Jika hendak diputarkan kembali sejarah penulisan fiksyen sains Malaysia, kita akan melihat betapa fiksyen sains negara kita bermula dari ikut-ikutan filem-filem fiksyen sains barat. Kita tiada fiksyen sains dewasa sebelum Dr. Rahmat Haroun memulakannya dengan Di. Ar. Ti. (1989).
Tanggapan bahawasanya fiksyen sains itu haruslah ditulis untuk remaja barangkali membuatkan penulis-penulis cenderung untuk menyampaikan idea mereka seringkas mungkin. Plotnya tidak begitu mencabar. Bahkan idea sainsnya juga sekadar tempelan. Tidaklah saya mahu meletakkan generalisasi. Namun saya hanya cuba mengimbau secara keseluruhan dari perspektif masyarakat keseluruhan. Masih terdapat kecelaruan dalam membandingkan fiksyen sains dengan fantasi. Tanggapan fiksyen sains itu harus meletakkan robot, kapal angkasa, watak profesor dan juga latar tempat futuristik itu sudah jadi lumrah. Bahkan penulis fiksyen sains memang cenderung untuk memasukkan elemen-elemen ini. Belum lagi mengambil kira kecenderungan menempel fakta sains ke dalam penulisan, tanpa mahu memahami teras idea tersebut dan mengadunkannya sebati dengan plot. Tiada salahnya. Persoalannya, adakah setakat itu sahaja yang mampu kita fikir? Adakah sedangkal itu kreativiti kita apabila mengaplikasikan sains ke dalam fiksyen?
Memahami kekangan dan persekitaran yang tidak begitu menggalakkan membuatkan saya terfikir untuk menyenaraikan beberapa tema yang sesuai didukung penulis fiksyen sains lokal dalam menyemarakkan identiti nusantara ke dalam fiksyen sains yang dikarang.
1) Fiksyen Sains Purba
Nusantara kita kaya dengan hikayat dan dongengan. Apabila kita berkemampuan menggunakan idea sains untuk menerangkan perihal dongengan dengan jayanya, suatu karya fiksyen sains yang unik boleh terhasil. Untuk menambah keindahan karya, seeloknya digunakan bahasa yang puitis, sepertimana yang digarap dalam kebanyakan hikayat silam. Kurangkan penggunaan bahasa saintifik dan pinjaman dari bahasa Inggeris. Gunakan pinjaman kata dari bahasa Sanskrit dan juga bahasa Arab. Hal ini bukanlah bermaksud untuk menolak pengaruh Barat tadi, tetapi kita mahu mencipta keunikan dalam karya agar boleh dibariskan sederet dengan karya-karya antarabangsa. Ataupun anda boleh melakukan penceritaan semula hikayat-hikayat silam dengan nuansa sains dan teknologi. Pasti menarik untuk dibaca.
2) Fiksyen Sains Spekulatif
Ah, tidak perlulah meletakkan elemen futuristik pada tahun-tahun terkehadapan. Sebagai contoh, dalam novel Radiance hasil nukilan Catherynne M. Valente, beliau meletakkan satu kronologi sejarah berbeza di halaman terawal buku untuk menjelaskan peristiwa-peristiwa besar yang berlaku pada dunia tersebut.
Ataupun Amerika menakluk Malaysia sepertimana yang digambarkan dalam novel Kolonial Mimpi oleh Sahidzan Salleh.
Sebagai contoh, bayangkan, pada tahun 1862, manusia sudah mengembara dari satu planet ke planet lain untuk bercuti. Ataupun, kita bayangkan Perang Dunia Pertama dan Kedua tidak pernah berlaku sama sekali. Terlalu banyak contoh yang boleh dikembangkan. Apa lagi tunggu, belek buku sejarah anda, ubah suatu peristiwa besar yang berlaku, dan senaraikan sebab dan akibat yang anda rasa mungkin berlaku akibat perubahan tersebut. Banyak idea, bukan?
3) Fiksyen Sains Sosial
Baik, sepertimana fiksyen spekulatif, anda boleh juga menjadikan tema krisis sosial dalam masyarakat untuk dijadikan cerita. Untuk menambahbaik lagi elemen sainsnya, kenalkan satu teknologi baru ke dalam masyarakat dan tuliskan andaian kesan dan akibat dari kemasukan teknologi tersebut. Tidak perlu masukkan babak-babak yang terlalu luar biasa. Robot bertarung, makhluk asing menakluk bumi, pembunuhan beramai-ramai, perang besar-besaran. Tidak perlu semua ini. Yang penting, jalan ceritanya kemas. Watak-wataknya hidup. Ada permasalahan yang hendak diselesaikan. Tidaklah ceritanya mendatar. Mungkin anda boleh menulis perihal seorang anak yatim mencari ibunya yang hilang bertahun-tahun akibat paras air laut menenggelamkan sebahagian bumi. Mungkin anda juga boleh tulis perihal seorang pemuda sedang mencari makna hidupnya di kota penuh cyborg. Buat penulis yang biasa menulis karya realisme, mereka akan mengerti bagaimana untuk menulis fiksyen sains sosial yang baik. Hanya masukkan sedikit adunan sainsnya, maka ia sudah memadai. The Handmaid’s Tales karya Margaret Atwood adalah salah satu contohnya.
4) Fiksyen Sains Agama
Bahasa Melayu memang sinonim juga dengan Islam. Cuma harus diingatkan juga, terdapat agama-agama lain di Malaysia ini, yang boleh kita terapkan ke dalam fiksyen sains itu. Fiksyen sains Islami telah terbit beberapa tahun kebelakangan ini, dengan nama-nama penulis seperti Hilal Asyraf, Azrul Jaini dan Faisal Tehrani.
Namun begitu, haruskah kita sekadar menulis fiksyen sains Islami? Mengapa tidak dicuba menulis dengan berpaksikan agama-agama lain pula? Kepelbagaian ini pasti seronok untuk ditelahi. Saya berminat untuk membaca karya-karya fiksyen sains yang ditulis dari kacamata penganut agama selain Islam dalam bahasa Melayu. Begitulah caranya kita mengembangkan minda kita.
5) Decopunk, Steampunk, Dieselpunk dan Cyberpunk
Oh Tuhan, tema-tema ini sudah berlegaran lama di kalangan fiksyen-fiksyen sains berbahasa Inggeris. Untuk mencari karya-karya fiksyen sains berbahasa Melayu yang kuat rencah elemen-elemen yang disebutkan di atas, masih sukar. Adunkan dengan budaya tempatan. Mungkin hasilnya mengagumkan. Saya sendiri masih memikir bagaimana cara untuk menulis karya-karya sedemikian dengan acuan tempatan. Mungkin anda punya idea yang lebih bernas?
6) Fiksyen Sains Filsuf
Anda minat baca perihal Friedrich Nietszche? Ataupun anda rasa anda boleh faham Al-Ghazali ataupun Ibn Rusyd? Oh susahnya. Anda boleh menjelaskan falsafah dalam bentuk babak. Buatkan ia indah dibaca seperti karya-karya Rumi. Jika tidakpun novel filsuf kehidupan seperti Paulo Coelho. Susah sangat ke? Fahami konteks idea tertentu, kemudian fikirkan alternatif yang boleh digunakan untuk menerangkan idea itu tanpa menempel informasi tersebut. Kita mengerti subjek falsafah itu sendiri kadangkalanya rumit. Dan kita mahu adunkan pula dengan fiksyen sains yang dikatakan sukar untuk ditulis itu. Namun begitu, inilah cabarannya. Jika ada fiksyen sains sebegitu di dalam bahasa Melayu, saya berminat untuk membacanya. Ada sesiapa nak tuliskan?
7) Fiksyen Sains Seram
Karya-karya sebegini dipelopori Edgar Allan Poe dan H.P Lovecraft suatu ketika dahulu. Karya-karya klasik. Saya faham ramai sukakan karya-karya seram yang jika dibaca tak boleh tidur malam sebab termimpi-mimpi. Mengapa tidak cuba diadun dengan fiksyen sains? Semestinya anda tidak perlulah menceritakan perihal benda-benda teknikal ataupun formula untuk bangkitkan Frankestein ataupun ciptakan Chimera yang tidak masuk dek akal. Tidak semestinya novel seram harus dikaitkan dengan hantu dan segala jenis mambang, jin dan syaitan yang ada. Kata kunci di sini, adalah ‘ketakutan’. Bagaimana hendak kekalkan ‘ketakutan’ dalam karya fiksyen sains? Saya serahkan kepada anda untuk memikirkannya.
8) Fiksyen Sains Thriller
Bila dibaca berdebar-debar. Dari babak ke babak penuh kejutan dan persoalan. Anda boleh cuba kaedah Dan Brown dalam karyanya Digital Fortress. Antara contoh yang bagus seperti novel The Technologist karya Matthew Pearl, di mana jenayah-jenayah yang dilakukan berdasarkan pengetahun sains asas. Tidak perlu rumit sainsnya, cukuplah bunyinya menyakinkan dan tidak digelakkan bila dibaca oleh orang yang arif. Saya rasa, banyak lagi karya-karya thriller bernuansakan sains yang boleh ditulis.
9) Fiksyen Sains Utopia
Sejak kebelakangan ini, kerap kali kita melihat novel-novel dystopia ditulis. Bagaimana pula kalau kita cuba menulis dari perspektif positif? Segalanya tampak bahagia, tiada masalah yang membuatkan kita rasa suram tatkala membaca. Mungkin cabarannya adalah bagaimana mahu menggarap konflik yang berkesan. Konflik biasanya akan membunuh ‘keamanan’ dalam novel itu dan secara automatik akan melenyapkan definisi utopia itu tadi. Di sini, kreativiti memainkan peranan penting.
Ah, terlalu banyak hendak ditulis. Bila memikirkan semua tema-tema ini saya jadi gelisah. Saya rasa terpanggil untuk menuliskannya. Kepada rakan-rakan penulis baik yang baru ataupun lama, dan berminat untuk tulis fiksyen sains, anda boleh rujuk setiap tema yang saya nyatakan di atas. Semoga fiksyen sains berkembang pesat di dalam industri buku negara kita.
Terima kasih, Lokman! Artikel mencadangkan banyak idea yang boleh diterokai. Batasannya hanya masa & tenaga.
LikeLike