Bicara Novel SaiFai “Selestial” bersama Lokman Hakim, Bahagian 2

Sempena berlangsungnya Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2016 dan juga kelahiran dua novel SaiFai terbaru terbitan Simptomatik Press, Pena SaiFai telah memutuskan untuk menyiarkan artikel berkaitan dua penulis hebat – Fahmi Mustaffa dan Lokman Hakim sepanjang minggu ini.

Fahmi Mustaffa muncul dengan karya SaiFai terbarunya bertajuk Suatu Hari Nanti Manusia Akan Melupakan Tuhan. (Tag: Minggu Fahmi Mustaffa)

Lokman Hakim pula muncul dengan karya SaiFai bertajuk Selestial. (Tag: Minggu Selestial)

Profile Lokman 2

Ikuti sambungan sesi bual bicara bersama penulis prolifik, Lokman Hakim tentang novel SaiFai terbarunya, Selestial terbitan Simptomatik Press. (Baca Bahagian 1 di sini)

Cover Selestial Full

Sinopsis Selestial:

Apabila mereka terkandas di Marikh, ia membangkitkan satu interaksi penting buat manusia dengan kewujudan sarwajagat.

Razali, seorang angkasawan ketika itu, tidak tahu adakah ia satu kecelakaan atau anugerah.

Dua kewujudan berbeza berusaha untuk memahamkan dirinya akan situasi alam semesta mereka. Dan makhluk-makhluk itu, The Things & The Phosphorus, menjelajah zaman silamnya, mengaburi masa depannya dan menghantui nilai-nilai kehidupan manusia melalui otaknya.

D7 Sentul menjadi medan pertembungan fikiran dan falsafah kehidupan yang berbeza nahunya. Selaku manusia, Razali sedar, dia mendepani satu kewujudan yang begitu transendental.

Terlalu transendental, hingga dia meragui kewujudannya sendiri.

Lokman memisahkan novel ini kepada tiga bahagian menggunakan konsep berikut:

  • Enigma 1 – Seorang Tua Bernama Kompleksiti

 (Sekumpulan angkasawan jatuh ke dalam gaung. Diserang ribut Marikh yang ganas. Kumpulan itu diheret seorang demi seorang ke dalam gua oleh sejenis makhluk asing. Penghuni Marikh, yang dikenali selaku The Phosphorus, atau The Martian. Satu penerokaan minda secara paksa, atau penjajahan menyeluruh ke atas setiap seorang angkasawan itu berlaku. Maka di sini, naratifnya kejung, suatu percubaan The Phosphorus untuk memahami manusia, secara psikologikal)

  •  Enigma 2 – D8 Sentul Yang Tak Wujud

 (Razali, bekas angkasawan, salah seorang yang terselamat dari tragedi yang berlaku di Marikh, sedang membuat perundingan agar pengalamannya itu dikaryakan, menjadi karya sastera yang mampan dan sarat fakta-fakta sainsnya. Namun benarkah, insiden di bangunan D7 Sentul ini pernah terjadi? Atau sekadar simulasi realiti yang digubah The Things?)

  •  Enigma 3 – Pemburuan

 (Berbalik kepada insiden kemalangan di Marikh, di mana kelompok angkasawan tadi, terperangkap dalam permainan The Phosphorus. Razali, salah seorang manusia yang terselamat, harus membuat perundingan dengan The Phosphorus untuk memastikan jasadnya tidak dijajah seperti rakan-rakannya yang lain. Razali menceritakan perspektifnya ketika perundingan berlaku dan rentetan peristiwa yang menyusul ke atas komuniti Space X2 di Marikh sesudah itu)

Apakah yang ingin Lokman tunjukkan (atau mudahkan) kepada pembaca dengan konsep pemisahan seperti ini? Terangkanlah serba sedikit mengenai ketiga-tiga Enigma ini.
Jika dilihat, ketiga-tiga Enigma ini berbeza latarnya. Saya mahu menggambarkan satu keadaan di mana, makhluk asing tadi, mahu meneroka setiap bibit kehidupan yang pernah dilalui oleh Razali. Pendek kata, Enigma I menggambarkan waktu ketika penjajahan pertama makhluk asing berlaku. Enigma II pula menggambarkan waktu sesudah penjajahan berlaku. Dan Enigma III pula menggambarkan situasi sebelum dan selepas Enigma I berlaku. Jika hendak ketahui ceritanya, dapatkanlah naskhah ini ya.

Untuk membuatkan proses penulisannya lebih menarik, saya telah mengaplikasikan Fibonacci Sequence ke dalam pembentukan ketiga-tiga enigma tersebut.

Mengapa Fibonacci Sequence dipilih?

Baik, selaku seorang penulis yang menulis tanpa henti, dan untuk makluman, Selestial merupakan manuskrip saya yang ke-15. Bagaimana saya boleh menulis tanpa henti, tanpa sebarang alterasi ke atas kaedah penulisan saya? Selaku manusia, saya memerlukan pembaharuan ke atas teknik penulisan dan kaedah. Tujuannya, hanyalah untuk membunuh kebosanan dan juga kelesuan menaip tanpa henti. Setiap teknik baru akan membuatkan proses penulisan sentiasa segar tanpa memerlukan rehat yang banyak.

Bagaimana saya aplikasikan Fibonacci Sequence ke dalam pembentukan novel ini?

Lihat jujukan ini:

0, 1, 1, 2, 3, 5, 8, 13

Ataupun boleh digunapakai dari jujukan berikut:

1, 1, 2, 3, 5, 8, 13

Baik, saya buangkan nombor 13 kerana saya hanya punya 8 bab maksimum untuk setiap bahagian. Enigma 1 punya 6 bab, Enigma 2 punya 8 bab manakala Enigma 3 pula, punya 8 bab juga. Saya menaip bab demi bab untuk ketiga-tiga enigma ini dengan menggunakan Fibonacci Sequence seperti berikut.

Fibo

Jika dilihat dengan teliti, terdapat 7 pergerakan kesemuanya. Hanya 3 pergerakan (garis merah, biru dan hitam) sahaja menuruti Fibonacci Sequence, manakala 4 pergerakan lagi ditulis secara rawak.

Ia tidak membawa sebarang makna khusus, hanya saya mahu mempelbagaikan kaedah penulisan sahaja. Namun jika anda percaya saya menyimpan rahsianya, maka haruslah ia kekal rahsia.

Pembacaan untuk novel Selestial jadi tambah menarik bila Lokman memasukkan teknik penulisan menggunakan surat akuan bersumpah, catatan-catatan diari, serta debat antara watak menggunakan konsep teater atau pementasan. Rujuk sedutan babak pementasan seperti berikut:

WATAK-WATAK

  • Razali (Bekas angkasawan ke Marikh)
  • Puan Saodah (Usahawan wanita berjaya)
  • Puan Raudah (Seorang wanita misteri, menjadi subjek kepada  The Things, panel 1)
  • Krishnan (The Things, panel 2)
  • Mitchelle (The Things, panel 3)
  • The Phosphorus (dalam bentuk seorang nenek, panel 4)
  • Jessie Borgues (Moderator)
  • Umberto Fermi (penonton 1, disyaki manusia)
  • Mariah Seager (penonton 2, disyaki manusia)
  • Sumiyarti (penonton 3, bekas angkasawan ke Marikh, disyaki  The Phosphorus juga)
  • Saiful Ahzim (penonton 4, bekas polis penyiasat)

BABAK

Tirai terbuka. Tiga buah platform yang cukup-cukup untuk memuatkan moderator,seorang panel manusia (dalam kandang), dan juga tiga orang panel makhluk asing (The Things & juga The Phosphorus) kelihatan. Enam orang penonton, termasuk Razali duduk di atas kerusi yang sengaja disusun dalam 5 baris dan 10 lajur. Kerusi-kerusi kosong yang lain diletakkan boneka yang sengaja dilukis kasar mukanya dengan pen dakwat hitam. Kedengaran muzik latar klasikal gubahan Rachmaninoff mengiringi video rakaman lohong hitam yang banyak dan luas diameternya sedang menelan jasad-jasad selestial di merata alam semesta. Ia kedengaran dramatik, videonya traumatik. 

Mengapa Lokman meletakkan kelainan seperti ini? Adakah semua ini sudah dirancang sedari awal di dalam plot, atau ilham lahir secara natural semasa sedang menulis?
Sejujurnya, saya mendapat ilham untuk membentuk kaedah penulisan begini sesudah menyertai acara bedah karya Soneta Roda Basikal karya Wan Nor Azriq dan juga bedah karya Brazil karya Ridhwan Saidi. Saya tertarik dengan idea avant garde tersebut.

Kata Pengarang

Saya nampak perkaitannya dengan keperluan memahami manusia melalui sastera (seni khususnya). Kesenian itu merupakan satu aspek yang membuatkan manusia itu manusia. Maka, untuk makhluk asing memahami manusia, mereka haruslah menyelami setiap bentuk seni tersebut, dan ia digambarkan melalui format surat akuan bersumpah, catatan-catatan diari, serta debat antara watak menggunakan konsep teater atau pementasan.

Di dalam novel Selestial ini juga, Lokman mewujudkan bahagian Solusi yakni Solusi I, Solusi II (Debat Antara Kewujudan) dan Solusi III (Nihil Fit Ex Nihilo – Tiada Yang Datang Dari Ketiadaan). 

Berikut adalah sedutan dari Solusi III:

Jurnal yang diakhiri dengan skrip drama tersebut ditutup. Aku berharap agar doktor tidak meneruskan sesi terapi ini. Bagiku ini pengalaman aneh, kerana aku dibiarkan bercakap semahu hatiku. Aku membacakan jurnal ini kepadanya tanpa sebarang komen daripadanya. Aku bacakan juga skrip drama yang aku garap itu dan masih juga tiada apa-apa yang menarik perhatiannya. Doktor ini kelihatan seperti robot yang kaku ekspresi wajahnya.

“Panpsychism. Apa yang awak faham mengenai panpsychism? Dalam naskhah skrip drama itu, awak tak jelaskan perihal panpsychism tadi.”

Mengapa Lokman memilih untuk mewujudkan sehingga tiga solusi di dalam satu kisah sebegini? Adakah kerana tema Selestial itu sendiri yang luas, atau kerana Lokman ingin memastikan bahawa pembaca mendapat satu penyelesaian (atau kepuasan) yang benar-benar setimpal dengan kerumitan novel ini?
Benar, tema Selestial itu sendiri memang luas. Bahkan teori-teori kewujudan makhluk asing yang dikemukakan di dalam ini masih agak longgar.  Terlalu banyak parameter yang perlu diambil-kira tetapi tidak dapat dimasukkan kerana tidak ditemukan lagi signifikannya pada kajian.

Saya berpendapat, ketiga-tiga enigma itu haruslah dilengkapi jawapannya dengan ketiga-tiga solusi juga. Bertolak dari itulah wujudnya ketiga-tiga solusi itu tadi.

Solusi-solusi ini menyelesaikan kerumitan kaedah The Things & The Phosphorus itu dalam menjajah manusia secara menyeluruh tadi.

Soalan terakhir! Sudilah kiranya Lokman berkongsikan sedikit harapan dan feedback yang Lokman mahukan daripada para pembaca sesudah mereka membaca Selestial.
Susahnya. Saya tidak mengharap apa-apapun dari pembaca yang saya ketahui dari awal lagi, memang pelbagai kerenah dan juga kecenderungannya. Walau bagaimanapun, saya berharap pembaca kita tahu, karya saifai sebegini wujud dalam sejarah industri buku kita. Saya berharap, sesudah ini, pembaca kita akan cenderung mengasah pemikiran mereka sebelum membaca karya-karya fiksyen sebegini. Membaca sepatutnya membuatkan kita lebih terbuka dan lebih bijak bukan?

~

Profile Lokman 3

Lokman Hakim adalah jurutera awam untuk pelbagai kontraktor pembinaan dari 2007 sehinggalah sekarang. Mengambil jurusan kejuruteraan awam di Universiti Teknologi MARA dari tahun 2005 sehingga 2007. Daripada tahun 2007 sehingga 2011, beliau merupakan seorang pemuzik yang cuba memahami manusia dengan muzik. Kini beliau lebih gemar menonton kelakuan manusia-manusia di kopitiam-kopitiam merata Lembah Klang selaku rujukan untuk penulisan karya-karyanya. 

Telah menulis dengan Roman Buku, FIXI, Buku Hitam Press dan Lejen Press setakat ini. Harapan beliau adalah untuk terus-menerus berkarya biar dalam bentuk apa sekalipun, kerana baginya, imaginasi itu tiada batasan langsung.

Kunjungi reruai Simptomatik Press di Booth A3094 – A3095 (Thukul Bersekutu) di PBAKL untuk mendapatkan buku-buku SaiFai terbaru mereka.

Buku Baru Simptomatik Press

Cerpen SaiFai Lokman Hakim bertajuk Arca Kehidupan dimuatkan di dalam Antologi Cerpen X-traordinari Imagikata. (Baca Di Sebalik Tabir: Antologi Cerpen X-traordinari Imagikata)

Imagikata Cover

Antologi Cerpen X-traordinari Imagikata boleh didapati di PBAKL di booth PTS dan juga boleh dibeli secara atas talian di Bookcafe.com.my.

peta-lokasi-klibf

Jangan lepaskan peluang untuk menemui Lokman Hakim di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) pada 6 Mei 2016 jam 4.30 petang, di mana Lokman akan berbicara lebih lanjut tentang novel Simulasi dalam forum “Penerokaan Cerita Sains Fiksyen”. (Baca Minggu Simulasi)

Poster PTS - Simulasi

Bicara Fahmi Mustaffa Tentang Novel SaiFai “Suatu Hari Nanti Manusia Akan Melupakan Tuhan”, Bahagian 1

Sempena berlangsungnya Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2016 dan juga kelahiran dua novel SaiFai terbaru terbitan Simptomatik Press, Pena SaiFai telah memutuskan untuk menyiarkan artikel berkaitan dua penulis hebat – Fahmi Mustaffa dan Lokman Hakim sepanjang minggu ini.

Fahmi Mustaffa muncul dengan karya SaiFai terbarunya bertajuk Suatu Hari Nanti Manusia Akan Melupakan Tuhan. (Tag: Minggu Fahmi Mustaffa)

Lokman Hakim pula muncul dengan karya SaiFai bertajuk Selestial. (Tag: Minggu Selestial)

2Cover SHNMAMTSinopsis Suatu Hari Nanti Manusia Akan Melupakan Tuhan:

Pada tahun 2112 Masihi, manusia akan melupakan Tuhan. Agama dipakai seperti persalinan sutera -– setiap orang memakainya mengikut agenda peribadi, terlihat suci dan mewah sekali.

Asyik sekali manusia berbalahan, sehinggalah pada tahun 2060 Masihi, Gempa Mega dan Tsunami Raya menjadi anarki teragung, memusnahkan peta dunia yang kita kenal hari ini. Sebahagian dari Amerika Syarikat tenggelam. Malaysia sudah terhapus ditampar Gempa Mega dan Tsunami Raya yang berjujukan; hanya tinggal sebuah dataran besar, diberi nama neo-Kuala Lumpur yang ditadbir oleh Tuan Presiden maha haloba.

Razieff adalah neo-Human yang didatangi mimpi tentang Tuhan. Anak tunggal saintis neo-Human Mama Juwita, dia berkelana menemui Buhaira’, seorang ulama tunggal neo-Human yang masih hidup untuk mempelajari suatu rahsia agung.

Sejarah adalah roda dan penghukum tegar kepada yang melupakan. Nafsu manusia yang terdidih bergumpal menjadi amukan perang di akhir zaman, sebelum menunggu Isa al-Masih. Ada rahsia di antara Buhaira’ dan Tinta Pujangga, juga tentang Bahtera Nabi Nuh yang akan menyelamatkan mereka. Mungkinkah Suatu Hari Nanti, Manusia Akan Melupakan Tuhan?

Tajuk novel SaiFai Fahmi yang terbaru: Suatu Hari Nanti Manusia Akan Melupakan Tuhan ternyata sangat unik; pertama sekali kerana ia agak panjang dan keduanya, ia memaparkan perkataan seperti ‘Manusia’, ‘Melupakan’, dan ‘Tuhan’ yang tentunya akan menimbulkan tanda tanya kepada orang yang melihatnya. Bagaimana Fahmi mendapat ilham untuk memilih tajuk ini?
Ilham bermula spontan. Berlaku ketika hari pertama Ramadhan (novel ini ditulis sepanjang bulan puasa).

A History of God

Ketika itu saya baru menghabis ulang A History of God karya Armstrong, dan tiba-tiba saya terfikir “what if this doesnt matter? What if Science will replace religion and people will forget about scriptures?” Fikiran ini tentu sukar buat saya, tetapi saya tidak mampu bermusuh dengan fikiran saya sendiri. Saya ambil sehelai kertas dan mula menulis –- Suatu Hari Nanti, Manusia Akan Melupakan Tuhan.

That phrase was meant for my Facebook status.

Saya mula mengabaikan frasa itu -– ini bulan puasa, jangan fikir terlalu luar dan liar –- tetapi sekali lagi saya kalah bergocoh dengan fikiran. Saya mula merangka. Saya minat dengan sejarah kerana dinamikanya. Sejarah itu berulangan. Sejarah akan jadi hukuman terbesar kepada sesiapa yang melupakan.

Sejak hari itu, saya mula terfikir untuk menulis sesuatu yang bersifat fantasi seperti novel ini tetapi masih dilantai oleh sejarah lalu. Saya pasti di suatu tempat dan dimensi yang lain, masa lalu masih lagi wujud dan terus menjadi masa lalu.

Saya juga mengaku, menulis Suatu Hari Nanti Manusia Akan Melupakan Tuhan di atas kertas membuatkan saya meremang, but this was a good cause. I keep on telling that to myself so I can sleep. Or so I think.

Dalam bahagian Prolog sahaja, kita sudah disajikan dengan ayat yang menyengat tajam, pedas dan panas buat siapa yang termakan cili, namun membuatkan kita rasa begitu connected sekali dengan apa yang telah disampaikan, kerana ia membicarakan sesuatu yang telah nyata berlaku di alam realiti. Izinkan saya untuk menampilkan sedutannya:

Hari ini, 2112 Masihi, kenyataan Tuan Pemerintah menghiris hati Kaum Pekerja. Kenaikan Cukai Udara diselaputi dengan terma-terma canggih untuk menutup kesalahan Tuan Pemerintah yang gagal mentadbir urus neo-Kuala Lumpur (NKL) digunakan, lantas mengenakan tekanan berbentuk kenaikan Cukai Udara. Bumi semakin sakit dan jijik; justeru kerajaan pimpinan Tuan Pemerintah mengenakan kenaikan Cukai Udara dengan alasan sebahagian besar perbelanjaan Kerajaan terpaksa dihabiskan untuk mengitar-bersih udara dan mengeluarkan oksigen semacam oksigen asli bumi seratus tahun dahulu. Tuan Pemerintah telah memaksa Kaum Pekerja untuk membayar benda yang diberi percuma oleh Tuhan.

Apakah perbelanjaan Tuan Pemerintah melebihi perbelanjaan Tuhan?

Fahmi & Tuhan

Boleh ceritakan apa yang mendorong Fahmi untuk menulis mengenai perkara ini?
Selepas ucapan Tuan Pemerintah, ada laungan “Takbir!”. That is a mockery, or to potray the political statement (di dalam novel ini).

Sejarah acapkali menjadi syurga yang ditinggalkan oleh manusia. Sejarah dianggap terkebelakang, dan membacanya adalah seperti sesi kenang-mengenang sahaja lakunya. Kejatuhan Aztec dimulakan oleh agamawan yang bersetongkol bersekongkol dengan golongan pemerintah demi agenda peribadi.

Agama telah menjadi produk komersil -– politikus memakainya, agamawan memakainya, sesiapapun memakainya, dan seperti sepersalinan sutera, ia dipamer, dikagumi dan diidami. Sebab itu kita masih lagi berada di dalam gelembung, melihat dunia luar hanya dari bias cahaya.

Novel ini saya tulis untuk membenarkan bahawa pada masa itu, agama telah menjadi candu. Orang-orang yang dibuli, buruh kasar, akan diperah keringatnya dan disurah ganjaran syurga tentang kebaikan bekerja keras tetapi ia hanya untuk mengayakan golongan elitis ekonomi.

Memakainya, seperti sepersalinan sutera.

Cukai udara juga adalah manifestasi keadaan semasa yang tercemar dan proto-humanlah yang harus membayarnya. Dalam novel ini, bagi orang kaya, orang miskin adalah dosa.

Fahmi menulis menggunakan latar bandaraya neo-Kuala Lumpur yang dibina selepas berlakunya tragedi Gempa Mega dan Tsunami Raya pada 2060 Masihi. Benua baru terbentuk apabila hampir keseluruhan Semenanjung Malaysia ditenggelami, manakala kawasan Semenanjung Borneo pula tercampak menghampiri kepulauan Filipina.

Neo KL

Malah, latar masa yang dipilih juga agak futuristik, yakni pada tahun 2112 Masihi. Ada sebab-sebab tertentu untuk Fahmi menulis pada latar sebegini?
Mengubah latar masa is an act of self-censorship. I cannot write something like that and put it in the year of 2016 without getting into trouble (kan?). Not that I am afraid of, but I want this to be on shelf, longer.

Gempa Mega dan Tsunami Raya berlaku ketika manusia pada masa itu sibuk berbalah. I just want you to know that we can’t fight mother nature. Tsunami itu saya bikin supaya seperti menjadi aktiviti mandi-manda manusia — ia membasuh lumpur dosa-dosa yang bergumpalan selama ini.

Sundaland

It’s all science. Geological uplift is real. We were living in Sundaland before.

And aren’t we all from Africa?

🙂

Ternyata dunia masa depan yang dicipta oleh Fahmi dalam novel ini cukup canggih: ada air-car menggunakan tujahan medan elektromagnetik serta manipulasi tekanan graviti, teknologi anti-crash pada air-car, trafik yang diselia floating drone (kamera cyborg yang terapung), dan masukan cip ke dalam otak manusia untuk menyempurnakan sifatnya.

Namun semua kepandaian dan kecanggihan itu masih lagi tidak dapat menghilangkan satu sifat keji dalam diri manusia, yakni masih gemar meraikan kasta yang membezakan sesama kita, seperti petikan berikut:

Razief-XII merupakan generasi ke-12 keturunannya, yang menggabungkan cip neo-Human ke dalam korteks otaknya. Cip neo-Human hanya untuk manusia terpilih, menjadikan mereka tergolong dalam Kaum Tinggi, berbeza dengan tingkat Kaum Pekerja. Kebanyakan Kaum Pekerja merupakan manusia tanpa implan cip neo-Human, digelar proto-Human kerana kelihatan dan berfikir seperti manusia kuno tahun 2016. Proto-Human juga selalu sakit dan menjadi tua.

Entah kenapa hatinya menyampah benci melihat proto-Human. Rupa parasnya yang dangkal, berkulit sawo matang dan selalu sahaja berpeluh; proto-Human tidak layak hidup sebenarnya. Penempatan proto-Human busuk dan menjengkelkan. Selayaknya mereka umpama barah dalam sistem pentadbiran, namun mereka perlu ada kerana golongan busuk proto-Human inilah yang berkerja sampai mati sehari-hari untuk mengenyangkan tembolok aristokrat dan aparat neo-Kuala Lumpur.

Boleh Fahmi terangkan lebih lanjut mengenai perihal perbezaan kelas ini?
Class struggle is real. It is happening as we speak.

Dunia menjadi habitat terpenuh dengan kasta. Kita adalah satu jenis spesis yang terlalu banyak lapis. Saya ingin memulangkan paku buah keras kepada manusia di tahun 2016 dengan menjadikan mereka semua kasta terendah pada tahun 2112 kerana sibuk berbalah di dalam gelembung ism-ism mereka. Suatu hari nanti, dunia masih lagi menjadi seperti yang kita kenali, cuma semakin teruk.

Proto-Human dan Neo-Human terpisah oleh tembok fizikal di dalam novel ini. Tetapi tembok pemisah itu sebenarnya telah lama memenjarakan kita semua pada hari ini. Kebodohan itu datangnya daripada ignorance dan minda kita menjadi penjara terbesar kepada diri kita.

Kita diperbudak oleh rantai imaginari, dijanjikan syurga seringan gula-gula kapas yang manis dan diabetik. Apa yang berlaku di dalam novel ini bukanlah khayalan segar pun, ia sekadar pantulan apa yang kita sedang lakukan.

Menyemai benih-benih ignorance dalam rimba kapitalistik yang rimbun. The whole novel is a mockery of what will be if we continue our ignorance.

Kasihan betul dengan nasib yang menimpa golongan proto-Human ini. Tetapi, bila kita membaca petikan selepas itu pula, kita dikejutkan dengan kenyataan bahawa proto-Human ini tidak langsung hidup tertindas pada zaman dahulu, sebaliknya membiarkan diri mereka dikuasai sifat tamak, malas dan banyak lagi sifat-sifat buruk yang memusnahkan mereka. Lihat:

Dulu proto-Human inilah yang menyebabkan persekutuan asal menjadi seperti apa adanya hari ini. Pada zaman kuno dahulu, mereka selalu bergaduh, masing-masing obses dengan idea dan tokoh-tokoh yang mereka junjung. Mereka dipimpin oleh satu undang-undang yang diberi nama Perlembagaan Persekutuan dan hidup dengan kerencaman masyarakat majmuk. Tetapi proto-Human adalah golongan yang tamak dan pentingkan diri sendiri. Proto-Human saling menindas dan mengamalkan diskriminasi, menolak diversiti, serta saling berbunuhan atas nama Tuhan.

Mujurlah Gempa Mega memusnahkan sebahagian besar proto-Human, kerana jika dibiar berleluasa, proto-Human yang tamak itu akan menjarah bumi dan berselindung di sebalik topeng ideologi masing-masing. Hari ini, dibiar proto-Human itu bertani dan memancing, cukup bagi mereka bekerja dan diam; tunduk lagikan patuh.

Seratus tahun dahulu, proto-Human ini malas bekerja dan tak reti memerintah!

Nampaknya orang-orang yang ditindas pada tahun futuristik itu, rupanya pernah menindas orang lain pada zaman kuno dahulu. Hidup ini seperti putaran roda yang adil. Inikah yang cuba disampaikan oleh Fahmi menerusi kenyataan di dalam novel ini?
Benar.

Sepertinya roda.

Suatu hari nanti kita pastinya sedar bahawa semua ini, tidak lain adalah ranting daripada zat Tuhan yang Maha Kaya dan Maha Mencipta. Dan di setiapnya ada hukum alam yang berputaran. Setiap orang mempunyai topeng tersendiri.

Topeng kita berbeza. Topeng bersama kawan, topeng di hadapan bos, topeng bersama dengan insan tersayang, dan borbogelan di hadapan Tuhan. Topeng-topeng ini sukar ditilik seni kerana selalu terlindung dengan ideologi dan susuk-susuk wibawa seseorang.

Kita spesis tercanggih yang manusiawi dan masih animalistik.

~

Besok: Ikuti perkongsian Fahmi Mustaffa tentang watak-watak yang terdapat di dalam novelnya, serta pengalaman menarik beliau menulis novel istimewa ini.

Fahmi B&W

Mohd Fahmi bin Jusoh @ Mustaffa menulis dengan nama pena Fahmi Mustaffa. Novel debut beliau, Laknat diterbitkan oleh Buku FIXI pada September 2015. 

Ia boleh didapati di booth FIXI di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) yang akan berlangsung pada 29 April – 9 Mei 2016 di Malaysia Agro Exposition Park Serdang (MAEPS).

Jelajah Lejen Fixi

Cerpen SaiFai Fahmi Mustaffa bertajuk Pantomim dimuatkan di dalam Antologi Cerpen X-traordinari Imagikata. (Baca Di Sebalik Tabir Imagikata: Pantomim oleh Fahmi Mustaffa).

Pantomim

Imagikata Cover

Antologi Cerpen X-traordinari Imagikata boleh didapati di PBAKL di booth PTS dan juga boleh dibeli secara atas talian di Bookcafe.com.my.

peta-lokasi-klibf

Novel fiksyen sains Fahmi Mustaffa yang pertama bertajuk Suatu Hari Nanti Manusia Akan Melupakan Tuhan diterbitkan oleh Simptomatik Press.

Cover SHNMAMT

Kunjungi reruai Simptomatik Press di Booth A3094 – A3095 (Thukul Bersekutu) di PBAKL untuk mendapatkan buku-buku SaiFai terbaru mereka.

Buku Baru Simptomatik Press

Bicara Novel SaiFai “Selestial” bersama Lokman Hakim, Bahagian 1

Sempena berlangsungnya Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2016 dan juga kelahiran dua novel SaiFai terbaru terbitan Simptomatik Press, Pena SaiFai telah memutuskan untuk menyiarkan artikel berkaitan dua penulis hebat – Fahmi Mustaffa dan Lokman Hakim sepanjang minggu ini.

Fahmi Mustaffa muncul dengan karya SaiFai terbarunya bertajuk Suatu Hari Nanti Manusia Akan Melupakan Tuhan. (Tag: Minggu Fahmi Mustaffa)

Lokman Hakim pula muncul dengan karya SaiFai bertajuk Selestial. (Tag: Minggu Selestial)

Cover Selestial Full

Sinopsis Selestial:

Apabila mereka terkandas di Marikh, ia membangkitkan satu interaksi penting buat manusia dengan kewujudan sarwajagat.

Razali, seorang angkasawan ketika itu, tidak tahu adakah ia satu kecelakaan atau anugerah.

Dua kewujudan berbeza berusaha untuk memahamkan dirinya akan situasi alam semesta mereka. Dan makhluk-makhluk itu, The Things & The Phosphorus, menjelajah zaman silamnya, mengaburi masa depannya dan menghantui nilai-nilai kehidupan manusia melalui otaknya.

D7 Sentul menjadi medan pertembungan fikiran dan falsafah kehidupan yang berbeza nahunya. Selaku manusia, Razali sedar, dia mendepani satu kewujudan yang begitu transendental.

Terlalu transendental, hingga dia meragui kewujudannya sendiri.

Melihat kepada tajuk Selestial, kita sudah boleh mengagak bahawa novel ini mempunyai kaitan dengan unsur samawi dan cakerawala (bintang dan planet di langit). Malah cover yang digunakan adalah seorang angkawasan yang saya kira sangat tepat dengan temanya. Boleh Lokman ceritakan berkenaan pemilihan tajuk dan juga cover cantik ini?
Pada asalnya, tajuknya berjudul ‘Marikh’. Saya berjumpa dengan penerbit semasa acara Wiken Bangi pada 9hb April 2016 dan mereka bertanyakan perihal cover yang saya inginkan. Ia sukar bagi saya sebenarnya, kerana saya lebih gemar penerbit sahaja yang memikirkan perihal cover buku yang akan diterbit, kerana saya berpendapat mereka lebih arif dalam menentukan cover yang menepati citarasa pembaca berbanding dengan penulis.

Dalam kepala saya, saya membayangkan watak angkasawan sepertimana di dalam video klip lagu Black Star dendangan mendiang David Bowie.

David Bowie Skull

Tengkorak di dalam sut angkasawan itu cukup mengagumkan saya. Saya nampak perkaitannya dengan Enigma III dalam naskhah ini. Maka saya mahukan imej angkasawan tetapi disulami kegelapan seperti mana yang terpapar pada cover itu. Saya sukakannya.

Pemilihan tajuk Selestial amat pantas. Saya dimaklumkan cover telah siap pada 15hb April tersebut tetapi tajuknya agak klise jika hendak digandingkan dengan cover sebegitu gelap. Saya memberi lima tajuk yang saya kira sesuai dan Selestial merupakan salah satu daripadanya.

Apakah ilham dan idea yang menjadi cetusan inspirasi Lokman sehingga lahirnya novel Selestial ini?
Semuanya bermula dari perbualan aneh-aneh antara saya dengan adik saya, Abdul Rauf. Kami membicarakan perihal kemungkinan makhluk asing itu wujud dalam bentuk yang tidak mampu ditafsir akal manusia. Saya memikirkan satu fiksyen untuk membicarakan konsep ini secara meluas. Saya mahu sangkal semua teori-teori penafian kewujudan makhluk asing itu secara menyeluruh. Namun saya tidak mampu memberikan satu kertas kerja yang khusus dan secara teknikalnya, tepat.

Saya hanya punya idea. Dan selaku seorang pengarang fiksyen, seeloknya saya huraikan ia selaku fiksyen terlebih dahulu sebelum dikembangkan ke medium yang lebih memberi tumpuan pada perincian fakta-fakta yang dikemukakan.

Sebelum menghantar Selestial kepada penerbit, Lokman khabarnya telah memberi peluang kepada lima orang pembaca beta untuk membaca draf manuskrip ini. Mengapa Lokman memilih untuk melakukan sedemikian?
Mungkin ramai yang sedia maklum, saya sedang mengarang karya sains fiksyen untuk dihantar ke sayembara. (Baca: Sayembara Novel Fiksyen Sains Dan Teknologi UTM-Utusan Musim Ke-4)

FrontPageSayembara

Selama ini saya menulis dengan tidak meletakkan kepercayaan pada sesiapapun melainkan editor penerbit untuk menyemak karya saya. Memandangkan terdapat desas-desus yang mengatakan karya-karya yang telah dihantar ke sayembara akan diadili juga ketepatan bahasanya, maka saya berpendapat saya harus mengambil inisiatif untuk memastikan karya yang saya hantar itu berkualiti.

Dalam kepala saya ketika itu, adalah ‘beta reader’. Lima orang pembaca dan pengkritik terpilih akan membaca karya saya dan memberitahu saya sebarang kelemahan untuk diperbaiki. Saya masih berpendapat penggunaan ‘beta reader’ adalah satu teknik yang baik.

Memandangkan feedback dari beta reader yang dapat saya rumuskan selaku ‘depressing’ & ‘dark’, maka saya memutuskan ia tidak sesuai untuk sayembara.

Bila mendapat  feedback daripada para pembaca yang mengatakan bahawa karya Lokman itu agak ‘dark’, ‘depressing’ dan sukar difahami — adakah ini sesuatu yang menggerunkan atau menyeronokkan buat Lokman?
Bagi saya ia menyeronokkan. Saya memang menulis cerita itu begitu. Saya rasa saya belum lagi membaca karya SaiFai lokal yang ‘dark’, ‘depressing’ dan sukar difahami seperti ini. Sekurang-kurangnya saya telah menempel satu karya sebegini pada kanvas arena penulisan SaiFai lokal yang masih banyak ruang untuk diisi.

Ini bukan kali pertama Lokman menulis novel SaiFai bersifat spekulatif. Novel-novel SaiFai Lokman sebelum ini adalah Retina, Dua Nyawa, Bala Tentera Tuhan, Dunia Tanpa Tuhan dan juga Debat Manusia Tuhan.

Sebagai seorang penulis yang laju dan banyak menulis, apa yang Lokman lakukan untuk memastikan karya seterusnya tidak bertindih dari segi konsep atau berulang-ulang dari segi penceritaan (dengan karya sebelumnya)?
Sukar sebenarnya untuk memastikan karya seterusnya tidak bertindih konsep dan berulang-ulangan. Tambahan pula saya seorang yang laju menulis. Namun apa yang saya lakukan adalah memperbanyakkan bacaan dalam masa yang sama dan bereksperimen dengan setiap penulisan manuskrip.

Idea yang diperolehi akan dipertimbangkan terlebih dahulu sebelum dikembangkan menjadi sebuah novel. Jika ia membawa hala tuju yang begitu mirip dengan kebanyakkan novel saya, saya akan menulis subjek yang lain. Ia mudah dikenalpasti melalui proses peleraian idea semasa merangka jalan cerita.

Tiga watak utama yang mendukung novel ini ialah Razali, The Things & The Phosphorus. Boleh Lokman huraikan dengan lebih lanjut mengenai mereka? Siapakah yang menjadi inspirasi untuk Lokman mencipta watak-watak ini?
Setepatnya bukan siapa, tetapi apa. Apakah inspirasi saya untuk mencipta watak-watak ini? Baik. Razali merupakan perlambangan kepada manusia itu sendiri. Setiap peristiwa, setiap watak-watak manusia yang menjadi poin interaksi kepada Razali merupakan satu karakter manusia yang saya himpunkan selaku pecahan-pecahan konsep. Razali adalah tunjang, merupakan otak kepada rangkaian kepada sifat-sifat lazim seorang manusia yang digambarkan pula oleh watak-watak sampingan di dalam novel ini. Agama, ketidakpercayaan, kesangsian, skeptikal dan juga kebebalan. Aspek-aspek ini rawak dan terdapat dalam seorang manusia.

Razali dan komponen-komponen watak-watak manusia di dalam ini adalah satu gambaran manusia secara menyeluruh.

Untuk memahami manusia, makhluk asing haruslah memahami manusia itu secara menyeluruh. Namun kita harus mengerti juga, terdapat kebarangkalian wujudnya dua jenis makhluk asing. Pertama sekali, kelompok yang sudah melangkaui batasan teknologi dan persempadanan angkasa yang luas, dan ini diwakili oleh The Things. Penggunaan nama ‘The Things’ menggambarkan betapa manusia itu (Razali) tidak mampu memberi satu nama yang khusus kerana dia tidak dapat menggambarkan The Things secara tepatnya. The Things melambangkan kedangkalan akal manusia untuk melepasi batasan pemikiran yang begitu terhad.

Kedua, kelompok yang setara dengan manusia, tetapi masih di luar konteks ‘kehidupan’ buat manusia. Ini digambarkan pula oleh The Phosphorus merangkap The Martian. Anda boleh melihat konsep dualiti diaplikasikan terhadap makhluk-makhluk asing ini. Tujuannya adalah agar kita mengerti, mereka (makhluk asing) tidak mencapai tahap Tuhan Yang Esa dan harus bergerak selaku satu kelompok untuk meniru kebolehan yang berada di luar kemampuan fikiran manusia.

Saya ingin menyentuh lebih lanjut mengenai watak Razali. Di sepanjang novel ini, watak Razali begitu terganggu dan sering berasa was-was dengan apa sahaja pengalaman yang sedang dialami. Dia tidak tahu samada peristiwa yang berlaku adalah benar, atau pun sekadar permainan oleh kumpulan makhluk asing itu. Pembaca seperti saya juga dapat merasai kekeliruan Razali, sehingga pada satu tahap turut terasa terganggu juga dengan keanehan-keanehan yang sering mengunjungi Razali.

Lihat:

Aku capai pistol lalu aku masuk ke dalam kereta. Ayah tampak panik benar. Peluh membasahi setiap rengkuh urat yang ada.

“Abah jangan bergerak!” aku acukan pistol itu ke arah ayah. Dia berhenti dengan apa sahaja perbuatannya dan lirikan matanya ketika itu penuh dibaur perasaan takut yang tak berkesudahan.

“Kau.. kau.. jangan bunuh aku!” ujarnya.

Bagaimanalah tergamak aku hendak membunuhnya? Aku sendiri menggeletar dengan pistol itu. Tambahan pula aku sedang mengacukan pistol itu ke arah ayah. Ayah. Orang yang membesarkan aku satu ketika dahulu dan menyayangiku sepenuh hati. Aku tiada bukti untuk mengatakan dia yang berada di depanku ini hanya sekadar penyamar. Boleh jadi dia bukan makhluk Marikh yang menjengkelkan itu.

Ketika itulah aku lihat cacing-cacing itu, halus dan ligat, menjalar keluar dari tapak tangan. Kelihatan ngeri, dan aku memalingkan wajahku dari melihat pemandangan ngeri itu. Namun aku tak dapat padamkan imej tatkala puluhan cacing-cacing halus itu menjalar keluar dari setiap koyakan sekecil jarum pada tapak tanganku itu. Aku pejamkan mata dan dapat merasa bagaimana pergerakan cacing-cacing itu buatkan tapak tanganku menggeletar hebat.

Krishnan dan Mitchelle tersenyum sebelum berjalan ke tengah pentas sambil berpimpinan tangan. Saya mangut dan terus kaku di tempat saya berdiri. Saya melihat mereka seolah menari sebelum jasad mereka menyatu laksana ia satu bayang. Jisimnya punah dan digantikan dengan satu perebakan jirim gelap yang cukup padat zulmatnya. Ketakutan, saya mula berlari. Namun semakin jauh saya berlari, saya merasakan masa seolah bergerak begitu perlahan.

Saya pernah membaca perihal ini. Masa bergerak perlahan apabila kita mendekati lohong hitam. Namun adakah ia bermakna mereka berdua sudah berjaya meniru mekanisme lohong hitam itu tadi? Saya selaku bekas angkasawan tidak menyangka peradaban makhluk asing sudah tiba ke peringkat ini.

Watak Razali ternyata telah berjaya ‘memindahkan’ segala rasa aneh yang dialami semasa menghadapi gangguan makhluk asing itu kepada para pembaca. Apakah yang Lokman tumpukan (atau lakukan) untuk berjaya mencipta babak-babak aneh Razali ini?
Dengan membayangkan diri saya selaku makhluk asing tadi. Apabila saya membayangkan diri saya selaku The Phosphorus ataupun The Things, maka saya mahu membedah pemikiran saya, memori-memori saya dan membentangkannya seolah ia merupakan kolektif spesimen-spesimen aneh yang harus dibedah.

Saya bogelkan memori saya ketika saya berada di perpustakaan semasa kecil. Saya gunakan mimpi ngeri dikerumuni cacing-cacing buas pemakan daging. Saya aplikasikan juga pengalaman menarik semasa saya berada di sebuah galeri lukisan di D7, Sentul. Ketiga-tiga memori ini adalah benar, tetapi saya bayangkan saya membungkus elok-elok memori-memori ini dan memberinya kepada diri saya yang tidak saya kenali. Yakni, The Things/The Phosphorus. Mereka akan melihatnya dari aspek yang tidak pernah saya lihat. Barangkali proses ini yang membuatkan watak Razali kelihatan berjaya ‘memindahkan’ segala rasa aneh itu kepada para pembaca.

~

Besok: Ikuti perkongsian Lokman Hakim tentang teknik-teknik penulisannya yang unik buat Selestial, termasuklah menggunakan kaedah Fibonacci Sequence sebagai asas membentuk novel itu.

Profile Lokman 1

Lokman Hakim adalah jurutera awam untuk pelbagai kontraktor pembinaan dari 2007 sehinggalah sekarang. Mengambil jurusan kejuruteraan awam di Universiti Teknologi MARA dari tahun 2005 sehingga 2007. Daripada tahun 2007 sehingga 2011, beliau merupakan seorang pemuzik yang cuba memahami manusia dengan muzik. Kini beliau lebih gemar menonton kelakuan manusia-manusia di kopitiam-kopitiam merata Lembah Klang selaku rujukan untuk penulisan karya-karyanya. 

Telah menulis dengan Roman Buku, FIXI, Buku Hitam Press dan Lejen Press setakat ini. Harapan beliau adalah untuk terus-menerus berkarya biar dalam bentuk apa sekalipun, kerana baginya, imaginasi itu tiada batasan langsung.

Kunjungi reruai Simptomatik Press di Booth A3094 – A3095 (Thukul Bersekutu) di PBAKL untuk mendapatkan buku-buku SaiFai terbaru mereka.

Buku Baru Simptomatik Press

Cerpen SaiFai Lokman Hakim bertajuk Arca Kehidupan dimuatkan di dalam Antologi Cerpen X-traordinari Imagikata. (Baca Di Sebalik Tabir: Antologi Cerpen X-traordinari Imagikata)

Imagikata Cover

Antologi Cerpen X-traordinari Imagikata boleh didapati di PBAKL di booth PTS dan juga boleh dibeli secara atas talian di Bookcafe.com.my.

peta-lokasi-klibf

Jangan lepaskan peluang untuk menemui Lokman Hakim di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) pada 6 Mei 2016 jam 4.30 petang, di mana Lokman akan berbicara lebih lanjut tentang novel Simulasi dalam forum “Penerokaan Cerita Sains Fiksyen”. (Baca Minggu Simulasi)

Poster PTS - Simulasi