Sempena berlangsungnya Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2016 dan juga kelahiran dua novel SaiFai terbaru terbitan Simptomatik Press, Pena SaiFai telah memutuskan untuk menyiarkan artikel berkaitan dua penulis hebat – Fahmi Mustaffa dan Lokman Hakim sepanjang minggu ini.
Fahmi Mustaffa muncul dengan karya SaiFai terbarunya bertajuk Suatu Hari Nanti Manusia Akan Melupakan Tuhan terbitan Simptomatik Press. (Tag: Minggu Fahmi Mustaffa)
Lokman Hakim pula muncul dengan karya SaiFai bertajuk Selestial, juga di bawah Simptomatik Press. (Tag: Minggu Selestial)
Tajuk Buku: Jepun
Pengarang: Lokman Hakim
Penerbit: Buku Fixi
Tahun Terbitan: 2016
Halaman: 292
SINOPSIS
Perbualan kami berkisar mengenai politik Malaysia, dan Sarah menyatakan keraguan untuk balik ke Malaysia sesudah mendengar pelbagai berita yang kurang baik disebar di media sosial. Ramai juga bekas pelajar di sini yang memilih untuk terus bekerja di Jepun daripada balik ke Malaysia.
Perbualan kami serasanya aneh dan janggal kerana percampuran bahasa yang meluas digunakan secara rawak. Sarah sering kali bertukar bahasa dari Jepun, ke Melayu, ke Inggeris dan Melayu Sarawak. Apabila aku bertutur dengan Halim pula, dalam bahasa Melanau. Ya, dalam perbualan kami bertiga, kami bertutur dalam 5 bahasa sekaligus.
Kesimpulannya, kami masing-masing bersetuju, politik Malaysia kini agak menyedihkan.
DI SEBALIK TABIR
Apabila saya diminta oleh FIXI untuk pergi ke festival-festival muzik yang gah, saya memikir apakah keseronokan yang akan saya perolehi? Saya sedikit risau mengenai cadangan itu, tetapi menerimanya sahaja kerana saya berpendapat seorang penulis yang baik harus berjalan-jalan dan meluaskan pengalamannya.
Lupakan perihal festival muzik itu. Saya hanya mahu berjalan dan menuliskan pengalaman itu selaku satu fiksyen. Mungkin akan ada dua atau tiga lagi fiksyen akan menyusul sesudah naskhah Jepun ini, tetapi biarlah proses penulisannya kekal rahsia.
Saya tidak memikirkan genre untuk Jepun ini. Saya hanya memikirkan apa yang saya mahu tuliskan. Saya menulis pengalaman saya ketika itu, yang masih bergelut menyiapkan beberapa buah manuskrip yang perlu dihantar hujung tahun ini. Maka proses penulisan beberapa buah manuskrip tersebut turut menjadi cerita dan juga watak di dalam naskhah Jepun ini.
Jepun, sebuah travelog, ada unsur travelog tipu, ada unsur fantasi urban dan realiti-realiti alternatif. Ia punya tiga lapis cerita di dalam sebuah cerita. Saya menyelitkan nama Materupty, yang merupakan salah satu projek muzik solo saya ketika saya berusia belasan tahun dan projek muzik tersebut terbengkalai begitu sahaja. Sudahnya, Materupty kini menjadi seorang nabi (kononnya) di dalam dunia tanpa muzik.
Saya mengeksplorasi diri saya – transisi dari seorang pemuzik kepada penulis dalam naskhah ini. Seolah saya mendepani zaman silam saya selaku pemuzik yang tak berjaya dan membentangkan setiap kegagalan itu dalam bentuk yang lebih segar.
Saya mencari diri saya dalam kegagalan demi kegagalan itu dan memberinya perspektif-perspektif baru. Proses ini merupakan terapi buat saya untuk melepaskan diri saya dari cengkaman memori silam itu, kegagalan dalam menubuhkan kumpulan muzik itu dan meraikannya.
Pengalaman-pengalaman pahit juga mampu buat diri tertawa jika kita positif dan belajar menerima hakikat itu.
Saya pergi ke Osaka, dengan bebanan kerja di bahu saya. Saya pergi ke Osaka dengan paranoia – saya harus menulis setiap hari, jika tidak saya akan ditelan raksasa-raksasa jelek yang dahulunya dipanggil inspirasi penulisan yang sentiasa menitipkan idea demi idea. Kedua-dua perkara ini sepatutnya mengekang saya dari keseronokan sebuah perlancongan tetapi saya olahkan kekangan-kekangan ini ke dalam bentuk realiti-realiti alternatif yang simbolik untuk novel Jepun ini. Namun hakikatnya, keseronokan sebuah perlancongan memang tidak dirasakan langsung.
Saya memperkenalkan watak-watak seperti Panda, Melisa, Rogiro dan juga beberapa versi Lokman Hakim dalam bentuk Lha dan Lho. Mereka ini merupakan simbol-simbol kepada pengalaman hidup saya yang terumbang-ambing dalam kemelut kerja seorang jurutera, kemelut cerita-cerita yang tak disiapkan, kemelut pencarian kebahagiaan dalam kehidupan dan banyak lagi konflik yang saya harus hadapi setiap hari.
Jika ditanya, adakah kerja menulis itu satu perkara yang menyeronokkan – jawapannya kabur-kabur. Apa yang saya boleh terangkan di sini adalah penulisan itu merupakan roda kehidupan buat saya. Saya tertekan dengan kehidupan yang mendesak – lalu saya menukilkannya dengan proses kreatif ke dalam bentuk fiksyen – saya gembira apabila naskhah itu diterbitkan. Dan proses ini berulangan lagi dengan cabaran demi cabaran hidup yang saya hadapi.
Saya perlukan depresi itu untuk terus menulis dan barangkali hal inilah yang membuatkan karya-karya saya sentiasa ada sisi gelap yang tak sudah-sudah. Dan saya percaya kegelapan itu memanggil kelompok kecil pembaca yang sukakan karya-karya sebegitu ke dalam ruang pembacaan mereka. Ya, saya hargai kelompok kecil ini. Saya menulis untuk kelompok minoriti dan saya agak berpuas hati dengan sasaran saya.
Novel Jepun ini punya suara-suara yang sentiasa berteriak dalam diri saya, minta diteriakkan kepada audiens, tetapi saya masih waras lagi untuk tidak membogelkan isi-isi teriakan itu. Kerana saya percaya ‘kebebasan bersuara’ itu satu omong kosong, pluraliti beragama itu satu jenaka dan keadilan sosial itu satu impian karut jika dilihat dari realiti kita yang sebenar. Namun suara-suara yang lantang itu tetap juga berteriak dalam naskhah ini. Ia dizahirkan dalam perbualan-perbualan antara saya dengan Halim dan juga rakan-rakannya ketika berada di Osaka ini.
Anda boleh baca pelbagai isu dibualkan tanpa tapisan kerana saya berasa saya telah penat menahan suara-suara yang berteriak itu dari terus terpendam dalam diri saya.
~
Lokman Hakim adalah jurutera awam untuk pelbagai kontraktor pembinaan dari 2007 sehinggalah sekarang. Mengambil jurusan kejuruteraan awam di Universiti Teknologi MARA dari tahun 2005 sehingga 2007. Daripada tahun 2007 sehingga 2011, beliau merupakan seorang pemuzik yang cuba memahami manusia dengan muzik. Kini beliau lebih gemar menonton kelakuan manusia-manusia di kopitiam-kopitiam merata Lembah Klang selaku rujukan untuk penulisan karya-karyanya.
Telah menulis dengan Roman Buku, FIXI, Buku Hitam Press dan Lejen Press setakat ini. Harapan beliau adalah untuk terus-menerus berkarya biar dalam bentuk apa sekalipun, kerana baginya, imaginasi itu tiada batasan langsung.
Novel Jepun boleh didapati di booth FIXI di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) yang akan berlangsung pada 29 April – 9 Mei 2016 di Malaysia Agro Exposition Park Serdang (MAEPS).
Kunjungi reruai Simptomatik Press di Booth A3094 – A3095 (Thukul Bersekutu) di PBAKL untuk mendapatkan buku-buku SaiFai terbaru mereka.
Novel Selestial dan Suatu Hari Nanti Manusia Akan Melupakan Tuhan juga boleh dipesan melalui Whatsapp seperti maklumat di bawah.
Cerpen SaiFai Lokman Hakim bertajuk Arca Kehidupan dimuatkan di dalam Antologi Cerpen X-traordinari Imagikata. (Baca Di Sebalik Tabir: Antologi Cerpen X-traordinari Imagikata)
Antologi Cerpen X-traordinari Imagikata boleh didapati di PBAKL di booth PTS dan juga boleh dibeli secara atas talian di Bookcafe.com.my.
Jangan lepaskan peluang untuk menemui Lokman Hakim di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) pada 6 Mei 2016 jam 4.30 petang, di mana Lokman akan berbicara lebih lanjut tentang novel Simulasi dalam forum “Penerokaan Cerita Sains Fiksyen”. (Baca Minggu Simulasi)