Senarai Ralat “Dunia Hanyalah Pentas” Cetakan Pertama

DuniaHanyalahPentas-CoverDunia Hanyalah Pentas bukan sahaja novel sulung saya di dalam Bahasa Melayu tetapi juga merupakan novel pertama saya yang berjaya diterbitkan. (Novel Bahasa Inggeris saya belum lagi diterbitkan setakat ini.) Novel ini berjaya meraih tempat ketiga di dalam Sayembara Fiksyen Sains & Teknologi UTM Utusan musim ke-4 baru-baru ini.

Malangnya, atas sebab-sebab tertentu dan tidak diingini, cetakan pertama Dunia Hanyalah Pentas mempunyai beberapa kecacatan yang saya harap akan dibaiki dalam cetakan akan datang.

Namun begitu, oleh kerana pihak penerbit belum lagi memberi maklum balas, saya terpaksa menyediakan senarai ralat untuk membantu pembaca-pembaca yang terbeli naskhah cetakan pertama novel ini.

Berikut adalah senarai ralat untuk pembaca yang mempunyai cetakan pertama Dunia Hanyalah Pentas.

  1. Muka depan: Nama pengarang yang tertera di muka depan adalah salah. Nama pena pengarang novel ini adalah “Ted Mahsun”, bukannya “Muhtadi Mahsun”. 🙄
  2. Mukasurat Kandungan: Bab 1, 2, dan 3 sepatutnya dinamakan Babak 1, 2, dan 3 mengikut tema pementasan/drama yang dibawa buku ini.
  3. Mukasurat 14: Terdapat tanda nota kaki [1] dan [2] tetapi nota kakinya hilang (kerana telah ditolak ke mukasurat akhir.)
  4. Mukasurat 14: Tandatangan “Eehee” menggunakan aksara Jawi telah hilang sama sekali di bawah ayat “Ditulis oleh:”
  5. Mukasurat 14: “3 komen” sepatutnya diubah kepada “4 komen”.
  6. Mukasurat 20: Beberapa mukasurat asal daripada bab “Kiriman Blog Eehee 3: Malam Ini Kita Cuba Lagi” telah hilang selepas kod aturcara. Sila rujuk lampiran ini untuk bab yang lengkap.
  7. Mukasurat 27: “Senguk” tidak perlu di”bold“kan.
  8. Mukasurat 55: “Ya, masuklah queue.” sepatutnya “Ya, beraturlah.” (Saya tak faham mengapa penyunting mahu menukar ayat asal menjadi Bahasa Inggeris. Mohon pihak penerbit menyemak semula status penyunting sebagai pengkhianat bahasa.)
  9. Mukasurat 66: “Baru umur 16 tahun En. Azwandi sudah pun membincangkan baik buruk struktur organisasi” sepatutnya “Baru umur 16 tahun mereka sudah pun membincangkan baik buruk struktur organisasi”.
  10. Mukasurat 87: “Pelayan awam” sepatutnya “pelayan awan”. (Penyunting tidak pernah dengar tentang teknologi cloud computing gamaknya. Data yang sebelum ini dikawal ketat di dalam pelayan awan, tiba-tiba telah didedahkan pula kepada khalayak umum apabila ditempatkan di dalam pelayan awam apabila sampai ke tangan penyunting.)
  11. Mukasurat 108, Bab Pengisah Akuan: Bab ini telah ditulis dengan gaya pandangan pertama (atau gaya diagesis), seolah-olah bab ini dinaratifkan sendiri oleh watak Ah Yap. Suntingan yang terdapat di dalam naskhah cetak membuatkan saya musykil dengan pemahaman editor yang ditugaskan menyunting novel saya. Saya tidak menyalahinya kerana persembahan ini agak “luar daripada kotak” tetapi beliau mungkin tidak memahami niat dan kehendak saya dalam persembahan bab ini. Sebagai contoh, terdapat beberapa tanda dialog yang tidak sepatutnya wujud kerana bab itu adalah “hasil tulisan” Ah Yap sendiri dan bukan dialog semata-mata. Sila rujuk lampiran bab “Pengisahakuan” yang asal sebagai rujukan.

– Ted Mahsun