Kuda, Kucing dan Fiksyen Sains

Sempena berlangsungnya Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2016 dan juga kelahiran dua novel fiksyen sains terbaru terbitan Simptomatik Press, Pena SaiFai telah memutuskan untuk menyiarkan artikel berkaitan dua penulis hebat – Fahmi Mustaffa dan Lokman Hakim sepanjang minggu ini.

Fahmi Mustaffa muncul dengan karya fiksyen sains terbarunya bertajuk Suatu Hari Nanti Manusia Akan Melupakan Tuhan. (Tag: Minggu Fahmi Mustaffa)

Lokman Hakim pula muncul dengan karya fiksyen sains bertajuk Selestial. (Tag: Minggu Selestial)

I – Tentang seekor kuda

Berlari sekencang taufan, menemukan kebebasan.

Seekor kuda yang selalu terikat tidak akan memahami kekuatan, apalagi melihat keindahan di sebalik pagar sebuah bangsal yang semakin usang dan reput. Ia tidak akan mampu bertanding dengan angin kencang, juga tidak mampu untuk merasai dingin anak sungai yang mengalir ke hilir lembah setelah berpuasan mengunyah tumbuhan liar dan kekacang yang tersisa setelah tupai berlari kekenyangan.

Ia tidak mampu berlari sekencang taufan dan menemukan kebebasan.

Seekor kuda harus dibiar meliar. Ia perlu menjadi diri sendiri tanpa sibuk bertanding siapa yang paling asli, juga siapa yang menjadi pesaing terhebat. Ekornya yang seperti rambut perawan yang terikat harus dibiar bertembangan dicumbui bayu bertalu-talu. Otot kakinya perlu digunakan selalu supaya tidak menjadi lesu. Badannya yang perkasa harus dibakar jemala suria supaya terjana tenaga yang bersembunyi di celah-celah lapis otot kemahuan dan kekhuatiran.

Ia harus dibiarkan berlari sekencang taufan untuk menemukan kebebasan.

Tetapi kini kuda itu katanya harus dilindung, kalau tidak ia akan menjadi ikan yang terapung-apung. Kuda harus ditambat, diikat dan dijaga ketat-ketat. Kuda adalah binatang liar, kata mereka. Ia akan berlari dan tidak akan pulang kembali. Jadi setiap pagi dan petang, setiap siang dan malam, mereka akan mengikat kuda itu dan berharap bahawa pada suatu masa nanti, kuda itu akan tiba-tiba mendapat kekuatan dan kecerdasan untuk hidup sendirian di dalam hutan tebal yang maha bahaya.

Bebaskanlah kuda itu!

Kuda tidak harus dibiarkan terikat ketat dan terpijak oleh paksaan dan kurungan. Ia tidak akan tiba-tiba menjadi gila babi (kerana ia seekor kuda) dan tidak pula kuda itu tiba-tiba menjadi berang. Kuda harus dibiarkan mencumbui mentari dan menari di sebuah padang yang luas sambil didondang ilalang yang ralit meratib nama tuhan. Ia perlu mandiri dengan nadi pembebasan seperti bahang mentari yang tidak terkongkong. Barangkali ia seekor binatang, justeru ia memerlukan manusia. Manusia perlu menjadi penunggang dan kawan kepada kuda, bukan polis moral dan penguatkuasa yang hanya tahu bersurah binari dan mengurung kuda membabi-buta. Seekor kuda akan cemerlang jika seorang manusia tahu mengawalnya dan membiarkan sifat alami seekor kuda untuk berlari sekencang angin dan menemukan kebebasan.

Begitulah fiksyen sains.

II – Kucing saya

Ketika saya masih kecil, saya suka membela kucing. Kucing pertama saya bernama Chipmunks. Ia seekor kucing yang aneh: tiba-tiba sahaja kucing ini tidur di atas katil saya (entah bagaimana dia menyelinap masuk) dan secara senyap, saya membiarkan. Saya rasa, ia suka saya.

Dan saya terus bela.

Ia seekor kucing yang jinak. Saya membelanya selama beberapa tahun sehingga kucing itu besar dan mengandung – empat ekor jumlah anaknya. Keadaan mula berubah. Rumah tiba-tiba berbau busuk dengan najis. Mak saya cakap, kucing perlu digosok bontotnya kepada tanah supaya ia tahu, ia perlu berak di atas tanah, bukan pada sofa di ruang tamu.

Saya menggeselkan bontot kucing pada tanah selama beberapa hari. Ia masih berak di atas sofa.

Saya masih ingat hari itu – mahu tidak mahu, saya dipaksa untuk membuang Chipmunks dan anak-anaknya. Sebelum membuang, ada seseorang yang mengajar saya supaya menyapu Minyak Cap Kapak pada hidung Chipmunks supaya ia takkan mampu mencari jalan pulang.

Tidak berhasil.

Petua kedua adalah menyapu belacan. Saya bakar sekeping belacan dan menyapunya berkali-kali sehingga Chipmunks mengiau. Saya rasa ia menangis. Tetapi ia mengiau. Barangkali itulah sebuah bahasa tangis di dalam dunia kucing, tetapi saya terlalu jahat dan bodoh untuk memahami.

Saya tinggalkan kucing yang tiba-tiba mencintai saya itu di dalam sebuah kotak di tepi pasar ikan. Saya tidak akan pernah melupakan wajahnya yang merayu-rayu supaya dibawa pulang, tetapi saya adalah manusia terkejam dan takut pada suruhan. Saya tinggalkan ia dalam kelaparan dengan hidung yang barangkali sudah rosak untuk menghidu dan mencari makanan.

Setiap malam, ia datang kepada saya dalam mimpi, menyayangi saya seperti saya sudah terbogel dari dosa. Begitulah fiksyen sains.

III – Peribadi

Tahun lepas saya mula menyelongkar kembali genre fiksyen sains, bukan kerana saya mahu terbitkan sebuah karya bergenre sebegitu, tidak lain hanyalah untuk menjadi seekor kuda dan kucing di dalam sebuah kotak. Saya mahu berlari bebas dan memilih untuk terus menyayangi.

Beberapa naskhah fiksyen sains bahasa Inggeris dan bahasa Melayu telah layak menjadi penanda aras bahawa genre sebegini sudah berkembang sezaman dengan perkembangan sains dan teknologi. Barangkali, bolehlah jika saya katakan bahawa The Epic of Gilgamesh yang ditulis pada 2000 tahun sebelum masihi merupakan karya susastera pertama fiksyen sains; menyentuh perihal kelahiran manusia dan pemanipulasian masa.

The Epic of Gilgamesh

Walaubagaimanapun, bukanlah saya ingin mencadangkan naskhah fiksyen sains dicorakkan oleh kerangka epik itu kerana seni itu sifatnya progresif –

dan kita seharusnya perlu berhenti memeluk mayat, sekarang.

leksikon ledang

Secara peribadi, saya berpendapat bahawa Leksikon Ledang adalah naskhah yang sepatutnya diraikan dengan lebih gilang-gemilang pada tahun lepas kerana naskhah ini sudah berhenti memeluk mayat. Ia naskhah yang bergerak ke hadapan dan progresif, dan bukanlah sebuah karya sastera bosan yang bergenang dalam lopak air serupa sambil mengharap penerimaan yang berbeza.

Karya Fadli Al-Akiti dan Nor Azida Ishak ini wajar diangkat dan dibincangkan secara meluas dalam dunia kepengarangan yang dipenuhi dengan pelbagai jenis kurungan yang menambat seekor kuda di dalam sebuah bangsal. Fiksyen sains sebegini membawa saya membaca kembali Sulalatus Salatin dan mengkaji dari kulit ke kulit untuk memerah esen yang cuba disampaikan oleh pengarang.

Meneladani karya fiksyen sains tempatan adalah seperti membuka ikatan dan membiarkan kuda itu berlari sekencang angin, menemukan kebebasan. Walaubagaimanapun, kerangka fiksyen sains negara perlu lebih rancak bermain dengan nilai sarwajagat tanpa mengabaikan nilai ketimuran dengan pendekatan yang tidak membosankan.

IV – Fiksyen sains adalah sains

Fiksyen sains adalah sains.

Tentulah mengikut sejarah, dunia fiksyen bermula dahulu sebelum kerancakan sains. Karya Ibn al-Nafis iaitu Theologus Autodidactus (pada abad ke-13), True History oleh Lucian dan The Epic of Gilgamesh itu sendiri membina lantai kukuh untuk perkembangan fiksyen sains yang didukung oleh pelbagai sub-genre seperti cyberpunk, pengembaraan masa, sejarah alternatif dan beberapa puluh subgenre lain yang kian berkembang. Tetapi, tugas sebenar kita bukanlah untuk menyuai padan, melainkan terus mencabar keperdanaan karya masa kini dan mencipta zaman kita sendiri dengan kerangka ba(ha)ru yang lebih berani dan progresif.

Melakukan perkara yang sama sambil mengharapkan kesan yang berbeza adalah kerja gila.

Pengarang fiksyen sains harus menjadi seorang saintis. Rukun pertama untuk menjadi seorang saintis adalah mudah – melakukan pemerhatian dan bertanyakan soalan. Fiksyen sains yang dibina tanpa pemerhatian rinci kepada persoalan-persoalan kehidupan akan dilantai longgar oleh kandungan karya itu sendiri. Kerana seorang penulis adalah raja kepada kerajaan ideanya sendiri, ia tidak hanya perlu memerintah, tetapi perlu mencari kaedah pemerintahan yang paling progresif untuk membina, malah mendahului zamannya.

gugurnya azazil

Hal ini telah berjaya dibuktikan oleh Fadli Al-Akiti dalam novel beliau berjudul Gugurnya Azazil yang berlari sekencang angin, menemukan kebebasan, dalam latar masa dan isi kandungan novel beliau. Fiksyen sains seperti inilah yang layak digelar sains, malah berjaya membawa persoalan falsafah di dalam pengakhiran ranting penceritaan.

Kuda telah berjaya menari-nari di lereng sebuah bukit sambil ilalang ralit meratib!

Di dalam sebuah kerajaan idea, kata-kata menjadi sebuah benteng yang membina perjalanan sebuah cerita. Ruang di dalam sebuah rumah adalah makna di antara dua baris yang tertulis. Seorang raja perlu menjauhi pemerintahan klise dengan membina sistem pertahanan yang kuat supaya tidak terikut oleh mana-mana acuan yang mendatang. Naskhah fiksyen sains harus berani melawan penindasan dan menjadi zeitgeist, serta membangunkan radas dan rukun sains dalam suasana yang menghargai keindahan bahasa yang tidak kaku dan jumud. (Baca SaiFai Mencerminkan Semangat Zaman)

Tidak perlu takut kepada polis. Selamat berkarya, dan majulah fiksyen sains untuk negara!

~

Pami & Jambatan

Mohd Fahmi bin Jusoh @ Mustaffa menulis dengan nama pena Fahmi Mustaffa. Novel debut beliau, Laknat diterbitkan oleh Buku FIXI pada September 2015. 

Laknat boleh didapati di booth FIXI di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) yang akan berlangsung pada 29 April – 9 Mei 2016 di Malaysia Agro Exposition Park Serdang (MAEPS).

Jelajah Lejen Fixi

Cerpen fiksyen sains Fahmi Mustaffa bertajuk Pantomim dimuatkan di dalam Antologi Cerpen X-traordinari Imagikata. (Baca Di Sebalik Tabir Imagikata: Pantomim oleh Fahmi Mustaffa).

Pantomim

Imagikata Cover

Antologi Cerpen X-traordinari Imagikata boleh didapati di PBAKL di booth PTS dan juga boleh dibeli secara atas talian di Bookcafe.com.my.

peta-lokasi-klibf

Kunjungi reruai Simptomatik Press di Booth A3094 – A3095 (Thukul Bersekutu) di PBAKL untuk mendapatkan buku-buku fiksyen sains terbaru mereka.

Buku Baru Simptomatik Press

Novel Selestial dan Suatu Hari Nanti Manusia Akan Melupakan Tuhan juga boleh dipesan melalui Whatsapp seperti maklumat di bawah.

Promosi Thukul Bersekutu

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s