Tajuk Buku: Kuantum Dalam Jemala
Pengarang: Ahmad Muzaffar Baharudin
Penerbit: Utusan/UTM Press
Tahun Terbitan: 2017
Halaman: 159
Kerusi roda yang menempatkan Lucy disorong perlahan ke ruang tamu. Cahaya mentari menerjah, memanaskan tubuh mereka berdua, tetapi Luke tidak peduli. Sudah begitu lama tidak menghadap mentari. Mereka terlalu takut akan serangga dan burung gagak yang sebenarnya alat pengintipan musuh. Tidaklah mereka pasti kenapa musuh itu mahu mengintip perbuatan mereka. Macamlah ada benda berharga sangat. Kelihatan gagak bertenggek di wayar elektrik yang terentang di luar rumah. Tanpa teragak-agak, Luke segera mencapai kayu lastik lalu menjentikkan sebutir guli ke atas burung itu. Tepat mengena sasaran. Burung gagak itu jatuh lalu rentung. Tampak komponen-komponen elektroniknya berkecaian.
Luke:
Nak ulas buku Kuantum Dalam Jemala pun kena intip musuh juga. Tak faham aku.
Lucy:
(Otaknya telah ditanam dengan mikrocip kuantum dan dia tidak dapat bercakap. Namun begitu, butir perbualannya tertera nyata pada fleksifon.)
Dah kau pakai mikrocip kuantum, mestilah kena intip musuh. Heksagon Inc. bukan betul sangat. Nak curi teknologi sajapun, tak perlulah nak hantar droid apa bagai. Tangkap sajalah orangnya. Apa susah?
Luke:
Apa masalah dengan novel ini? Sedap ke tidak ceritanya?
Lucy:
Plot ceritanya begini. Ahmad Fayyadh, nak selamatkan ayahnya, Tuan Roslan. Musuhnya, Toshio Krauss nakkan teknologi mikrocip kuantum milik Ahmad Fayyadh (Dr). Dan begitulah. Pergelutan demi pergelutan. Ia thriller yang tak berapa menjadi. Pemilihan babak-babak yang digunakan terasa tidak kena. Namun begitu, secara naratifnya, kita nampak pergerakan cerita. Aturannya kemas tidak memeningkan. Ceritanya bergerak secara kronologikal dan tidak rumit. Watak-wataknya tidak ramai tetapi begitu ringkas pelukisannya. Tidak cukup hidup. Ia tidak terlalu teruk, tidak juga begitu baik. Berada di tengah-tengah.
Luke:
Ini novel debut penulis, mungkin selepas beberapa buku lagi, karyanya akan jadi sedap dibaca. Tidakkah begitu?
Lucy:
Benar. Bahasanya kemas, pemilihan katanya sedap. Aku sebenarnya suka pada nama-nama watak dalam cerita ini. Sedap-sedap belaka. Cuma itulah, penulis mahu menulis cerita thriller tetapi kurang berkesan. Mengingatkan aku dengan cerita Iron Man. Pelukisan latar tempat dengan watak agak seimbang. Hanya kering. Kering serba-serbi. Perasaan aku seolah mati bila membacanya. Tidak menghadirkan rasa sayu, gembira atau apa saja.
Luke:
Bagaimana dengan idea sainsnya? Okay ke tidak?
Lucy:
Aku boleh nampak penulis punya pengetahuan dalam setiap alatan dan teknologi yang digunakan. Caranya mengadunkan dengan cerita itu agak kemas dan seragam dengan cerita. Mikrocip kuantum itu, dan penjelasan mengenai dengan menggunakan analogi bola pingpong itu agak menarik juga. Penulis berjaya meringkaskan proses yang rumit itu dalam bentuk mudah. Harus dipuji di situ.
Luke:
Baiklah, kesimpulannya apa?
Lucy:
Sederhana serba-serbi. Penulis tahu diksi, mengatur plot, penulisannya baik sekali dan kemas. Secara teknikalnya, novel ini berdiri selaku sebuah novel. Namun secara garapan emosi, tiada. Secara logik fiksyennya banyak percanggahannya. Rasional watak-watak dan tindakan demi tindakan patut diperhalusi lebih mendalam.
Luke:
Apa yang patut dibuat oleh penulis?
Lucy:
Kena baca banyak karya-karya thriller yang bagus dan teliti cara garapannya. Mungkin penulis patut baca The Technologist karya Matthew Pearl. Novel-novel pop Dan Brown pun okay selaku pemula.
Pemilihan dialog dan butir perbualan harus difokuskan untuk menyerlahkan karakter watak-watak itu. Penulis boleh melukiskan pergerakan watak dan bertanyakan pada diri sekiranya tindakan dan dialog watak-watak itu akan membangkitkan emosinya atau tidak.
Secara logik fiksyennya ada banyak keraguan bila membaca karya ini. Alasan pengeboman ke atas rumah Ahmad Fayyadh agak tidak rasional, memandangkan tidak diterangkan kebahayaan Tuan Roslan dan Ahmad Fayyadh itu ke atas Heksagon Inc. Penulis gagal meletakkan satu sebab kukuh yang membuatkan Toshio Krauss sanggup membelanjakan jutaan ringgit hanya sekadar untuk menangkap dan membunuh Ahmad Fayyadh. Benar, teknologi mikrocip kuantum itu amat berharga. Namun penulis harus menjustifikasikan tindak-tanduk Toshio Krauss yang dilihat agak melampau jika sekadar mahu mencuri/merampas teknologi ciptaan Ahmad Fayyadh.
Kelemahan pada penerapan logik fiksyen ini boleh diperbaiki sekiranya penulis mencatatkan setiap plot yang digarap dan menggariskan juga sebab dan akibat setiap tindakan yang diambil. Dengan cara ini, penulis akan nampak jelas bahagian yang tidak logik tersebut dan dapat membaikinya.
Luke:
Ya, banyak lagi yang penulis harus pelajari sebelum dapat menggarap sebuah novel yang bagus.