Laknat: Cerita di Sebalik Tabir

Sempena berlangsungnya Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2016 dan juga kelahiran dua novel SaiFai terbaru terbitan Simptomatik Press, Pena SaiFai telah memutuskan untuk menyiarkan artikel berkaitan dua penulis hebat – Fahmi Mustaffa dan Lokman Hakim sepanjang minggu ini.

Fahmi Mustaffa muncul dengan karya SaiFai terbarunya bertajuk Suatu Hari Nanti Manusia Akan Melupakan Tuhan. (Tag: Minggu Fahmi Mustaffa)

Lokman Hakim pula muncul dengan karya SaiFai bertajuk Selestial. (Tag: Minggu Selestial)

Laknat Cover

Tajuk Buku: Laknat
Pengarang:
Fahmi Mustaffa
Penerbit:
Buku Fixi
Tahun Terbitan:
2015
Halaman: 
258

SINOPSIS

Amar menjadi mangsa liwat abangnya sendiri Ikhwan, walaupun Ikhwan dibesarkan dengan didikan agama. Amar percaya tuhan itu ada, cuma memilih untuk bermusuh dengannya, sebab bagi Amar, tuhan tak pernah ada saat dia meronta.

Sifat bencikan tuhan bercambah bila dia melanjutkan pelajaran, lebih-lebih lagi sejak dia bertemu dengan Professor William Hawking. Atheism dibaja subur dengan sains, semahunya.

Ironinya Amar ditempatkan sebilik dengan Hakim, seorang yang berlatar belakangkan agama. Amar dan Hakim punya dua persamaan, mereka berfikiran terbuka dan mempersoal isu ketuhanan. Walaupun begitu, Amar mempersoal tuhan untuk bermusuh denganNYa, tetapi Hakim bersoal jawab untuk menambah keimanan kepadaNya.

Saat Amar sudah mula ingin berbaik dengan tuhan, konflik berlaku. Semua orang punya pahala, punya dosa, dan punya rahsia!

DI SEBALIK TABIR

Laknat adalah sebuah naskhah yang berselerak.

Kesalahan kebanyakan penulis ba(ha)ru adalah terlalu bercita-cita tinggi sehingga membawa pelbagai tesis dalam satu naskhah dan disimpulkan dengan tergesa-gesa. Perjalanan menulis Laknat bukanlah sebuah perjalanan yang lancar di mana saya mencicip kopi mahal kegemaran di kafe sambil bersandar dan memerhatikan keadaan sekeliling.

Laknat dibina dengan seluruh rasa ingin tahu yang berselerakan di setiap hujung baris naratifnya. Ia terlalu jauh dari sempurna dan tidaklah begitu hodoh saya kira. Mungkin saya bias, tetapi Laknat bagi saya, adalah naskhah yang berselerak. Namun bukankah kecantikan juga wujud dalam selerakan pintu-pintu pertanyaan?

TEMA

Homoseksualiti adalah non-spoken rules di Malaysia. Don’t ask, don’t tell. Ia tidak boleh dibincangkan tanpa diakhirkan dengan sebuah lembah neraka dan diskriminasi. Perkataan LIWAT dan HOMOSEKSUAL pun seringkali bertukar ganti dalam kekeliruan, apalagi perihal seksualiti dan identiti gender.

Ketakutan untuk memahami bertukar menjadi keberanian untuk membenci.

Sepanjang penghasilan novel ini, saya cukup bertuah kerana dikelilingi oleh ramai teman dan sahabat yang menjadikan saya kelihatan sebagai seorang pengarang yang luas ilmu dalam bidang-bidang yang dibincangkan di dalam Laknat. Sebenarnya saya langsung tidak begitu. Menerusi sesi wawancara yang berterusan dan kajian-kajian yang saya lakukan termasuklah bacaan jurnal-jurnal psikologi, saya menulis Laknat dengan harapan ada pembaca yang terganggu dengan kelantangan yang saya sengaja cuitkan.

Saya mahu kita tahu di sebalik tindakan, ada sejarah yang bertulang.

Memandangkan tema homoseksual diangkat seperti ia satu perilaku normal, permulaan Laknat dibina dengan babak-babak rogol yang menjadi pencetus kepada keseluruhan penceritaan di sepanjang Laknat (the first turning point). Watak utama, Amar, sebenarnya adalah ringkasan kepada sifat AMARAH, yang tercetus daripada penderaan seksual secara berterusan ketika dia meningkat remaja.

Penderaan seksual bukanlah isu yang baru, tetapi kerapkali disembunyikan. Saya pernah berjumpa dengan mangsa penderaan seksual di mana dia diajar melakukan onani oleh abangnya ketika berumur 9 tahun sebelum menjadi ketagih untuk terus melakukan onani. Kebanyakan penjenayah yang melakukan hubungan seksual adalah orang yang dikenali mangsa dan pandai memanipulasi.

Ia suatu benda yang normal. Melancap adalah satu benda yang normal, kata mereka.

Hal ini dibuktikan melalui watak Ikhwan, pemangsa yang melakukan penderaan seksual ke atas Amar:

“Abang, ape ni?!”

“Alah, sikit je.”

“Abang, takut. Tak nak, tak naklah!”

“Malam ni je. Alah, jangan takut, Mar, tak sakit pun. Abang buat pelan-pelan.”

– halaman 26, Laknat

Kebanyakan pemangsa dalam penderaan seksual memanipulasikan hubungan baik mereka dengan mangsa. Hal ini memudahkan mereka untuk mengumpan mangsa supaya ‘merestui’ aktiviti seronok yang dilakukan dan menganggapnya sebagai satu kenormalan dalam kehidupan.

Watak Ikhwan adalah seorang abang yang baik, tetapi kalah dengan godaan nafsu dan terus mendatangi Amar hampir setiap malam untuk melampiaskan gelora batinnya. Wataknya yang mendapat pendidikan formal dalam bidang agama tidak langsung menjadi perisai untuk menghalang sifat menderanya kerana agama hanyalah sebuah persalinan yang hanya dipakai ketika menyampaikan cerama agama di surau Jalan Kampung Damai.

Tema homoseksual dan atheism melatari penceritaan Laknat. Watak Amar yang kecewa dengan Tuhan kerana kegagalan Tuhan menyelamatkannya daripada penderaan seksual mula disuburkan dengan perkenalannya dengan Hakim. Hakim adalah sisi berbeza daripada Ikhwan, kerana wataknya tidak ditipikalkan sepeti watak Ikhwan. Menurut Amar:

Sesekali dia rasa senang dengan Hakim, yang tak seperti ustaz halal-haram atau ustaz syurga neraka yang lain. Sedang ada peperangan dan kebuluran, ustaz kita masih berbalah soal status halal Starbucks. Oh ya, dan McD juga!

– halaman 46, Laknat

Membaca Laknat yang berselerak adalah seperti membaca dua naskhah yang berbeza dalam satu buku yang sama. Lima puluh peratus yang pertama buku ini memperdebat keadilan Tuhan dan menyuntik elemen fiksyen sains yang dilakukan oleh Profesor Hawking (SCNT – Somatic Cell Nuclear Transfer), dan lima puluh peratus kandungan kedua Laknat terus membawa esen psikologi dan kriminologi terancang (Multiple Personality Disorder dan Possession Trance).

Walaubagaimanapun, niat saya sememangnya mahu menjadikan Laknat sebagai salah satu thriller gay, juga sebuah mockery kepada kisah percintaan lelaki dan perempuan yang islami melalui babak romantik suami-suami mereka. Dua tema utama dalam Laknat ini kadangkala membuatkan saya begitu gementar untuk menulis (terutama sesi perdebatan Amar dengan kasih-sayang Tuhan) tetapi ia memberi nuansa dan menyokong tesis utama tema novel ini.

GAMBARAN SOSIAL DALAM LAKNAT

Sarcasm is my middle name. Di dalam sebuah pentas bernama fiksyen, saya memilih untuk mengkritik kenormalan yang diamalkan. Masyarakat kampung, sifat menghukum, gaya hidup remaja yang biar papa asal bergaya, serta rakyat yang melarat kerana dasar pemerintah, Laknat adalah naskhah yang berselerak dan saya menggunakan lesen itu untuk terus bermewah-mewah dengan kritikan.

Dalam kalangan orang melayu pun, jemaah solatnya dipisahkan dengan mazhab terbaharu; mazhab politik.

– halaman 23, Laknat

Pada penghujung titi di kawasan tinggalan sawah, sebuah pondok yang dikhaskan untuk mengumpat, akan meriah saat para ibu berkumpul; rata-ratanya membincangkan perihal anak-anak orang yang jahatnya seperti syaitan.

– halaman 23, Laknat

Sudahlah malas bekerja, bila mereka rasa tertindas dan melarat, disalahkan bangsa lain pula! Seolah-olah mereka sudah tua yang hanya ingin ‘bertongkat’ dan ‘dibantu’ setiap masa. Mudah lupa, dan pemalas juga rupa-rupanya.

– halaman 24, Laknat

Hey, anak daramu digendong orang, tertanggal tudung dia, colinya di mana?!

– halaman 24, Laknat

Anak Dara

Pernah sekali rakannya, Mansura, membawa balik seorang teman transgender untuk mengenal agama katanya. Tetapi rakan-rakannya di sana memandang serong, malah ada yang mengucap laknat, kerana kawan Mansura yang digelar Shelly itu, berpakaian wanita dan berkeletah manja… bila dikeji oleh orang agama sendiri, Shelly jadi malu dan benci.

– halaman 37, Laknat

Memang cita-citanya ingin menjadi saintis muslim, tetapi dia bukanlah ustaz halal-haram. Dia juga bukan ustaz syurga-neraka. Baginya, hanya Tuhan yang layak mengelaskan.

– halaman 38, Laknat

Dia tahu kepincangan ilmuan agama kini – saling menyesat dan berbalah, malah ada juga yang menjadikan agama sebagai senjata politik. Tak lupa yang menjual agama untuk keuntungan berganda. Lalu dipasang alunan ayat-ayat suci al-Quran , dijualnya air mineral dengan riba’ semaksimanya.

– halaman 47, Laknat

“…orang nampak kau baik sebab kau pakai serban. Aku boleh beli serban dan celak mata, pakai kasi elok, sekarang jugak orang ingat aku waris nabi.”

– halaman 62, Laknat

…hari ini orang alim belum tentu ada akhlak

– halaman 68, Laknat

…Kau berilmu tapi kau tak beramal. Macam sial!

– halaman 120, Laknat

Berilmu tak beramal

Semoh Jongang tidak mempedulikan sesiapa pun ketika drama tadi sedang berlangsung. Dengan selamba, dia mengambil beberapa ekor ikan kembung dan berlalu pergi. Begitulah Semoh Jongang, kalau tiada mencuri, anaknya akan mati kelaparan di rumah PPRT miliknya

– halaman 127, Laknat

… yang menjadi kegemaran pseudo-hipster yang sebelum menyuap, di-adjust dahulu sudut pinggan mangkuk demi likers-likers di Instagram. Mereka melepak di kafe-kafe terkemuka dengan duit poket pemberian ibu bapa atau pinjaman PTPTN, segelas kopi pahit berharga RM10; perasaan bersalah menjelma setiap kali mereka menyelak wallet nipis mereka

Tetapi mereka berpegang teguh kepada akidah ‘biar papa asal bergaya’, jadi mereka kembali mengukir senyum di bibir. Mereka model sambilan di Instagram Agency, selebriti terkenal di Vine Production juga menjadi tuhan sambilan di Facebook

– halaman 169, Laknat

Begitulah sedikit sebanyak sebahagian subteks makian yang mewarnai naratif dalam Laknat.

MUZIK DALAM  LAKNAT

Saya meminati muzik terlebih dahulu sebelum melibatkan diri dalam dunia penulisan. Selama setahun dua melibatkan diri di show-show pentas, sedikit sebanyak dunia muzik mempengaruhi nuansa penulisan saya. Disebabkan Laknat adalah naskhah pertama saya, sungguh mustahil untuk saya meninggalkan muzik begitu sahaja.

Muzikaliti di dalam Laknat terbahagi kepada dua –- classical, western music dan juga traditional music. Kedua-dua jenis muzik ini merupakan elemen yang berpengaruh kerana di sepanjang proses penulisan Laknat, saya berkarya dengan mencampurkan Mozart (Requiem) dan Noraniza Idris (Hatinya Tak Tahan) untuk mendapatkan satu batu asas kepada lantai muzik Laknat. Mozart, Chopin, sedikit Beethoven (entah kenapa saya tidak menyukai Beethoven) juga pelbagai jenis muzik gamelan jawa menjadi pembina auditory Laknat. Tidak ketinggalan lagu-lagu tradisional Terengganu seperti Ulek Mayang dan lagu Pok Itang Na Na, Pok Kasing Dogo. Ada satu mentera Jawa juga dipersembah di dalam Laknat:

Hong ui la heng

Niat ingsun matek ajiku

Aji petingoengan

Soko ajisoko yen sopo ketiban

 

Jin setan peri prayangan podo

Mati ojo maneh rebaking

Janho manungso ora mati

Amblek sar turune koyo mati

 

Ora pisan pisantangi yen aku

Ora pisan pisantangi yen aku

During hong uilameng!!!

                – halaman 158, Laknat

Saya diganggu beberapa malam menuliskan itu. Tetapi demi watak Estrada, iaitu sejenis Jin Asyik, saya kira barangkali itu adalah satu pengorbanan. I sleep with the lights on ever since for few weeks.

Dari der Holle Rache sehingga ke Ulek Mayang, transisi epistemologi adalah perkara yang cukup sukar untuk saya. Sebagai penulis baru yang masih mentah, saya cuba melukakan semua kudis untuk merasai kesakitan yang mengalir, menukarkan kata-kata kepada bunyi serta menjual roh saya untuk menyiapkan tukangan naskhah ini. Babak possession trance juga dihuraikan dengan jelas apabila watak Alev Gustamov de Souza memberi diagnosis berkenaan dengan penyakit Amar.

PASCA-LAKNAT

Sebenarnya, ada satu bab akhir di dalam Laknat yang sengaja saya hilangkan kerana apabila penceritaan menjadi lengkap, ia membosankan saya. Ini pendapat peribadi saya, dan saya bukanlah ahli akademik dalam penulisan ataupun penulis pakar. Namun saya sendiri yang menentukan takdir naratif dalam Laknat walaupun watak-watak saya mempunyai visi yang berlainan dengan penulisnya.

Saya mahu pembaca mengisi tempat kosong. Ke mana Amar selepas Munirah terbunuh, apa benar Hawking masing hidup serta bagaimana Alev terlepas dari segala kejahatannya? Kadangkala persoalan tidak menuntut jawapan. Mungkin ia sebenarnya adalah segugus penyataan dalam bentuk pertanyaan.

Walau apa pun, Laknat telah mengubah hidup saya secara peribadi. Ia hadir ketika saya benar-benar tersinggung dengan kehidupan, persahabatan, cinta serta penyakit kronik yang dihadapi oleh orang terdekat. Saya syok sendiri menulisnya (seperti kata seorang novelis yang saya tidak tersinggung pun) dan saya harap syok itu berjangkit kepada pembaca.

Jelajah Lejen Fixi Tganu

Di kesempatan yang diberikan oleh Pena Saifai juga, saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada pembaca yang sehingga ke hari ini, semenjak Laknat dilancarkan September 2015, masih menyapa dan bertanyakan soalan di alam maya. Malah saya mendapat jemputan ceramah dan aktivisma LGBT dan gelandangan, juga sesi pengakuan dan bertukar-tukar pengalaman.

Pami Signing

Laknat adalah sebuah novel lucah jika kita ingin membaca novel lucah. Laknat juga adalah sebuah novel islamik jika kita ingin membaca novel islamik. Ia novel thriller jika kita ingin membaca sebuah thriller, ia adalah apa yang anda fikirkan, dan saya terlalu lemah untuk mempunyai kuasa mempengaruhi pemikiran pembaca saya.

Laknat IG

Secara peribadi, Laknat adalah sebuah mesin masa kepada saya. Ia sebuah mesin untuk Fahmi Mustaffa kembali ke masa silam untuk berjumpa dengan Pami yang selalu terfikir apakah cita-citanya untuk menjadi seorang penulis akan berjaya. Naskhah ini saya tulis untuk saya, supaya saya tidak terlalu susah hati, juga sebagai bukti bahawa orang miskin pun boleh bercita-cita tinggi.

Matawang untuk impian adalah usaha.

Saya juga ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada novelis-novelis yang memberi anggapan kasar dan mengutuk naskhah saya. Bertuah, kerana masa yang begitu berharga digunakan untuk berbincang tentang dosa-dosa karya saya, sedangkan dengan modal yang cukup murah, mereka boleh membeli majalah bergambar berwarna-warni dengan artis kegemaran berposing di tepi kolam renang. Atau mungkin boleh muat turun percuma di laman sesawang yang lebih high definition. Tetapi begitulah hidup, ia luas dan perlukan keberanian.

Sudahlah, saya seperti seorang pakcik tua yang membebel sedari tadi. Terima kasih kerana terus menyokong karier saya. Terima kasih kerana membaca dan memahami tesis dalam Laknat .

Hidup, perlukan keberanian.

~

Pami & Hair

Mohd Fahmi bin Jusoh @ Mustaffa menulis dengan nama pena Fahmi Mustaffa. Novel debut beliau, Laknat diterbitkan oleh Buku FIXI pada September 2015. Ia boleh didapati di booth FIXI di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) yang akan berlangsung pada 29 April – 9 Mei 2016 di Malaysia Agro Exposition Park Serdang (MAEPS).

Jelajah Lejen Fixi

Cerpen SaiFai Fahmi Mustaffa bertajuk Pantomim dimuatkan di dalam Antologi Cerpen X-traordinari Imagikata. (Baca Di Sebalik Tabir Imagikata: Pantomim oleh Fahmi Mustaffa).

Pantomim

Imagikata Cover

Antologi Cerpen X-traordinari Imagikata boleh didapati di PBAKL di booth PTS dan juga boleh dibeli secara atas talian di Bookcafe.com.my.

peta-lokasi-klibf

Novel fiksyen sains Fahmi Mustaffa yang pertama bertajuk Suatu Hari Nanti Manusia Akan Melupakan Tuhan diterbitkan oleh Simptomatik Press.Cover SHNMAMTKunjungi reruai Simptomatik Press di Booth A3094 – A3095 (Thukul Bersekutu) di PBAKL untuk mendapatkan buku-buku SaiFai terbaru mereka.Buku Baru Simptomatik Press

Novel Selestial dan Suatu Hari Nanti Manusia Akan Melupakan Tuhan juga boleh dipesan melalui Whatsapp seperti maklumat di bawah.

Promosi Thukul Bersekutu

 

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s