Wawancara Bersama Muzaf Ahmad, Bahagian 1

Pena SaiFai berpeluang berbicara dengan seorang penulis muda yang tidak asing lagi di arus sastera perdana, Muzaf Ahmad.

Muzaf_Ahmad

Beliau banyak kali memenangi anugerah berprestij negara seperti berikut:

Hadiah Sastera

  • Hadiah Sastera Kumpulan Utusan (HSKU) melalui cerpen Kanibal Hutan Seberang (2012)
  • Hadiah Sastera Kumpulan Utusan (HSKU) melalui puisi Jaulah Sampai Syurga (2014)
  • Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM) menerusi kumpulan puisi Jaulah Sampai Syurga (2014)
  • Hadiah Sastera Kumpulan Utusan (HSKU) melalui puisi Denting Waktu (2015)

Sayembara

  • Sayembara GKLN bahagian Asia-Australasia 2013 (kedua)
  • Pertandingan Mencipta Sajak anjuran Lembaga Pertubuhan Peladang dan NAFAS 2013 (saguhati)
  • Sayembara Novel Kanak-Kanak DBP-ANGKASA 2013/2014 (saguhati)

Terkini, Muzaf dinobatkan sebagai salah seorang pemenang untuk Sayembara Novel Fiksyen Sains & Teknologi UTM-Kumpulan Utusan Musim Ke-4 dengan novel fiksyen sains Kuantum Dalam Jemala. Mari kita baca sesi temu ramah dengan penulis serba boleh ini.

kuantum

Salam, Muzaf. Terima kasih kerana sudi meluangkan masa dengan pihak Pena SaiFai. Sebelum menerbitkan novel Kuantum Dalam Jemala, Muzaf banyak menulis dalam majalah seperti Tunas Cipta dan Dewan Kosmik, serta dalam surat khabar perdana seperti Utusan Malaysia. Khabarnya jumlah karya yang telah tersiar di media cetak sudah melebih 100 buah.

Muzaf juga memiliki ijazah sarjana muda dan ijazah sarjana dalam bidang Kejuruteraan Elektronik dari Keio University. Tampaknya sibuk dan padat jadual harian Muzaf. Bagaimana Muzaf membahagikan masa untuk menulis?

Waalaikummussalam, Pena SaiFai. Pertamanya, saya ingin mengucapkan ucapan ribuan terima kasih atas kesudian Pena SaiFai untuk menemuramah saya. Saya amat menghargai peluang ini. Saya mula menulis sekitar tahun 2008, bermula dengan menghantar karya ke majalah Dewan Siswa. Puisi pertama saya tersiar pada tahun yang sama, manakala cerpen saya pertama, sebuah cerpen fiksyen sains bertajuk Sehangat Api Dinosauropolis disiarkan pada tahun 2009.

Pasa awalnya, niat saya hanya mahu belajar menulis dan memperbaiki teknik penulisan. Pada ketika itu saya menapakkan kaki ke pusat persediaan untuk melanjutkan pelajaran di Jepun. Saya bermula sebagai seorang “bayi” dalam bidang penulisan, seorang yang hanya baru belajar mengenal dunia kesusasteraan. Sedikit demi sedikit saya belajar merangkak, berjalan dan berlari.

Setelah yakin pada diri, barulah saya menghantar lebih banyak karya ke majalah-majalah lain seperti Tunas Cipta, Dewan Kosmik dan akhbar perdana seperti Berita Harian dan Mingguan Malaysia. Di kolej persediaan, hampir setiap hari, saya menghadiri kuliah dari jam 8 pagi hingga 5 petang. Sejujurnya, saya tidak mempunyai banyak masa untuk menulis. Saya hanya ada waktu menulis ketika cuti semester yang tidaklah pula begitu panjang. Di kampung, saya lebih mudah fokus untuk menulis dengan produktif.

Selepas tahun 2012, saya menjejakkan kaki di bumi Jepun, meneruskan pengajian. Jadual akademik saya tidaklah sesibuk di Malaysia seperti sebelumnya. Sejujurnya, saya tidak ada jadual khas untuk menulis. Saya hanya menulis jika ada waktu berbaki setelah semua tanggungjawab lain diselesaikan terlebih dahulu dan apabila saya bersedia secara mental dan fizikal.

Kini, saya juga hanya akan menulis apabila suasana mendorong saya untuk menulis. Contohnya, apabila hati berkata-kata: “aku mesti tulis ini sekarang,” ketika itu saya akan terus menulis. Saya masih ingat, cerpen yang memenangi HSKU bertajuk Kanibal Hutan Seberang ditulis dalam kuliah ‘Asal Usul Bahasa & Falsafah’ di Jepun.

Kanibal Hutan Seberang

Manakala siri puisi Cikgu Gaza yang memenangi HSPM melalui kumpulan puisi Jaulah Sampai Syurga ditulis ketika dunia menyaksikan Gaza diserang Israel dalam perang ‘Ashf Ma’kul (daun-daun yang dimakan ulat).

Cikgu Gaza ICikgu Gaza II

 

Puisi Jaulah Sampai Syurga pula lahir daripada permintaan seorang sahabat. Bagi saya, menulis bukan suatu kerja atau rutin, tetapi sebahagian daripada gambaran kehidupan yang dilalui. Saya percaya, saya masih perlu terus belajar menghasilkan karya yang lebih baik.

Boleh ceritakan lebih lanjut tentang cerpen Sehangat Api Dinosauropolis itu? Apa yang membuatkan Muzaf berminat hendak menulis sebuah cereka sains pada peringkat awal Muzaf mencuba menulis?

Cerpen Sehangat Api Dinosauropolis berkisarkan tentang dua orang sahabat lama yang bertentangan prinsip. Dinosauropolis merupakan pusat penting yang mengumpulkan segala hasil arkeologi purba, infrastrukturnya dibangunkan dengan teknologi seperti Virtual Reality, mikrocip dan sebagainya. Pertentangan prinsip menyebabkan dua orang sahabat dahulunya, menjadi musuh ketat untuk menguasai Dinosauropolis. Ia bukan hanya mengisahkan tentang pertentangan prinsip, tetapi juga pertentangan teori, menjangkaui dua zaman – purba dan moden, serta etika. Ia berakhir dengan watak antagonis terkurung di dalam dunia maya tiga dimensi.

Saya tiada jawapan khusus mengapa cereka sains menjadi cerpen pertama saya, tetapi apa yang boleh saya katakan, ia lebih ringan dan lebih mudah ditulis memandangkan saya mengambil jurusan sains tulen di sekolah menengah. Sains amat dekat dengan diri saya, dan lebih mudah dikarang.

Apakah faktor yang mendorong Muzaf menjadi seorang penulis? Tambah lagi, Muzaf memiliki latar belakang dalam bidang kejuruteraan elektronik. Adakah penguasaan Muzaf dalam bidang sains banyak membantu memberi ilham dan juga kelebihan bagi menghasilkan karya sastera?

Suasana sekitar dan fasa perubahan diri banyak mendorong saya menulis. Saya hanya bermula dengan beberapa buah karya. Saya juga mendapat komen dan kritikan daripada komuniti penulis sastera sendiri dan menjadikannya rujukan untuk terus belajar.

Malah, motivasi terbesar saya adalah untuk membawa perubahan dalam masyarakat kita melalui bidang penulisan. Saya yakin medium penulisan adalah satu platform yang berkesan dalam menyampaikan pemikiran dan amanat. Latar belakang dalam bidang elektronik sedikit sebanyak membantu saya menghasilkan cerpen fiksyen sains. Dari segi ilham, kebanyakannya lahir melalui pembacaan karya sastera serta pengalaman kehidupan.

Boleh senaraikan nama penulis dan bahan bacaan yang menjadi kegemaran Muzaf? Mengapa Muzaf memilih karya-karya ini?

Saya meminati novel karya Faisal Tehrani sebagai bahan bacaan. Saya fikir 1511H [Kombat] adalah novel fiksyen sains yang avant-garde dan kemas dari segi pengolahan dan penulisannya. Manakala Manikam Kalbu cukup sarat falsafah dan sejarah, ditulis dengan teknik penulisan  yang menarik. Saya jarang membaca fiksyen sains atau novel sastera berbahasa Inggeris. Sebagai rujukan, saya lebih gemar membaca genre bukan fiksyen.

Muzaf menulis dalam genre yang pelbagai: cerpen, puisi, artikel dan juga novel. Genre yang manakah menjadi kegemaran Muzaf? Apakah panduan yang Muzaf amalkan untuk menjadi seorang penulis yang versatile dan serba boleh?

Saya menggemari semua genre penulisan, bagaimanapun, puisi paling dekat dengan hati saya. Saya fikir, saya seorang yang gemar mencuba sesuatu yang baharu. Bagi saya ia satu proses belajar mengenali dan menguasai. Saya bermula dengan menulis cerpen fiksyen sains, kemudian mencuba cerpen dewasa, beralih kepada puisi dan kini kembali semula kepada fiksyen sains.

Muzaf banyak kali memenangi anugerah sastera dan juga sayembara di peringkat kebangsaan. Boleh kongsikan antara pengalaman menarik di sebalik tabir yang tidak dapat dilupakan berkaitan dengan penyertaan Muzaf itu?

hspm_puisi

Ya, kemenangan Jaulah Sampai Syurga dalam HSPM paling tidak dapat saya lupakan. Sebelum buku diterbitkan oleh syarikat penerbitan GKLN iaitu Karyawan Publishing House (kini dikenali sebagai Kata-Pillar Books), manuskrip ini pernah dihantar ke sebuah syarikat penerbitan lain.

Namun, saya menariknya kembali kerana tidak dapat memenuhi syarat yang diletakkan oleh penerbit jika mahu buku saya diterbitkan. Saya sedikit kecewa dan hampir saja berputus asa, kerana itulah impian saya untuk menerbitkan buku yang pertama. Setelah berbincang dengan saudara Fahd Razy, saya menerbitkan buku itu dengan duit poket sendiri, jika tidak silap bermodalkan RM500.

Syukur, saudara Fahd Razy dan rakan-rakan GKLN banyak membantu dalam penerbitan buku ini. Sayalah penulis, editor dan designer (dalaman) untuk buku sendiri. Kulitnya dihasilkan oleh sahabat GKLN, saudara Rasydan Fitri.

Jaulah Sampai Syurga

Apabila keluar iklan HSPM, saya cuba menghantar, dan tidak sangka, menjadi pemenang HSPM yang tidak pernah saya duga! Alhamdulillah, rezeki daripada Allah.

Ada beberapa lagi cerpen fiksyen sains Muzaf yang tersiar di dalam Dewan Kosmik, seperti berikut:

  1. Humanoid, Dewan Kosmik (Julai 2012)
  2. Tercipta daripada Segumpal Darah, Dewan Kosmik (Oktober 2013)
  3. Manusia Cip (CMOS), Dewan Kosmik (Januari 2014)
  4. Sistem Antirealiti, Dewan Kosmik (Jun 2014)
  5. Bumi Kedua, Dewan Kosmik (Mei 2016)

Boleh Muzaf ceritakan serba sedikit tentang cerpen-cerpen ini? Jika tidak keberatan, sudilah kiranya Muzaf berkongsi panduan menulis cereka sains yang baik sebagai rujukan para penulis di luar sana.

Cerpen-cerpen fiksyen sains yang pernah saya tulis sebenarnya sedikit rencam dari sudut temanya. Saya suka bereksperimen dengan pelbagai tema dan latar belakang sebagai latihan menulis. Ada yang bertemakan teknologi mikrocip, robotik, alam sekitar dan perubatan. Seperti mana novel Kuantum Dalam Jemala, cerpen Manusia Cip (CMOS) menjadikan mikrocip sebagai tunjang utama cerita.

Ketika menulis, saya cuba mengaitkan fiksyen sains dengan nilai etika dan kemanusiaan kerana fiksyen semata-mata membuatkan karya terasa kering. Begitu juga sebaliknya. Oleh sebab saya suka mengikuti perkembangan teknologi terkini, banyak idea diperoleh dengan mencantumkan kehidupan realiti dengan maklumat berkaitan teknologi itu.

Namun, saya fikir, menulis novel fiksyen sains lebih memberikan kepuasan kerana ruang dalam cerpen terlalu terhad untuk mengarang sebuah cerita yang betul-betul menarik.

Apa pandangan Muzaf tentang industri fiksyen sains di tanah air? Adakah Muzaf akan terus menulis lebih banyak karya untuk menyemarakkan dunia fiksyen sains tempatan?

Pada pendapat saya, industri fiksyen sains di Malaysia sudah mula menapakkan kakinya dengan bergaya beberapa tahun belakangan ini. Arkib karya fiksyen sains kita masih kecil. Mungkin kerana komuniti penulis dan pembaca yang tidak ramai. Bilangan penulis juga tidak ramai.

Meskipun begitu, saya cukup optimis, fiksyen sains akan terus berkembang dengan lahirnya penerbit-penerbit karya fiksyen sains. Stigma lama masyarakat terhadap fiksyen sains boleh diubah sekiranya kita mencuba bersungguh-sungguh. Fiksyen sains akan menjadi genre yang menarik lebih ramai khalayak pembaca sekiranya karya yang diterbitkan menarik minat dan promosinya dilakukan secara besar-besaran. Tiga perkara yang perlu dilakukan – menggalakkan lebih ramai penulis tempatan menulis genre fiksyen sains, membina komuniti penulis dan meluaskan khalayak pembaca.

Insyaallah, saya akan menulis lebih banyak karya fiksyen sains selepas ini.

~

Khamis: Ikuti bahagian selanjutnya dalam sesi wawancara bersama Muzaf Ahmad, di mana beliau akan menceritakan mengenai buku terbarunya, Kuantum Dalam Jemala. Nantikan!

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s