Novel “Nafkhatul Faza” – Fiksyen Sains Sarat Falsafah

nafkhatulfaza-cover

Tajuk Buku: Nafkhatul Faza
Pengarang: Rosli Mohamad Ali
Penerbit: Utusan Publications & Distributors / UTM Press
Tahun Terbitan: 2017
Halaman: 404
Harga: RM50.10

Sinopsis:

“Iris mataku meliar memandang ke sana dan ke mari mencari tanda-tanda kehidupan yang dikesan malam tadi. Namun, setakat ini tiada secebis kesan pun yang kelihatan pada deria. Yang ada hanyalah sisa-sisa bangunan pencakar langit yang terpacul keluar sebahagiannya, seolah-olah melawan ombak pasir yang cuba melemaskannya.”

Nafkhatul Faza, karya seorang guru Bahasa Inggeris bernama Rosli Mohamad Ali telah berjaya dinobatkan sebagai pemenang tempat pertama dalam Majlis Penyampaian Hadiah Sayembara Novel Fiksyen Sains dan Teknologi UTM-Kumpulan Utusan Musim Ke-4 yang berlangsung pada 28 Mac 2017 di Dewan Utusan baru-baru ini.

Nafkhatul Faza mengisahkan kehidupan manusia dalam era pascabencana, setelah bumi mengalami kemusnahan akibat fenomena suar api (merak api) yang dahsyat sehingga mengurangkan bilangan umat manusia daripada berbilion penduduk kepada seratus ribu sahaja. Saki-baki manusia yang terselamat ini tidak lagi dapat menghuni bumi, sebaliknya terpaksa meneruskan kehidupan di stesen angkasa dan planet-planet lain. Sekumpulan saintis, diketuai oleh Dr. Irfan, berhasrat untuk membuktikan bahawa planet bumi yang telah rosak sejak 500 tahun dahulu, kini beransur pulih tanpa memerlukan sebarang bantuan atau campur tangan daripada manusia.

Nafkhatul Faza menghantar kesedaran bahawa kerakusan manusia memusnahkan alam semula jadi dengan begitu terlampau, akhirnya menerima balasan dan amaran Tuhan melalui fenomena merak api itu.

“Tetapi bukankah merak api sendiri sebenarnya api neraka yang dihantar oleh Tuhan kepada manusia atas dosa-dosa yang dilakukan oleh manusia? Ada sesetengah orang mengatakan yang suria itulah neraka sebenarnya.”

“Benar tetapi ia bukannya kiamat. […] Abdul-Laits meriwayatkan dengan Sanad daripada Abu Hurairah r.a., Rasulullah s.a.w. pernah bersabda:

Ketika Allah s.w.t. telah selesai menjadikan langit dan bumi, Allah s.w.t. menjadikan sangkakala dan diserahkan kepada Malaikat Israfil, maka ia meletakkannya di mulutnya melihat ke Arsy menantikan bilakah ia diperintahkan.” Saya bertanya: “Ya Rasulullah, apakah shur (sangkakala) itu?” Jawab Rasulullah s.a.w.: “Bagaikan tanduk dari cahaya.” Saya bertanya lagi: “Bagaimana besarnya?” Rasulullah s.a.w. menjawab: “Sangat besar bulatannya, demi Allah yang mengutuskanku sebagai Nabi s.a.w. besar bulatannya itu seluas langit dengan bumi, dan akan ditiup hingga tiga kali iaitu pertama Nafkhatul faza’ (untuk menakutkan), Nafkhatus sa’aq (untuk mematikan) dan Nafkhatul ba’ats (untuk menghidupkan kembali atau membangkitkan).”

(Nafkhatul Faza, halaman 98-99)

Seperti mengulang kembali kisah di dalam Al-Quran, generasi pada zaman pascabencana ini perlu bertungkus-lumus memikul cabaran dan tanggungjawab seumpama yang pernah dilaksanakan oleh Nabi Noh a.s. – membina bahtera-bahtera besar di tempat lain selain bumi atas tujuan menyelamatkan kelangsungan setiap hidupan.

“Jadinya orang pada zaman dahulu beruntung ya ayah sebab dapat tinggal di dunia yang cukup indah itu.”

“Segala nikmat itu datangnya dari Tuhan Aleesya. Sampai masa nikmat itu ditarik balik dari mereka.”

“Dan kita yang menanggung seksanya ayah…”

(Nafkhatul Faza, halaman 142)

Allah S.W.T. bagaimanapun masih menyayangi akan umat manusia dan menghadiahkan mereka peluang untuk membetulkan kesilapan lampau. Peluang itu dilihat oleh Dr. Irfan dan pasukan saintisnya melalui bukti serta data-data saintifik yang menunjukkan bahawa bumi sedang memperbaharui dirinya semula, sekaligus memberikan harapan bahawa manusia diberi peluang kedua untuk memulakan peradaban yang lebih lestari di bumi.

Membaca Nafkhatul Faza menuntut pemikiran yang mendalam mengenai konsep pencarian dan keabadian. Dr. Irfan digerakkan oleh suatu dorongan untuk mencari saki-baki kehidupan (manusia khususnya) di planet bumi, dan dalam masa yang sama ingin mencari makna di sebalik frekuensi misteri yang menghantui satelit imbasan mereka. Akal waras Dr. Irfan tidak dapat menerima hakikat bahawa ada manusia yang mampu hidup di kawasan bumi yang panas dan beracun, namun teknologi radius imbasan pilon dengan jelas menunjukkan kewujudan spesies homo sapien di bumi, malah kemunculannya menjadi lebih galak setiap kali berkumandangnya frekuensi misteri itu.

Kegagalan Dr. Irfan pada peringkat awal dalam misi pencariannya, bersulam rasa rindu yang mendalam terhadap arwah isteri dan anaknya, menjadikan beliau semakin sakit, lemah dan mula tenggelam dalam jurang kedukaan. Pada saat Dr. Irfan berjaya memahami maksud sebenar keabadian dan menyatukan diri dengan kuasa Allah S.W.T Yang Maha Agung, pada saat itulah beliau berjaya menemukan kebahagiaan dalam sebuah pengakhiran yang ditulis dengan cukup indah dan bermakna.

Nafkhatul Faza merupakan sebuah karya fiksyen sains yang sarat dengan falsafah dan metafora indah. Bumi yang termusnah dan kehidupan manusia yang huru-hara pada tahun 3035 digambarkan seperti sebuah neraka yang menakutkan. Awanan bumi bertukar merah, lantai bumi dipenuhi lahar panas yang memuntahkan isinya di sana sini, air kolam panas menggelegak, serta puncak-puncak gunung yang ditimbuni dengan debu merah yang dipanggil ‘habuk neraka’.

Setiap watak dalam Nafkhatul Faza mengimpikan untuk kembali semula ke bumi, agar mereka dapat bersatu semula dengan tanah semulajadi yang menjadi unsur utama binaan asal dalam penciptaan manusia. Bumi sebelum musnah dilambangkan sebagai syurga yang didambakan, dan kita melihat Dr. Irfan serta ahli pasukannya berusaha mengingati semula segala keindahan semulajadi yang dahulunya pernah wujud di bumi.

Ciptaan bayangan yang penuh keasyikan, angan-angan kebahagiaan serta kenikmatan hidup yang paling sempurna diletakkan di dalam sebuah taman firdausi impian. Pelukisan ini jelas mempunyai perkaitan dengan naluri serta fitrah semulajadi manusia yang menginginkan perjalanan yang sempurna ke suatu destinasi abadi, kembali ke sebuah tempat tinggal di akhirat yang penuh kedamaian, sebuah syurga terperi yang menjanjikan kebahagiaan, yakni al-Jannah.

Sekalung tahniah kepada penulis, Cikgu Rosli Mohamad Ali atas penghasilan naskhah Nafkhatul Faza yang baik dan bermakna ini. Pengisiannya yang mendalam dan berilmiah sesuai dijadikan bahan kajian dan juga rujukan buat para pencinta karya-karya tempatan.

~

Esok: Ikuti sesi wawancara dengan Cikgu Rosli di mana beliau akan menceritakan proses penulisannya dan juga buku-buku yang pernah dihasilkan. Sama-sama kita tunggu sesinya.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s