Perbanyakkan Pembacaan Cerita Fiksyen Sains

Salam,

Dalam rencana “10 Perkara Yang Anda Kena Tahu Sebelum Masuk Sayembara SaiFai” yang diterbitkan di Pena SaiFai beberapa minggu lepas, Fadli al-Akiti mengingatkan kita dalam perkaranya yang terakhir bahawa kita perlu “baca, baca, dan baca” jika ingin menjadi seorang penulis fiksyen sains.

Yang ini penting kerana pada pendapat saya, kita sebagai penulis fiksyen sains Malaysia terlalu taksub dengan fiksyen sains berupa filem-filem dan rancangan-rancangan televisyen sehingga kita lupa, atau tidak sedar, atau tidak tahu langsung, bahawa sebenarnya konsep-konsep fiksyen sains di dalam filem atau rancangan televisyen adalah lapuk atau terlalu mudah seperti memperbudak-budakkan penonton, dan sebenarnya ini, bagi seorang peminat fiksyen sains yang tegar (seperti saya), sangat membosankan.

Genre fiksyen sains sering dianggap sebuah genre yang hanya sesuai untuk remaja dan ini kita boleh lihat apabila buku-buku fiksyen sains disusun di rak-rak bahagian remaja di dalam toko-toko buku atau di perpustakaan. Anggapan ini tidak salah. Genre fiksyen sains sebenarnya memang sesuai dihadam oleh remaja. Seorang penulis fiksyen sains bernama Peter Graham kononnya pernah berkata bahawa, “Zaman emas untuk seseorang itu berjinak-jinak dengan fiksyen sains ialah pada umur tiga belas tahun.”

C-3PO

Tetapi kita harus ingat, remaja tidak akan kekal remaja selama-lamanya. Seseorang yang meminati fiksyen sains sejak dia di bangku sekolah sudah tentu akan bosan apabila mencapai umur dewasa dengan plot-plot mudah yang sama yang menonjolkan kapal angkasa yang dengan senang-senang boleh bergerak dengan kelajuan cahaya tanpa mengambil kira kesan dilasi masa dan kemudiannya boleh pula melompat dari satu hujung galaksi yang lain ke hujung galaksi yang lain. Perjalanan merentasi angkasa yang ditonjolkan filem seolah-olah mudah seperti menunggang motor untuk pergi beli burger di gerai depan 7-11!

Untuk mengekalkan minat seorang peminat fiksyen sains hingga ke umur dewasa, kita perlu menulis jalan cerita yang sesuai untuk dewasa iaitu cerita yang membawa plot dan konsep yang lebih kompleks.

Masalahnya kini, banyak cerita fiksyen sains yang saya baca sangat terpengaruh dengan plot-plot dan konsep-konsep mudah yang dibawa oleh cereka fiksyen sains di filem dan televisyen. Ya, saya tahu. Star Wars, Star Trek, Transformers dan sebagainya memang cool. Ia cool sebab ia menggunakan efek visual untuk mengghairahkan penonton. Itulah kelebihan sebuah medium penceritaan visual.

Matrix-VFX

Tetapi sebagai penulis novel atau cerpen fiksyen sains (kalau kamu seorang penulis skrip fiksyen sains, maaf, pintu keluar di situ. Kamu salah masuk kelas), kita tidak mempunyai kelebihan visual itu. Kita perlu menarik perhatian pembaca dengan cara yang lain. Kita tidak punya efek visual untuk melalaikan pembaca kita supaya melupakan plot-plot yang mudah dan tak berapa kompleks.

Oleh itu, sebagai penulis novel dan cerpen, kita perlu mempersembahkan kepada pembaca kita plot-plot yang lebih menarik, berbeza daripada apa yang ditayangkan di filem. Kita perlu menggagaskan konsep-konsep yang lebih mencabar minda kerana dalam sebuah novel memang ada ruang untuk memperkembangkan konsep-konsep sebegitu.

Dalam esei “SaiFai Mencerminkan Semangat Zaman,” saya memperkenalkan sebuah novel bertajuk The Forever War. Apa yang menarik di dalam novel itu ialah pengarangnya, Joe Haldeman, telah mencerita bagaimana sukarnya untuk merentasi angkasa sehingga satu pertempuran dengan pihak musuh boleh berlanjutan beratus-ratus tahun hanya kerana perjalanan ke medan pertempuran itu mengambil masa yang sangat lama.

Joe Haldeman_1974_The Forever War

Haldeman menekankan bahawa angkasa itu sangat, sangat luas dan jika ada pacuan sepantas cahaya sekalipun, perjalanan dari suatu sistem suria ke suatu sistem suria yang lain boleh mengambil beberapa jangkahayat. Perlu diingatkan, novel ini ditulis sebelum filem Star Wars ditayang di panggung wayang dengan jalan ceritanya yang ringkas dan padat, berbeza sekali daripada novel The Forever War.

Tapi ini bukan bermakna Star Wars adalah cerita yang membosankan. Apa yang saya mahu sampaikan di sini ialah, medium filem terhad apabila menyampaikan cerita dan konsep fiksyen sains manakala dengan sebuah novel seperti The Forever War, sebuah cerita yang lebih kompleks dapat digarap.

AncillaryJustice

Saya bagi satu lagi contoh, tetapi kali ini sebuah novel yang lebih baru, iaitu Ancillary Justice karangan Ann Leckie yang diterbitkan pada tahun 2013. Novel ini telah memenangi bermacam-macam anugerah iaitu Hugo Award, Nebula Award, Arthur C. Clarke Award, BSFA Award, dan juga Locus Award. Ini bukan calang-calang anugerah. Anugerah-anugerah ini adalah antara anugerah terbesar dalam dunia kesusasteraan fiksyen sains Barat.

Sebab mengapa Ancillary Justice begitu dikagumi pembaca dan pengkritik ialah kerana novel itu membawa konsep baru yang menarik dalam dunia fiksyen sains iaitu watak utamanya merupakan seorang kepintaran buatan sebuah kapal angkasa bernama Breq yang berkongsi kesedaran yang sama dengan berpuluh-puluh anak kapal suruhannya serta juga kapal-kapal pejuangnya. Setiap anak kapal dan kapal pejuang ini adalah sebahagian daripada “roh” atau kesedaran yang dimiliki kepintaran buatan kapal angkasa ini.

Plotnya pula mudah tetapi menarik. Apa akan terjadi jika kepintaran buatan ini dikhianati, dan “badan” kapal angkasanya dimusnah bersama-sama anak-anak kapal dan kapal-kapal pejuangnya, kecuali seorang anak kapalnya yang berjaya terselamat? Oleh kerana setiap anak kapal berkongsi kesedaran yang sama, dia seorang sahaja yang kini “mewakili” kepintaran buatan bernama Breq itu dan memikul tanggungjawab untuk mencari siapakah dalang di sebalik pengkhianatan itu.

Tetapi bukan itu sahaja yang telah membuat peminat tegar fiksyen sains begitu ghairah dengan novel ini. Dalam olahan plotnya, Leckie juga telah bermain dengan batasan bahasa dan komunikasi. Oleh kerana bahasa Inggeris mempunyai dua kata ganti nama, maskulin dan feminin, Leckie telah memilih untuk hanya menggunakan kata ganti nama feminin iaitu “she” dan “her” sebagai kata ganti nama yang wujud dalam dunia yang diciptanya itu. Ini membangkitkan bermacam-macam persoalan tentang jantina dan seksualiti dalam novelnya yang jarang dibangkitkan di dalam mana-mana karya fiksyen sains justeru membolehkan Leckie mengolah sebuah novel yang sangat segar dan unik.

tedchiang

Cerpen juga tak ketinggalan dalam membolehkan penulis membawa gagasan yang kompleks dan menarik. Kita ambil contoh cerpen-cerpen terkemuka Ted Chiang. Beliau seorang cerpenis yang hanya menghasilkan sebuah cerpen setiap beberapa tahun, tetapi setiap kali cerpennya tersiar, beliau akan sapu semua anugerah fiksyen sains.

Chiang terkenal dengan fiksyen sainsnya yang sangat berkhususkan sains tetapi beliau mengolah ilmu sainsnya itu menjadi cerita yang sangat unik dan mengagumkan. Baca sahaja cerpennya bertajuk Exhalation, ataupun cerpen The Merchant and the Alchemist’s Gate, dan awak akan sedar betapa hebat karangannya dan olahannya yang berbaur sains berjaya menjadikan cerita yang amat menarik.

Dalam Exhalation, Chiang berjaya mengolah sebuah cerita yang berkisar automaton yang menggunakan gas argon untuk bernafas dan juga berfikir. Tetapi tekanan udara dalam dunia itu semakin berkurangan dan tanpa tekanan udara dalam dunia, automaton tersebut tidak dapat berfikir lantas mereka perlahan-lahan hilang keupayaan kesedaran mereka.

Cerpen The Merchant and Alchemist’s Gate pula sebuah cerita tentang perentasan masa yang diilhamkan Hikayat 1001 Malam dan mengambil kaedah penceritaan yang sama seperti yang digunakan Scheherezade iaitu sebuah cerita di dalam cerita di dalam cerita.

Jika mampu, carilah juga antologinya yang sulung, The Story of Your Life and Others, dan hadamnya baik-baik kerana di dalam buku itu terdapat cerpen fiksyen sains yang terbaik pernah saya baca.

Contoh-contoh yang saya sebutkan ini semuanya novel-novel atau cerpen-cerpen dari Barat. itu tidak bermaksud seorang penulis fiksyen sains hanya perlu berufukkan fiksyen sains Barat sahaja.

Jangan ketinggalan membaca fiksyen sains dari benua-benua lain. Sebagai contoh, cubalah Cixin Liu, pengkarya dari China yang sedang popular dengan novelnya The Three-Body Problem; atau Gene Mapper, sebuah novel tentang pengubahsaian genetik makanan karya Taiyo Fujii dari Jepun; atau Binti, sebuah novel oleh Nnedi Okorafor, pengkarya dari Nigeria, tentang seorang gadis daripada suatu sukukaum yang tertindas yang berjaya mendapat tempat untuk menuntut kajian di salah satu universiti terbaik di dalam galaksi ini; atau awak boleh juga cuba membaca fiksyen sains dari rakan-rakan serantau kita dengan buku antologi cerpen-cerpen steampunk, The SEA is Ours, yang diselenggara oleh Jaymee Goh dan Joyce Chng.

Dunia ini luas dan dipenuhi dengan buku, apatah lagi buku fiksyen sains. Cari, dapat, hadam, dan perolehilah ilham daripada buku-buku ini. Insyaallah, jika awak tidak mengehadkan kreativiti dan imaginasi kepada plot-plot dan konsep-konsep fiksyen sains yang biasa terdapat di dalam filem dan televisyen, awak boleh menjadi seorang penulis fiksyen sains yang bukan sahaja hebat, tetapi mungkin juga boleh bertanding di persada fiksyen sains dunia suatu hari kelak.

Itu yang kita semua mahu lihat sebenarnya.

Fiksyen Sains Mencerminkan Semangat Zaman

Salam,

Ramai pembaca apabila berdepan dengan fiksyen sains akan bertanggapan bahawa fiksyen sains itu hanya suatu genre yang sentiasa mengetengahkan konsep-konsep futuristik seperti robot, kereta terbang, kapal angkasa, gajet canggih, dan sebagainya.

Mereka beranggapan bahawa cerita-cerita fiksyen sains sering berlatarkan zaman hadapan yang (pada pendapat mereka) kononnya mengarut, tak logik, dan tak ada kaitan langsung dengan kisah-kisah kehidupan masing-masing.

Mungkin juga ini salah kita sebagai penulis fiksyen sains. Mungkin kita tidak membawa kisah fiksyen sains dalam novel-novel dan cerpen-cerpen kita yang cukup menarik untuk pembaca memahami maksudnya yang tersirat.

Di sini penulis fiksyen sains memainkan peranan yang penting dalam membangun genre fiksyen sains menjadi genre yang tinggi. Penulis fiksyen sains haruslah ingat bahawa genre fiksyen sains ini bukan sahaja suatu genre mainan anak kecil di mana penulis hanya tahu berhibur diri dengan membayangkan aksi cool dua pejuang angkasa yang saling bertempur ala dogfighting di luar atmosfera Zuhrah. Ya, itu memang cool tetapi itu perencah sahaja.

Genre fiksyen sains lebih daripada itu. Genre fiksyen sains adalah satu-satunya genre yang boleh mencerminkan semangat zaman masyarakat setempat atau “zeitgeist”. Setiap penulis adalah produk sesuatu masyarakat dan siapa lagi jika bukan seseorang penulis sahaja yang mampu menulis sebuah cerita yang mencerminkan kisah masyarakat pada sesuatu ketika.

Akan tetapi kadangkala penulis mengalami kesulitan jika menulis tentang kisah-kisah di dalam masyarakatnya akibat tekanan daripada masyarakat itu sendiri kerana adab-adab sosial yang mungkin bertentang dengan pendapatnya atau mungkin juga dia menerima tekanan daripada pemerintah yang zalim yang tidak mahu kisah korupnya tersiar dan terbongkar.

Mungkin penulis tidak boleh sentiasa mencerita secara terang-terangan, jadi dia perlu menulis secara halus dan berlapis-lapis dan genre fiksyen sains ini sangat sesuai untuk itu. Di sebalik setiap cerita fiksyen sains yang baik akan ada subteks dan teguran untuk pembaca menghadam dan menghayati. Fiksyen sainsmenawarkan latar yang berangkasa dan futuristik tetapi plot dan mesej yang ingin disampaikan penulis masih universal dan dapat dihadam dan diteladan pembaca umum.

starshiptroopers

Di dalam novel (bukan filem) Starship Troopers (1959) misalnya, Robert Heinlein cuba mengupas isu kewarganegaraan atau “citizenship” dan pentingnya semangat patriotik untuk negara. Heinlein cuba menerangkan bagaimana patriotisme dan semangat berjuang itu penting untuk sesuatu bangsa maju dan mampu menakluki elemen-elemen asing yang cuba merosakkan cara hidup yang dikatakan cara hidup yang ideal.

Semua isu-isu ini dikupas dan diolah berlatarkan zaman hadapan di mana Bumi disatukan bawah satu sistem pemerintah (baca: Amerika Syarikat) yang militaristik dan sentiasa berusaha “berjuang” di perantauan angkasa menentang musuh-musuh berbentuk serangga gergasi yang melakukan “perbuatan terorisme” terhadap rakyat Bumi.

Pembaca yang hanya membaca kerana inginkan keseronokan dan eskapisme akan terpesona dengan perang-perang angkasa di dalam novel itu tetapi dia akan terlepas untuk memahami subteks propaganda yang ingin disampaikan Heinlein. Setuju atau tidak dengan pandangan Heinlein tentang sistem politik yang ingin disampaikan itu belakang kira. Yang penting beliau berjaya menyampaikan apa yang ingin diluahkannya melalui genre fiksyen sains dan kita pun telah berjaya memahami apa maksud sebenar yang ingin Heinlein sampaikan.

Joe Haldeman_1974_The Forever War

Beberapa tahun kemudian, seorang penulis fiksyen sains bernama Joe Haldeman telahpun membaca dan menelaah novel Starship Troopers dan sebagai seorang veteran Perang Vietnam dia sangat tidak setuju dengan pandangan yang dikemukakan Heinlein. Jadi beliau berusaha menulis sebuah novel fiksyen sains sendiri dan hasilnya ialah novel The Forever War (1974) yang berlatarkan cerita seorang soldadu yang dikerah berperang dengan musuh makhluk asing yang sukar ditentang akibat batasan perjalanan merentasi jarak jauh di angkasa dan kesan dilasi masa.

Tetapi elemen-elemen fiksyen sains itu semua perencah sahaja kerana novel itu sebenarnya membincangkan isu-isu keras peperangan dan kesan-kesan dahsyat yang dialami soldadu dan juga rakyat yang terlibat dalam peperangan. Ini semua dikupas dengan baik sekali tetapi dipersembahkan secara halus di antara babak-babak peperangan dan kisah seorang soldadu yang rindu kepada kekasihnya yang juga merupakan seorang soldadu yang dikerah tetapi dihantar ke teater peperangan yang lain.

Pada permukaan, kedua-dua novel ini seperti novel yang serupa. Kedua-duanya tentang perang dan kedua-duanya berlatarkan angkasa. Malahan kedua-dua novel ini memangpun diangkat sebagai klasik setandingan di dalam subgenre Military Science Fiction. Tetapi hakikatnya ialah dua novel ini sangat berbeza dari segi mesej yang ingin disampaikan.

Di dalam novel The Forever War, Haldeman mengecam keras pandangan yang diketengahkan oleh Heinlein di dalam novel Starship Troopers. Heinlein berpendapat bahawa peperangan adalah suatu dosa yang “perlu” supaya manusia sejagat dapat dipertahankan manakala Haldeman berpendapat peperangan itu hanya membawa kecelakaan kepada semua insan yang terlibat.

Kedua pandangan ini mencerminkan semangat zaman novel-novel itu ditulis. Starship Troopers ditulis di akhiran 60an abad ke-20 di mana Amerika Syarikat baru sahaja selesai Perang Korea dan semangat menyebarkan agenda kapitalis menentang komunisme masih berkobar-kobar di antara rakyat Amerika. Manakala Forever War pula diterbitkan dalam pertengahan tahun 70an semasa gerakan Flower Power sedang rancak berdemonstrasi menentang pemerintah mereka yang menjarah peperangan yang tidak bermakna di Vietnam.

Walaupun kedua-dua novel ini menyampaikan mesej yang berbeza, kedua-duanya diangkat sebagai teks yang penting dalam genre fiksyen sains dan juga sastera kerana novel-novel ini berjaya mencerminkan zeitgeist pada ketika itu.

Jadi, sebagai seorang penulis fiksyen sains, apakah mesej yang awak mahu sampaikan? Apakah semangat zaman yang mahu awak turunkan ke dalam bentuk penulisan berlatarkan futurisme? Adakah awak seorang Heinlein atau Halderman yang mahu mencerminkan semangat zaman melalui sebuah opera angkasa yang epik?

“Susahnya menulis fiksyen sains!”

Salam,

Seringkali saya mendengar keluhan daripada sahabat penulis bahawa menulis cerita bergenrekan fiksyen sains amatlah susah.

Kenyataan seperti ini amatlah ganjil pada saya kerana sememangnya kerja penulisan ini memanglah sukar tidak kira genre apa yang dipilih mahupun cinta, seram, sastera, dan sebagainya.

Jadi kita perlu bertanya semula kepada mereka: Susah dibandingkan dengan apa?

Dan jawapan yang sering saya dengar ialah, “Oh, fiksyen sains ini susah kerana untuk menulisnya perlu banyak berfikir dan daya imaginasi yang tinggi serta berpengetahuan luas tentang bermacam-macam perkara.”

Saya rasa kenyataan seperti ini merendahkan usaha semua penulis, tidak kira jika penulis itu menulis fiksyen sains atau tidak.

Tidakkah kerja menulis fiksyen ini adalah kerja mewujudkan watak-watak yang sebelum ini tidak wujud langsung dan meletakkan mereka dalam beraneka situasi untuk mereka satu plot atau jalan cerita? Usaha sedemikian bukankah memerlukan banyak masa untuk memikir dan daya imaginasi yang sangat tinggi? Dan jika awak seorang penulis yang sangat mengambil berat kualiti karya yang dikarang, bukankah awak akan banyak membaca dan menelaah ilmu? Dan bukankah mudah untuk ruang kosong dalam ilmu diisi begitu sahaja dengan hanya melangkah ke Google dan menaip kata kunci yang sepatutnya? Mana-mana penulis fiksyen akan menghadapi situasi ini semasa menulis fiksyen, bukan penulis fiksyen sains sahaja.

Penulis fiksyen sains yang baik bukanlah makhluk luar biasa yang berkebolehan mencipta dengan sewenang-wenangnya. Dia juga seperti penulis lain. Dia juga berusaha keras menulis karyanya seperti mana-mana penulis lain yang menitikberatkan kualiti karya. Ini bukan persoalan bakat. Ini persoalan usaha yang keras dan tinggi.

Di sini bolehlah kita simpulkan bahawa anggapan bahawa menulis fiksyen sains ini ialah susah adalah kerana anggapan seperti ini dibuat oleh mereka yang tidak begitu minat dengan fiksyen sains.

Contohnya, saya tidak berminat untuk menulis novel cinta sama sekali. Ramai orang yang memandang rendah genre ini kerana ia dianggap genre picisan yang tidak berfaedah, oleh itu menulis novel cinta ini kacang je. (Bukan pandangan saya. Saya ok je.) Tetapi saya yakin, seorang penulis cinta yang mementingkan kualiti karyanya akan berusaha keras untuk menulis sebuah novel yang menghiburkan khalayak pembacanya.

Pembaca tegar genre cinta akan tahu jika penulis menulis sebuah buku cinta yang mempunyai jalan cerita yang cincai atau watak yang tidak berapa dibangunkan. Pembaca tegar novel cinta akan tahu jika penulis bersikap malas menulis novel cintanya jadi terdapat suatu tekanan di situ untuk penulis mengarang suatu karya yang boleh memuaskan citarasa pembaca dan ini memerlukan usaha yang keras dan tinggi. Tetapi walaupun susah untuk menghasilkan novel seperti ini, minat akan mendorong penulis untuk menghasilkan sebuah novel yang boleh menghibur pembacanya.

Berbalik kepada genre kesayangan kita, jika seseorang itu benar-benar meminati fiksyen sains, dia tidak akan mengeluh, “Oh susahnya!” tetapi sebaliknya dia akan melonjak riang dan bertanya kepada dirinya, “Alangkah coolnya jika sesuatu kebiasaan itu sebenarnya berbeza daripada tanggapan kita selama ini.”

Jika seseorang itu benar-benar meminati fiksyen sains, dia akan sentiasa bertanya kepada dirinya, “What if…?

Seperti seorang saintis yang mempunyai sifat ingin tahu yang amat kuat, seorang penulis fiksyen sains menerokai dunianya dengan membuka persoalan tentang alam dan manusia melalui fiksyennya. Seperti seorang saintis, dia juga ingin mengetahui dengan lebih lanjut tentang dunia sekelilingnya, cuma kaedahnya sangat berbeza, dan pada pendapat saya, lebih mengujakan.

Mungkin perkara inilah yang membuatkan sesetengah penulis mengeluh tentang sukarnya menulis fiksyen sains. Tetapi ia adalah lumrah alam untuk kita sebagai manusia mengupas beraneka soalan tentang diri, kemanusiaan, dan kesejagatan. Antara cara yang terbaik untuk melakukan ini adalah melalui fiksyen sains.

Dalam dunia ini, tiada yang mudah. Jika kita hanya mengeluh bahawa itu dan ini terlalu susah untuk dilakukan, maka kita tidak akan maju kerana sikap seperti itu adalah sikap yang membendung diri untuk cuba melakukan sesuatu di luar ruang selesa.

Jadi, untuk mereka yang “berani” menulis fiksyen sains, saya mengangkat tabik. Awak adalah antara penulis yang tidak kisah genre fiksyen sains itu adalah genre yang “susah”. Awak seorang yang mahu bermain dalam gelanggang gagasan yang berkemungkinan untuk mencetus suatu revolusi kemajuan.

Salam Perkenalan

Salam,

Blog ini saya hidupkan kerana punya perasaan perlunya ada blog di mana saya dapat menurunkan pendapat saya tentang cerita-cerita fiksyen sains (atau lebih mesra, “saifai”), khususnya novel dan cerpen yang ditulis orang Malaysia.

Saya tergerak untuk menghidupkan blog ini kerana pada tahun-tahun 2014 dan 2015, dapat dilihat suatu “gerakan” yang bersemangat menulis genre saifai. Selepas beberapa tahun di mana saifai Malaysia agak kecundang dan seolah-olah tidak kemana-mana, “gerakan” baru ini menghembuskan nafas baru dan membangunkan semula saifai negara.

Perkara ini tidak terhad kepada saifai bahasa Melayu sahaja malah berlaku juga kepada saifai Malaysia yang berbahasa Inggeris di mana ia juga mengalami suatu renaisans kecil apabila antologi fiksyen sains Malaysia pertama, Cyberpunk: Malaysia diterbitkan oleh rumah penerbitan indie, Fixi, di bawah label Fixi Novo. Tetapi dalam blog ini saya mahu fokus kepada buku-buku berbahasa Melayu sahaja.

Jadi, siapakah ahli-ahli gerakan ini?

Kita boleh mula dengan pemenang-pemenang Sayembara Fiksyen Sains dan Teknologi UTM-Kumpulan Utusan Musim Ke-3 di mana buku-bukunya telah diterbitkan awal tahun 2015. Boleh saya katakan di sini, pemenang pertama, Transgenik Sifar karya Sri Rahayu Mohd Yusop dan pemenang kedua, Leksikon Ledang karya Nor Azida Ishak dan Fadli Al-Akiti, ialah antara buku terbaik saifai Malaysia yang pernah saya baca.

Leksikon Ledang ditulis pasukan pengarang tetapi pada tahun yang sama mereka juga telah menerbitkan buku masing-masing.

resesif

Nor Azida Ishak telah menerbitkan buku antologi cerpen saifainya, Resesif, sebuah buku yang segar membawa cerpen-cerpen yang banyak memperintikan sains dan kebanyakannya “puts the science back in science fiction“.

gugurnya azazil

Fadli Al-Akiti pula telah menerbitkan Gugurnya Azazil, sebuah kisah yang berlatarkan tiga zaman, dan pada masa yang serentak meliputi subgenre perentasan masa, opera angkasa, dan sejarah alternatif.

biohazard

Kedua-dua Resesif dan Gugurnya Azazil telah diterbitkan di bawah penerbitan Simptomatik Press yang menerbitkan buku saifai khususnya. Simptomatik Press diwujudkan apabila kumpulan cerpen Biohazard karya Kushairi Zuradi diterbitkan pada lewat tahun 2014. Biohazard mengumpulkan cerpen-cerpen yang berkisar tentang hal-hal perubatan dan biologi.

Kemunculan sebuah rumah penerbitan yang mengkhususkan penerbitan buku-buku saifai adalah sesuatu yang sangat memberangsangkan kerana inilah kali pertama ianya pernah berlaku dalam sejarah kesusasteraan Malaysia. Walaupun buku-buku saifai pernah diterbitkan oleh penerbit-penerbit mainstream dan pernah juga sebuah penerbit mewujudkan label yang mengkhususkan saifai, tetapi tidak pernah ada rumah penerbitan yang hanya mengeluarkan buku-buku saifai. Sejauh manakah mereka mampu bertahan, itu persoalan lain. Yang patut kita raikan sekarang ialah akhirnya sebuah rumah penerbitan saifai sudah wujud dalam negara ini.

Awal tadi saya ada sebutkan penerbit indie Fixi. Mereka antara penerbit-penerbit buku-buku “pulp” yang kini sedang meletup di pasaran. Pada mulanya mereka terbuka untuk menerbit mana-mana naskhah yang diterima bawah kategori “pulp” dan ini termasuklah genre saifai.

Malangnya, buku-buku saifai yang diterbitkan itu, seperti Invasi karya Raja Faisal dan Gergasi karya Khairul Nizam Khairani tidak laris dan kini sudah tidak dicetak lagi. Hanya Zombijaya karya Adib Zaini sahaja yang berjaya menarik minat pembaca-pembaca Fixi. Walaubagaimanapun, Fixi telah memuatnaik novel-novel ini ke Wattpad (kecuali Zombijaya yang kini diterbitkan di bawah tajuk KL Zombi setelah diadaptasi menjadi filem) supaya peminat saifai tidak perlu gentar akan kesusahan untuk mencari buku-buku tersebut.

Jadi kini penerbit Fixi agak segan sedikit untuk menerbit sebuah karya saifai kerana kurang pembeli. Tetapi tidak bermakna tiada langsung karya saifai diterbitkan. Cuma kini elemen saifainya “disembunyikan” sedikit untuk membuatkan ia nampak lebih menarik kepada pembaca yang mungkin takut apabila mendengar perkataan “sains”.

Perkara ini timbul dalam buku-buku seperti Retina karya Lokman Hakim dan Bongkar karya Faisal Sulaiman di mana elemen-elemen saifainya tidak begitu didedahkan. (Mungkin ada di antara kalian yang akan berkata “buku-buku ini bukan saifai langsung! Ini fantasi namanya!” Jawapan saya kepada itu ialah saya tidak kira, malahan saya agak liberal dalam interpretasi istilah “fiksyen sains”. Pada pendapat saya, saifai itu merangkumi juga subgenre fantasi sains dan contoh baik fantasi sains ialah Star Wars di mana cerita kapal angkasa berbaur dengan agama dan magis yang tak ada kena mengena langsung dengan sains.)

Saya mahu sebutkan sedikit lagi tentang Lokman Hakim. Dia adalah seorang pengarang yang sangat prolifik. Saya pun tak ingat berapa karya yang beliau terbitkan bersama Buku Hitam Press pada tahun 2015 tetapi kalau tak silap saya kesemuanya adalah buku saifai, walaupun saifainya itu lebih kepada arah fantasi sains dan fiksyen eskatologi.

Seorang lagi penulis yang diterbitkan oleh Fixi pada tahun 2015 ialah Fahmi Mustaffa. Novel Fixinya yang sulung, Laknat, bukanlah saifai, tetapi beliau telah juga menulis sebuah novel pascaapokalips, Suatu Hari Nanti Manusia Akan Lupakan Tuhan, yang kini sedang menunggu penerbitannya bersama Simptomatik. Beliau juga telah menerbitkan sebuah chapbook bertajuk Renaisans yang mengandungi cerpen-cerpen pascaapokalips.

saifai legasi oakheart

Baru-baru ini juga rumah penerbitan Legasi Oakheart telah mengeluarkan zine kecil yang bertema “saifai” dan ia memuatkan esei, rencana, dan juga cerpen oleh penulis-penulis saifai seperti Hafizul Osman (salah seorang pemenang saguhati Sayembara Fiksyen Sains dan Teknologi UTM-Kumpulan Utusan Musim ke-3), Kushairi Zuradi, dan Nor Azida Ishak.

Pendek kata dunia saifai Malaysia kini sangat cerah. Nama-nama yang saya sebutkan di dalam pos blog inilah merupakan gelombang baru dalam dunia saifai Malaysia. Semoga mereka teruskan usaha dalam menghasilkan lagi karya-karya saifai dalam tahun 2016.

Kami baru sahaja melangkah seminggu ke dalam tahun baru ini tetapi sudah mendengar bisikan tentang segelintir penulis yang akan menghantar naskhah saifai mereka ke Sayembara Fiksyen Sains dan Teknologi UTM-Kumpulan Utusan Musim ke-4 dan ada juga khabar angin mengatakan sebuah rumah penerbitan besar tanahair akan mewujudkan sebuah label saifai baru pada tahun ini.

Oleh itu, susah untuk saya berduduk diam sahaja kerana terlalu banyak sebab untuk saya berceloteh tentang saifai dan saya pasti akan ada banyak perkara yang saya ingin menceritakan dalam bulan-bulan akan datang.

Jadi, di sini, saya ingin menjemput kalian yang membaca pos blog ini untuk bersama saya dan meraikan kebangkitan saifai Malaysia. Jika diizinkan, dalam masa akan datang saya akan cuba memuatkan rencana, makalah, atau resensi tentang saifai di blog ini, setakat mana yang saya mampu.

Marilah kita, penulis dan peminat saifai, bersama menjadikan tahun 2016 hebat untuk fiksyen sains Malaysia!