Tajuk Buku: Cahaya Dari Andromeda
Pengarang: Rosli Mohamad Ali
Penerbit: Dewan Bahasa dan Pustaka
Tahun Terbitan: 2016
Halaman: 522
Harga: RM30.00
Sinopsis:
Razali terlibat untuk menyelesaikan satu kes pembunuhan yang telah berlaku lebih sedekad yang lalu. Peristiwa pembunuhan yang terancang itu sengaja disembunyikan supaya kekal menjadi rahsia. Pelbagai halangan dan dugaan yang dihadapinya semasa misi penyiasatan tersebut. Namun, segala halangan itu menjadikan Razali lebih kuat untuk menemukan titik penyelesaian. Walau bagaimanapun, Razali dalam dilema apabila nyawa neneknya turut dipertaruhkan. Razali seperti mahu mengalah. Dia tidak sanggup mengorbankan satu-satunya insan yang disayanginya demi menyempurnakan hasratnya. Mampukah Razali bertahan? Dapatkah Razali merungkai kemelut yang tersimpan begitu lama demi maruah keluarganya?
Novel fiksyen sains Cahaya dari Andromeda ini telah berjaya memenangi tempat kedua dalam Sayembara Menulis Novel & Skrip Drama Kanak-kanak & Remaja DBP 2010, Kategori Remaja 13-15 tahun.
Bidang astronomi dan penciptaan teknologi menjadi pilihan penulis sebagai tema untuk novel ini. Ia ditulis dari kaca mata seorang budak lelaki berumur 17 tahun bernama Razali yang merupakan seorang pelajar yang pintar dalam persekolahannya. Razali kehilangan kedua orang tuanya sejak kecil dan menetap bersama neneknya. Pada sebelah siang, Razali menjalani kehidupan sebagai seorang pelajar biasa, namun menjelang waktu malam, dia akan menyelinap keluar dari rumah agar dapat menjejakkan kaki ke Balai Cerap Biduk di kemuncak Bukit Kasuar. Di situ, Razali berpeluang membantu Dr. Nazri menjalani penyelidikan dan juga mendalami ilmu astronomi yang sangat diminatinya.
“Sekarang mari kita jalankan tugas. Emm..apa yang nak aku buat dulu ni?” Razali berfikir sejenak. Seketika kemudian dia ke bilik kawalan teleskop angkasa. Ia dibina khas untuk mengawal teleskop yang merupakan nadi kepada balai cerap. Dengan menggunakan mesin itulah bumi mampu melihat ke galaksi-galaksi yang berada beribu tahun cahayanya. Teleskop itu akan menangkap cahaya yang dapat dikesannya dan ditukar kepada imej bewarna yang menunjukkan rupa bentuk galaksi atau apa saja objek angkasa yang dapat dikesannya. Terlalu banyak keajaiban angkasa. Tidak tercapai akal manusia untuk ke sana. Tidak tergapai ilmu manusia untuk melangkah ke galaksi-galaksi itu. Terlalu jauh. Seribu kali kematian dan kelahiran pun belum tentu sampai ke sana.
(Petikan daripada Cahaya dari Andromeda)
Novel ini menghantar dengan jelas rasa kekaguman kepada alam semesta ciptaan Tuhan, di mana watak utamanya sering berdialog dan bermonolog mengenai keindahan bintang-bintang, planet-planet dan juga galaksi yang bertebaran luas di serata angkasa. Segala rasa takjub ini dihadirkan dengan kesedaran bahawa Allah SWT yang berkuasa atas segala sesuatu, sempurna mengaturkan hukum alam yang kompleks seperti yang dinyatakan dalam Surah Al A’raaf, ayat 54:
“Sesungguhnya Tuhan kamu ialah Allah yang telah menciptakan langit dan bumi dalam enam masa, lalu Dia bersemayam di atas ‘Arsy. Dia menutupkan malam kepada siang yang mengikutinya dengan cepat, dan (diciptakan-Nya pula) matahari, bulan dan bintang-bintang (masing-masing) tunduk kepada perintah-Nya. Ingatlah, menciptakan dan memerintah hanyalah hak Allah. Maha Suci Allah, Tuhan semesta alam.”
Watak Razali sesuai dijadikan model insani buat para remaja kerana peribadinya yang cekal, sikapnya yang berdaya saing dan juga pemikirannya yang inovatif. Bukan sahaja pintar dalam pelajaran, Razali giat memikirkan cara untuk memperbaiki kehidupan manusia, salah satunya adalah dengan mencipta sebuah mesin pengurai sampah kategori teknologi hijau. Ciptaannya itu berjaya meraih tempat pertama dalam Pertandingan Rekacipta Peringkat Kebangsaan pada tahun sebelumnya.
Untuk Pertandingan Rekacipta Peringkat Kebangsaan pada tahun itu, Razali mendapat ilham untuk mencipta sebuah mesin yang boleh mengurangkan peratusan karbon dalam udara. Namun demikian, halangan datang bertubi-tubi buat Razali disebabkan perbuatan pelbagai pihak yang dengki dengan kejayaannya. Banyak sekali cubaan sabotaj yang terpaksa dihadapi oleh anak muda ini, kesemuanya berisiko untuk menyebabkan dia tersasar dan mengalami kegagalan.
“Kenapa nampak sedih malam ni?” tanya Dr. Nazri.
“Mana tak sedih mesin saya. Mesin yang sama-sama kita buat tu dah kena curi.”
“Bila?” Nada suaranya menyarakan seolah dia tidak percaya akan kejadian yang berulang lagi itu.
“Malam semalam.” Dr. Nazri terdiam. Apa perasaan dia sebenarnya?
“Sebenarnya saya tak terperanjat. Ini semua disebabkan naluri primitif manusia kan? Cemburu? Dengki? Sakit hati? Dendam? Semuanya membawa kemusnahan.”
“Mana doktor tahu?”
“Kawan sendiri yang curi kan?”
“Betul, rakan sekolah sendiri. Memang dia dah lama tak puas hati. Mungkin sebab saya selalu kalahkan dia dalam pelajaran.”
“Kecewa amat kecewa, tapi benda dah berlaku. Awak nak bina kembali mesin tu?”
“Kalau boleh, sebab dah ada tawaran dari syarikat tenaga yang saya beritahu doktor hari tu.”
“Ambil masa, barang-barang ganti yang lain tu tak susah nak cari tapi mesin mengurai dan menghancurkan karbon tu bukan mudah nak dapat tapi tak apa saya sedia tolong awak bina semula mesin tu. Lagi pun itu idea awak.”
“Saya dah banyak menyusahkan doktor.”
“Saya tak keberatan untuk bersusah payah demi kebaikan umat manusia. Cuma manusia yang sukar memahaminya.”
(Petikan daripada Cahaya dari Andromeda)
Dr. Nazri merupakan seorang watak yang baik dan berperanan sebagai ‘father figure’ buat Razali. Saintis itu banyak membantu Razali dalam penciptaan mesin penguraian karbon, malah sering menitipkan kata-kata nasihat dan perangsang kepada Razali. Dr. Nazri menekankan bahawa “tugas saintis ialah menjadikan sesuatu lebih baik, mencipta sesuatu yang membawa manfaat kepada kehidupan dalam bidang sains.”
Dr. Nazri juga digambarkan sebagai seorang yang penuh dengan aura misteri, malah sering menggunakan ungkapan aneh seperti “kebaikan umat manusia”, “planet biru” dan “sebelum aku pergi dari sini.” Pembaca dapat mengenali karakter Dr. Nazri yang sebenar pada penghujung cerita ini, di mana misteri kehadiran Dr. Nazri dalam hidup Razali akhirnya terjawab dalam sebuah pengakhiran yang cukup memuaskan.
Berikut adalah sebahagian dari penutup novel ini, di mana watak ‘ayah’ itu adalah Razali yang sudah dewasa dan berkeluarga.
“Ayah kita nak ke mana ni?” Anaknya tak sabar-sabar menanyakan lokasi yang ditujui keluarganya. Dalam fikirannya jika keluar malam tentu mereka akan ke tempat-tempat yang hebat. Mungkin perjalanan malam itu agak baru baginya.
“Adalah…tempat rahsia…” Kereta itu sampai ke kemuncak bukit. Di situ masih tersergam balai cerap yang sudah semakin usang. Ayah dan ibunya memasuki balai cerap itu meninjau-ninjau keadaannya. Sejak ditinggalkan oleh penjaga terakhirnya ia dibeli Razali untuk tujuan pemeliharaan khazanah negara. Dia mengotakan janjinya menggunakan kekayaannya untuk kebaikan.
“Awak masih ingat peristiwa dulu.” Ayahnya bertanya ibunya. Ibunya mengangguk setuju. Ayahnya mencari tempat yang sesuai untuk keluarganya duduk menunggu.
“Apa yang kita tunggu ni mak?”
“Satu cahaya dari galaksi yang sangat jauh.”
“Cahaya apa ayah?” Ayahnya memandang anaknya yang mewarisi sifat ingin tahunya yang tinggi itu.
“Cahaya dari dunia yang sangat jauh. Cahaya dari Andromeda.” Ayahnya memandang ibunya dengan senyuman. Senyuman yang menghiasi hidupnya selama ini. Mereka sama-sama memandang ke angkasa. Menantikan cahaya itu.
(Petikan daripada Cahaya dari Andromeda)
Cahaya Dari Andromeda merupakan sebuah novel fiksyen sains yang sesuai untuk remaja dan menawarkan kelainan dari segi muatan sainsnya, dengan mengangkat kepentingan ilmu astronomi serta penciptaan mesin teknologi untuk menangani isu-isu alam sekitar. Penulis merupakan seorang peminat sains dan ilmu angkasa, dan ini jelas terserlah dengan kemasukan fakta-fakta serta muatan ilmu yang dijalin padu mengikut kesesuaian di dalam naskhah ini.
Semoga penulis akan meneruskan usaha penulisannya bagi menyemarakkan lagi dunia fiksyen sains di negara ini.