yang didatangi mimpi tentang Tuhan. Anak tunggal saintis neo-Human Mama Juwita, dia berkelana menemui Buhaira’, seorang ulama tunggal neo-Human yang masih hidup untuk mempelajari suatu rahsia agung.

Sejarah adalah roda dan penghukum tegar kepada yang melupakan. Nafsu manusia yang terdidih bergumpal menjadi amukan perang di akhir zaman, sebelum menunggu Isa al-Masih. Ada rahsia di antara Buhaira’ dan Tinta Pujangga, juga tentang Bahtera Nabi Nuh yang akan menyelamatkan mereka.

Mungkinkah Suatu Hari Nanti, Manusia Akan Melupakan Tuhan?

Konflik dalam novel ini bermula apabila watak Mama Juwita, seorang saintis diraja bagi Tuan Pemerintah mengalami perasaan panik yang luar biasa apabila mengetahui bahawa anaknya Razief-XII telah bermimpi, mendengar suatu bisikan yang mengatakan bahawa “Suatu Hari Nanti Manusia Akan Melupakan Tuhan”. Pada mulanya, kita menyangkakan bahawa Mama Juwita berasa panik kerana sepatutnya, kebolehan untuk bermimpi tidak lagi ada pada golongan neo-Human, hanya layak untuk golongan proto-Human yang gemar berkhayal dan tidak realis. Tetapi, kita disajikan pula dengan pemikiran Mama Juwita pada akhir babak itu:

“Tuhan… masih ada lagikah?”

Menarik sungguh cara Fahmi menimbulkan rasa ingin tahu dan membiarkan ia tergantung dengan ayat sebegitu. Kongsilah sedikit mengapa Fahmi meletakkan persoalan itu?
Neo-Human sepatutnya tidak didatangi mimpi. Gelombang otak mereka sudah dimanipulasi, dan membantu membenarkan tesis ini. Kesalahan itu meremangkan Mama Juwita, kerana dia hairan bagaimana Tuhan masih lagi mampu menjelma walaupun di dalam algoritma moden.

Menulis sebegini adalah sukar untuk saya. Kerana selepas terawih, saya menceraikan segala aktiviti untuk mencari Tuhan, dan menulisnya dalam kaca mata seorang neo-Human, manusia separuh robot.

Saya cuba jadikan Tuhan sebagai tesis terluas di dalam karya ini. Kita seringkali dihidangkan dengan pelbagai konotasi –- God, or personal God, or universal value as god. So what is that? Allah, Yahweh, Jesus, Buddha, ratusan malah ribuan lagi, what are those supposed to mean? Juga Tuhan non personal; seperti love, peace and all that.

Ia bermaksud kita tidak mahu hidup bersendiri. Bahawa kita adalah universiti terbesar dan di canselori hati, ada Tuhan ternadi. Ada satu babak di mana Mama Juwita berkata:

“Aku menyembah tuhannya Buhaira’…”

Itu adalah imitasi naluri manusia yang tidak mahu bersendiri. Walau dia manusia separa besi.

Apa yang akan berlaku bila kita mati nanti?

Bercakap tentang Buhaira’ pula, Fahmi menulis watak itu sebagai seorang ulama’ proto-Human di Dataran Pembebasan seperti berikut:

Para proto-Human menggelar Buhaira’ sebagai Nabi Pasca Apokalips, namun Pujangga tahu, nabi itu hanya dongengan dari Timur Tengah semata-mata. Hanya Projek Keabadian Manusia ciptaan Mama Juwita yang menentukan ajal maut manusia. Atau kuasa Tuhan masih lagi berfungsi di dalam kelompok gelandangan proto-Human?

Maka berbondong-bondong kanak-kanak dan penduduk busuk itu bertempiaran melarikan diri; atau mungkin sahaja mereka mencari nabi mereka. Bergegak-gempita mereka; sudahlah ini kali pertama neo-Human bangsawan mengunjungi, malah mencari nabi mereka pula. Mereka berantakan, takut-takut perang akan tercetus sebelum Nabi Isa al-Masih turun ke bumi.

Tentunya mencabar bagi Fahmi untuk membina watak Buhaira’ yang disanjung tinggi laksana Tuhan oleh mereka yang hidup pada abad serba futuristik itu. Ceritalah mengapa Fahmi memilih untuk membina watak yang sukar seperti ini.
Latar masa di dalam novel ini sedikit sebanyak menuntut satu kuasa baharu yang menjadi kiblat pemerintahan manusia. Kuasa terbesar yang digunakan oleh manusia, pada zaman itu, adalah agama. Sains, telah menjadi agama, dalam demografi novel ini.

Ia satu cerminan -– masyarakat adalah contoh paling ampuh kepada knee-jerk reaction. Sesuatu isu yang viral akan terus dihurung oleh beratus-ratus ulasan yang dahagakan kebenaran dari sudut pandang masing-masing. Ketika tragedi Gempa Mega dan Tsunami Raya berlaku pun, mangsa yang terselamat masih sibuk berbalah menetapkan sama ada bencana ini adalah proses bencana alam, satu bala, mahupun ujian. Semuanya asyik dengan sudut pandang sendiri.

Seekor burung di dalam sangkar. Katak di dalam gelas kaca. Atau kuda yang tertambat di bangsal.

Manusia yang terselamat mula mengagungkan sains sebagai beacon of hope. The savior of human race. The one and only solution. Namun sebagaimana kukuh sains telah bertapak pada waktu itu, tetap ia tertakluk kepada keajaiban.

Di sini wujudnya watak Buhaira’.

Proto-Human memanggilnya sebagai nabi baharu. Ringkasnya Buhaira’ adalah seorang guru agama, satu-satunya yang masih hidup selama beratus tahun tanpa memerlukan bantuan kecanggihan kejuruteraan genetik dan arsitektur molekular. Buhaira’ menjadi beacon of hope kepada Proto-Human sebagai mana Mama Juwita menjadi Maha Mencipta kepada komuniti neo-Human.

Cover SHNMAMT

Di dalam novel ini, watak Buhaira’ diangkat sehingga ke akhirnya. Ia seperti meletakkan sesuatu di tempat asalnya, dan menidakkan kembali tesis utama novel ini iaitu –- Suatu Hari Nanti Manusia Akan Melupakan Tuhan.

Kerana itu Buhaira’ menjadi muka depan/cover kepada naskah ini. Ia bukan tentang figura, tetapi ideologi yang dibawanya sehingga menempuhi Armageddon terbesar dalam sejarah perang manusia.

Dikala agama dipandang sebagai sebuah cerita dogeng dari Timur Tengah yang berdondangan, Buhaira’ tampil menjadi antithesis kepada konotasi demikian.

Dalam novel ini terdapat seorang lagi watak wanita yang menarik -– Tinta Pujangga –-sahabat baik kepada Mama Juwita, serba bijaksana, selayaknya diangkat menjadi orang kuat yang bertaraf kesayangan buat Tuan Pemerintah. Inilah petikan yang menceritakan perihal keanggunan Tinta Pujangga:

Tinta Pujangga lantas bangun tersamping dengan sepuluh orang jejaka gagah yang membawanya untuk diarak ke dalam tandu yang diperbuat daripada kristal unggul, ditempa istimewa dari emas Sierra Leone. Tandu itu dipayungi indah dengan perhiasan estetika dari zaman kuno Majapahit, berserta dengan rampaian sulaman awan larat yang juga menempelkan mantera-mantera suci kerajaan Funan, mengembalikan nilai indah nian seni zaman silam. Semua delegasi faham benar dengan personaliti Tinta Pujangga; malah dia dilayan selayaknya sebagai seorang maha diva!

Fahmi melukiskan watak Tinta Pujangga itu dengan penuh elegan, seorang profesor diraja yang dihormati di persada antarabangsa, ketokohannya nyata terserlah apabila berjaya membina dasar-dasar pentadbiran baru untuk neo-Kuala Lumpur. Siapa yang menjadi inspirasi untuk Fahmi melakarkan watak ini?

mariani

To be honest, visually -– Allahyarhamah Seniwati Mariani. Imagine the late Mariani in kebaya, as a scholar, dan ada satu scene di mana Srikandi Tinta Pujangga bersilat gayung. I really love the scene to be visual.

Bayangkan nenek kita berkebaya, di lereng leher ada rantai emas, rambut tersanggul rapi dan terhunus keris di genggaman, sedang bersilat gayung memakai terompah merah dan kain batik mewah, saya mahu watak Tinta Pujangga dan Mama Juwita seperti seorang cyborg srikandi yang agung dan berjati diri. Oh, wataknya sedikit sombong but give her a break, – she’s a diva! Haha.

Mariani Young

Watak dia menjadi panglima perang, dia melawan Israel dan Palestin yang bergabung, kapsul Angklung dan seorang alcoholic, I really love Tinta Pujangga. She’s my girl!

Ketika menulis watak Mama Juwita dan Tinta Pujangga, yang mendedahkan diri kepada muzik gamelan, dan melalui muzik saya belajar bahasa tubuh ketika saya bergerak.

Believe me, mom thought that I was crazy.

Membaca novel ini sememangnya memerlukan tumpuan yang mendalam kerana Fahmi banyak menyelitkan ilmu bantu dan kekuatan maksud, yang semuanya tersembunyi secara simbolik dan berlapis-lapis di sebalik ayat-ayat karangan Fahmi yang indah. Ceritalah serba sedikit tentang proses penulisan novel ini. Apakah antara pengalaman menarik semasa menukangnya?
a) Proses menulis mengambil masa selama 30 hari (2,000 perkataan selepas Terawih). Malam raya saya sibuk print manuskrip, dan raya esoknya pakai baju melayu yang berkedut!

Laknat Cover

b) Novel ini bermula daripada sebuah cerpen. Saya tulis beberapa bulan selepas Laknat. Tiba-tiba, rasa naik syeikh untuk tulis sebuah novel fiksyen sains fantasi. Mungkin sebab masa saya kecil, saya selalu nak lihat kereta terbang tapi up to this day, kereta masih lagi tak terbang! Oh why lah. Haha.

c) Ending novel ini ada tiga. Mulanya saya mahu jadikan ini semua sekadar mimpi tetapi saya takut dibunuh oleh pembaca. Jadi saya rangka satu penutup yang berkaitan dengan astronomi, dalam bentuk yang mudah difahami. Saya cuba menerangkan sains kepada pemula supaya mereka mesra dengan sains.

d) Kali ini saya plot novel dengan teratur berbanding Laknat. Konon-konon mahu jadi JK Rowling, susun plot cantik-cantik dalam jadual. That’s how I accelerate in speed. Tetapi lama-lama saya jadi bosan. Lalu saya biar watak itu tentukan takdir mereka sendiri. Kalau bab ini mereka mahu bersilat, okay, mereka akan bersilat.

Saya sudah penat bergaduh dengan watak sendiri. Nanti mereka kacau saya tidur.

e) Lagu paling banyak dimainkan ketika menulis novel ini adalah lagu –- Bir Ben Bir Allah Biliyor daripada Bulent Ersoy. Beliau seorang penyanyi transgender terkenal di Turki. Lagunya sedap. Beliau juga cantik.

Novel ini telah pun dilancarkan oleh Simptomatik Press sempena PBAKL. Apa yang Fahmi harapkan para pembaca dapat perolehi sesudah menghadam novel ini? Mungkinkah Fahmi ada perancangan untuk menyambung sekuelnya pula?
Saya harap selepas membaca novel ini, akan ada sesuatu yang diambil. Personally, ia tentang mengenali siapa kita dalam sudut pandang futuristik. Ignorance is a punishment and will be punished. Saya harap selain dari membaca novel ini, kita semua juga baca naskhah yang penting sepanjang zaman. We try to learn to unlearn. And from the shattered pieces, kita cantum bina menara kefahaman kita supaya teradar kemakmuran sejagat.

Fiction is the lie we made to tell the truth. In adalah satira politik, agama dan sosial. Tentang apa sebenarnya maksud tertawan dan tentang janji-janji manis yang sains mampu tawarkan. Saya tahu karya ini lebih serius berbanding Laknat (and more appropriate haha) tetapi ada sesuatu yang ingin saya sampaikan menghampiri ranting penceritaan.

Saya harap kita menjadi orang yang baik. Yang hormat dan menerima. Dunia telah lama sakit dan manusia telah lama mencari ubat yang sebenarnya ada di depan mata. Burung sememangnya dilahir untuk terbang, di dalam sangkar emas sekalipun, ia tetap ditakrif mengurung, bukan melindung.

Kebenaran tak takut langsung kepada keraguan, asal kita teruskan pencarian.

Soalan terakhir! Apa perancangan Fahmi seterusnya dalam bidang penulisan, khususnya untuk genre SaiFai? Jika diberi kekuatan dan keizinan, subjek apa yang ingin Fahmi terokai seterusnya?
Sebagai seorang penulis yang tersangatlah muda dan mentah, pertama sekali saya nak ucapkan terima kasih kepada yang menerima, melihat, membeli, menyokong dan membuat ulasan.

RM 20 is expensive this day.

Sebab itu saya terharu kalau orang beli dan baca. Kalau nak baca free di Kinokuniya pun tak apa. Saya terharu jugak. Asal ada yang sudi baca.

Saya mengayuh basikal ke sekolah sambil imagine suatu hari nanti saya akan menjadi penulis. Entah apa betulnya saya, Allah meminjamkan nikmat ini.

Kronologi SHNMAMT

Projek seterusnya sudahpun saya siapkan, novel kolaborasi bersama salah seorang penulis. Saya kini dalam rangka menyiapkan novel keempat. Terlalu banyak genre yang ada, tetapi saya lebih gemar memilih isu, dan membiarkan pengkritik menyuai padan genre dan sebagainya. Lagipun saya tidak pakar. Tak tahu teori penulisan apa-apa, saya hanya tulis sesungguh yang terfikir dalam kecetekan ilmu dan pengalaman saya.

Terrorism, geopolitics, religion, art, sexuality, philosophy, science, all those in a simpler manner. Lebih mesra pemula -– sikit-sikit mendayung, itu harapan saya di samping sentiasa bereksperimentasi, dan terus berguru dengan ramai sekali penulis hebat di sini.

Saya menulis untuk bercerita.

Tetapi lebih dari itu, saya menulis untuk memberitahu.

Di ruang kosong antara baris, saya sembunyikan sesuatu.

Terima kasih Fahmi kerana sudi menjawab soalan-soalan kami!
Sama-sama. I love you!

~

Pami Spec

Mohd Fahmi bin Jusoh @ Mustaffa menulis dengan nama pena Fahmi Mustaffa. Novel debut beliau, Laknat diterbitkan oleh Buku FIXI pada September 2015. 

Laknat boleh didapati di booth FIXI di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) yang akan berlangsung pada 29 April – 9 Mei 2016 di Malaysia Agro Exposition Park Serdang (MAEPS).

Jelajah Lejen Fixi

Cerpen SaiFai Fahmi Mustaffa bertajuk Pantomim dimuatkan di dalam Antologi Cerpen X-traordinari Imagikata. (Baca Di Sebalik Tabir Imagikata: Pantomim oleh Fahmi Mustaffa).

Pantomim

Imagikata Cover

Antologi Cerpen X-traordinari Imagikata boleh didapati di PBAKL di booth PTS dan juga boleh dibeli secara atas talian di Bookcafe.com.my.

peta-lokasi-klibf

Kunjungi reruai Simptomatik Press di Booth A3094 – A3095 (Thukul Bersekutu) di PBAKL untuk mendapatkan buku-buku SaiFai terbaru mereka.

Buku Baru Simptomatik Press