Diskusi Cereka Sains Kita-kita

Salam,

Pada suatu hujung minggu yang indah baru-baru ini, telah diadakan suatu perjumpaan berkenaan penulisan fiksyen sains.

Beberapa penulis fiksyen sains terkemuka di tanahair telah bertemu di Kafe Buku Oakheart, Bangi untuk berdiskusi tentang genre kegemaran mereka. Hadirin termasuk Azida Ishak, Lokman Hakim, Sri Rahayu Mohd Yusop, dan juga saya (walaupun saya tak mengaku saya penulis terkemuka, fiksyen sains atau tidak).

KABO-Saifai 2

Mereka ini dipanggil hadir ke diskusi ini oleh Nisah Haron kerana beliau ingin membincangkan pentakrifan semula definisi fiksyen sains dalam konteks Malaysia.

Mengapa pula fiksyen sains perlu ditakrif semula? Kata Nisah, inilah peluang kita menjajar semula maksud fiksyen sains di dalam konteks tempatan supaya penulis-penulis muda yang bakal menerajui fiksyen sains pada masa akan datang akan menulis dengan nuansa Malaysia dan bukan terikut-ikut pengaruh luar.

Kebetulan pula pihak Dewan Bahasa dan Pustaka telah memanggil Nisah untuk mengendalikan sebuah bengkel penulisan fiksyen sains di Kota Baru (suatu batas hangat fiksyen sains barangkali) dan inilah sebabnya yang membuatkan Nisah mahu genre fiksyen sains ini ditakrif semula.

Di dalam bengkel ini akan diajar apakah fiksyen sains, apakah gunanya fiksyen sains, dan bagaimanakah menulis fiksyen sains. Dan untuk mengajar semua itu, perlulah bermula daripada suatu takrifan fiksyen sains yang boleh kita semua persetujui dan menyenangi.

Nisah mengangkat idea bahawa sebenarnya kita sudah mempunyai tradisi kesusasteraan berlandaskan fiksyen sains sejak sekian lama. Hikayat-hikayat lama sudahpun menunjukkan penggagasan fiksyen sains, walaupun secara proto. Watak-watak berhijrah dari suatu tempat ke suatu tempat yang lain melalui teleportasi, umpamanya, dan juga konsep kayangan pula boleh dianggap sebagai sebuah dimensi selari atau berbeza.

Konsep-konsep fiksyen sains di dalam hikayat-hikayat lama ini jarang diangkat oleh penulis fiksyen sains moden walaupun banyak material dan inspirasi yang boleh ditimba sebenarnya.

leksikon ledang

Contoh novel fiksyen sains yang menggunakan konsep ini untuk menggarapkan sebuah plot menarik ialah Leksikon Ledang, yang mengolah semula pemahaman kita tentang Puteri Gunung Ledang.

Di dalam novel ini, pengarangnya, Nor Azida Ishak dan Fadli Al-Akiti, mempersembahkan suatu penilaian semula syarat-syarat yang ditetapkan oleh Puteri Gunung Ledang yang diberikannya kepada Sultan Melaka untuk mengahwininya. Mereka mendepankan suatu hujah beza bahawa syarat-syarat itu bukanlah elemen fantasi semata-mata, tetapi sebenarnya ada asasnya di dalam sains. Malah, dan ini sangat menakjubkan, Puteri Gunung Ledang dibayangkan sebagai seorang saintis proto di zaman silam sejarah Melayu!

Pada mulanya Nisah mengatakan hajatnya untuk menjadikan takrifan yang dibuat oleh panel hakim Sayembara Fiksyen Sains UTM-Utusan sebagai landasan bermula tetapi saya sendiri menyarankan bahawa takrifan mereka terlalu ketat dan rigid dan mungkin tidak sesuai untuk dijadikan landasan.

Sudah tentu fiksyen sains adalah suatu kesusasteraan gagasan atau “literature of ideas“. Fiksyen sains tidak seharusnya dikongkong sains keras atau ketat. Tidak mengapa jika ada sedikit fantasi dimasukkan, sekiranya tidak berlebihan. Contoh yang diberi supaya seorang yang baru mahu mengenali fiksyen sains dapat mudah memahami konsep ini ialah siri televisyen dan filem Star Trek.

Star Trek merupakan suatu cerita yang tidak berpangkal di dalam sains yang benar. Pada ketika Star Trek diwujudkan di dalam era 60-an, pembikinnya, Gene Roddenberry, mahu mewujudkan cara untuk watak-wataknya diturunkan dari kapal angkasa ke permukaan planet tiap-tiap episod tanpa membayar kos yang mahal setiap kali untuk kesan khas. Jadi mereka mencipta idea bahawa watak-wataknya boleh sahaja di”beam“kan turun tanpa mendaratkan kapal angkasa mereka. Pada ketika itu, tidak wujud langsung pengetahuan sains tentang teleportasi partikel sepertimana yang saintis abad ke-21 sudah temui.

Kriteria fiksyen sains yang diingini Sayembara Fiksyen Sains UTM-Utusan tidak mungkin membenarkan manuskrip seumpama ini dibenarkan, kerana mereka mahu sains dan teknologi yang diceritakan di dalam sesebuah manuskrip itu berlandaskan sains yang wujud atau plausible dan boleh wujud dalam masa terdekat.

Pada pendapat saya, kriteria seumpama ini menyekat kreativiti seseorang penulis fiksyen sains dan tidak lagi menjadikannya sebuah kesusasteraan gagasan, sebaliknya hanya menjadikannya sebuah fiksyen sains berlandaskan ilmu yang sedia ada.

Fiksyen sains yang elok adalah fiksyen sains yang memandang jauh ke hadapan, lebih ke hadapan daripada ilmu sains yang sudah kita ada. Fiksyen sains berperanan menginspirasikan mereka yang bakal menjadi saintis pada masa hadapan untuk mencipta, mengkaji, dan menemui ilmu-ilmu dan ciptaan-ciptaan baru.

Jika kita menyekat kreativiti penulis fiksyen sains dengan hanya menerima manuskrip fiksyen sains yang berlandaskan sains yang wujud sekarang, maka kita akan hanya mengolah konsep-konsep dan idea-idea yang sudah wujud, dan bukannya menginspirasi generasi hadapan untuk melahirkan idea-idea baru ke dalam dunia untuk kemajuan kita sejagat.

Tanpa fiksyen sains yang kreatif, tidak akan terciptalah komputer peribadi, telefon bimbit, atau tablet; tidak akan wujudlah teknologi-teknologi perubatan seperti jet injector dan optical tweezers; takkan adanya penterjemah universal ataupun perisian pengecaman suara. Semua teknologi ini tercipta berdasarkan kreativiti penulis skrip yang bermain fantasi di dalam sebuah siri televisyen zaman 60-an dan bukan sesuatu yang berlandaskan sains yang wujud ketika itu.

Fiksyen sains ini sangat besar ruang pemikirannya sebenarnya. Ramai yang masih menyangka bahawa fiksyen sains adalah genre fiksyen yang hanya merangkumi kapal angkasa dan robot. Sudah tentu fiksyen sains merangkumi lebih daripada itu.

Fiksyen sains adalah satu-satu genre yang benar-benar mampu membawa perubahan yang ketara dan baik untuk semua kerana kuasa besarnya untuk menginspirasi generasi pelapis untuk mencipta sesuatu yang sebelum ini hanya wujud di dalam khayalan minda sahaja.

Banyak lagi dibincangkan sebenarnya di dalam diskusi pada petang itu, tetapi biarlah ia hanya menjadi gosip kita-kita sahaja. Yang penting, Nisah Haron kini mempunyai idea untuk takrifan yang lebih bermakna, dan mungkin lebih tepat, untuk dibawa ke bengkel penulisan fiksyen sains yang diusahakannya. InsyaAllah.

KABO-Saifai 1

Dari kiri: Hafizz Latiff, Sri Rahayu, Lokman Hakim, Ted Mahsun, Nisah Haron, Azida Ishak, Sayidah Mu’izzah

Fiksyen Sains Malaysia: Apa Lagi yang Belum Ditulis oleh Penulis-Penulis Kita?

Jika hendak diputarkan kembali sejarah penulisan fiksyen sains Malaysia, kita akan melihat betapa fiksyen sains negara kita bermula dari ikut-ikutan filem-filem fiksyen sains barat. Kita tiada fiksyen sains dewasa sebelum Dr. Rahmat Haroun memulakannya dengan Di. Ar. Ti. (1989).

diarti

Tanggapan bahawasanya fiksyen sains itu haruslah ditulis untuk remaja barangkali membuatkan penulis-penulis cenderung untuk menyampaikan idea mereka seringkas mungkin. Plotnya tidak begitu mencabar. Bahkan idea sainsnya juga sekadar tempelan. Tidaklah saya mahu meletakkan generalisasi. Namun saya hanya cuba mengimbau secara keseluruhan dari perspektif masyarakat keseluruhan. Masih terdapat kecelaruan dalam membandingkan fiksyen sains dengan fantasi. Tanggapan fiksyen sains itu harus meletakkan robot, kapal angkasa, watak profesor dan juga latar tempat futuristik itu sudah jadi lumrah. Bahkan penulis fiksyen sains memang cenderung untuk memasukkan elemen-elemen ini. Belum lagi mengambil kira kecenderungan menempel fakta sains ke dalam penulisan, tanpa mahu memahami teras idea tersebut dan mengadunkannya sebati dengan plot. Tiada salahnya. Persoalannya, adakah setakat itu sahaja yang mampu kita fikir? Adakah sedangkal itu kreativiti kita apabila mengaplikasikan sains ke dalam fiksyen?

Memahami kekangan dan persekitaran yang tidak begitu menggalakkan membuatkan saya terfikir untuk menyenaraikan beberapa tema yang sesuai didukung penulis fiksyen sains lokal dalam menyemarakkan identiti nusantara ke dalam fiksyen sains yang dikarang.

1) Fiksyen Sains Purba

Nusantara kita kaya dengan hikayat dan dongengan. Apabila kita berkemampuan menggunakan idea sains untuk menerangkan perihal dongengan dengan jayanya, suatu karya fiksyen sains yang unik boleh terhasil. Untuk menambah keindahan karya, seeloknya digunakan bahasa yang puitis, sepertimana yang digarap dalam kebanyakan hikayat silam. Kurangkan penggunaan bahasa saintifik dan pinjaman dari bahasa Inggeris. Gunakan pinjaman kata dari bahasa Sanskrit dan juga bahasa Arab. Hal ini bukanlah bermaksud untuk menolak pengaruh Barat tadi, tetapi kita mahu mencipta keunikan dalam karya agar boleh dibariskan sederet dengan karya-karya antarabangsa. Ataupun anda boleh melakukan penceritaan semula hikayat-hikayat silam dengan nuansa sains dan teknologi. Pasti menarik untuk dibaca.

2) Fiksyen Sains Spekulatif

Ah, tidak perlulah meletakkan elemen futuristik pada tahun-tahun terkehadapan. Sebagai contoh, dalam novel Radiance hasil nukilan Catherynne M. Valente, beliau meletakkan satu kronologi sejarah berbeza di halaman terawal buku untuk menjelaskan peristiwa-peristiwa besar yang berlaku pada dunia tersebut.

Radiance.png

Ataupun Amerika menakluk Malaysia sepertimana yang digambarkan dalam novel Kolonial Mimpi oleh Sahidzan Salleh.

Kolonial Mimpi - Latest

Sebagai contoh, bayangkan, pada tahun 1862, manusia sudah mengembara dari satu planet ke planet lain untuk bercuti. Ataupun, kita bayangkan Perang Dunia Pertama dan Kedua tidak pernah berlaku sama sekali. Terlalu banyak contoh yang boleh dikembangkan. Apa lagi tunggu, belek buku sejarah anda, ubah suatu peristiwa besar yang berlaku, dan senaraikan sebab dan akibat yang anda rasa mungkin berlaku akibat perubahan tersebut. Banyak idea, bukan?

3) Fiksyen Sains Sosial

Baik, sepertimana fiksyen spekulatif, anda boleh juga menjadikan tema krisis sosial dalam masyarakat untuk dijadikan cerita. Untuk menambahbaik lagi elemen sainsnya, kenalkan satu teknologi baru ke dalam masyarakat dan tuliskan andaian kesan dan akibat dari kemasukan teknologi tersebut. Tidak perlu masukkan babak-babak yang terlalu luar biasa. Robot bertarung, makhluk asing menakluk bumi, pembunuhan beramai-ramai, perang besar-besaran. Tidak perlu semua ini. Yang penting, jalan ceritanya kemas. Watak-wataknya hidup. Ada permasalahan yang hendak diselesaikan. Tidaklah ceritanya mendatar. Mungkin anda boleh menulis perihal seorang anak yatim mencari ibunya yang hilang bertahun-tahun akibat paras air laut menenggelamkan sebahagian bumi. Mungkin anda juga boleh tulis perihal seorang pemuda sedang mencari makna hidupnya di kota penuh cyborg. Buat penulis yang biasa menulis karya realisme, mereka akan mengerti bagaimana untuk menulis fiksyen sains sosial yang baik. Hanya masukkan sedikit adunan sainsnya, maka ia sudah memadai. The Handmaid’s Tales karya Margaret Atwood adalah salah satu contohnya.

4) Fiksyen Sains Agama

Bahasa Melayu memang sinonim juga dengan Islam. Cuma harus diingatkan juga, terdapat agama-agama lain di Malaysia ini, yang boleh kita terapkan ke dalam fiksyen sains itu. Fiksyen sains Islami telah terbit beberapa tahun kebelakangan ini, dengan nama-nama penulis seperti Hilal Asyraf, Azrul Jaini dan Faisal Tehrani.

Namun begitu, haruskah kita sekadar menulis fiksyen sains Islami? Mengapa tidak dicuba menulis dengan berpaksikan agama-agama lain pula? Kepelbagaian ini pasti seronok untuk ditelahi. Saya berminat untuk membaca karya-karya fiksyen sains yang ditulis dari kacamata penganut agama selain Islam dalam bahasa Melayu. Begitulah caranya kita mengembangkan minda kita.

5) Decopunk, Steampunk, Dieselpunk dan Cyberpunk

Oh Tuhan, tema-tema ini sudah berlegaran lama di kalangan fiksyen-fiksyen sains berbahasa Inggeris. Untuk mencari karya-karya fiksyen sains berbahasa Melayu yang kuat rencah elemen-elemen yang disebutkan di atas, masih sukar. Adunkan dengan budaya tempatan. Mungkin hasilnya mengagumkan. Saya sendiri masih memikir bagaimana cara untuk menulis karya-karya sedemikian dengan acuan tempatan. Mungkin anda punya idea yang lebih bernas?

6) Fiksyen Sains Filsuf

Anda minat baca perihal Friedrich Nietszche? Ataupun anda rasa anda boleh faham Al-Ghazali ataupun Ibn Rusyd? Oh susahnya. Anda boleh menjelaskan falsafah dalam bentuk babak. Buatkan ia indah dibaca seperti karya-karya Rumi. Jika tidakpun novel filsuf kehidupan seperti Paulo Coelho. Susah sangat ke? Fahami konteks idea tertentu, kemudian fikirkan alternatif yang boleh digunakan untuk menerangkan idea itu tanpa menempel informasi tersebut. Kita mengerti subjek falsafah itu sendiri kadangkalanya rumit. Dan kita mahu adunkan pula dengan fiksyen sains yang dikatakan sukar untuk ditulis itu. Namun begitu, inilah cabarannya. Jika ada fiksyen sains sebegitu di dalam bahasa Melayu, saya berminat untuk membacanya. Ada sesiapa nak tuliskan?

7) Fiksyen Sains Seram

Karya-karya sebegini dipelopori Edgar Allan Poe dan H.P Lovecraft suatu ketika dahulu. Karya-karya klasik. Saya faham ramai sukakan karya-karya seram yang jika dibaca tak boleh tidur malam sebab termimpi-mimpi. Mengapa tidak cuba diadun dengan fiksyen sains? Semestinya anda tidak perlulah menceritakan perihal benda-benda teknikal ataupun formula untuk bangkitkan Frankestein ataupun ciptakan Chimera yang tidak masuk dek akal. Tidak semestinya novel seram harus dikaitkan dengan hantu dan segala jenis mambang, jin dan syaitan yang ada. Kata kunci di sini, adalah ‘ketakutan’. Bagaimana hendak kekalkan ‘ketakutan’ dalam karya fiksyen sains? Saya serahkan kepada anda untuk memikirkannya.

8) Fiksyen Sains Thriller

Bila dibaca berdebar-debar. Dari babak ke babak penuh kejutan dan persoalan. Anda boleh cuba kaedah Dan Brown dalam karyanya Digital Fortress. Antara contoh yang bagus seperti novel The Technologist karya Matthew Pearl, di mana jenayah-jenayah yang dilakukan berdasarkan pengetahun sains asas. Tidak perlu rumit sainsnya, cukuplah bunyinya menyakinkan dan tidak digelakkan bila dibaca oleh orang yang arif. Saya rasa, banyak lagi karya-karya thriller bernuansakan sains yang boleh ditulis.

9) Fiksyen Sains Utopia

Sejak kebelakangan ini, kerap kali kita melihat novel-novel dystopia ditulis. Bagaimana pula kalau kita cuba menulis dari perspektif positif? Segalanya tampak bahagia, tiada masalah yang membuatkan kita rasa suram tatkala membaca. Mungkin cabarannya adalah bagaimana mahu menggarap konflik yang berkesan. Konflik biasanya akan membunuh ‘keamanan’ dalam novel itu dan secara automatik akan melenyapkan definisi utopia itu tadi. Di sini, kreativiti memainkan peranan penting.

Ah, terlalu banyak hendak ditulis. Bila memikirkan semua tema-tema ini saya jadi gelisah. Saya rasa terpanggil untuk menuliskannya. Kepada rakan-rakan penulis baik yang baru ataupun lama, dan berminat untuk tulis fiksyen sains, anda boleh rujuk setiap tema yang saya nyatakan di atas. Semoga fiksyen sains berkembang pesat di dalam industri buku negara kita.

Pengalaman Menyertai Sayembara Fiksyen Sains dan Teknologi Musim Ke-3

Majlis Penyampaian Hadiah untuk Sayembara Fiksyen Sains dan Teknologi UTM-Kumpulan Utusan Musim Ke-4 bakal berlangsung tidak lama lagi. Kita sama-sama menanti dengan penuh debaran, karya siapakah yang bakal terpilih menjadi pemenang untuk musim ini. Sama ada penulis mapan, penulis baharu, penulis yang pernah memenangi sayembara, penulis baharu yang bergabung dengan penulis baharu yang lain, atau penulis yang pernah memenangi sayembara dan bergabung dengan penulis baharu, semuanya ada peluang yang sama rata untuk menyertai sayembara ini dan meraih hadiah utama. Inilah keunikan sayembara anjuran UTM-Utusan, kerana ia adalah satu-satunya sayembara yang membenarkan penulisnya membentuk satu kumpulan (maksima tiga orang) dalam satu penyertaan.

Di sini saya kongsikan sedikit pengalaman saya menyertai Musim Ke-3, bergabung dengan saudara Fadli Al-Akiti untuk menghasilkan novel Leksikon Ledang. Pertama sekali, saya sentiasa mengingatkan diri tentang tarikh pelancaran Sayembara Musim Ke-3 yang telah bermula pada 22 Oktober 2013 manakala tarikh tutup pencalonan adalah pada 30 Jun 2014. Sebagai penulis yang berminat untuk menyertai sayembara ini, saya menyedari bahawa masa yang diperuntukkan (lebih kurang lapan bulan) untuk menyiapkan karya, secara relatifnya adalah agak singkat. Atas sebab itu, saya dan Fadli merancang jadual penulisan dengan teliti agar kami tidak tersasar sehingga tidak sempat menghantar karya sebelum tarikh tutup penyertaan (saya akan ceritakan mengenai perkara ini sebentar lagi).

Di samping itu, pihak penganjur mengadakan beberapa siri jelajah bengkel merentas enam zon di seluruh negara, iaitu Zon Tengah (Kuala Lumpur – DBP), Zon Sabah (Kota Kinabalu), Zon Sarawak (Kuching), Zon Timur (Kelantan), Zon Selatan (Johor Bahru), Zon Tengah (Kuala Lumpur – UTM Jalan Semarak), dan Zon Utara (Sintok). Saya amat menyarankan semua penulis untuk menyertai bengkel ini, kerana dari situlah kita boleh mendapat banyak pencerahan tentang kualiti karya yang diperlukan.

Secara peribadi, saya pernah cuba menghantar satu karya untuk Musim Ke-2 namun penyertaan saya tidak berjaya, kerana saya tidak ada idea langsung apakah yang dikehendaki oleh panel hakim. Hanya bila saya menghadirkan diri ke dalam dua bengkel pada Musim Ke-3 (DBP KL saya hadir seorang diri manakala di UTM Jalan Semarak saya hadir dengan Fadli), baharulah mata saya terbuka luas dan otak saya menyala dengan idea. Saya sedar bahawa menulis sayembara itu sebenarnya memerlukan strategi. Saya kongsikan sedikit strategi yang saya amalkan untuk panduan para penulis di luar sana, berdasarkan pengalaman dan juga pemerhatian saya sebagai salah seorang peserta dalam sayembara ini.

1) Laporan Penilaian

Saya belajar banyak tips dan panduan untuk memulakan penulisan novel fiksyen sains dengan merujuk Laporan Penilaian yang disediakan oleh pihak penganjur pada setiap musim, seperti berikut:

  • Musim Pertama: Memecut di Litar Sayembara: Fiksyen Sains & Teknologi (saya tidak ada naskhah ini kerana tidak sempat mengikuti bengkel peringkat awal)
  • Musim Ke-2: Mengitari Orbit Sayembara: Laporan Penilaian Sayembara Fiksyen Sains dan Teknologi UTM-Kumpulan Utusan Musim Ke-2
  • Musim Ke-3: Melangkaui Ufuk Sayembara Novel: Laporan Penilaian Sayembara Fiksyen Sains dan Teknologi UTM-Kumpulan Utusan Musim Ke-3

img_3509-1

Laporan Penilaian ini amatlah berharga seperti emas permata kerana mahalnya muatan ilmu yang dikongsikan, jadi simpanlah laporan ini seperti mana anda menyimpan dompet anda. Ia mengandungi maklumat tentang sayembara, sorotan penyertaan untuk setiap musim, penghakiman dan keputusan, serta biodata pasukan penghakiman dan jawatankuasa.

Saya berikan contoh apa yang dikongsikan dalam Laporan Musim Ketiga:

“Muatan sains dan teknologi merupakan syarat asas yang perlu ada dalam fiksyen genre sains dan teknologi manakala muatan lain hanya sebagai sampingan. […] Ternyata tuntutan ini tidak terpenuh dalam semua manuskrip kerana ada manuskrip yang tidak memiliki muatan sains dan teknologi yang kuat walaupun sarana sasteranya cukup baik.

(halaman 60)

 

Pada keseluruhannya, terdapat dua jenis teori sains spekulatif yang digunakan dalam manuskrip yang terpilih memenangi hadiah pada kali ini. Pertama, teori sains spekulatif yang diperkenalkan sendiri oleh penulis untuk membangunkan cerita, dengan kemunasabahan sains berkaitan teori itu dijustifikasikan oleh penulis. Contohnya ialah kacukan antara spesies dalam novel Transgenik Sifar. Kedua, teori sains spekulatif yang memang telah diketahui umum dan digunakan penulis untuk membangunkan ceritanya tanpa perlu lagi menjustifikasikan kemunasabahannya. Contohnya ialah pengklonan manusia dalam novel Klon.

(halaman 68-69)

Melalui laporan ini, kita dapat memahami bahawa keutamaan untuk memilih karya yang menang adalah karya yang kukuh dari aspek sains dan teknologinya. Kita juga diberi pendedahan bahawa panel hakim memberi kebebasan untuk penulis ‘mencipta’ apa sahaja teori sains secara spekulatif, asalkan ia diberi penerangan yang baik dan bergerak atas landasan sains yang betul. Dalam novel Detik (pemenang tempat ketiga Sayembara Fiksyen Sains Musim Ke-2), penulis meletakkan teori bahawa manusia boleh merentas masa menggunakan partikel takion, kerana secara hipotesis, takion boleh bergerak mengatasi kelajuan cahaya.

Dalam Leksikon Ledang, kami menampilkan teori kejuruteraan genetik, di mana nyamuk yang ditemui itu telah diubahsuai untuk memiliki mata merah, bisa kala jengking serta virus cacar untuk membunuh mangsa. Nyamuk terubahsuai ini menjadi penggerak dalam cerita dan merupakan salah satu unsur penting bagi merungkai syarat-syarat peminangan Puteri Gunung Ledang. Paling mustahak, konsep kejuruteraan genetik ini tidak diwujudkan sekadar sebuah tempelan untuk menjadikannya sebuah fiksyen sains (rujuk: Baurkan Perencah SaiFai dengan Sebati).

2) Kriteria Penilaian & Panel Hakim

Tahukah anda, bahawa setiap kriteria penilaian untuk sayembara ini akan diberi penerangan secara terperinci oleh setiap panel hakim semasa bengkel? Sebagai rujukan, lihat atur cara yang disediakan oleh para penganjur bengkel untuk musim ke-3:

  • Sesi 1 – “Fiksyen Sains dan Teknologi Musim Ke-3, Apa Yang Dicari?” oleh Prof. Madya Dr. Hashim Ismail
  • Sesi 2 – “Memfiksyenkan Sains dan Teknologi” oleh Prof. Dr. Ahmad Zaki Abu Bakar
  • Sesi 3 – “Paksi Cereka Sains: Etika, Ideologi, Nilai / Idealisme dan Sarana Sastera” oleh Dr. Mohd. Saleeh Rahamad
  • Sesi 4 – “Menjangkau Sains dan Teknologi Futuristik” oleh Prof. Dr. Wan Abu Bakar Wan Abas
  • Sesi 5 – “Penghasilan Karya Unggul” oleh Prof. Madya Dr. Lim Swee Tin

Antara dapatan penting yang saya peroleh secara langsung daripada para hakim adalah:

  • Tidak mahu karya menyamai Barat (seperti filem Hollywood yang melebihkan aksi dan sentiasa menjadikan Amerika hebat), atau sains melampau seperti teori evolusi yang menolak kewujudan Tuhan. Sebaiknya karya hendaklah memiliki acuan Malaysia (lokaliti) yang tersendiri.
  • Sentiasa peka terhadap isu-isu penting, contohnya jika Islam dianggap sebagai agama pengganas (Islamofobia), maka tulislah karya yang mengubah pandangan itu.
  • Ciptalah sesuatu yang boleh memberi spekulasi tentang masa depan, tetapi hendaklah rasional dan jangan menggunakan elemen fantasi. Genre fantasi secara mudah dapat dicirikan dengan latar tempat yang tidak realistik, ruang yang terasing daripada logika, atau diistilahkan sebagai sindrom “negeri antah berantah”.
  • Tampilkan citra tempatan yang boleh dibanggakan, seperti imej kejayaan saintis tempatan yang mampu bersaing di peringkat global.
  • Novel Equilibria dikupas dengan terperinci, di mana ia menonjolkan idealisme negara Malaysia, dengan Perdana Menteri yang bertanggungjawab, jujur memikul amanah rakyat, serta Ketua Laksamana Salahuddin yang berjasa di peringkat serantau. Ia menegaskan konsep keseimbangan sebagai teras kepada jawapan menghadapi kemusnahan alam dan ketamadunan manusia. Penggunaan tag yang amat baik: keseimbangan, bukannya kesempurnaan adalah rahsia keadaan semua hidupan di alam semesta.

Terus terang saya katakan, selepas menghadiri bengkel ini, saya terasa kepala saya seakan mahu meletup kerana terlalu banyak idea yang datang mencurah-curah. Saya tidak sabar-sabar mahu menulis karya, sampaikan saya langsung tidak boleh tidur pada malam itu. Benarlah, apabila kita bergaul dengan kumpulan penulis dan para penilai yang berkobar-kobar dengan semangat menyuruh kita menulis, kita juga akan dapat jangkitan semangat yang sama!

3) Strategi Menulis

Baik, sekarang saya kongsikan strategi menulis untuk sayembara. Pertama sekali, pastikan anda menulis kerana minat (bukan kerana “wow, aku nak hadiahnya, lumayan betul dapat menang RM15,000!”). Menulis novel fiksyen sains bukanlah mudah, rujuk sahajalah novel-novel yang pernah memenangi tempat pertama dalam sayembara.

Kala Yuda (pemenang pertama Musim Pertama) menceritakan tentang keupayaan manusia menguasai dunia teknologi nano serta manipulasi teknologi genetik dengan menggabungkan gen haiwan dalam gen manusia. Tambah mencabar, latarnya berlaku pada abad ke-22, zaman bumi menjalani tamadun baharu sewaktu pascabencana. Equilibria (pemenang kedua Musim Ke-2) berkisar tentang keadaan bumi yang huru-hara akibat sumber minyak yang kekontangan, sehingga memerlukan kerajaan Norac dan sekutunya mengikhtiarkan Inisiatif Pegasus, yakni pelan untuk meninggalkan bumi. Transgenik Sifar (pemenang pertama Musim Ke-3) mengisahkan keadaan manusia yang meneruskan ikhtiar hidup selepas bumi mengalami bah besar-besaran, dengan tumpuan watak diberikan kepada seorang manusia yang memiliki gen haiwan dan latarnya kebanyakannya di bawah lautan. Nah, semua karya-karya yang menang hebat-hebat belaka, bukan?

Atas sebab itulah, saya lebih selesa bergabung dengan penulis lain kerana kami boleh membahagikan tugas demi mengejar tarikh tutup penyertaan. Strategi kami mudah, Fadli memperincikan plot manakala saya melakukan kajian sains dan memulakan penulisan. Saya menulis dalam Word dan meninggalkan ruang kosong untuk sesetengah bab / bahagian supaya dapat diisi oleh Fadli. Kami berutusan melalui e-mel, Watsapp serta Facebook, dan berbincang lebih lanjut semasa bengkel. Alhamdulillah, draf kasar dapat saya siapkan pada 8 Disember 2013, dan Fadli menyempurnakan keseluruhan novel pada 22 Januari 2014.

Terus-terang saya akui, semasa menulis Leksikon Ledang, kami ada beberapa kelebihan. Pertama, Fadli sudah siap sedia dengan plot kasar (dia pernah approach dua penulis lain sebelum saya). Kedua, kami sudah memulakan idea untuk projek ini sejak awal lagi, semasa berlangsungnya Majlis Penyampaian Hadiah untuk Sayembara Fiksyen Sains dan Teknologi Musim Ke-2 pada 6 Disember 2012.

sayembara musim ke2

Para pemenang Sayembara Fiksyen Sains dan Teknologi Musim Ke-2 (dari kiri Amer Hmzah L. Kadir, Dayang Noor, Sri Rahayu, Shaikh Mohd Saifuddeen, Jali Kenoi, dan wakil untuk Faridah Abdul Hamid)

Saya masih ingat lagi pesan Tuan Khalid Mazlan, mantan jawatankuasa teknikal untuk sayembara ini. Beliau menasihatkan supaya penulis bersiap sedia dari awal untuk menulis, janganlah tunggu sehingga majlis pelancaran sayembara baharu hendak bermula, kerana tentulah tidak sempat hendak melakukan kajian, menjalani bengkel, menulis serta mengedit karya menjadi berkualiti, kerana semua itu hendaklah dilakukan dalam tempoh lebih kurang lapan bulan!

Jadi nasihat saya, lakukanlah kajian dengan baik dan terancang, hadamlah matlamat dan fahami tema yang ingin disampaikan, dan paling penting, pastikan penulisan itu berpandukan pada apa yang dikehendaki oleh panel hakim dan penganjur sayembara. Insya-Allah, karya yang dihasilkan itu akan mudah melepasi penilaian panel hakim dan boleh dinobatkan sebagai salah seorang pemenang dalam Majlis Penyampaian Hadiah Sayembara Fiksyen Sains dan Teknologi nanti.

Kepada semua penulis yang berpeluang menyertai Sayembara Fiksyen Sains dan Teknologi Musim Ke-4, saya ucapkan selamat maju jaya kepada anda semua!