Tajuk Buku: Dunia Hanyalah Pentas
Pengarang: Ted Mahsun
Penerbit: Utusan/UTM Press
Tahun Terbitan: 2017
Halaman: 191
Luke dan Lucy sedang duduk berdepan antara satu sama lain. Wayar-wayar berselirat bersambungan dari tubuh mereka. Kepala mereka dilengkapi topi keledar pintar yang sampai ke hari ini belum mendapat nama yang lebih molek. Mereka berdua berapungan dalam posisi Vetruvian Man. Kesedaran mereka telah tercampak ke dalam alam maya. Dan tiada siapa akan menyelamatkan mereka.
Dalam alam yang dipenuhi dengan kod-kod binari dalam pelbagai bentuk itu, mereka tenang sahaja menikmati burger McDonald’s yang dibeli dari halaman sesawang McDonald’s. Bayaran dibuat menerusi bitcoin. Sambil itu, naskhah Dunia Hanyalah Pentas berada di tangan Lucy.
Tidak disentuh lagi.
Luke:
Bagaimana dengan buku Dunia Hanyalah Pentas itu?
Lucy:
Kejap. Aku lapar. Nanti aku cerita.
Luke:
(Menanti dengan sabar. Lalu menelan sisa baki burger terakhir)
Lucy:
Cyberpunk Melayu. Segar, juvenil dan menyeronokkan. Aliff dan Ain, budak genius. Bina topi keledar pintar (tolonglah buat sesuatu mengenai nama topi ini). Ada kes pembunuhan, rakan-rakan Ain. Kisah detektif. Kisah kekeluargaan. Dialog-dialognya bersahaja dan lucu. Watak-wataknya hidup. Ada baur-baur Serial Experiments Lain tetapi dalam rentak lebih ceria. Sangat sesuai dibaca untuk remaja.
Luke:
Nampak gayanya kau suka cerita ini. Bagaimana dengan sainsnya?
Lucy:
Pengaturcaraan nampak menyakinkan, sebenarnya dalam bentuk mudah difahami kalau diteliti betul-betul. Meletakkan kesedaran ke dalam dunia lain. Bukan idea baru. Bukan idea yang sangat segar. Telah ditulis banyak kali dalam karya-karya cyberpunk biasa. Namun tampak menyakinkan. Itu penting. Logik fiksyennya dipenuhi.
Luke:
Fiksyennya pula bagaimana garapannya?
Lucy:
Kekuatan novel ini adalah dialognya yang bersahaja dan hidup. Ada beberapa babak betul-betul melucukan. Ketua Inspektor DeCruz terperangkap dalam jaringan tali-tali pancing yang berselirat, contohnya. Perbualan antara DeCruz dan Aliff yang melucukan sekali-sekala cukup menghiburkan. Latar tempat diceritakan secara minimalis tetapi memadai. Pendek kata, setiap watak nampak hidup dengan gaya masing-masing ditonjolkan sebaik mungkin tanpa memerlukan penerangan ciri-ciri fizikal yang menyeluruh.
Plotnya ringkas sahaja. Aliff dibawa keluar dari penjara untuk menyelesaikan masalah kematian tiga orang rakan Ain di sekolah. Penyiasatan berlaku. Pertemuan dengan Ain. Ah Yap selaku katalis. Ringkas tetapi sesuai dengan ketebalan cerita. Ya, cerita ini, idea ini dan garapannya seimbang serba-serbi. Susah nak nampak cacat-celanya. Jika hendak dikira typo, adalah juga sedikit tetapi tidaklah mencacatkan plot ceritanya.
Luke:
Nampak kau betul-betul terhibur dengan naskhah ini. Sebegitu baguskah? Tiada ruang pembaikan?
Lucy:
Kau baca sendirilah. Aku suka naskhah ini. Noktah. Nak baiki apa? Ini novel cyberpunk terbaik setakat ini yang ditulis dalam bahasa kebangsaan kita. Nak ruang pembaikan? Mohon Ted Mahsun tulis lagi karya yang lebih bagus dari ini. Segar, ceria dan cukup hidup karakternya. Itu ‘pembaikan’ yang boleh difikir setakat ini.
Sekejap, apa jadi dengan tiga orang kawan Ain yang dah mati itu? Kasihan pula dikenangkan takdir mereka dalam alam maya itu ya.
Luke:
Kesimpulan?
Lucy:
Belilah buku ini kalau jumpa mana-mana. Jangan fikir banyak.
(Sambung makan burger infiniti dari McDonald’s.)
~
Penolak Tuntutan:
Pengarang novel ini merupakan pengasas laman ini, namun beliau tidak terlibat dalam pembikinan ulasan ini.
Nota bagi pemilik Dunia Hanyalah Pentas cetakan pertama:
Edisi cetakan pertama terdapat beberapa kecacatan dari segi penyuntingan. Dijemput membaca senarai ralat di sini.