Selestial – Satu Eksperimen Penulisan

Sempena berlangsungnya Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2016 dan juga kelahiran dua novel SaiFai terbaru terbitan Simptomatik Press, Pena SaiFai telah memutuskan untuk menyiarkan artikel berkaitan dua penulis hebat – Fahmi Mustaffa dan Lokman Hakim sepanjang minggu ini.

Fahmi Mustaffa muncul dengan karya SaiFai terbarunya bertajuk Suatu Hari Nanti Manusia Akan Melupakan Tuhan. (Tag: Minggu Fahmi Mustaffa)

Lokman Hakim pula muncul dengan karya SaiFai bertajuk Selestial. (Tag: Minggu Selestial)

Cover Selestial Full

Sinopsis Selestial:

Apabila mereka terkandas di Marikh, ia membangkitkan satu interaksi penting buat manusia dengan kewujudan sarwajagat.

Razali, seorang angkasawan ketika itu, tidak tahu adakah ia satu kecelakaan atau anugerah.

Dua kewujudan berbeza berusaha untuk memahamkan dirinya akan situasi alam semesta mereka. Dan makhluk-makhluk itu, The Things & The Phosphorus, menjelajah zaman silamnya, mengaburi masa depannya dan menghantui nilai-nilai kehidupan manusia melalui otaknya.

D7 Sentul menjadi medan pertembungan fikiran dan falsafah kehidupan yang berbeza nahunya. Selaku manusia, Razali sedar, dia mendepani satu kewujudan yang begitu transendental.

Terlalu transendental, hingga dia meragui kewujudannya sendiri.

Teringat lagi ketika saya memulakan draf pertama untuk menggambarkan idea penulisan untuk naskhah Selestial ini. Ia bermula dengan perbualan aneh-aneh saya dengan adik saya, Abdul Rauf. Kami membicarakan perihal kemungkinan terdapatnya bentuk kehidupan yang duduknya di luar konsep kehidupan yang akal kita dapat terima. Memikirkan perihal isu ini, membuatkan saya cuba mengupasnya dengan lebih mendalam.

Sejauh mana penerimaan kita terdapat kewujudan lain yang jauh berbeza sifatnya dengan kita?

David Bowie Skull

Adakah kita akan mengiktirafnya selaku makhluk bernyawa?

Kita melihat bulan dan kita menganggap tiada apapun yang bernyawa di sana. Ya, betul. Penafsiran sesuatu objek itu, untuk dikira ‘bernyawa’ harus digariskan pada persempadan yang logikal. Jika tiada persempadanan itu, maka, adakah kita dapat melihat seketul batu selaku objek yang kita tiada masalah mencampaknya ke bawah? Layanan kita terdapat sesuatu yang hidup dengan sesuatu yang mati itu sudah pasti berbeza.

Baiklah, itu sedikit ideanya. Pokok pangkal kepada idea-idea yang menyokong karya ini.

Saya berpendapat, memahami satu kewujudan asing memerlukan kita memahami siapa diri kita terlebih dahulu. Maka secara hipotesisnya, sekiranya benarlah makhluk asing mahu berkomunikasi dengan kita, langkah-langkah yang akan diambilnya haruslah dengan menjajah pemikiran manusia secara menyeluruh.

Maka, berlandaskan pemikiran begitu, saya membahagikan penulisan novel ini kepada 6 bahagian utama yakni Enigma 1, Enigma 2, Enigma 3, Solusi 1, Solusi 2 dan juga Solusi 3. Enigma 1 hingga 3, ditulis dengan aturan Fibonacci Sequence.

Fibo

Solusi 1 diceritakan dalam bentuk surat sumpah dan disusuli oleh rentetan jurnal watak utama, Razali. Solusi 2 pula digambarkan dalam bentuk drama manakala penutupnya Solusi 3 ditulis selaku epilog normal.

Setiap bentuk penulisan yang adunkan menjadi cerita ini melambangkan kerawakan seorang manusia yang berbeza sifatnya. Penafsiran setiap individu berbeza-beza, maka kerumitan itu tadi digambarkan oleh format naskhah ini seperti yang dinyatakan di atas.

Mengapa harus sebegitu rumit?

Ia berbolak-balik pada pemahaman kita mengenai makhluk asing itu tadi.

Saya cuba menyampaikan satu perspektif, di mana, kita tidak boleh mencari tamadun di luar kotak fikir kita, selagi kita berpegang pada satu pegangan asas dan menerimanya selaku kebenaran mutlak. Apa yang saya mengerti, adalah:

Semakin jauh kita menerawang angkasa, semakin jauh juga logikal kita menyimpang dari apa yang kita faham. Untuk meneroka angkasa, satu set fikiran yang fleksibel amat diperlukan. Bukan sekadar fikiran sahaja, bahkan kepercayaan kita pada Tuhan. Definisi Tuhan itu sendiri, harus difahami sebaiknya.

Antara persoalan yang dibangkitkan di dalam naskhah ini dan masih memerlukan jawapan adalah seperti berikut:

  1. Mampukah kita mengesan kewujudan kebijaksanaan asing dengan menggunakan konsep falsafah hylozoism?

Kita mendefinisikan sesuatu yang hidup itu dengan meletakkan ciri-ciri yang membentuk hidupan di bumi. Kita mengklasifikasikan setiap planet yang berpotensi untuk mengandungi kehidupan itu serupa atau mirip dengan bumi. Benar, mana mungkin kita melihat batu, debu, angin, sampah, logam dan pelbagai objek itu selaku benda hidup.

Hylozoism tersangat arkaik. Namun idea ini tidak boleh diabaikan dalam penerokaan angkasa. Apabila kita mendepani pelbagai fenomena aneh di angkasa nanti, kita harus menukar juga falsafah kita mengenai kehidupan. Kerana itulah saya pernah berpendapat, orang yang beragama dan percaya pada Tuhan bakal berdepan dengan masalah ketika di angkasa. Isunya di sini adalah fleksibiliti.

Justeru itu, adakah kita betul-betul fleksibel dalam mendefinisikan apa itu hidup dan apa itu mati? Sekiranya jawapannya ya, maka, saya yakin kita berkemampuan menerokai angkasa tanpa melupakan kemanusiaan dalam jiwa kita.

  1. Pegangan akidah sebelum penerokaan angkasa dibuat. Apakah akidah yang sesuai?

Baik. Saya akan menerangkan isu ini secara lebih umum. Saya tidak akan melihat dari aspek agama itu betul, agama itu salah. Tidak, kita harus merenung dari aspek yang lebih luas dari itu.

Bagaimana kita mahu membezakan syurga jika kita tidak kenal syurga? Bagaimana kita mahu membezakan Tuhan dengan ‘makhluk asing’ sekiranya kita tidak kenal Tuhan kita? Ia menguji kefahaman kita mengenai Tuhan itu sendiri.

Karya Selestial ini cuba menampakkan satu sisi kemungkinan penjajahan makhluk asing yang barangkali ramai yang meremehkannya. Manusia adalah makhluk yang kompleks, dibentuk oleh pelbagai aspek untuk membuatkannya ‘manusia’. Bayangkan, makhluk asing itu cuba meneroka kerumitan seorang manusia dan menerokainya secara menyeluruh. Tidakkah ia menggerunkan?

Agama, memori, kelakuan, psikologi, interaksi, pancaindera dan banyak lagi. Untuk memahami manusia, haruslah diterokai perkaitan setiap aspek-aspek ini.

Makhluk asing, itupun jika terma ‘makhluk’ itu masih relevan, barangkali berkeupayaan untuk melangkaui teknologi kita. Saya mendapati, sentiasa ada penemuan demi penemuan baru mengenai angkasa raya yang luas tersebut. Angkasa, merupakan suatu tempat yang menakutkan jika mahu diterokai.

  1. Apa yang terjadi pada alam semesta sebenarnya?

Apa yang kita tatap di langit selama ini hanyalah ‘observable universe’. Ia merupakan sejarah yang tidak kita ketahui masa kini. Apa yang kita tonton itu benda yang sudah berjutaan tahun cahaya hayatnya barangkali.

jupiter

Kita tak tahu, adakah alam semesta kita sedang menuju kehancuran atau sedang mengembang. Kita tak tahu, bilakah galaksi Bima Sakti akan bertembung dengan galaksi lain. Kita tak tahu, bilakah lohong hitam akan terbit di sistem suria kita. Mengapa kita tak tahu? Kerana apa yang kita tatap itu bukanlah realiti kini tetapi satu paparan sejarah.

Black Hole

Stephen Baxter pernah mengemukakan teori planetarium dalam novel sains fiksyennya. Pada hemah saya, idea ini boleh jadi benar. Selagi kita tidak mampu melihat lebih dari persempadanan ‘observable universe’ ini tadi, kita tidak akan mampu berinteraksi dengan kebijaksanaan lain di luar sana.

Mereka melihat kita selaku bangsa yang kuno dan tidak wajar digauli. Ia menakutkan, kerana kita tidak sedar kita diperhati. Kita tidak sedar akan hakikat yang berlaku kepada diri kita itu dari perspektif angkasaraya nan luas. Kita tidak dapat meneka bilakah bencana dari angkasa akan muncul. Laksana dikelilingi musuh dalam gelap, yang kita tahu ada di mana-mana. Kita meraba, menggigil ketakutan dan juga hanya mampu mengharap, musuh-musuh itu tidak menganggap kita selaku ancaman buat mereka.

Malangnya, penerokaan angkasa memerlukan modal yang banyak dan barangkali tidak berbaloi dari segi ekonomi. Ya, benar, selagi kita tidak tahu akan kebahayaan apa yang menanti dalam gelap sarwajagat, mengapa harus takut? Boleh jadi juga, tiada kebahayaan langsung.

Akhir kata dari saya, sekiranya kita tidak memahami matematik selestial yang sebenarnya, kita tidak layak mendabik dada di bumi Tuhan ini. Kita tidak layak menanam rasa angkuh itu, kerana kita tidak faham siapa kita di angkasa nan luas ini.

Dapatkanlah naskhah Selestial ini sekiranya mahu memahami aspek kewujudan makhluk asing dari aspek falsafah dan teori-teori statistikal secara puitis. Semoga ia bermanfaat biarpun ia sekadar sebuah fiksyen. Dan saya percaya dalam fiksyen sentiasa ada kebenarannya – kebenaran individual yang dipegang setiap seorang manusia tadi.

~

0 Profile Lokman

Lokman Hakim adalah jurutera awam untuk pelbagai kontraktor pembinaan dari 2007 sehinggalah sekarang. Mengambil jurusan kejuruteraan awam di Universiti Teknologi MARA dari tahun 2005 sehingga 2007. Daripada tahun 2007 sehingga 2011, beliau merupakan seorang pemuzik yang cuba memahami manusia dengan muzik. Kini beliau lebih gemar menonton kelakuan manusia-manusia di kopitiam-kopitiam merata Lembah Klang selaku rujukan untuk penulisan karya-karyanya. 

Telah menulis dengan Roman Buku, FIXI, Buku Hitam Press dan Lejen Press setakat ini. Harapan beliau adalah untuk terus-menerus berkarya biar dalam bentuk apa sekalipun, kerana baginya, imaginasi itu tiada batasan langsung.

Kunjungi reruai Simptomatik Press di Booth A3094 – A3095 (Thukul Bersekutu) di PBAKL untuk mendapatkan buku-buku SaiFai terbaru mereka.

Buku Baru Simptomatik Press

Novel Selestial dan Suatu Hari Nanti Manusia Akan Melupakan Tuhan juga boleh dipesan melalui Whatsapp seperti maklumat di bawah.

Promosi Thukul Bersekutu

Cerpen SaiFai Lokman Hakim bertajuk Arca Kehidupan dimuatkan di dalam Antologi Cerpen X-traordinari Imagikata. (Baca Di Sebalik Tabir: Antologi Cerpen X-traordinari Imagikata)

Imagikata Cover

Antologi Cerpen X-traordinari Imagikata boleh didapati di PBAKL di booth PTS dan juga boleh dibeli secara atas talian di Bookcafe.com.my.

peta-lokasi-klibf

Jangan lepaskan peluang untuk menemui Lokman Hakim di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) pada 6 Mei 2016 jam 4.30 petang, di mana Lokman akan berbicara lebih lanjut tentang novel Simulasi dalam forum “Penerokaan Cerita Sains Fiksyen”. (Baca Minggu Simulasi)

Poster PTS - Simulasi

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s