Bicara Novel “Frankenstein” (Edisi Bahasa Melayu) bersama Dali Fazuri, Bahagian 2

Frankestein BW

Kita ikuti sambungan bicara novel Frankenstein (Edisi Bahasa Melayu) bersama Dali Fazuri. Bahagian 1 boleh dibaca di sini.

Profile Dali 1 - Edited

Karya terjemahan Dali Fazuri mendapat maklum balas yang baik daripada salah seorang pembaca. Berikut adalah komen beliau:

Ulasan Frankestein

Selepas menerima komen itu, saudara mendapat reaksi balas daripada penulis fantasi agung iaitu Tuan Ahmad Patria di kumpulan Whatsapp Saga Artakusiad.

Watsapp Group Ahmad Patria

Boleh saudara kongsikan ilmu yang telah diturunkan oleh Tuan Ahmad Patria semasa menukangi novel terjemahan ini?

Alhamdulillah. Saya tidak menyangka ia akan mendapat maklum balas positif secepat itu. Sebetulnya saya tidak menyangka Frankenstein akan mendapat maklum balas langsung!

Tuan Ahmad Patria merupakan mentor penulisan saya sedari 2003. Ketika itu saya belum bergelar penulis dan hanya ada satu karya yang diiktiraf (Rahsia Peti). Kepada beliau saya tunjukkan cerpen-cerpen yang saya tulis secara suka-suka. Dan apa yang saya dapat daripada beliau? Beliau mentertawa, menghentam dan mengkritik cerpen-cerpen saya (kecuali Rahsia Peti kerana katanya kalau karya itu tidak bagus, ia tidak menang pertandingan).

Tidak mudah menjadi anak murid beliau. Telinga kena tebal dan kalis kutuk, dan bibir harus selalu tersengih meskipun sedang dikritik-tawakan. Namun, dalam setiap hentaman dan kritikan, beliau selitkan nasihat dan petua penulisan.

Begitulah juga yang berlaku kepada terjemahan saya. Oleh kerana setiap hari saya memuat naik satu atau dua muka surat terjemahan saya ke dalam kumpulan Whatsapp Saga Artakusiad, jadi beliau dapat membacanya. Dan ketika pertemuan pertama dengan beliau selepas memuat naik terjemahan tersebut, hal sulung yang ditanyakan kepada saya ialah, “Mengapa kau susahkan diri menterjemah karya klasik ini?”, diikuti rapat dengan kutukan dan hentaman, kemudian barulah disusuli dengan nasihat dan teknik-teknik mengalih bahasa, seperti yang dilakukan oleh ayahandanya dalam terjemahan Isabella, karya Maulana Muhammad Saeed Dehlvi.

Katanya, terjemahan yang baik ialah terjemahan yang tidak mengikut teks asal secara terus, tetapi mengikut pemahaman sendiri oleh penterjemah, dan diolah dengan ayat yang tidak terikut-ikut dengan perkataan teks asal. Menterjemah sesuatu teks perlu dilakukan dari pelbagai sudut pandangan, dan yang terpenting ialah sudut agama. Sebagai penterjemah beragama Islam yang menterjemah karya-karya barat, kita perlu mempertahankan agama jika terdapat mana-mana teks yang menyerang kesucian Islam.

Frankenstein tidak terkecuali. Dalam satu bab (teks asal) tentang Felix dan Safie, Mary Shelley menulis ayah Safie ialah seorang pengikut Muhammad (Muhammadan) dari empayar Uthmaniah, manakala ibunya pula berbangsa Arab dengan agama Katolik. Mary Shelley menulis lagi, mendakwa bahawa Islam merendah-rendahkan martabat perempuan sehingga menyebabkan ibu Safie meninggalkan suaminya, seperti berikut:

(Mary Shelley): “Safie related that her mother was a Christian Arab, seized and made a slave by the Turks; recommended by her beauty, she had won the heart of the father of Safie, who married her. The young girl spoke in high and enthusiastic terms of her mother, who, born in freedom, spurned the bondage to which she was now reduced. She instructed her daughter in the tenets of her religion and taught her to aspire to higher powers of intellect and an independence of spirit forbidden to the female followers of Muhammad. This lady died, but her lessons were indelibly impressed on the mind of Safie, who sickened at the prospect of again returning to Asia and being immured within the walls of a harem, allowed only to occupy herself with infantile amusements, ill-suited to the temper of her soul, now accustomed to grand ideas and a noble emulation for virtue. The prospect of marrying a Christian and remaining in a country where women were allowed to take a rank in society was enchanting to her.

Saya terdampar pada perenggan-perenggan tersebut buat beberapa waktu yang lama. Alhamdulillah, Tuhan akhirnya mengilhamkan terjemahan terbaik untuk babak tersebut.

(Dali Fazuri): “Safie menceritakan yang ibunya berbangsa Arab bermazhab Katolik. Dia dijadikan hamba di Turki, dan oleh kerana kecantikan wajahnya, dia dicintai oleh ayah Safie yang kemudian mengahwininya. Safie sangat menghormati ibunya yang asalnya lahir sebagai manusia merdeka. Ibunya mempengaruhi Safie agar memeluk agama yang dianutinya, dan turut menyarankan agar anaknya itu menuntut pelajaran yang lebih tinggi serta memiliki kebebasan berfikir. Setelah ibunya meninggal, Safie berkelana ke Paris mencari ayahnya. 

Ini pula adalah sedikit sedutan dari Bab 5 untuk naskhah Frankenstein, di mana ia mengandungi tulisan asal Mary Shelley, dan kemudian kita boleh lihat gaya terjemahan daripada saudara Dali Fazuri:

(Mary Shelley): It was on a dreary night of November that I beheld the accomplishment of my toils. With an anxiety that almost amounted to agony, collected the instruments of life around me, that I might infuse a spark of being into the lifeless thing that lay at my feet. It was already one in the morning; the rain pattered dismally against the panes, and my candle was nearly burnt out, when, by the glimmer of the half-extinguished light, I saw the dull yellow eye of the creature open; it breathed hard, and a convulsive motion agitated its limbs.

(Dali Fazuri): Akhirnya, pada suatu malam yang suram di bulan November, penat lelahku mula menampakkan hasil. Dengan rasa gelisah semirip derita, aku meletakkan semua peralatan pembangkit hidup di satu tempat, dan aku akan menghidupkan benda mati yang sedang terkujur di hujung kakiku. Ketika itu jarum waktu menuding angka satu. Di luar, hujan merintik seraya mengetuk dedaun jendela, dan lilinku nyaris habis terbakar. Dalam keremangan cahaya, aku dapat melihat mata makhluk itu, kuning warnanya, mulai terbuka. Nafasnya tersengal-sengal dan anggota badannya terenjat-renjat bagai terkena kejutan listrik.

(Mary Shelley): How can I describe my emotions at this catastrophe, or how delineate the wretch whom with such infinite pains and care I had endeavoured to form? His limbs were in proportion, and I had selected his features as beautiful. Beautiful! — Great God! His yellow skin scarcely covered the work of muscles and arteries beneath; his hair was of a lustrous black, and flowing; his teeth of a pearly whiteness; but these luxuriances only formed a more horrid contrast with his watery eyes, that seemed almost of the same colour as the dun white sockets in which they were set, his shrivelled complexion and straight black lips.

(Dali Fazuri): Bagaimana mungkin dapat kugambarkan perasaanku ketika menyaksikan semua itu? Aku bahkan tidak dapat menyatakan dengan tepat rupa makhluk tersebut, yang kucipta dengan segenap kepayahan. Ukuran tulang empat keratnya selaras, dan penampilannya kubuat secantik mungkin. Cantik? Kulitnya kuning, hampir-hampir tidak mampu menyembunyikan jaringan otot dan pembuluh darah di bawahnya. Rambutnya sehitam baldu, panjang dan lebat. Giginya pula seputih mutiara. Namun matanya berkaca-kaca, hampir sewarna dengan soket yang menempatkannya, dan kelainan itu memberi rasa ngeri kepada yang melihat. Wajahnya berkerepot, dan bibirnya lurus menghitam.

(Mary Shelley): The different accidents of life are not so changeable as the feelings of human nature. I had worked hard for nearly two years, for the sole purpose of infusing life into an inanimate body. For this I had deprived myself of rest and health. I had desired it with an ardour that far exceeded moderation; but now that I had finished, the beauty of the dream vanished, and breathless horror and disgust filled my heart.

(Dali Fazuri): Peristiwa yang berbeza-beza dalam kehidupan tidak mudah berubah seperi perasaan manusia. Selama hampir dua tahun aku bekerja keras, membanting tulang tanpa mengenal rehat serta mengabaikan kesihatanku sendiri, semata-mata bertujuan membangkitkan kehidupan dalam tubuh yang tidak bernyawa. Aku terlalu menginginkannya, namun setelah ia selesai, impian indahku lenyap sama sekali. Hatiku berasa jijik, malah terisi dengan kengerian yang menyesakkan nafasku.

Seperti yang dikatakan oleh Ted Mahsun, gaya terjemahan saudara sedap dibaca dan tidak mengundang rasa kekok sama sekali. Apakah antara petua yang saudara amalkan bagi memastikan kelancaran bahasa dan mengekalkan keindahan ayatnya secara konsisten sehingga ke akhir novel?

Selain petua-petua dan teknik-teknik yang disarankan oleh Tuan Ahmad Patria, saya juga mengamalkan pembacaan novel-novel dari negara seberang. Harus diakui, tahap kesusasteraan mereka jauh mengatasi kita di Malaysia. Jadi ia sedikit sebanyak menambah nilai kepada terjemahan saya. Antara bacaan yang banyak menjadi rujukan kesusasteraan saya ialah karya-karya Andrea Hirata dan Langit Kresna Hariadi. Lenggok bahasa yang mereka gunakan sangat cantik dan ia banyak membantu saya menterjemah karya-karya klasik seperti Frankenstein, dan Dracula yang sedang saya tukangi kini.

Mengekalkan konsistensi dari awal terjemahan hingga ke akhir itu satu kerja yang rumit. Sepanjang penterjemahan Frankenstein, saya juga membaca novel-novel lain, dan tidak dinafikan ia turut mempengaruhi gaya dan lenggok bahasa yang saya luahkan. Maka selepas siap menterjemah, proses yang paling membosankan ialah semakan dan penambahbaikan. Setelah tiga kali ulang semak, baharulah saya serahkan terjemahan manuskrip kepada editor. Namun kini, setelah membaca Frankenstein edisi Bahasa Melayu ini, saya merasakan terjemahan tersebut masih banyak yang boleh diperbaiki. Aduhai!

Tentunya selepas beberapa bulan menterjemah dan menekuni karya agung Mary Shelley ini, Dali Fazuri terasa dekat dengan penulis dan mungkin juga telah berjaya menjiwai rentak penulisannya. Jikalau Mary Shelley masih hidup pada masa ini, apa yang ingin saudara nyatakan pada beliau?

shelley1

Selain menyatakan rasa kagum saya pada naskhah beliau, Frankenstein, saya juga ingin menyoalkan satu hal yang menjadi tanda tanya kepada setiap pembaca riwayat hidup beliau. Beliau menyimpan jantung suaminya yang telah mati sehingga beliau sendiri menghembuskan nafas terakhir. Jantung suaminya itu ditemui di dalam sebuah laci berkunci miliknya, hanya selepas setahun kematian beliau. Soalan saya, “Untuk apa jantung itu disimpan? Apakah kerana rasa cinta yang sangat mendalam terhadap suami? Atau apakah kerana percaya akan hadir seorang ‘Victor Frankenstein’ yang mampu mendetakkan kembali jantung tersebut?”

Sebagai penutup, bolehkah saudara Dali Fazuri berkongsi tentang perancangan masa depan saudara, khususnya dalam bidang penulisan. Adakah saudara akan terus menterjemahkan karya-karya klasik yang lain? Bagaimana pula dengan penulisan novel atau pun cerpen yang seterusnya?

Ya, saya akan terus menulis dan menterjemah, dengan izin Tuhan. Buat masa ini saya sedang mengerjakan terjemahan novel klasik Dracula karya Bram Stoker.

dracula1

Sasaran saya, setiap tahun sekurang-kurangnya satu novel klasik dialih bahasa. Dan saya berdoa satu hari nanti akan datang tawaran kepada saya untuk menterjemah The Count of Monte Cristo. Amin!

Pada yang sama saya kini sedang menukangi manuskrip novel fiksyen sains berjudul Simulakra. Selepas siap Simulakra, saya bercadang mengolah semula novel-novel fantasi dalam siri Kembara Lang Surya dan menamatkan ceritanya. InsyaAllah.

440px-Pendeta_Gua_Khayalan

Bicara Novel “Frankenstein” (Edisi Bahasa Melayu) bersama Dali Fazuri, Bahagian 1

Pena SaiFai kali ini berpeluang berbicara dengan seorang penulis dan peminat fiksyen sains, Masdalifadzlie M Saaid berkenaan karya terbarunya, Frankenstein (Edisi Bahasa Melayu).

Profile Dali

Naskhah Frankenstein (Edisi Bahasa Melayu) ini merupakan kerja terjemahan beliau yang pertama, di mana pertama kali juga beliau menggunakan nama pena Dali Fazuri.

Cover Frankenstein BM

Nama penuh: Masdalifadzlie M Saaid

Tarikh lahir: 14 Februari 1979

Tempat lahir: Felda Bukit Besar, Kulai, Johor

Menetap: Bandar Baru Salak Tinggi

Latar belakang pendidikan:

  • Pelajar Sekolah Menengah Sains Dungun, Terengganu (1992-1996)
  • Diploma in Internet Computing, Universiti Multimedia
  • BIT in Software Engineering, Universiti Multimedia

Pekerjaan: Senior Software Engineer (Java & Groovy/Grails)

Senarai karya:

Cereka Sains/Cerpen

i – Rahsia Peti (Tempat Pertama Cereka Sains Kebangsaan 1996, UKM-Kementerian Pelajaran)

ii – Rahsia Bendahara (Tempat Pertama Cereka Sains Kebangsaan 2005, kategori IPT, Karyanet-DBP)

iii – Dan Lukisan, Apabila Ia Bernyawa… (Imagikata, 2016, Penerbit X)

Novel

i – Pendeta Gua Khayalan (2009, PTS Fortuna)

ii – 10 Juta Pulus (2010, PTS Fortuna)

iii – Duyung Pulau Kenchana (2011, Gapuraloka Enterprise)

iv – Empat Sahabat Air (2012, Gapuraloka Enterprise)

Terjemahan

i – Frankenstein (2017, Penerbit X)

Salam, Dali Fazuri. Tahniah atas kelahiran karya terjemahan Frankenstein (Edisi Bahasa Melayu) ini. Siapa yang tidak kenal dengan kisah Frankenstein dan makhluk ngeri ciptaannya yang terkenal ini? Novel klasik ini disebut-sebut sebagai kisah fiksyen sains seram paling agung, dan tentunya saudara berasa begitu bertuah dan teruja kerana diberi peluang untuk menterjemahkannya dalam Bahasa Melayu. Boleh saudara ceritakan lebih lanjut mengenai proses pemilihan penterjemah untuk novel ini?

Wa’alaikumsalam warahmatullah. Bismillah. Pertama sekali, terima kasih kepada Pena SaiFai kerana sudi mewawancara saya, dan terima kasih juga atas ucapan tahniah yang diberikan. Alhamdulillah, syukur kepada Tuhan. Saya sendiri masih tidak percaya yang saya sudah berhasil melunasi penterjemahan naskhah fiksyen sains agung tersebut dan ia sudah pun menjadi buku!

Penglibatan saya dalam bidang penterjemahan ini bermula sekitar tahun 2011. Ketika itu PTS, di bawah kendalian Puan Ainon, mengadakan bengkel penterjemahan karya klasik. Hanya beberapa orang peserta yang lulus dan dilantik menjadi penterjemah bebas di bawah naungan PTS Litera. Malangnya saya tidak diberikan sebarang manuskrip klasik untuk diterjemah. Sebaliknya yang hadir ialah manuskrip Freefall (Roderick Gordon and Brian Williams) dan H.I.V.E (Mark Walden), tetapi kedua-dua terjemahan saya tersebut tidak diterbitkan atas faktor sambutan yang tidak menggalakkan terhadap karya-karya terjemahan terbitan PTS Litera sebelum itu. Demikian ia menjadi asbab kedua-dua kerja tersebut tidak saya kira sebagai karya terjemahan saya secara rasmi.

Frankenstein, sebetulnya ia bermula secara tidak sengaja. Lima tahun selepas H.I.V.E, tiba-tiba sahaja timbul keinginan untuk kembali menterjemah, dan naskhah yang berada dalam kepala saya ketika itu ialah novel klasik karya Alexandre Dumas, iaitu The Count of Monte Cristo. Saudara Zaki Zainol (editor di Penerbit X, PTS) menjadi orang yang saya hubungi, namun usul The Count of Monte Cristo tidak diterima, sebaliknya beliau mencadangkan Frankenstein kerana Penerbit X sedang dalam projek menerbitkan karya-karya terjemahan klasik fiksyen sains. Oleh kerana saya masih memegang surat lantikan penterjemah bebas yang dikeluarkan oleh PTS dahulu, maka urusannya menjadi mudah. Alhamdulillah, Tuhan membuka hati saya untuk menerima tawaran tersebut, dan selebihnya menjadi sejarah.

Berikut adalah Nota Penterjemah nukilan saudara, yang diambil dari buku Frankenstein (Edisi Bahasa Melayu):

Naskhah Frankenstein ini merupakan terjemahan sulung saya. Sedari halaman pertama manuskrip, saya senantiasa teruja meneruskan usaha menterjemah pada halaman-halaman berikutnya, kerana sebenarnya pada waktu yang sama, ia juga merupakan bacaan kali pertama saya. Selayaknya novel-novel klasik yang lain, gaya garapan bahasa Mary Shelley dalam Frankenstein begitu indah dan puitis. Maka saya berpendapat, novel terjemahannya juga perlu dikekalkan dengan lenggok yang serupa, agar kenikmatan dalam menghayati kisah Victor Frankenstein dapat dirasai oleh pembaca, sama seperti membaca karya ini dalam bahasa asalnya.

Sebagai seorang yang pertama kali melakukan kerja penterjemahan, tentunya saudara berusaha hendak memberikan hasil kerja yang terbaik. Apakah yang dilakukan oleh saudara bagi memulakan proses penterjemahan ini?

Seperti yang saya katakan dalam jawapan sebelum ini, saya pernah menterjemah novel sebelum Frankenstein tetapi tidak diterbitkan, maka saya menganggapnya sebagai off-record, dan mengangkat Frankenstein sebagai terjemahan sulung secara rasmi.

Serupa menulis novel, disiplin merupakan hal paling utama dalam penterjemahan dan perlu dipersiapkan dalam diri. Setiap malam, saya peruntukkan satu hingga dua jam, dan dalam tempoh itu wajib sekurang-kurangnya satu halaman siap diterjemah. Selain disiplin, tidak kalah penting ialah kamus! Dan kamus pilihan saya bersifat maya, Pusat Rujukan Persuratan Melayu (PRPM) yang dimiliki oleh DBP.

Di awal proses mengalih bahasa, saya sempat menonton filem Mary Shelley’s Frankenstein (1994) dan Victor Frankenstein (2015) bagi mendapatkan gambaran secara ringkas kisah hidup watak utama novel ini. Daripada filem-filem tersebut, timbul satu perkataan yang berlegar-legar dalam kepala saya; depresi. Dan benarlah, Mary Shelley sangat arif melukiskan watak Victor Frankenstein yang tertekan jiwanya, sehinggakan pembaca, bahkan penterjemahnya juga turut berasa tertekan!

Saya juga turut membaca Hunger Games edisi Bahasa Indonesia sepanjang proses menterjermah Frankenstein. Seperti yang kita maklum, di Indonesia, terjemahan merupakan satu pecahan besar dan telah matang dalam industri penerbitan buku. Maka melaluinya, sedikit sebanyak saya memerhati dan mempelajari seni menterjemah, seterusnya mempraktikkan dalam terjemahan Frankenstein.

Sebelum ini, saudara Dali Fazuri menulis sebagai seorang novelis dan cerpenis. Bagaimana pula dengan urusan menterjemah karya dengan pihak Penerbit-X, adakah aturan penerbitan, prosedur serta kontrak untuk melakukan kerja penterjemahan adalah sama seperti penulis biasa?

Nyaris serupa, tidak banyak perbezaan. Kalau ada pun, yang paling nyata ialah anda perlu ada sijil lantikan penterjemah (ataupun mungkin pengalaman menterjemah) bagi meyakinkan rumah penerbitan. Ia perlu dititipkan dalam kertas cadangan yang akan dinilai oleh barisan editor. Dalam kes saya, saya bertuah nasib kerana meskipun kertas cadangan ditolak, tetapi saya ditawarkan pula naskhah yang lain. Selebihnya nyaris serupa.

Dali Fazuri menulis dalam Nota Penterjemah bahawa inilah kali pertama saudara membaca naskhah Frankenstein ini. Apa yang terlintas dalam fikiran saudara semasa mula membaca dan menjalankan proses penterjemahan secara serentak (tambah lagi bila mendalami gaya garapan bahasa Mary Shelley dalam Frankenstein yang begitu indah dan puitis)?

Benar, kedua-dua proses itu saya lakukan serentak. Ia memang disengajakan kerana saya ingin menimbulkan rasa ingin tahu dalam diri pada cerita selanjutnya. Ia tidak mudah, tetapi menyeronokkan. Proses menterjemah secara tidak langsung menjadi cepat kerana saya tidak suka berada dalam keadaan tertanya-tanya untuk tempoh waktu yang lama. Namun begitu terdapat juga kekurangan dalam tindakan tersebut. Wujud satu dua terma atau frasa yang sama, tetapi diterjemah dengan perkataan yang berbeza pada tempat yang berlainan. Untuk itu saya terpaksa menyemak semula terjemahan dan teks asal berulang-ulang kali!

Pada awalnya, lenggok bahasa yang indah, yang digunakan oleh Mary Shelley sedikit sebanyak memberi gangguan kepada kerja-kerja penterjemahan.

Frankestein Halaman 1Frankestein Halaman 2

Sudahlah puitis, ayat-ayatnya pula panjang dan banyak yang mengelirukan. Namun perkara itu saya jadikan cabaran kepada diri sendiri – terjemahan saya perlu menyaingi keindahan bahasa Mary Shelley. Kalau tewas sekalipun, biarlah tewas bermaruah! (Ketawa)

Berikut adalah sinopsis untuk novel Frankenstein (diambil dari laman web Penerbit-X): 

Robert Walton dalam ekspedisi mencari laluan baru untuk ke Lautan Pasifik melalui Lautan Artik, menemui lelaki yang hampir mati, terapung di atas lautan ais. Lelaki itu adalah Victor Frankenstein, yang menceritakan kisah hidupnya yang tragis. Seorang genius yang cuba menjadi Tuhan dengan menghidupkan makhluk yang dihasilkan daripada cantuman mayat-mayat. Tragedi bermula apabila makhluk itu mula menuntut kasih sayang penciptanya.

Kebanyakan babak di dalam novel ini menekankan rasa takut, curiga dan paranoid yang dialami oleh Victor Frankestein terhadap makhluk ciptaannya yang aneh itu. Bagaimana saudara memastikan agar kesemua perasaan ngeri itu berpindah kepada pembaca? Adakah saudara banyak membaca buku-buku seram atau menonton filem-filem seram untuk membangkitkan perasaan itu?

Ironinya, tidak. Genre seram ataupun ngeri adalah kategori terakhir dalam senarai pilihan saya. Saya hanya akan membaca ataupun menonton cerita seram jika di dalamnya terkandung unsur-unsur sains ataupun fantasi. (Ya, genre utama pilihan saya ialah fiksyen sains dan fantasi).

Jadi bagaimana saya memastikan agar kesemua perasaan ngeri itu berpindah kepada pembaca? Ini soalan yang sukar. Saya sendiri tidak tahu secara tepat jawapannya. Mungkin, mungkin, mungkin kerana inisiatif yang saya ambil iaitu menonton dua filem yang berdasarkan naskhah asal Frankenstein, telah menyerapkan segenap perasaan yang dialami oleh watak utamanya ke dalam diri saya. Mungkin, mungkin, mungkin juga kerana ayat-ayat yang penuh dengan sifat-sifat sedih, kecewa dan murung yang dipersembahkan oleh Mary Shelley, secara tidak tersedarkan turut membikin saya tertekan ketika menterjemahkannya. Mungkin, mungkin, mungkin, kedua-dua hal tersebutlah yang menyebabkan saya berhasil menghamburkan setiap perasaan negatif yang dialami Victor Frankenstein ke atas kertas terjemahan saya.

Ini pula sinopsis untuk Frankenstein (Edisi Bahasa Melayu) yang diambil dari laman web Gapuraloka:

Namaku Victor – Victor Frankenstein.

Usia remaja menemukanku dengan karya-karya Cornellius Agrippa, Paracelsus dan Albertus Magnus, para sarjana agung  yang berhasil mengubah perjalanan dan pegangan hidupku. Merekalah yang menjadikan diriku manusia genius. Merekalah jantung yang menjadikan segenap usahaku menempa nama dalam dunia sains moden. Dan akhirnya Ingolstadt menjadi saksi bagaimana kepintaranku berjaya memberi nyawa kepada adikaryaku!

Namun, segenius apa pun diriku dan sebesar apa pun namaku, aku tetap manusia. Dan manusia itu tidak akan pernah menjadi Tuhan…

Melalui sinopsis ini, kita tahu bahawa novel ini menghantar kesedaran akan natijah yang harus ditanggung apabila manusia cuba berlagak menjadi Tuhan. Apa pendapat Dali Fazuri tentang perkara ini? Apakah mungkin seorang saintis bakal berjaya mencipta manusia lain pada masa akan datang?

Manusia yang cuba berlagak menjadi Tuhan bukan perkara baru. Ia tidak bermula pada zaman hidupnya Mary Shelley, tetapi jauh lebih awal, melangkaui ribuan tahun dahulu. Contoh yang sering kita dengar dan baca ialah Firaun pada zaman kegemilangan tamadun Mesir Purba. Dan setiap mereka (yang cuba menjadi Tuhan ini) punya pengakhiran yang tragis dan menyedihkan.

Maka apa yang cuba digambarkan oleh Mary Shelley terhadap watak Victor Frankenstein itu ada benarnya. Tuhan itu Maha Suci, tingkatnya tidak mungkin dapat dicapai oleh manusia (yang senantiasa bergelar makhluk). Pekerjaan mencipta nyawa dan memberi roh adalah pekerjaan eksklusif milik Tuhan, dan manusia yang cuba melakukannya hanya akan menuju kehancuran. Ya, banyak saintis masa kini berlumba-lumba mengejarnya. Lantaran itu lahirlah ciptaan manusia robot atau android yang mampu berfikir dan menaakul seperti manusia. Tetapi apakah mereka mampu mencipta nyawa dan memberikan roh? Saya tidak fikir begitu.

~

Khamis: Ikuti sambungan bual bicara bersama Dali Fazuri, di mana beliau bakal berkongsi nasihat yang diturunkan oleh Tuan Ahmad Patria Abdullah, penulis fantasi tersohor Malaysia. Sama-sama kita ikuti sesinya!

Wawancara Bersama Muzaf Ahmad, Bahagian 2

Gambar_profil_Muzaf_Ahmad

Sesi kali ini membicarakan novel terbaru Muzaf Ahmad bertajuk Kuantum Dalam Jemala

kuantum

Berikut adalah sedutan daripada Laporan Penghakiman Musim Ke-4 untuk novel ini:

Kuantum dalam Jemala mengambil latar di Malaysia, tahun 2050 dengan memunculkan watak Ahmad Fayyadh, Dr. Erika dan Tuan Roslan (ayah Ahmad Fayyadh). Ahmad Fayyadh melawat ayahnya yang sedang menerima rawatan. Kedua-duanya seolah-olah sedang berkomunikasi (cuma berlaku dalam minda masing-masing kerana Tuan Roslan sedang koma).

Pada satu sesi wawancara di radio, Ahmad Fayyadh bersama Dr. Joshua Ameen diwawancara tentang kejayaan anak Malaysia dalam bidang perkomputeran kuantum, terjadi serangan sehingga konti radio bergegar. Manakala, di hospital Tuan Roslan cuba bersuara atau berkomunikasi. Tanpa disedari, Ahmad Fayyadh dan Tuan Roslan sebenarnya sedang diintip.

Susulannya apabila disedari, Ahmad Fayyadh segera melarikan ayahnya. Ketika itu, ada usaha Dr. Joshua, melalui isterinya Dr. Erika cuba melambatkan penyembuhan Tuan Roslan. Di rumah Dr. Joshua, Ahmad Fayyadh menunjukkan cip kuantum. Dia merancang memasukkan cip itu ke dalam otak ayahnya.

Sementara, Dr. Erika secara sulit bekerjasama dengan Heksagons Inc. — menduplikasi mikrocip kuantum untuk ciptaan inovasi manusia cyborg. Dr. Erika mendesak Dr. Joshua menghentikan kerjasama dengan Ahmad Fayyadh untuk mengimplan mikrocip kuantum. Dr. Joshua, menyatakan ia penting untuk mengesan perancangan teroris. Dr. Joshua menghubungi Ahmad Fayyadh, membatalkan persetujuan awalnya untuk melakukan pembedahan.

Ahmad Fayyadh melarikan ayahnya ke Dubai ekoran keengganan Dr. Joshua membantu serta terdapatnya ancaman pengganas. Proses mengimplan cip di Dubai berjaya. Selesai pembedahan, mereka pulang ke tanah air. Melalui ‘komunikasi’ antara Ahmad Fayyadh dengan ayahnya, dia memperoleh maklumat tentang Krauss, dan tentang ibunya, Fatimah yang masih dalam tawanan penculik.

Muatan sains dalam Kuantum dalam Jemala berkaitan mikrocip kuantum, yang mampu membaca impuls otak dan menukarkannya kepada isyarat elektrik. Mikrocip kuantum ini diimplankan ke dalam otak pesakit. Antaranya, pesakit yang mengalami traumatic brain injury. Bagi pesakit seperti ini, kebolehan kognitif dan komunikasi dengan orang lain hilang. Pakar kejuruteraan elektronik menemui kaedah kejuruteraan elektronik ini yang sangat berguna dalam proses rehabilitasi.

Penemuan membuktikan bahawa ciptaan canggih ini mampu memindahkan pesanan penting terakhir dari pesakit yang telah meninggal dunia melalui data. Jelas, Kuantum dalam Jemala memanfaatkan teknologi mikrocip dan teknologi nano sebagai satu teknologi yang akan membantu bidang neurologi.

Kuantum Dalam Jemala merupakan novel fiksyen sains Muzaf yang pertama. Apa perasaan Muzaf bila mendapat perkhabaran bahawa novel ini telah terpilih sebagai salah seorang pemenang untuk Sayembara Novel Fiksyen Sains & Teknologi UTM-Kumpulan Utusan Musim Ke-4?

Pengumuman Majlis Sayembara Musim Ke4

Apabila dihubungi oleh pihak penganjur dan dimaklumkan sebagai salah seorang pemenang, saya amat bersyukur dan gembira. Saya menyertai sayembara ini sejak musim kedua lagi, tetapi rezeki tidak menyebelahi manuskrip tersebut. Banyak kelemahan dalam manuskrip-manuskrip lalu. Saya anggap itu proses belajar dan memperbaiki dan menganggap penyertaan lalu itu sebagai latihan menulis novel fiksyen sains. Saya juga mengikuti laporan panel hakim dan beberapa karya pemenang musim lalu.

Kegagalan bukanlah penamat bagi saya dalam menghasilkan karya yang lebih baik dan bermanfaat buat pembaca.

Berikut adalah sinopsis Kuantum Dalam Jemala:

“Penantiannya selama belasan jam di luar bilik pembedahan suatu penantian yang menyeksaan, tetapi memuaskan hati setelah lampu bilik operasi dipadamkan dan para doktor pakar bedah keluar menemuinya dengan gugusan senyuman.”

Apa yang ingin Muzaf ceritakan lebih lanjut berkenaan intipati buku ini?

Saya mendapat ilham menulis novel Kuantum dalam Jemala daripada kehidupan di sekeliling saya. Antara intipati yang ingin disampaikan adalah perjuangan menegakkan prinsip yang tidak terputus dengan mewariskan perjuangan kepada generasi baharu. Kemodenan teknologi, walau di zaman mana sekalipun, boleh menjadikan satu alat yang bermanfaat atau menghancurkan. Terpulang bagaimana kita memanfaatkannya.

Ilmu perkomputeran kuantum dan bidang perubatan menjadi pilihan Muzaf dalam novel Kuantum Dalam Jemala. Buku rujukan yang digunakan adalah Our Final Invention: Artificial Intelligence and the End of the Human Era. Apakah yang mendorong Muzaf untuk mengutarakan topik-topik ini dalam bentuk naratif sebuah fiksyen sains?

Our Final Invention

Saya cuba untuk memanfaatkan kelebihan yang saya ada dalam menghasilkan novel ini, melalui bidang pengajian saya. Perkomputeran kuantum merupakan salah satu cabang dalam bidang kejuruteraan elektronik. Buku “Our Final Invention: Artificial Intelligence and the End of the Human Era” merupakan sebuah buku bukan fiksyen yang saya jadikan rujukan.

Sebenarnya, buku yang diterjemahkan ke dalam bahasa Jepun ini saya temui di sebuah kedai buku di sini. Ia menjadi sumber ilham untuk menghasilkan novel Kuantum dalam Jemala. Cukup susah untuk mencari buku berbahasa Inggeris di Jepun. Memandangkan sumber saya terhad, saya juga membuat kajian tambahan melalui sumber-sumber lain.

Dalam Facebook, Muzaf berkongsi bahawa novel ini disiapkan dalam masa lebih kurang 2 bulan. Antara cabaran yang dihadapi adalah menyeimbangkan nilai Islami, sastera dengan sains dan teknologi. Boleh Muzaf kongsikan cabaran-cabaran itu?

Cabaran Muzaf

Ya, ia ditulis dalam masa lebih kurang dua bulan dan beberapa bab ditangguh penulisannya atas kesibukan menyempurnakan tugasan akademik. Syukur, saya sempat menyiapkan novel ini sebelum tarikh tutup penyertaan. Sebelum memulakan penulisan, saya melakukan kajian mendalam, mengumpul bahan dan menyusun idea.

Menyeimbangkan nilai Islami sastera dengan sains dan teknologi merupakan suatu yang sukar dilakukan. Saya cuba sedaya upaya untuk mengelakkan tiga nilai ini menjadi tempelan dalam novel ini. Saya fikir cabaran terbesar adalah ketika menulis, berbanding ketika mengkaji kerana akhirnya, apa yang ditulis itulah yang akan dinikmati oleh pembaca.

Sedikit sedutan mengenai Kuantum Dalam Jemala dalam Laporan Penghakiman Musim Ke-4:

Naratif Kuantum dalam Jemala digerakkan dengan menggunakan teknik konflik. Muatan naratif yakni kemajuan teknologi komputer, teknologi nano, cyborg, cip biosintetik, neurologi dan lain-lain yang disejajarkan dengan kerasukan manusia mengeksploitasikan teknologi untuk tujuan materialistik dan kuasa, menggerakkan plot. Jalan cerita bergerak lancar. Penggunaan pola kronologi dengan dialog yang relatif banyak, tetapi tersusun, mendekatkan hubungan antara watak-wataknya.

Melalui laporan ini, kita diberi pendedahan bahawa unsur konflik, thriller serta pola kronologi menjadi gaya penulisan Muzaf untuk Kuantum Dalam Jemala. Adakah Muzaf menyediakan plot terperinci sebelum mengarang? Bagaimana pula dengan pencirian watak serta penciptaan klimaks?

Ya, untuk novel kali ini saya menyediakan lakaran plot terperinci sebelum menulis, termasuklah klimaks. Kronologinya disusun di dalam bab demi bab. Unsur konflik dan saspen juga digunakan dibeberapa tempat untuk memaut perhatian pembaca. Saya juga memberikan beberapa ciri fizikal kepada watak serta emosi melalui dialog. Novel ini sememangkan dirancang supaya bercorak thriller dan digerakkan oleh plot yang disusun rapi. Walaubagaimanapun, saya cuba memastikan sains dan teknologi menjadi objek yang menggerakkan plot cerita.

Sebagai penutup, sudilah kiranya Muzaf berkongsi petua dan juga rutin penulisan yang sering Muzaf amalkan, bagi panduan para penulis di luar sana.

Saya masih baharu dalam bidang penulisan sastera, terutamanya dalam fiksyen sains berbanding penulis-penulis yang telah lama berkecimpung dalam bidang ini. Mungkin sekadar berkongsi teknik dan pengalaman, mungkin bukanlah petua untuk dijadikan rujukan, mudah-mudahan ada manfaatnya.

Minat dalam penulisan amat penting dalam menghasilkan sesebuah karya. Tidak mudah untuk menghasilkan sesebuah karya, apatah lagi sebuah novel. Ia perjalanan yang sukar. Ia menuntut masa yang banyak. Saya percaya, pada awal penglibatan, penulis banyak berkorban hobi dan masanya demi menyiapkan sebuah projek penulisan.

Antara amalan saya adalah menyediakan fail dan buku nota khas untuk menyimpan bahan-bahan yang menarik sebagai sumber ilham terutamanya penulisan novel. Saya menggunakan waktu lapang sebaik mungkin untuk menulis. Saya banyak menulis ketika menunggu pesawat di lapangan terbang, di atas kapal terbang dan di mana-mana sahaja. Saya juga pernah menulis di kedai kopi, meluangkan masa satu hingga dua jam untuk menyiapkan satu bab novel. Kadang-kadang, melihat ragam orang ramai memberikan kita idea baharu.

Akhir sekali, saya mengingatkan diri sendiri memperbetulkan niat menulis serta meningkatkan motivasi diri dengan membaca novel dan buku sastera. Niat yang baik akan diiringi dengan pengakhiran yang baik, Insyaallah.

Wawancara Bersama Muzaf Ahmad, Bahagian 1

Pena SaiFai berpeluang berbicara dengan seorang penulis muda yang tidak asing lagi di arus sastera perdana, Muzaf Ahmad.

Muzaf_Ahmad

Beliau banyak kali memenangi anugerah berprestij negara seperti berikut:

Hadiah Sastera

  • Hadiah Sastera Kumpulan Utusan (HSKU) melalui cerpen Kanibal Hutan Seberang (2012)
  • Hadiah Sastera Kumpulan Utusan (HSKU) melalui puisi Jaulah Sampai Syurga (2014)
  • Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM) menerusi kumpulan puisi Jaulah Sampai Syurga (2014)
  • Hadiah Sastera Kumpulan Utusan (HSKU) melalui puisi Denting Waktu (2015)

Sayembara

  • Sayembara GKLN bahagian Asia-Australasia 2013 (kedua)
  • Pertandingan Mencipta Sajak anjuran Lembaga Pertubuhan Peladang dan NAFAS 2013 (saguhati)
  • Sayembara Novel Kanak-Kanak DBP-ANGKASA 2013/2014 (saguhati)

Terkini, Muzaf dinobatkan sebagai salah seorang pemenang untuk Sayembara Novel Fiksyen Sains & Teknologi UTM-Kumpulan Utusan Musim Ke-4 dengan novel fiksyen sains Kuantum Dalam Jemala. Mari kita baca sesi temu ramah dengan penulis serba boleh ini.

kuantum

Salam, Muzaf. Terima kasih kerana sudi meluangkan masa dengan pihak Pena SaiFai. Sebelum menerbitkan novel Kuantum Dalam Jemala, Muzaf banyak menulis dalam majalah seperti Tunas Cipta dan Dewan Kosmik, serta dalam surat khabar perdana seperti Utusan Malaysia. Khabarnya jumlah karya yang telah tersiar di media cetak sudah melebih 100 buah.

Muzaf juga memiliki ijazah sarjana muda dan ijazah sarjana dalam bidang Kejuruteraan Elektronik dari Keio University. Tampaknya sibuk dan padat jadual harian Muzaf. Bagaimana Muzaf membahagikan masa untuk menulis?

Waalaikummussalam, Pena SaiFai. Pertamanya, saya ingin mengucapkan ucapan ribuan terima kasih atas kesudian Pena SaiFai untuk menemuramah saya. Saya amat menghargai peluang ini. Saya mula menulis sekitar tahun 2008, bermula dengan menghantar karya ke majalah Dewan Siswa. Puisi pertama saya tersiar pada tahun yang sama, manakala cerpen saya pertama, sebuah cerpen fiksyen sains bertajuk Sehangat Api Dinosauropolis disiarkan pada tahun 2009.

Pasa awalnya, niat saya hanya mahu belajar menulis dan memperbaiki teknik penulisan. Pada ketika itu saya menapakkan kaki ke pusat persediaan untuk melanjutkan pelajaran di Jepun. Saya bermula sebagai seorang “bayi” dalam bidang penulisan, seorang yang hanya baru belajar mengenal dunia kesusasteraan. Sedikit demi sedikit saya belajar merangkak, berjalan dan berlari.

Setelah yakin pada diri, barulah saya menghantar lebih banyak karya ke majalah-majalah lain seperti Tunas Cipta, Dewan Kosmik dan akhbar perdana seperti Berita Harian dan Mingguan Malaysia. Di kolej persediaan, hampir setiap hari, saya menghadiri kuliah dari jam 8 pagi hingga 5 petang. Sejujurnya, saya tidak mempunyai banyak masa untuk menulis. Saya hanya ada waktu menulis ketika cuti semester yang tidaklah pula begitu panjang. Di kampung, saya lebih mudah fokus untuk menulis dengan produktif.

Selepas tahun 2012, saya menjejakkan kaki di bumi Jepun, meneruskan pengajian. Jadual akademik saya tidaklah sesibuk di Malaysia seperti sebelumnya. Sejujurnya, saya tidak ada jadual khas untuk menulis. Saya hanya menulis jika ada waktu berbaki setelah semua tanggungjawab lain diselesaikan terlebih dahulu dan apabila saya bersedia secara mental dan fizikal.

Kini, saya juga hanya akan menulis apabila suasana mendorong saya untuk menulis. Contohnya, apabila hati berkata-kata: “aku mesti tulis ini sekarang,” ketika itu saya akan terus menulis. Saya masih ingat, cerpen yang memenangi HSKU bertajuk Kanibal Hutan Seberang ditulis dalam kuliah ‘Asal Usul Bahasa & Falsafah’ di Jepun.

Kanibal Hutan Seberang

Manakala siri puisi Cikgu Gaza yang memenangi HSPM melalui kumpulan puisi Jaulah Sampai Syurga ditulis ketika dunia menyaksikan Gaza diserang Israel dalam perang ‘Ashf Ma’kul (daun-daun yang dimakan ulat).

Cikgu Gaza ICikgu Gaza II

 

Puisi Jaulah Sampai Syurga pula lahir daripada permintaan seorang sahabat. Bagi saya, menulis bukan suatu kerja atau rutin, tetapi sebahagian daripada gambaran kehidupan yang dilalui. Saya percaya, saya masih perlu terus belajar menghasilkan karya yang lebih baik.

Boleh ceritakan lebih lanjut tentang cerpen Sehangat Api Dinosauropolis itu? Apa yang membuatkan Muzaf berminat hendak menulis sebuah cereka sains pada peringkat awal Muzaf mencuba menulis?

Cerpen Sehangat Api Dinosauropolis berkisarkan tentang dua orang sahabat lama yang bertentangan prinsip. Dinosauropolis merupakan pusat penting yang mengumpulkan segala hasil arkeologi purba, infrastrukturnya dibangunkan dengan teknologi seperti Virtual Reality, mikrocip dan sebagainya. Pertentangan prinsip menyebabkan dua orang sahabat dahulunya, menjadi musuh ketat untuk menguasai Dinosauropolis. Ia bukan hanya mengisahkan tentang pertentangan prinsip, tetapi juga pertentangan teori, menjangkaui dua zaman – purba dan moden, serta etika. Ia berakhir dengan watak antagonis terkurung di dalam dunia maya tiga dimensi.

Saya tiada jawapan khusus mengapa cereka sains menjadi cerpen pertama saya, tetapi apa yang boleh saya katakan, ia lebih ringan dan lebih mudah ditulis memandangkan saya mengambil jurusan sains tulen di sekolah menengah. Sains amat dekat dengan diri saya, dan lebih mudah dikarang.

Apakah faktor yang mendorong Muzaf menjadi seorang penulis? Tambah lagi, Muzaf memiliki latar belakang dalam bidang kejuruteraan elektronik. Adakah penguasaan Muzaf dalam bidang sains banyak membantu memberi ilham dan juga kelebihan bagi menghasilkan karya sastera?

Suasana sekitar dan fasa perubahan diri banyak mendorong saya menulis. Saya hanya bermula dengan beberapa buah karya. Saya juga mendapat komen dan kritikan daripada komuniti penulis sastera sendiri dan menjadikannya rujukan untuk terus belajar.

Malah, motivasi terbesar saya adalah untuk membawa perubahan dalam masyarakat kita melalui bidang penulisan. Saya yakin medium penulisan adalah satu platform yang berkesan dalam menyampaikan pemikiran dan amanat. Latar belakang dalam bidang elektronik sedikit sebanyak membantu saya menghasilkan cerpen fiksyen sains. Dari segi ilham, kebanyakannya lahir melalui pembacaan karya sastera serta pengalaman kehidupan.

Boleh senaraikan nama penulis dan bahan bacaan yang menjadi kegemaran Muzaf? Mengapa Muzaf memilih karya-karya ini?

Saya meminati novel karya Faisal Tehrani sebagai bahan bacaan. Saya fikir 1511H [Kombat] adalah novel fiksyen sains yang avant-garde dan kemas dari segi pengolahan dan penulisannya. Manakala Manikam Kalbu cukup sarat falsafah dan sejarah, ditulis dengan teknik penulisan  yang menarik. Saya jarang membaca fiksyen sains atau novel sastera berbahasa Inggeris. Sebagai rujukan, saya lebih gemar membaca genre bukan fiksyen.

Muzaf menulis dalam genre yang pelbagai: cerpen, puisi, artikel dan juga novel. Genre yang manakah menjadi kegemaran Muzaf? Apakah panduan yang Muzaf amalkan untuk menjadi seorang penulis yang versatile dan serba boleh?

Saya menggemari semua genre penulisan, bagaimanapun, puisi paling dekat dengan hati saya. Saya fikir, saya seorang yang gemar mencuba sesuatu yang baharu. Bagi saya ia satu proses belajar mengenali dan menguasai. Saya bermula dengan menulis cerpen fiksyen sains, kemudian mencuba cerpen dewasa, beralih kepada puisi dan kini kembali semula kepada fiksyen sains.

Muzaf banyak kali memenangi anugerah sastera dan juga sayembara di peringkat kebangsaan. Boleh kongsikan antara pengalaman menarik di sebalik tabir yang tidak dapat dilupakan berkaitan dengan penyertaan Muzaf itu?

hspm_puisi

Ya, kemenangan Jaulah Sampai Syurga dalam HSPM paling tidak dapat saya lupakan. Sebelum buku diterbitkan oleh syarikat penerbitan GKLN iaitu Karyawan Publishing House (kini dikenali sebagai Kata-Pillar Books), manuskrip ini pernah dihantar ke sebuah syarikat penerbitan lain.

Namun, saya menariknya kembali kerana tidak dapat memenuhi syarat yang diletakkan oleh penerbit jika mahu buku saya diterbitkan. Saya sedikit kecewa dan hampir saja berputus asa, kerana itulah impian saya untuk menerbitkan buku yang pertama. Setelah berbincang dengan saudara Fahd Razy, saya menerbitkan buku itu dengan duit poket sendiri, jika tidak silap bermodalkan RM500.

Syukur, saudara Fahd Razy dan rakan-rakan GKLN banyak membantu dalam penerbitan buku ini. Sayalah penulis, editor dan designer (dalaman) untuk buku sendiri. Kulitnya dihasilkan oleh sahabat GKLN, saudara Rasydan Fitri.

Jaulah Sampai Syurga

Apabila keluar iklan HSPM, saya cuba menghantar, dan tidak sangka, menjadi pemenang HSPM yang tidak pernah saya duga! Alhamdulillah, rezeki daripada Allah.

Ada beberapa lagi cerpen fiksyen sains Muzaf yang tersiar di dalam Dewan Kosmik, seperti berikut:

  1. Humanoid, Dewan Kosmik (Julai 2012)
  2. Tercipta daripada Segumpal Darah, Dewan Kosmik (Oktober 2013)
  3. Manusia Cip (CMOS), Dewan Kosmik (Januari 2014)
  4. Sistem Antirealiti, Dewan Kosmik (Jun 2014)
  5. Bumi Kedua, Dewan Kosmik (Mei 2016)

Boleh Muzaf ceritakan serba sedikit tentang cerpen-cerpen ini? Jika tidak keberatan, sudilah kiranya Muzaf berkongsi panduan menulis cereka sains yang baik sebagai rujukan para penulis di luar sana.

Cerpen-cerpen fiksyen sains yang pernah saya tulis sebenarnya sedikit rencam dari sudut temanya. Saya suka bereksperimen dengan pelbagai tema dan latar belakang sebagai latihan menulis. Ada yang bertemakan teknologi mikrocip, robotik, alam sekitar dan perubatan. Seperti mana novel Kuantum Dalam Jemala, cerpen Manusia Cip (CMOS) menjadikan mikrocip sebagai tunjang utama cerita.

Ketika menulis, saya cuba mengaitkan fiksyen sains dengan nilai etika dan kemanusiaan kerana fiksyen semata-mata membuatkan karya terasa kering. Begitu juga sebaliknya. Oleh sebab saya suka mengikuti perkembangan teknologi terkini, banyak idea diperoleh dengan mencantumkan kehidupan realiti dengan maklumat berkaitan teknologi itu.

Namun, saya fikir, menulis novel fiksyen sains lebih memberikan kepuasan kerana ruang dalam cerpen terlalu terhad untuk mengarang sebuah cerita yang betul-betul menarik.

Apa pandangan Muzaf tentang industri fiksyen sains di tanah air? Adakah Muzaf akan terus menulis lebih banyak karya untuk menyemarakkan dunia fiksyen sains tempatan?

Pada pendapat saya, industri fiksyen sains di Malaysia sudah mula menapakkan kakinya dengan bergaya beberapa tahun belakangan ini. Arkib karya fiksyen sains kita masih kecil. Mungkin kerana komuniti penulis dan pembaca yang tidak ramai. Bilangan penulis juga tidak ramai.

Meskipun begitu, saya cukup optimis, fiksyen sains akan terus berkembang dengan lahirnya penerbit-penerbit karya fiksyen sains. Stigma lama masyarakat terhadap fiksyen sains boleh diubah sekiranya kita mencuba bersungguh-sungguh. Fiksyen sains akan menjadi genre yang menarik lebih ramai khalayak pembaca sekiranya karya yang diterbitkan menarik minat dan promosinya dilakukan secara besar-besaran. Tiga perkara yang perlu dilakukan – menggalakkan lebih ramai penulis tempatan menulis genre fiksyen sains, membina komuniti penulis dan meluaskan khalayak pembaca.

Insyaallah, saya akan menulis lebih banyak karya fiksyen sains selepas ini.

~

Khamis: Ikuti bahagian selanjutnya dalam sesi wawancara bersama Muzaf Ahmad, di mana beliau akan menceritakan mengenai buku terbarunya, Kuantum Dalam Jemala. Nantikan!

Wawancara Bersama Rosli Mohamad Ali, Bahagian 3

Cikgu Rosli + Books Edited

Pena SaiFai pada hari ini akan meneruskan sesi wawancara dengan Cikgu Rosli, kali ini bagi membincangkan novel fiksyen sains Katalis Neurogenesis. Novel ini telah berjaya memenangi tempat kedua dalam Sayembara Novel Fiksyen Sains & Teknologi UTM-Kumpulan Utusan Musim Ke-4. Bahagian satu dan dua boleh dibaca di sini.

Katalis Neurogenesis-Cover

Sinopsis Katalis Neurogenesis:

“Mengapa pula aku tidak mampu melakukannya? Kejayaan sudah berada di depan mata. Inilah penamatnya. Penamat kepada perjuangan dan impian yang sia-sia. Impian yang mahu mengawal minda manusia dan mengeksploitasi pemikirannya.”

Kata kunci dalam sinopsis ini adalah ‘mengawal minda manusia’. Apa yang Cikgu Rosli boleh jelaskan lebih lanjut tentang Katalis Neurogenesis? Mengapa Cikgu Rosli memilih untuk mengemukakan subjek kawalan minda dalam novel ini?

Terima kasih Pena SaiFai atas kesudian mewawancara saya bagi buku ini. Bayangkan sebuah dunia tanpa manusia. Pastinya segala kegilaan yang melanda dunia sekarang tidak akan berlaku. Ya manusia diberikan kepercayaan menjadi khalifah di muka bumi. Manusia dikurniakan akal yang tidak dianugerahkan kepada organisma yang lainnya namun segala kegilaan di dunia sekarang ini baik dari peperangan, pencemaran dan kemusnahan alam adalah disebabkan oleh manusia. Dari mana datangnya kemusnahan ini? Tidak lain tidak bukan ialah dari minda manusia sendiri.

Sebagai contoh peperangan yang berlaku berpunca dari percambahan pelbagai ideologi yang lahir dari minda manusia. Komunisme, sosialisme, nasionalis, demokrasi, oligarki, fasis dan pelbagai istilah lagi yang cukup menyenakkan pemikiran. Manusialah sebenarnya organisma yang paling merbahaya dalam dunia kerana disebabkan merekalah dunia hampir musnah.

Hal ini diperkuatkan lagi oleh klasifikasi sebuah zoo di Rep. Cezh yang meletakkan homo sapiens sebagai spesies yang paling merbahaya sekali dalam dunia. Mujur di dalam kandang itu tiada spesimen manusia. Sekali lagi saya mengetengahkan idea bagaimana jika minda manusia ini boleh dikawal dari melakukan perkara yang sebenarnya merosakkan dunia? Dari situlah lahirnya idea yang kemudiannya saya kembangkan dalam novel ini.

Katalis Neurogenesis berkisar tentang kepentingan teknologi nano, di mana nanocip KN 86 BE (Katalis Neurogenesis) berupaya memulihkan kecederaan sel-sel saraf tunjang untuk membolehkan manusia menggunakan semula deria yang hilang fungsinya. Bukan itu sahaja, Cikgu Rosli memasukkan banyak unsur sains seperti penggunaan tenaga gelombang elektrogamma dan mengaitkannya dengan bidang kejuruteraan biomedikal. Apakah rujukan dan juga inspirasi yang Cikgu Rosli gunakan untuk menulis novel ini?

Sama seperti novel terdahulu, penulisan saya banyak dipengaruhi oleh rancangan dokumentari dan pembacaan bahan berkaitan sains. Dalam satu rencana berkaitan teknologi nano, pihak saintis nano di Amerika Syarikat sedang melakukan kajian bagaimana untuk menghasilkan robot kecil bersaiz nano yang boleh dikawal dan diarahkan menuju ke sel-sel yang mengalami deformiti akibat kanser. Sel-sel ini kemudiannya dimusnahkan melalui pancaran laser robot-robot nano ini yang dijana melalui haba badan manusia. Hebat bukan? Mereka meramalkan bahawa robot nano ini sungguh kecil hinggakan ianya akan menjadi sebesar virus dan mampu melekap pada sel-sel hemoglobin atau sel darah merah yang kemudiannya mengalir ke kawasan yang menjadi tumpuan untuk dipulihkan.

Bayangkan jika teknologi ini berjaya dihasilkan, apakah kemungkinan nanti ia juga mampu dialirkan ke kawasan medula oblongata, serebrum atau sereblum manusia seterusnya mencari impuls-impuls neuron yang boleh diterjemahkan dalam bentuk aksara juga visual pada skrin komputer. Sekaligus memberikan ruang dan peluang kepada saintis untuk mengetahui akan apa yang bermain dalam minda manusia. Bagaimana jika mereka menemui cara untuk menentukan gelombang neuron itu menghasilkan arahan-arahan tindakan yang dimahukan mereka?

Katalis Neurogenesis tidak hanya memfokuskan pada bidang sains, tetapi turut menyelitkan unsur kesenian dengan menggunakan pembayang lukisan-lukisan seperti The Four Horseman of the Apocalypse, Eden (Firdausi) & Israfil Si Peniup Sangkakala. Mengapa Cikgu Rosli memilih untuk mengetengahkan gambaran ini?

Ketika Oppenheimer menyaksikan letusan bom atom yang dihasilkan oleh pasukan saintis Amerika, beliau menzahirkan perasaan sedihnya itu dengan sepotong ayat dari kitab Hindu. Seorang pakar fizik terulung dunia mampu mengingati sesuatu yang tiada pun perkaitan dengan kejadian besar yang berlaku ketika itu. Unsur sastera yang membugar bilamana dirinya dikelilingi oleh kegilaan kuantum fizik. Bukankah itu sesuatu yang indah? Bukankah itu memaparkan keperibadiannya yang cukup holistik?

Mengetahui kedua dunia yang kelihatannya cukup sukar untuk wujud bersama sastera – sains. Mengapa tidak saya mewujudkan watak sebegitu dengan memasukkan unsur kesenian yang dilihat akan membuatkan rancangan penguasaan dunia itu akan lebih kelihatan bergaya atau melankoli berbanding arahan terus yang disampaikan di meja perancangan perang? Menggunakan metafora yang hanya segelintir manusia sahaja yang memahaminya.

Four Horsemen

Saya percaya mereka yang membacanya pasti akan cuba mencari imej The Four Horseman of the Apocalypse, Eden (Firdausi) & Israfil Si Peniup Sangkakala untuk melihat sendiri imej yang menjadi perlambangan dalam penulisan ini.

Berikut adalah Laporan Penghakiman Musim Ke-4 berkenaan Katalis Neurogenesis:

“Kepelbagaian warna watak dan perwatakan dalam naratif menyumbang kepada kekuatan karya. Watak-watak dinamik seperti Dr. Ng Kim Chiew, Dr. Mikhail, Dr. Idka, bahkan Prof. Nazri juga mengukuhkan – bukan sahaja jalan cerita, tetapi juga, membulatkan idea yang diketengahkan. Sebagaimana yang disebut bahawa tujuan sesuatu ciptaan adalah untuk kebaikan sebagaimana yang dipancarkan melalui watak Dr. Irfan sebaliknya jika disalahgunakan ia memudaratkan.”

Adakah Cikgu Rosli merancang plot penceritaan dan membina semua watak-watak untuk novel ini sebelum menulis?

Seperti yang saya katakan sebelum ini bahawa saya bukan seorang penulis profesional. Saya tidak punya blue print yang perlu dipatuhi sebagaimana seorang jurutera pembinaan. Konsep penulisan saya sebenarnya cukup mudah. Saya menekankan cara penulisan berbentuk naratif. Apabila saya sudah selesai sesuatu bab maka saya akan bertanya pada diri saya. Bagaimana selepas ini? Apa yang perlu ditambah agar jalan ceritanya kelihatan menarik? Mungkin saya merancang dan melaksanakan rancangan itu tanpa sedar. Mungkin kaedah pembinaan watak saya itu saya lakukan tanpa sedar.

Dalam kedua-dua naskhah Nafkhatul Faza dan Katalis Neurogenesis, Cikgu Rosli banyak mengemukakan naratif berbentuk dialog. Ada pembaca yang tidak gemar dengan persembahan sebegini, tetapi dalam dunia penulisan kreatif, tidak ada rule khusus dalam mempersembahkan hasil penulisan. Setiap penulis bebas melahirkan gaya penulisan dan pemikirannya yang tersendiri. Teknik naratif berbentuk dialog boleh dianggap sebagai satu seni yang unik, malah berupaya mengangkat Cikgu sebagai seorang penulis yang lain daripada yang lain. Adakah ini satu bentuk penulisan yang sengaja dilakukan agar ia menjadi trademark tersendiri buat Cikgu?

Tiada manusia di dunia ini yang punya cap jari yang sama. Walaupun kembar. Fakta ini tidak mungkin boleh disangkal lagi. Penulis begitu juga. Tiada yang sama cara penulisannya. Saya anggap penulisan novel itu sama seperti menghasilkan sajak. Setiap penulis dengan gaya dan cara yang tersendiri. Tidak ada rule yang nyata.

Pembaca boleh sahaja membaca karya-karya saya yang terdahulu. Dari manuskrip pertama sehinggalah sekarang kebanyakannya adalah bersifat naratif, monolog dan dialog. Mengikut sesetengah pakar yang mempertikaikan karya saya bahawa gaya sedemikian adalah satu bentuk yang cukup membosankan. Namun itu adalah cara dan gaya saya menulis.

Bagi sesetengah orang pelukisan watak dengan menggunakan kata-kata itulah essence dalam penulisan, tetapi cuba kita berikan peluang kepada monolog dan dialog sebagai satu cara pelukisan watak. Bukankah ayat-ayat deskriptif itu lebih mudah disusun berbanding dialog yang mana memerlukan seseorang itu menghayati watak dan meletakkan dirinya dalam situasi tersebut. Istilah ‘aku’ sebenarnya sedikit sebanyak dapat membuatkan pembaca dekat dengan jalan cerita. Membuatkan mereka seolah-olahnya berada di dalam situasi yang dinyatakan.

Laporan panel hakim sayembara ini punya ciri persamaan dengan laporan terdahulu iaitu ketika Sayembara Fiksyen Sains Angkasa yang menekankan kekuatan karya yang banyak menggunakan kaedah monolog sebagai satu cara yang dapat mendekatkan watak pada mereka yang membacanya.

Sebagai penutup, sudilah kiranya Cikgu Rosli berkongsi rancangan Cikgu dalam bidang penulisan. Adakah Cikgu akan terus menyumbangkan karya untuk menyemarakkan dunia fiksyen sains di tanah air? Mungkinkah Cikgu akan mengembangkan sayap dan menulis novel dalam Bahasa Inggeris, atau sastera, atau bukan fiksyen?

Sehingga kini saya telah menghasilkan 24 manuskrip. 16 daripadanya berbentuk fiksyen sains. Dari jumlah itu sebuah diterbitkan oleh Buku Prima (HaikalHaziq), satu oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (Cahaya Dari Andromeda) dan dua oleh Utusan Publications / UTM Press (Nafkhatul Faza dan Katalis Neurogenesis).

Ada empat manuskrip pada Buku Prima yang masih menjalani proses penilaian (Orchis Aurelis, Walit E, Solusi 4R dan Siti Serenia) kesemuanya adalah genre fiksyen sains manakala manuskrip Najwa bergenre misteri dan How’zat Umpire adalah bertemakan sukan kriket.

Empat karya yang memenangi sayembara Dewan Bahasa dan Pustaka juga masih belun diketahui nasibnya. Manuskrip itu bertajuk Aurora Morgana, Lepidoptera Europa, Petaka Prisma dan Kudeta Titania. Kesemuanya bergenre fiksyen sains. Manakala manuskrip Kerongsang Embok Nyamek yang bergenre misteri dan sejarah dan Mata Merah Kera Hantu yang bertemakan misteri dan alam semulajadi masih dalam proses penilaian dan editorial. Kesemuanya diselenggarakan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka. Karya yang tertolak kini dinilai pula oleh seorang penulis fiksyen sains jika ianya boleh diterbitkan oleh penerbit yang lain pula.

Manuskrip yang tidak saya nyatakan di sini barangkali akan saya gunakan pada masa hadapan. Siapa tahu mungkin untuk sayembara seterusnya. Saya akan terus menyumbangkan penulisan genre fiskyen sains ini demi menjadikan genre ini berdiri sama tinggi dengan genre-genre yang lainnya. Saya mahu melihat suatu hari nanti muncul sebuah filem blockbuster di Amerika Syarikat yang mana idea asal cerita itu ialah idea anak tempatan kita (yang diadaptasi dari novel barangkali).

Saya juga mahu melihat anak tempatan menggondol ‘Nobel Peace Price’ dalam penulisan genre fiksyen sains iaitu Nebula dan Saturn Award. Saya juga turut menulis cerita kanak-kanak dalam Bahasa Inggeris namun masih kabur akan peluang untuk saya menerbitkannya. Saya juga akan menulis serta mungkin menterjemahkan manuskrip saya ke dalam bahasa Inggeris untuk menjadikannya lebih bersifat antarabangsa.

Saya akhiri temuramah ini dengan petikan lagu kegemaran saya…

you’re a winner for a lifetime

if you seize that one moment in time

make it shine

then in that one moment of time

I will be free…

Terima kasih Cikgu Rosli di atas sesi temubual ini!

~

Esok: Ikuti ulasan untuk novel Cikgu Rosli bertajuk Cahaya Dari Andromeda terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka. Novel ini telah memenangi tempat kedua dalam Sayembara Menulis Novel & Skrip Drama Kanak-kanak & Remaja DBP 2010, Kategori Remaja 13-15 tahun.

Wawancara Bersama Rosli Mohamad Ali, Bahagian 2

Mari kita ikuti sambungan sesi wawancara bersama pemenang Sayembara Novel Fiksyen Sains & Teknologi UTM – Kumpulan Utusan (Sayembara SaiFai) Musim Ke-4, Rosli Mohamad Ali. Bahagian satu boleh dibaca di sini.

Cikgu Rosli + Menteri Pendidikan

Baiklah, untuk sesi ini, kami akan membicarakan buku-buku Cikgu Rosli yang memenangi Sayembara SaiFai Musim Ke-4 dengan lebih khusus.

Izinkan kami memulakannya dengan sinopsis dari Nafkhatul Faza:

“Iris mataku meliar memandang ke sana dan ke mari mencari tanda-tanda kehidupan yang dikesan malam tadi. Namun, setakat ini tiada secebis kesan pun yang kelihatan pada deria. Yang ada hanyalah sisa-sisa bangunan pencakar langit yang terpacul keluar sebahagiannya, seolah-olah melawan ombak pasir yang cuba melemaskannya.”

Melalui sinopsis ini, kita mendapat sedikit bayangan bahawa novel ini berkisarkan konsep pencarian. Boleh Cikgu Rosli nyatakan dengan lebih lanjut mengenainya?

Di dalam kehidupan ini kita manusia sering melakukan kesalahan. Kecil dan besar. Antara lupa juga sedar. Sebagai seorang Islam yang terdidik dengan konsep dosa dan pahala, syurga dan neraka maka kekadang terpanggil juga untuk menyelitkan unsur ini dalam penulisan. Bukankah kita sewajibnya berdakwah akan agama kita biar pun dalam ruang yang sekecil cuma.

Pencarian dalam novel ini memang menjadi satu elemen pembinaannya. Watak seolah-seolah mencari sesuatu yang telah hilang dalam hidupnya (di saat keimanannya kian rapuh dek ujian hidup yang datang merempuh). Saya andaikan bahawa watak sebenarnya mencari sesuatu yang dapat mengembalikan keyakinan dirinya untuk menyelamatkan bumi dari dimusnahkan oleh teknologi yang dihasilkannya sendiri (kapal-kapal terra forming).

Dengan menemui apa yang dicari maka proses kemusnahan yang tidak diingininya akan terhenti dan dia tidak akan dipersalahkan jika bumi termusnah buat sekian kali. Ia juga punya jambatan perkaitan dengan konsep ketuhanan. Ia wujud tetapi cukup sukar dibuktikan. Bagaikan bayu yang menyelubungi diri. Tetapi tidak dapat dilihat dengan mata kepala sendiri.

Harus diingat bahawa sains sudah terlalu lama dimomokkan sebagai sesuatu yang lebih mendampingi hukum logika berbanding hukum segalanya terjadi disebabkan oleh Tuhan Yang Maha Esa. Jadi dengan memasukkan unsur sebegini maka sekurang-kurangnya kita dapat membuatkan pembaca kembali terfikir bahawa wujud kuasa yang lebih besar dari logika iaitu Tuhan yang mengawal segala-galanya.

Nafkhatul Faza adalah sebuah karya yang sarat dengan falsafah dan metafora. Malah, kejadian merak api yang menimpa manusia dikaitkan sebagai sebuah peringatan Tuhan, seperti petikan berikut:

 “Tetapi bukankah merak api sendiri sebenarnya api neraka yang dihantar oleh Tuhan kepada manusia atas dosa-dosa yang dilakukan oleh manusia? Ada sesetengah yang mengatakan yang suria itulah neraka sebenarnya.”

“Benar tetapi ia bukannya kiamat. Kerana jika kiamat sebenar yang berlaku maka kau dan aku tidak akan berbicara di kemuncak dunia ini. Kiamat lebih dahsyat daripada apa yang telah manusia alami selama 500 tahun ini. Tiada manusia pernah mengalami betapa dahsyatnya kiamat itu. Hanya gambaran-gambaran yang diberikan di dalam kitab suci al-Quran. Itu sahaja. Lagi pun segelintir manusia yang terselamat terus hidup dan membiak sehingga ke hari ini. Meninggalkan keturunan manusia untuk belajar daripada kesilapan yang pernah dilakukan oleh nenek moyang mereka. Maksudnya Tuhan masih menyayangi akan umat manusia. Memberikan mereka ruang dan peluang untuk terus hidup walaupun bukan lagi di dunia mereka. Abdul-Laits meriwayatkan dengan Sanad daripada Abu Hurairah r.a, Rasulullah s.a.w. pernah bersabda:

“Ketika Allah s.w.t. telah selesai menjadikan langit dan bumi, Allah s.w.t. menjadikan sangkakala dan diserahkan kepada Malaikat Israfil, maka ia meletakkannya di mulutnya melihat ke Arsy menantikan bilakah ia diperintahkan.” Saya bertanya: “Ya Rasulullah, apakah shur (sangkakala) itu?” Jawab Rasulullah s.a.w.: “Bagaikan tanduk dari cahaya.” Saya bertanya lagi: “Bagaimana besarnya?” Rasulullah s.a.w. menjawab: “Sangat besar bulatannya, demi Allah yang mengutuskanku sebagai Nabi s.a.w. besar bulatannya itu seluas langit dengan bumi, dan akan ditiup hingga tiga kali iaitu pertama Nafkhatul faza’ (untuk menakutkan), Nafkhatus sa’aq (untuk mematikan) dan Nafkhatul ba’ats (untuk menghidupkan kembali atau membangkitkan).”

“Jelas bahawa apa yang sedang kita hadapi sekarang ini bukanlah kiamat sebagaimana yang dipercayai oleh manusia yang telah sesat di luar sana. Semua ini ialah peringatan bahawa manusia jangan sesekali melawan hukum Tuhan. Tetapi biar sehebat mana pun kemusnahan yang diturunkan, Tuhan masih mahu memberikan peluang kepada manusia. Sebagaimana yang dapat kita lihat sekarang. Sedikit demi sedikit manusia sudah semakin hampir untuk kembali ke bumi. Seolah-olah manusia telah selesai menerima ujian daripada Ilahi.”

(Nafkhatul Faza, halaman 98-99)

Bagaimana Cikgu Rosli mendapat idea untuk mengaitkan perkara-perkara ini dengan peristiwa sebelum kiamat, dan mempersembahkannya pula dalam bentuk fiksyen sains?

Imaginasi barangkali. Di dalam Al-Quran banyak dinyatakan fakta-fakta sains yang berjaya dibuktikan kebenarannya oleh saintis barat. Lengkap dengan pengukuran sumatifnya melalui kaedah pengiraan yang tepat. Fakta ini terdiri dari pelbagai bidang baik biologi, astronomi malahan fizik. Mereka yang mengkajinya bukanlah ahli sufi namun terdiri dari mereka yang berlainan agama juga ateis. Tetapi akhirnya mereka mengakui kebenaran Al-Quran itu sendiri. Unsur agama boleh dijadikan suatu unsur yang melakonli dalam penulisan dan saya menggunakannya untuk menambahkan lagi kelunakan penulisan itu dengan sumber yang tidak boleh disanggah lagi – kalimah Ilahi.

Ada konsep yang amat berlainan dan boleh dikatakan satu cubaan yang sangat berani yang telah ditampilkan dalam Nafkhatul Faza, di mana watak utama sedang bergelut dengan kewarasan dirinya bila mendengar suara-suara yang datang dari dimensi berbeza. Rujuk:

“Di mana kalian semuanya? Tunjukkan diri kalian. Agar semua persoalan yang sering bermain di fikiran akan menemui noktah jawapan,” bisik hatiku. Cuba menenangkan diriku yang sedang sesat dalam kegelapan itu. […]

“Aku dengan imaginasiku. Siapa pula yang mampu menggangguku di sini kecuali imaginasi liarku ini,” ujarku. Seolah-olah memperlekehkan dimensi yang tidak dapat dilihat manusia itu, aku sekali lagi terdengar bisikan. Jeritan dan rintihan yang menyedihkan.

(Nafkhatul Faza, halaman 122-123)

“Aku cukup yakin bahawa itu bukan sekadar imaginasi. Adakah kemungkinan mereka di dunia sana cuba berkomunikasi dengan kita di dunia fana ini? Memberitahu kita sesuatu barangkali?”

(Nafkhatul Faza, halaman 132)

“Roh tidak sekali-kali boleh berubah kepada bentuk yang lain.”

“Ke mana pula roh itu pergi ayah?”

“Mengikut agama kita roh masih berada bersama tubuh kita di alam barzarkh. Alam ketiga dalam perjalanan hidup manusia sebelum dibangkitkan semula di padang Mahsyar.”

(Nafkhatul Faza, halaman 143)

Alangkah menariknya bila Cikgu Rosli melahirkan kemungkinan bahawa manusia pada zaman akan datang boleh mendengar suara dari alam kematian. Bilamana sesuatu masyarakat itu semakin maju, maka perkembangan teknologi membolehkan mereka menerobos ke dunia yang terletak di dimensi berbeza.

Memikirkan kejadian itu, kita tidak tahu sama ada mereka yang boleh mendengar suara orang mati ini akan menjadi orang yang insaf, takut atau gila. Ke mana perginya roh manusia yang telah meninggalkan tubuh tumpangan? Pergi ke alam barzakh, suatu tempat yang tidak tercapai oleh akal. Hanya Tuhan yang mengetahui dimensi itu. Apa yang terlintas dalam fikiran Cikgu Rosli semasa menulis mengenai perkara ini?

Saya sentiasa bermonolog. Berfikir itu dan ini. Sering mengutarakan persoalan dalam diri. Bagaimana jika….? Mungkinkah…? Mengapa begitu…? Persoalan-persoalan sebegini akhirnya membibitkan idea bagaimana jika manusia di dimensi ini mampu bicara dengan mereka yang berada di dimensi sana. Pasti banyak rahsia yang mampu diceritakan mereka.

Bukankah sudah banyak kejadian misteri yang berlaku bilamana suara-suara dari dimensi yang tidak dapat dicapai pancaindera manusia mampu membimbing manusia dalam menjalani kehidupan bahkan hingga mampu menjalankan pembedahan. Alam roh sesuatu yang cukup misteri. Tiada siapa yang tahu. Mengapa tidak saya ketengahkan konsep baru sebegitu? Mengadunkan unsur mistik dengan fakta-fakta sains. Lihat bagaimana dengan cerita Event Horizon. Hebat teknologi manusia tetapi tidak melawan kuasa yang tidak kelihatan (makhluk api yang memusuhi manusia). Bagaikan seorang maestro yang mengadunkan pelbagai nota muzik yang akhirnya melahirkan gema dan bunyi yang infiniti.

Watak Dr. Irfan telah kehilangan segala-galanya, ahli keluarga, tempat tinggal di Bumi, malah diserang penyakit yang bakal meragut nyawanya tidak lama lagi. Pembaca dapat merasai kesedihan dan depresi yang dialami Dr. Irfan, dan ini membuatkan pembaca menyokong semangat perjuangan beliau untuk kembali ke Bumi. Dalam pada itu, terdapat pula kehadiran suatu frekuensi misteri seperti berikut:

“Apa kandungan frekuensi itu? Apa bunyinya?”

“Apa kandungan bunyinya tidak dapat dikenal pasti. Bunyinya langsung tidak punya persamaan dengan segala bentuk bunyian yang terkandung dalam rekod yang kita miliki. Tetapi aku percaya ia adalah sejenis bunyi. Lihat corak frekuensi ini.”

Aku kembali meneliti. Coraknya bagaikan corak nyanyian. Suara barangkali. Namun siapa pula yang mampu menyebarluaskan bunyi yang sedemikian? Tidak mungkin lima pilon yang berada di bumi ini yang menghasilkannya. Kerana sistem komunikasi semua pilon sudah lama berubah dan tidak lagi menggunakan corak frekuensi yang dinyatakan Izmer. Jelas ia teknologi yang pernah digunakan oleh nenek moyang dahulu. Soalnya dari menara komunikasi mana pula mereka pancarkan frekuensi itu. Kesemua menara komunikasi manusia yang pernah berdiri megah suatu ketika dahulu pasti telah mencair semuanya menjadi debu dek kepanasan suar suria yang dahsyat itu.

(Nafkhatul Faza, halaman 77)

“Dalam jam bumi?”

“Waktu kemunculannya secara tepat tidak dapat dinyatakan cumanya ia hadir dalam lingkungan waktu di antara 0430 hingga 0530, 1145 hingga 1245, 1500 hingga 1600, 1745 hingga 1845 dan 1930 sehingga 2030.”

 (Nafkhatul Faza, halaman 154)

Watak di dalam Nafkhatul Faza langsung tidak mengenali frekuensi itu. Cikgu Rosli juga tidak meletakkan dengan jelas apa sebenarnya frekuensi itu, sebaliknya membiarkan pembaca mendalaminya dan membuat kesimpulan sendiri. Apakah ada sebab untuk Cikgu Rosli tidak menyatakannya? Apa yang sebenarnya ingin Cikgu Rosli sampaikan mengenai manusia di zaman akan datang yang langsung tidak mengenali bunyi azan?

Sekali lagi ianya menyentuh akan soal keagamaan. Sudah diperingatkan dengan jelas oleh Nabi Besar Junjungan bahawa di akhir zaman nanti agama sudah tidak menjadi keutamaan lagi. Apatah lagi dengan konsep sains yang cukup degil memisahkan dirinya dari hukum agama. Dalam erti kata lain sains itu cukup sekular.

Siapa tahu pada masa hadapan nanti pegangan agama menjadi semakin longgar hinggakan manusia sudah tidak mampu melaksanakan hal-hal yang asas termasuklah berjemaah ketika solat. Tidak peka akan masa-masa kewajipan itu dilaksanakan sepenuhnya. Atau barangkali saya mahu mempamerkan bahawa manusia ketika itu sudah melupakan kitaran masa konvensional yang berlaku di bumi berbanding dengan dunia tumpangan mereka yang pastinya menggunakan kaedah pengiraan yang lain pula. Kemungkinan yang berlaku pada masa akan datang cukup infiniti.

Alangkah indahnya bila naskhah Nafkhatul Faza meletakkan kemungkinan bahawa semua roh manusia yang telah mati akhirnya akan kembali ke bumi, biar pun jasad mereka dikebumikan di merata tempat, termasuklah di penghujung galaksi.

Cikgu Rosli meletakkan bayangan bahawa pada zaman akan datang, biar pun manusia sudah berjaya menakluk dan merantau jauh ke seluruh alam semesta, mereka akan tetap kembali ke tempat asal kewujudan mereka, kembali ke dunia yang menjadi asas binaan mereka dahulu – tanah. Dari manakah Cikgu Rosli mendapat bayangan seperti ini?

Idea ini sebenarnya saya garap ketika menulis Aurora Morgana dengan menggunakan pelukisan kapal misteri bernama KM Barzakh. Kapal ini menempatkan jutaan jasad manusia yang telah mati dan menanti agar jasad mereka bersatu dengan dunia yang menjadi asal kejadian mereka – bumi. Kapal ini dikendalikan krew yang cukup misteri. Mereka hadir setiap kali berlaku kematian. Saya gunakan semula idea ini dalam Nafkhatul Faza.

Ideanya timbul bilamana saya melihat salah satu imej galaksi yang terpapar dalam laman sesawang NASA. Terfikir saya ketika itu (berbalik pada monolog diri…bagaimana kalau?) jika manusia sudah mati katakan jasadnya di lingkaran Kuiper. Adakah rohnya akan kembali ke bumi. Bagaimana jika ya? Idea ini turut datang rentetan pengalaman ketika tinggal di Vietnam. Kita sering diingatkan bahawa jumlah tentera Amerika yang hilang ketika peperangan di sana ialah lebih kurang 2,000 orang tetapi ramai yang lupa bahawa Vietnam kehilangan lebih 200,000 tenteranya yang dianggap sebagai MIA (Missing in Action).

Salah satu cara mencari mayat mereka ialah dengan menggunakan kaedah psikik (dan dalam sesetengah kes mereka berjaya). Percaya atau tidak angkatan tentera mereka punya satu jabatan khusus mengesan tentera mereka yang hilang dengan menggunakan kaedah ini. Saya berkesempatan berbual dengan veteran mereka dan mereka menyatakan bahawa sebab mengapa ahli keluarga mereka yang mati tetapi tidak ditemui sering menerima bayangan dalam mimpi akan rintihan mereka adalah kerana jasad mereka yang tidak dapat pulang ke tanah air mereka. Bagaimana jika manusia pada masa akan datang juga begitu? Mahu kembali semula ke tanah asal mereka walaupun terkorban jutaan cahaya jauhnya.

Watak dalam Nafkhatul Faza, Dr. Irfan menjadi keliru bila mendapati satelit pengimbas telah berjaya mengesan kewujudan spesies homo sapien di bumi, sedangkan bumi masih belum selamat untuk didiami.

Paling menghairankan, pada saat frekuensi misteri itu muncul, terdapat tanda menunjukkan kemunculan homo sapien itu menjadi lebih galak, seolah-olah frekuensi itulah yang membawa nyawa kepadanya. Homo sapien itu bergerak menuju satu destinasi. Lihat:

“Bermaksud satelit ini berjaya mengesan haba manusia yang sedang berlegar-legar di koordinat ini,” ujar Izmer lagi. Identifikasi spesies itu kelihatan kekadang muncul, kekadang hilang dari skrin radar. Seolah-olah sedang mengelak daripada pancaran imbasan yang dipancarkan oleh satelit berkenaan.

(Nafkhatul Faza, halaman 80)

“Tetapi semua tompokan merah yang melambangkan mereka itu seolah-olah sedang bergerak ke arah sesuatu.”

“Maksud kamu seolah-olahnya mereka punya destinasi?”

“Begitulah jika mengikut pemahamanku. Pergerakannya tidak bersifat rawak. Imej imbasan itu bergerak ke satu arah, namun sehingga kini aku tidak tahu titik destinasi yang dituju.”

(Nafkhatul Faza, halaman 82)

Di penghujung cerita, pembaca diberi pengakhiran yang cukup memuaskan bila Dr. Irfan akhirnya berjaya sampai ke destinasi yang disebutkan. Namun, kita tidak diberitahu tentang nasib Dr. Irfan dan juga masa depan bumi selanjutnya.

Sekali lagi, Cikgu Rosli tidak meletakkan penutup dengan jelas, sebaliknya membiarkan pembaca membuat kesimpulannya sendiri. Adakah Cikgu Rosli sudah merancang hendak menutup jalan cerita Nafkhatul Faza dengan sebegitu sekali?

Mungkin sukar dipercayai bahawa penutup novel ini telah saya fikirkan terdahulu berbanding pembukaannya. Dari situ saya kembangkan jalan ceritanya. Bagaimana watak boleh sampai ke destinasinya? Apa halangan yang perlu dihadapinya? Songsang kan? Tapi itulah gaya saya barangkali.

Sepertimana saya diajar ketika di alma mater saya dahulu. Komander perang yang memenangi pertempuran yang mustahil dimenangi ialah orang yang berfikir secara unconventional. Lihat sahaja taktik Jeneral Nathan B. Forest ketika Perang Saudara Amerika. Sehingga kini taktik unconventional dikaji oleh graduan West Point.

Saya sentiasa mengimpikan penutup yang membuatkan pembaca tertanya-tanya. Sekali lagi saya kembali pada hobi saya. Menonton filem. Sudah banyak filem yang saya tonton tetapi filem Castaway lakonan Tom Hanks merupakan filem yang paling saya gemari. Mungkin ratusan kali menontonnya tetapi tidak pernah puas. Lihat penutupnya.

“You look lost…” kata wanita yang peramah itu.

“I do?” tanya Tom Hanks.

Wanita itu kemudiannya menceritakan ke mana destinasi yang boleh dituju oleh Tom Hanks melalui jalan-jalan d di simpang itu.

“Good luck…” kata wanita peramah itu.

“Thank you…” kata Tom Hanks.

Dia kemudian berdiri di tengah-tengah persimpangan. Kemudian senyum ke arah perginya trak wanita itu. Sehingga kini kita tertanya-tanya adakah dia akan pergi semula ke rumah wanita itu dan membuka kandungan kotak yang tidak kita ketahui hingga kini kandungannya. Itulah perumpamaan yang saya berikan ketika menulis penutup novel ini. Penuh pertanyaan. Ada kawan saya meneka yang watak utama memang mati. Ada juga sebaliknya. Terpulang kepada pemahaman pembaca.

~

Esok, Cikgu Rosli akan membicarakan pula novel beliau yang berjaya memenangi tempat kedua dalam Sayembara SaiFai Musim Ke-4, Katalis Neurogenesis. Sama-sama kita nantikan!

Wawancara Bersama Rosli Mohamad Ali, Bahagian 1

Pena SaiFai kali ini berpeluang menemubual seorang pengarang fiksyen sains yang banyak memenangi anugerah dalam bidang penulisan, Cikgu Rosli Mohamad Ali.

image.jpg

Di sini disertakan biodata Cikgu Rosli:

Nama: Rosli Bin Mohamad Ali

Umur: 41 Tahun

Tempat lahir: Batu Pahat, Johor Darul Takzim

Menetap: Segamat, Johor Darul Takzim

Latar belakang pendidikan:

  • SK LKTP Kemelah Segamat Johor 1985-1989
  • SMK Tenang Stesen Segamat Johor 1989-1993
  • SMK Dato’ Bentara Dalam Segamat Johor 1994-1995
  • Ijazah Sarjana Muda Sastera (Kepujian) Jabatan Pengajian Asia Tenggara & Sejarah Universiti Malaya
  • KPLI Maktab Perguruan Raja Melewar, Negeri Sembilan Darul Khusus.

Pekerjaan: Guru

Latar belakang penulisan:

Terlibat dengan dunia penulisan sejak di kampus lagi dalam penulisan buletin kelolaan Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya PMIUM. Mula menulis secara serius pada akhir tahun 2009.

Senarai karya:

  1. Haikal Haziq, Buku Prima, Karangkraf 2013.
  2. Misteri But No. 5, Buku Prima Karangkraf 2014.
  3. Kaiten Tanjung Hitam, Dewan Bahasa dan Pustaka 2015.
  4. Cahaya Dari Andromeda, Dewan Bahasa dan Pustaka 2016.
  5. Nafkhatul Faza, UTM Press-Utusan Publications 2017.
  6. Katalis Neurogenesis, UTM Press-Utusan Publications 2017.

Anugerah penulisan:

  1. Sayembara Menulis Novel & Skrip Drama Kanak-Kanak & Remaja DBP 2010.
  • Kedua, Cahaya Dari Andromeda, Kategori Remaja 13-15 tahun.
  • Saguhati, Mata Merah Kera Hantu, Kategori Kanak-kanak 9-12 tahun.
  1. Peraduan Mengarang Pantun Pendidikan Untuk Penjawat Awam (KPM) Puspanita-DBP 2013.
  • Saguhati 1 (Sepuluh Pantun).
  1. Sayembara Menulis Novel Sains Angkasa DBP 2013/2014.
  • Pertama, Aurora Morgana, Kategori Remaja.
  • Ketiga, Lepidoptera Europa, Kategori Remaja.
  • Saguhati, Kudeta Titania, Kategori Remaja.
  • Saguhati, Petaka Prisma, Kategori Remaja.
  1. Sayembara Novel Fiksyen Sains &Teknologi UTM-Kumpulan Utusan Musim Ke-4 2015/2016.
  • Pertama, Nafkhatul Faza.
  • Kedua, Katalis Neurogenesis.

Salam, Cikgu Rosli. Pertama sekali, kami dari pihak Pena SaiFai ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Cikgu Rosli kerana berjaya menggondol dua hadiah utama dalam Sayembara Novel Fiksyen Sains & Teknologi UTM-Kumpulan Utusan (Sayembara SaiFai) Musim Ke-4.

Cikgu Rosli melangkah bergaya dengan membawa pulang hadiah bernilai RM25,000 untuk dua novel fiksyen sains bertajuk Nafkhatul Faza (menang tempat pertama RM15,000) dan Katalis Neurogenesis (menang tempat kedua RM10,000). Inilah pertama kali dalam sejarah sayembara ini, seorang penulis memenangi dua hadiah utama dan ini merupakan suatu pencapaian yang sangat membanggakan.

image (1)

Sebagai permulaan, boleh Cikgu Rosli berkongsi bagaimana Cikgu menceburkan diri dalam bidang penulisan kreatif?

Wasalam. Pertamanya jutaan terima kasih saya ucapkan kepada Pena SaiFai atas kesudian menemuramah saya. Secara jujur saya katakan bahawa saya tidak pernah sama sekali menyangka yang saya akan dikurniakan dengan kejayaan yang sebegini memandangkan mereka yang menyertai sayembara ini rata-ratanya terdiri dari mereka yang cukup berpengalaman dalam bidang penulisan apatah lagi dalam genre fiksyen sains. Namun syukur ke hadirat Ilahi kerana diberikan kejayaan ini. Saya anggap kejayaan ini sebagai satu suntikan semangat untuk terus mengimarahkan dunia penulisan fiksyen sains nusa ini.

Jika dilihat dari sudut sejarahnya saya tidak menyedari bahawa saya mampu menghasilkan penulisan kreatif sebegini. Ketika berada di dalam sidang redaksi majalah sekolah (SMK Dato Bentara Dalam dan SMK Tenang Stesen, Segamat) saya tidak terlibat dalam bahagian editorial tetapi hanya terlibat dalam bidang grafik. Ya, saya amat meminati seni lukis berbanding penulisan (cukup payah untuk saya menghabiskan karangan Bahasa Melayu sewaktu di sekolah dahulu).

Segalanya berubah ketika memasuki Tingkatan Enam bilamana saya dipaksa masuk ke aliran sastera (dari Sains akibat kekurangan guru sains ke Perakaunan dan sekarang Sastera).  Sejak itu saya mengenali kemanisan sastera Melayu. Saya mula menulis puisi setelah belajar teks puisi nukilan Baha Zain dalam naskhahnya Tiga Catatan Perjalanan.

Baha Zain

Odesi kecil saya dalam bidang penulisan kreatif ini terhenti ketika di Universiti Malaya bilamana saya terlibat pula dalam penulisan berkaitan sejarah dan pengajian strategik. Mujur PMIUM memberikan sedikit ruang untuk saya kembali mengasah bakat dengan menyumbangkan penulisan yang juga akhirnya berunsurkan sejarah dan pengajian strategik. Setelah bertugas buat sementara dengan Universiti Malaya sekali lagi minat itu terhenti. Saya mengembara ke sebuah negara ASEAN yang saya kaji sejak di universiti dengan harapan saya akan menjadi seorang pakar negara ini. Saya jadi fasih bahasanya, budaya dan pemikiran bangsa mereka sehinggalah kepentingan keluarga mengatasi segalanya dan saya pulang untuk menjaga mereka.

Pada satu pagi hari cuti ketika saya  melayari laman sesawang Dewan Bahasa dan Pustaka. Terpampang iklan sayembara. Teriak hati saya, kau di rumah sendiri. Bukankah rugi jika dibiarkan cuti berlalu pergi. Tanpa melakukan sesuatu yang bermanfaat pada diri. Tarikh itu saya masih terpahat dalam ingatan 23 Ogos 2009 tarikh saya mula melangkah kembali dalam bidang penulisan kreatif ini.

Sayembara yang Cikgu Rosli maksudkan adalah Sayembara Menulis Novel & Skrip Drama Kanak-Kanak & Remaja DBP. Alhamdulillah, itulah permulaan Cikgu dalam dunia sayembara dan kemudian Cikgu menyertai pula Sayembara Menulis Novel Sains Angkasa anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka pada tahun 2013. Boleh Cikgu ceritakan lebih lanjut mengenai novel-novel ini, dan juga proses penulisan yang berlaku di sebaliknya?

Rosli-Pertama-kategori-remaja-rm5k

Benar. Syukur, untuk Sayembara Menulis Novel Sains Angkasa saya memenangi tempat pertama, ketiga dan dua hadiah saguhati. Juga kali pertama dalam sejarah Dewan Bahasa Pustaka. Satu rekod baru barangkali. Namun kesemua manuskrip yang menang itu masih belum diterbitkan lagi.

sains-angkasa-1sains-angkasa-2

Novel Aurora Morgana berkisar akan zaman pos apokalips di mana bumi diselimuti dengan sejenis atmosfera merah yang cukup misteri. Tiada manusia yang mampu melepasi kepungan ini. Stesen Suvarnabumi ditugaskan memantau bumi. Watak utama dalam novel ini ialah seorang jurutera muda yang mencipta teknologi imbasan biologi yang mampu mengesan hidupan di bumi. Watak utama ialah insan yang menemui cara untuk menewaskan Aurora Morgana yang sebenarnya terdiri dari roh jahat dan makhluk api (syaitan dan kuncu-kuncunya) yang menghalang manusia dari kembali mengimarahkan bumi. Senjata yang cukup kuat untuk menewaskan mereka ialah gema bacaan ayat suci kalimah Ilahi.

Lepidoptera Europa pula memperihalkan kehidupan manusia yang mengekploitasi hasil air di bulan Europa, salah satu dari puluhan satelit yang ditarik graviti Musytari. Watak dalam hal ini menemui hidupan yang selama ini menyembunyikan dirinya dari manusia lantaran kesensitifan mereka pada cahaya yang dihasilkan oleh manusia.

Petaka Prisma pula mengisahkan sekumpulan saintis dan tentera yang berjuang melindungi sebuah bulan kecil yang mengandungi mineral yang amat diperlukan oleh manusia di bumi. Mereka membina sebuah meriam mega bertujuan untuk memusnahkan asteroid berbentuk prisma yang terbang laju menuju ke bulan itu yang kemungkinan besarnya jika tidak dimusnahkan pasti trajektorinya akan menghala dan memusnahkan bumi. Akhirnya diketahui bahawa asteroid prisma itu hanyalah gumpalan roh yang hadir semula dan mahu menuntut dunia yang telah sekian lama ditinggalkan mereka.

Kudeta Titania mengisahkan sekumpulan manusia yang ditugaskan di sebuah planet yang mengalami proses pembumian (terra forming). Berlaku pemberontakan yang membuatkan watak sedar bahawa mereka semuanya adalah banduan yang dipergunakan untuk melaksanakan pelbagai misi merbahaya kerana mereka adalah expandable. Dua manuskrip dihasilkan dalam tahun 2013 iaitu Aurora Morgana dan Lepidoptera Europa manaka dua lagi dalam tahun 2014.

Menyebut tentang prosesnya punya perkaitan dengan diri saya yang bukanlah penulis sepenuh masa. Hobi saya yang cukup gemar menonton pelbagai filem fiksyen sains serta membaca ensiklopedia juga wikipedia banyak membantu saya menulis kesemua novel itu. Ditambah dengan lawatan ke laman web kegemaran saya iaitu laman web NASA yang menghidangkan pelbagai perkara yang sebenarnya boleh membantu kita membina idea. Selain dari minat menonton Discovery Science yang turut memaparkan pelbagai kecanggihan pencapaian manusia dalam bidang sains.

Khabarnya Cikgu Rosli telah menghantar tiga manuskrip sebagai penyertaan untuk Sayembara SaiFai Musim Ke-4. Ini adalah sesuatu yang mencabar dan di luar jangkauan ramai penulis, kerana penulisan novel fiksyen sains memerlukan penelitian dan kajian yang mendalam. Berapa lamakah masa yang diambil oleh Cikgu untuk menulis setiap satu naskhah itu, dan apakah rujukan yang digunakan untuk menghasilkan kisah ini?

Benar. Saya menghantar tiga penyertaan. Dua dinobatkan sebagai pemenang manakala sebuah lagi bertajuk Odesi Paradoks tertolak. Barangkali idea yang terkandung di dalamnya agak ekstrem hinggakan tidak terpilih sebagai pemenang. Ia berkaitan dengan spekulasi sains iaitu merentas masa, arkeologi serta kesusasteraan Melayu juga sejarah.

Masa yang diambil ialah lebih kurang sebulan setengah untuk setiap novel. Sebulan menulis dan dua hingga tiga minggu lagi untuk proses edit ayat serta ejaannya. Rujukannya cukup banyak sebagai contoh jika saya mahu memetik ayat-ayat Al-Quran saya perlu merujuk kepada Tafsir Al-Quran. Jika ianya berkaitan dengan biomedikal saya perlu pula melayari laman web yang berkaitan. Hinggakan juga saya membaca petikan kitab-kita agama lain untuk menjadikan manuskrip ini kelihatannya lebih ‘luas’ idea falsafahnya (bukankah falsafah itu menduduki hierarki tertinggi piramid klasifikasi ilmu). Discovery Science mungkin bukanlah saluran kegemaran di Malaysia tetapi jika diamati kandungannya idea untuk penulisan fiksyen sains cukup infiniti.

Apakah rahsia dan petua yang diamalkan Cikgu Rosli untuk menulis novel fiksyen sains dengan baik dan konsisten? Apa pula pandangan Cikgu tentang fiksyen sains di Malaysia?

Tiada petua yang khusus. Mungkin pembaca sukar mempercayai bahawa motivasi saya menyiapkan manuskrip ini sama sebagaimana saya menyiapkan tugasan semasa di alma mater dulu. Segalanya harus bersungguh-sungguh. Perlu memuaskan hati pensyarah dengan rujukan yang pelbagai dan bentuk rujukan yang juga pelbagai.

Syukur, disebabkan rejim kerja saya hasil latihan yang diberikan oleh pensyarah saya menjadikan saya seorang yang cukup gemar membuat kajian, rujukan dan juga penelitian (terima kasih Prof. Dr. Shahril Talib, Jabatan Pengajian Asia Tenggara dan Prof. Dr. Danny Wong Tze Ken, Jabatan Sejarah Universiti Malaya).

Semangat perlu kuat. Perasaan malas perlu dibuang jauh-jauh. Jika terasa bosan bisikkan dalam fikiran bahawa ‘no pain no gain’. Dendangan ‘One Moment In Time’ menjadi pembakar semangat saya. Terngiang-ngiang bait katanya… to taste the sweet I face the painI rise and fall yet through it all...

Jujur saya katakan saya tidak mengikuti perkembangan fiksyen sains di Malaysia. Apa yang saya sering lakukan ialah melihat sepintas lalu akan buku-buku yang dihasilkan oleh penerbit ternama di Malaysia tetapi tidak pula tergerak hati untuk membacanya. Mungkin kekangan masa serta kesukaran mendapatkan naskhah terbabit di kawasan ini. Namun jika tidak salah saya fiksyen sains di Malaysia ini agak kerdil (terutamanya kuantiti penerbitan) jika dibandingkan dengan genre-genre lain yang cukup gagah melangkah terutamanya genre percintaan, keagamaan, misteri dan seram.

Jika boleh digunakan perlambangan maka genre fiksyen sains di Malaysia bagaikan pasukan bola sepak Republik San Marino bertemu dengan Jerman (genre percintaan), England (keagamaan) juga Perancis (misteri dan seram). Sedangkan jika di Amerika Syarikat novel fiksyen sains ialah genre yang dinanti-nantikan berbanding genre lainnya. Dijadikan kajian dan diadaptasikan ke dalam filem.

Boleh senaraikan nama penulis dan bahan bacaan yang menjadi kegemaran / rujukan Cikgu Rosli? Mengapa Cikgu memilih karya-karya ini?

Saya cukup gemar membaca buku-buku ilmiah tetapi tidak novel. Mungkin sukar dipercayai bahawa saya tidak punya penulis yang dijadikan rujukan ketika menulis. Saya benar-benar menggunakan daya imaginasi saya ketika menulis. Ditambah dengan rujukan pada bahan-bahan yang berkaitan dengan plot yang menjadi pilihan saya. Saya sering membayangkan yang saya berada di dalam novel itu. Cuba memikirkan bagaimana rasanya menjadi watak itu. Pelik bukan? Jika wataknya seorang pakar biologi saya cuba membayangkan bagaimana rasanya menjadi seorang biologis. Sahabat saya mengatakan bahawa saya menulis seperti Ben Bova. Saya terpaksa meng‘google’ untuk mencari siapa empunya diri yang dikatakan. Tetapi saya tidak pernah membaca pun karya beliau.

Hanya dua novel Bahasa Melayu yang pernah saya baca sehingga habis iaitu Merpati Putih Terbang Lagi karya Khadijah Hashim. Novel ini berkaitan dengan konflik kemasyarakatan. Novel Ke Detik-detik Sepi nukilan Zailiani Taslim (maaf jika ejaan nama salah). Satu-satunya novel fiksyen sains yang pernah saya baca (selain dari novel pemenang musim ini).

Novel ketiga ialah The Ugly American yang menjadi naskhah kegemaran saya yang cukup meminati sejarah Perang Vietnam (mungkin kerana tinggal lama di Vietnam). Selain dari itu tiada hasil karya yang saya baca. Rujukan utama saya ialah ensiklopedia dan bahan-bahan ilmiah yang lainnya.

~

Esok: Cikgu Rosli bakal membicarakan proses penulisan Nafkhatul Faza dengan lebih lanjut. Naskhah itu telah berjaya memenangi hadiah tempat pertama dalam Sayembara SaiFai Musim Ke-4 baru-baru ini. Nantikan!

Bicara Novel Fiksyen Sains “Dua Nyawa” oleh Asmar Shah, Dalila Dahri dan Lokman Hakim

Kita ikuti bual bicara novel fiksyen sains bertajuk Dua Nyawa nukilan tiga penulis iaitu Asmar Shah, Dalila Dahri dan Lokman Hakim.

IMG-20150220-WA0017

Berikut adalah biodata ringkas para penulis ini:

Asmar Shah berasal dari Sandakan Sabah.Tidak pernah terfikir akan terjebak di dalam dunia penulisan dan sekarang dia masih lagi belajar untuk memperbaiki mutu penulisannya yang sangat amatur. Novel pertamanya berjudul Bolot terbitan Lejen Press sendiri yang telah diterbitkan pada tahun 2014 dan sebelum itu dia hanya menulis cerpen dan ada beberapa buah cerpennya yang pernah diterbitkan.

Dalila Dahri berasal dari Selatan tanahair. Mula terjebak dengan menulis cerpen dan masih meneroka dunia penulisan yang tanpa batasan. Penulis dan pembaca tiada pisah. Tulis apa sahaja, pasti ada yang membaca.

Lokman Hakim seorang penulis dari Sibu, Sarawak yang obses menulis. Menulis untuk Simptomatik Press, Penerbit-X, Roman Buku, FIXI dan Buku Hitam Press setakat ini. Seorang jurutera yang mahukan fantasi jadi realiti. Dan mahu teroka setiap tema yang wujud untuk dijadikan karya tanpa sempadan.

Dua Nyawa

SINOPSIS

Seronok bukan apabila senang berhubung dengan Whatsapp, berdiskusi dalam Facebook, bercengkerama di pawagam melayari wayang cereka dongengan sambil menikmati dinginnya Cappucino Ais olahan Starbucks?

Tidak pun yang memandu Mini Cooper di jalanan yang terang-benderang digilapi lampu jalanan dan juga neon-neon milik kapitalis yang cintakan hedonisme.

Namun apabila keadaan negara berubah chaos dengan serta-merta, masih adakah secalit cahaya kehidupan? Keganasan dan pembunuhan tanpa had. Yang waras hanya mahu terus hidup.

Aliya, Dinda dan Vincent berada pada satu titik pertemuan yang tidak disangka dek minda. Takdir seperti sedang mempermainkan hidup mereka. Segala kegilaan harus ditempuh bersama. Sehingga satu-persatu kunci titik persoalan mula terjawab.

Apokalips tanpa cahaya. Hanya yang tidak berputus-asa yang akan terus hidup.

Sebelum novel ini bertajuk Dua Nyawa, ia memakai tajuk yang agak misterius iaitu “Apokalips Tanpa Cahaya”. Boleh terangkan dengan lebih lanjut mengenai pemilihan kedua-dua tajuk ini?

Lokman:
Ia merujuk kepada situasi di mana bekalan elektrik terputus secara menyeluruh. Pada mulanya kami membayangkan untuk mengaitkannya dengan pola graviti bumi telah berubah, tetapi ia kedengaran rumit. Namun kami mahu gunakan kegelapan menyeluruh itu selaku pencetus segala bencana. Maka dari itulah nama “Apokalips Tanpa Cahaya” diwujudkan.

Asmar:
Hurmm…

“Apokalips Tanpa Cahaya” itu membawa maksud buat kami adalah disebabkan negara yang bertukar chaos akibat kegilaan manusia itu sendiri. Dan untuk Dua Nyawa, itu pihak Lejen Press yang tentukan. Kami tidak tahu kenapa tajuk itu diberikan. Boleh bertanyakan pada pihak Lejen. Kami hanya menulis sahaja.

Dalila:
Sebenarnya banyak tajuk yang telah dicadangkan. Memang agak sukar memilih tajuk yang bersesuaian. Akhirnya, Lokman menetapkan untuk meletakkan “Apokalips Tanpa Cahaya” sebagai tajuk penulisan kami. Dalam cerita ini, dunia pada ketika  ini sangat kelam, gelap, menakutkan dan sukar dijangka. Seolah-olah dunia sedang ‘chaos’ dan berada di zaman kemusnahan. Menakutkan bukan? Namun apabila dihantar kepada penerbit, akhirnya mereka memutuskan untuk menukar tajuk “Apokalips Tanpa Cahaya” kepada Dua Nyawa.

Blurb buku ini menyebut tentang nama-nama watak seperti berikut:

Aliya, Vincent dan Dinda Anne bertemu di tengah kemusnahan. Dan pada mereka, pertemuan itu hanya kebetulan. Tapi mereka silap. Ada agenda yang telah diatur.

Ternyata watak Aliya, Vincent dan Dinda Anne menjadi tulang belakang kepada novel ini. Boleh jelaskan lebih lanjut perihal ketiga-tiga watak ini? (latar belakang kisah mereka, dan mengapa mereka penting dalam mengerakkan keseluruhan kisah)

Lokman:
Baik, sejujurnya saya menulis watak Vincent, Dalila menulis watak Dinda Anne dan Asmar Shah pula menulis watak Aliya. Kami bercadang menulis ketiga-tiga kisah mereka dengan latar yang sama yakni apokalips itu tadi.

Saya membayangkan Vincent selaku seorang budak yang kononnya berpenyakit dyslexia, tetapi hakikatnya bukan. Dia merupakan seorang budak yang terpinggir di sekolahnya tetapi amat menyayangi ibu bapanya. Setakat itu sahaja boleh saya ceritakan mengenai latar belakang Vincent tadi, jika hendak tahu lebih, dapatkanlah naskhahnya.

Asmar:
Mereka ini adalah manusia yang telah dipilih oleh organisasi tertentu. Eh, kalian harus baca dulu buku ini sendiri. Nanti pm saja kalau mahu tanya lebih-lebih atau hentam kami. *gelak*

Dalila:
Secara ringkasnya Aliya, Vincent dan Dinda mempunyai latar belakang yang berbeza begitu juga keistimewaan yang ada dalam diri mereka. Aliya seorang perempuan yang mempunyai dua personaliti yang berbeza.  Aliya seorang yang agresif dan lincah manakala Ameera adalah sebaliknya. Vincent pula seorang kanak-kanak lelaki yang sangat istimewa. Dia seperti pengidap dyslexia dan mempunyai kecergasan yang sangat baik tapi sebenarnya dia lebih dari itu. Manakala Dinda pula seorang yang sangat obses dengan teknologi dan paranoid. Mereka ini adalah insan terpilih yang perlu melaksanakan sesuatu misi. Nak tahu lebih lanjut, kenalah baca. Hehe.

Latar apokalips yang digambarkan dalam kisah ini agak kelam dan menakutkan. Lihat:

Pada saat ini pula, hakikatnya waktu itu berjalan dengan perlahan dan menakutkan. Mereka terpaksa bergerak berhati-hati agar tidak terserempak dengan manusia-manusia yang mempunyai tanda titik di leher. Bagi mereka, kini dunia hanya mempunyai dua pilihan: dibunuh atau membunuh. Tiada lagi sistem teknologi menguasai kehidupan manusia pada waktu ini. Tiada lagi rakaman video. Tiada lagi telefon bimbit. Semuanya seakan lenyap secara tiba-tiba.

Kota ini yang dahulunya penuh dengan teknologi canggih, sentiasa diterangi cahaya neon di malam hari dan sentiasa dipenuhi manusia tidak kira siang mahupun malam. Kota yang tidak pernah tidur ini, kini menjadi sangat sunyi dan sepi. Kota yang terkenal dengan kemeriahan dan keindahannya ini, kini diselubungi dengan debu-debu yang menyesakkan. Kenderaan terbiar berselerakan. Beberapa bangunan kelihatan sangat usang dek kerana hakisan hujan aneh yang barangkali asidik sifatnya. Pokok-pokok semakin kering dan terbiar tumbang. Tiang-tiang elektrik rebah. Asap berkepul-kepul. Kelihatan ramai manusia yang menggantungkan diri mungkin kerana mereka merasakan tidak ada alasan yang kukuh untuk meneruskan hidup yang melarat ini. Bau hanyir mayat masih tercium dan meruap di udara. Bau kematian yang pelbagai darjah busuknya.

Di sebalik pemandangan yang buruk ini, bahayanya tetap ada. Manusia itu tetap manusia. Manusia yang digambarkan memiliki akal dan fikiran tetapi dalam situasi seperti sekarang ini, mereka mampu bertindak lebih buas daripada binatang dan hilang sifat kemanusiaan.

Matahari tidak menjadi sahabat manusia lagi. Kedinginan menguasai kota ini secara total.

 – halaman 53-54, Dua Nyawa

Kemusnahan dunia di dalam novel ini berlaku disebabkan salah guna kuasa oleh manusia sendiri. Dan pada saat dunia hancur pun, tetap ada kelompok manusia yang kejam melakukan pembunuhan, kerana “manusia itu tetap manusia”.

Mengapa anda memilih untuk menciptakan latar gelap sebegini, dan apakah mesej yang ingin disampaikan melalui kenyataan di atas?

Lokman:
Mungkin semua sedia maklum, karya-karya saya majoritinya gelap temanya. Pendek kata, apabila saya bergabung dengan penulis-penulis lain sekalipun, kegelapan itu turut menyusuli dari belakang dan menyatu dengan cerita yang digarap.

Baik itu secara peribadinya. Namun begitu, kami bertiga memang bercadang untuk menulis perihal kisah distopia dari awalnya. Saya melihat manusia ini selaku makhluk yang tamak, tetapi mempunyai sisi yang indah pada masa yang sama. Manusia ini sifatnya lebih kepada survivaliti di mana nilai moral tadi bergantung kepada keadaannya. Jika terdesak, baik dan buruk boleh lenyap begitu sahaja demi kesinambungan hidup sendiri.

Asmar:
Mungkin latar gelap sangat seronok untuk dirungkaikan. Bermacam hal dan karut yang boleh dihasilkan. Jika menggunakan tema sebaliknya, risau akan memberikan harapan kepada pembaca di luar sana. Yalah, budak sekarang ni, suka sangat berkhayal dan mengharap yang bukan-bukan. Baca buku cinta saja pun teringin juga mereka nak bercinta-cinta. Jadi mesej yang kami cuba sampaikan, dunia sekarang di penghujung dah. Jadi masing-masing beringat yang kita tak boleh percaya sesiapa. Sebab manusia sendiri yang merosakkan manusia lain. Peace!

Dalila:
Sememangnya kami bertiga sebulat suara bersetuju untuk bercerita begini. Dunia hampir musnah akibat kerakusan manusia itu sendiri. Bagi saya, setiap manusia itu ada sisi gelap. Kita perlu sedar dan waspada tentang sisi gelap yang ada pada diri kita. Manusia ini makhluk yang sukar untuk dijangka. Sikap, perwatakan, percakapan, pemikiran semua boleh berubah-rubah. Itulah hakikat manusia.

Dalam Dua Nyawa, terdapat satu petikan diari yang mencuri tumpuan:

Kejahatan sentiasa ada di mana-mana dan manusia tidak dapat lari daripada menghadapinya. Kejahatan itulah menyebabkan manusia menafikan kewujudan Tuhan di dunia ini. Aku silap tentang sesuatu bahawa, Tuhan itu telah mencipta dunia ini dengan baik dan sempurna. Aku hanyalah manusia biasa dan aku sedar yang aku tidak mampu mengubah dunia ini berdasarkan buah fikiran dan perasaan semata. Semua sudah terlambat. Segala-gala yang dirancang sudah bermula. Aku tidak sanggup lagi untuk melihat dunia ini. Dunia yang penuh kejahatan dan penderitaan. Maafkan aku.

– halaman 63-64, Dua Nyawa

Tulisan ini merupakan satu bentuk penyesalan yang diluahkan oleh seorang insan, namun segalanya sudah terlambat kerana bencana buruk sudah pun melanda seluruh dunia. Sisipan mesej secara halus sebegini adalah sesuatu yang mengujakan, kerana kita mahu para pembaca berfikir sedalamnya tentang intipati penting di sebalik karya-karya fiksyen sains. Adakah ini matlamat yang ingin dicapai oleh pasukan ini melalui Dua Nyawa?

Lokman:
Saya masih percaya kami menulis ini berdasarkan minda separa sedar kami. Baiklah, saya akui, petikan diari itu saya yang buat. Ia merupakan penyesalan seseorang yang mengetahui selok-belok teknologi yang menakutkan, tetapi menidakkan natijah buruk yang telah dijangka. Apabila dilaksana, skala kemusnahan tadi begitu dahsyat.

Asmar:
Buat kami, jadinya manuskrip ini sebuah naskhah, maka matlamat kami sudah tercapai. Segala apa yang kami ingin sampaikan, sudah berada di  buku ini. Cuma untuk para pembaca di luar sana, itu kami tidak pasti jika mereka akan suka Dua Nyawa ini. Takut mereka akan kata bahawa buku ini harus jangan dibaca sebab terlalu merepek dan tiada kemanisan ibarat gula-gula kapas untuk sebuah kehidupan. Hahaha..

Dalila:
Melalui tulisan ini, sedikit sebanyak menunjukkan bahawa wujudnya manusia yang terlalu obsesi dalam penciptaan teknologi dan cuba menyaingi Tuhan dalam mengatur Bumi ini. Boleh anda bayangkan jika manusia seperti ini wujud dikalangan kita? Apa yang akan berlaku nanti pada dunia ini?

Kuasa anak kecil bernama Vincent itu mula terserlah di saat-saat akhir novel ini. Lihat:

“Aku Tuhan kepada segala kewujudan!” Kali ini suara Vincent lantang. Cukup kuat untuk bergema memecah kesunyian yang ditimbulkan oleh pembekuan masa.

“Dan kewujudan aku selaku Tuhan haruslah dilenyapkan. Dunia yang tiada masa depan ini juga harus lenyap sama.”

Sejenis cahaya mula membaluti tubuh Vincent. Ia begitu terang dan kian bertambah kadar darjah iluminasinya sehingga menenggelamkan setiap ruang yang ada. Alpha One yang baru sahaja kehilangan tangan,berundur dan terus berundur sehinggalah kakinya tidak dapat menginjak apa-apa.

Sedar tak sedar, dirinya telah berada di ruang udara, dan jatuh ke bumi. Biarpun begitu, cahaya terang yang menyeruak dari tubuh Vincent tersebar pantas lalu menenggelamkan segala-galanya.                                                                                 

– halaman 245, Dua Nyawa

Boleh terangkan mengapa Vincent memilih untuk bertutur sedemikan (“aku Tuhan”, “kewujudan aku harus dilenyapkan”)? Adakah Vincent merasakan bahawa pengorbanan (melenyapkan dirinya itu) boleh melahirkan satu dunia yang lebih baik?

Dalila:
Vincent ini memang kanak-kanak yang bijak dan istimewa. Untuk soalan ini,  mungkin Lokman ada jawapan yang lebih tepat. Silakan Luke.

Lokman:
Memandangkan watak Vincent adalah ciptaan saya maka biar saya menjawabnya. Vincent saya gambarkan selaku seorang budak yang bijak. Mungkin istilah budak tidak tepat. Satu eksperimen barangkali. Entah (Bacalah untuk tafsiran anda).

Apabila kita menyedari diri kita merupakan kunci kepada kemusnahan tadi, apa yang akan kita lakukan? Adakah kita sanggup meneruskan agenda musuh yang memperalatkan kita tadi? Saya masih berpendapat, selaku manusia yang bermaruah, dan punya nilai moral yang tinggi, kita sepatutnya mengutamakan hak kemanusiaan sejagat lebih daripada diri kita sendiri. Prinsip ini saya gambarkan melalui watak Vincent ini.

Ia terjawab dengan dialog seperti “kewujudan aku harus dilenyapkan”. Dia mengetahui siapa dirinya. Dia mengetahui betapa dahsyat potensinya dalam pencetusan apokalips itu. Kematiannya adalah jawapan terbaik untuk menyelamatkan dunia.

Asmar:
Lokman Hakim telah jawab soalan ini. Lalalala.

Soalan terakhir! Sekiranya diberi peluang dan kekuatan, adakah anda bertiga akan bergabung untuk projek penulisan seterusnya? Adakah pasukan ini akan tetap memilih genre fiksyen sains, atau lebih berminat hendak mencuba genre-genre lain?

Lokman:
Oh ya, kami kini masih bergabung untuk dua lagi projek penulisan. Ia mencabar dan juga menyeronokkan. Kami masih memilih genre fiksyen sains dengan elemen-elemen thriller dan juga fantasi. Mungkin genre mencabar begini seronok digarap secara berkumpulan. Itu pendapat peribadi saya.

Asmar:
Kalau diikutkan hati, saya sayang dengan team ni. Banyak yang saya pelajari dari team Trio Dua Nyawa ini. Kalau ada rezeki, insya-Allah. Iyalah, kadang-kala kita merancang, tapi Tuhan yang menentukan. Kalau nak cakap ada projek tapi tak jadi buat, nanti buat malu saja. Jadi kalau ada peluang dan ruang buat kami bertiga, insya-Allah, akan adalah karya dari kami. *jawapan selamat ala-ala retis*

Dalila:
Insyaallah (senyum). Tengoklah nanti apa yang bakal berlaku. Jeng…jeng..

IMG-20150220-WA0012~

Novel Dua Nyawa boleh dibeli secara atas talian dari laman web Fixi, Lejen Press atau bookcafe.com.my.

Antologi Cerpen Daun Paku Ungu: Wawancara Bersama Penyelaras dan Editor

Cover Daun Paku Ungu

Pena SaiFai telah mewawancara Nurul Azura dan Imaen, masing-masing merupakan penyelenggara dan editor bagi antologi cerpen fiksyen sains dan fiksyen yang terbaru daripada JS Adiwarna, Daun Paku Ungu. Mereka membincangkan bagaimana terbitnya antologi cerpen ini dan berkongsi sedikit pendapat mereka tentang fiksyen sains dan fantasi tanahair. Mari kita ikuti wawancara bersama mereka.

Salam buat saudari Nurul Azura dan saudara Imaen. Terutama sekali saya ingin mengucapkan terima kasih kerana sudi diwawancara oleh Pena SaiFai.
Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada Pena Saifai dan pembaca sekaliannya. Terima kasih kembali kepada Pena SaiFai kerana sudi mewawancara kami untuk antologi cerpen Daun Paku Ungu.

Sebagai permulaan, saya difahamkan walaupun JS Adiwarna pernah menerbitkan buku antologi cerpen dan juga pernah menerbitkan novel fiksyen sains dan fantasi, buku Daun Paku Ungu ini merupakan usaha yang pertama dalam menerbitkan sebuah antologi cerpen bergenre fiksyen sains dan fantasi. Mengapa JS Adiwarna memilih untuk menerbitkan antologi cerpen dalam fiksyen sains dan fantasi, lebih-lebih lagi apabila seringkali disebutkan oleh penerbit yang lain bahawa buku fiksyen sains sukar untuk dijual?
Sebenarnya Daun Paku Ungu bukanlah genre fiksyen sains / fantasi pertama yang diterbitkan oleh JS Adiwarna. Sebelum ini JS Adiwarna telah menerbitkan beberapa judul genre ini (novel dewasa, remaja dan kanak-kanak). Antaranya, Epik Cinta dari Agia oleh Pingu Toha, Ossieanna oleh Sayidah Mu’izzah, Misi 2050 oleh Hafizul Osman, Saga Aldarian & Saga Aldarian: Nafas Albereth oleh John Norafizan, Beruno oleh Dihsar Ludba Haqifa, dan Lahar dan Berus Ajaib oleh Bam Bam. Tetapi kami mendapati, pasaran untuk genre ini tidak begitu menggalakkan bagi kami untuk aktif menerbitkan karya-karya sebegini.

Namun, tahun lalu rasa kami bagai dijentik-jentik untuk membuat antologi cerpen fiksyen sains dan fantasi pula rentetan penghasilan antologi cerpen tahunan kami. Untuk kali ini, kami mahu cuba!

Saudara Imaen merupakan seorang penulis yang agak prolifik dan bukunya popular di kalangan pembaca. Buku-bukunya seringkali diberi empat bintang di Goodreads dan novel terkini yang bertajuk Gedebe juga mendapat purata 4.45 bintang. Tetapi beliau lebih dikenali sebagai seorang penulis yang menulis cerita cinta atau mungkin lebih tepat lagi, “general fiction”. Mengapakah beliau dipilih sebagai editor antologi ini?
Sebenarnya, idea awal penerbitan antologi cerpen ini adalah idea Saudara Imaen. Namun, beliau terpaksa menarik diri sebagai penyelaras atas faktor kesihatan. Kemahiran penyuntingan Saudara Imaen tetap kami perlukan walaupun sebagai penulis, beliau bukanlah menulis dalam genre fiksyen sains / fantasi.

Cuba senaraikan buku atau filem fiksyen sains yang diminati saudari Nurul Azura dan saudara Imaen? Adakah cerita-cerita itu menjadi inspirasi dalam penulisan sendiri?

Azura: Saya bukan pembaca fiksyen sains / fantasi sebelum saya diberikan projek ini. Tiga tahun kebelakangan ini saya menumpukan pembacaan saya kepada karya-karya sastera Melayu.

Saya menerima projek ini sebagai cabaran baharu untuk saya. Kemahiran saya adalah buku chick lit, remaja dan kanak-kanak. Genre yang jauh berbeza latar dengan fiksyen sains / fantasi. Saya umpama Rebecca Bloomwood yang perlu melupakan pusat membeli-belah di New York dan berhijrah ke planet Musytari sambil memakai tong oksigen dan meninggalkan koleksi kasut tinggi berjenama. Namun dengan kenaifan ini, saya belajar menekuni buku dan filem genre ini baik tempatan dan luar negara.

Imaen: Untuk fiksyen sains / fantasi, saya hanya menonton filem sahaja. Manakala pembacaan, saya lebih suka magic realism seperti tulisan Gabriel Garcia Marquez selain reality socialism seperti tulisan Pramoedya Ananta Toer.

Saya agak terkejut apabila kali pertama melihat buku Daun Paku Ungu ini kerana ia sangat tebal. Tentu peminat fiksyen sains dan fantasi akan teruja dengan buku ini kerana memuatkan banyak cerpen yang menarik. Antologi ini memuatkan 23 cerpen yang ditulis oleh 22 penulis, bilangan yang amat tinggi apabila dibandingkan dengan dua lagi antologi fiksyen sains dan fantasi tempatan, Imagikata, yang hanya memuatkan 16 cerpen dan Cyberpunk: Malaysia, yang hanya memuatkan 14 cerpen. Adakah bilangan cerpen tinggi ini suatu keputusan yang telah dirancangkan awal-awal lagi? Bagaimanakah proses pemilihan karya yang dimuatkan di dalam antologi Daun Paku Ungu ini? Adakah susah untuk editor menyaring dan memilih karya untuk dimuatkan di dalam antologi ini
Iya, kami masih mengingati raut wajah saudara waktu itu. Tidak. Kami tidak menetapkan sebarang jangkaan untuk jumlah cerpen yang akan diterbitkan. Pegangan kami adalah kami perlu dapat cerpen yang berkualiti dahulu. Setelah proses saringan pertama oleh beberapa juri kami, sejumlah cerpen dipilih. Proses pemilihan peringkat pertama menjadi mudah dengan laporan penilaian setiap juri. Daripada itu, penyelaras dan Puan Noor Suraya membuat penilaian kedua untuk mengecilkan lagi bilangan cerpen terpilih. Sehingga akhirnya kami mendapati 23 cerpen layak dikumpulkan dalam sebuah antologi.

Antologi ini mengambil nama daripada cerpen “Daun Paku Ungu” nukilan Norliza Baharom dan ianya juga memberi inspirasi kepada kulit depannya yang sangat menarik. Saya kira ini antara kulit yang unik untuk sebuah buku fiksyen sains dan fantasi. Apakah sebabnya cerpen ini dipilih sebagai tajuk antologi ini?
Pemilihan cerpen Daun Paku Ungu sebagai judul antologi ini bukanlah kerana cerpen ini terbaik dalam kalangan 23 cerpen tersebut. Kami telah menyenaraikan beberapa judul cerpen yang difikirkan sesuai untuk diangkat menjadi “jenama” yang pada akhirnya “Daun Paku Ungu” terpilih untuk mewakili cerpen yang lain. Idea “Daun Paku Ungu” boleh menzahirkan kulit depan yang seimbang antara fiksyen sains dan fantasi, justeru judul ini dipilih.

Semasa membuat research untuk kulit depan antologi ini, kami maklum dengan nuansa fiksyen sains / fantasi. Kami cuba mencari idea yang tidak aneh untuk genre ini dan dalam pada masa yang sama tidak lari daripada ‘gaya’ rumah penerbitan kami.

Apakah harapan untuk saudari Nurul Azura dan saudara Imaen supaya genre fiksyen sains dan fantasi tempatan dapat berkembang?

Azura: Pertama, lebih ramai pembaca baharu fiksyen sains dan fantasi di Malaysia. Saya amat mengharapkan pembaca fiksyen Malaysia tidak berhenti membaca dan mencari bahan bacaan fiksyen yang lain (jika sudah bosan dengan “novel cinta”!).

Kedua, kepada para penulis fiksyen sains dan fantasi, jangan putus berkarya.

Imaen: Harapan saya, penulis-penulis fiksyen sains / fantasi Malaysia dapat lari daripada terikat dengan acuan Hollywood.

Bolehkah peminat-peminat fiksyen sains dan fantasi mengharapkan lebih banyak lagi antologi serupa ini daripada pihak JS Adiwarna pada masa akan datang?
Insya-Allah. Kami gembira menerbitkan cerpen-cerpen ini dan setakat ini, respons daripada pembaca juga positif. Mudah-mudahan usaha ini berterusan.

Terima kasih kerana sudi menjawab soalan kami! Saya berharap dapat melihat lebih lagi buku fiksyen sains dan fantasi daripada pihak JS Adiwarna, terutama antologi cerpen seperti Daun Paku Ungu pada masa akan datang.
Terima kasih kembali, Pena Saifai!

~

Bagi yang berminat untuk membeli antologi Daun Paku Ungu ini, bolehlah anda membelinya secara atas talian di sini.

Bicara Fahmi Mustaffa Tentang Novel SaiFai “Suatu Hari Nanti Manusia Akan Melupakan Tuhan”, Bahagian 2

Sempena berlangsungnya Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2016 dan juga kelahiran dua novel SaiFai terbaru terbitan Simptomatik Press, Pena SaiFai telah memutuskan untuk menyiarkan artikel berkaitan dua penulis hebat – Fahmi Mustaffa dan Lokman Hakim sepanjang minggu ini.

Fahmi Mustaffa muncul dengan karya SaiFai terbarunya bertajuk Suatu Hari Nanti Manusia Akan Melupakan Tuhan. (Tag: Minggu Fahmi Mustaffa)

Lokman Hakim pula muncul dengan karya SaiFai bertajuk Selestial. (Tag: Minggu Selestial)

Pami BnW

Kita ikuti sambungan sesi bual bicara bersama Fahmi Mustaffa yang akan membincangkan karya terbaru beliau bertajuk Suatu Hari Nanti Manusia Akan Melupakan Tuhan. (Baca Bahagian 1 di sini)Cover SHNMAMTSinopsis ringkas Suatu Hari Nanti Manusia Akan Melupakan Tuhan:

Pada tahun 2112 Masihi, manusia akan melupakan Tuhan. Agama dipakai seperti persalinan sutera -– setiap orang memakainya mengikut agenda peribadi, terlihat suci dan mewah sekali.

Asyik sekali manusia berbalahan, sehinggalah pada tahun 2060 Masihi, Gempa Mega dan Tsunami Raya menjadi anarki teragung, memusnahkan peta dunia yang kita kenal hari ini. Sebahagian dari Amerika Syarikat tenggelam. Malaysia sudah terhapus ditampar Gempa Mega dan Tsunami Raya yang berjujukan; hanya tinggal sebuah dataran besar, diberi nama neo-Kuala Lumpur yang ditadbir oleh Tuan Presiden maha haloba.

Razief adalah neo-Human yang didatangi mimpi tentang Tuhan. Anak tunggal saintis neo-Human Mama Juwita, dia berkelana menemui Buhaira’, seorang ulama tunggal neo-Human yang masih hidup untuk mempelajari suatu rahsia agung.

Sejarah adalah roda dan penghukum tegar kepada yang melupakan. Nafsu manusia yang terdidih bergumpal menjadi amukan perang di akhir zaman, sebelum menunggu Isa al-Masih. Ada rahsia di antara Buhaira’ dan Tinta Pujangga, juga tentang Bahtera Nabi Nuh yang akan menyelamatkan mereka.

Mungkinkah Suatu Hari Nanti, Manusia Akan Melupakan Tuhan?

Konflik dalam novel ini bermula apabila watak Mama Juwita, seorang saintis diraja bagi Tuan Pemerintah mengalami perasaan panik yang luar biasa apabila mengetahui bahawa anaknya Razief-XII telah bermimpi, mendengar suatu bisikan yang mengatakan bahawa “Suatu Hari Nanti Manusia Akan Melupakan Tuhan”. Pada mulanya, kita menyangkakan bahawa Mama Juwita berasa panik kerana sepatutnya, kebolehan untuk bermimpi tidak lagi ada pada golongan neo-Human, hanya layak untuk golongan proto-Human yang gemar berkhayal dan tidak realis. Tetapi, kita disajikan pula dengan pemikiran Mama Juwita pada akhir babak itu:

“Tuhan… masih ada lagikah?”

Menarik sungguh cara Fahmi menimbulkan rasa ingin tahu dan membiarkan ia tergantung dengan ayat sebegitu. Kongsilah sedikit mengapa Fahmi meletakkan persoalan itu?
Neo-Human sepatutnya tidak didatangi mimpi. Gelombang otak mereka sudah dimanipulasi, dan membantu membenarkan tesis ini. Kesalahan itu meremangkan Mama Juwita, kerana dia hairan bagaimana Tuhan masih lagi mampu menjelma walaupun di dalam algoritma moden.

Menulis sebegini adalah sukar untuk saya. Kerana selepas terawih, saya menceraikan segala aktiviti untuk mencari Tuhan, dan menulisnya dalam kaca mata seorang neo-Human, manusia separuh robot.

Saya cuba jadikan Tuhan sebagai tesis terluas di dalam karya ini. Kita seringkali dihidangkan dengan pelbagai konotasi –- God, or personal God, or universal value as god. So what is that? Allah, Yahweh, Jesus, Buddha, ratusan malah ribuan lagi, what are those supposed to mean? Juga Tuhan non personal; seperti love, peace and all that.

Ia bermaksud kita tidak mahu hidup bersendiri. Bahawa kita adalah universiti terbesar dan di canselori hati, ada Tuhan ternadi. Ada satu babak di mana Mama Juwita berkata:

“Aku menyembah tuhannya Buhaira’…”

Itu adalah imitasi naluri manusia yang tidak mahu bersendiri. Walau dia manusia separa besi.

Apa yang akan berlaku bila kita mati nanti?

Bercakap tentang Buhaira’ pula, Fahmi menulis watak itu sebagai seorang ulama’ proto-Human di Dataran Pembebasan seperti berikut:

Para proto-Human menggelar Buhaira’ sebagai Nabi Pasca Apokalips, namun Pujangga tahu, nabi itu hanya dongengan dari Timur Tengah semata-mata. Hanya Projek Keabadian Manusia ciptaan Mama Juwita yang menentukan ajal maut manusia. Atau kuasa Tuhan masih lagi berfungsi di dalam kelompok gelandangan proto-Human?

Maka berbondong-bondong kanak-kanak dan penduduk busuk itu bertempiaran melarikan diri; atau mungkin sahaja mereka mencari nabi mereka. Bergegak-gempita mereka; sudahlah ini kali pertama neo-Human bangsawan mengunjungi, malah mencari nabi mereka pula. Mereka berantakan, takut-takut perang akan tercetus sebelum Nabi Isa al-Masih turun ke bumi.

Tentunya mencabar bagi Fahmi untuk membina watak Buhaira’ yang disanjung tinggi laksana Tuhan oleh mereka yang hidup pada abad serba futuristik itu. Ceritalah mengapa Fahmi memilih untuk membina watak yang sukar seperti ini.
Latar masa di dalam novel ini sedikit sebanyak menuntut satu kuasa baharu yang menjadi kiblat pemerintahan manusia. Kuasa terbesar yang digunakan oleh manusia, pada zaman itu, adalah agama. Sains, telah menjadi agama, dalam demografi novel ini.

Ia satu cerminan -– masyarakat adalah contoh paling ampuh kepada knee-jerk reaction. Sesuatu isu yang viral akan terus dihurung oleh beratus-ratus ulasan yang dahagakan kebenaran dari sudut pandang masing-masing. Ketika tragedi Gempa Mega dan Tsunami Raya berlaku pun, mangsa yang terselamat masih sibuk berbalah menetapkan sama ada bencana ini adalah proses bencana alam, satu bala, mahupun ujian. Semuanya asyik dengan sudut pandang sendiri.

Seekor burung di dalam sangkar. Katak di dalam gelas kaca. Atau kuda yang tertambat di bangsal.

Manusia yang terselamat mula mengagungkan sains sebagai beacon of hope. The savior of human race. The one and only solution. Namun sebagaimana kukuh sains telah bertapak pada waktu itu, tetap ia tertakluk kepada keajaiban.

Di sini wujudnya watak Buhaira’.

Proto-Human memanggilnya sebagai nabi baharu. Ringkasnya Buhaira’ adalah seorang guru agama, satu-satunya yang masih hidup selama beratus tahun tanpa memerlukan bantuan kecanggihan kejuruteraan genetik dan arsitektur molekular. Buhaira’ menjadi beacon of hope kepada Proto-Human sebagai mana Mama Juwita menjadi Maha Mencipta kepada komuniti neo-Human.

Cover SHNMAMT

Di dalam novel ini, watak Buhaira’ diangkat sehingga ke akhirnya. Ia seperti meletakkan sesuatu di tempat asalnya, dan menidakkan kembali tesis utama novel ini iaitu –- Suatu Hari Nanti Manusia Akan Melupakan Tuhan.

Kerana itu Buhaira’ menjadi muka depan/cover kepada naskah ini. Ia bukan tentang figura, tetapi ideologi yang dibawanya sehingga menempuhi Armageddon terbesar dalam sejarah perang manusia.

Dikala agama dipandang sebagai sebuah cerita dogeng dari Timur Tengah yang berdondangan, Buhaira’ tampil menjadi antithesis kepada konotasi demikian.

Dalam novel ini terdapat seorang lagi watak wanita yang menarik -– Tinta Pujangga –-sahabat baik kepada Mama Juwita, serba bijaksana, selayaknya diangkat menjadi orang kuat yang bertaraf kesayangan buat Tuan Pemerintah. Inilah petikan yang menceritakan perihal keanggunan Tinta Pujangga:

Tinta Pujangga lantas bangun tersamping dengan sepuluh orang jejaka gagah yang membawanya untuk diarak ke dalam tandu yang diperbuat daripada kristal unggul, ditempa istimewa dari emas Sierra Leone. Tandu itu dipayungi indah dengan perhiasan estetika dari zaman kuno Majapahit, berserta dengan rampaian sulaman awan larat yang juga menempelkan mantera-mantera suci kerajaan Funan, mengembalikan nilai indah nian seni zaman silam. Semua delegasi faham benar dengan personaliti Tinta Pujangga; malah dia dilayan selayaknya sebagai seorang maha diva!

Fahmi melukiskan watak Tinta Pujangga itu dengan penuh elegan, seorang profesor diraja yang dihormati di persada antarabangsa, ketokohannya nyata terserlah apabila berjaya membina dasar-dasar pentadbiran baru untuk neo-Kuala Lumpur. Siapa yang menjadi inspirasi untuk Fahmi melakarkan watak ini?

mariani

To be honest, visually -– Allahyarhamah Seniwati Mariani. Imagine the late Mariani in kebaya, as a scholar, dan ada satu scene di mana Srikandi Tinta Pujangga bersilat gayung. I really love the scene to be visual.

Bayangkan nenek kita berkebaya, di lereng leher ada rantai emas, rambut tersanggul rapi dan terhunus keris di genggaman, sedang bersilat gayung memakai terompah merah dan kain batik mewah, saya mahu watak Tinta Pujangga dan Mama Juwita seperti seorang cyborg srikandi yang agung dan berjati diri. Oh, wataknya sedikit sombong but give her a break, – she’s a diva! Haha.

Mariani Young

Watak dia menjadi panglima perang, dia melawan Israel dan Palestin yang bergabung, kapsul Angklung dan seorang alcoholic, I really love Tinta Pujangga. She’s my girl!

Ketika menulis watak Mama Juwita dan Tinta Pujangga, yang mendedahkan diri kepada muzik gamelan, dan melalui muzik saya belajar bahasa tubuh ketika saya bergerak.

Believe me, mom thought that I was crazy.

Membaca novel ini sememangnya memerlukan tumpuan yang mendalam kerana Fahmi banyak menyelitkan ilmu bantu dan kekuatan maksud, yang semuanya tersembunyi secara simbolik dan berlapis-lapis di sebalik ayat-ayat karangan Fahmi yang indah. Ceritalah serba sedikit tentang proses penulisan novel ini. Apakah antara pengalaman menarik semasa menukangnya?
a) Proses menulis mengambil masa selama 30 hari (2,000 perkataan selepas Terawih). Malam raya saya sibuk print manuskrip, dan raya esoknya pakai baju melayu yang berkedut!

Laknat Cover

b) Novel ini bermula daripada sebuah cerpen. Saya tulis beberapa bulan selepas Laknat. Tiba-tiba, rasa naik syeikh untuk tulis sebuah novel fiksyen sains fantasi. Mungkin sebab masa saya kecil, saya selalu nak lihat kereta terbang tapi up to this day, kereta masih lagi tak terbang! Oh why lah. Haha.

c) Ending novel ini ada tiga. Mulanya saya mahu jadikan ini semua sekadar mimpi tetapi saya takut dibunuh oleh pembaca. Jadi saya rangka satu penutup yang berkaitan dengan astronomi, dalam bentuk yang mudah difahami. Saya cuba menerangkan sains kepada pemula supaya mereka mesra dengan sains.

d) Kali ini saya plot novel dengan teratur berbanding Laknat. Konon-konon mahu jadi JK Rowling, susun plot cantik-cantik dalam jadual. That’s how I accelerate in speed. Tetapi lama-lama saya jadi bosan. Lalu saya biar watak itu tentukan takdir mereka sendiri. Kalau bab ini mereka mahu bersilat, okay, mereka akan bersilat.

Saya sudah penat bergaduh dengan watak sendiri. Nanti mereka kacau saya tidur.

e) Lagu paling banyak dimainkan ketika menulis novel ini adalah lagu –- Bir Ben Bir Allah Biliyor daripada Bulent Ersoy. Beliau seorang penyanyi transgender terkenal di Turki. Lagunya sedap. Beliau juga cantik.

Novel ini telah pun dilancarkan oleh Simptomatik Press sempena PBAKL. Apa yang Fahmi harapkan para pembaca dapat perolehi sesudah menghadam novel ini? Mungkinkah Fahmi ada perancangan untuk menyambung sekuelnya pula?
Saya harap selepas membaca novel ini, akan ada sesuatu yang diambil. Personally, ia tentang mengenali siapa kita dalam sudut pandang futuristik. Ignorance is a punishment and will be punished. Saya harap selain dari membaca novel ini, kita semua juga baca naskhah yang penting sepanjang zaman. We try to learn to unlearn. And from the shattered pieces, kita cantum bina menara kefahaman kita supaya teradar kemakmuran sejagat.

Fiction is the lie we made to tell the truth. In adalah satira politik, agama dan sosial. Tentang apa sebenarnya maksud tertawan dan tentang janji-janji manis yang sains mampu tawarkan. Saya tahu karya ini lebih serius berbanding Laknat (and more appropriate haha) tetapi ada sesuatu yang ingin saya sampaikan menghampiri ranting penceritaan.

Saya harap kita menjadi orang yang baik. Yang hormat dan menerima. Dunia telah lama sakit dan manusia telah lama mencari ubat yang sebenarnya ada di depan mata. Burung sememangnya dilahir untuk terbang, di dalam sangkar emas sekalipun, ia tetap ditakrif mengurung, bukan melindung.

Kebenaran tak takut langsung kepada keraguan, asal kita teruskan pencarian.

Soalan terakhir! Apa perancangan Fahmi seterusnya dalam bidang penulisan, khususnya untuk genre SaiFai? Jika diberi kekuatan dan keizinan, subjek apa yang ingin Fahmi terokai seterusnya?
Sebagai seorang penulis yang tersangatlah muda dan mentah, pertama sekali saya nak ucapkan terima kasih kepada yang menerima, melihat, membeli, menyokong dan membuat ulasan.

RM 20 is expensive this day.

Sebab itu saya terharu kalau orang beli dan baca. Kalau nak baca free di Kinokuniya pun tak apa. Saya terharu jugak. Asal ada yang sudi baca.

Saya mengayuh basikal ke sekolah sambil imagine suatu hari nanti saya akan menjadi penulis. Entah apa betulnya saya, Allah meminjamkan nikmat ini.

Kronologi SHNMAMT

Projek seterusnya sudahpun saya siapkan, novel kolaborasi bersama salah seorang penulis. Saya kini dalam rangka menyiapkan novel keempat. Terlalu banyak genre yang ada, tetapi saya lebih gemar memilih isu, dan membiarkan pengkritik menyuai padan genre dan sebagainya. Lagipun saya tidak pakar. Tak tahu teori penulisan apa-apa, saya hanya tulis sesungguh yang terfikir dalam kecetekan ilmu dan pengalaman saya.

Terrorism, geopolitics, religion, art, sexuality, philosophy, science, all those in a simpler manner. Lebih mesra pemula -– sikit-sikit mendayung, itu harapan saya di samping sentiasa bereksperimentasi, dan terus berguru dengan ramai sekali penulis hebat di sini.

Saya menulis untuk bercerita.

Tetapi lebih dari itu, saya menulis untuk memberitahu.

Di ruang kosong antara baris, saya sembunyikan sesuatu.

Terima kasih Fahmi kerana sudi menjawab soalan-soalan kami!
Sama-sama. I love you!

~

Pami Spec

Mohd Fahmi bin Jusoh @ Mustaffa menulis dengan nama pena Fahmi Mustaffa. Novel debut beliau, Laknat diterbitkan oleh Buku FIXI pada September 2015. 

Laknat boleh didapati di booth FIXI di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) yang akan berlangsung pada 29 April – 9 Mei 2016 di Malaysia Agro Exposition Park Serdang (MAEPS).

Jelajah Lejen Fixi

Cerpen SaiFai Fahmi Mustaffa bertajuk Pantomim dimuatkan di dalam Antologi Cerpen X-traordinari Imagikata. (Baca Di Sebalik Tabir Imagikata: Pantomim oleh Fahmi Mustaffa).

Pantomim

Imagikata Cover

Antologi Cerpen X-traordinari Imagikata boleh didapati di PBAKL di booth PTS dan juga boleh dibeli secara atas talian di Bookcafe.com.my.

peta-lokasi-klibf

Kunjungi reruai Simptomatik Press di Booth A3094 – A3095 (Thukul Bersekutu) di PBAKL untuk mendapatkan buku-buku SaiFai terbaru mereka.

Buku Baru Simptomatik Press