Antologi Cerpen Daun Paku Ungu: Wawancara Bersama Penyelaras dan Editor

Cover Daun Paku Ungu

Pena SaiFai telah mewawancara Nurul Azura dan Imaen, masing-masing merupakan penyelenggara dan editor bagi antologi cerpen fiksyen sains dan fiksyen yang terbaru daripada JS Adiwarna, Daun Paku Ungu. Mereka membincangkan bagaimana terbitnya antologi cerpen ini dan berkongsi sedikit pendapat mereka tentang fiksyen sains dan fantasi tanahair. Mari kita ikuti wawancara bersama mereka.

Salam buat saudari Nurul Azura dan saudara Imaen. Terutama sekali saya ingin mengucapkan terima kasih kerana sudi diwawancara oleh Pena SaiFai.
Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada Pena Saifai dan pembaca sekaliannya. Terima kasih kembali kepada Pena SaiFai kerana sudi mewawancara kami untuk antologi cerpen Daun Paku Ungu.

Sebagai permulaan, saya difahamkan walaupun JS Adiwarna pernah menerbitkan buku antologi cerpen dan juga pernah menerbitkan novel fiksyen sains dan fantasi, buku Daun Paku Ungu ini merupakan usaha yang pertama dalam menerbitkan sebuah antologi cerpen bergenre fiksyen sains dan fantasi. Mengapa JS Adiwarna memilih untuk menerbitkan antologi cerpen dalam fiksyen sains dan fantasi, lebih-lebih lagi apabila seringkali disebutkan oleh penerbit yang lain bahawa buku fiksyen sains sukar untuk dijual?
Sebenarnya Daun Paku Ungu bukanlah genre fiksyen sains / fantasi pertama yang diterbitkan oleh JS Adiwarna. Sebelum ini JS Adiwarna telah menerbitkan beberapa judul genre ini (novel dewasa, remaja dan kanak-kanak). Antaranya, Epik Cinta dari Agia oleh Pingu Toha, Ossieanna oleh Sayidah Mu’izzah, Misi 2050 oleh Hafizul Osman, Saga Aldarian & Saga Aldarian: Nafas Albereth oleh John Norafizan, Beruno oleh Dihsar Ludba Haqifa, dan Lahar dan Berus Ajaib oleh Bam Bam. Tetapi kami mendapati, pasaran untuk genre ini tidak begitu menggalakkan bagi kami untuk aktif menerbitkan karya-karya sebegini.

Namun, tahun lalu rasa kami bagai dijentik-jentik untuk membuat antologi cerpen fiksyen sains dan fantasi pula rentetan penghasilan antologi cerpen tahunan kami. Untuk kali ini, kami mahu cuba!

Saudara Imaen merupakan seorang penulis yang agak prolifik dan bukunya popular di kalangan pembaca. Buku-bukunya seringkali diberi empat bintang di Goodreads dan novel terkini yang bertajuk Gedebe juga mendapat purata 4.45 bintang. Tetapi beliau lebih dikenali sebagai seorang penulis yang menulis cerita cinta atau mungkin lebih tepat lagi, “general fiction”. Mengapakah beliau dipilih sebagai editor antologi ini?
Sebenarnya, idea awal penerbitan antologi cerpen ini adalah idea Saudara Imaen. Namun, beliau terpaksa menarik diri sebagai penyelaras atas faktor kesihatan. Kemahiran penyuntingan Saudara Imaen tetap kami perlukan walaupun sebagai penulis, beliau bukanlah menulis dalam genre fiksyen sains / fantasi.

Cuba senaraikan buku atau filem fiksyen sains yang diminati saudari Nurul Azura dan saudara Imaen? Adakah cerita-cerita itu menjadi inspirasi dalam penulisan sendiri?

Azura: Saya bukan pembaca fiksyen sains / fantasi sebelum saya diberikan projek ini. Tiga tahun kebelakangan ini saya menumpukan pembacaan saya kepada karya-karya sastera Melayu.

Saya menerima projek ini sebagai cabaran baharu untuk saya. Kemahiran saya adalah buku chick lit, remaja dan kanak-kanak. Genre yang jauh berbeza latar dengan fiksyen sains / fantasi. Saya umpama Rebecca Bloomwood yang perlu melupakan pusat membeli-belah di New York dan berhijrah ke planet Musytari sambil memakai tong oksigen dan meninggalkan koleksi kasut tinggi berjenama. Namun dengan kenaifan ini, saya belajar menekuni buku dan filem genre ini baik tempatan dan luar negara.

Imaen: Untuk fiksyen sains / fantasi, saya hanya menonton filem sahaja. Manakala pembacaan, saya lebih suka magic realism seperti tulisan Gabriel Garcia Marquez selain reality socialism seperti tulisan Pramoedya Ananta Toer.

Saya agak terkejut apabila kali pertama melihat buku Daun Paku Ungu ini kerana ia sangat tebal. Tentu peminat fiksyen sains dan fantasi akan teruja dengan buku ini kerana memuatkan banyak cerpen yang menarik. Antologi ini memuatkan 23 cerpen yang ditulis oleh 22 penulis, bilangan yang amat tinggi apabila dibandingkan dengan dua lagi antologi fiksyen sains dan fantasi tempatan, Imagikata, yang hanya memuatkan 16 cerpen dan Cyberpunk: Malaysia, yang hanya memuatkan 14 cerpen. Adakah bilangan cerpen tinggi ini suatu keputusan yang telah dirancangkan awal-awal lagi? Bagaimanakah proses pemilihan karya yang dimuatkan di dalam antologi Daun Paku Ungu ini? Adakah susah untuk editor menyaring dan memilih karya untuk dimuatkan di dalam antologi ini
Iya, kami masih mengingati raut wajah saudara waktu itu. Tidak. Kami tidak menetapkan sebarang jangkaan untuk jumlah cerpen yang akan diterbitkan. Pegangan kami adalah kami perlu dapat cerpen yang berkualiti dahulu. Setelah proses saringan pertama oleh beberapa juri kami, sejumlah cerpen dipilih. Proses pemilihan peringkat pertama menjadi mudah dengan laporan penilaian setiap juri. Daripada itu, penyelaras dan Puan Noor Suraya membuat penilaian kedua untuk mengecilkan lagi bilangan cerpen terpilih. Sehingga akhirnya kami mendapati 23 cerpen layak dikumpulkan dalam sebuah antologi.

Antologi ini mengambil nama daripada cerpen “Daun Paku Ungu” nukilan Norliza Baharom dan ianya juga memberi inspirasi kepada kulit depannya yang sangat menarik. Saya kira ini antara kulit yang unik untuk sebuah buku fiksyen sains dan fantasi. Apakah sebabnya cerpen ini dipilih sebagai tajuk antologi ini?
Pemilihan cerpen Daun Paku Ungu sebagai judul antologi ini bukanlah kerana cerpen ini terbaik dalam kalangan 23 cerpen tersebut. Kami telah menyenaraikan beberapa judul cerpen yang difikirkan sesuai untuk diangkat menjadi “jenama” yang pada akhirnya “Daun Paku Ungu” terpilih untuk mewakili cerpen yang lain. Idea “Daun Paku Ungu” boleh menzahirkan kulit depan yang seimbang antara fiksyen sains dan fantasi, justeru judul ini dipilih.

Semasa membuat research untuk kulit depan antologi ini, kami maklum dengan nuansa fiksyen sains / fantasi. Kami cuba mencari idea yang tidak aneh untuk genre ini dan dalam pada masa yang sama tidak lari daripada ‘gaya’ rumah penerbitan kami.

Apakah harapan untuk saudari Nurul Azura dan saudara Imaen supaya genre fiksyen sains dan fantasi tempatan dapat berkembang?

Azura: Pertama, lebih ramai pembaca baharu fiksyen sains dan fantasi di Malaysia. Saya amat mengharapkan pembaca fiksyen Malaysia tidak berhenti membaca dan mencari bahan bacaan fiksyen yang lain (jika sudah bosan dengan “novel cinta”!).

Kedua, kepada para penulis fiksyen sains dan fantasi, jangan putus berkarya.

Imaen: Harapan saya, penulis-penulis fiksyen sains / fantasi Malaysia dapat lari daripada terikat dengan acuan Hollywood.

Bolehkah peminat-peminat fiksyen sains dan fantasi mengharapkan lebih banyak lagi antologi serupa ini daripada pihak JS Adiwarna pada masa akan datang?
Insya-Allah. Kami gembira menerbitkan cerpen-cerpen ini dan setakat ini, respons daripada pembaca juga positif. Mudah-mudahan usaha ini berterusan.

Terima kasih kerana sudi menjawab soalan kami! Saya berharap dapat melihat lebih lagi buku fiksyen sains dan fantasi daripada pihak JS Adiwarna, terutama antologi cerpen seperti Daun Paku Ungu pada masa akan datang.
Terima kasih kembali, Pena Saifai!

~

Bagi yang berminat untuk membeli antologi Daun Paku Ungu ini, bolehlah anda membelinya secara atas talian di sini.

Antologi Cerpen Daun Paku Ungu: Cerita di Sebalik Cerita

Cover Daun Paku Ungu

Penerbit JS Adiwarna telah menerbitkan sebuah buku antologi fiksyen sains dan fantasi bertajuk Daun Paku Ungu yang memuatkan sebanyak 23 cerpen oleh 22 penulis. Pihak Pena SaiFai telah mempelawa sepuluh orang penulis daripada antologi ini untuk berkongsikan cerita di sebalik cerita mereka.

Daun Paku Ungu boleh dibeli secara atas talian di sini.

Tina Isaacs – “Menyamar di Tanah Firdaus”

Poster Tina Isaacs

Cerpen “Menyamar di Tanah Firdaus” diterjemahkan daripada cerita bahasa Inggeris yang saya terbitkan pada tahun 2015 dalam antologi Cyberpunk: Malaysia terbitan Fixi Novo dan diedit oleh Zen Cho. Cerita tersebut pernah disenaraikan dalam SciFi Film Festival 2015, suatu festival sains fiksyen dan fantasi antarabangsa yang diadakan di Parramatta, Australia pada tahun yang sama.

Saya mendapat ilham untuk cerpen ini lantaran sering berlegar di kawasan Jalan Tun Perak melihat kemasyhuran lelangit mewah Kuala Lumpur, sambil di bawahnya; di celah-celah longkang dan lorong, bersebelahan Masjid India, wujudnya si daif dan miskin yang kebuluran dan tidak bertempat tinggal. Landasan LRT-lah yang membahagikan mereka. Sebagai penulis, saya sering mengambil idea daripada pemerhatian dan menggunakan teknik hyperbole untuk menulisnya semula:

“Apakah akan berlaku sekiranya cerita ini diperbesarkan, sekiranya kemajuan teknologi tidak lagi menjadi penghalang?”

Dalam mengkaji subgenre cyberpunk, saya tersentuh dengan kisah The Matrix dan Blade Runner yang menunjukkan orang miskin berlawan orang kaya, dikelilingi teknologi. Oleh yang demikian, saya sengaja memilih menggunapakai trope cerita lama ala Pocahontas di mana seorang penguatkuasa dunia kaya dihantar menyeludup ke dunia miskin tapi jatuh cinta dengan alam mereka yang simple, jujur dan erat komunitinya (kita sudah melihatnya dalam filem James Cameron, Avatar). Begitulah timbul cerita “Menyamar di Tanah Firdaus” yang menggunakan latar masa tahun 2089, seorang pasukan polis dimasukkan minda dan aliran kesedarannya menggunakan implan teknologi siberbionik ke dalam tubuh seorang warga miskin. Harap semua enjoy membacanya! Dan, kalau rajin, jemput baca cerita saya yang lain dalam Bahasa Inggeris, seperti tersenarai di laman web www.tina-isaacs.com/titles.

Tany Leia Harris – “Godam”

Poster Tany Leia Harris

Sebelum ini saya sebenarnya tidak pernah membaca atau meminati buku fiksyen sains (tetapi kalau filem suka jugalah). Tulisan sebelum ini semuanya bertemakan seram atau thriller kerana dunia paranormal, berkaitan hantu dan yang pelik-pelik adalah zon selesa saya.

Saya mengambil masa lebih kurang sebulan lebih untuk mencari idea dan memahami dunia cyberpunk. Ketika itulah saya mula menyedari yang saya suka cerita berkaitan cyberpunk dan dunia distopia. Jadi, saya terfikir bagaimana rupanya jika Malaysia menjadi negara distopia yang segala aspek kehidupan dikawal oleh satu kuasa besar bukan badan kerajaan? Yang miskin tidak bercampur dengan yang kaya. Aspek sekuriti dikawal oleh robot android pintar yang kuat. Kehidupan serta ekonomi dikawal di dalam dunia realiti maya. Kanak-kanak pintar diculik untuk diasuh dan dijadikan hamba seumur hidup.

Tetapi apa akan jadi jika “kanak-kanak” itu bersatu melawan kembali kuasa besar tersebut untuk mendapatkan kebebasan yang diingini walaupun tahu risiko besar adalah kematian? Maka terhasillah cerpen “Godam” ini.

Saya ada menyimpan niat untuk memanjangkan cerpen ini menjadi satu novel – jika saya rajin. Namun, banyak lagi yang perlu saya pelajari tentang dunia penulisan fiksyen sains.

Tany Leia Harris – “Naima 2.0”

Poster Tany Leia Harris 2

Cerpen ini memaparkan kisah seorang suami dan ayah yang sanggup menghabiskan masa bertahun-tahun serta wang yang banyak untuk membina sebuah robot android untuk dijadikan sebagai anak perempuan demi membahagiakan isterinya. Kerana itu juga dia sanggup mengambil risiko termasuk melakukan perkara yang menyalahi undang-undang.

Pada mulanya saya ingin menulis tentang robot android yang dibina untuk dijadikan teman wanita tetapi saya rasa jika ia dibina untuk dijadikan anak adalah lebih menarik. Mungkin kerana saya seorang anak tunggal jadi pada masa kecil saya kerap teringinkan seorang adik atau kakak sebagai teman bermain.

Saya selalu membayangkan betapa seronoknya jika saya dapat membina satu robot android pintar yang berfungsi seperti manusia sebagai teman (ataupun boyfriend). Ini mungkin juga pengaruh besar komik Doraemon yang menjadi obsesi dan hiburan saya setiap malam sebelum tidur satu ketika dahulu.

Aliff Mustakim – “Mimpi Nutcraker”

Poster Aliff Mustakim.jpg

Pada mulanya – dengan berani – saya mahukan seorang perempuan dan sepasang kasut. Tetapi, saya tidak ada kasut kaca atau Cinderella. Saya menulis berdasarkan apa yang saya ada. Saya mulakan dengan mendengar muzik klasikal Tchaikovsky, “The Nutcracker Suite, Op. 71”. Saya menyukai “The Nutcracker” and “The Mouse King”. Di dalamnya, saya ada Marie dan kasutnya! Betapa saya sayang dengan gadis itu. Lalu saya terus menulis.

Saya tidak mementingkan falsafah yang tinggi. Jadi dengan mudah saya dapat menulis cerpen ini. Saya menyenangi konsep asas seperti perhubungan manusia (tidak semestinya cinta). Falsafah akan datang kemudian. Memang kegemaran saya muzik klasikal. Nasib baik bukan mendengar “Overture 1812, Op. 49” yang memiliki ledakan meriam itu. Jika tidak cerpen saya bukan “Mimpi Nutcracker” lagi. Cerpen bertemakan perang, mungkin?

“Mimpi Nutcracker” tidak saya sudahkannya sekadar sebuah cerpen sahaja. Saya sedang melanjutkannya menjadi novel.

Isha Idiaz – “Axondria dari Andromeda”

Poster Isha Idiaz

Idea asal menulis cerpen ini bermula daripada sepotong nama panggilan yang selalu meniti di bibir penulis, iaitu “Axon”. Cerpen ini adalah nukilan khas buat Axon sebagai tanda ingatan yang tidak akan luput ditelan zaman. Dari situlah, cerpen ini dikembangkan menjadi sebuah cerita cinta dari dua dunia yang berbeza.

Bisakah cinta itu dirasai kehadirannya walaupun dua jasad tidak pernah bersua? Benarkah cinta itu kepercayaan yang akhirnya mewujudkan impian? Persoalan inilah yang menggerakkan plot “Axondria dari Andromeda” dari awal hingga ke perkataan tamat. Axondria dan Arabella. Andromeda dan Bima Sakti. Dekat tapi jauh. Mustahil tapi terjadi.

“Axondria dari Andromeda” adalah sebuah nukilan dari hati, buat insan-insan yang mempunyai hati.

Aida Rafan – “Legasi 2.0”

Poster Aida Rafan.jpg

Kebenaran dalam cerita ini adalah realiti kehidupan sebagai seorang penyelidik, perlu memiliki sikap ingin tahu dan mengeksplorasikan pemikiran melangkaui imaginasi. Sementelah saya sedang menyambung pengajian dan menjadi penyelidik secara automatik. Saya hanya memandai-mandai dalam pembikinan cerita pendek ini sebenarnya.

Bermula daripada menyaksikan kekerapan fenomena gerhana bulan dan matahari yang berlaku kebelakangan ini, saya ingin membawa pembaca melihat dengan lebih jauh lagi. Bukan hanya pada fenomena yang berlaku tetapi di mana diri kita pada saat itu. Memasukkan elemen konsep fizik dan sains dalam cerita ini dengan harapan supaya generasi muda yang betah melawan arus kini kenal yang kehidupan di dunia ini bersandarkan prinsip dan realiti. Bukan fantasi semata-mata.

Sekali lagi, saya hanya memandai-mandai dalam memandaikan bangsa. Selamat membaca!

John Norafizan – “Selari”

Poster John Norafizan

Sejujurnya saya memang amat meminati sesuatu yang bersifat paranormal yang berasaskan sains dan teori fizik. Siapa yang tidak tertarik dengan idea bahawa di “dunia lain” di “dimensi berlainan”, anda sebenarnya adalah seorang adiwira atau presiden negara yang berkuasa atau selebriti yang dipuja umat manusia?

Kewujudan dunia selari atau parallel universe adalah sesuatu yang sering diperdebatkan oleh saintis dan pengkaji para-normal. Malah, ada sesetengah saintis arus perdana, menggunakan penaakulan mantik serta pengiraan matematik, “berjaya” membuktikan kewujudan “dunia lain” di sekitar kita.

Sudah tentu, ia masih lagi bersifat abstrak dan bukan sesuatu yang objektif. Dan sesuatu yang bukan objektif dan masih belum dibuktikan secara ilmiah adalah sesuatu yang menarik untuk diterjermahkan menjadi karya fiksyen sains. Kerana itu, saya cuba mengetengahkan plot ini di dalam “Selari”.

Selari mengambil idea daripada “cerita lelaki Taured” yang ditahan di Lapangan Terbang Haneda, Tokyo sekitar tahun 60-an di mana lelaki itu membawa pasport sebuah negara bernama Taured yang tidak ada di muka bumi. Daripada idea ini, saya mengolahnya dengan acuan versi Melayu, agar menjadi sesuatu yang lebih manis dan dekat dengan pembaca di Malaysia.

Walaupun cerpen ini adalah cerita penglipur lara abad ke-21, tetapi siapa tahu suatu masa nanti kita akan benar-benar menemui “dunia selari” di sekitar kita?

Muhammad Muhaimin – “Zahratul Hamra’”

Poster Muhammad Muhaimin.jpg

Saya menulis “Zahratul Hamra’” ini setelah usai menukang cerpen prekuelnya, “Sab’atul Mafatih” yang memenangi tempat kedua Sayembara Cerpen Sekolah Menengah DBP pada tahun 2011 (malangnya karya pemenang-pemenang sayembara tersebut tidak diantologikan atas sebab-sebab tertentu). Watak utama dan tema yang mendasari kedua-dua cerita ini tetap sama – kisah advencer dua orang adik-beradik kembar menghadapi satu misi untuk menyelesaikan suatu masalah dalam kehidupan berlatarbelakangkan dunia berteknologi canggih – tahun 2027.

Kisah obsesi saya terhadap watak kembar ini bermula sedari darjah enam lagi ketika saya begitu minat menguliti novel bersiri Kembar Terpilih oleh Meor Shariman. Obsesi itu bertambah-tambah apabila saya berada di sekolah menengah kerana saya mempunyai sahabat kembar seiras. Maka, atas kesempatan itu, mereka menjadi  inspirasi kepada penukangan kisah pengembaraan sepasang kembar bernama Syed Muhammad Ammar dan Syed Muhammad Aiman.

Namun, selain kegembiraan mengabadikan nama sahabat-sahabat saya dalam karya, perkara yang lebih penting adalah isu perbincangan pokok yang wujud dalam cerpen-cerpen saya. Bagi saya, adalah kewajipan bagi setiap tulisan saya untuk tidak dinaratifkan tanpa tanggungjawab dan kematangan. Justeru, dalam “Sab’atul Mafatih”, saya memberatkan tentang isu tanggungjawab manusia terhadap alam sekitar manakala dalam “Zahratul Hamra’” pula, perbincangan dasarnya adalah tentang perjuangan anak muda dalam dunia siasah yang mencabar. Daripada segi bahasa, pantun yang dikarang adalah asli dan mengikut piawai ciri-ciri sebuah pantun yang saya pelajari khusus untuk menukang cerpen ini. Begitu juga dengan bahasa Arab yang saya selitkan (termasuk tajuk cerpen) yang juga dipelajari khusus sebelum mengarang.

Menerokai tema fiksyen sains ini, saya akui masih mentah dan tulisan ini mungkin hanya tulisan biasa kepada ramai pembaca. Namun saya percaya, dalam apa-apa jua keadaan pun, kita wajar mencabar diri dari semasa ke semasa dan berani mencuba bereksperimen untuk mengenali potensi diri dengan lebih mendalam.

Saya tujukan cerpen ini kepada sahabat-sahabat saya yang banyak memberi inspirasi dan dorongan kepada saya dalam berimaginasi. Tapi, bersiap sedialah, kerana mungkin selepas ini nama kalian juga akan saya “mangsa”kan. Jangan berhenti berimaginasi, kerana mimpi yang kecil bisa menjadi cita-cita yang besar dan menjadi realiti.

Hafizul Osman – “Kronikel Rikishi”

Poster Hafizul Osman

Jika anda pernah membaca novel Misi 2050 terbitan JS Adiwarna, anda akan dapat melihat ada sedikit pengaruh cerpen “Kronikel Rikishi” daripada novel itu terutamanya latar masa 2050 dan apa yang berlaku pada zaman itu.

Saya berfikir masyarakat Malaysia dan Melayu mempunyai keupayaan untuk menghasilkan sesuatu yang extraordinary dan penghasilan perisai magnetik itu dengan tangan sendiri adalah sesuatu yang “wow”. Cumanya pembinaan perisai itu adalah menangkis serangan musuh (Baca: Barat dalam cerpen itu) yang gila menjarah tanah orang lain.

Cumanya setiap kejayaan yang ingin kita hasilkan pasti ada dalang yang merosakkan. Dan dalan setiap cerita pasti dalangnya.

Norliza Baharom – “Daun Paku Ungu”

Poster Norliza Baharom.jpg

Semenjak berazam untuk menulis, saya punya tabiat suka mengarang premis di dalam kepala yang biasanya bermula dengan “Bagaimana jika…?”

Ketika mendapat idea untuk menulis “Daun Paku Ungu”, saya berimaginasi sendirian – Bagaimana jika seorang gadis yang punya kisah lahir yang sedih, yang sedang bergelut dengan zaman dewasanya kerana dia tidak punya sesiapa dan tidak mudah percaya pada manusia, ditakdirkan Tuhan untuk bertemu dengan seseorang yang istimewa dengan cara yang paling tidak dapat diterima akalnya?

Dari situlah bermulanya kisah Marisah yang tidak menyangka daun paku ungu yang dipetik dan dibawanya bakal mengubah laluan hidupnya.

AttOkz Dikulgai – “Koloni Banyu Suci Perwitosari”

Poster Attokz Dikulgai.jpg

Sejujurnya ini cerpen lama. Saya sudah tulis 12 tahun yang lepas. Terinspirasi pada kejadian tsunami yang melanda Acheh 2004.

Banyak sekali filem atau novel sains fiksyen mengambil latar luar daripada sistem bumi atau di ruang vakum angkasaraya. Jadi saya cuba untuk berimaginasi jika terdapat koloni dalam lautan di bumi sendiri. Dan nuansanya lebih kepada berbau nusantara – lalu saya memilih Keraton Jawa (ketika itu saya asyik meledani pembacaan terhadap naskhah Babad Tanah Jawa).

Maka terhasillah “Koloni Banyu Suci Perwitosari” ini yang bererti “Penempatan Air Suci Kehidupan”.

~

Cover Daun Paku Ungu_front

Bagi yang berminat untuk membeli antologi Daun Paku Ungu ini, bolehlah anda membelinya secara atas talian di sini.