Di Sebalik Tabir Imagikata: Berus Melakar Awan oleh Ted Mahsun

Akhirnya, peluang yang ditunggu-tunggu sudah tiba. Berjaya juga kita mendapatkan Tuan Editor Pena SaiFai untuk berkongsi pengalaman beliau menulis kisah terhasilnya Berus Melakar Awan yang dimuatkan di dalam antologi Imagikata.

Ted Mahsun merupakan seorang penulis yang wajar diberi perhatian dalam industri penulisan Bahasa Melayu, kerana inilah cubaan kali pertama beliau menerbitkan cerpen dalam Bahasa Melayu. Untuk pengetahuan para pembaca semua, kesemua karya dan cerpen yang pernah ditulis oleh Ted Mahsun sebelum ini adalah dalam Bahasa Inggeris sahaja. Bila kita membaca cerpen Berus Melakar Awan ini, kita dapat lihat bakatnya yang terpendam sehingga berjaya melahirkan sebuah karya yang begitu indah, disulam pula dengan kata-kata yang mempesonakan.

Mari kita baca nukilan Ted Mahsun tentang proses penciptaan Berus Melakar Awan ini.

Imagikata - Ted Mahsun

Antara planet yang saya sangat gemari adalah planet Musytari. Ramai yang lebih sukakan planet Zuhal kerana cincinnya yang mempesonakan tetapi bagi saya planet Musytari menawarkan pemandangan yang lebih menarik kerana awan-awan yang sering bergelora di permukaannya sangat indah.

Antara gambar Musytari kegemaran saya ialah sebuah gambar yang diambil oleh kapal angkasa Voyager I pada 5 Mac 1979:

jupiter

Pertama kali melihat gambar ini saya sudahpun jatuh cinta dengan awan-awan indah di Musytari. Ia mengingatkan saya kepada lukisan-lukisan yang dikaryakan Vincent Van Gogh, seorang pelukis pascaimpresionisme dari Belanda. Terutama sekali saya teringat kepada lukisan terkenalnya, Starry Night:

starrynight

Dengan ini saya terasa sangat berinspirasi untuk menulis sebuah cerita yang boleh mengaitkan Vincent Van Gogh dengan awan-awan Musytari, dan saya rasa cara yang paling sesuai adalah untuk membalutkannya dalam genre fiksyen sains. Lahirlah cerita Berus Melakar Awan, yang saya tulis dalam masa dua hari sahaja.

Pada suatu hari, rakan penulis saya, Lokman Hakim, sedang menulis di tempat kegemarannya dan saya rasa terpanggil untuk menyertainya supaya saya juga dapat menulis. Sebaik sahaja saya bertemu dengannya, saya meminta beliau untuk memberi cadangan nama untuk protagonis cerita saya. Dia memberi cadangan “Firas” dan di situlah nama watak itu lahir.

Saya menulis cerita itu tanpa outline, hanya dengan idea dalam kepala. Ini antara cerita yang paling seronok saya hasilkan. Saya membayangkan watak Firas itu seorang pelukis yang amat berbakat, seperti pelukis-pelukis zaman pascaimpresionisme:

“Sebuah lukisan seperti yang diilhamkan karya pascaimpresionisme yang didokong Cezanne, Gauguin, Seurat mahupun Van Gogh. Tetapi ini lebih daripada sebuah karya yang hanya bermediakan cat minyak di atas kanvas. Lukisan ini hidup, menggunakan elemen alam. Ia bergerak-gerak seolah-olah bernyawa. Sesiapa yang melihat lukisan itu dengan matanya sendiri akan tersentuh jiwanya kerana terlalu lawa karya yang memanipulasi awan-awan jingga dan perang di atmosfera Musytari itu.”

– petikan dari Berus Melakar Awan

Dan untuk membezakan Firas daripada pelukis-pelukis lagenda itu, saya membuatkannya menggunakan awan Musytari sebagai mediumnya, tetapi apakah yang digunakan sebagai berusnya untuk melakar awan?

Ha, belilah buku Antologi Cerpen X-traordinari Imagikata untuk mengetahui dengan lebih lanjut.

Imagikata Cover

~

Ted Mahsun merupakan pengasas bagi laman web Pena SaiFai. Cerpen-cerpen beliau boleh didapati di dalam antologi Fixi Novo bertajuk Trash (2016) , Hungry in Ipoh (2015) dan juga Cyberpunk: Malaysia (2015). Salah satu cerpen beliau bertajuk The Ghost in the Garden pernah tersiar di dalam jurnal kesusasteraan Griffith Review 49: New Asia Now.

Di Sebalik Tabir Imagikata: Sinar Gallus oleh Ikmal Ahmad

Ikmal Ahmad menceritakan kisah bagaimana cerpennya yang bertajuk Sinar Gallus dihasilkan. Cerpen ini dimuatkan di dalam Antologi Cerpen X-traordinari Imagikata, yang boleh dibeli secara atas talian di Bookcafe.com.my.

imagikata

Untuk menceritakan kisah di sebalik tabir cerpen Sinar Gallus ini, adalah sedikit sukar kerana ada beberapa perkara perlu dijelaskan terlebih dahulu tetapi saya tidak tahu di mana saya harus mulakan. Jadi, saya mulakan dengan huraian tajuk cerpen ini dahulu.

Perkataan “sinar” itu menurut saya tidak berapa komersial bunyinya. Tetapi saya ada justifikasi mengapa saya memilih perkataan “sinar” dan sebabnya adalah perkataan “sinar” itu tidak mendatang gangguan emosi apabila pembaca membaca perkataan itu berbanding “radiasi”. Perasan ada satu perasaan negatif baru sahaja menyinggah di dalam kepala anda selepas membaca perkataan “radiasi”? Itu adalah sebab utama saya memilih perkataan “sinar”. Sejak di zaman universiti lagi saya dididik supaya cermat dalam memilih perkataan agar mesej yang ingin disampaikan tidak gagal dalam first impression. Lebih-lebih lagi dalam menyampaikan ilmu berkaitan nuklear kepada umum.

“Gallus” pula adalah ringkasan yang diambil daripada nama saintifik yang berbunyi Gallus Gallus Domesticus atau dalam bahasa yang kita semua faham, ayam. Jadi apa kaitan sinaran dan ayam?

Disebabkan saya adalah seorang graduan Sains Nuklear dan seperti yang saya jelaskan tadi, nuklear mempunyai imej yang buruk – dengan mendengar perkataan “radiasi” atau “nuklear” sahaja sudah cukup untuk membuatkan kebanyakan orang tidak senang duduk, saya rasa terpanggil untuk mendidik orang awam atau pembaca Imagikata secara khususnya mengenai nilai sebenar nuklear itu.

Tidak dinafikan, radiasi boleh membawa ancaman kepada kesihatan disebabkan oleh keupayaannya dalam merosakkan sel badan. Tetapi tidak bermakna kita boleh menutup mata daripada melihat kebaikan yang ditawarkan oleh radiasi itu sendiri. Seperti air, menjadi asas kehidupan tetapi kuantiti air yang banyak mampu menenggelamkan bandar. Begitu juga dengan api. Api membolehkan kita memasak tetapi dengan api yang besar mampu membakar rumah. Jadi, apa yang ditawarkan radiasi?

Salah satu aplikasi nuklear atau radiasi adalah dalam bidang pensterilan. Peralatan perubatan seperti forsep, picagari, dan kasa dimasukkan ke dalam plastik kedap udara untuk menjalani proses pensterilan. Caranya adalah menggunakan radiasi yang boleh menembusi plastik kedap udara itu untuk menghapuskan mikroorganisma yang wujud pada peralatan perubatan atau dalam bahasa mudah, bebas bakteria sebelum dihantar ke hospital atau farmasi.

Konsep yang sama juga diaplikasi pada makanan lalu wujudnya cabang bidang yang dinamakan Penyinaran Makanan. Makanan disinar dengan sinaran mengion seperti sinar gama daripada sumber Cobalt-60 dan Cesium-137, sinar-X, dan alur elektron. Dos yang digunakan diasingkan kepada tiga kategori; Radappertization (20 – 30 kGy) yang bertujuan untuk mensterilkan produk makanan, Radurization (1 – 10 kGy) yang digunakan untuk menghapuskan patogen tertentu, dan Radicidation (kurang 1 kGy) bagi melanjutkan jangka hayat simpanan dan mengelakkan percambahan mikroorganisma.

Makanan seperti ayam, itik, lembu, buah, dan sayuran segar yang kita makan boleh disinar dengan sinaran ini dan ianya selamat untuk dimakan.

Kembali kepada soalan apa kaitannya ayam dan nuklear dalam cerpen Sinar Gallus ini. Ayam hanyalah objek yang saya gunakan dalam menyampaikan ilmu berkaitan nuklear. Namun begitu, ayam tidak dijadikan objek semata-mata. Saya turut sisipkan maklumat berkaitan ayam yang kita tidak pernah dengar atau sekurang-kurangnya mengingatkan semula.

Imagikata - Ikmal Ahmad

Untuk mengetahui kisah yang ingin disampaikan cerpen Sinar Gallus, dapatkan buku antologi cerpen X-traordinari Imagikata.

~

Ikmal Ahmad merupakan novelis Velvet (2015) terbitan Fixi dan Selumbar (2016) terbitan Rumah Lipur Lara.

Di Sebalik Tabir Imagikata: Pantomim oleh Fahmi Mustaffa

Fahmi Mustaffa menceritakan kisah bagaimana cerpennya yang bertajuk Pantomim dihasilkan. Cerpen ini dimuatkan di dalam Antologi Cerpen X-traordinari Imagikata, yang boleh dibeli secara atas talian di Bookcafe.com.my.

imagikata

Tema dan Persoalan

Pantomim dibina daripada satu perkataan – “Pencerahan” atau “enlightenment” yang menjadi taksiran kepada cerpen ini. Immanuel Kant (1724 – 1804), ahli falsafah moden barangkali menjadi rangka terbesar yang melorongkan pembikinan Pantomim.

This enlightenment requires nothing but freedom–and the most innocent of all that may be called “freedom”: freedom to make public use of one’s reason in all matters. Now I hear the cry from all sides: “Do not argue!” The officer says: “Do not argue–drill!” The tax collector: “Do not argue–pay!” The pastor: “Do not argue–believe!” Only one ruler in the world says: “Argue as much as you please, but obey!” We find restrictions on freedom everywhere. But which restriction is harmful to enlightenment? Which restriction is innocent, and which advances enlightenment? I reply: the public use of one’s reason must be free at all times, and this alone can bring enlightenment to mankind.

Kant. I., What is Enlightenment (1784) terjemahan Mary C. Smith

Proses penjanaan idea memakan masa selama seminggu. Pantomim mengembalikan persoalan eksistensi kepada manusia yang tiba-tiba terjaga dan berada dalam kekeliruan untuk memilih kebenaran. Menelusuri persoalan ini, saya mengapungkan tema “cahaya atas cahaya” dan “pencerahan” melalui watak Tuan Presiden seolah sindiran kepada situasi semasa sosial.

Kita sudah tidak lagi berfikir, hanya mengumpulkan maklumat dan menterjemahkannya semata-mata. Tidak berani untuk mengetahui, atau “Sapere aude!”. Kemuncak plot cerpen ini adalah babak di mana Tuan Presiden akan mengaturkan segala-galanya dan memberikan ultimatum jika kita memilih jalan yang tidak dilalui kebanyakan orang. Pantomim sengaja ditulis seolah post-lab in-situ sci-fi supaya latar tempat dikaburkan walaupun latar masa telah dijelmakan di kerangka pasca-apokalips yang agak distopia. Naratif dibiar ringkas supaya tema dan persoalan akan timbul dengan jelas.

Imagikata - Fahmi Mustaffa

Format

Pantomim sengaja meretakkan kerangka cerpen konvensional dengan mencantumkannya dengan nuansa skrip drama pentas muzikal. Cerpen asal mengandungi dua buah lagu penuh yang dinyanyikan oleh watak Nenek dan Pemuda. Entahlah tentang watak, sama ada dia berbentuk fizikal atau spiritual, kenihilan suara jati itulah yang memaksikan Pantomim. Saya cuba merima seberapa banyak yang boleh, sebagai penghargaan kepada filem kegemaran saya, Pancha Delima. Anggaplah Pantomim sebagai reinkarnasi sebuah lipur lara yang melalui alam siber yang penuh dengan kenihilan. Justeru, adalah lebih baik kita hasilkan naskhah dekonstruktif sahaja dengan sedikit “plot twist” di hujung cerita.

Kesimpulan

Agama, kesihatan, pendidikan, ekonomi, politik, sosial, seni, perundangan–kita semua telah ditentukan. Kita semua akan hidup dan bekerja, dan membayar segala bil untuk terus langsung dalam hidup. Kita telah lama tidak bercakap dan kalaupun kita bercakap, suara kita telah lama hilang. Suara kita telah lama hilang, kita menjadi seekor burung kakak tua yang pandai mengajuk laku rupa dan mengumpul segala maklumat tersedia.

Barangkali kita terkeliru di antara maklumat dengan ilmu. Barangkali kita fikir kita adalah manusia terpintar yang mampu mencipta nyawa melalui algoritma robotik tetapi kita, mencipta robot, sebenarnya adalah sindiran kepada diri sendiri–kerana kita adalah robot yang masih hidup sehari-hari, kehilangan suara yang jati. Kita terlemas dalam pentas Pantomim, dan kita akan terus nihil sehingga terhapus selagi mana kita tidak melalui jalan-jalan yang tidak dilorongkan. Cahaya perlu terus bergerak di atas cahaya.

“All our knowledge begins with the senses, proceeds then to the understanding, and ends with reason. There is nothing higher than reason.” – Kant

~

Mohd Fahmi bin Jusoh @ Mustaffa menulis dengan nama pena Fahmi Mustaffa. Novel debut beliau, Laknat diterbitkan oleh Buku FIXI pada September 2015. Novel fiksyen sains beliau yang pertama bertajuk Suatu Hari Nanti Manusia Akan Melupakan Tuhan bakal diterbitkan oleh Simptomatik Press pada tahun 2016.

Di Sebalik Tabir: Antologi Cerpen X-traordinari Imagikata

imagikata

Pena SaiFai telah mempelawa penulis Antologi Cerpen X-traordinari Imagikata untuk berkongsikan cerita di sebalik cerita yang mereka tulis.

Buku antologi yang memuatkan cerpen-cerpen fiksyen sains, fantasi, dan seram ini boleh didapati secara atas talian daripada BookCafe.

Imagikata - Arif Zulkifli

Daerah Sebalik Tembok – Arif Zulkifli

Selepas membaca The Hunger Games, saya jadi ketagih dengan cerita-cerita bertemakan distopia, sehinggakan setiap buku yang saya beli selepas membaca siri itu, hampir kesemuanya bertemakan sebegitu. Dan saya terus terfikir, bagaimana kalau Malaysia pula yang menjadi sebuah negara distopia?

Oh ya. Satu lagi, dalam tahun lepas, saya berkesempatan untuk mengikuti satu program penyerahan barang keperluan seharian kepada golongan kurang berada. Terdapat satu rumah yang kami singgah, di mana rumah itu tak ubah seperti pondok buruk, dinding kayu beratap zink, tapi dalam hanya beberapa puluh meter dari pondok itu, tersergam sebuah rumah agam, yang sangat besar!

Dari situ saya kembangkan idea itu menjadi cerpen, di mana Malaysia yang menjadi negara distopia, di mana golongan kaya dan golongan miskin dipisahkan sama sekali kehidupan seharian mereka. Dan mungkin (mungkin!) cerpen ini akan dipanjangkan menjadi satu novel yang lengkap. Mohon tembakan doa!

Imagikata - Bahruddin Bekri

Kampung Surotai – Bahruddin Bekri

Saya adalah orang yang apabila ditawarkan, “Nak menulis tak?” terus saya kata, “Nak!”

Walaupun banyak kali juga, “nak” saya tu tidak kesampaian kerana masa.

Untuk ini, tawaran itu datang lagi. Terus saya sahut, “Nak.”

Seperti biasa juga, selepas seminggu saya terlupa dan diingatkan lagi oleh editor, dan saya mula kelam kabut. Sebab saya tidak ada idea lagi. Tidak ada cerita lagi.

 Oleh kerana sering juga saya diberi peluang memberi bengkel penulisan kepada anak-anak sekolah, dan antara tip penulisannya yang sering saya sebut, “Sekiranya tidak tahu nak mula macam mana, tulis sahaja apa-apa dulu.”

Itu yang saya buat. Saya tulis babak dramatik yang umum. Yang boleh dihalakan ke mana-mana. Habis beberapa perenggan, saya masih belum pasti ini cerpen tentang apa.

Mujur, saya teringat dokumentari tentang sebuah daerah di India yang akan diserang tulis setiap 43 tahun (saya tidak pasti tahunnya. Semasa menulis ini saya tidak google pun). 

Begitulah cerpen ini bermula. Saya gunakan watak-watak budak sekolah, kerana pada akhirnya saya sedar, cerpen ini boleh dikembangkan lagi menjadi novel sekiranya ada masa. InsyaAllah.

Imagikata - Khairul Nizam Khairani

Saka – Khairul Nizam Khairani

Bila editor mintak cerpen, aku tak angkat jari pun nak tulis cerita. Macam semua penulis lain, cerpen dan manuskrip yang kena reject dan terbengkalai, bersepah dalam CPU. Jadi aku cuma pilih je mana yang aku nak.

Sebenarnya Saka ni salah satu dari cerpen-cerpen yang aku tulis untuk projek komik antologi  tahun 2015. Tapi projek tergendala. Dari biar terperap, rasanya elok aku hantar kat editor. Boleh jugak orang lain baca.

Aku dapat idea Saka bila aku tengok ada karakter komik dari barat yang kekuatan dia orang tidak berasaskan sains tapi mistik. Macam Dr. Strange, The Shadow, The Crow. Jadi aku cuba tulis satu karakter dengan kelebihan kuasa mistik Melayu. Jadi terhasillah Saka.

Imagikata - Lokman Hakim

Arca Kehidupan – Lokman Hakim

Cerita ini ditulis ketika saya mendapat pengkhabaran tentang ibu saya yang sakit berada di kampung. Ia agak peribadi sebenarnya. Karya ini merupakan metafora kepada keadaan saya yang terperangkap dalam realiti pekerjaan yang menghalang saya dari bersama keluarga yang begitu jauh. “Simulasi” ini merupakan pembebasan saya daripada realiti ini dan hidup kembali bersama keluarga.

Hidup ini merupakan arca yang boleh diacu bentuknya, tetapi jika tidak cermat, sang pengukir akan terperangkap dalam arca yang dibinanya sendiri.

Imagikata - Masdalifadzlie M Saaid

Dan Lukisan, Apabila Ia Bernyawa… – Masdalifadzlie M Saaid

Istikharah, kawan. Penulisan Dan Lukisan, Apabila Ia Bernyawa… bermula dengan istikharah. Kemudian, dari negeri antah-berantah ia muncul antara celik dan lena. Lalu keesokannya dan seminggu seterusnya, ia menjadi kata-kata yang berfantasi, kata-kata penuh imaginasi. Imagikata!

Asal-muasal kisah ini sebetulnya berlatarbelakangkan peperangan, penuh darah dan kematian, disulami dengan unsur-unsur magis dan fantasi. Namun peruntukan 15 halaman tidak mencukupi bagi memperihalkannya. Maka berlakulah perubahan latar waktu dan percantasan watak-watak yang tidak perlu bagi menggambarkan ini ialah penceritaan cerpen, bukan novel. Teknik imbasan, juga imbasan dalam imbasan, digunakan ketika proses penyusunan plot. Gaya penulisannya juga ditetapkan berentak laju agar tidak meleret hingga boleh mendatangkan bosan kepada pembaca.

Setiap pagi dan petang, di dalam gerabak ulang-alik ke tempat kerja selama seminggu, cerpen ini ditulis sepenuhnya dengan bantuan peranti telbimbit, melalui aplikasi teknologi awan berjenama Google Docs.

Imagikata - Zaki Zainol

Hari-Hari Hari Ini – Zaki Zainol

Awalnya saya memang tidak ada apa-apa idea untuk ditulis kerana saya cuma penulis “sendal” untuk antologi ini (tetapi, akhirnya cerpen saya menjadi cerpen paling panjang. Betul-betul “sendal” dah ni…). Kemudian saya teringat kata-kata Jane Foster dalam filem Thor; “Magic’s just science we don’t understand yet,” yang sebenarnya memetik kata-kata Arthur C. Clarke. Maka saya sesuaikan petikan ini kepada budaya sosial Asia (Melayu khususnya).

Inspirasi lain saya bagi cerpen ini adalah daripada satu episod Stargate SG-1 bertajuk Window of Opportunity. Saya tidak mahu cerita lebih-lebih kerana sekiranya saya sentuh sedikit sahaja, ia akan jadi spoiler. Para pembaca yang budiman tentu tidak mahukan spoiler, bukan? Jadi, dapatkan Imagikata dan menangislah kekaguman membaca karya-karya lain yang rakan-rakan saya tulis.

Imagikata - Shariman Ismadi

Cincin – Shariman Ismadi Ismail

Sejujurnya, cerpen Cincin ini ternukil pada akhiran deadline antologi Imagikata.  Terlupa? Ataupun tiada masa? Mungkin ianya gabungan kedua-dua elemen tersebut menyebabkan saya menulis Cincin dalam masa tiga jam, pada suatu pagi di hari yang sepatutnya menjanjikan suasana kasual dan santai.

Cincin terilham daripada satu projek penulisan saya yang terbengkalai sejak tahun 2012. Bermula dengan 2-3 muka surat yang ditulis pada 2012, saya menyambung semula apa yang selama ini tiada noktah akhirnya. Selepas 2 jam menulis, saya mendapati bahawa saya langsung telah tidak mengikut story line penulisan asal 2012 saya yang dahulu.

Saya mengambil keputusan untuk kekal dengan storyline baru dan syukur menjelang satu jam yang berikutnya, saya telah menjumpai titik noktah yang terakhir untuk Cincin. Penulisan ala-ala Shinkansen ini memang kadangkala sangat efektif. Cuma, pengakhiran penulisan Cincin ini telah memberikan saya satu dilema lama… saya masih mempunyai satu cereka tahun 2012 yang masih belum siap di tulis!

Imagikata - Asyiqin Azra'ai

Arcee – Asyiqin Azra’ai

Adapun ceritera ini terinspirasi apabila saya menemani anak saya menonton rancangan Ultraman Kids. Betapa seronoknya dapat mengembara dari satu planet ke satu planet bersama rakan-rakan Ultraman untuk mencari ibu bapanya sambil menentang raksasa jahat. Lantas saya terinspirasi, alangkah terujanya emosi jika manusia juga boleh mengembara bersama rakan-rakan dari suatu galaksi ke suatu galaksi dengan begitu pantas dan mudah ibarat semudah naik basikal.

Walaubagaimanapun, saya tidak mahu mengkomplekskan ceritera ini dengan hujahan-hujahan fakta yang pasti akan membebankan otak pembaca. Nanti hilang pula mood pengembaraan yang semudah naik basikal tu. Saya masukkan elemen motivasi ikatan persahabatan dan menghormati orang tua agar sepanjang pengembaraan dalam ceritera ini pembaca dapat merasakan perasaan kasih sayang serta rindu yang meluap-luap.

Imagikata - Sayidah Mu'izzah

Alegori Cycad – Sayidah Mu’izzah

SIMBOLISME ASBAB KESENDIRIAN PALING SEJATI DI DUNIA

Alegori Cycad saya tulis dengan desakan tugasan kumpulan sebenarnya. Di Legasi Oakheart, kami mengadakan satu kumpulan kecil yang wajib menulis cerpen setiap minggu mengikut tema yang diberikan oleh ketua mingguan. Jika kami tidak menyiapkannya, kami akan didenda sebanyak RM5. Jadi, kami usahakan agar siap. Kebetulan pada suatu minggu saya mencabut undian tema yang kena dengan saya ialah fiksyen sains dengan “subject matter” kereta Cinderella. Pada saya kisah Cinderella agak lucu kerana ia pencarian jodoh yang dilakukan melalui saiz kasut. Ia kedengaran gila. Dengan dua orang kakak tiri yang terdesak mencari jodoh dan menginginkan putera raja sebagai suami, ia adalah utopia anak gadis yang “pathetic“.

Tema apapun, termasuklah fiksyen sains boleh sahaja kita jadikan sebuah kritikan sosial. Oleh itu di sini, saya ingin mengkritik perempuan-perempuan yang terdesakkan jodoh yang sempurna sedangkan tidak ada sesiapa pun yang sempurna di dunia ini. Perkahwinan diciptakan untuk saling melengkapi. Ia bukan suatu perlawanan mencari kesempurnaan atau siapa yang harus jadi (lebih) suci untuk siapa. Ah, yang pasti ia adalah sebuah perhubungan yang harus saling melengkapi.

Jadi kedua-dua watak perempuan dalam cerpen ini adalah suatu kegilaan mencari kesucian dalam diri seorang lelaki, dalam suatu zaman yang mana dalam tanggapannya, cinta menjadi terlalu sukar untuk sejati. Antara dua watak ini, ada satu watak yang tidak jelas wujudnya. Pembaca boleh mencarinya sendiri, seperti mana mencari diri sendiri, apakah kita sudah benar untuk mencintai sehingga kita menidakkan kesucian orang lain untuk memiliki cinta kita sehabis baik.

Disebabkan fiksyen sains mengharuskan alat teknologi, dan harus tercapai dek akal, saya wujudkan suatu kegilaan secara fizikal juga, yakni sebuah kereta mencari jodoh, yang dipercayai benar boleh berfungsi untuk mencari orang suci untuk dikahwini. Adakah perempuan-perempuan ini berjaya mencipta alat pencari jodoh yang sejati? Semoga yang membaca Alegori Cycad menemukan jawapannya nanti.

Imagikata - Amli Ghazali

Misi 3077 – Amli Ghazali

Sebenarnya pengaruh genre fiksyen sains amat dekat dengan minat saya. Saya suka cerita X-Men, Superman, Ultraman, Space Sheriff Gavan, dan cerita-cerita Jepun. Cerita sebegini walaupun fiksyen tetapi ada kebaikan sains di dalamnya.

Walaubagaimanapun, Misi 3077 tercetus setelah menonton filem Elysium yang diarahkan oleh Neill Blomkamp dan dibintangi Matt Damon serta Jodie Foster. Bagi mendapatkan lebih banyak ilham, saya turut menonton sebuah filem penerokaan angkasa lepas bertajuk Ender’s Game. Saya gabungkan elemen survival kehidupan manusia di luar angkasa dalam Ender’s Game dan penghijrahan manusia ke angkasa lepas bagi menyelamatkan manusia dalam filem Elysium.

Selain itu, Saya juga membaca novel berjudul Meja 17 yang dikarang oleh Irwan Abu Bakar untuk mendapat idea gila-gila berkaitan fiksyen. Bagi saya, gaya penyampaian beliau sangat berbeza dan unik.

Akhir sekali, buat pembaca budiman, cerita ini (Misi 3077) dikarang bertujuan untuk mengingatkan bahawa ilmu sains itu penting untuk kelangsungan kehidupan kita. Walaupun dihasilkan dalam sebuah cerita, namun saya berharap ia dapat menarik minat pembaca untuk meneroka lebih dalam lagi berkaitan ilmu sains dan penerokaan angkasa lepas. Manalah tahu, suatu hari nanti kita benar-benar dapat hidup di planet lain selain bumi.

Mengadun Persoalan Etika dalam SaiFai

Apabila berbicara mengenai cereka sains, ramai yang membayangkan latar yang unik seperti di angkasa raya mahupun pada masa depan yang penuh kemungkinan. Paparan latar sebegini dikuatkan dengan imej-imej teknologi baru yang lebih canggih dan sempurna berbanding sedia ada. Pembinaan latar ini merupakan elemen penting bagi menyampaikan idea dan muatan cerita dari aspek sains dan teknologi.

Dalam usaha membina latar dan watak-watak dalam sesuatu cerita, persoalan etika boleh diadunkan sebagai penggerak sesebuah cerita SaiFai. Persoalan etika yang dimaksudkan di sini bukanlah etika penulisan yang difahami oleh sesetengah penulis. Kekeliruan ini banyak berlaku disebabkan kepentingan dan kefahaman tertentu di pihak editor, selain daripada penggarisan kriteria sayembara yang umum mengenai etika tanpa huraian dan penjelasan lanjut.

Persoalan etika yang cuba penulis ketengahkan ialah persoalan etika sains, melibatkan interaksi antara watak-watak ahli sains dengan subjek kajiannya dan alam sekeliling. Justeru, persoalan etika ini mampu menjadi elemen utama dalam menjawab 1001 persoalan “what if? yang terkandung dalam sesebuah cerita SaiFai.

Bagi mencapai maksud ini, penulis cerita SaiFai perlu memahami watak dan cara kerja golongan yang dikatakan sebagai ahli sains. Berdasarkan penelitian peribadi penulis, penulis cerita SaiFai tempatan sering memaparkan watak-watak ahli sains yang berlatar belakang profesional, seperti doktor, pengkaji sains dan jurutera. Walaupun gambaran ini merupakan watak yang diterima umum, olahan cerita SaiFai akan tersudut ke ruang-ruang terhad seperti hospital, makmal kajian dan persekitaran kerja si jurutera. Apakah profesion tertentu, misalnya nelayan dan petani yang punya pengetahuan luas dalam bidang masing-masing, tidak bolehkah dipaparkan sebagai watak yang bersifat objektif dan punyai rasa ingin tahu mendalam? Contoh yang diberikan itu merupakan watak-watak yang sinonim dalam kehidupan masyarakat Malaysia, terutamanya penduduk luar bandar.

Kronikel Etanol

Selain daripada memahami cara kerja watak “ahli sains” yang ingin diketengahkan, penulis juga perlu melihat skop dan lapangan kerja watak terbabit. Ahli sains tidak sekadar berkitar dalam ruang universiti dan makmal semata-mata.

Satu contoh yang boleh dipuji, watak penyelidik bidang kejuruteraan dan bidang teknologi pertanian perlu turun ke ladang bagi menyelesaikan satu kes berunsurkan jenayah dalam novel Kronikel Etanol karya Hafizul Osman. Terdapat idea yang menarik mengenai fahaman environmentalisme dalam novel ini yang berpotensi untuk penulis mengembangkannya pada masa depan.

Di samping itu, watak ahli sains daripada pelbagai bidang boleh dipertemukan dalam satu cerita. Pertemuan watak-watak ahli sains ini memberikan pelbagai pandangan dan kupasan baru terhadap satu isu sains dan teknologi yang sedang dihuraikan dalam naratif berkenaan.

transgeniksifar

Antara novel yang berjaya membawa pendekatan ini ialah novel Transgenik Sifar karya Sri Rahayu Mohd Yusop, yang mempertemukan watak ahli psikologi, ahli genetik dan jurutera dalam satu aliran cerita. Isu yang sedang ditangani dalam novel ini membabitkan isu pengubahsuaian genetik, yang mana subjek kajian dalam novel berkenaan sedang menghadapi masalah psikologi. Dari titik tersebut, kupasan dari perspektif ahli psikologi dan jurutera muncul mengenai justifikasi bagi meneruskan kajian pengubahsuaian genetik tersebut. Kebijaksanaan pengarang mengadunkan dunia sains kemanusiaan dan dunia sains gunaan dalam satu naratif sains fiksyen melayakkan novel ini mendapat tempat pertama dalam Sayembara Fiksyen Sains dan Teknologi UTM-Kumpulan Utusan pada musim yang lalu.

Kebanyakan penulis cenderung untuk meletakkan kesan-kesan daripada aplikasi sains dan teknologi dalam pergerakan cerita, tanpa menghubungkan kesan-kesan ini dengan persoalan utama yang disentuh dalam novel atau menghuraikan kesan tersebut dengan lebih lanjut. Oleh itu, persoalan etika sains yang hendak dicapai terhenti sekadar menyatakan isu-isu berkait sains dan teknologi tanpa ada sudut pandang daripada watak-watak dalam cerita tersebut. Persoalan etika yang disampaikan menerusi watak tertentu, ahli sains mahupun orang luar bidang sains, mampu menjadikan sesebuah cerita SaiFai itu menarik dan berupaya dikaji dengan lebih lanjut, seperti mana novel-novel Michael Crichton.

Dalam kajian ini, Prof. Dr. Hub Zwart menunjukkan bagaimana kewujudan krisis saintifik dalam novel-novel Crichton mengetengahkan sentimen teknofilia dan teknofobia, serta peranan gender dalam komuniti saintifik. Persoalan-persoalan ini dikupas dengan baik dan dijalinkan dengan ruangan kerja watak ahli sains yang dipaparkan, daripada ruang makmal yang tertutup dan terkawal kepada dunia luar yang punya pelbagai kemungkinan dan bahaya.

Dengan mengetengahkan persoalan etika secara wajar dalam novel SaiFai, persepsi dan kebimbangan masyarakat terhadap sains dapat ditonjolkan secara kreatif, di samping mengetengahkan nilai-nilai etika yang mencerminkan masyarakat Malaysia. Hal ini membolehkan karya SaiFai tempatan berdialog dengan karya-karya SaiFai sedunia.

~

Muhammad Fakhruddin bin Hj Safian Shuri merupakan seorang pelajar sarjana Jabatan Pengajian Sains dan Teknologi, Fakulti Sains, Universiti Malaya dan penulis blog ohbuku.com.

Eksposisi Dalam Penceritaan SaiFai

Salam,

scalesMendedahkan latar belakang dalam sesebuah cerita adalah kerja yang amat sukar. Ia merupakan satu kerja penyeimbangan atau “balancing act“, di mana penulis perlu memberitahu kepada pembacanya maklumat penting supaya pembaca dapat faham jalan cerita yang cuba disampaikan. Namun demikian, terlalu banyak maklumat yang disampaikan akan menyebabkan pergerakan cerita menjadi tidak begitu lancar.

Pendedahan latar belakang dalam cerita dinamakan “eksposisi” atau “exposition“. Dalam SaiFai (dan juga fantasi), eksposisi sangat penting kerana penulis perlu menyampaikan konsep-konsep atau idea-idea yang masih belum wujud di dalam dunia ini, dan ianya perlu diterangkan kepada pembaca supaya cerita dapat difahami dengan betul.

Mereka yang baru berjinak-jinak dalam dunia penulisan mungkin akan menggunakan kaedah eksposisi yang cliché yang berbunyi begini:

“Seperti yang kita sedia maklum…”

atau

“Seperti yang kalian semua tahu…”

As you may know my dear reader, teknik ini sebenarnya menggalakkan penulis menulis secara malas. Beliau akan mencampakkan segala maklumat tentang latar ceritanya ke dalam dialog supaya pembaca dapat memahami keadaan yang sedang berlaku dengan lebih teliti, tetapi jika watak lain yang sedang mendengar dialog yang disampaikan itu sudah “sedia maklum,” kenapa pula dia perlu diterangkan maklumat yang sudah diketahuinya terlebih dahulu?

Tetapi jika kita sebagai penulis tidak mahu menulis cara ini, bagaimana pula kita boleh terangkan kepada pembaca tentang latar cerita kita? Bagaimanakah eksposisi yang elok boleh berlaku dalam penceritaan supaya ceritanya boleh bergerak dengan lancar dan seronok?

Pertama, penulis harus faham bahawa maklumat tentang latar cerita tidak perlu dicampakkan kesemuanya pada bahagian awal cerita. Penulis tidak perlu menceritakan segalanya tentang dunia hebat yang telah diciptakannya di dalam lima halaman yang pertama. Pembaca tidak perlu tahu itu semua pada waktu itu. Terlalu awal untuk pembaca menghadamnya. Seorang penulis itu haruslah memperkenalkan watak-wataknya terlebih dahulu sebelum latarnya supaya pembaca boleh menjalinkan suatu “hubungan” dengan mereka.

Kedua, perlu adanya watak yang menjadi “audience surrogate” atau pengganti kepada pembaca. Apa yang pembaca tahu, watak itu tahu. Apa yang pembaca tak tahu, watak itu  tak tahu. Dari situ, apabila watak dalam cerita itu musykil atau keliru, pembaca juga akan mempunyai perasaan yang sama. Apabila watak itu kebingungan dan mahu bertanyakan soalan, pembaca juga akan mahu bertanyakan soalan yang sama.

Ketiga, apabila watak dalam cerita memerlukan maklumat yang penting untuk didedahkan kepadanya, waktu itulah penulis boleh mendedahkan latar atau maklumat yang sebelum ini sengaja disembunyikan daripada pembaca. Jangan pula penulis dedahkan segala maklumat yang telah diciptanya! Hanya beritahu apa yang watak itu perlu tahu pada ketika itu.

Maklumat tentang latar haruslah dititipkan sedikit demi sedikit ke dalam cerita, supaya pembaca sentiasa dahagakannya lagi. Jika ditumpahkan kesemuanya sekali, minat pembaca mungkin hilang terus kerana terlalu banyak maklumat yang perlu dihadam dan pergerakan cerita juga terjejas.

Sebagai contoh, mari kita lihat contoh perenggan pertama dari salah sebuah cerpen saya:

Pagi itu Firas bangun badannya kuyup lencun, bukan kerana sekali lagi dia telah berjalan sambil tidur dan menemui dirinya telah masuk ke dalam dewan pemprosesan air di mana ruang itu sentiasa dipenuhi kabus yang sarat dengan air.

Ayatnya panjang dan berbelit-belit tetapi kita diperkenalkan kepada watak utama yang bernama Firas. Dari perenggan ini pembaca akan tahu bahawa watak bernama Firas inilah yang akan menjadi watak sudut pandang bagi pembaca dalam cerita ini. Penulis yang baik akan mengekalkan sudut pandang kepada satu watak sahaja dalam suatu cerpen, dan jika ada lebih daripada satu sudut pandang, ia akan dibahagikan kepada seksyen tersendiri dan bukan dicampuradukkan di dalam perenggan yang sama untuk mengelakkan pembaca terkeliru.

Pembaca juga diberi maklumat bahawa di dalam cerita ini terdapat sebuah dewan pemprosesan air yang dipenuhi kabus, malah Firas pula sentiasa berjalan sambil tidur ke dalam dewan itu. Perenggan pertama ini sebenarnya padat dengan eksposisi tetapi ia sebenarnya masih okey kerana tidak membebankan pembaca dengan maklumat berlebihan (harap-harap), malahan membuat pembaca tertanya-tanya pula — Mengapa si Firas ini sentiasa berjalan sambil tidur? Mengapa pula dia tidur di dalam suatu tempat yang punya sebuah dewan pemprosesan air? Apakah yang sebenarnya berlaku ini?

Jadi, eksposisi yang cantik ialah eksposisi yang bukan sahaja mendedahkan latar kepada pembaca tetapi sebaliknya membuat pembaca mahu bertanya lebih lagi soalan. Dan semoga sifat ingin tahu ini akan mendorong pembaca untuk terus membaca cerita itu sehingga ke kesudahannya.

~

imagikata

Cerpen yang dimaksudkan di atas bolehlah dibaca di dalam Antologi Cerpen X-traordinari Imagikata yang kini boleh dibeli dari BookCafe.

Transgenesis: Pelanggaran Etika Bioteknologi dalam Karya Sastera, Bahagian 2

Sempena penerbitan semula novel Transgenesis karya Amir Husaini oleh Penerbit-X, Pena SaiFai telah memutuskan untuk mengadakan Minggu Amir Husaini. Artikel-artikel pada minggu ini bertemakan buku-buku Amir Husaini. Semoga bermanfaat.

Artikel ini asalnya ditulis oleh Dr. Maharam Mamat dan diterbitkan di dalam Jurnal Pengajian Melayu, Volume 20, No 20 (2010) dan boleh dibaca secara penuh di laman Electronic Journal of University of Malaya. Untuk dimuatkan di dalam Pena SaiFai, artikel ini telah dibahagi kepada dua. Bahagian 1 telah diterbitkan semalam. Selain itu, tiada perubahan dibuat kepada artikel asal.

Abstrak

Kemajuan dalam bidang bioteknologi telah membuka banyak peluang dan wajah baru dalam banyak sektor seperti perhutanan, agrikultur, perubatan, genetik, rawatan air kumbahan, dan sebagainya. Teknik-teknik terkini dalam bioteknologi, termasuk kejuruteraan genetik membolehkan pemindahan ciri-ciri genetik di antara spesies yang sama dan antara spesies lain seperti bakteria, tumbuhan dan haiwan yang berlainan sama sekali. Ia sering diaplikasikan dalam pelbagai bidang termasuk pertanian, perubatan, farmasi, perhutanan, pemuliharaan tenaga, pengurusan sisa pepejal perbandaran dan rawatan sisa kumbahan. Sekalipun pengubahsuaian genetik dalam bidang bioteknologi membawa banyak kebaikan kepada manusia, namun, penyalahgunaan dan pelanggaran etika terhadap teknik-teknik yang digunakan akan mengundang impak yang serius. Penyalahgunaan kejuruteraan genetik inilah yang diterapkan dalam novel Transgenesis. Novel ini telah mengetengahkan tentang pelanggaran dalam bidang bioteknologi yang melibatkan etika dan pelaksanaan penyelidikan. Tidak banyak karya sastera yang mengupas tentang isu sains dan teknologi dihasilkan di Malaysia. Terbitnya novel Transgenesis telah mengisi kelompangan ruang yang ada.

Bersambung dari semalam. Baca Bahagian 1 di sini.

Pelanggaran Etika Bioteknologi dalam Novel Transgenesis

Novel Transgenesis: Bisikan Rimba telah mengupas tentang kejayaan seorang saintis, Datin Kay melakukan transgen dan pengklonan terhadap manusia. Kelahiran subjek 4-7-9-1 atau Flora merupakan magnum opus yang sangat dibanggakan Datin Kay. Manusia klon tersebut diperincikan seperti berikut:

Subjek 4-7-9-1 boleh membuat makanannya sendiri menerusi proses fotosintesis. Dia tidak perlu makan mahupun minum kerana proses fotosintesis sudah memadai baginya mendapatkan bekalan makanan dan air yang diperlukan. Darah subjek 4-7-9-1 berwarna putih kerana yang mengalir itu bukan darah biasa tetapi kanji yang terhasil daripada proses fotosintesis. Dia juga boleh merembeskan feromon yang mempunyai keharuman bunga kenanga. Dan kini, nampaknya, subjek 4-7-9-1 mempunyai kemampuan komunikasi dengan tumbuhan!

(Transgenesis; 124)

Keistimewaan dan kelebihan Flora telah dinyatakan kepada pembaca secara terus seperti petikan di atas, ataupun melalui banyak dialog yang diucapkan antara Datin Kay dan Profesor Ned. Pembaca akan didedahkan tentang pelbagai fakta berkaitan manusia transgen tentang bagaimana Flora boleh membuat makanan sendiri melalui fotosintesis, fungsi darah berkanjinya yang berwarna putih, sebab Flora berwarna hijau dan mampu merembeskan bauan kenanga dan lain-lain lagi. Akhirnya, pembaca didedahkan dengan keistimewaan watak ini berinteraksi dan berkomunikasi secara telepati dengan tumbuh- tumbuhan.

Pembaca dikejutkan dengan pengakuan Datin Kay tentang keistimewaan dirinya yang pernah dijadikan bahan ujikaji dan menerima sel kenanga di dalam tubuhnya semasa zaman penjajah. Sel kenanga yang telah ditransgen itulah menyebabkan Datin Kay  sentiasa berbau wangi tanpa perlu menggunakan pewangi. Paling mengejutkan, Datin Kay mengaku bahawa embrio miliknya telah digunakan sepanjang eksperimen pengklonan yang berjaya mewujudkan Flora.

Berdasarkan analisis yang dilakukan dalam novel Transgenesis: Bisikan Rimba, secara amnya terdapat empat pelanggaran etika bioteknologi (kejuruteraan genetik dan pengklonan) telah dilakukan, iaitu:

1. Pengubahsuaian Genetik

Pengklonan pembiakan merupakan satu prosedur pengklonan yang digunakan untuk menghasilkan embrio klon yang seterusnya akan dimasukkan ke dalam rahim wanita untuk melahirkan seorang anak klon. Manakala pengklonan terapeutik ialah pengklonan embrio untuk menjana “sel stem” yang berupaya untuk menghasilkan tisu atau organ (http://www.nbbnet.gov.my/pintarbiotek/malayversion/klon_manusia.htm). Kemajuan dalam teknologi klon menyebabkan manusia boleh mengubahsuai genetik untuk mendapatkan bentuk manusia barn yang diingini. Pilihan klon baru berkenaan memenuhi kritiria fizikal yang sempurna, IQ yang genius, ketahanan tinggi terhadap sesuatu rintangan seperti sistem imun yang kuat, daya tahan penyakit dan pelbagai kelebihan lain yang diingini (Ron Epstein, 2002). Ibu bapa akan memilih gen yang sesuai dan dikehendaki oleh mereka, mungkin genius setaraf dengan Albert Einstein, ahli seni seperti Mozart, atlet handal, atau berwajah kacak dan cantik seperti Pierce Brosnan atau Jennifer Lopez. Persoalannya, berapa peratus gen manusia dipindahkan ke dalam sesuatu organisma baru dianggap sebagai manusia?

Datin Kay banyak melakukan penyelidikan berkaitan penambahbaikan baka manusia. Apabila Institut Trans-DNA ditubuhkan, kajian lebih efektif dilakukan. Datin Kay telah memindahkan gen dari tumbuhan kepada manusia hingga mewujudkan manusia transgenik, iaitu Flora (hal. 237). Mengubahsuai genetik dengan memanipulasikan gen manusia dan DNA organisma lain merupakan amalan yang tidak praktikal (hal. 94). Menambahbaik baka, menggantikan baka yang tidak baik dengan baka yang lebih bermutu (hal. 193) umpama mencampuri urusan Allah. Hidup manusia umpama tidak memerlukan Pencipta kerana mampu mewujudkan satu manusia baru yang memiliki ciri-ciri diingini. Ia bagaikan menidakkan ketentuan takdir.

Datin Kay beranggapan bahawa etika itu cuba mengekang usahanya untuk terus maju dan mencipta magnum opus dalam dunia sains transgen. Dia tidak menganggap pelanggaran etika yang telah dilakukannya itu sebagai satu kesalahan. Namun, dia akhirnya menyedari tentang kealpaan itu apabila subjek kajiannya, subjek 4-7-9-1, telah hilang dari makmal dan bebas di hutan Gunung Pulai. Ini diperincikan seperti di bawah:

Pakar genetik itu teringatkan bagaimana dia memulakan eksperimen bagi menghasilkan manusia transgenik itu. Dia mahu mewujudkan manusia yang mempunyai kelebihan-kelebihan tertentu. Baginya, penyelidikan menghasilkan manusia transgenik ini adalah magnum opus atau penyelidikan agungnya. Namun dia terlupa sejenak kekuasaan Tuhan yang maha agung dan maha kuasa. Dia terlupa yang dia hanyalah manusia biasa yang tidak mampu mencipta seperti Allah. Dia tidak ingat yang manusia adalah khalifah dan wakil Allah bagi mengimarahkan dan membinasakan apa yang ada di muka bumi.

Dia terlupa fitrah kejadian Tuhan yang sudah sempurna. Dia cuba melanggar batasan yang ditetapkan dengan cuba mengubah fitrah ketentuan Tuhan. Siapalah dia hendak mengubah kejadian Tuhan? Tetapi sayang, dia terlupa.

(Transgenesis; 264-265)

Walaupun pengklonan telah mewujudkan satu lagi replika biologi yang tepat, tetapi ia tidak bermakna yang klon tersebut mempunyai persamaan personaliti dan nilai. Persekitaran, pendidikan dan pegangan agama adalah pembolehubah terbesar yang mampu membentuk keunikan seseorang individu selain daripada genetik yang berkualiti.

2. Cara pelupusan embrio yang gagal dalam penyelidikan.

Pemusnahan dan pengubahsuaian embrio atau fetus manusia untuk mendapatkan sel atau organ merupakan satu tindakan yang diharamkan. Embrio adalah bernyawa, maka pemusnahannya umpamakan satu pembunuhan. Sesetengah pihak juga bimbang bahawa klon-klon manusia yang dilahirkan mungkin dipandang rendah dengan pelbagai kesan negatif mungkin dihadapi oleh keluarga dan masyarakatnya. Sesetengah pihak pula bimbang terdapat pihak berniat jahat mengambil kesempatan ini, seterusnya akan menimbulkan banyak masalah sosial (http://www.nbbnet.gov.my/pintarbiotek/malayversion/klon_manusia.htm).

Bayi yang diklonkan mempunyai kromosom yang sepadan dengan penderma. Ini bermakna, gen-gen bayi berkenaan mengikut usia pendermanya (Jabatan Mufti Selangor). Sekiranya penderma sudah lanjut usia, bayi klon yang baru dilahirkan itu juga seusia dengannya. Jadi, risiko untuk mendapat pelbagai jenis penyakit seperti jantung, kanser, diabetis dan sebagainya juga sangat tinggi. Selain itu, produk klon mengalami banyak kegagalan sebelum berjaya dilahirkan seperti keguguran, kelahiran tidak cukup bulan ataupun kematian selepas dilahirkan. Sebelum Dolly berjaya dihasilkan, sebanyak 227 embrio telah gagal dan dilupuskan. Klon kucing, Cc pula pernah gagal sehingga 87 kali. Pelbagai proses klon yang lain juga mengalami banyak kegagalan.

Embrio yang gagal dalam eksperimen perlu dilupuskan dengan penuh etika dan betul caranya. Sebanyak 4,790 embrio telah gagal sepanjang eksperimen menghasilkan Flora. Semua embrio ini telah dibuang di kawasan hutan Gunung Pulai. Embrio yang telah menjadi janin telah ditanam begitu sahaja sedangkan secara teorinya janin itu sudah bernyawa. Jawatankuasa penyelidikan universiti tidak meluluskan projek penyelidikan klon manusia bukan sahaja kerana melanggar etika, tetapi penyelidikan ini juga tidak dijalankan secara berprotokol (hal. 165). Cara pelupusan embrio mengikut protokol memerlukan kos yang terlalu tinggi (hal. 169) sedangkan pada masa tersebut, Datin Kay perlu menjimatkan kos kerana menggunakan wang sendiri ekoran tiada tajaan (hal. 167).

Jadi, Datin Kay telah mengupah syarikat tauke Hwang Chien Ming untuk melupuskan semua embrio yang gagal itu. Ini diterangkan penulis seperti berikut:

“Memang saya upah dia bagi membantu lupuskan embrio-embrio itu. Jauh lebih murah berbanding sekiranya saya membuat pelupusan mengikut protokol dan prosedur universiti. Lagipun, sekiranya saya ikut protokol dan prosedur, pasti ada pertanyaan daripada fakulti. Dan pasti itu mengundang padah pada projek penyelidikan ini,” Datin Kay seperti memberi justifikasi tindakannya itu.

(Transgenesis; 170)

Walaupun Prof. Ned adalah bekas pelajar Datin Kay, namun Prof Ned merupakan seorang yang tegas dan mengikut peraturan. Ini menyebabkan tidak semua maklumat tentang pengklonan Flora telah diberikan kepada Prof Ned. Banyak maklumat berkaitan pelanggaran etika semasa melakukan penyelidikan ini telah dirahsiakan daripada pengetahuannya, termasuk cara melupuskan embrio yang gagal dan sumber embrio yang diperolehi untuk penyelidikan berkenaan. Ini antaranya dinyatakan seperti berikut:

Walau bagaimanapun, tidak semua maklumat sudah diberikan kepada Prof Ned apabila dia bersetuju menerima tawaran lumayan mengetuai Institut Trans-DNA. Dia tidak diberitahu yang projek itu tidak pernah mendapatkan kelulusan Jawatan Kuasa Penyelidikan semasa dimulakan di universiti. Dia tidak dimaklumkan yang projek ini bermula seeara rahsia dan tanpa kebenaran sepanjang enam tahun pertama semasa Datin Kay bertugas di universiti. Dia juga tidak dikhabarkan yang kesemua 4,790 embrio yang gagal dalam eksperimen ini tidak dilupuskan mengikut protokol dan prosedur yang sepatutnya.

(Transgenesis; 168)

Kegagalan mematuhi etika untuk melupuskan embrio yang gagal dalam penyelidikan ini telah mencetuskan tragedi apabila muncul Dark Flora yang agresif sifatnya. Tragedi pembunuhan dan peristiwa penculikan Datuk Jay dan Datin Kay membuatkan Datin Kay sedar tentang kesilapannya mengabaikan protokol pelupusan embrio dan melakukan penyelidikan terlarang secara rahsia.

3. Manusia Dijadikan Bahan Ujian

Manusia merupakan sebaik-baik makhluk yang diciptakan .Allah. Manusia yang dieiptakan dari tanah telah menerima pengiktirafan yang besar sehingga malaikat (dicipta dari cahaya) telah sujud kepada Nabi Adam A.S. Apabila manusia diklonkan, manusia sedang “menjadi” Tuhan yang ingin mengubah tabii kehidupan sejagat. Kejayaan Subjek 4-7-9-1 sebagai manusia transgen adalah pencapaian yang sangat bermakna dalam dunia sains, terutama di dunia ke tiga. Datin Kay telah membuktikan bahawa saintis Malaysia juga mempunyai keupayaan sama seperti saintis Barat. Namun, dari sudut moral, pengklonan manusia adalah melanggar hak moral seseorang individu (Jabatan Mufti Selangor).

Eksperimen yang dijalankan telah menyebabkan manusia (dalam kes ini Subjek 4-7-9-1 atau Flora) dijadikan bahan ujikaji. Datin Kay dan Datuk Jay telah melayan Flora sebagai satu bahan ujikaji, bukannya sebagai manusia. Flora juga tidak dibenarkan hidup bebas seperti manusia yang lain tetapi diletakkan dalam bilik kaca untuk sentiasa diawasi perkembangannya (hal. 237). Flora juga tidak diberikan nama, sebaliknya dikenali sebagai “Subjek 4-7-9-1”. Nama Flora dipilihnya sendiri semasa berada dalam hutan di Gunung Pulai. Sebagai manusia, Flora sepatutnya dilayan seperti seorang manusia, bukannya sebagai subjek kajian.

Kegagalan eksperimen terhadap klon manusia ini telah menyebabkan kerosakan terhadap alam. Embrio yang tidak dilupuskan secara protokol telah menjadi satu lagi klon yang serupa dengan Flora (digelar Dark Flora kerana sifat ganasnya), tetapi membesar dan hidup di dalam hutan Gunung Pulai secara semulajadi. Klon inilah yang telah bertindak menuntut bela terhadap ketidakadilan yang dilakukan terhadapnya (hal. 266). Dark Flora telah membunuh tauke Hwang Chien Ming dan cuba melakukan hal yang sama terhadap Datuk Jay dan Datin Kay.

Kehidupan Dark Flora di dalam hutan secara semulajadi selama 17 tahun telah membentuk sikap yang ganas, cara berfikir dan cara bertindaknya. Dia telah dibesarkan tanpa nilai kemanusiaan dan disemai dengan perasaan dendam kepada manusia seperti petikan berikut:

Kami besarkannya tanpa nilai kemanusiaan. Kami semai benih-benih dendam dalam dirinya. Ini kerana kami terasa terseksa oleh perbuatan manusia yang rakus. Manusia yang menggondolkan bumi kerana tamakkan kekayaan. Manusia yang melakukan kerosakan kepada alam. Manusia yang memusnahkan segala-galanya tanpa memikirkan kesannya kepada keturunan sendiri.

(Transgenesis; 149)

Pengklonan mampu melahirkan individu yang genius, sempurna bentuk fizikal dan kecerdasan seperti yang diingini, tetapi tidak mampu membentuk emosi dan nilai moral. Emosi, nilai moral dan keperibadian seseorang akan dibentuk melalui persekitaran yang didedahkan kepadanya.

4. Penyalahgunaan

Sesempurna manapun hasil sesuatu eksperimen, risiko untuk disalahgunakan tetap ada. Bioteknologi pada peringkat asalnya diselidiki untuk membantu kehidupan manusia dalam kehidupan bagi memenuhi keperluan manusia terhadap rawatan penyakit genetik, meningkatkan mutu hasil pertanian, menambah daya tahan biologi terhadap penyakit dan sebagainya. Ia membawa perubahan besar kepada manusia untuk meningkatkan taraf hidup.

Penyalahgunaan bioteknologi dalam novel ini melibatkan nilai ekonomi. Apabila projek klon manusia yang dihasilkan Datin Kay telah berjaya, Datuk Jay akan mendapat pulangan lumayan daripada pelaburannya selama ini. Datuk Jay bercadang untuk memasarkan hasil penyelidikan yang telah dijayakan Datin Kay bagi tujuan ketenteraan (hal. 130). Mereka beranggapan subjek yang dihasilkan melalui ujikaji (Flora) adalah satu teknologi yang tidak mempunyai perasaan. Sebagai satu bentuk teknologi, Flora boleh dilatih sebagaimana diingini, seperti menjadi tentera yang terbaik. Kepelbagaian ciri terbaik yang ada dalam manusia klon membuka peluang yang besar untuk Datuk Jay mendapat keuntungan yang berganda (hal. 55). Dalam hal ini, manusia yang diklonkan itu dianggap seperti barang yang boleh diperdagangkan, bukannya manusia.

Bagi Datin Kay pula, kejayaan ujikajinya sangat diperlukan kerana dia mahu membuktikan keupayaan sebagai seorang saintis. Dia juga mahu membuktikan teorinya berkaitan transgenesis boleh diaplikasikan di alam nyata. Dia telah memulakan penyelidikan tersebut dan mahu mencipta satu magnum opus untuk dirinya sendiri sebagai ahli sains yang menyumbang terhadap perkembangan ilmu sains genetik dunia (hal. 55). Impian utama Datin Kay adalah menghasilkan sesuatu yang tidak tercapai oleh pemikiran manusia (hal. 59). Pendirian Datin Kay dinyatakan seperti berikut:

“Saya mahu buktikan teori saya berkenaan transgenesis adalah sesuatu yang boleh dilakukan. Malah bukan itu sahaja, saya nak buktikan yang ia boleh melonjakkan manusia ke satu tahap yang lebih tinggi. Macam selalu saya katakan kepada awak, seorang saintis tidak sepatutnya terikat dengan soal etika. Sekiranya terikat, tak mungkin dunia sains boleh berkembang pesat dengan kekangan-kekangan yang ada. Tak mungkin kita dapat bangunkan teknologi baru. Dan tak mungkin kita kecapi kemajuan dan pemodenan,” hujah isteri ahli perniagaan itu dengan panjang lebar.

(Transgenesis; 166)

Keinginan untuk membuktikan apa yang dipegangnya, membuatkan Datin Kay sanggup melanggar etika penyelidikan dan moral. Apabila wujud klon manusia, timbul pula beberapa persoalan tentang diri manusia tersebut seperti yang dialami Flora, boleh dilihat seperti petikan di bawah:

Bagi Flora, dia hanya mampu terdiam. Akhirnya dia mengetahui asal usul dirinya. Dia adalah manusia transgenik yang mempunyai gen-gen tumbuhan di dalam dirinya. Dia juga adalah replika genetik Datin Kay. Dan Datin Kay jugalah yang mengandungkannya sehingga dia dapat lahir ke dunia yang fana ini. Namun Flora keliru. Apakah hubungannya dengan Datin Kay? Adakah Datin Kay itu ibunya kerana mengandungkannya? Adakah Datin Kay kembarnya kerana mereka mempunyai kod genetik yang sama? Adakah Datin Kay induk genetiknya kerana dia sudah diklonkan daripada pakar genetik itu?

(Transgenesis; 322)

Manusia klon tidak mempunyai ciri genetik yang unik, sebaliknya mempunyai genetik yang sama dengan penyumbang DNAnya (Shaikh Mohd Saifuddeen, 2003). Berdasarkan persoalan ini juga, timbul persoalan tentang hubungan antara Flora dan Datuk Jay, sama ada sebagai isteri (kerana sel Datin Kay yang digunakan) atau anaknya (kerana menggunakan ovum Datin Kay). Status ini kemudiannya akan turut menyentuh soal aurat, hukum syarak, pewarisan harta, nasab keturunan dan sebagainya memandangkan mereka bertiga (Datuk Jay, Datin Kay dan Flora) beragama Islam. Kecelaruan seumpama inilah antara sebab mengapa pengklonan manusia tidak wajar dilakukan. Di Singapura, denda hingga S$ 100,000 dan penjara 10 tahun akan dijatuhkan sekiranya terbukti bersalah kerana cuba mengklonkan manusia (Utusan, 2003).

Kesimpulan

Kemajuan yang dicapai dalam bioteknologi memungkinkan kita bertemu dengan diri sendiri yang telah diklonkan pada masa hadapan. Perkembangan bioteknologi telah memberi keupayaan kepada manusia mewujudkan satu makhluk lain yang seiras menggunakan hanya instrumen makmal. Namun, persoalannya, adakah beretika menggunakan kejuruteraan genetik dan pengklonan untuk meningkatkan bakat-bakat terpilih seseorang individu?

Sebesar mana penemuan teknologi yang diciptakan untuk dimanfaatkan dunia sejagat, teknologi yang sama juga mempunyai potensi yang besar untuk disalahgunakan. Larangan terhadap pengklonan manusia mempunyai asasnya berdasarkan impak yang perlu ditangani kemudian hari. Apabila terdapat individu yang cuba melanggar etika yang telah ditetapkan, maka dia perlu bersedia untuk berhadapan dengan impak berkenaan.

Novel Transgenesis: Bisikan Rimba, mengetengahkan pelanggaran etika dalam penyelidikan bioteknologi berdasarkan penyelewengan penyelidikan yang dilakukan Datin Kay. Datin Kay sanggup membelakangkan etika apabila bertindak mengklonkan ovumnya sendiri hingga terhasil “Subjek 4-7-9-1”. Pelanggaran etika yang dilakukannya tidak sahaja melakukan pengubahsuaian genetik tetapi turut melakukan transgen dengan tumbuhan. Transgen Flora dengan tumbuh-tumbuhan telah memberi keupayaan kepadanya untuk berfotosintesis dan membuat kanji sendiri seperti tumbuhan, berwarna hijau, mengeluarkan ekstrak kenanga yang wangi dan mampu berinteraksi dengan tumbuh-tumbuhan. Pengubahsuaian genetik sebegini seakan menolak ketentuan takdir yang telah ditetapkan Allah kepada setiap hambanya sebelum setiap orang diciptakan.

Embrio yang gagal dalam penyelidikan ini telah dilupuskan tanpa mematuhi piawai dan protokol yang sepatutnya. Novel ini juga telah menonjolkan bagaimana ujian dan kajian yang dilakukan terhadap manusia telah melanggar hak moral seseorang individu. Malah, tindakan Datuk Jay membiayai penyelidikan Datin Kay berasaskan pulangan ekonomi yang bakal diterimanya nanti juga sangat tidak wajar. Setiap manusia, walau sebagaimana sekalipun kejadiannya perlu dihormati kebebasannya, bukannya dijadikan sebagai bahan ujikaji dan diperdagangkan, apalagi untuk dilatih sebagai tentera.

Dunia sains yang diterapkan dalam sastera mampu menghasilkan satu dunia baru yang sukar dijangkakan. Fakta sains, kemajuan teknologi dan penyelidikan yang digabungkan dengan imaginasi, fantasi dan kemudiannya dipadatkan pula dengan pelbagai teknik penulisan, mampu menghasilkan satu karya yang hebat tanpa mencicirkan mesej yang ingin disampaikan. Amir Husaini melalui novel Transgenesis: Bisikan Rimba, telah menggabungkan bakat penulisan yang luar biasa dengan pengetahuan saintifik yang menakjubkan akhirnya menghasilkan fiksyen sains thriller yang hebat. Mesej yang disampaikan penulis ini juga jelas; sehebat mana ciptaan manusia itu tidak dapat menandingi kehebatan kuasa Allah.

Bibliografi

  • Al-Qur’an.
  • Amir Husaini. 2008. Transgenesis: Bisikan Rimba. Kuala Lumpur: PTS Fortuna.
  • Bioteknologi. 2003. Kontroversi Klon Manusia dalam http://smuapp.kelantan.edu.my/biopengetahuan.html laman rasmi Maahad Muhammadi, Pasir Pekan yang memetik artikel dari Berita Harian, 6 Jan 2003. (6 Mac 2009). [ 15 April 2009]
  • Anon. 2003. The Threshold Challenge of the New Human Genetic Technologies di http://www.geneticsandsociety.org/article.php?id=272. [15 April 2009]
  • Coghlan, A. (1996). Gene shuttle virus could damage the brain. New Scientist May 11:6. David Pratt. Jun 2002. Genetic Engineering: Dream or Nightmare? Di http://ourworld.compuserve.com/homepages/DP5/genetic.htm [27 Mac 2009]
  • Epstein, Ron. 1999. Ethical Dangers of Genetic Engineering. Synthesis/Regeneration 20. Fall.
  • Epstein, Ron. 2002. Redesigning the world: Ethical Question about Genetic Engeneering dim Ethical Issues in Biotechnology. Richard Sherlock and John D. Money (eds). New York: Oxford. Hal 47-70.
  • Epstein, Ron. 1998. Ethical and Spiritual Issues in Genetic Engeneering dalam Ahimsa Voices: A Quarterly Journal for the Promotion of Universal Values, 5(4), Oct. 1998, hal. 6-7.
  • Genetic Engineering: What is Genetic Engineering? Di http://www.globalchange.com/geneticengine.htm [27 Mac 2009]
  • Ho, Mae-Wan. Tt. Transgenic Transgression of Species Integrity and Spicies Boundaries di http://www.psrast.org/whtr&hor. htm [15 April 2009]
  • Ho, Mae-Wan. 2000.Genetic engineering: dream or nightmare? Turning the tide on the brave new world of bad science and big business, New York, NY: Continuum.
  • Jabatan Mufti Negeri Selangor di: www.muftiselangor.gov.my [27 Mac 2009]
  • Kass, Leon dan Wilson, Jame. 1998. The Ethics of Human Cloning. Washington: The AEI Press.
  • Massey, Rachel. 2001. Biotech: The Basics, Part 1 di http://online.sfsu.edu/~rone/GEessays/biotechthebasics.htm [27 Mac 2009]
  • Richard, Hayes. Tt. Genetically Modified Human? Di http://www.ratical.org/co-globalize/minGMhuman.html. [27 Mac 2009]
  • The Ethics of Human Cloning. 1999. Report of the Council on Ethical and Judicial Affairs of the American Medical Association di http://staff.lib.msu.edu/skendall/cloning/laws.htm. [ 1 May 2009]
  • Utusan Malaysia. 2003. Saintis minta isytihar klon manusia satu jenayah, 10 September 2003.
  • Utusan Malaysia. 2003. Saintis cuba klon manusia boleh dipenjara 10 tahun, 18 November 2003.
  • Shaikh Mohd Saifuddin Shaikh Mohd Salleh. 2003. Pengklonan Manusia Lebih Banyak Bawa Mudarat dalam laman web rasmi Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) di http://www.ikim.gov.my [15 April 2009]
  • Zhu, Yifei. 1998. On Genetic Engineering dalam Vajra Bodhi Sea, April & May

~

Novel Transgenesis (edisi 2016) boleh dibeli secara atas talian di BookCafe.com.my.

Transgenesis: Pelanggaran Etika Bioteknologi dalam Karya Sastera, Bahagian 1

Sempena penerbitan semula novel Transgenesis karya Amir Husaini oleh Penerbit-X, Pena SaiFai telah memutuskan untuk mengadakan Minggu Amir Husaini. Artikel-artikel pada minggu ini bertemakan buku-buku Amir Husaini. Semoga bermanfaat.

Artikel ini asalnya ditulis oleh Dr. Maharam Mamat dan diterbitkan di dalam Jurnal Pengajian Melayu, Volume 20, No 20 (2010) dan boleh dibaca secara penuh di laman Electronic Journal of University of Malaya. Untuk dimuatkan di dalam Pena SaiFai, artikel ini telah dibahagi kepada dua. Bahagian 2 akan diterbitkan esok. Selain itu, tiada perubahan dibuat kepada artikel asal.

Abstrak

Kemajuan dalam bidang bioteknologi telah membuka banyak peluang dan wajah baru dalam banyak sektor seperti perhutanan, agrikultur, perubatan, genetik, rawatan air kumbahan, dan sebagainya. Teknik-teknik terkini dalam bioteknologi, termasuk kejuruteraan genetik membolehkan pemindahan ciri-ciri genetik di antara spesies yang sama dan antara spesies lain seperti bakteria, tumbuhan dan haiwan yang berlainan sama sekali. Ia sering diaplikasikan dalam pelbagai bidang termasuk pertanian, perubatan, farmasi, perhutanan, pemuliharaan tenaga, pengurusan sisa pepejal perbandaran dan rawatan sisa kumbahan. Sekalipun pengubahsuaian genetik dalam bidang bioteknologi membawa banyak kebaikan kepada manusia, namun, penyalahgunaan dan pelanggaran etika terhadap teknik-teknik yang digunakan akan mengundang impak yang serius. Penyalahgunaan kejuruteraan genetik inilah yang diterapkan dalam novel Transgenesis. Novel ini telah mengetengahkan tentang pelanggaran dalam bidang bioteknologi yang melibatkan etika dan pelaksanaan penyelidikan. Tidak banyak karya sastera yang mengupas tentang isu sains dan teknologi dihasilkan di Malaysia. Terbitnya novel Transgenesis telah mengisi kelompangan ruang yang ada.

Pengenalan

Tidak ramai penulis karya kreatif di Malaysia menghasilkan karya yang menggabungkan dua bidang secara serentak dalam tulisan. Menggabungkan ilmu bantu dalam karya sastera terutama novel belum lagi menjadi trend dalam penulisan di negara ini. Sebahagian besar penulis tanahair mendapat pendidikan aliran sains sosial menjadikan tumpuan karya mereka turut menjurus ke arah isu kemasyarakatan. Kehadiran pengarang-pengarang yang mendapat pendidikan dalam bidang sains seperti Ahmad Patria Abdullah, Rahmat Haroun, Aminah Mokhtar, atau Nisah Haron (undang-undang) telah menghasilkan karya sastera dari sudut berbeza berbanding sebelumnya.

Perkembangan semasa mengubah hala tuju penulis kini yang mula berani menyisipkan pengalaman, pengetahuan dan penyelidikan dalam pelbagai bidang ilmu, menjadikan adunan karya lebih sarat sifatnya, menggugah keupayaan pembaca, selain menyerlahkan keupayaan penulis itu sendiri. Mohamad Kholid Hamzah umpamanya, mengadun ilmu berkaitan pembangunan mampan yang tepu dalam novel Desir Angin di Pergunungan (2007). Amir Husaini yang tampil dengan novel Transgenesis: Bisikan Rimba (2008) bagai mengurangkan kegersangan penghasilan karya-karya sebegini. Novel ini bukan sahaja digarap dengan unsur suspen, tragedi dan thriller yang tidak terjangka, tetapi sarat juga dengan pengetahuan dalam bidang kejuruteraan genetik dan pengklonan. Namun, pada masa yang sama, semua garapan ilmu bantu ini diserap dengan sebati dan mudah sehingga pembaca tidak menyedari novel ini bukanlah karya bersifat santai, tetapi menuntut kefahaman, daya fikir dan imaginasi yang tinggi.

Menghabiskan bacaan novel ini, pembaca tanpa sedar telah mengutip ilmu bantu tentang kejuruteraan genetik, memahami tentang pelanggaran etika yang dilibatkan, malah mengetahui impak yang perlu ditanggung apabila melakukan penyelidikan yang tidak memenuhi tuntutan etika. Kajian ini akan menganalisis tentang pelanggaran etika bioteknologi (kejuruteraan genetik dan pengklonan) dalam novel Transgenesis: Bisikan Rimba. Penelitian tentang salah laku etika pengklonan dilihat dari beberapa sisi seperti cara pelupusan embrio yang gagal dalam ujikaji, pengubahsuaian genetik, menjadikan manusia sebagai bahan ujikaji tanpa layanan sepatutnya dan penyalahgunaan pengklonan itu sendiri yang menjadikannya sebagai sumber perniagaan dan ketenteraan.

Sinopsis Novel Transgenesis

Transgenesis: Bisikan Rimba merupakan sebuah novel misteri yang mengisahkan tentang pembunuhan tauke Hwang Chien Ming di satu kawasan pembalakan. Pembunuhan berkenaan disaksikan oleh pekerjanya sendiri, Razilan. Tauke balak itu telah dibunuh oleh seorang gadis misteri yang mempunyai mata dan rambut berwarna hijau. Ini menggemparkan masyarakat setempat apabila kisah misteri itu disiarkan dalam akhbar Semboyan Nasional.

Buraquzzaman, wartawan Semboyan Nasional cuba merungkai misteri berkenaan dibantu Razilan, namun tindakannya itu tidak disenangi oleh Datuk Jay. Datuk Jay, seorang usahawan berjaya merapakan penaja utama Institut Trans-DNA yang diketuai oleh isterinya, Datin Kay. Institut ini melakukan pelbagai bentuk eksperimen bioteknologi secara rahsia untuk menghasilkan kumpulan manusia berketahanan tinggi yang sesuai dijadikan tentera. Walau bagaimanapun, kebanyakan eksperimen berkenaan mengalami kegagalan. Setiap subjek yang gagal itu telah dilupuskan di kaki Gunung Pulai berdekatan dengan lokasi pembunuhan tauke Hwang Chien Ming.

Tanpa pengetahuan Datuk Jay, Datin Kay telah mencantumkan DNA dirinya sendiri dengan tumbuhan. Salah satu daripada pemindahan gen berkenaan telah berjaya dilakukan dan dinamakan sebagai 4-7-9-1. Namun begitu, 4-7-9-1 telah melarikan diri dari Institut Trans-DNA dan menggelarkan dirinya sebagai Flora. Kehilangan ini telah membongkarkan keterlibatan Datuk Jay, Datin Kay, Prof Joned dan Dr. Ramsay yang turut mengheret watak-watak lain seperti Ixora, Buraquzzaman dan Razilan.

Bioteknologi dan Istilah Berkaitan

Memahami dua bidang yang terlalu jauh kontrasnya memerlukan penelitian tentang konsep bioteknologi. Jadi, memahami beberapa istilah berkaitan akan menambah pemahaman terhadap isu tiga bidang utama dalam bioteknologi adalah teknologi reproduktif, kejuruteraan genetik dan pengklonan. Contoh teknologi reproduktif adalah ibu tumpang.

Kejuruteraan genetik adalah perubahan kod genetik asal dengan cara tiruan yang berbeza daripada cara pembiakan tradisional. Ia mengambil bahan genetik dari satu spesies hidupan untuk dimasukkan ke dalam spesies lain, termasuk menyisipkan gen-gen manusia dengan gen tumbuhan atau haiwan (Richard, tt.). Ia bertujuan menyusun semula urutan DNA dalam gen menggunakan kaedah buatan (Zhu, 1998). Gen pedas cili, umpamanya, dimasukkan ke dalam keledek untuk menghasilkan keledek pedas. Pengklonan manusia adalah sejenis kejuruteraan genetik, tetapi bukan manipulasi genetik yang benar.

Pengklonan pula ibarat membuat pendua atau peniruan agar terbentuk satu individu yang menyerupai individu tertentu (Epstein, 2002), (Massey, 2001). Pengklonan manusia adalah mewujudkan satu embrio manusia yang sama jenis gen asalnya. Jika embrio ini digunakan untuk penyelidikan, ia dipanggil penyelidikan pengklonan. Sekiranya embrio ditanam dalam uterus wanita dan dihamilkan menjadi bayi, ia dipanggil pengklonan reproduktif (Anon, 2003). Ia memanipulasikan genetik melalui prosedur tertentu yang dapat menyalin replika genetik sesuatu objek biologi secara tepat, termasuk urutan DNA, sel atau organisma (Kass & Wilson, 2003). Organisma yang ditiru ini akan menghasilkan satu salinan yang sama secara genetik seperti organisma asal. Ia melibatkan penderma, ibu tumpang dan anak. Oleh kerana cara pembiakan ini tidak melibatkan apa-apa perlakuan seks, ianya dikategorikan sebagai ‘asexual reproduction’ iaitu pembiakan tanpa seks (Jabatan Mufti Negeri Selangor). Teknik Klon biri-biri Dolly yang dilakukan Ian Wilmut, dilakukan dengan cara memindahkan nukleus (yang membawa maklumat genetik) daripada sel organisma yang dipilih ke dalam telur yang belum disenyawakan. Nukleus telur berkenaan akan dibuang, digantikan dengan nukleus terpilih dan dibiarkan menjalani proses persenyawaan tanpa menggunakan sperma. Sel akan membahagi dan membiak di dalam makmal. Sel yang elok dan terpilih akan dimasukkan ke dalam rahim ibu tumpang yang kemudiannya akan menjadi janin.

Transgen adalah tumbuh-tumbuhan yang telah diubah suai secara genetik melalui penyelitan gen-gen secara langsung kepada sel tumbuhan. Tumbuh-tumbuhan dan tanaman transgen diubah suai untuk meningkatkan rasa, rintangan terhadap perosak, panjangkan jangka hayat, atau menambah beberapa ciri tertentu dalam tumbuhan berkenaan (Richard, tt.), seperti dilakukan terhadap gen ikan dan tomato, gen-gen manusia diubahsuai ke biri-biri, babi, atau bakteria.

Larangan Klon Manusia

Terdapat beberapa sebab mengapa manusia tidak seharusnya diklonkan, iaitu;

1. Hak Moral dan Agama

Pengklonan akan melahirkan generasi manusia yang boleh mencipta manusia dan menafikan kekuasaan Allah. Manusia akan merasakan dirinya mempunyai kuasa dan mampu mencipta serta menentukan kejadian manusia lain mengikut kehendaknya, sedangkan kehidupan manusia tidak boleh diganggu gugat secara tidak sepatutnya (Jabatan Mufti Selangor). Manusia mempunyai martabat hidup yang khusus. Kehidupan manusia perlu dihormati dan tidak boleh dipermainkan. Mengklon manusia bererti mempermainkan hidup manusia yang lain dan menentang Tuhan. Pernyataan bahawa “Tuhan yang menciptakan kehidupan” telah dipadamkan dalam kitab suci apabila pengklonan dilakukan.

Jabatan Mufti Negeri Selangor telah memutuskan bahawa pengklonan untuk tujuan pembiakan manusia adalah haram. Pengklonan manusia bertentangan dengan syarak dan akan menjatuhkan darjat manusia seperti haiwan dan melawan janji Allah S.W.T. Proses penciptaan manusia telah diterangkan dalam Al-Qur’an seperti berikut:

Dan sesungguhnya kami telah menciptakan manusia dari pati (yang berasal) dari tanah. Kemudian kami jadikan pati itu air benih (yang disimpan) didalam tempat yang kukuh (rahim). Kemudian kami ciptakan air benih itu menjadi segumpal darah, lalu dari segumpal darah itu kami jadikan seketul daging, lalu dari segumpal daging itu kami jadikan tulang, lalu dari tulang itu kami balut dengan daging. Setelah sempurna kejadian itu kami bentuk dia menjadi makhluk yang lain sifat keadaannya. Maka nyatalah kelebihan dan ketinggian Allah sebaik-baik pencipta.

(Al-Mu’minum: 12-14)

Proses kejadian manusia terhasil daripada persetubuhan lelaki dan perempuan melalui akad nikah yang sah. Pengklonan tidak memerlukan perkahwinan kerana tanpa pasangan pun, pengklonan boleh dilakukan (menggunakan sel). Ia membuatkan wanita tidak lagi memerlukan lelaki atau suami dan pembentukan sebuah keluarga untuk mendapatkan anak. Hubungan seksual akan dijadikan bahan permainan, hanya untuk memenuhi nafsu manusia. Wanita yang tidak berkahwin juga tidak dibenarkan mendapat anak melalui kaedah ini. Ia akan menambahkan masalah ibu tunggal dan menidakkan hak seorang anak untuk mendapat kasih sayang seorang ayah.

Pengklonan antara suami isteri tidak boleh dibenarkan kepada pasangan suami isteri. Secara saintifik, status anak yang dilahirkan hasil kaedah pengklonan bukanlah ‘anak’ kepada pemberi nukleus terbabit. Sebaliknya, klon yang dihasilkan adalah “kembar seiras” yang dilahirkan pada waktu terlewat oleh orang yang berbeza. Dengan sebab itu jika nukleus diambil dari bapa, pada hakikatnya dia bukanlah ‘bapa’ kepada anak tersebut tetapi adalah “kembar awal” anak tersebut. Ini seterusnya menimbulkan implikasi terhadap status perwalian, nafkah, harta pusaka, penentuan aurat dan sebagainya.

Jika ovum wanita lain pula digunakan dalam proses pengklonan tersebut, lebih banyak masalah yang akan timbul. Selain daripada kesamaran status suami dengan anak tersebut, status penderma telur juga boleh dipertikaikan. Malah, status ibu yang mengandungkan anak tersebut juga samar dan boleh disangsikan. Sebanyak sebelas ayat dalam al-Qur’an menegaskan bahawa manusia dicipta daripada ‘nutfah’, genetik, sperma yang bertanggungjawab menentukan jantina seseorang. la akhirnya menimbulkan komplikasi dari sudut kedudukan anak tersebut daripada segi pewarisan, nasab keturunan, hukum hakam, perkahwinan, pembahagian pusaka dan sebagainya. Akibatnya, tiada ikatan kekeluargaan yang mengikat dari segi undang-undang atau syarak (Jabatan Mufti Selangor).

Setelah pengklonan Dolly berjaya, banyak negara dan badan antarabangsa seperti UNESCO, G8, WHO dan lain-lain mengharamkan pengklonan terhadap manusia. UNESCO pada 1997 telah mengemukakan Deklarasi Genome dan hak-hak kemanusiaan yang ditandatangani 186 buah negara. Artikel dan pengistiharan ini melarang “amalan-amalan yang bertentangan dengan kemuliaan manusia” seperti pengklonan reproduktif manusia (Anon, 2003).

Apabila seseorang manusia diklon, sudah tentu usaha untuk memperbaiki kualiti manusia dilakukan supaya lebih cerdas, kuat, rupawan, penampilan fizikal (seperti mengubah warna mata, ketinggian, berat, dan lain ciri-ciri jasmani dan lain-lain) genius, cerdik, ataupun memperbanyak keturunan tanpa memerlukan proses persenyawaan secara konvensional. Ini memberikan hak dan pilihan kepada orang tua untuk memilih anak- anak sesuai dengan gen mereka. Walau bagaimanapun, sekiranya proses kloning itu gagal, ia sama seperti membunuh calon bayi itu sendiri.

2. Risiko Kematian dan Kegagalan yang Tinggi

Meskipun, teknologi pengklonan berjaya menghasilkan Dolly dan CC yang menjadi model kejayaan pengklonan, para saintis mempercayai bahawa teknologi yang ingin digunakan kepada manusia masih belum berkembang sepenuhnya dan mekanismanya juga masih kabur. Eksperimen yang dijalankan terhadap lima spesies mamalia sebelum ini mengukuhkan bukti bahawa pengklonan ke atas manusia belum tentu menjanjikan kejayaan. Para saintis menyifatkan pengklonan manusia adalah sesuatu yang berbahaya dan tindakan yang tidak bertanggungjawab:

Once inside cells, these vectors slot themselves into the host genome. In this way, transgenic organisms are made carrying the desired transgenes. The insertion of foreign genes into the host genome has long been known to have many harmful and fatal effects including cancer (Wahl et al, 1984; see also relevant entries in Kendrew, 1994); and this is borne out by the low success rate of creating desired transgenic organisms. Typically, a large number of cells, eggs or embryos have to be injected or infected with the vector to obtain a few organisms that successfully express the transgene(s).

(Wahl et al, 1984; Kendrew, 1994)

Sebahagian besar kehamilan yang melibatkan teknologi ini menyebabkan kematian janin dan kedua-dua nyawa (ibu dan janin) berdepan dengan pelbagai risiko. Ini menyebabkan keguguran, kematian bayi dan kesengsaraan yang terpaksa ditanggung. Sekiranya bayi tersebut hidup ia akan hidup sebagai individu kurang upaya sepanjang hayatnya.

Dolly memerlukan 227 kali cubaan, CC, seekor anak kucing telah berhasil diklon setelah gagal sebanyak 87 embrio. Kira-kira 98% usaha-usaha pengklonan gagal. Embrio yang diklonkan biasanya mati sebelum kelahiran (Zhu, 1998). Klon yang terselamat pula akan berdepan dengan maut akibat kegagalan jantung, masalah paru-paru atau penyakit- penyakit seperti diabetes (http://news.bbc.co.uk). Klon-klon mempunyai rintangan yang sama terhadap penyakit dan perosak. Sekiranya satu klon diserang penyakit atau perosak, semua klon yang tidak mempunyai daya rintangan terhadap serangan penyakit atau perosak tersebut, juga akan mati dan menyebabkan kepupusan spesies itu (David Prat, 2002).

3. Risiko Perubatan dan Ketidakpastian

Manusia adalah ciptaan Tuhan, hanya Tuhan yang dapat membuat manusia. Secanggih apapun teknologi untuk melakukan klon, hasilnya tetap tidak akan sempurna. Dalam kebanyakan kes, janin yang diklon membesar secara tidak normal. Keadaan ini boleh mengancam nyawa janin kerana rahim boleh terkoyak atau dipenuhi dengan cecair. Kehamilan melalui teknologi ini juga boleh menyebabkan berlakunya keguguran secara spontan (Jabatan Mufti Selangor). Pengklonan Dolly misalnya, hanya berjaya dihasilkan selepas 227 kehamilan. Eksperimen yang dijalankan terhadap mamalia yang lahir daripada teknologi ini menunjukkan haiwan klon menghadapi pelbagai ancaman kesihatan seperti kegagalan fungsi hati, masalah jantung, pembuluh darah tidak normal, paru-paru tidak cukup matang, diabetes, masalah sistem pertahanan tubuh dan kecacatan genetik (Ho, 1997), (Coghlan, 1996), (Report of the Council on Ethical and Judicial Affair of the American Medical Associate, 1999).

Risiko diserang sejenis kanser rahim (choriocarcinoma) turut diterima wanita yang mengandungkan bayi klon. Individu yang yang diklonkan bakal berdepan dengan obesiti, kurang daya tahan sistem tubuh, jangka hayat yang pendek dan masalah kecacatan genetik. Sepuluh daripada dua belas ekor tikus yang diklonkan di Jepun mati pada usia muda kerana mengalami pneumonia, kegagalan hati dan ketumbuhan. Dolly, spesies mamalia klon pertama di dunia yang dilahirkan di Edinburgh, Scotland, terpaksa berdepan dengan pelbagai ancaman kesihatan dan mengidap artritis pada pinggul dan kaki kiri belakang. Kromosom hasil klon juga didapati sama usianya dengan penderma (Shaikh Mohd Saifuddeen, 2003).

4. Penyalahgunaan

Keistimewaan dan sifat-sifat baik yang ditawarkan oleh manusia klon juga telah menarik minat individu tertentu untuk disalahguna. Penyalahgunaan ini boleh berlaku daripada pelbagai sudut seperti ekonomi, jenayah, ketenteraan, dijadikan senjata biologi dan sebagainya.

~

Artikel jurnal ini akan bersambung esok.

Novel Transgenesis (edisi 2016) boleh dibeli secara atas talian di BookCafe.com.my.

Menulis SaiFai Ibarat Menjalankan Eksperimen Pemikiran

Salam,

Genre fiksyen sains ini sebenarnya bukanlah suatu genre yang hanya tertakluk kepada penceritaan berlatarkan futuristik atau bermain-main di medan angkasa.

Selain memaparkan teknologi canggih, cerita-cerita SaiFai juga boleh berkisar dan bermain-main dengan soalan-soalan “What if…?” atau “Apakah yang akan berlaku jika…?” dan jika penulis memikirkan dengan dalam soalan-soalan seumpama ini, mereka boleh sahaja menemui jawapan yang sangat menarik untuk dituang ke dalam cerita SaiFai.

Malayan_Union_protest

Apabila penulis bertanyakan kepada dirinya soalan seperti, “Apakah akan terjadi jika Malayan Union tidak pernah dibubarkan?” (sebagai contoh), ia akan membangkitkan beberapa soalan lagi yang perlu dijawab. Dari sini, kita mungkin pula bertanya, “Apakah yang terjadi dengan gerakan orang Melayu yang dipimpin Dato’ Onn Jaafar untuk menentang dengan keras pertubuhan Malayan Union?” Adakah mereka berjaya disenyapkan konco-konco Harold MacMichael yang berusaha bersungguh-sungguh untuk mengurangkan kuasa sultan-sultan Melayu ketika itu?

Dalam suasana sebegini, mungkinkah Tanah Melayu dapat diberikan kemerdekaan pada tahun 1957? Kita putarkan jam dan anjakkan kalendar ke hadapan, dan sekarang kita lihat, apa pula rupa Tanah Melayu ini apabila sudah tiba tahun 2016? Sudah tentu ia akan sungguh berbeza daripada tahun 2016 yang kita kenali. Mungkin Malaysia tidak pernah ditubuhkan dan telah diganyang oleh Indonesia sama sekali. Mungkin juga ia berjaya ditubuhkan dan Brunei dan Singapura kini antara negeri-negeri di bawah persekutuan. Mungkin juga negara ini tidak diberikan kemerdekaan langsung dan masih di bawah pengaruh pihak British. Mungkin sultan-sultan yang dihalau keluar semasa zaman Malayan Union ditubuhkan kini sedang merancang tindakan menyerang dan mengambil semula Tanah Melayu dari kepulauan Seychelles.

Soalan-soalan seperti ini membolehkan kita membayangkan suatu sejarah alternatif untuk mencipta latar yang menarik dalam cerita seseorang penulis. Proses pemikiran seperti ini bolehlah kita namakan suatu “thought experiment” atau “eksperimen pemikiran” dan inilah proses yang membolehkan seseorang penulis itu mempersembahkan suatu cerita yang lain dari yang lain.

The_Man_in_the_High_CastleEksperimen pemikiran yang berkisar sejarah alternatif telah menginspirasi ramai penulis, daripada Philip K. Dick sehinggalah ke Faisal Tehrani. Philip K. Dick telah menulis sebuah novel bertajuk The Man in the High Castle di mana beliau telah menganjurkan situasi di mana Kuasa Paksi iaitu Jerman Nazi dan Imperialis Jepun berjaya menakluk Amerika Syarikat selepas memenangi Perang Dunia Kedua. Amerika Syarikat dibahagi tiga: pantai timur di bawah penguasaan Nazi, pantai barat di bawah pengaruh Jepun, dan kawasan-kawasan diantaranya menjadi sebuah negeri penampan (buffer state). Plotnya pula berkisar watak-watak yang merupakan rakyat biasa semasa tahun 1962, berdekad lamanya setelah peperangan tamat, menjadikan peperangan itu hanya satu memori pahit yang silam bagi watak-watak tersebut. Kini, novel ini telah dijadikan siri televisyen yang juga menarik untuk ditonton.

1515Dalam novel 1515 pula, Faisal Tehrani mengangkat soalan di mana Melaka tidak ditawan oleh pihak Portugis pada tahun 1511 dan sebaliknya, seorang srikandi muda berjaya mengumpul dan menaikkan semangat orang Melayu untuk bersatu menentang kuasa Feringgi yang sebenarnya tidaklah berapa kuat. Dan srikandi itu tidak berhenti di situ. Kejayaan menumpaskan pihak Portugis itu telah menaikkan semangat orang Melaka sehingga membolehkan mereka berlayar sehingga ke Eropah dan membawa peperangan ke pintu depan rumah Portugis sehingga mereka berjaya ditawan. Novel pascamoden ini diolah dengan menarik dan saya sangat gemarkan gaya dreamlikenya yang membuatkan kita tertanya-tanya, adakah ini semuanya betul-betul terjadi atau ia hanya suatu khalayan seorang sejarawan yang imaginatif?

Sudah tentu kita tidak perlu mengongkong soalan-soalan seperti ini kepada kisah-kisah sejarah alternatif sahaja. Boleh sahaja kita lihat tajuk-tajuk berita hari ini dan bertanya kepada diri kita, “Apakah akan terjadi jika kita membina tembok mengelilingi kedua-dua bahagian Malaysia untuk menghalang pendatang haram daripada berjaya masuk ke negara ini?” Sudah tentu ia menjadi sebuah distopia. Atau utopia. Atau kedua-duanya sekali! ia bergantung kepada perspektif watak yang diceritakan.

miso

Itulah nikmatnya menjadi penulis SaiFai. Awak boleh menentukan apa yang boleh terjadi dalam senario-senario seperti ini, dan menggunakan latar-latar ini untuk mengolah sebuah cerita yang amat menarik.

Boleh sahaja saya bayangkan dalam senario ini, nasi lemak telah dijadikan makanan yang wajib dimakan oleh rakyat setiap pagi untuk menunjukkan sifat patriotis kepada negara, tetapi mungkin terdapat seorang yang masih teringat-ingat kepada sup miso dari zaman kecilnya. Sup miso sudahpun diharamkan kerana menjadi simbol kapitalis dan imperialis dari Luar. Dalam senario negara yang mengalami xenofobia sebegini, di manakah watak itu boleh mendapatkan semangkuk sup miso? Mungkin di meja makan pemimpin-pemimpin yang telah mengeluarkan arahan untuk mengharamkan sup miso itu. Mungkin. Contoh sahaja.

Menulis cerita SaiFai sebenarnya memerlukan kita sentiasa bertanya, “mengapa?”, “bila?”, “apakah?”, “bagaimana?”, tentang bermacam-macam di dalam hidup ini. Apabila ada yang bertanya soalan yang berbunyi, “Hei, di manakah awak mendapat idea untuk cerita-cerita awak?”, mereka seharusnya tahu bahawa idea sesuatu cerita itu terkandung di dalam jawapan kepada soalan-soalan yang ditanya dalam sesuatu eksperimen pemikiran.

Mungkin ada yang bertanya, adakah cerita-cerita sebegini merupakan SaiFai? Di mana sainsnya di dalam fiksyen sains seperti ini? Jawapannya, di dalam eksperimen pemikiran yang kami jalankan untuk mendapatkan cerita ini. Sains merupakan bidang di mana kita bertanya bermacam-macam soalan dan apabila kita bertanya soalan-soalan yang menarik di dalam eksperimen pemikiran kita, sebuah cerita SaiFai yang mengagumkan pembaca boleh terhasil.

Adakah Kamu Seorang Pencipta?

shanghai

Tema SaiFai amat mencabarkan saya, bukan saja sebagai seorang penulis tetapi juga sebagai seorang pembaca. SaiFai adalah suatu genre yang hampir tidak wujud dalam kamus kehidupan saya.

Bukan kerana ianya suatu yang amat saintifik ataupun berunsur masa depan, tetapi imaginasi saya yang kurang peka dengan selok-belok teknologi yang semakin pesat dalam dunia hari ini. Saya pernah cuba membaca, bukan tidak pernah, tetapi saya lebih pantas membaca seimbas lalu kerana kerap kali terasa cerita SaiFai yang dipersembahkan terlalu dibebankan dengan fakta-fakta dunia masa depan yang cuba dilakarkan oleh penulis sehingga plot utama tenggelam dalam penulisan itu. Ada juga kemungkinan yang saya belum menemui sebuah cerita SaiFai yang baik dan memuaskan selera hati saya.

chinesesfmagSetiap kali memikirkan genre SaiFai, hanya satu nama yang muncul di benak: Ted Mahsun. Mungkin namanya kurang disebut oleh bibir komuniti pembaca dan penulis bahasa Melayu, tetapi beliau seorang penulis bahasa Inggeris yang berbakat dan dirinya amat peka dengan genre SaiFai. Ted Mahsun adalah seorang penulis yang pendiam dan rendah diri, tetapi minatnya pada SaiFai boleh dihidu dari beribu batu lagi. Jadi saya tunggu apa lagi? Terus saya mencungkil buah fikiran peminat SaiFai ini.

Cerita Ted, beberapa tahun yang lalu, dia menerima tugasan untuk menulis skrip filem tentang makhluk asing menakluki Kuala Lumpur. Kata penerbitnya, filem itu harus menarik minat penonton dari Hollywood dan negara China kerana dia ingin mendapatkan dana daripada kedua-dua negara itu. Ted peka dengan selera hati penonton Hollywood tetapi kurang pasti dengan penonton China.

Lalu diskusi bersama penerbit tentang definisi SaiFai dalam negara China berlanjutan lama. Semakin mendengar, semakin Ted merasa terkejut. Bukan saja orang China was-was dengan SaiFai, kerajaan mereka tidak memeluk SaiFai sebagai suatu yang berunsur baik. Di negara China, definisi SaiFai bergantung kepada tahap pendedahan yang dibenarkan oleh kerajaan mereka. Adakah mereka khuatir kepada kuasa dan pengaruh SaiFai dalam mengubah negara mereka?

Persoalan ini, yang dikeutarakan oleh Ted, menjamah pemikiran saya. Sebagai seorang penulis, saya selalu berpendapat karya-karya yang dihasilkan oleh para penulis negara adalah suatu catatan sejarah buat generasi masa depan. Samada ianya berbentuk fiksi ataupun fakta, prosa ataupun puisi, penulisan adalah suatu saluran untuk merakam sejarah kehidupan. Setiap sejarah mungkin mengubah masa depan seseorang – dalam minda kecil saya, perubahan ini lebih berunsur individu dalam bentuk tumbesaran jati diri, emosi dan minda. Saya tidak pernah sama sekali memikirkan yang sebuah cerita fiksi mampu mengubah masa depan sejagat manusia, tetapi itulah yang tersemat dalam kepercayaan Ted Mahsun.

neilgaimanUntuk menyakinkan saya, Ted berkongsi sebuah esei mengenai genre SaiFai di China yang ditulis oleh penulis terkenal antarabangsa bernama Neil Gaiman. Pada tahun 2007, Neil Gaiman menghadiri konvensyen fiksyen sains dan fantasi yang pertama di China yang diluluskan oleh kerajaan China. Perasaan ingin tahu mengapa kerajaan China mengubah fikiran tentang SaiFai mendorongnya untuk menanyakan perihal itu pada salah seorang pegawai rasmi di situ. Dan ini jawabnya:

“Ianya amat mudah. Orang China amat cemerlang dalam penghasilan benda baru jika orang lain menunjukkan pelannya kepada mereka. Tetapi orang China tidak mencipta dan menginovasi; mereka tidak berimaginasi. Jadi mereka menghantar wakil ke Amerika Syarikat – ke syarikat dan jenama berjaya seperti Apple, Microsoft dan Google – untuk bertanyakan orang yang sedang mencipta masa depan mereka tentang diri mereka. Dan didapati kesemua pencipta ini pernah membaca SaiFai pada usia muda.”

Mereka tidak mencipta dan menginovasi – suatu ayat penampar buat kita semua di Malaysia. Seperti orang China, anak Malaysia juga pandai menghasilkan benda baru. Tetapi kita kurang mencipta atau menginovasi, kita lebih cekap menghasilkan semula apa yang orang lain sudah cipta. Ted berpendapat perihal ini turut benar dalam penghasilan karya SaiFai dalam negara kita; kebanyakannya sudah pernah dicipta oleh orang lain sebelum ianya dihasilkan semula oleh penulis Malaysia.

Mengapa begitu? Padahal kerajaan kita tidak mengongkong atau menyekat kita daripada menjadi pencipta. Mengapa kita redha menjadi seorang penghasil, dan bukan berusaha menjadi seorang pencipta?

Untuk menjadi seorang pencipta, kita harus peka dengan perkembangan dalam genre pilihan kita. Contohnya, SaiFai. Tidak cukup setakat menonton filem SaiFai, kita harus membaca cerita yang terbentang di luar sana oleh penulis serata dunia. Kita harus mengikuti perkembangan semasa dunia teknologi menerusi berita dan jurnal. Adakah kita sedang mencipta suatu dunia masa depan menerusi SaiFai ataupun masa depan itu sudah hadir dalam kajian semasa?

Seorang pencipta tidak menghasilkan sesuatu yang sudahpun dicipta; itu penghasil namanya. Seorang pencipta akan bersungguh-sungguh memikirkan idea baru yang tidak pernah diterokai oleh yang lain dan berusaha merealisasikan idea itu. Seorang pencipta akan melangkaui batasan imaginasi yang sedia ada dan mencipta suatu yang baru. Persoalannya, adakah penulis Malaysia seorang pencipta atau penghasil?

~

Rencana ini pernah diterbitkan di dalam zine Legasi Oakheart #8: Sai Fai:

saifai legasi oakheart