Sesi Pena SaiFai kali ini cukup berbeza dan istimewa kerana kita mendapat peluang berbicara dengan tiga orang penulis muda iaitu Asmar Shah, Dalila Dahri dan Lokman Hakim. Mereka bertiga telah berkolaborasi dengan baik untuk menghasilkan sebuah novel fiksyen sains bertajuk Dua Nyawa terbitan Lejen Press.
Berikut adalah biodata ringkas para penulis ini:
Asmar Shah berasal dari Sandakan Sabah. Tidak pernah terfikir akan terjebak di dalam dunia penulisan dan sekarang dia masih lagi belajar untuk memperbaiki mutu penulisannya yang sangat amatur. Novel pertamanya berjudul Bolot terbitan Lejen Press sendiri yang telah diterbitkan pada tahun 2014 dan sebelum itu dia hanya menulis cerpen dan ada beberapa buah cerpennya yang pernah diterbitkan.
Dalila Dahri berasal dari Selatan tanahair. Mula terjebak dengan menulis cerpen dan masih meneroka dunia penulisan yang tanpa batasan. Penulis dan pembaca tiada pisah. Tulis apa sahaja, pasti ada yang membaca.
Lokman Hakim seorang penulis dari Sibu, Sarawak yang obses menulis. Menulis untuk Penerbit-X, Simptomatik Press, Lejen Press, Roman Buku, FIXI dan Buku Hitam Press setakat ini. Seorang jurutera yang mahukan fantasi jadi realiti. Dan mahu teroka setiap tema yang wujud untuk dijadikan karya tanpa sempadan.
Sinopsis Dua Nyawa:
Seronok bukan apabila senang berhubung dengan Whatsapp, berdiskusi dalam Facebook, bercengkerama di pawagam melayari wayang cereka dongengan sambil menikmati dinginnya Cappucino Ais olahan Starbucks?
Tidak pun yang memandu Mini Cooper di jalanan yang terang-benderang digilapi lampu jalanan dan juga neon-neon milik kapitalis yang cintakan hedonisme.
Namun apabila keadaan negara berubah chaos dengan serta-merta, masih adakah secalit cahaya kehidupan? Keganasan dan pembunuhan tanpa had. Yang waras hanya mahu terus hidup.
Aliya, Dinda dan Vincent berada pada satu titik pertemuan yang tidak disangka dek minda. Takdir seperti sedang mempermainkan hidup mereka. Segala kegilaan harus ditempuh bersama. Sehingga satu-persatu kunci titik persoalan mula terjawab.
Apokalips tanpa cahaya. Hanya yang tidak berputus-asa yang akan terus hidup.
Apakah rahsia yang mereka pegang sehingga boleh bekerjasama dan berjaya pula menerbitkan sebuah novel secara berkumpulan? Mari kita ikuti tips dan perkongsian mereka ini.
Tahniah buat ketiga-tiga penulis di atas kelahiran buku Dua Nyawa. Bukan selalu kita dapat peluang melihat sebuah buku yang memaparkan nama tiga penulis, lebih-lebih lagi buku bergenre fiksyen sains. Boleh ceritakan kepada para pembaca, bagaimana kerjasama ini boleh terbentuk?
Lokman:
Terima kasih banyak-banyak. Kerjasama ini terbentuk ketika Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2014 di PWTC. Kami bertiga ketika itu datang untuk sesi autograf penulis-penulis Buku Hitam Press. Sementara duduk sambil berbual-bual mengenai penulisan, tiba-tiba terdetik idea untuk menulis bersama menyiapkan sebuah novel. Ia spontan sangat.
Asmar:
Terima kasih. Kerjasama ini terjadi apabila perbualan yang pada mulanya hanya sekadar perbualan kosong ketika di PBAKL untuk mengeratkan silaturahim antara saya, Lokman dan Dalila, bertukar menjadi perbualan berkaitan buku dan lama-kelamaan kami bertukar menjadi serius seolah-olah kami bertiga dapat utusan dari langit yang mengatakan kami ada misi yang harus dilaksanakan. Kami perlu menawan sebuah dunia yang telah ditawan oleh alien yang bernama ‘keinginan’. *maaf mengarut* haha…
Dalila:
Syukur Alhamdulillah, terima kasih. Akhirnya penulisan ini selamat diterbitkan. Apa yang boleh saya kongsikan disini, perbualan antara saya dan Asmar telah menjadi kenyataan untuk bergabung menulis bersama-sama dan disertai Lokman sekaligus menjadikan kami trio. Tiga kepala bergabung untuk menghasilkan sebuah karya, menarik bukan? Walaupun baru sekali sahaja saya berjumpa dengan Asmar dan Lokman iaitu ketika di PBAKL dua tahun lalu ketika itu kami sama-sama menulis di bawah Buku Hitam Press, seperti orang kata, ‘chemistry’ itu ada. Betulkan Asmar, Lokman? (ketawa)
Pastinya ramai yang berminat hendak tahu bagaimana anda bertiga membahagikan rutin penulisan untuk menghasilkan novel ini. Bagaimana idea serta plot awalnya terbentuk? Siapa yang memulakan penulisan dan siapa yang menjadi orang terakhir mengedit keseluruhannya?
Lokman:
Masing-masing menyenaraikan idea-idea untuk dijadikan novel. Setelah berbincang, kami memilih idea yang secocok dengan tahap penulisan dan kemampuan kami. Sesudah itu, saya mengemukakan sinopsis ringkas. Saya membayangkan kami menulis dari point of view (POV) pertama pada mulanya dengan setiap penulis menulis dari watak masing-masing.
Namun begitu, setelah menggabungkan ketiga-tiga cerita dari ketiga-tiga watak, kami mendapati ia bermasalah pula kerana kami tidak menggariskan ciri-ciri watak kami dan memaklumkan kepada setiap penulis yang terlibat dalam penulisan ini.
Kami membahagikan tiga watak utama kepada setiap seorang penulis dan memulakannya serentak. Setelah masing-masing siap menyelesaikan manuskrip ini barulah saya mencantumkannya menjadi satu cerita.
Dalila:
Pada awalnya, kami membuka ruang untuk masing-masing melontarkan idea. Selepas itu, kami sebulat suara akan memilih idea, jalan cerita, watak yang bersesuaian. Dan seterusnya, baru dilakukan pembahagian tugas. Setiap tugas yang diberi akan ditetapkan tempoh sekian-sekian. Setiap kali habis tempoh tugasan, kami akan berbincang dan meneliti semula penulisan masing-masing samada jalan ceritanya dan ideanya saling berkait atau tidak. Selebihnya rahsia (ketawa) Lokman, Asmar koranglah cerita.
Asmar:
*kesat peluh* Sebenarnya idea awal Dua Nyawa ini adalah hasil daripada kami bertiga cuba berbincang dan tulis apa yang ada di kepala otak masing-masing. Sehinggalah muncul bermacam-macam cadangan dan kami bertiga sepakat untuk mengangkat tema yang telah digunakan dalam Dua Nyawa ini. Setiap kami akan mencipta watak sendiri dan gerakkan mereka di dalam latar yang telah ditetapkan (keadaan negara yang sedang chaos) sehinggalah mereka bertiga bertembung di dalam satu pertemuan. Maka bermula dari situ, kami akan bersama-sama tulis bab yang ada. Lokman akan memastikan jalan cerita itu tidak lari dari landasan asal.
Satu cabaran yang perlu diatasi oleh penulis berkumpulan adalah clash of ideas. Ini akan menimbulkan masalah jika setiap pihak berkeras mahukan idea masing-masing diterima, sehingga kadangkala ia membunuh dinamik serta semangat penulisan. Kongsilah sedikit bagaimana anda bertiga mengatasi cabaran sebegini.
Lokman:
Saya rasa ini berbalik pada ego penulis tadi. Oleh sebab itulah, saya lebih senang idea dicadangkan oleh penulis-penulis yang terlibat dan dibincangkan bersama. Tiada langsung percanggahan idea. Setiap idea akan dipertimbangkan baik dan buruknya. Kami memilih idea berdasarkan kemampuan masing-masing. Pendek kata, setiap percanggahan ataupun perselisihan pendapat diselesaikan melalui perbincangan yang berterusan. Jika hendak menulis berkumpulan, ego itu letak tepi. Itu saja.
Asmar:
Saya tidak pasti jikalau kami ada dan pernah bergaduh serta tarik rambut sebab idea kena tolak. *gurau*
Kami bertiga cuba untuk berbincang dengan baik sehingga menemui kata putus yang mutlak. Rasanya, dalam team ini, kami cuba meletak Lokman sebagai leader walaupun sebenarnya kami tidak pernah memutuskan sebegitu. Tapi di dalam sebuah kumpulan, harus ada seorang pemimpin untuk menggerakkan kumpulan itu. Jadi Lokman adalah orang itu di dalam kumpulan ini. Dia akan terus cuba memantau pergerakan kumpulan perisikan kami ini supaya dapat menawan kerajaan negara ini. Siapa yang tidak melaksanakan tugas akan kena tembak. *senyum*
Pendek kata, kami bertiga cuba untuk saling bertoleransi dan macam Lokman cakap, ego pada diri itu harus dibuang ke dalam laut dalam.
Dalila:
Haha. Menarik. Bekerjasama bersama Asmar dan Lokman sangat menyenangkan. Masing-masing bersikap terbuka. Senanglah bekerja dengan mereka berdua ni. Saya memang ‘recommend’ mereka berdua ni. Mereka sentiasa berkongsi idea dan tips. Tambahan lagi, saya masih amatur lagi dalam bidang ini berbanding mereka berdua yang lebih otai, namun memang tiada isu ‘buli’ atau ‘clash of ideas’. Bagi saya, bersikap terbuka dan bertolak ansur itu memang sangat penting apabila bekerja secara kumpulan.
Apakah antara kebaikan dan juga kelemahan menulis secara berkumpulan? Tentunya anda semua mempunyai pengalaman menarik semasa menghasilkan novel sebegini. Ceritalah sedikit kisah-kisah menarik itu.
Lokman:
Kebaikan menulis secara berkumpulan adalah kita boleh mengeluarkan potensi ketiga-tiga penulis tadi lalu dimuatkan ke dalam sebuah novel. Sebagai contoh, saya memerlukan sentuhan Dalila Dahri dalam novel ini untuk mengeluarkan aspek juvenil watak remaja-remajanya. Asmar Shah pula bagi saya telah memberikan sisi ngeri yang terperinci dalam penulisan ini, yang pada hemat saya, tidak mampu ditulis dari sisi saya selaku penulis.
Kelemahan yang ketara pastinya isu ketidakselarasan. Ia boleh jadi pada plot, watak, dialog, gaya bahasa atau apa saja dalam jalan cerita tadi. Sebaik sahaja Asmar Shah dan juga Dalila Dahri menghantar bahagian mereka, saya mengesan terdapatnya percanggahan ciri-ciri watak yang ditulis. Saya selaku penjahit cerita terpaksa menyemak semula setiap dialog watak-watak tadi agar menampakkan ciri-ciri yang seragam. Masalah begini barangkali boleh dielakkan jika pembentukan watak tadi dibuat pada awal perbincangan.
Pastinya semua sedia maklum, menulis berseorangan itu sendiri sudah cukup sukar. Kini kita menambah lagi tahap kesukaran itu dengan menambah jumlah penulis untuk menghasilkan sebuah novel. Menyatukan kesemua idea dari kesemua penulis dalam satu cerita itu sendiri merupakan cabaran yang menyeronokkan.
Asmar:
Sebenarnya saya hampir berputus asa untuk menghasilkan lagi novel lain apabila masalah yang datang menimpa di dalam kehidupan sangat menyesakkan. Lama saya peramkan manuskrip di dalam komputer riba (entah saya tidak tahu kenapa) sehinggalah terbentuknya kumpulan ini dan saya cuba menulis semula. Jadi apabila mula menulis semula, ayat saya sentiasa tunggang terbalik dan penuh dengan bahasa-bahasa alien yang sukar untuk dimengertikan. Maka, adanya Lokman dan Dalila di dalam menghasilkan novel ini, mereka akan cuba tegur akan kesilapan yang saya buat yang saya sendiri tidak nampak. Di samping itu, mereka terus memberi semangat untuk terus menulis walaupun persaingan tinggi di dalam negara ini, tapi yakinlah ruang dan peluang akan sentiasa ada.
Banyak input yang saya dapat hasil bebelan mereka. Saya syukur dapat berkerjasama dengan mereka berdua yang sangat cool dan tak cepat sentap. Cuma terus-terang cakap, menulis berkumpulan, anda perlu berjumpa face to face. Itu lebih baik. Jadi memandangkan sekuntum bunga di dalam kumpulan ini jauh nun di sana, maka kami berdua harus ke Johor untuk membincangkan apa yang patut kami selesaikan. Mungkin lepas ni, bunga sekuntum tu yang harus datang ke KL pulak. Hahaha.. *gurau…*
Dalila:
Memang banyak cerita menarik. Tambahan lagi ini kali pertama saya menulis secara berkumpulan dan ‘dikelilingi’ oleh otai-otai yang terhangat di pasaran seperti Asmar dan Lokman ni. Ini memang satu peluang yang baik untuk saya untuk belajar selok belok dunia penulisan, sambil bertukar pendapat dan mencedok tips dari mereka berdua. Disebabkan saya di Selatan tanahair dan mereka berdua di Kuala Lumpur, kami hanya berhubung melalui Whatsapp dan Facebook sahaja. Sehinggakan satu tahap, kami bercadang untuk berjumpa untuk mengemaskan lagi plot cerita ini, ah itulah kali kedua saya berjumpa dengan mereka. Di mana mereka berdua telah datang ke Johor Bahru semata-mata untuk perbincangan ini. Mereka memang ‘best partner’ saya. Terbaiklah orang kata. Bekerja sambil menulis memang mencabar, ditambah waktu saya bekerja tidak menentu, terkejar-kejar tempoh masa yang ditetapkan, syukur dapat ‘team mate’ yang memahami. Memang banyak cerita yang menarik, nak tahu lebih lanjut, jomlah sesekali kita ‘kopi’ sama-sama.
Jika tak keberatan, sudilah kiranya anda bertiga berkongsi beberapa nasihat kepada para penulis yang berminat hendak memulakan projek penulisan berkumpulan. Apa kriteria utama semasa memilih ahli pasukan? Bagaimana kita hendak menimbulkan semangat dan motivasi kepada rakan penulis, lebih-lebih lagi jika rakan penulis itu sudah putus asa menulis dan bercadang hendak berhenti separuh jalan?
Lokman:
Saya menyarankan anda memilih para penulis yang betul-betul berdedikasi pada penulisan dan tidak punya komitmen yang begitu membebankan. Penulis yang terlalu banyak komitmen pada perkara lain akan memberi tekanan kepada rakan-rakan lain lantas membantutkan proses penyiapan manuskrip.
Pilihlah rakan penulis yang fleksibel serba-serbi dari segi kekreatifannya. Jika penulis itu terlalu kaku dan punya set peraturan peribadi yang menjengkelkan dalam penulisan, usahlah diajak menulis bersama. Menulis secara berkumpulan memerlukan kita meletak ego kita ke tepi dan menjulang tinggi muafakat dan sikap bertolak-ansur.
Setiap idea besar untuk penulisan tidak semestinya mampu dipikul oleh semua penulis. Ada idea yang memerlukan kematangan penulis. Ada idea yang memerlukan pengalaman yang lebih. Penulisan novel sejarah misalnya, memerlukan kepakaran dalam aspek fakta yang tinggi. Pilihlah rakan-rakan penulis yang mampu mendukung idea tadi. Ia untuk memastikan karya yang terhasil, terjaga kualitinya.
Setiap penulis tidak berputus asa tanpa sebab. Kenal pasti puncanya dan cuba selesaikan bersama-sama. Beban masalah tersebut harus dikongsi dan dibincangkan agar penyelesaian yang tepat boleh diperolehi. Namun begitu, sekiranya penulis tadi sudah menarik diri, usah dipaksa. Hormati keputusan rakan anda. Penulisan tidak boleh dipaksa.
Asmar:
Pilihlah rakan kumpulan yang tidak punyai sikap hangat-hangat tahi manuk (ayam). Saya tak suka manusia spesies ini. Tak kisahlah dia menulis lambat (macam saya), berfikir lembab (macam saya) atau susah nak dihubungi dan lain-lain, yang penting komitmen itu harus ada. Pilih manusia yang senang dibawa berunding. Jangan pilih penulis yang terkenal dan meletup-letup di pasaran tapi perangai macam hog. Ikut kepala sendiri dan besar kepala. Kumpulan anda tidak akan bergerak ke mana-mana.
Memotivasikan diri? Banyakkan bergaul dengan penulis sama ada bestseller atau tidak. Jangan banyak bergaul dengan penulis muka buku dan twitter saja. Cari penulis yang layan kau dengan baik walaupun kau bukan siapa-siapa. Kalau jumpa penulis kerek yang langsung tak pandang kau sebab kau bukan penulis terkenal dan ‘mr.popular’ dan layan acuh tak acuh bila kau berbual dengannya atau minta pendapat, kau halakan pistol dan tembak kepalanya. Eh gurau! Kau carilah penulis lain. Kat negara ni banyak lagi penulis yang baik dan boleh memberikan inspirasi untuk anda lebih bersemangat menulis. Lokman contoh yang baik. Berkawanlah dengan dia. Itupun kalau dia tak berubah. Hakakaka…
Owh ya, kalau anda ingin menulis, carilah publisher yang betul-betul anda yakin. Ya macam Lejen (mungkin). Yang rasa anda tidak akan dianaktirikan apabila anda bukan penulis bestseller. Jadi pemilihan publisher juga sangat penting. Kalau tidak, anda akan hilang semangat dan tenggelam di dalam lopak kesedihan yang akan membuatkan anda akan pegun di dalam dunia hampa. Lalalala…
Dalila:
Bagi saya, bekerja secara kumpulan ini memang menarik. Banyak perkara yang boleh kita belajar dan kongsi antara satu sama lain. Saya bersyukur kerana mempunyai ‘team mate’ seperti Asmar dan Lokman. Memang terbaiklah. Untuk anda yang berminat menulis secara berkumpulan, carilah mereka yang ada ‘chemistry’ atau ‘sebulu’ dengan diri anda. Mereka ini lah yang akan mempengaruhi ‘mood’ penulisan anda. Bukan apa, risiko untuk penulisan itu terhenti di pertengahan jalan itu ada. Harap dijauhkanlah perkara seperti itu terjadi. Bagi mereka yang berputus asa itu, tanamkan dalam diri – ‘Jika orang lain berjaya, kenapa tidak aku? Jika orang lain boleh lakukan,kenapa tidak aku?’. Malaysia bolehkan. (ketawa). Untuk capai sesuatu kejayaan itu memang banyak ujian dan kegagalan yang akan kita tempuhi, tapi walau apapun berlaku jangan pernah sekali mengalah. Kuatkan semangat.
~
Jangan lepaskan peluang untuk mengikuti sambungan sesi bual bicara bersama Asmar Shah, Dalila Dahri dan Lokman Hakim minggu depan. Mereka akan membincangkan mengenai watak, latar dan juga mesej penting yang ingin disampaikan melalui novel fiksyen sains Dua Nyawa itu.
Novel Dua Nyawa boleh dibeli secara atas talian dari laman web Fixi, Lejen Press atau bookcafe.com.my.
Wow. Terima kasih atas perkongsian yang amat memberangsangkan ini. Sangat seronok membaca bagaimana minda penulis muda berfikir – dinamik, imaginatif, terbuka. Ini adalah input yang memberi inspirasi.
LikeLiked by 1 person
Sama-sama Kak Sri. Moga dapat jadi inspirasi untuk terus berkarya juga.
LikeLike