Tajuk Buku: Perang Homosapien
Pengarang: Idris Boi
Penerbit: Utusan/UTM Press
Tahun Terbitan: 2017
Halaman: 273
Luke kehairanan tatkala melihat kostum yang dipakai Lucy. Kelihatan lucu pada pandangannya. Jelek pun ada. Ketika itu, mereka berada di dalam markas CD4 AR. Tertera kalimah kebesaran Allah S.W.T menaungi hologram pemimpin-pemimpin negara Homosapien yang telah mati syahid. Dan mata mereka terarah pada Laksamana T4 Limfosit. Entah kenapa, kostum Laksamana T4 Limfosit juga sama seperti yang dipakai Lucy. Kostum itu mengingatkan Luke pada sel darah putih, biarpun dia percaya kostum itu tidak menggambarkan sepenuhnya bagaimana rupa sel darah putih tersebut.
Luke:
Kenapa kau pakai kostum aneh itu? Macam Minion. Kau ingat kau comel pakai macam itu?
Lucy:
Eh, kau sendiri tak tengok cermin ke?
Luke:
(Tergamam tatkala mendapati dirinya juga memakai kostum yang serupa.)
Oh, Tuhan! Kenapa aku membodohkan diri?! Tidak!!!
(Mencarut dalam bahasa yang tidak difahami – bahasa HIV, Ebola, H5N1 et al)
Lucy:
(Mengeluarkan naskhah Perang Homosapien yang telah dibacanya sebelum ini)
Sudah, tenang. Kita sedang dalam proses mengulas novel Perang Homosapien hasil tulisan Idris Boi. Lepas ini kita jadi normal. Usah risau.
Luke:
Baik! Jadi ceritakan sedikit apa sebenarnya Perang Homosapien ini cuba sampaikan.
Lucy:
Virus HIV menyerang tubuh manusia yang cuba dipertahankan oleh T4 Limfosit dengan bantuan pelbagai jenis virus lain seperti Ebola, H5N1, selesema burung dan banyak lagi penyakit.
(Dalam hati tertanya-tany: orang yang diserang kesemua penyakit ini memang bernasib malang, Tak ada harapan nak hidup.)
Namun begitu, diceritakan melalui analogi negara yang terlibat dalam perperangan. Negara Homosapien itu wajarlah digambarkan selaku tubuh manusia yang dipertahankan oleh Laksamana T4 Limfosit (sel darah putih) selaku peneraju negara yang beragama Islam. Dan negara Homosapien ini pula diserang oleh Ketua Turus Tentera Laksamana Perang HIV (seorang kafir, pengikut Iblis laknatullah). Keseluruhan cerita ini seperti yang digambarkan tajuknya, perang. Perang bermula, perang berlangsung dan perang tamat. Mudah.
Luke:
Err, bagaimana dengan novum sainsnya?
Lucy:
Penulis banyak rujukan dari pelbagai sumber. Terdapat tempelan ayat-ayat Al-Quran dan hadis. Terdapat petikan ucapan pemimpin-pemimpin besar dunia. Ada petikan dari jurnal perubatan. Ada serapan Art of War oleh Sun Tzu. Tidaklah diterangkan bagaimana virus HIV itu merosakkan tubuh manusia secara teknikal, tetapi melalui tempelan definisi yang menyeluruh. Penulis memilih untuk menerangkan serangan virus HIV itu dalam bentuk kancah peperangan mirip peperangan manusia. Memberikan sifat manusiawi pada setiap sistem dalam tubuh badan. Menggunakan Malaysia selaku model negara Homosapien yang diserang Barat (Zionis, Israel) diwakili oleh virus HIV.
Luke:
Agak menarik juga. Analogi demi analogi. Begitu?
Lucy:
Ya, betul.
Luke:
Baik, secara fiksyennya pula bagaimana?
Lucy:
(Tergolek jatuh, tapi kostum ala-ala Minion telah menyerap hentakan. Luke ketawa terbahak-bahak seketika.)
Okay, cukup. Jangan gelak lagi. Nanti aku pukul kau, baru tahu. Secara fiksyennya, garapan penulis indah dari segi bahasa biarpun terdapat kecacatan typo yang merata-rata (mohon editor pantau perkara sebegini). Namun begitu, karya ini dicacatkan oleh penerangan berjela-jela yang cuba mengaburi plotnya yang begitu ringkas. Secara perjalanan ceritanya, ia merupakan karya yang linear dan tiada plot twist sama sekali. Penulis tidak berminat untuk melakukan sebarang gimnastik plot hatta sedikit. Karya ini mempunyai masalah info dump yang serius. Namun diselamatkan oleh gaya bahasanya yang indah dibaca. Terdapat informasi yang bila dibaca membuatkan aku tertanya-tanya fungsinya pada plot. Jika hendak dibaca secara ilmiah, naskhah ini sebenarnya agak informatif juga. Banyak perkara yang kita boleh belajar. Secara fiksyennya kurang menyerlah. Peperangan tidak mencemaskan apatah lagi mendebarkan. Hambar perasaannya.
Luke:
Kesimpulannya, bagaimana pula?
Lucy:
Pengalaman penulis dalam mengolah fakta dalam karya cukup terserlah, tetapi terlalu bersifat tempelan. Sekadar memaparkan bahawasanya penulis tahu mengenai hal itu, maka harus dimasukkan. Tidak membantu cerita bahkan melemaskan plot sekali-sekala. Ceritanya sangat mudah, lantas memudahkan pemahaman pembaca. Tiada unsur ‘wow’ sama sekali. Lebih bersifat didaktik.
Luke:
Apakah saranan untuk menyedapkan karya ini?
Lucy:
Penulis sepatutnya mendahulukan fiksyen lebih dari elemen didaktik tersebut. Tajuknya sudah menjelaskan ini adalah sebuah novel perang. Tetapi debaran perang itu tidak ada.
Penulis mungkin boleh mengimbau kembali setiap sorotan fakta yang telah dimuatkan dalam naskhah ini dan bertanyakan pada dirinya akan persoalan-persoalan berikut:
- Perlukah fakta ini dimasukkan?
- Adakah fakta ini menyokong plot cerita?
- Adakah selitan fakta ini akan menenggelamkan jalan ceritanya?
Selain itu, untuk memastikan babak peperangan itu lebih mencabar dan mendebarkan, penulis boleh melakukan beberapa perkara seperti berikut:
- Memusatkan pada babak pertarungan. Pergerakan individu. Penulis ada melakukan hal ini tetapi pada pengakhiran tatkala pemimpin tertinggi dua belah pihak bertemu. Namun begitu, pertemuan ini bukanlah penentu klimaks cerita. Pertemuan itu, hanya sekadar merumuskan penutup yang sudah pembaca telahi garapannya.
- Pelukisan latar tempat markas, medan pertarungan itu ada tetapi tidak mencukupi. Seperti yang pernah aku ceritakan sebelum ini, setiap pelukisan latar tempat kejadian harus menyokong emosi dan gerak-geri watak. Hal ini akan membuatkan setiap garapan ayat demi ayat begitu menangkap dan berkesan di hati pembaca.
- Penulis mungkin boleh merujuk beberapa novel thriller peperangan dan meneliti cara mereka menggarap babak peperangan itu. Keresahan askarnya bagaimana, goncangan emosinya bagaimana, ketakutan, traumanya dan banyak lagi aspek yang wajib ditelahi dan disulamkan tatkala menggambarkan watak.
(Kedengaran bunyi bom peledak. Dinding berhamburan. Bongkah-bongkah sel bertebaran. Luke tercampak ke belakang. Pakaiannya berlubang, tetapi kecederaannya minimum. Dia memerhatikan sekeliling tetapi tiada bayang Lucy kelihatan. Ketakutan mula menyelubungi. Pandangannya gelap. Kepalanya berpinar-pinar.)
Luke:
Lucy!!!