Sesi Wawancara Sofa Putih ITBM di PBAKL pada 2 Mei 2016 ini membicarakan proses penulisan novel Jepun, tetapi saya ditanya bertubi-tubi perihal obsesi saya pada menulis itu tadi. Saya ditanya perihal mengapa saya berterusan menggalakkan rakan-rakan penulis menulis fiksyen sains. Mengapa mahu menulis karya fiksyen sains dan bukannya karya-karya genre lain?
Baik, mungkin saya tidak menjelaskan dengan cukup terperinci ketika soalan itu diutarakan tambahan pula saya tidak berapa selesa apabila berada di depan orang ramai, membicarakan perihal buku-buku yang saya karang.
Saya melihat landskap dunia penulisan lokal yang menggunakan medium berbahasa Melayu itu umpama kekurangan warna dan objek. Jika hendak digambarkan ia selaku sebuah rumah, maka kita akan lihat rumah itu umpama stor kepada dua atau tiga objek yang membentuk majoriti. Ada minoriti sipi-sipi tersorok di bucu dinding dan hampir-hampir hilang ditelan objek-objek yang memenuhi rumah itu.
Rumah itu begitu padat. Sangat padat dan menanti masa untuk meletup. Namun objek-objek di dalamnya sama dan mirip-mirip sahaja sifatnya, tidak bervariasi, tidak begitu enak dilihat, tidak begitu berseni.
Boom!
Rumah itu meletup. Objek-objek yang kononnya sama sifatnya berselerakan. Bertebaran di sebuah padang besar dengan bongkah-bongkah rumah yang meletup tadi turut mewarnai landskap itu. Namun begitu, tidak ada orang berebut-rebut meratah objek-objek yang berserakan itu, kerana nilai harganya di pasaran global rendah dan tak berbaloi dibeli.
Saya kecewa. Saya kutip setiap objek-objek itu. Saya warnakan kembali dengan elemen-elemen asing yang akan meningkatkan nilainya di mata pasaran global. Namun saya penat, saya seorang manusia kerdil dan objek-objek ini begitu banyak sekali dan saya yakin, sebelum saya sempat mewarnakan 100 buah objek yang serupa, saya akan tumbang kepenatan dan mati.
Faham?
Rumah itu adalah dunia sastera kita. Objek-objek itu pula mendukung pelbagai makna seperti genre-genre popular dalam negara kita, buku-buku yang sama tema dan jalan ceritanya dan juga cerita-cerita aneh yang memerlukan sentuhan kreatif agar dibukukan.
Naskhah Jepun ini, dan novel-novel saya yang lain, khususnya yang bergenre fiksyen sains dan fantasi baru-baru ini, merupakan warna-warna lain yang saya cuba terapkan agar ia boleh dihargai oleh pembaca-pembaca luar dari kelompok rakyat Malaysia ini.
Mungkin bukan untuk dekad ini, ataupun abad ini. Saya tidak kisah.
Saya menulis untuk masa depan. Saya menulis untuk orang-orang kita di hari esok yang barangkali hanya akan kenal nama saya melalui sejarah. Namun ia impian semata-mata. Boleh jadi juga nama saya akan dilupakan dan diabaikan. Adakah ia penting? Entah, saya hanya tahu, saya suka menulis dan akan terus berkarya tanpa henti. Tanpa dorongan dari luar. Satu obsesi yang tiada ubatnya.
Tidakkah ia kedengaran romantis dan indah?
~
Lokman Hakim adalah jurutera awam untuk pelbagai kontraktor pembinaan dari 2007 sehinggalah sekarang. Mengambil jurusan kejuruteraan awam di Universiti Teknologi MARA dari tahun 2005 sehingga 2007. Daripada tahun 2007 sehingga 2011, beliau merupakan seorang pemuzik yang cuba memahami manusia dengan muzik. Kini beliau lebih gemar menonton kelakuan manusia-manusia di kopitiam-kopitiam merata Lembah Klang selaku rujukan untuk penulisan karya-karyanya.
Telah menulis dengan Roman Buku, FIXI, Buku Hitam Press dan Lejen Press setakat ini. Harapan beliau adalah untuk terus-menerus berkarya biar dalam bentuk apa sekalipun, kerana baginya, imaginasi itu tiada batasan langsung.
Novel Selestial boleh dipesan melalui Whatsapp seperti maklumat di bawah.
Cerpen SaiFai Lokman Hakim bertajuk Arca Kehidupan dimuatkan di dalam Antologi Cerpen X-traordinari Imagikata. (Baca Di Sebalik Tabir: Antologi Cerpen X-traordinari Imagikata)
Antologi Cerpen X-traordinari Imagikata boleh dibeli secara atas talian di Bookcafe.com.my.