Detik – Natijah Melanggar Fitrah

Sempena penerbitan semula novel Transgenesis karya Amir Husaini oleh Penerbit-X, Pena SaiFai telah memutuskan untuk mengadakan Minggu Amir Husaini. Artikel-artikel pada minggu ini bertemakan buku-buku Amir Husaini. Semoga bermanfaat.

detik

Tajuk Buku: Detik
Pengarang:
Amir Husaini
Penerbit:
Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd
Tahun Terbitan:
2012
Halaman:
166

Sayembara Fiksyen Sains & Teknologi UTM-Kumpulan Utusan Musim Kedua mengangkat jalur sains fiksyen ke arah dampak positif dengan membuka ruang buat penulis-penulis baharu menyuburkan kreativiti di samping memberi pencerahan kepada ilmu sains dan teknologi. Jalinan murni di antara UTM dan Kumpulan Utusan jelas menzahirkan apresiasi kedua-dua pihak terhadap usaha pihak kerajaan yang tidak jemu-jemu menarik minat orang ramai terutamanya golongan pelajar dan kanak-kanak agar menanam sifat kecintaan pada mata pelajaran sains yang senantiasa segar dan bernafas baharu.

Usaha penggalakan dan inisiatif kolaborasi di antara UTM dan Kumpulan Utusan dianggap sebagai satu wadah penting untuk merealisasikan dasar kerajaan mencapai sekurang-kurangnya 60 peratus pelajar aliran sains dan 40 peratus aliran sastera ke arah impian Wawasan 2020. Di samping itu, cetusan minat terhadap bidang sains dan teknologi mampu melahirkan graduan yang cemerlang untuk menyumbang kepada penghasilan tenaga kerja profesional dan berkualiti dalam bidang kejuruteraan, sains, teknologi dan kedoktoran untuk manfaat negara.

Pemenang tempat ketiga dalam sayembara ini merupakan seorang cendekiawan negara iaitu Dr. Shaikh Mohd Saifuddeen Shaikh Mohd Salleh yang menggunakan nama pena Amir Husaini. Selain memiliki kelulusan Sarjana Muda Sains (Kepujian) dalam bidang Kimia dan Sarjana Pengurusan Perniagaan dari University of Glasgow, beliau turut memegang Sarjana Sains dan Doktor Falsafah dalam bidang Sejarah dan Falsafah Sains dari Universiti Malaya. Selain menyumbangkan tenaga di Pusat Kajian Strategik Malaysia, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Yayasan Ilmuan dan Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, beliau turut menyumbangkan buah fikirannya dengan berkongsi ilmu pengetahuannya dalam dua puluh buku akademik seputar isu-isu semasa sains dan teknologi dari perspektif Islam.

Novel Detik merupakan buah tangan Amir Husaini yang ke-3 dalam bidang penulisan kreatif, dan pertama kali memenangi hadiah tempat ketiga dalam Sayembara Sains Fiksyen & Teknologi paling berprestij di Malaysia. Tema yang diketengahkan dalam penulisannya ini adalah kelampauan manusia mengejar nikmat dunia atas tiket kemajuan sains dan inovasi teknologi, sehingga dengan sengaja menidakkan tonggak ketentuan dan fitrah Ilahi yang kerap didokong oleh Al-Quran sebagai panduan.

Novel Detik menghantar persoalan sama ada pengembaraan merentas masa dicakupi sebagai sesuatu yang menentang fitrah Tuhan. Teknologi perpindahan jasad melalui ruang masa yang dipelopori pengarang menceritakan kewujudan sejenis partikel takionik yang dipanggil takion. Ahli fizik Gerald Feinberg pada tahun 1967 mencipta istilah takion berdasarkan hipotesis bahawa partikel istimewa ini boleh bergerak mengatasi kelajuan cahaya. Partikel takion ini diragui kewujudannya disebabkan uji kaji Feinberg yang gagal dalam mematuhi hukum fizik sedia ada. Menariknya, teori takion ini dijangka bakal diaplikasikan sebagai tujuan telekomunikasi, namun penulis mencerahkan lagi keupayaannya dengan melahirkan idea penciptaan senapang takion yang berkebolehan menerobos masa.

Konsep dan idea teleportasi telah lama diketengahkan di dalam siri drama pengembaraan angkasa lepas Star Trek, di mana diceritakan bahawa manusia boleh bergerak daripada satu tempat ke tempat lain melalui teknik pemecahan dan percantuman zarah. Dengan aplikasi teleportasi, seseorang itu dapat bergerak ke destinasi yang dituju dengan hanya satu kilauan cahaya. Suatu masa dahulu, para saintis menganggap fenomena pemindahan objek ini sebagai sesuatu yang tidak logik dan melanggar teori Kuantum Mekanik. Terdapat beberapa klasifikasi teleportasi, antaranya Teleportasi Kuantum yang menggambarkan konsep teleportasi secara pemindahan zarah dan molekul unsur (proton atau neutron) dan Teleportasi Lenturan Ruang Masa yang merupakan konsep teleportasi sewaktu saintis mencipta jalan pintas.

Pada tahun 1993, sekumpulan saintis telah berjaya membuat uji kaji khas tentang Teleportasi Kuantum yang dikenali sebagai “Kesan Einstein-Podolsky-Rosen”. Uji kaji tersebut berjaya menunjukkan bahawa sesuatu objek atau data boleh diteleportasikan ke kawasan lain, di mana kawasan itu tidak langsung mempunyai sebarang perkaitan dengan objek di lokasi asal. Di samping itu, objek yang wujud di kawasan baharu itu tidak akan kekal di lokasi asal secara total. Kajian ini disahkan mempunyai sumbangan besar dalam masa depan teleportasi dan diterbitkan di dalam jurnal Physical Review Letters keluaran Mac 1993.

Namun begitu, kesukaran nyata buat saintis untuk mencapai impian teleportasi adalah kelajuan cahaya sebagai satu syarat untuk menjayakan proses ini. Persoalan yang sering timbul adalah kewajaran dunia realiti mencapai tahap kelajuan melebihi kelajuan cahaya. Ini kerana saintis memerlukan suatu tahap keupayaan yang luar biasa bagi mencipta medan tenaga dan ruang masa yang akan digunakan sebagai pengangkutan dalam teleportasi. Medan tenaga eksotik yang kuat dan stabil ini sebenarnya yang akan digunakan bagi mencipta terowong perpindahan jasad. Sumber menyatakan bahawa tenaga yang diperlukan adalah satu per tiga daripada tenaga yang dimiliki jisim Planet Musytari, planet terbesar dalam sistem solar dan 317 kali ganda Bumi. Biar pun para saintis mampu menghasilkan tenaga sebesar itu kelak, persoalan seterusnya yang harus dipertimbangkan adalah sama ada kita mampu untuk mengawal dan menstabilkan medan tenaga yang sangat dahsyat kuasanya.

Pandangan sempit protagonis di dalam novel Detik iaitu Profesor Sa’at bahawa sains tidak wajar dikekang oleh pertimbangan etika atau pun garis panduan agama nyata meninggalkan natijah buruk terhadap dirinya sendiri. Kesedaran yang timbul pada saat akhir disebabkan pelanggaran ketentuan ini tidak lagi berupaya membantu, malah menyebabkan beliau kehilangan satu-satunya anak lelaki tunggal kesayangannya. Penulis menyimpulkan bahawa kesan perbuatan merentas masa yang melanggar tabii dan perbuatan alam akan mendatangkan lebih banyak keburukan daripada kebaikan kepada umat sejagat. Bukan sekadar kesilapan Profesor Sa’at dalam melanggar kejadian Tuhan dibayar dengan nyawa anaknya, malah segala ujikaji yang dijalankan di bawah Projek Kronos terbakar teruk menyebabkan segala usahanya selama ini termusnah begitu sahaja.

Dr. Ali Muhyy Ed-Deen Al-Qara Daghi dari Fakulti Shari’ah di Universiti Qatar pernah membincangkan isu etika dan dilema yang dialami oleh para saintis dalam meneruskan kajian sains yang kontroversi dan begitu terkedepan, seperti usaha memajukan teknologi terapi gen. Islam sebagai agama yang benar dan saksama tidak pernah menidakkan kepentingan sains dalam membangunkan tamadun manusia. Dari kaca mata Islam, sesuatu uji kaji sains itu hendaklah dijalankan berasaskan syariah, tidak mendatangkan kesengsaraan/kemusnahan, serta memberi lebih banyak kebaikan kepada umat manusia secara keseluruhannya. Para saintis disarankan agar kewajaran sesuatu ciptaan sains itu adalah berdasarkan rasa rendah diri dan takjub terhadap ciptaan Allah SWT, di samping menolak rasa taksub yang seringkali hadir dalam hati seorang manusia yang lemah pegangannya.

Dr. Ali turut berpendapat bahawa alam semesta ciptaan Allah ini sememangnya dijadikan untuk golongan manusia mencurahkan bakti kepada Yang Maha Kuasa. Sesungguhnya Allah SWT memberi keistimewaan kepada kita sebagai khalifahnya untuk mentadbir dunia dengan cara yang paling bijaksana. Oleh itu, wajarlah umat manusia mewujudkan pelan etika terhadap suatu kajian sains yang berlandaskan Daruriyyat (keperluan) dan Hajiyyat (kesaksamaan). Paling utama, telah digariskan sejelas-jelasnya dalam Al-Quran agar manusia itu menjauhi ciptaan yang bakal menggelincirkan kita daripada landasan agama yang sempurna, lebih-lebih lagi jika penciptaan itu jelas menentang kekuasaan Ilahi dan bakal mendatangkan kemusnahan kepada seluruh sarwajagat.

Ulasan ini pernah tersiar di Mingguan Malaysia pada 16 Disember 2012.

Novel Detik boleh dibeli secara atas talian di MyBooks.com.my.
Novel
Transgenesis (edisi 2016) boleh dibeli secara atas talian di BookCafe.com.my.

Novel Jian Petanda Kemunculan Raja SaiFai Malaysia

jian

Tajuk Buku: Jian
Pengarang: Muhammad Fadli Al-Akiti
Penerbit: Dewan Bahasa dan Pustaka
Tahun Terbitan: 2004
Halaman: 238 halaman

Jika Rahmat Haroun dikenali sebagai Bapa SaiFai Malaysia maka Muhammad Fadli Al-Akiti bolehlah digelarkan sebagai Raja SaiFai Malaysia.

Novel Jian, yang merupakan novel sulungnya, menghuraikan punca berlakunya beberapa kejadian misteri di sebuah daerah bernama Jian yang terletak di Pahang. Ia bermula pada tahun 1984 di mana dua belas orang penyelidik yang menjalankan penyiasatan saintifik rahsia di hutan belantara Pahang telah mengalami suatu tragedi mengerikan.

Hanya seorang sahaja penyelidik yang terselamat iaitu Dr. Mohd Fuad Osman. Selang tiga belas tahun kemudian, beberapa pakar saintis yang terdiri daripada Dr. Razak, Dr. Lim, Dr. Amrin dan Dr. Leon kembali ke perkampungan Jian untuk menyiasat punca kemalangan itu.

Konflik berlaku apabila Dr. Amrin dan Dr. Leon mendapat jemputan daripada Tuk Imam Azhar, salah seorang penduduk kampung untuk melihat keadaan Akob, anak kepada Tuk Mat. Akob berada dalam keadaan menyedihkan kerana terpaksa diikat dari dada hingga ke pinggang pada tiang rumah Tuk Imam Azhar. Muka Akob kuning pucat dan mukus mengalir dari celah rongga hidung dan mulutnya. Dia juga sering meracau, bercakap benda-benda mengarut, ketawa sendiri dan histeria tidak tentu arah.

Menurut Tuk Imam Azhar, penyakit pelik dan ganjil yang menyerang Akob bermula apabila dia terjumpa sesuatu di dalam hutan dan membawa masuk barang itu ke dalam kilang sabun tempat dia bekerja. Tidak lama kemudian, Akob mula mengamuk sehingga menyebabkan dua orang pekerja kilang terkorban. Perilaku Akob yang terlalu ganas menyebabkan dia disisihkan ahli keluarganya. Mujurlah keluarga Tuk Imam Azhar sudi menawarkan bantuan untuk menjaga Akob yang menderita.

Pak Busu, ketua kampung Jian berasa kurang senang dengan kehadiran doktor-doktor ini. Dia menyimpan dendam peribadi pada golongan doktor kerana membiarkan anaknya mati di hospital, biar pun anaknya sendiri menghidap barah paru-paru kerana tegar merokok. Pak Busu juga tidak mahu rahsia kejadian aneh di Kampung Jian diketahui ramai, maka dia berusaha menghasut penduduk kampung untuk mengusir keempat-empat doktor ini.

Dr. Razak, Dr. Lim, Dr. Amrin dan Dr. Leon mengkaji cecair kuning yang mengalir dari tubuh Akob. Mereka mendapati ciri-ciri mikroorganisma di dalamnya menyerupai bentuk virus yang boleh mengganggu sistem saraf. Kemudian mereka diberitahu bahawa terdapat sebuah makmal terbiar berdekatan dengan perkampungan ini. Penyiasatan dijalankan dan mereka mula menemui bukti-bukti kejadian ngeri yang pernah berlaku di dalam makmal itu 13 tahun yang lampau.

Keadaan menjadi bertambah genting apabila Akob tiba-tiba melolong dan menjadi bertambah ganas. Dia tidak sempat diselamatkan dan akhirnya meninggal dunia. Tambah mengejutkan, mayat dua orang rakan kilang Akob yang dikatakan telah mati kini muncul semula dan menggemparkan penduduk kampung. Bagaimana kedua-dua mayat ini boleh hidup semula? Apakah yang menyebabkan mereka kembali ke kawasan kampung itu?

Kemunculan semula Dr. Mohd Fuad Osman ke kampung Jian menambahkan lagi suasana misteri yang menyelubungi. Babak-babak akhir novel ini menyajikan beberapa siri kejutan yang tidak terduga, antaranya pengkhianatan yang terjadi di kalangan doktor-doktor itu serta perubahan mendadak yang berlaku kepada penduduk kampung.

Apakah yang menyebabkan perubahan itu? Siapakah dalangnya? Bagaimanakah mereka hendak menyelesaikan segala kekalutan yang melanda? Kesemua ini akan terjawab apabila anda membaca novel sains fiksyen bertajuk Jian ini.

Penulis buku ini, Muhammad Fadli Al-Akiti berjaya mewujudkan kisah yang lengkap dengan unsur misteri, saspens dan keterujaan.

Terdapat beberapa adegan yang diceritakan dengan cukup baik sehingga pembaca terasa seperti berada sendiri di tempat itu. Ada juga beberapa kisah mengenai perlakuan penduduk kampung yang melucukan sehingga membuatkan pembaca tidak kering gusi.

Secara keseluruhan, novel ini merupakan bahan bacaan yang baik, sarat dengan muatan ilmu dan sesuai untuk semua golongan terutama sekali bagi mereka yang gemarkan fiksyen sains.