Selestial – Satu Eksperimen Penulisan

Sempena berlangsungnya Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2016 dan juga kelahiran dua novel SaiFai terbaru terbitan Simptomatik Press, Pena SaiFai telah memutuskan untuk menyiarkan artikel berkaitan dua penulis hebat – Fahmi Mustaffa dan Lokman Hakim sepanjang minggu ini.

Fahmi Mustaffa muncul dengan karya SaiFai terbarunya bertajuk Suatu Hari Nanti Manusia Akan Melupakan Tuhan. (Tag: Minggu Fahmi Mustaffa)

Lokman Hakim pula muncul dengan karya SaiFai bertajuk Selestial. (Tag: Minggu Selestial)

Cover Selestial Full

Sinopsis Selestial:

Apabila mereka terkandas di Marikh, ia membangkitkan satu interaksi penting buat manusia dengan kewujudan sarwajagat.

Razali, seorang angkasawan ketika itu, tidak tahu adakah ia satu kecelakaan atau anugerah.

Dua kewujudan berbeza berusaha untuk memahamkan dirinya akan situasi alam semesta mereka. Dan makhluk-makhluk itu, The Things & The Phosphorus, menjelajah zaman silamnya, mengaburi masa depannya dan menghantui nilai-nilai kehidupan manusia melalui otaknya.

D7 Sentul menjadi medan pertembungan fikiran dan falsafah kehidupan yang berbeza nahunya. Selaku manusia, Razali sedar, dia mendepani satu kewujudan yang begitu transendental.

Terlalu transendental, hingga dia meragui kewujudannya sendiri.

Teringat lagi ketika saya memulakan draf pertama untuk menggambarkan idea penulisan untuk naskhah Selestial ini. Ia bermula dengan perbualan aneh-aneh saya dengan adik saya, Abdul Rauf. Kami membicarakan perihal kemungkinan terdapatnya bentuk kehidupan yang duduknya di luar konsep kehidupan yang akal kita dapat terima. Memikirkan perihal isu ini, membuatkan saya cuba mengupasnya dengan lebih mendalam.

Sejauh mana penerimaan kita terdapat kewujudan lain yang jauh berbeza sifatnya dengan kita?

David Bowie Skull

Adakah kita akan mengiktirafnya selaku makhluk bernyawa?

Kita melihat bulan dan kita menganggap tiada apapun yang bernyawa di sana. Ya, betul. Penafsiran sesuatu objek itu, untuk dikira ‘bernyawa’ harus digariskan pada persempadan yang logikal. Jika tiada persempadanan itu, maka, adakah kita dapat melihat seketul batu selaku objek yang kita tiada masalah mencampaknya ke bawah? Layanan kita terdapat sesuatu yang hidup dengan sesuatu yang mati itu sudah pasti berbeza.

Baiklah, itu sedikit ideanya. Pokok pangkal kepada idea-idea yang menyokong karya ini.

Saya berpendapat, memahami satu kewujudan asing memerlukan kita memahami siapa diri kita terlebih dahulu. Maka secara hipotesisnya, sekiranya benarlah makhluk asing mahu berkomunikasi dengan kita, langkah-langkah yang akan diambilnya haruslah dengan menjajah pemikiran manusia secara menyeluruh.

Maka, berlandaskan pemikiran begitu, saya membahagikan penulisan novel ini kepada 6 bahagian utama yakni Enigma 1, Enigma 2, Enigma 3, Solusi 1, Solusi 2 dan juga Solusi 3. Enigma 1 hingga 3, ditulis dengan aturan Fibonacci Sequence.

Fibo

Solusi 1 diceritakan dalam bentuk surat sumpah dan disusuli oleh rentetan jurnal watak utama, Razali. Solusi 2 pula digambarkan dalam bentuk drama manakala penutupnya Solusi 3 ditulis selaku epilog normal.

Setiap bentuk penulisan yang adunkan menjadi cerita ini melambangkan kerawakan seorang manusia yang berbeza sifatnya. Penafsiran setiap individu berbeza-beza, maka kerumitan itu tadi digambarkan oleh format naskhah ini seperti yang dinyatakan di atas.

Mengapa harus sebegitu rumit?

Ia berbolak-balik pada pemahaman kita mengenai makhluk asing itu tadi.

Saya cuba menyampaikan satu perspektif, di mana, kita tidak boleh mencari tamadun di luar kotak fikir kita, selagi kita berpegang pada satu pegangan asas dan menerimanya selaku kebenaran mutlak. Apa yang saya mengerti, adalah:

Semakin jauh kita menerawang angkasa, semakin jauh juga logikal kita menyimpang dari apa yang kita faham. Untuk meneroka angkasa, satu set fikiran yang fleksibel amat diperlukan. Bukan sekadar fikiran sahaja, bahkan kepercayaan kita pada Tuhan. Definisi Tuhan itu sendiri, harus difahami sebaiknya.

Antara persoalan yang dibangkitkan di dalam naskhah ini dan masih memerlukan jawapan adalah seperti berikut:

  1. Mampukah kita mengesan kewujudan kebijaksanaan asing dengan menggunakan konsep falsafah hylozoism?

Kita mendefinisikan sesuatu yang hidup itu dengan meletakkan ciri-ciri yang membentuk hidupan di bumi. Kita mengklasifikasikan setiap planet yang berpotensi untuk mengandungi kehidupan itu serupa atau mirip dengan bumi. Benar, mana mungkin kita melihat batu, debu, angin, sampah, logam dan pelbagai objek itu selaku benda hidup.

Hylozoism tersangat arkaik. Namun idea ini tidak boleh diabaikan dalam penerokaan angkasa. Apabila kita mendepani pelbagai fenomena aneh di angkasa nanti, kita harus menukar juga falsafah kita mengenai kehidupan. Kerana itulah saya pernah berpendapat, orang yang beragama dan percaya pada Tuhan bakal berdepan dengan masalah ketika di angkasa. Isunya di sini adalah fleksibiliti.

Justeru itu, adakah kita betul-betul fleksibel dalam mendefinisikan apa itu hidup dan apa itu mati? Sekiranya jawapannya ya, maka, saya yakin kita berkemampuan menerokai angkasa tanpa melupakan kemanusiaan dalam jiwa kita.

  1. Pegangan akidah sebelum penerokaan angkasa dibuat. Apakah akidah yang sesuai?

Baik. Saya akan menerangkan isu ini secara lebih umum. Saya tidak akan melihat dari aspek agama itu betul, agama itu salah. Tidak, kita harus merenung dari aspek yang lebih luas dari itu.

Bagaimana kita mahu membezakan syurga jika kita tidak kenal syurga? Bagaimana kita mahu membezakan Tuhan dengan ‘makhluk asing’ sekiranya kita tidak kenal Tuhan kita? Ia menguji kefahaman kita mengenai Tuhan itu sendiri.

Karya Selestial ini cuba menampakkan satu sisi kemungkinan penjajahan makhluk asing yang barangkali ramai yang meremehkannya. Manusia adalah makhluk yang kompleks, dibentuk oleh pelbagai aspek untuk membuatkannya ‘manusia’. Bayangkan, makhluk asing itu cuba meneroka kerumitan seorang manusia dan menerokainya secara menyeluruh. Tidakkah ia menggerunkan?

Agama, memori, kelakuan, psikologi, interaksi, pancaindera dan banyak lagi. Untuk memahami manusia, haruslah diterokai perkaitan setiap aspek-aspek ini.

Makhluk asing, itupun jika terma ‘makhluk’ itu masih relevan, barangkali berkeupayaan untuk melangkaui teknologi kita. Saya mendapati, sentiasa ada penemuan demi penemuan baru mengenai angkasa raya yang luas tersebut. Angkasa, merupakan suatu tempat yang menakutkan jika mahu diterokai.

  1. Apa yang terjadi pada alam semesta sebenarnya?

Apa yang kita tatap di langit selama ini hanyalah ‘observable universe’. Ia merupakan sejarah yang tidak kita ketahui masa kini. Apa yang kita tonton itu benda yang sudah berjutaan tahun cahaya hayatnya barangkali.

jupiter

Kita tak tahu, adakah alam semesta kita sedang menuju kehancuran atau sedang mengembang. Kita tak tahu, bilakah galaksi Bima Sakti akan bertembung dengan galaksi lain. Kita tak tahu, bilakah lohong hitam akan terbit di sistem suria kita. Mengapa kita tak tahu? Kerana apa yang kita tatap itu bukanlah realiti kini tetapi satu paparan sejarah.

Black Hole

Stephen Baxter pernah mengemukakan teori planetarium dalam novel sains fiksyennya. Pada hemah saya, idea ini boleh jadi benar. Selagi kita tidak mampu melihat lebih dari persempadanan ‘observable universe’ ini tadi, kita tidak akan mampu berinteraksi dengan kebijaksanaan lain di luar sana.

Mereka melihat kita selaku bangsa yang kuno dan tidak wajar digauli. Ia menakutkan, kerana kita tidak sedar kita diperhati. Kita tidak sedar akan hakikat yang berlaku kepada diri kita itu dari perspektif angkasaraya nan luas. Kita tidak dapat meneka bilakah bencana dari angkasa akan muncul. Laksana dikelilingi musuh dalam gelap, yang kita tahu ada di mana-mana. Kita meraba, menggigil ketakutan dan juga hanya mampu mengharap, musuh-musuh itu tidak menganggap kita selaku ancaman buat mereka.

Malangnya, penerokaan angkasa memerlukan modal yang banyak dan barangkali tidak berbaloi dari segi ekonomi. Ya, benar, selagi kita tidak tahu akan kebahayaan apa yang menanti dalam gelap sarwajagat, mengapa harus takut? Boleh jadi juga, tiada kebahayaan langsung.

Akhir kata dari saya, sekiranya kita tidak memahami matematik selestial yang sebenarnya, kita tidak layak mendabik dada di bumi Tuhan ini. Kita tidak layak menanam rasa angkuh itu, kerana kita tidak faham siapa kita di angkasa nan luas ini.

Dapatkanlah naskhah Selestial ini sekiranya mahu memahami aspek kewujudan makhluk asing dari aspek falsafah dan teori-teori statistikal secara puitis. Semoga ia bermanfaat biarpun ia sekadar sebuah fiksyen. Dan saya percaya dalam fiksyen sentiasa ada kebenarannya – kebenaran individual yang dipegang setiap seorang manusia tadi.

~

0 Profile Lokman

Lokman Hakim adalah jurutera awam untuk pelbagai kontraktor pembinaan dari 2007 sehinggalah sekarang. Mengambil jurusan kejuruteraan awam di Universiti Teknologi MARA dari tahun 2005 sehingga 2007. Daripada tahun 2007 sehingga 2011, beliau merupakan seorang pemuzik yang cuba memahami manusia dengan muzik. Kini beliau lebih gemar menonton kelakuan manusia-manusia di kopitiam-kopitiam merata Lembah Klang selaku rujukan untuk penulisan karya-karyanya. 

Telah menulis dengan Roman Buku, FIXI, Buku Hitam Press dan Lejen Press setakat ini. Harapan beliau adalah untuk terus-menerus berkarya biar dalam bentuk apa sekalipun, kerana baginya, imaginasi itu tiada batasan langsung.

Kunjungi reruai Simptomatik Press di Booth A3094 – A3095 (Thukul Bersekutu) di PBAKL untuk mendapatkan buku-buku SaiFai terbaru mereka.

Buku Baru Simptomatik Press

Novel Selestial dan Suatu Hari Nanti Manusia Akan Melupakan Tuhan juga boleh dipesan melalui Whatsapp seperti maklumat di bawah.

Promosi Thukul Bersekutu

Cerpen SaiFai Lokman Hakim bertajuk Arca Kehidupan dimuatkan di dalam Antologi Cerpen X-traordinari Imagikata. (Baca Di Sebalik Tabir: Antologi Cerpen X-traordinari Imagikata)

Imagikata Cover

Antologi Cerpen X-traordinari Imagikata boleh didapati di PBAKL di booth PTS dan juga boleh dibeli secara atas talian di Bookcafe.com.my.

peta-lokasi-klibf

Jangan lepaskan peluang untuk menemui Lokman Hakim di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) pada 6 Mei 2016 jam 4.30 petang, di mana Lokman akan berbicara lebih lanjut tentang novel Simulasi dalam forum “Penerokaan Cerita Sains Fiksyen”. (Baca Minggu Simulasi)

Poster PTS - Simulasi

Ulasan Buku “Aristokra: Kronika Nashan”

Aristokra

Tajuk Buku: Aristokra: Kronika Nashan
Pengarang:
Ahmad Patria
Penerbit:
Penerbit X
Tahun Terbitan:
2016
Halaman: 
384

SINOPSIS

Nashan.

Sebuah negara kecil jauh ke utara Aurora, yang kini diperintah oleh Melyn ien Sarra iea Nashrain, puteri dan Aristokra yang terakhir. Daerah legenda dan mitos, paling gemilang antaranya adalah Spiara Bulwar, kisah epik yang menceritakan persahabatan pahlawan terbilang itu dengan Shilrung, serta pertarungan mereka menentang Krodra, gergasi samudera yang menggerunkan.

Dan kini pemerintahan Melyn diancam bahaya.

Sursis, pahlawan adi dan panglima gagah dari banjaran gunung jauh, mahu menakluki Nashan. Kehadiran Mori, kesatria misteri yang dikirim oleh Artakus, Lodra Perang Aurora, bakal mengubah segala-galanya. Namun, kehebatannya tidak dapat menandingi kegagahan Sursis, yang belum pernah tewas dalam pertempuran. Percaturan Merkia, wizra terulung yang menguasai magis tinggi, memberikan sinar harapan dalam usaha mereka menentang ancaman musuh. Namun, rahsia yang bakal menentukan takdir seluruh Nashan tersembunyi dalam legenda Spiara Bulwar. Firasat murni dan magis tinggi, persahabatan sejati dan pengkhianatan misteri, kesemuanya tergabung dalam perjuangan Melyn ien Sarra iea Nashrain, puteri Kushan yang pintar dan jelita, yang paling terkenal dengan hanya satu gelaran: Aristokra.

ULASAN

Saya tidak akan menceritakan rantaian plotnya. Tak adil untuk orang yang baru nak membacanya. Saya akan menceritakan aspek-aspek menarik yang saya ketemui dalam karya epik ini selaku contoh yang boleh diaplikasikan dalam penulisan fiksyen secara umumnya.

1. Garapan naratif yang berkesan

Saya tertarik dengan bagaimana karakter-karakter di dalam novel ini berinteraksi. Dengan menggunakan perkara-perkara asas seperti lirikan mata, pelontaran suara dan juga pergerakan tubuh, disulami pula dengan keindahan ayatnya menjadikan situasi itu hidup. Dialognya digarap dengan naratif kemas sekali.

Antara babak-babak yang saya suka dan menggambarkan betapa mahirnya pengarang melakar perbualan adalah seperti berikut:

a) Perundingan Nashan dengan Armorikus untuk mendapatkan bantuan ketenteraan dalam menangani kemaraan bala tentera Sursis

Aristokra digambarkan selaku seorang wanita bijak dan tenang dalam mengatur perundingan, biarpun Shirgen yang mengatur bicara. Cara pengarang menceritakan reaksi Aristokra terhadap persekitaran dan juga orang-orang yang berbeza pangkat dan kekuasaan cukup kemas. Jiwa Aristokra mudah diselami melalui pembacaan demi pembacaan. Amat berkesan.

Aristokra Preview

b) Pertempuran Nashan dengan Sursis

Baiklah, apa yang saya maksudkan di sini adalah bagaimana Shirgen dan juga Hulber memulakan pertarungan. Mukadimah yang digunakan sebelum pertarungan sebenar berlangsung cukup mendebarkan. Bahkan garapan ayat yang tepat, membuatkan pembaca seperti saya mudah menggambarkan pertarungan antara dua seteru tersebut. Kepincangan watak diselit sama, menunjukkan betapa pertarungan seorang manusia itu tidak sempurna serba-serbi. Pasti ada langkah tersilap dan pasti ada kaedah menanganinya. Pendek kata, pertarungan yang digambarkan agak realistik.

c) Gambaran kekuatan Sursis

Sursis, seorang panglima adi yang tak terkalahkan. Cara pengarang menggambarkan kekuatan Sursis cukup mengujakan. Perbandingan tenaga dan kekuatan diterangkan dengan baik. Selitan watak-watak dan tahap kekuatan mereka dalam kronika ini ringkas penerangannya tapi memadai untuk memberi gambaran pada pembaca.

2. Susun atur plot yang mudah, tetapi berkesan

Bayangkan begini sahaja. Jika dibaca dari sinopsis di belakang buku, ia sebenarnya sudah memadai untuk memberitahu pembaca apa yang tersirat di dalam buku ini. Peperangan antara Nashan dan juga Sursis, selingan mitos Spiara Bulwar yakni, pertarungan antara Bulwar dan Shilrung dengan Krodra adalah plot utama cerita ini. Namun begitu, selingan plot-plot tambahan seperti, sejarah Spiara Bulwar di tangan pemerintah yang membunuh naga, konflik Merkia dengan kejahatan yang masih kabur penceritaannya dan pelbagai lagi subplot yang berkesan telah mengukuhkan dua plot utama itu tadi.

Ia umpama sebuah dua kota dengan pertahanan yang cantik dan sukar ditembusi. Pendek kata, selaku pembaca, kita akan terperangkap dalam dua buah kota tersebut tanpa mahu meninggalkannya kerana kedua-dua buah kota itu telah memerangkap kita dalam keindahannya.

Kesimpulannya, kekuatan dalam kepengarangan Ahmad Patria untuk karya Aristokra ini boleh dihuraikan seperti berikut:

  • Jalan ceritanya mudah dan tidak berbelit, tetapi diselitkan dengan emosi dan watak-watak yang penuh dinamik. Ini membuatkan Aristokra begitu mesra pembaca dari pelbagai tahap.
  • Bahasa yang digunakan juga puitis, tetapi tidak melampau-lampau aplikasinya.
  • Jalinan plot demi plot terlalu kemas dan berkesan, tidak meninggalkan satu ruang lompong pun yang akan membuatkan pembaca mengerutkan dahi.

Gabungkan semua ini, maka inilah hasilnya – sebuah karya fantasi epik yang begitu indah.

Secara peribadinya, selaku seorang pengarang dan juga pembaca yang gemarkan cerita yang kompleks, saya percaya, kepuasan maksima buat saya akan tercapai apabila saya berpeluang membaca keseluruhan siri Kronika Nashan ini.

Diharap Ahmad Patria meneruskan kecemerlangan ini untuk Wizra, novel kedua Kronika Nashan dan novel-novel seterusnya. Saya harus menunggu dengan sabar walaupun jiwa memberontak mahukan sambungannya terbit segera.

~

Jangan lepaskan peluang untuk menemui Ahmad Patria sempena Majlis Pelancaran Novel Aristokra di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) pada 8 Mei 2016 jam 4.00 petang.

Poster PTS 8 Mei - Aristokra

Promo Aristokra

Novel Aristokra: Kronika Nashan ini boleh didapati di PBAKL yang akan berlangsung pada 29 April – 9 Mei 2016 di booth PTS.  Ia juga boleh dibeli secara atas talian di bookcafe.com.my

peta-lokasi-klibf

Simbolisme di Sebalik Novel SaiFai “Simulasi”

0 Cover Simulasi

Sempena kelahiran novel SaiFai terbaru Lokman Hakim bertajuk Simulasi terbitan Penerbit X, Pena SaiFai telah memutuskan untuk mengadakan Minggu Simulasi, khusus untuk meraikan novel istimewa ini. Bermula hari Isnin hingga hari Khamis, Pena SaiFai akan menyiarkan artikel-artikel bertemakan novel Simulasi. Semoga bermanfaat.

0 Cover Simulasi Full

Sinopsis Simulasi:

Syukri mahukan kehidupannya kembali. Nora dengan penyakit autisme sedang bergelut dengan refleksi seorang lelaki aneh yang mahu masuk ke dalam hidupnya. Fateha pula berhempas-pulas untuk membantu Nora keluar dari kesukaran autisme itu.

Sebuah manuskrip telah mengubah hidup mereka. Mungkin sekadar penulisnya. Ataupun editornya. Tiada siapa yang pasti.

Bulan berbentuk kiub berapungan di langit menjadi enigma buat mereka yang menyedari. Namun begitu, tidak semua yang menyedari kejanggalan pada bulan tersebut.

Malaysia. Tahun 2032. Hidup agak sukar. Namun manusia sentiasa ada jalan keluar. Kadangkala jalan keluarnya tidak semestinya sama dengan apa yang pernah dibayangkan. Mungkin juga kehidupan itu hanya satu simulasi.

Simbolisme 1

Apabila saya menggunakan nama Syukri selaku watak utamanya, ia merupakan alegori kepada peribadi saya sendiri. Amat mudah menggunakan diri sendiri selaku contoh dan saya percaya ramai penulis melakukan perkara yang sama. Untuk pengetahuan umum, nama saya pada sijil beranak adalah Muhammad Syukri, sebelum dibatalkan dan digantikan dengan nama Lokman Hakim. Seronok bukan? Menggunakan informasi peribadi selaku permainan dalam novel seperti ini amat menyeronokkan.

Ia satu proses memahami diri. Penulisan novel seringkali menjadi medan perang buat saya untuk membuka kotak-kotak tersembunyi yang menyimpan identiti saya. Apabila mengatakan ia satu medan perang, saya serius dengan metafora itu. Saya berperang dengan rangkaian imaginasi dan watak-watak yang separuh siap, mencari diri saya di dalam setiap watak, mengeluarkannya dengan susah payah. Meletupkan kubu-kubu watak yang bengis. Merodok perut mutan-mutan dengan keris, agar rahsia di dalam genetiknya, memberitahu saya, kenapa saya boleh terperangkap dalam fitrah seorang Lokman Hakim.

Baik, untuk novel Simulasi, saya bongkarkan kotak ‘autisme’ dalam kepala saya. Autisme adalah penyakit yang punya impak besar pada keluarga saya. Anda boleh lihat ‘impaknya’ dalam rentetan peristiwa demi peristiwa di dalam novel ini seperti berikut:

  1. Syukri melarikan diri ke Kuala Lumpur dan bekerja di situ.
  2. Kehilangan ahli keluarga Syukri dalam kemalangan tragis.
  3. Penutupan cawangan NASOM di Sibu, Sarawak.
  4. Kewujudan watak-watak yang menyerupai Nora seperti Marissa dan juga klon-klon yang kelihatan serupa, lebih bijak dan sempurna.
  5. Pembacaan surah Al-Fatihah oleh Nora dalam salah satu babak.

Saya akan terangkan makna di sebalik garapan plot dan peristiwa yang dinyatakan seperti di atas.

  1. Syukri melarikan diri ke Kuala Lumpur dan bekerja di situ

Memikirkan kosnya sahaja sudah cukup membuatkan jiwa Fateha pedih. Selama ini duit perbelanjaan mereka ditanggung oleh Syukri yang diketahuinya sedang bertungkus-lumus mencari wang ringgit untuk mereka semua meneruskan kelangsungan hidup yang begitu sukar. Seringkali Syukri menyatakan kekesalannya dalam usaha membina kehidupan stabil di Kuala Lumpur. Tiga pekerjaan tidak memadai.

Mempunyai ahli keluarga dengan penyakit autisme bukan satu perkara yang mudah. Apabila kita melihat golongan cacat ini diperlakukan seperti haiwan oleh keluarganya, kita mudah menuding jari kepada ahli keluarga orang-orang cacat ini. Kita anggap mereka tidak ada nilai kemanusiaan, tidak berhati perut dan hina.

Pernahkah anda tanya diri anda sendiri, jika anda berada di tempat mereka, sanggupkah anda menjaga golongan cacat ini tadi, dengan pengetahuan, anda tidak dapat mengubah nasibnya sehingga ke akhir hayatnya?

Watak Syukri ini sebenarnya berlindung di sebalik topeng ketidaksanggupan untuk menghadap hari-hari di rumahnya, melihat penderitaan adiknya yang tidak mampu berdiri sendiri tanpa bantuan orang lain. Dia senantiasa memikir, jika dirinya mati, siapa yang akan menjaga adik bongsunya itu?

Dalam dunia di mana urusan kebajikan dan juga perubatan merupakan satu entiti ekonomi, nasib golongan cacat ini tidak begitu terbela, tanpa bantuan orang-orang yang berkemampuan.

  1. Kehilangan ahli keluarga Syukri dalam kemalangan tragis

Mereka punya lima orang adik-beradik sebenarnya. Ayah dan ibu mereka bekerja di sektor swasta dan merupakan pekerja yang gigih untuk menjaga kebajikan mereka sekeluarga. Malam itu, kemalangan jalan raya berlaku. Kesemua ahli keluarga mereka yang terlibat  terkorban serta-merta di tempat kejadian itu. Digeser treler yang gagal mengawal breknya yang rosak tidak memberi keluarganya harapan. Matinya mereka itu dalam keadaan dahsyat sekali. Ketika itu Fateha sedang menjaga Nora yang memang sukar hendak dibawa bersiar-siar. Ulah Nora yang susah dibendung itu telah menyelamatkan nyawa Fateha. Syukri pula ketika itu masih berada di perantauan.

Tahukah anda betapa pesakit autisme ini penting pada keluarganya? Tahukah anda betapa pentingnya sokongan dari keluarga itu dalam pembentukan hidup seorang pesakit autisme? Nah, saya ciptakan satu keadaan di mana, hanya tinggal si kakak Fateha sahaja yang terselamat untuk menjaga adiknya, Nora itu. Saya gambarkan juga bagaimana Syukri itu, terpaksa berhempas pulas mencari wang ringgit untuk disalurkan ke akaun adiknya agar kebajikan ahli-ahli keluarganya terjaga. Di mana bantuan kewangan dari golongan-golongan yang menyimpati secara bermusim ini?

Realitinya, keluarga-keluarga yang punya masalah ahli keluarga yang berpenyakit begini, biasanya tidak mendapat bantuan sewajarnya. Mengapa? Mereka tidak berteriak di media sosial selalu, mengemis simpati dan pertolongan dari orang lain. Mereka tahu, orang-orang di luar tidak akan mengerti masalah mereka. Mereka tahu, kekuatan untuk meneruskan kehidupan itu penting. Inilah cabaran yang dihadapi oleh keluarga yang punya ahli keluarga yang bermasalah kesihatan tadi.

  1. Penutupan cawangan NASOM di Sibu, Sarawak

Oh, Fateha. Pusat ini disita. Dengar cerita pemilik rumah ini gagal bayar dengan bank. Kami pun baru tahu hari ini. Kami diminta untuk kosongkan rumah ini dalam tempoh 24 jam.”

“Ini dah melampau, Puan. Mana boleh diorang buat macam tu.”

Puan Clarissa menggeleng, mukanya ditundukkan seolah tidak mahu pandangannya bertaut dengan Fateha. Apakah yang mampu dikatakan lagi? Biarpun pusat autisme itu didirikan atas dasar prihatin ke atas jumlah peningkatan pesakit-pesakit autisme, ia tidak memadai tanpa campur tangan ahli-ahli politik. Mereka perlukan sokongan orang berpangkat besar untuk terus bertahan di atas tanah lot tersebut.

Simbolisme 2

Mungkin ramai sedia maklum. Tiada cawangan NASOM (National Autism Society of Malaysia) di Sibu, Sarawak. Ia melambangkan pengharapan saya agar satu hari nanti, sebuah cawangan NASOM akan dibuka di Sibu dan adik bongsu saya bolehlah beroleh rawatan dan latihan sewajarnya di sana. Namun saya sedar, pengharapan begitu agak merepek, maka saya lakukan ia dengan babak penutupan cawangan NASOM di Sibu, Sarawak.

  1. Kewujudan watak-watak yang menyerupai Nora seperti Marissa dan juga klon-klon yang kelihatan serupa, lebih bijak dan sempurna

Seperti yang dijangka Syukri, Marissa tidak berkedipan matanya tatkala bertemu Nora yang betul-betul semiripnya. Bahkan Fateha sendiri ternganga mulutnya seolah tidak percaya dengan apa yang dilihatnya. Tatkala Nora dan Marissa berdiri bersetentangan antara satu sama lain, mereka yang berada di dalam restoran itu seolah menyaksikan sebuah cermin 3D yang bergerak hidup di depan mata.

Pembentukan watak-watak seperti ini juga merupakan perlambangan kepada harapan saya. Harapan yang barangkali tiada gunanya juga. Saya sentiasa membayangkan masa depan seorang pesakit autisme tadi. Bagaimana dia mahu meneruskan hidupnya sesudah ahli keluarganya tiada?

Kehidupan seorang Marissa, penuh misteri dan penuh cabaran. Dan dia dapat menghadapinya dengan hati tekal, bahkan mampu menentang The Machina dalam keadaan dirinya berseorangan. Klon-klon yang menyerupai Marissa, tetapi kejam dan gagah. Mereka umpama mesin yang takkan mati, jika tidak dilawan menggunakan kepintaran akal.

Kadangkala, saya mengharap penyakit autisme itu sendiri umpama sejenis cip, yang boleh ditanggalkan dari otak pesakitnya, dan pesakit itu tadi akan dapat menjalani kehidupan yang normal seperti orang lain.

Harapan yang tiada gunanya.

  1. Pembacaan surah Al-Fatihah oleh Nora di suatu babak

Hari ini adalah hari penting buat keluarga Syukri. Pada hari inilah pusara ayah dan ibunya serta adik-beradik lelakinya didirikan. Syukri masih dapat mengingati detik-detik dia mengusung jasad ayah, ibu dan adik beradiknya ke dalam liang lahad. Sebak menguntum di dada. Namun ditahankan sahaja air mata yang mahu mengalir.

Tikar dibentangkan, lalu mereka adik-beradik duduk bersimpuh di sisi pusara. Syukri mengeluarkan buku bacaan Yasin dan mula membacanya. Marcus dan Maria pula hanya berdiri dan menundukkan kepala masing-masing tanda hormat.

Tiba-tiba kedengaran Nora membacakan Al-Fatihah. Sepatah-sepatah dan liat benar ayatnya. Namun dia berjaya menghabiskan bacaan Al-Fatihah tersebut. Untuk seorang pesakit autisme sepertinya, ia adalah satu pencapaian yang bagus.

Syukri dan Fateha hanya menguntum senyum. Usaha mereka selama ini untuk melatih Nora agar mampu berkomunikasi dengan baik kini membuahkan hasil.

Tahu mengapa saya pilih surah Al-Fatihah? Mudah sahaja. Adik bongsu saya bernama Nur Fatihah. Di samping itu juga, Al-Fatihah juga merupakan surah pembukaan. Dalam novel ini, ia melambangkan satu permulaan yang baik untuk masa depan Nora yang telah berjaya mengatasi autisme tadi, dan menjalani kehidupan normal seperti orang lain.

Anda boleh melihat sendiri, bagaimana saya mengadunkan kisah-kisah peribadi saya menjadi sebuah fiksyen yang pada hemat saya, cukup simbolik dan juga peribadi pada saya sendiri. Barangkali, anda yang membaca naskhah ini nanti, akan melihat simbolisme yang cocok dengan tafsiran anda, berdasarkan pengalaman hidup anda sendiri.

Reality

Apa yang saya tegaskan di sini, setiap seorang dari kita, punya kisah hidup yang boleh diceritakan, dan juga boleh diputarbelitkan jalan ceritanya agar kita lebih memahami makna yang tersirat di sebalik kisah hidup itu tadi.

Saya melihat fiksyen begitu. Saya melihat proses penulisan itu selaku satu cara saya mengenal diri saya sendiri. Oleh sebab itulah, saya mengatakan proses penulisan merupakan satu terapi. Ia membawa saya dari satu hakikat ke hakikat kehidupan yang kadangkala saya sendiri tidak mahu menerimanya.

Feature Final 2

Dengan terus menulis, saya belajar untuk menjadi manusia yang lebih baik dan juga belajar untuk menerima sepenuhnya kekurangan diri ini. Dalam waktu yang sama juga, saya meraikan kelebihan yang ada dan tahu bagaimana untuk menggunakannya dengan lebih baik untuk kebaikan kita bersama.

~

Jangan lepaskan peluang untuk menemui Lokman Hakim di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) pada 6 Mei 2016 jam 4.30 petang, di mana Lokman akan berbicara lebih lanjut tentang novel Simulasi dalam forum “Penerokaan Cerita Sains Fiksyen”.

Poster PTS - Simulasi

Novel Simulasi boleh didapati di PBAKL yang akan berlangsung pada 29 April – 9 Mei 2016 di booth PTS.  Ia juga boleh dibeli secara atas talian di Portal PTS.

peta-lokasi-klibf

Kronologi Mengarang Novel SaiFai “Simulasi”

0 Cover Simulasi

Sempena kelahiran novel SaiFai terbaru Lokman Hakim bertajuk Simulasi terbitan Penerbit X, Pena SaiFai telah memutuskan untuk mengadakan Minggu Simulasi, khusus untuk meraikan novel istimewa ini. Bermula hari Isnin hingga hari Khamis, Pena SaiFai akan menyiarkan artikel-artikel bertemakan novel Simulasi. Semoga bermanfaat.

0 Mula

Bagaimana saya mula mengarang novel Simulasi?

Semua ini bermula pada 1hb Januari 2016. Saya memulakan penulisan di Starbucks Serdang ditemani lagu-lagu jazz dan juga rakan penulis, Ted Mahsun. Saya menaip 5,205 patah perkataan pada pagi itu. Saya bertukar lokasi, dari Starbucks Serdang ke Amcorp Mall, kerana kalau tidak berjalan, bagaimana saya mahu laju menulis?

Starbucks

Saya sentiasa memastikan rujukan dari internet tersimpan kemas di bahagian bookmark seperti berikut.

2 Rujukan Internet

Mudah untuk saya membuat rujukan kemudian hari, mungkin anda juga boleh praktikkannya kalau dirasakan sesuai.

Oh ya, sambil menaip itu, saya ditemani bahan-bahan bacaan dan juga muzik seperti berikut, kerana saya percaya kombinasi bahan bacaan yang baik dan juga muzik yang sesuai akan membantu saya membangkitkan semangat menulis tadi.

3 JazzJazz Moods yang dibeli di Amcorp Mall

4 There Be MonstersMembaca There Be Monsters oleh Julya Oui tatkala sesi menaip di malam hari

5 David BowieMendengar lagu David Bowie yang terbaru dan terakhir. Lagu-lagunya menjadi latar ketika saya membina dunia simulasi dalam karya ini

Semua dah tersedia? Muzik, latar tempat menulis, bahan bacaan dan bahan rujukan. Saya masukkan ia dalam jadual saya. Lokasi tempat mengarang yang dipilih kali ini adalah:

  • Starbucks Serdang
  • MJK Banana Leaf Kinrara
  • Old Town White Coffee, Cheras
  • Bites Cafe di Lake Fields
  • Perpustakaan Awam Taman Tun Dr Ismail
  • Gloria Jean’s Coffee di AmCorp Mall

Asalkan tiada asap rokok berkepul-kepul dalamnya sudah memadai. Proses penulisan novel ini agak mudah kerana saya tidak terbelenggu untuk menuliskan sains yang setepatnya dan tiada halangan untuk menyelitkan fantasi. Namun begitu, saya masih cuba melebihkan pada elemen SaiFai untuk karya ini berbanding fantasi.

Secara kronologinya, saya menaip pada 1hb Januari 2016 dan draf pertama siap pada 21hb Januari 2016. Jika dirujuk pada instagram saya, saya ada merekodkan jumlah patah perkataan yang telah ditaip seperti berikut:

Hari 1 : 5,205 patah kata

Hari 7: 27,000 patah kata

Hari 9 : 34, 042 patah kata

Hari 10 : 37,000 patah kata

Hari 15 : 44,481 patah kata

Hari 16 : 49,763 patah kata

Hari 17 : 52,529 patah kata

Hari 20: 59,000 patah kata

Hari 21: 62, 193 patah kata

6 SkrinDraf pertama yang telah selesai dikarang dari 1hb Januari 2016 – 21hb Januari 2016

Sebaik sahaja usai menyiapkan draf pertama, saya mencetaknya dan menjilidkan naskhah itu untuk memudahkan saya menyemaknya. Proses penyemakan typo dan juga plot-plot lompong mengambil masa sehari. Pada hari ke-22, draf pertama manuskrip diemelkan ke Penerbit X.

7 ManuskripDraf pertama yang dicetak untuk tujuan semakan

Untuk proses penulisan ini, terdapat beberapa lakaran yang harus dibuat untuk memudahkan saya memberi gambaran jelas ke atas apa yang berlaku dalam babak demi babak yang saya karangkan.

8 Gambaran SimulasiGambaran keadaan dalam salah satu simulasi yang terdapat dalam novel ini

9 DaduKonsep dadu dan juga bulan – garapan dan manipulasi konsep

Menulis novel tetap perkara yang sukar. Anda boleh melihat senarai kafe-kafe yang saya tujui. Jaraknya jauh-jauh belaka. Pemilihan kafe itu agak cerewet juga kerana entah apa dalam kepala saya ini, memilih kafe yang kurang sesak dengan orang. Apabila idea saya mati, saya akan berjalan keluar dari kafe tersebut dan berpindah untuk menulis di tempat lain. Ia satu proses mempermudakan idea yang berterusan dan dipaksa.

Perancangan plot amat penting. Tanpa merancang plot untuk sesi penulisan seterusnya, saya yakin, saya tidak mungkin dapat menyiapkan karya ini dalam tempoh sesingkat ini. Saya sentiasa memikir plot sewaktu lengang tidak bekerja. Saya bawa sentiasa buku nota saya dan sebatang pen, dan menuliskan plot sebaik sahaja terbitnya masa senggang. Konsistensi amat penting juga. Sentiasa menggunakan masa yang ada dengan produktif. Tidak boleh beri ruang langsung untuk bermalas-malasan.

Walaupun saya seorang yang pantas menulis, tetapi ia adalah hasil dari latihan dan komitmen penulisan yang tinggi (dan merepek). Saya percaya, masih jauh lagi perjalanan saya dalam dunia penulisan. Banyak lagi yang saya hendak terokai dan perbaiki untuk menjadi seorang penulis yang baik. Saya sentiasa meragui kualiti penulisan saya, tetapi tidaklah bermakna apabila saya ragu, maka saya harus berhenti menulis. Saya belajar untuk menambahbaik kualiti penulisan saya dengan terus menulis dan belajar dari persekitaran saya.

Nasihat saya kepada anda yang mahu jadi penulis yang super-prolifik mudah sahaja.

Berdisiplinlah menulis dan membaca setiap hari tanpa henti walaupun jiwa itu mati.

~

Jangan lepaskan peluang untuk menemui Lokman Hakim di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) pada 6 Mei 2016 jam 4.30 petang, di mana Lokman akan berbicara lebih lanjut tentang novel Simulasi dalam forum “Penerokaan Cerita Sains Fiksyen”.

Poster PTS - Simulasi

0 Cover Simulasi Full

Sinopsis Simulasi:

Syukri mahukan kehidupannya kembali. Nora dengan penyakit autisme sedang bergelut dengan refleksi seorang lelaki aneh yang mahu masuk ke dalam hidupnya. Fateha pula berhempas-pulas untuk membantu Nora keluar dari kesukaran autisme itu.

Sebuah manuskrip telah mengubah hidup mereka. Mungkin sekadar penulisnya. Ataupun editornya. Tiada siapa yang pasti.

Bulan berbentuk kiub berapungan di langit menjadi enigma buat mereka yang menyedari. Namun begitu, tidak semua yang menyedari kejanggalan pada bulan tersebut.

Malaysia. Tahun 2032. Hidup agak sukar. Namun manusia sentiasa ada jalan keluar. Kadangkala jalan keluarnya tidak semestinya sama dengan apa yang pernah dibayangkan. Mungkin juga kehidupan itu hanya satu simulasi.

Novel Simulasi boleh didapati di PBAKL yang akan berlangsung pada 29 April – 9 Mei 2016 di booth PTS. Ia juga boleh dibeli secara atas talian di Portal PTS.

peta-lokasi-klibf

Persediaan untuk Menulis Novel Fiksyen Sains dalam Masa Singkat

Menulis sebuah novel adalah perbuatan rumit. Ketika pelancaran Cerpen Terbaik 2015, saya dilabelkan selaku seorang penulis yang menakutkan dan diletak jolokan “writing machine“.FB Zaki

Saya anggap ia selaku satu pujian kerana saya telah berjaya melakukan satu perkara yang sukar dalam masa singkat — yakni menulis 17 buah manuskrip dalam masa dua tahun dengan 8 daripadanya telah terbit.

Lokman's Manuscript

Ia menyakinkan saya untuk membicarakan perihal kaedah menulis novel dengan cepat dengan anda semua. Mungkin boleh dipraktikkan oleh anda juga. Manalah tahu, bukan?

Namun kali ini saya bukan mahu membicarakan perihal kegilaan saya menulis novel tadi. Saya percaya, apa yang saya lakukan ini bukanlah satu perkara yang mustahil untuk dituruti penulis-penulis lain. Barangkali anda boleh mengadaptasi sedikit demi sedikit kaedah-kaedah yang saya gunakan dalam menulis.

Baik, saya akan kongsikan cara-cara untuk menulis sebuah fiksyen sains dalam masa yang singkat. Baiklah, saya letak durasinya sebulan. Susah? Baik, saya huraikan caranya.

Untuk menulis fiksyen sains dalam masa singkat, keperluan pertama sekali adalah anda selaku penulis itu sendiri harus sukakan sains itu sendiri. Anda sentiasa mengambil tahu perkembangan dalam dunia sains global.

Terdapat lambakan buku-buku yang memudahkan kita memahami konsep sains pada asasnya di pasaran pada harga berpatutan. Tidak perlu mengikuti lambakan kertas-kertas penyelidikan yang kita ketahui agak kompleks untuk difahami oleh golongan yang bukan pakarnya. Namun begitu, jika punya masa, bacalah semuanya. Tidak salahpun.

Rujukan MSS 16Apabila kita sentiasa berada dalam keadaan sedar akan perkembangan sains di sekitar kita, ia sudah jadi bonus dalam proses penyiapan manuskrip fiksyen sains dalam masa singkat.

Keperluan kedua pula, mengetahui perkembangan semasa akan insiden-insiden yang terjadi dalam negara. Ini penting untuk anda yang mahu menulis novel spekulatif atau futuristik. Saya sendiri telah menulis novel yang berlatarkan 16 tahun akan datang. Ekonomi, sosial dan politik. Sentiasa perhatikan apa yang berlaku dan lihatlah impaknya kepada masyarakat. Seperti contoh, pengenalan GST. Apa impaknya? Benda-benda ini harus dilihat secara neutral jika anda mahu menuliskannya selaku bahan di dalam novel anda.

Keperluan ketiga, anda haruslah seorang pembaca tegar. Anda baca banyak buku-buku yang berlainan genre. Anda baca buku ilmiah. Anda baca buku berat-berat. Anda juga biasa menganalisa setiap buku yang anda baca dan anda sentiasa cuba memahami bagaimana penulis tersebut menuliskan karyanya. Cintailah sastera itu, kerana tanpa cintakan sastera, bagaimana mahu menulis?

Books and Laptop

Anda telah punya pengetahuan semasa dalam sains dan juga rangkaian peristiwa-peristiwa penting dalam masyarakat. Anda juga punya perbendaharaan kata yang luas dan lambakan idea-idea penulisan akibat pembacaan yang pelbagai. Wow. Anda hebat. Maka bagaimana pula hendak aplikasikannya dalam proses penulisan pula?

Penulisan novel adalah satu proses pembelajaran. Saya sendiri tidak boleh menulis novel dalam masa sebulan untuk novel pertama saya. Saya mula laju menulis pada penulisan manuskrip ke 7, itupun kerana saya menyertai National Novel Writing Month, di mana anda perlu menulis sebuah novel pada 50,000 patah kata dalam masa sebulan. Ia satu praktis yang bagus, kerana anda boleh menyelaraskan pemikiran anda untuk menyiapkan novel tersebut dalam masa yang diletakkan.

1. Pilih subjek sains yang anda selesa dan gemar.
Perhatian, saya kata sesuatu yang anda selesa, bukan SENANG. Kerana saya percaya, apabila kita lebih akrab dengan sesuatu tajuk itu, kita akan lebih bersemangat untuk membuat kajian ke atas subjek tersebut. Apabila menaipnya, ayat akan mengalir umpama empangan air yang pecah. Banjir besar.

2. Letak deadline.
Katakan anda mahu menyiapkannya dalam tempoh masa sebulan. Buat pengiraan ke atas jumlah patah kata yang anda hendak tulis dalam masa sehari. Secara logiknya, sebuah novel 60 ribu patah kata memerlukan anda menaip sekurang-kurang 2,000 patah kata dalam masa 30 hari. Namun begitu, jangan terletak statik pada 2,000 patah kata. Jika boleh, tulis lebih. Akan ada masanya kita punya masa yang lengang, maka gunakan peluang itu untuk taip 5,000 patah kata, contohnya.

3. Binakan jadual menulis dan disiplin.
Anda bukan penulis sepenuh masa. Baik, saya faham. Saya sendiri juga bukan penulis sepenuh masa. Maka, anda harus buatkan jadual menulis. Kenal pasti bila waktunya anda lengang untuk menulis. Jika memilih untuk menulis pada waktu pagi, pastikan tidurnya cukup. Badan letih, tidak akan memudahkan proses penyiapan novel. Ia akan jadi satu paksaan pula.

4. Perangkaan plot/pemahaman ke atas konsep cerita.
Kekuatan fiksyen sains pada hemat saya adalah jalan ceritanya, maka lekas-lekas tuliskan jalan cerita tadi. Buatkan dalam bentuk poin-poin penting. Buatkan seringkas mungkin. Apa yang penting adalah, anda harus jelas dengan jalan ceritanya semasa menaipkannya. Bukan terkial-kial memikir jalan cerita semasa proses penulisan berlangsung.

Library

Saya sarankan, sepanjang sebulan itu, anda sentiasa memikirkan cerita anda. Jangan sekali-kali berhenti kalau boleh. Ketika makan tengahari, keluarkan buku nota anda, tulis poin-poin anda. Jika anda rasa banyak masa dihabiskan di media sosial, kurangkan tabiat itu, dan tuliskan poin-poin anda. Paksa otak itu untuk berfikir.

5. Tulis fiksyen sains atau buku fakta sains?
Sesetengah orang berpendapat, menulis fiksyen sains memerlukan anda meletak informasi sains yang terperinci di dalam novel anda. Ketahuilah perbezaannya antara menulis kertas kajian dengan fiksyen sains. Jika kertas kajian sains memerlukan anda meletakkan huraian yang terperinci dan juga penuh teknikal, fiksyen sains tidak begitu. Memadailah anda meletakkan konsep yang tepat untuk idea sains yang dikemukakan itu tadi. Oleh itu, dapatkan naskhah-naskhah sains yang asas. Ketahui konsep asas tadi dan aplikasikannya. Tak perlu letakkan formula yang rumit.

6. Semak draf manuskrip anda.
Apabila siap menulis draf pertama, saya akan mencetak manuskrip tadi untuk keselesaan membaca. Pembacaan semula manuskrip sebenarnya meletihkan, bahkan kita cenderung untuk terlepas pandang aspek-aspek penting yang terabai dalam manuskrip tadi. Saya selesa mencetak manuskrip saya sendiri dan menyemaknya perlahan-lahan seperti kita membaca novel.

Cetak

Sebab itu, perkara pertama yang saya lakukan apabila mendapat royalti buku adalah membeli sebuah mesin pencetak yang efisien dan kertas-kertas A4. Untuk menyelaraskan minda tadi yang keletihan setelah menaip draf pertama, buat kerja-kerja yang santai. Mungkin baca novel-novel lain atau buku-buku puisi, yang tiada kaitan langsung genre ataupun temanya dengan karya yang kita tulis. Mungkin juga boleh tengok wayang atau beriadah. Terpulang pada individu masing-masing, tetapi kalau boleh jangan berehat terlalu lama. Cukup 2 atau 3 hari, semaklah manuskrip anda. Ingat, anda ada tarikh tutup. Patuhlah pada tarikh yang ditetapkan itu.

Kesimpulannya, saya setuju apa yang saya praktikkan di atas barangkali tidak sesuai dipraktikkan oleh semua penulis. Setiap penulis ada kaedahnya yang tersendiri. Namun begitu, saya percaya, kita sedang mengarang karya kreatif, jadi cubalah jadi kreatif dalam apa-apa aspek pun.

Baiklah, sebagai contohnya, saya membayangkan satu babak cerita menarik. Saya rasa, saya nak letakkan babak itu di tengah-tengah manuskrip saya. Saya akan kembangkan ia dari tengah, bergerak ke depan dan juga ke belakang. Ini satu contoh. Oh, boleh jadi juga seseorang sedang memuatnaik status menarik di twitter. Bagaimana dia boleh terdetik untuk menaip status tersebut? Proses pemikiran itu mungkin boleh jadi cerita yang menarik untuk dituliskan.

Akhir kata, pelbagaikan kaedah penulisan anda, agar momentum penulisan tadi terus kekal padu dan tidak meletihkan.

~

Berkaitan: Ikuti juga “Wawancara bersama Lokman Hakim, penulis prolifik” yang pernah tersiar dalam Pena SaiFai pada 20 Januari 2016.

Penghuraian Elemen Fiksyen Sains& Spekulatif Pinjam & Pentas Karya Anuar Shah

Sebenarnya, kita banyak novel-novel fiksyen sains yang bersadurkan elemen-elemen lain. Bayangkan fiksyen sains ini macam hidrogen. Kita minum H2O dan kita tak hirup hidrogen macam kita hirup oksigen. Pendek kata, kita kena campurkan fiksyen sains dalam genre-genre yang lebih menangkap pembaca seperti thriller, seram, cinta, komedi dan sebagainya.

anuarshah

Itulah apa yang cuba dilakukan oleh dua karya Anuar Shah yang akan saya huraikan di bawah ini.

pinjam
Tajuk:
Pinjam
Penerbit: FIXI

Tahun Terbitan: 2014
Halaman: 266 halaman

Pertama sekali saya akan huraikan elemen fiksyen sains dalam karya Pinjam.

Kemunculan makhluk asing, biarpun tidak dinyatakan secara nyata akan elemen saintifiknya, tetapi cukup jelas untuk menerangkan perihal munculnya satu kekuasaan di luar norma seorang manusia. Bagaimana ia diperkenalkan?

Pada halaman 23, di bawah penjelasan watak bernama Kamsiah, yakni, ibu kepada Shahrom:

“Aku ternampak benda bulat silinder warna perak terkeluar dari satu bahagian busut tu. Macam warna besi berkilat. Ada cahaya kebiruan keluar dari besi berkilat tu. Benda tu nampak macam benda dari dunia asing. Waktu tu suasana hening je. Entah dah berapa lama dah aku berdiri. Aku tak dapat rasa apa-apa, macam berada dalam air. Aku tak pasti sama ada aku secara fizikal berada di situ atau pemikiran aku je yang ada di situ”

Kuasa “pinjam” yang merosakkan kehidupan normal watak-watak utama dalam novel ini dipercayai datang daripada silinder warna perak tersebut. Pemilihan “silinder warna perak” dan bukannya hantu-hantu yang humanoidal tetapi hodoh membuatkan imej benda asing itu punya teknologi. Punya kebijaksanaan. Teknologi dan kebijaksanaan itu memberikan elemen fiksyen sains kepada karya ini.

Sejauh mana makhluk asing ini punya sifat setara dengan seorang manusia? Dan sejauh mana sainsnya sifat makhluk asing ini? Adakah lebih kepada fantasi? Berapa peratusan sainsnya pula?

Sebuah karya fiksyen sains yang bagus haruslah punya penjelasan saintifiknya yang boleh dikatakan logikal dan seiring dengan perkembangan sains dan teknologi terkini. Itu pendapat peribadi saya. Jika tidak logik, ia bukan fiksyen sains lagi, tetapi fantasi. Namun fantasi juga seronok dibaca. Jadi tiada masalah.

Untuk menghuraikan sifat ekstraterrestial pada “makhluk asing” di dalam novel Pinjam, biar kita lihat daripada petikan-petikan berikut:

“Berada di dalam otak Jamal. Seperti menonton televisyen. Aku dapat tengok prebiu semua saluran dalam bentuk tayangan-tayangan yang melintas di hadapan aku” – Shahrom, halaman 168.

“Aku dapat tahu yang aku boleh kawal pergerakan Jamal dengan berada di bahagian medulla oblongata” – Shahrom, halaman 175.

“Aku masih dapat merasai memori residual dari memori Jamal yang telah aku tonton” – Shahrom, halaman 188.

Penjelasan yang sesuai dari petikan-petikan di atas adalah berikut:

Makhluk asing ini tidak punya sifat kendirinya selaku makhluk yang berlainan dari aspek manusia. Antropik benar sifatnya, namun dikaburi dengan penjelasan yang agak komedi dan kenaifan. Haruslah dijelaskan di sini, karya ini tidak ditulis dengan kehendak fiksyen sains selaku teraju utamanya. Hanya ada sipi-sipi.

Jika hendak disimpulkan secara fiksyen sains, naskhah Pinjam ini bolehlah dihuraikan dengan ayat berikut:

Penjelajahan dan penjajahan minda sekumpulan manusia juvenil oleh makhluk asing di dalam bentuk silinder perak yang parasitik di otak manusia.

Okey, okey, okey. Itu pendapat saya mengenai naskhah Pinjam. Apa kata kita belek pula naskhah Pentas?

pentas

Tajuk Buku: Pentas
Penerbit: FIXI
Tahun Terbitan: 2015
Halaman: 252 halaman

Karya ini mungkin lebih sesuai dilabel selaku fiksyen spekulatif. Saya tidak akan menceritakan perihal plotnya dan penceritaan magis si Harut yang menjadi asas kepada konflik di dalam karya ini. Saya akan menceritakan latarnya.

Baiklah, bayangkan Kuala Lumpur pada masa depan. Biarpun sedikit futuristik, tetapi lebih sesuai dikatakan satu dimensi lain dengan pengekalan beberapa ciri-ciri pada era ini yang dikekalkan.

Mungkin di luar rangkuman politik semasa. Satu utopia. Dapat bayangkan? Baik, kita mulakan dengan perbentangan perubahan secara sosial yang telah ada ketika itu. Kita lihat petikan-petikan di bawah dan bincangkan kelogikannya.

“Yang menyebabkan tempat itu menjadi lebih sesak adalah kehadiran tourist yang datang menggunakan teknologi cloning melalui mesin cetak 3D yang mencetak manusia di kedai-kedai di mana pelancong itu ingin melawat” –halaman 63.

“Kini semua media sosial dimiliki Wajah Hakiki, media sosial zaman ini yang lebih Islamik dan lebih menyeluruh” – halaman 87.

Hakikatnya banyak lagi kenyataan-kenyataan yang dibuntilkan dalam karya ini yang mencampurkan elemen-elemen spekulatif sebegini.

Apakah yang dimaksudkan pada halaman 63 itu, adalah sejenis teknologi yang pada hemat saya, merupakan satu tahap teknologi berasaskan virtual tourism. Namun begitu, dalam virtual tourism yang memang bukan satu teknologi baru ini (diperkenalkan termanya pada tahun 1994), penggunanya hanya dibawa merentasi simulasi satu alam yang artifisial.

Dalam naskhah Pentas ini, berbeza pula sifatnya. Pelancong-pelancong itu bukan sahaja diberi satu pengalaman visual secara simulasi, tetapi latar simulasinya pula bukan berlandaskan satu alam ciptaan komputer semata-mata. Ia nyata. Bahkan terdapat urusan-urusan perniagaan boleh dilaksanakan di tempat yang dituju itu. Cuma secara logikalnya, adakah benda ini boleh dicapai dalam masa terdekat di masa hadapan?

Penulis turut menceritakan juga bagaimana teknologi tadi dimanipulasi untuk melakukan jenayah-jenayah siber.

“Kini semua media sosial dimiliki Wajah Hakiki, media sosial zaman ini yang lebih Islamik dan lebih menyeluruh” – halaman 87.

Kenyataan ini menggambarkan satu bentuk media sosial alternatif yang barangkali mirip dengan idea Ummaland namun dalam cerita ini, Wajah Hakiki bukanlah satu alternatif lagi. Ia merupakan media sosial utama yang menjadi kegemaran penduduk dunia. Ayat ini menggambarkan satu keadaan utopia Islamik.

“Pemilik semua saluran adalah Media Prima” – halaman 86.

Ayat ini menggambarkan situasi Malaysia yang kini bertukar tampuk dominasi saluran medianya. Ia bukanlah sesuatu yang begitu futuristik. Ia hanya spekulatif. Pengekalan ‘Media Prima’ pada latar cerita menggambarkan kita bukanlah dipersembahkan dengan latar Kuala Lumpur pada masa kini. Ia lebih kepada gambaran Kuala Lumpur pada paksi dimensi yang lain dari apa yang kita tahu.

“Semua saluran TV di merata dunia kini boleh ditonton pada masa ia ditayangkan di tempat asalnya” – halaman 86.

Kenyataan ini adalah rambang dan tidak teliti pembikinan logikalnya. Secara praktikal ia boleh dilakukan, tetapi tidak dilakukan kerana tidak efektif secara ekonomikal.

Saya hanya mengambil contoh-contoh ayat yang menerangkan latar tempat yang digunakan dalam novel ini. Tidaklah ia bermakna saya boleh menjadikannya satu titik tolak untuk merumuskan apa yang cuba digambarkan oleh penulis. Namun saya boleh merumuskan penggunaan latar cerita untuk karya Pentas ini seperti berikut:

Kuala Lumpur pada dua dekad akan datang dengan gambaran utopia yang agak bercita-cita tinggi dalam revolusi teknologinya.

Jika hendak dihuraikan secara sainsnya, ia kurang tepat dan tidak begitu realistik, tetapi ia masih bacaan yang seronok untuk dihayati akan latarnya.