Sempena berlangsungnya Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2016 dan juga kelahiran dua novel SaiFai terbaru terbitan Simptomatik Press, Pena SaiFai telah memutuskan untuk menyiarkan artikel berkaitan dua penulis hebat – Fahmi Mustaffa dan Lokman Hakim sepanjang minggu ini.
Fahmi Mustaffa muncul dengan karya SaiFai terbarunya bertajuk Suatu Hari Nanti Manusia Akan Melupakan Tuhan. (Tag: Minggu Fahmi Mustaffa)
Lokman Hakim pula muncul dengan karya SaiFai bertajuk Selestial. (Tag: Minggu Selestial)
Ikuti sambungan sesi bual bicara bersama penulis prolifik, Lokman Hakim tentang novel SaiFai terbarunya, Selestial terbitan Simptomatik Press. (Baca Bahagian 1 di sini)
Sinopsis Selestial:
Apabila mereka terkandas di Marikh, ia membangkitkan satu interaksi penting buat manusia dengan kewujudan sarwajagat.
Razali, seorang angkasawan ketika itu, tidak tahu adakah ia satu kecelakaan atau anugerah.
Dua kewujudan berbeza berusaha untuk memahamkan dirinya akan situasi alam semesta mereka. Dan makhluk-makhluk itu, The Things & The Phosphorus, menjelajah zaman silamnya, mengaburi masa depannya dan menghantui nilai-nilai kehidupan manusia melalui otaknya.
D7 Sentul menjadi medan pertembungan fikiran dan falsafah kehidupan yang berbeza nahunya. Selaku manusia, Razali sedar, dia mendepani satu kewujudan yang begitu transendental.
Terlalu transendental, hingga dia meragui kewujudannya sendiri.
Lokman memisahkan novel ini kepada tiga bahagian menggunakan konsep berikut:
- Enigma 1 – Seorang Tua Bernama Kompleksiti
(Sekumpulan angkasawan jatuh ke dalam gaung. Diserang ribut Marikh yang ganas. Kumpulan itu diheret seorang demi seorang ke dalam gua oleh sejenis makhluk asing. Penghuni Marikh, yang dikenali selaku The Phosphorus, atau The Martian. Satu penerokaan minda secara paksa, atau penjajahan menyeluruh ke atas setiap seorang angkasawan itu berlaku. Maka di sini, naratifnya kejung, suatu percubaan The Phosphorus untuk memahami manusia, secara psikologikal)
- Enigma 2 – D8 Sentul Yang Tak Wujud
(Razali, bekas angkasawan, salah seorang yang terselamat dari tragedi yang berlaku di Marikh, sedang membuat perundingan agar pengalamannya itu dikaryakan, menjadi karya sastera yang mampan dan sarat fakta-fakta sainsnya. Namun benarkah, insiden di bangunan D7 Sentul ini pernah terjadi? Atau sekadar simulasi realiti yang digubah The Things?)
- Enigma 3 – Pemburuan
(Berbalik kepada insiden kemalangan di Marikh, di mana kelompok angkasawan tadi, terperangkap dalam permainan The Phosphorus. Razali, salah seorang manusia yang terselamat, harus membuat perundingan dengan The Phosphorus untuk memastikan jasadnya tidak dijajah seperti rakan-rakannya yang lain. Razali menceritakan perspektifnya ketika perundingan berlaku dan rentetan peristiwa yang menyusul ke atas komuniti Space X2 di Marikh sesudah itu)
Apakah yang ingin Lokman tunjukkan (atau mudahkan) kepada pembaca dengan konsep pemisahan seperti ini? Terangkanlah serba sedikit mengenai ketiga-tiga Enigma ini.
Jika dilihat, ketiga-tiga Enigma ini berbeza latarnya. Saya mahu menggambarkan satu keadaan di mana, makhluk asing tadi, mahu meneroka setiap bibit kehidupan yang pernah dilalui oleh Razali. Pendek kata, Enigma I menggambarkan waktu ketika penjajahan pertama makhluk asing berlaku. Enigma II pula menggambarkan waktu sesudah penjajahan berlaku. Dan Enigma III pula menggambarkan situasi sebelum dan selepas Enigma I berlaku. Jika hendak ketahui ceritanya, dapatkanlah naskhah ini ya.
Untuk membuatkan proses penulisannya lebih menarik, saya telah mengaplikasikan Fibonacci Sequence ke dalam pembentukan ketiga-tiga enigma tersebut.
Mengapa Fibonacci Sequence dipilih?
Baik, selaku seorang penulis yang menulis tanpa henti, dan untuk makluman, Selestial merupakan manuskrip saya yang ke-15. Bagaimana saya boleh menulis tanpa henti, tanpa sebarang alterasi ke atas kaedah penulisan saya? Selaku manusia, saya memerlukan pembaharuan ke atas teknik penulisan dan kaedah. Tujuannya, hanyalah untuk membunuh kebosanan dan juga kelesuan menaip tanpa henti. Setiap teknik baru akan membuatkan proses penulisan sentiasa segar tanpa memerlukan rehat yang banyak.
Bagaimana saya aplikasikan Fibonacci Sequence ke dalam pembentukan novel ini?
Lihat jujukan ini:
0, 1, 1, 2, 3, 5, 8, 13
Ataupun boleh digunapakai dari jujukan berikut:
1, 1, 2, 3, 5, 8, 13
Baik, saya buangkan nombor 13 kerana saya hanya punya 8 bab maksimum untuk setiap bahagian. Enigma 1 punya 6 bab, Enigma 2 punya 8 bab manakala Enigma 3 pula, punya 8 bab juga. Saya menaip bab demi bab untuk ketiga-tiga enigma ini dengan menggunakan Fibonacci Sequence seperti berikut.
Jika dilihat dengan teliti, terdapat 7 pergerakan kesemuanya. Hanya 3 pergerakan (garis merah, biru dan hitam) sahaja menuruti Fibonacci Sequence, manakala 4 pergerakan lagi ditulis secara rawak.
Ia tidak membawa sebarang makna khusus, hanya saya mahu mempelbagaikan kaedah penulisan sahaja. Namun jika anda percaya saya menyimpan rahsianya, maka haruslah ia kekal rahsia.
Pembacaan untuk novel Selestial jadi tambah menarik bila Lokman memasukkan teknik penulisan menggunakan surat akuan bersumpah, catatan-catatan diari, serta debat antara watak menggunakan konsep teater atau pementasan. Rujuk sedutan babak pementasan seperti berikut:
WATAK-WATAK
- Razali (Bekas angkasawan ke Marikh)
- Puan Saodah (Usahawan wanita berjaya)
- Puan Raudah (Seorang wanita misteri, menjadi subjek kepada The Things, panel 1)
- Krishnan (The Things, panel 2)
- Mitchelle (The Things, panel 3)
- The Phosphorus (dalam bentuk seorang nenek, panel 4)
- Jessie Borgues (Moderator)
- Umberto Fermi (penonton 1, disyaki manusia)
- Mariah Seager (penonton 2, disyaki manusia)
- Sumiyarti (penonton 3, bekas angkasawan ke Marikh, disyaki The Phosphorus juga)
- Saiful Ahzim (penonton 4, bekas polis penyiasat)
BABAK
Tirai terbuka. Tiga buah platform yang cukup-cukup untuk memuatkan moderator,seorang panel manusia (dalam kandang), dan juga tiga orang panel makhluk asing (The Things & juga The Phosphorus) kelihatan. Enam orang penonton, termasuk Razali duduk di atas kerusi yang sengaja disusun dalam 5 baris dan 10 lajur. Kerusi-kerusi kosong yang lain diletakkan boneka yang sengaja dilukis kasar mukanya dengan pen dakwat hitam. Kedengaran muzik latar klasikal gubahan Rachmaninoff mengiringi video rakaman lohong hitam yang banyak dan luas diameternya sedang menelan jasad-jasad selestial di merata alam semesta. Ia kedengaran dramatik, videonya traumatik.
Mengapa Lokman meletakkan kelainan seperti ini? Adakah semua ini sudah dirancang sedari awal di dalam plot, atau ilham lahir secara natural semasa sedang menulis?
Sejujurnya, saya mendapat ilham untuk membentuk kaedah penulisan begini sesudah menyertai acara bedah karya Soneta Roda Basikal karya Wan Nor Azriq dan juga bedah karya Brazil karya Ridhwan Saidi. Saya tertarik dengan idea avant garde tersebut.
Saya nampak perkaitannya dengan keperluan memahami manusia melalui sastera (seni khususnya). Kesenian itu merupakan satu aspek yang membuatkan manusia itu manusia. Maka, untuk makhluk asing memahami manusia, mereka haruslah menyelami setiap bentuk seni tersebut, dan ia digambarkan melalui format surat akuan bersumpah, catatan-catatan diari, serta debat antara watak menggunakan konsep teater atau pementasan.
Di dalam novel Selestial ini juga, Lokman mewujudkan bahagian Solusi yakni Solusi I, Solusi II (Debat Antara Kewujudan) dan Solusi III (Nihil Fit Ex Nihilo – Tiada Yang Datang Dari Ketiadaan).
Berikut adalah sedutan dari Solusi III:
Jurnal yang diakhiri dengan skrip drama tersebut ditutup. Aku berharap agar doktor tidak meneruskan sesi terapi ini. Bagiku ini pengalaman aneh, kerana aku dibiarkan bercakap semahu hatiku. Aku membacakan jurnal ini kepadanya tanpa sebarang komen daripadanya. Aku bacakan juga skrip drama yang aku garap itu dan masih juga tiada apa-apa yang menarik perhatiannya. Doktor ini kelihatan seperti robot yang kaku ekspresi wajahnya.
“Panpsychism. Apa yang awak faham mengenai panpsychism? Dalam naskhah skrip drama itu, awak tak jelaskan perihal panpsychism tadi.”
Mengapa Lokman memilih untuk mewujudkan sehingga tiga solusi di dalam satu kisah sebegini? Adakah kerana tema Selestial itu sendiri yang luas, atau kerana Lokman ingin memastikan bahawa pembaca mendapat satu penyelesaian (atau kepuasan) yang benar-benar setimpal dengan kerumitan novel ini?
Benar, tema Selestial itu sendiri memang luas. Bahkan teori-teori kewujudan makhluk asing yang dikemukakan di dalam ini masih agak longgar. Terlalu banyak parameter yang perlu diambil-kira tetapi tidak dapat dimasukkan kerana tidak ditemukan lagi signifikannya pada kajian.
Saya berpendapat, ketiga-tiga enigma itu haruslah dilengkapi jawapannya dengan ketiga-tiga solusi juga. Bertolak dari itulah wujudnya ketiga-tiga solusi itu tadi.
Solusi-solusi ini menyelesaikan kerumitan kaedah The Things & The Phosphorus itu dalam menjajah manusia secara menyeluruh tadi.
Soalan terakhir! Sudilah kiranya Lokman berkongsikan sedikit harapan dan feedback yang Lokman mahukan daripada para pembaca sesudah mereka membaca Selestial.
Susahnya. Saya tidak mengharap apa-apapun dari pembaca yang saya ketahui dari awal lagi, memang pelbagai kerenah dan juga kecenderungannya. Walau bagaimanapun, saya berharap pembaca kita tahu, karya saifai sebegini wujud dalam sejarah industri buku kita. Saya berharap, sesudah ini, pembaca kita akan cenderung mengasah pemikiran mereka sebelum membaca karya-karya fiksyen sebegini. Membaca sepatutnya membuatkan kita lebih terbuka dan lebih bijak bukan?
~
Lokman Hakim adalah jurutera awam untuk pelbagai kontraktor pembinaan dari 2007 sehinggalah sekarang. Mengambil jurusan kejuruteraan awam di Universiti Teknologi MARA dari tahun 2005 sehingga 2007. Daripada tahun 2007 sehingga 2011, beliau merupakan seorang pemuzik yang cuba memahami manusia dengan muzik. Kini beliau lebih gemar menonton kelakuan manusia-manusia di kopitiam-kopitiam merata Lembah Klang selaku rujukan untuk penulisan karya-karyanya.
Telah menulis dengan Roman Buku, FIXI, Buku Hitam Press dan Lejen Press setakat ini. Harapan beliau adalah untuk terus-menerus berkarya biar dalam bentuk apa sekalipun, kerana baginya, imaginasi itu tiada batasan langsung.
Kunjungi reruai Simptomatik Press di Booth A3094 – A3095 (Thukul Bersekutu) di PBAKL untuk mendapatkan buku-buku SaiFai terbaru mereka.
Cerpen SaiFai Lokman Hakim bertajuk Arca Kehidupan dimuatkan di dalam Antologi Cerpen X-traordinari Imagikata. (Baca Di Sebalik Tabir: Antologi Cerpen X-traordinari Imagikata)
Antologi Cerpen X-traordinari Imagikata boleh didapati di PBAKL di booth PTS dan juga boleh dibeli secara atas talian di Bookcafe.com.my.
Jangan lepaskan peluang untuk menemui Lokman Hakim di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) pada 6 Mei 2016 jam 4.30 petang, di mana Lokman akan berbicara lebih lanjut tentang novel Simulasi dalam forum “Penerokaan Cerita Sains Fiksyen”. (Baca Minggu Simulasi)