Wawancara Bersama Rosli Mohamad Ali, Bahagian 2

Mari kita ikuti sambungan sesi wawancara bersama pemenang Sayembara Novel Fiksyen Sains & Teknologi UTM – Kumpulan Utusan (Sayembara SaiFai) Musim Ke-4, Rosli Mohamad Ali. Bahagian satu boleh dibaca di sini.

Cikgu Rosli + Menteri Pendidikan

Baiklah, untuk sesi ini, kami akan membicarakan buku-buku Cikgu Rosli yang memenangi Sayembara SaiFai Musim Ke-4 dengan lebih khusus.

Izinkan kami memulakannya dengan sinopsis dari Nafkhatul Faza:

“Iris mataku meliar memandang ke sana dan ke mari mencari tanda-tanda kehidupan yang dikesan malam tadi. Namun, setakat ini tiada secebis kesan pun yang kelihatan pada deria. Yang ada hanyalah sisa-sisa bangunan pencakar langit yang terpacul keluar sebahagiannya, seolah-olah melawan ombak pasir yang cuba melemaskannya.”

Melalui sinopsis ini, kita mendapat sedikit bayangan bahawa novel ini berkisarkan konsep pencarian. Boleh Cikgu Rosli nyatakan dengan lebih lanjut mengenainya?

Di dalam kehidupan ini kita manusia sering melakukan kesalahan. Kecil dan besar. Antara lupa juga sedar. Sebagai seorang Islam yang terdidik dengan konsep dosa dan pahala, syurga dan neraka maka kekadang terpanggil juga untuk menyelitkan unsur ini dalam penulisan. Bukankah kita sewajibnya berdakwah akan agama kita biar pun dalam ruang yang sekecil cuma.

Pencarian dalam novel ini memang menjadi satu elemen pembinaannya. Watak seolah-seolah mencari sesuatu yang telah hilang dalam hidupnya (di saat keimanannya kian rapuh dek ujian hidup yang datang merempuh). Saya andaikan bahawa watak sebenarnya mencari sesuatu yang dapat mengembalikan keyakinan dirinya untuk menyelamatkan bumi dari dimusnahkan oleh teknologi yang dihasilkannya sendiri (kapal-kapal terra forming).

Dengan menemui apa yang dicari maka proses kemusnahan yang tidak diingininya akan terhenti dan dia tidak akan dipersalahkan jika bumi termusnah buat sekian kali. Ia juga punya jambatan perkaitan dengan konsep ketuhanan. Ia wujud tetapi cukup sukar dibuktikan. Bagaikan bayu yang menyelubungi diri. Tetapi tidak dapat dilihat dengan mata kepala sendiri.

Harus diingat bahawa sains sudah terlalu lama dimomokkan sebagai sesuatu yang lebih mendampingi hukum logika berbanding hukum segalanya terjadi disebabkan oleh Tuhan Yang Maha Esa. Jadi dengan memasukkan unsur sebegini maka sekurang-kurangnya kita dapat membuatkan pembaca kembali terfikir bahawa wujud kuasa yang lebih besar dari logika iaitu Tuhan yang mengawal segala-galanya.

Nafkhatul Faza adalah sebuah karya yang sarat dengan falsafah dan metafora. Malah, kejadian merak api yang menimpa manusia dikaitkan sebagai sebuah peringatan Tuhan, seperti petikan berikut:

 “Tetapi bukankah merak api sendiri sebenarnya api neraka yang dihantar oleh Tuhan kepada manusia atas dosa-dosa yang dilakukan oleh manusia? Ada sesetengah yang mengatakan yang suria itulah neraka sebenarnya.”

“Benar tetapi ia bukannya kiamat. Kerana jika kiamat sebenar yang berlaku maka kau dan aku tidak akan berbicara di kemuncak dunia ini. Kiamat lebih dahsyat daripada apa yang telah manusia alami selama 500 tahun ini. Tiada manusia pernah mengalami betapa dahsyatnya kiamat itu. Hanya gambaran-gambaran yang diberikan di dalam kitab suci al-Quran. Itu sahaja. Lagi pun segelintir manusia yang terselamat terus hidup dan membiak sehingga ke hari ini. Meninggalkan keturunan manusia untuk belajar daripada kesilapan yang pernah dilakukan oleh nenek moyang mereka. Maksudnya Tuhan masih menyayangi akan umat manusia. Memberikan mereka ruang dan peluang untuk terus hidup walaupun bukan lagi di dunia mereka. Abdul-Laits meriwayatkan dengan Sanad daripada Abu Hurairah r.a, Rasulullah s.a.w. pernah bersabda:

“Ketika Allah s.w.t. telah selesai menjadikan langit dan bumi, Allah s.w.t. menjadikan sangkakala dan diserahkan kepada Malaikat Israfil, maka ia meletakkannya di mulutnya melihat ke Arsy menantikan bilakah ia diperintahkan.” Saya bertanya: “Ya Rasulullah, apakah shur (sangkakala) itu?” Jawab Rasulullah s.a.w.: “Bagaikan tanduk dari cahaya.” Saya bertanya lagi: “Bagaimana besarnya?” Rasulullah s.a.w. menjawab: “Sangat besar bulatannya, demi Allah yang mengutuskanku sebagai Nabi s.a.w. besar bulatannya itu seluas langit dengan bumi, dan akan ditiup hingga tiga kali iaitu pertama Nafkhatul faza’ (untuk menakutkan), Nafkhatus sa’aq (untuk mematikan) dan Nafkhatul ba’ats (untuk menghidupkan kembali atau membangkitkan).”

“Jelas bahawa apa yang sedang kita hadapi sekarang ini bukanlah kiamat sebagaimana yang dipercayai oleh manusia yang telah sesat di luar sana. Semua ini ialah peringatan bahawa manusia jangan sesekali melawan hukum Tuhan. Tetapi biar sehebat mana pun kemusnahan yang diturunkan, Tuhan masih mahu memberikan peluang kepada manusia. Sebagaimana yang dapat kita lihat sekarang. Sedikit demi sedikit manusia sudah semakin hampir untuk kembali ke bumi. Seolah-olah manusia telah selesai menerima ujian daripada Ilahi.”

(Nafkhatul Faza, halaman 98-99)

Bagaimana Cikgu Rosli mendapat idea untuk mengaitkan perkara-perkara ini dengan peristiwa sebelum kiamat, dan mempersembahkannya pula dalam bentuk fiksyen sains?

Imaginasi barangkali. Di dalam Al-Quran banyak dinyatakan fakta-fakta sains yang berjaya dibuktikan kebenarannya oleh saintis barat. Lengkap dengan pengukuran sumatifnya melalui kaedah pengiraan yang tepat. Fakta ini terdiri dari pelbagai bidang baik biologi, astronomi malahan fizik. Mereka yang mengkajinya bukanlah ahli sufi namun terdiri dari mereka yang berlainan agama juga ateis. Tetapi akhirnya mereka mengakui kebenaran Al-Quran itu sendiri. Unsur agama boleh dijadikan suatu unsur yang melakonli dalam penulisan dan saya menggunakannya untuk menambahkan lagi kelunakan penulisan itu dengan sumber yang tidak boleh disanggah lagi – kalimah Ilahi.

Ada konsep yang amat berlainan dan boleh dikatakan satu cubaan yang sangat berani yang telah ditampilkan dalam Nafkhatul Faza, di mana watak utama sedang bergelut dengan kewarasan dirinya bila mendengar suara-suara yang datang dari dimensi berbeza. Rujuk:

“Di mana kalian semuanya? Tunjukkan diri kalian. Agar semua persoalan yang sering bermain di fikiran akan menemui noktah jawapan,” bisik hatiku. Cuba menenangkan diriku yang sedang sesat dalam kegelapan itu. […]

“Aku dengan imaginasiku. Siapa pula yang mampu menggangguku di sini kecuali imaginasi liarku ini,” ujarku. Seolah-olah memperlekehkan dimensi yang tidak dapat dilihat manusia itu, aku sekali lagi terdengar bisikan. Jeritan dan rintihan yang menyedihkan.

(Nafkhatul Faza, halaman 122-123)

“Aku cukup yakin bahawa itu bukan sekadar imaginasi. Adakah kemungkinan mereka di dunia sana cuba berkomunikasi dengan kita di dunia fana ini? Memberitahu kita sesuatu barangkali?”

(Nafkhatul Faza, halaman 132)

“Roh tidak sekali-kali boleh berubah kepada bentuk yang lain.”

“Ke mana pula roh itu pergi ayah?”

“Mengikut agama kita roh masih berada bersama tubuh kita di alam barzarkh. Alam ketiga dalam perjalanan hidup manusia sebelum dibangkitkan semula di padang Mahsyar.”

(Nafkhatul Faza, halaman 143)

Alangkah menariknya bila Cikgu Rosli melahirkan kemungkinan bahawa manusia pada zaman akan datang boleh mendengar suara dari alam kematian. Bilamana sesuatu masyarakat itu semakin maju, maka perkembangan teknologi membolehkan mereka menerobos ke dunia yang terletak di dimensi berbeza.

Memikirkan kejadian itu, kita tidak tahu sama ada mereka yang boleh mendengar suara orang mati ini akan menjadi orang yang insaf, takut atau gila. Ke mana perginya roh manusia yang telah meninggalkan tubuh tumpangan? Pergi ke alam barzakh, suatu tempat yang tidak tercapai oleh akal. Hanya Tuhan yang mengetahui dimensi itu. Apa yang terlintas dalam fikiran Cikgu Rosli semasa menulis mengenai perkara ini?

Saya sentiasa bermonolog. Berfikir itu dan ini. Sering mengutarakan persoalan dalam diri. Bagaimana jika….? Mungkinkah…? Mengapa begitu…? Persoalan-persoalan sebegini akhirnya membibitkan idea bagaimana jika manusia di dimensi ini mampu bicara dengan mereka yang berada di dimensi sana. Pasti banyak rahsia yang mampu diceritakan mereka.

Bukankah sudah banyak kejadian misteri yang berlaku bilamana suara-suara dari dimensi yang tidak dapat dicapai pancaindera manusia mampu membimbing manusia dalam menjalani kehidupan bahkan hingga mampu menjalankan pembedahan. Alam roh sesuatu yang cukup misteri. Tiada siapa yang tahu. Mengapa tidak saya ketengahkan konsep baru sebegitu? Mengadunkan unsur mistik dengan fakta-fakta sains. Lihat bagaimana dengan cerita Event Horizon. Hebat teknologi manusia tetapi tidak melawan kuasa yang tidak kelihatan (makhluk api yang memusuhi manusia). Bagaikan seorang maestro yang mengadunkan pelbagai nota muzik yang akhirnya melahirkan gema dan bunyi yang infiniti.

Watak Dr. Irfan telah kehilangan segala-galanya, ahli keluarga, tempat tinggal di Bumi, malah diserang penyakit yang bakal meragut nyawanya tidak lama lagi. Pembaca dapat merasai kesedihan dan depresi yang dialami Dr. Irfan, dan ini membuatkan pembaca menyokong semangat perjuangan beliau untuk kembali ke Bumi. Dalam pada itu, terdapat pula kehadiran suatu frekuensi misteri seperti berikut:

“Apa kandungan frekuensi itu? Apa bunyinya?”

“Apa kandungan bunyinya tidak dapat dikenal pasti. Bunyinya langsung tidak punya persamaan dengan segala bentuk bunyian yang terkandung dalam rekod yang kita miliki. Tetapi aku percaya ia adalah sejenis bunyi. Lihat corak frekuensi ini.”

Aku kembali meneliti. Coraknya bagaikan corak nyanyian. Suara barangkali. Namun siapa pula yang mampu menyebarluaskan bunyi yang sedemikian? Tidak mungkin lima pilon yang berada di bumi ini yang menghasilkannya. Kerana sistem komunikasi semua pilon sudah lama berubah dan tidak lagi menggunakan corak frekuensi yang dinyatakan Izmer. Jelas ia teknologi yang pernah digunakan oleh nenek moyang dahulu. Soalnya dari menara komunikasi mana pula mereka pancarkan frekuensi itu. Kesemua menara komunikasi manusia yang pernah berdiri megah suatu ketika dahulu pasti telah mencair semuanya menjadi debu dek kepanasan suar suria yang dahsyat itu.

(Nafkhatul Faza, halaman 77)

“Dalam jam bumi?”

“Waktu kemunculannya secara tepat tidak dapat dinyatakan cumanya ia hadir dalam lingkungan waktu di antara 0430 hingga 0530, 1145 hingga 1245, 1500 hingga 1600, 1745 hingga 1845 dan 1930 sehingga 2030.”

 (Nafkhatul Faza, halaman 154)

Watak di dalam Nafkhatul Faza langsung tidak mengenali frekuensi itu. Cikgu Rosli juga tidak meletakkan dengan jelas apa sebenarnya frekuensi itu, sebaliknya membiarkan pembaca mendalaminya dan membuat kesimpulan sendiri. Apakah ada sebab untuk Cikgu Rosli tidak menyatakannya? Apa yang sebenarnya ingin Cikgu Rosli sampaikan mengenai manusia di zaman akan datang yang langsung tidak mengenali bunyi azan?

Sekali lagi ianya menyentuh akan soal keagamaan. Sudah diperingatkan dengan jelas oleh Nabi Besar Junjungan bahawa di akhir zaman nanti agama sudah tidak menjadi keutamaan lagi. Apatah lagi dengan konsep sains yang cukup degil memisahkan dirinya dari hukum agama. Dalam erti kata lain sains itu cukup sekular.

Siapa tahu pada masa hadapan nanti pegangan agama menjadi semakin longgar hinggakan manusia sudah tidak mampu melaksanakan hal-hal yang asas termasuklah berjemaah ketika solat. Tidak peka akan masa-masa kewajipan itu dilaksanakan sepenuhnya. Atau barangkali saya mahu mempamerkan bahawa manusia ketika itu sudah melupakan kitaran masa konvensional yang berlaku di bumi berbanding dengan dunia tumpangan mereka yang pastinya menggunakan kaedah pengiraan yang lain pula. Kemungkinan yang berlaku pada masa akan datang cukup infiniti.

Alangkah indahnya bila naskhah Nafkhatul Faza meletakkan kemungkinan bahawa semua roh manusia yang telah mati akhirnya akan kembali ke bumi, biar pun jasad mereka dikebumikan di merata tempat, termasuklah di penghujung galaksi.

Cikgu Rosli meletakkan bayangan bahawa pada zaman akan datang, biar pun manusia sudah berjaya menakluk dan merantau jauh ke seluruh alam semesta, mereka akan tetap kembali ke tempat asal kewujudan mereka, kembali ke dunia yang menjadi asas binaan mereka dahulu – tanah. Dari manakah Cikgu Rosli mendapat bayangan seperti ini?

Idea ini sebenarnya saya garap ketika menulis Aurora Morgana dengan menggunakan pelukisan kapal misteri bernama KM Barzakh. Kapal ini menempatkan jutaan jasad manusia yang telah mati dan menanti agar jasad mereka bersatu dengan dunia yang menjadi asal kejadian mereka – bumi. Kapal ini dikendalikan krew yang cukup misteri. Mereka hadir setiap kali berlaku kematian. Saya gunakan semula idea ini dalam Nafkhatul Faza.

Ideanya timbul bilamana saya melihat salah satu imej galaksi yang terpapar dalam laman sesawang NASA. Terfikir saya ketika itu (berbalik pada monolog diri…bagaimana kalau?) jika manusia sudah mati katakan jasadnya di lingkaran Kuiper. Adakah rohnya akan kembali ke bumi. Bagaimana jika ya? Idea ini turut datang rentetan pengalaman ketika tinggal di Vietnam. Kita sering diingatkan bahawa jumlah tentera Amerika yang hilang ketika peperangan di sana ialah lebih kurang 2,000 orang tetapi ramai yang lupa bahawa Vietnam kehilangan lebih 200,000 tenteranya yang dianggap sebagai MIA (Missing in Action).

Salah satu cara mencari mayat mereka ialah dengan menggunakan kaedah psikik (dan dalam sesetengah kes mereka berjaya). Percaya atau tidak angkatan tentera mereka punya satu jabatan khusus mengesan tentera mereka yang hilang dengan menggunakan kaedah ini. Saya berkesempatan berbual dengan veteran mereka dan mereka menyatakan bahawa sebab mengapa ahli keluarga mereka yang mati tetapi tidak ditemui sering menerima bayangan dalam mimpi akan rintihan mereka adalah kerana jasad mereka yang tidak dapat pulang ke tanah air mereka. Bagaimana jika manusia pada masa akan datang juga begitu? Mahu kembali semula ke tanah asal mereka walaupun terkorban jutaan cahaya jauhnya.

Watak dalam Nafkhatul Faza, Dr. Irfan menjadi keliru bila mendapati satelit pengimbas telah berjaya mengesan kewujudan spesies homo sapien di bumi, sedangkan bumi masih belum selamat untuk didiami.

Paling menghairankan, pada saat frekuensi misteri itu muncul, terdapat tanda menunjukkan kemunculan homo sapien itu menjadi lebih galak, seolah-olah frekuensi itulah yang membawa nyawa kepadanya. Homo sapien itu bergerak menuju satu destinasi. Lihat:

“Bermaksud satelit ini berjaya mengesan haba manusia yang sedang berlegar-legar di koordinat ini,” ujar Izmer lagi. Identifikasi spesies itu kelihatan kekadang muncul, kekadang hilang dari skrin radar. Seolah-olah sedang mengelak daripada pancaran imbasan yang dipancarkan oleh satelit berkenaan.

(Nafkhatul Faza, halaman 80)

“Tetapi semua tompokan merah yang melambangkan mereka itu seolah-olah sedang bergerak ke arah sesuatu.”

“Maksud kamu seolah-olahnya mereka punya destinasi?”

“Begitulah jika mengikut pemahamanku. Pergerakannya tidak bersifat rawak. Imej imbasan itu bergerak ke satu arah, namun sehingga kini aku tidak tahu titik destinasi yang dituju.”

(Nafkhatul Faza, halaman 82)

Di penghujung cerita, pembaca diberi pengakhiran yang cukup memuaskan bila Dr. Irfan akhirnya berjaya sampai ke destinasi yang disebutkan. Namun, kita tidak diberitahu tentang nasib Dr. Irfan dan juga masa depan bumi selanjutnya.

Sekali lagi, Cikgu Rosli tidak meletakkan penutup dengan jelas, sebaliknya membiarkan pembaca membuat kesimpulannya sendiri. Adakah Cikgu Rosli sudah merancang hendak menutup jalan cerita Nafkhatul Faza dengan sebegitu sekali?

Mungkin sukar dipercayai bahawa penutup novel ini telah saya fikirkan terdahulu berbanding pembukaannya. Dari situ saya kembangkan jalan ceritanya. Bagaimana watak boleh sampai ke destinasinya? Apa halangan yang perlu dihadapinya? Songsang kan? Tapi itulah gaya saya barangkali.

Sepertimana saya diajar ketika di alma mater saya dahulu. Komander perang yang memenangi pertempuran yang mustahil dimenangi ialah orang yang berfikir secara unconventional. Lihat sahaja taktik Jeneral Nathan B. Forest ketika Perang Saudara Amerika. Sehingga kini taktik unconventional dikaji oleh graduan West Point.

Saya sentiasa mengimpikan penutup yang membuatkan pembaca tertanya-tanya. Sekali lagi saya kembali pada hobi saya. Menonton filem. Sudah banyak filem yang saya tonton tetapi filem Castaway lakonan Tom Hanks merupakan filem yang paling saya gemari. Mungkin ratusan kali menontonnya tetapi tidak pernah puas. Lihat penutupnya.

“You look lost…” kata wanita yang peramah itu.

“I do?” tanya Tom Hanks.

Wanita itu kemudiannya menceritakan ke mana destinasi yang boleh dituju oleh Tom Hanks melalui jalan-jalan d di simpang itu.

“Good luck…” kata wanita peramah itu.

“Thank you…” kata Tom Hanks.

Dia kemudian berdiri di tengah-tengah persimpangan. Kemudian senyum ke arah perginya trak wanita itu. Sehingga kini kita tertanya-tanya adakah dia akan pergi semula ke rumah wanita itu dan membuka kandungan kotak yang tidak kita ketahui hingga kini kandungannya. Itulah perumpamaan yang saya berikan ketika menulis penutup novel ini. Penuh pertanyaan. Ada kawan saya meneka yang watak utama memang mati. Ada juga sebaliknya. Terpulang kepada pemahaman pembaca.

~

Esok, Cikgu Rosli akan membicarakan pula novel beliau yang berjaya memenangi tempat kedua dalam Sayembara SaiFai Musim Ke-4, Katalis Neurogenesis. Sama-sama kita nantikan!

Wawancara Bersama Rosli Mohamad Ali, Bahagian 1

Pena SaiFai kali ini berpeluang menemubual seorang pengarang fiksyen sains yang banyak memenangi anugerah dalam bidang penulisan, Cikgu Rosli Mohamad Ali.

image.jpg

Di sini disertakan biodata Cikgu Rosli:

Nama: Rosli Bin Mohamad Ali

Umur: 41 Tahun

Tempat lahir: Batu Pahat, Johor Darul Takzim

Menetap: Segamat, Johor Darul Takzim

Latar belakang pendidikan:

  • SK LKTP Kemelah Segamat Johor 1985-1989
  • SMK Tenang Stesen Segamat Johor 1989-1993
  • SMK Dato’ Bentara Dalam Segamat Johor 1994-1995
  • Ijazah Sarjana Muda Sastera (Kepujian) Jabatan Pengajian Asia Tenggara & Sejarah Universiti Malaya
  • KPLI Maktab Perguruan Raja Melewar, Negeri Sembilan Darul Khusus.

Pekerjaan: Guru

Latar belakang penulisan:

Terlibat dengan dunia penulisan sejak di kampus lagi dalam penulisan buletin kelolaan Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya PMIUM. Mula menulis secara serius pada akhir tahun 2009.

Senarai karya:

  1. Haikal Haziq, Buku Prima, Karangkraf 2013.
  2. Misteri But No. 5, Buku Prima Karangkraf 2014.
  3. Kaiten Tanjung Hitam, Dewan Bahasa dan Pustaka 2015.
  4. Cahaya Dari Andromeda, Dewan Bahasa dan Pustaka 2016.
  5. Nafkhatul Faza, UTM Press-Utusan Publications 2017.
  6. Katalis Neurogenesis, UTM Press-Utusan Publications 2017.

Anugerah penulisan:

  1. Sayembara Menulis Novel & Skrip Drama Kanak-Kanak & Remaja DBP 2010.
  • Kedua, Cahaya Dari Andromeda, Kategori Remaja 13-15 tahun.
  • Saguhati, Mata Merah Kera Hantu, Kategori Kanak-kanak 9-12 tahun.
  1. Peraduan Mengarang Pantun Pendidikan Untuk Penjawat Awam (KPM) Puspanita-DBP 2013.
  • Saguhati 1 (Sepuluh Pantun).
  1. Sayembara Menulis Novel Sains Angkasa DBP 2013/2014.
  • Pertama, Aurora Morgana, Kategori Remaja.
  • Ketiga, Lepidoptera Europa, Kategori Remaja.
  • Saguhati, Kudeta Titania, Kategori Remaja.
  • Saguhati, Petaka Prisma, Kategori Remaja.
  1. Sayembara Novel Fiksyen Sains &Teknologi UTM-Kumpulan Utusan Musim Ke-4 2015/2016.
  • Pertama, Nafkhatul Faza.
  • Kedua, Katalis Neurogenesis.

Salam, Cikgu Rosli. Pertama sekali, kami dari pihak Pena SaiFai ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Cikgu Rosli kerana berjaya menggondol dua hadiah utama dalam Sayembara Novel Fiksyen Sains & Teknologi UTM-Kumpulan Utusan (Sayembara SaiFai) Musim Ke-4.

Cikgu Rosli melangkah bergaya dengan membawa pulang hadiah bernilai RM25,000 untuk dua novel fiksyen sains bertajuk Nafkhatul Faza (menang tempat pertama RM15,000) dan Katalis Neurogenesis (menang tempat kedua RM10,000). Inilah pertama kali dalam sejarah sayembara ini, seorang penulis memenangi dua hadiah utama dan ini merupakan suatu pencapaian yang sangat membanggakan.

image (1)

Sebagai permulaan, boleh Cikgu Rosli berkongsi bagaimana Cikgu menceburkan diri dalam bidang penulisan kreatif?

Wasalam. Pertamanya jutaan terima kasih saya ucapkan kepada Pena SaiFai atas kesudian menemuramah saya. Secara jujur saya katakan bahawa saya tidak pernah sama sekali menyangka yang saya akan dikurniakan dengan kejayaan yang sebegini memandangkan mereka yang menyertai sayembara ini rata-ratanya terdiri dari mereka yang cukup berpengalaman dalam bidang penulisan apatah lagi dalam genre fiksyen sains. Namun syukur ke hadirat Ilahi kerana diberikan kejayaan ini. Saya anggap kejayaan ini sebagai satu suntikan semangat untuk terus mengimarahkan dunia penulisan fiksyen sains nusa ini.

Jika dilihat dari sudut sejarahnya saya tidak menyedari bahawa saya mampu menghasilkan penulisan kreatif sebegini. Ketika berada di dalam sidang redaksi majalah sekolah (SMK Dato Bentara Dalam dan SMK Tenang Stesen, Segamat) saya tidak terlibat dalam bahagian editorial tetapi hanya terlibat dalam bidang grafik. Ya, saya amat meminati seni lukis berbanding penulisan (cukup payah untuk saya menghabiskan karangan Bahasa Melayu sewaktu di sekolah dahulu).

Segalanya berubah ketika memasuki Tingkatan Enam bilamana saya dipaksa masuk ke aliran sastera (dari Sains akibat kekurangan guru sains ke Perakaunan dan sekarang Sastera).  Sejak itu saya mengenali kemanisan sastera Melayu. Saya mula menulis puisi setelah belajar teks puisi nukilan Baha Zain dalam naskhahnya Tiga Catatan Perjalanan.

Baha Zain

Odesi kecil saya dalam bidang penulisan kreatif ini terhenti ketika di Universiti Malaya bilamana saya terlibat pula dalam penulisan berkaitan sejarah dan pengajian strategik. Mujur PMIUM memberikan sedikit ruang untuk saya kembali mengasah bakat dengan menyumbangkan penulisan yang juga akhirnya berunsurkan sejarah dan pengajian strategik. Setelah bertugas buat sementara dengan Universiti Malaya sekali lagi minat itu terhenti. Saya mengembara ke sebuah negara ASEAN yang saya kaji sejak di universiti dengan harapan saya akan menjadi seorang pakar negara ini. Saya jadi fasih bahasanya, budaya dan pemikiran bangsa mereka sehinggalah kepentingan keluarga mengatasi segalanya dan saya pulang untuk menjaga mereka.

Pada satu pagi hari cuti ketika saya  melayari laman sesawang Dewan Bahasa dan Pustaka. Terpampang iklan sayembara. Teriak hati saya, kau di rumah sendiri. Bukankah rugi jika dibiarkan cuti berlalu pergi. Tanpa melakukan sesuatu yang bermanfaat pada diri. Tarikh itu saya masih terpahat dalam ingatan 23 Ogos 2009 tarikh saya mula melangkah kembali dalam bidang penulisan kreatif ini.

Sayembara yang Cikgu Rosli maksudkan adalah Sayembara Menulis Novel & Skrip Drama Kanak-Kanak & Remaja DBP. Alhamdulillah, itulah permulaan Cikgu dalam dunia sayembara dan kemudian Cikgu menyertai pula Sayembara Menulis Novel Sains Angkasa anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka pada tahun 2013. Boleh Cikgu ceritakan lebih lanjut mengenai novel-novel ini, dan juga proses penulisan yang berlaku di sebaliknya?

Rosli-Pertama-kategori-remaja-rm5k

Benar. Syukur, untuk Sayembara Menulis Novel Sains Angkasa saya memenangi tempat pertama, ketiga dan dua hadiah saguhati. Juga kali pertama dalam sejarah Dewan Bahasa Pustaka. Satu rekod baru barangkali. Namun kesemua manuskrip yang menang itu masih belum diterbitkan lagi.

sains-angkasa-1sains-angkasa-2

Novel Aurora Morgana berkisar akan zaman pos apokalips di mana bumi diselimuti dengan sejenis atmosfera merah yang cukup misteri. Tiada manusia yang mampu melepasi kepungan ini. Stesen Suvarnabumi ditugaskan memantau bumi. Watak utama dalam novel ini ialah seorang jurutera muda yang mencipta teknologi imbasan biologi yang mampu mengesan hidupan di bumi. Watak utama ialah insan yang menemui cara untuk menewaskan Aurora Morgana yang sebenarnya terdiri dari roh jahat dan makhluk api (syaitan dan kuncu-kuncunya) yang menghalang manusia dari kembali mengimarahkan bumi. Senjata yang cukup kuat untuk menewaskan mereka ialah gema bacaan ayat suci kalimah Ilahi.

Lepidoptera Europa pula memperihalkan kehidupan manusia yang mengekploitasi hasil air di bulan Europa, salah satu dari puluhan satelit yang ditarik graviti Musytari. Watak dalam hal ini menemui hidupan yang selama ini menyembunyikan dirinya dari manusia lantaran kesensitifan mereka pada cahaya yang dihasilkan oleh manusia.

Petaka Prisma pula mengisahkan sekumpulan saintis dan tentera yang berjuang melindungi sebuah bulan kecil yang mengandungi mineral yang amat diperlukan oleh manusia di bumi. Mereka membina sebuah meriam mega bertujuan untuk memusnahkan asteroid berbentuk prisma yang terbang laju menuju ke bulan itu yang kemungkinan besarnya jika tidak dimusnahkan pasti trajektorinya akan menghala dan memusnahkan bumi. Akhirnya diketahui bahawa asteroid prisma itu hanyalah gumpalan roh yang hadir semula dan mahu menuntut dunia yang telah sekian lama ditinggalkan mereka.

Kudeta Titania mengisahkan sekumpulan manusia yang ditugaskan di sebuah planet yang mengalami proses pembumian (terra forming). Berlaku pemberontakan yang membuatkan watak sedar bahawa mereka semuanya adalah banduan yang dipergunakan untuk melaksanakan pelbagai misi merbahaya kerana mereka adalah expandable. Dua manuskrip dihasilkan dalam tahun 2013 iaitu Aurora Morgana dan Lepidoptera Europa manaka dua lagi dalam tahun 2014.

Menyebut tentang prosesnya punya perkaitan dengan diri saya yang bukanlah penulis sepenuh masa. Hobi saya yang cukup gemar menonton pelbagai filem fiksyen sains serta membaca ensiklopedia juga wikipedia banyak membantu saya menulis kesemua novel itu. Ditambah dengan lawatan ke laman web kegemaran saya iaitu laman web NASA yang menghidangkan pelbagai perkara yang sebenarnya boleh membantu kita membina idea. Selain dari minat menonton Discovery Science yang turut memaparkan pelbagai kecanggihan pencapaian manusia dalam bidang sains.

Khabarnya Cikgu Rosli telah menghantar tiga manuskrip sebagai penyertaan untuk Sayembara SaiFai Musim Ke-4. Ini adalah sesuatu yang mencabar dan di luar jangkauan ramai penulis, kerana penulisan novel fiksyen sains memerlukan penelitian dan kajian yang mendalam. Berapa lamakah masa yang diambil oleh Cikgu untuk menulis setiap satu naskhah itu, dan apakah rujukan yang digunakan untuk menghasilkan kisah ini?

Benar. Saya menghantar tiga penyertaan. Dua dinobatkan sebagai pemenang manakala sebuah lagi bertajuk Odesi Paradoks tertolak. Barangkali idea yang terkandung di dalamnya agak ekstrem hinggakan tidak terpilih sebagai pemenang. Ia berkaitan dengan spekulasi sains iaitu merentas masa, arkeologi serta kesusasteraan Melayu juga sejarah.

Masa yang diambil ialah lebih kurang sebulan setengah untuk setiap novel. Sebulan menulis dan dua hingga tiga minggu lagi untuk proses edit ayat serta ejaannya. Rujukannya cukup banyak sebagai contoh jika saya mahu memetik ayat-ayat Al-Quran saya perlu merujuk kepada Tafsir Al-Quran. Jika ianya berkaitan dengan biomedikal saya perlu pula melayari laman web yang berkaitan. Hinggakan juga saya membaca petikan kitab-kita agama lain untuk menjadikan manuskrip ini kelihatannya lebih ‘luas’ idea falsafahnya (bukankah falsafah itu menduduki hierarki tertinggi piramid klasifikasi ilmu). Discovery Science mungkin bukanlah saluran kegemaran di Malaysia tetapi jika diamati kandungannya idea untuk penulisan fiksyen sains cukup infiniti.

Apakah rahsia dan petua yang diamalkan Cikgu Rosli untuk menulis novel fiksyen sains dengan baik dan konsisten? Apa pula pandangan Cikgu tentang fiksyen sains di Malaysia?

Tiada petua yang khusus. Mungkin pembaca sukar mempercayai bahawa motivasi saya menyiapkan manuskrip ini sama sebagaimana saya menyiapkan tugasan semasa di alma mater dulu. Segalanya harus bersungguh-sungguh. Perlu memuaskan hati pensyarah dengan rujukan yang pelbagai dan bentuk rujukan yang juga pelbagai.

Syukur, disebabkan rejim kerja saya hasil latihan yang diberikan oleh pensyarah saya menjadikan saya seorang yang cukup gemar membuat kajian, rujukan dan juga penelitian (terima kasih Prof. Dr. Shahril Talib, Jabatan Pengajian Asia Tenggara dan Prof. Dr. Danny Wong Tze Ken, Jabatan Sejarah Universiti Malaya).

Semangat perlu kuat. Perasaan malas perlu dibuang jauh-jauh. Jika terasa bosan bisikkan dalam fikiran bahawa ‘no pain no gain’. Dendangan ‘One Moment In Time’ menjadi pembakar semangat saya. Terngiang-ngiang bait katanya… to taste the sweet I face the painI rise and fall yet through it all...

Jujur saya katakan saya tidak mengikuti perkembangan fiksyen sains di Malaysia. Apa yang saya sering lakukan ialah melihat sepintas lalu akan buku-buku yang dihasilkan oleh penerbit ternama di Malaysia tetapi tidak pula tergerak hati untuk membacanya. Mungkin kekangan masa serta kesukaran mendapatkan naskhah terbabit di kawasan ini. Namun jika tidak salah saya fiksyen sains di Malaysia ini agak kerdil (terutamanya kuantiti penerbitan) jika dibandingkan dengan genre-genre lain yang cukup gagah melangkah terutamanya genre percintaan, keagamaan, misteri dan seram.

Jika boleh digunakan perlambangan maka genre fiksyen sains di Malaysia bagaikan pasukan bola sepak Republik San Marino bertemu dengan Jerman (genre percintaan), England (keagamaan) juga Perancis (misteri dan seram). Sedangkan jika di Amerika Syarikat novel fiksyen sains ialah genre yang dinanti-nantikan berbanding genre lainnya. Dijadikan kajian dan diadaptasikan ke dalam filem.

Boleh senaraikan nama penulis dan bahan bacaan yang menjadi kegemaran / rujukan Cikgu Rosli? Mengapa Cikgu memilih karya-karya ini?

Saya cukup gemar membaca buku-buku ilmiah tetapi tidak novel. Mungkin sukar dipercayai bahawa saya tidak punya penulis yang dijadikan rujukan ketika menulis. Saya benar-benar menggunakan daya imaginasi saya ketika menulis. Ditambah dengan rujukan pada bahan-bahan yang berkaitan dengan plot yang menjadi pilihan saya. Saya sering membayangkan yang saya berada di dalam novel itu. Cuba memikirkan bagaimana rasanya menjadi watak itu. Pelik bukan? Jika wataknya seorang pakar biologi saya cuba membayangkan bagaimana rasanya menjadi seorang biologis. Sahabat saya mengatakan bahawa saya menulis seperti Ben Bova. Saya terpaksa meng‘google’ untuk mencari siapa empunya diri yang dikatakan. Tetapi saya tidak pernah membaca pun karya beliau.

Hanya dua novel Bahasa Melayu yang pernah saya baca sehingga habis iaitu Merpati Putih Terbang Lagi karya Khadijah Hashim. Novel ini berkaitan dengan konflik kemasyarakatan. Novel Ke Detik-detik Sepi nukilan Zailiani Taslim (maaf jika ejaan nama salah). Satu-satunya novel fiksyen sains yang pernah saya baca (selain dari novel pemenang musim ini).

Novel ketiga ialah The Ugly American yang menjadi naskhah kegemaran saya yang cukup meminati sejarah Perang Vietnam (mungkin kerana tinggal lama di Vietnam). Selain dari itu tiada hasil karya yang saya baca. Rujukan utama saya ialah ensiklopedia dan bahan-bahan ilmiah yang lainnya.

~

Esok: Cikgu Rosli bakal membicarakan proses penulisan Nafkhatul Faza dengan lebih lanjut. Naskhah itu telah berjaya memenangi hadiah tempat pertama dalam Sayembara SaiFai Musim Ke-4 baru-baru ini. Nantikan!

Novel “Nafkhatul Faza” – Fiksyen Sains Sarat Falsafah

nafkhatulfaza-cover

Tajuk Buku: Nafkhatul Faza
Pengarang: Rosli Mohamad Ali
Penerbit: Utusan Publications & Distributors / UTM Press
Tahun Terbitan: 2017
Halaman: 404
Harga: RM50.10

Sinopsis:

“Iris mataku meliar memandang ke sana dan ke mari mencari tanda-tanda kehidupan yang dikesan malam tadi. Namun, setakat ini tiada secebis kesan pun yang kelihatan pada deria. Yang ada hanyalah sisa-sisa bangunan pencakar langit yang terpacul keluar sebahagiannya, seolah-olah melawan ombak pasir yang cuba melemaskannya.”

Nafkhatul Faza, karya seorang guru Bahasa Inggeris bernama Rosli Mohamad Ali telah berjaya dinobatkan sebagai pemenang tempat pertama dalam Majlis Penyampaian Hadiah Sayembara Novel Fiksyen Sains dan Teknologi UTM-Kumpulan Utusan Musim Ke-4 yang berlangsung pada 28 Mac 2017 di Dewan Utusan baru-baru ini.

Nafkhatul Faza mengisahkan kehidupan manusia dalam era pascabencana, setelah bumi mengalami kemusnahan akibat fenomena suar api (merak api) yang dahsyat sehingga mengurangkan bilangan umat manusia daripada berbilion penduduk kepada seratus ribu sahaja. Saki-baki manusia yang terselamat ini tidak lagi dapat menghuni bumi, sebaliknya terpaksa meneruskan kehidupan di stesen angkasa dan planet-planet lain. Sekumpulan saintis, diketuai oleh Dr. Irfan, berhasrat untuk membuktikan bahawa planet bumi yang telah rosak sejak 500 tahun dahulu, kini beransur pulih tanpa memerlukan sebarang bantuan atau campur tangan daripada manusia.

Nafkhatul Faza menghantar kesedaran bahawa kerakusan manusia memusnahkan alam semula jadi dengan begitu terlampau, akhirnya menerima balasan dan amaran Tuhan melalui fenomena merak api itu.

“Tetapi bukankah merak api sendiri sebenarnya api neraka yang dihantar oleh Tuhan kepada manusia atas dosa-dosa yang dilakukan oleh manusia? Ada sesetengah orang mengatakan yang suria itulah neraka sebenarnya.”

“Benar tetapi ia bukannya kiamat. […] Abdul-Laits meriwayatkan dengan Sanad daripada Abu Hurairah r.a., Rasulullah s.a.w. pernah bersabda:

Ketika Allah s.w.t. telah selesai menjadikan langit dan bumi, Allah s.w.t. menjadikan sangkakala dan diserahkan kepada Malaikat Israfil, maka ia meletakkannya di mulutnya melihat ke Arsy menantikan bilakah ia diperintahkan.” Saya bertanya: “Ya Rasulullah, apakah shur (sangkakala) itu?” Jawab Rasulullah s.a.w.: “Bagaikan tanduk dari cahaya.” Saya bertanya lagi: “Bagaimana besarnya?” Rasulullah s.a.w. menjawab: “Sangat besar bulatannya, demi Allah yang mengutuskanku sebagai Nabi s.a.w. besar bulatannya itu seluas langit dengan bumi, dan akan ditiup hingga tiga kali iaitu pertama Nafkhatul faza’ (untuk menakutkan), Nafkhatus sa’aq (untuk mematikan) dan Nafkhatul ba’ats (untuk menghidupkan kembali atau membangkitkan).”

(Nafkhatul Faza, halaman 98-99)

Seperti mengulang kembali kisah di dalam Al-Quran, generasi pada zaman pascabencana ini perlu bertungkus-lumus memikul cabaran dan tanggungjawab seumpama yang pernah dilaksanakan oleh Nabi Noh a.s. – membina bahtera-bahtera besar di tempat lain selain bumi atas tujuan menyelamatkan kelangsungan setiap hidupan.

“Jadinya orang pada zaman dahulu beruntung ya ayah sebab dapat tinggal di dunia yang cukup indah itu.”

“Segala nikmat itu datangnya dari Tuhan Aleesya. Sampai masa nikmat itu ditarik balik dari mereka.”

“Dan kita yang menanggung seksanya ayah…”

(Nafkhatul Faza, halaman 142)

Allah S.W.T. bagaimanapun masih menyayangi akan umat manusia dan menghadiahkan mereka peluang untuk membetulkan kesilapan lampau. Peluang itu dilihat oleh Dr. Irfan dan pasukan saintisnya melalui bukti serta data-data saintifik yang menunjukkan bahawa bumi sedang memperbaharui dirinya semula, sekaligus memberikan harapan bahawa manusia diberi peluang kedua untuk memulakan peradaban yang lebih lestari di bumi.

Membaca Nafkhatul Faza menuntut pemikiran yang mendalam mengenai konsep pencarian dan keabadian. Dr. Irfan digerakkan oleh suatu dorongan untuk mencari saki-baki kehidupan (manusia khususnya) di planet bumi, dan dalam masa yang sama ingin mencari makna di sebalik frekuensi misteri yang menghantui satelit imbasan mereka. Akal waras Dr. Irfan tidak dapat menerima hakikat bahawa ada manusia yang mampu hidup di kawasan bumi yang panas dan beracun, namun teknologi radius imbasan pilon dengan jelas menunjukkan kewujudan spesies homo sapien di bumi, malah kemunculannya menjadi lebih galak setiap kali berkumandangnya frekuensi misteri itu.

Kegagalan Dr. Irfan pada peringkat awal dalam misi pencariannya, bersulam rasa rindu yang mendalam terhadap arwah isteri dan anaknya, menjadikan beliau semakin sakit, lemah dan mula tenggelam dalam jurang kedukaan. Pada saat Dr. Irfan berjaya memahami maksud sebenar keabadian dan menyatukan diri dengan kuasa Allah S.W.T Yang Maha Agung, pada saat itulah beliau berjaya menemukan kebahagiaan dalam sebuah pengakhiran yang ditulis dengan cukup indah dan bermakna.

Nafkhatul Faza merupakan sebuah karya fiksyen sains yang sarat dengan falsafah dan metafora indah. Bumi yang termusnah dan kehidupan manusia yang huru-hara pada tahun 3035 digambarkan seperti sebuah neraka yang menakutkan. Awanan bumi bertukar merah, lantai bumi dipenuhi lahar panas yang memuntahkan isinya di sana sini, air kolam panas menggelegak, serta puncak-puncak gunung yang ditimbuni dengan debu merah yang dipanggil ‘habuk neraka’.

Setiap watak dalam Nafkhatul Faza mengimpikan untuk kembali semula ke bumi, agar mereka dapat bersatu semula dengan tanah semulajadi yang menjadi unsur utama binaan asal dalam penciptaan manusia. Bumi sebelum musnah dilambangkan sebagai syurga yang didambakan, dan kita melihat Dr. Irfan serta ahli pasukannya berusaha mengingati semula segala keindahan semulajadi yang dahulunya pernah wujud di bumi.

Ciptaan bayangan yang penuh keasyikan, angan-angan kebahagiaan serta kenikmatan hidup yang paling sempurna diletakkan di dalam sebuah taman firdausi impian. Pelukisan ini jelas mempunyai perkaitan dengan naluri serta fitrah semulajadi manusia yang menginginkan perjalanan yang sempurna ke suatu destinasi abadi, kembali ke sebuah tempat tinggal di akhirat yang penuh kedamaian, sebuah syurga terperi yang menjanjikan kebahagiaan, yakni al-Jannah.

Sekalung tahniah kepada penulis, Cikgu Rosli Mohamad Ali atas penghasilan naskhah Nafkhatul Faza yang baik dan bermakna ini. Pengisiannya yang mendalam dan berilmiah sesuai dijadikan bahan kajian dan juga rujukan buat para pencinta karya-karya tempatan.

~

Esok: Ikuti sesi wawancara dengan Cikgu Rosli di mana beliau akan menceritakan proses penulisannya dan juga buku-buku yang pernah dihasilkan. Sama-sama kita tunggu sesinya.

Ulasan “Nafkhatul Faza” tulisan Rosli Mohamad Ali

nafkhatulfaza-coverTajuk Buku: Nafkhatul Faza
Pengarang:
Rosli Mohamad Ali
Penerbit:
Utusan/UTM Press
Tahun Terbitan:
2017
Halaman:
404

Kelihatan merak api datang menerjah lalu melupuskan atmosfera bumi dan membakar setiap isinya. Luke dan Lucy pula sedang menyaksikan kejadian itu dari sebuah koloni angkasa di Zuhal. Mereka berdua menggeleng kepala. Lalu kopi dalam cangkir masing-masing dihirup. Luke mengeluarkan naskhah Nafkhatul Faza yang merujuk pada kejadian merak api tersebut. Dalam hatinya, dia merasa seolah dirinya menyaksikan suatu imejan silam yang bermain dalam fikirannya. Namun dia tahu, perkara itu telah berlaku.

Luke:
Kau dah baca Nafkhatul Faza? Bagaimana?

Lucy:
Sudah. Kau nak aku cerita dari aspek mana terlebih dahulu?

Luke:
Aku berminat dengan judul novel itu. Membayangkan satu pascaapokalips dalam nahu Islam. Adakah ini novel fiksyen sains Islami? Boleh ceritakan plotnya secara ringkas?

Lucy:
Ya, betul. Novel setebal 404 mukasurat ini bolehlah dikatakan sebuah fiksyen sains Islami. Nafkhatul Faza menceritakan perihal bumi yang telah dimusnahkan oleh suar mentari (merak api) lantas menjadikan ia suatu jasad selestial yang tidak mampu didiami manusia selama 500 tahun. Terdapat dua organisasi yang menguasai semesta ketika itu, yakni, Konfederasi dan Konglomerat. Konglomerat penjana ekonomi, manakala Konfederasi pula mentadbir alam. Ada dua kepercayaan juga, yakni, Terra Aurea dan Ekopoisis. Plotnya berlegar sekitar Doktor Irfan yang ditugaskan ke bumi dan menjalankan kajian bersama rakan-rakan saintis yang lain untuk membuktikan bumi tidak perlu menjalani proses Terra Forma, yakni, proses pembumian planet mati. Terdapat tentangan halus dari Konglomerat (Yahudi) yang menganut kepercayaan Ekopoisis, yang berlawanan dengan prinsip ajaran Terra Aurea di mana, manusia tidak dibenarkan mengusik bumi yang sudah rosak.

Prinsip cerita ini adalah, bumi harus dipulihkan secara halus dan bukannya secara pembumian paksaan seperti Terra Forma yang akan membakar lapisan setebal 150 meter ke dalam tanah sebelum diadun topografinya agar mengikut acuan manusia.

Luke:
Menarik juga. Secara idea sainsnya, bagaimana?

Lucy:
Cara penulis mengadun pengetahuan teknikal watak amat menyakinkan. Geologis dengan pengetahuan tentang mineralnya. Ahli botani dengan pengetahuan tentang tumbuh-tumbuhan. Dari perbualan watak-wataknya, kita diyakinkan dengan pengetahuan watak-watak tentang profesionalisme yang didukung mereka. Terdapat beberapa struktur yang diwakili dengan Pilon yang dinamakan mengikut fungsinya. Ada yang mengesan komunikasi, ada yang membersihkan lautan dan sebagainya. Setiap satu Pilon begitu jauh jaraknya dan biasanya dikemudi seorang saintis dengan bidang berbeza. Dari dialog-dialognya, kita tahu, penulis seorang yang teliti dengan ilmu-ilmu sains yang diterapkan. Secara ringkasnya, novel ini sebuah naskhah hard scifi. Serapan falsafah dalam gagasan pembentukan sahsiah watak-wataknya juga tertera nyata.

Luke:
Bagaimana pula dengan garapan fiksyennya?

Lucy:
Dari segi ini, garapan banyak tumpulnya. Kita akan mendapati Dr. Irfan (selaku ketua dan watak utama cerita) bergerak dari satu pilon ke pilon yang lain. Pergerakan ini berlanjutan hampir keseluruhan cerita. Pembinaan latar cerita, krisis politik dan ekonomi, kebanyakannya diceritakan melalui perbualan watak-wataknya. Dr. Irfan bertemu watak sekian-sekian di Pilon tertentu. Tukar tempat. Ulang kembali.

Terlalu banyak dialog, terlalu kurang aksinya. Bahkan ada babak watak utama terjatuh dalam gaung diceritakan seperenggan sahaja sedangkan babak sebegitu boleh ditambah lagi elemen dramatiknya.

Selitan depresi Dr. Irfan yang seringkali mengingati ahli-ahli keluarganya yang telah pergi (Aleesya, si anak dan Aisyah, si isteri) digarap dengan berkesan dan ada kepiluan di situ.

Masalah pada naskhah ini adalah dialognya yang begitu panjang dan kejung. Terlalu berusaha untuk membina cerita dari dialog. Terlalu banyak informasi melalui dialog. Penulis mungkin boleh menggunakan naratif yang lebih dinamik untuk menggambarkan sesuatu. Akibatnya, pelukisan watak-watak tidak begitu bervariasi. Nama-nama umpama tempelan. Namun ada usaha untuk melukiskan karakter watak-watak itu, di mana selitan Imka dengan latar pejuang perang yang dihantui orang-orang yang dibunuhnya dan Dr. Irfan yang dihantui halusinasi arwah anak dan isterinya. Namun begitu, hal ini dicacatkan oleh dialog yang berjela-jela.

Ada selingan misteri seperti mesej kriptik dari Ikram, frekuensi misteri dan pengesanan homosapiens di bumi yang sepatutnya tidak mampu didiami manusia itu.

Luke:
Jadi kau rasa secara fiksyennya, karya ini kurang berjaya?

Lucy:
Ya. Lebih kurang begitu. Ada kelunakan dan puitis pada bahasa penulis, mengindahkan garapan ayat demi ayat. Namun terdapat kecelaruan penggunaan nama yang ketara dan juga dua kali penggunaan perkataan ‘maksimum’ dan ‘minimum’ yang disalahtafsir maksudnya. Typo pada nama amat mengelirukan ditambah lagi dengan pelukisan watak-watak yang kurang berjaya. Editor patut lebih peka akan hal ini. Naratif tidak begitu hidup. Dialog pula tepu.

Luke:
Secara sainsnya pula, bagaimana? Berjayakah naskhah ini dari segi idea sainsnya?

Lucy:
Penulis memang seorang peminat novel-novel fiksyen sains. Nampak ketara dari perlakuan watak-wataknya. Idea yang dibawakan di sini adalah selitan unsur Islamik (frekuensi misteri, barangkali mewakili azan, tidak dinyatakan terang-terangan) dan juga penemuan Kaabah tatkala bumi sudah hancur. Cara penulis mengadun sains dengan kepercayaan Islam agak cantik transisinya. Hal ini tampak jelas pada penutup novel yang digarap dengan kemas dan beremosi.

Luke:
Jadi kau rasa, apa lagi cadangan pembaikan yang boleh dibuat penulis?

Lucy:
Beginilah. Pelukisan watak-wataknya kurang berjaya. Mungkin boleh melukiskan watak-watak itu dengan membina biografi setiap seorangnya dan fahami ciri-ciri istimewa setiap seorangnya agar lebih berkesan pembawaannya.

Penggunaan dialog yang berlebihan untuk menceritakan sesuatu patut dikurangkan. Lebihkan aksi dan dinamikkan susunan plot. Dialog yang kejung sebegitu, patut dielakkan. Mungkin boleh diperbaiki melalui pengamatan ke atas perbualan-perbualan normal sekitar kita. Emosi watak-watak tidak hidup sebab gaya dialog sebegini. Hal ini patut dipandang serius oleh penulis.

Gaya hard scifi yang aman sebegini mengingatkan aku dengan Ben Bova. Cuma Ben Bova terlalu aman tetapi watak-wataknya ada variasi juga. Itu penting, variasi. Konflik tidak begitu berat dan mencemaskan. Tetapi itu tidak mengapa.

Luke:
Kesimpulannya?

Lucy:
Novel yang telah memenangi tempat pertama dalam Sayembara Novel Fiksyen Sains dan Teknologi anjuran UTM dan kumpulan Utusan ini sebenarnya memiliki novum sains yang bagus. Namun secara fiksyennya, masih terlalu banyak kelemahan yang harus diperbaiki. Pada pendapat aku, kalau pembaca suka gaya dialog sebegini, pastinya mereka akan menyukai naskhah ini. Jika tidak, moga lihat elemen sains yang diterapkan kerana ia sangat padat. Aku menghabiskan pembacaan naskhah ini dalam tempoh masa dua hari kerana aku suka adunan sainsnya dan lunak bahasanya biarpun plotnya agak mendatar. Penamatnya juga agak memuaskan. Sebenarnya, ada sesuatu pada tulisan Rosli Mohamad Ali yang membuatkan aku selaku pembaca berasa tenang dan boleh membaca naskhah ini dengan laju juga cuma aku tak tahu apakah sebenarnya perasaan itu. Mungkin kau akan faham jika engkau habis membacanya. Jika berminat, bolehlah dapatkan naskhah ini. Kena dengan selera, mahunya baca berulang kali.

Luke:
Dah. Dunia belum berada dalam pasca apokalips lagi. Jom, minum kopi kosmik.