Wawancara Bersama Ahmad Patria Abdullah

Pena SaiFai berasa cukup bertuah kerana berpeluang mewawancara penulis fantasi dan cereka sains tersohor di Malaysia, Ahmad Patria Abdullah.

0 Profile

Berikut disertakan biodata beliau:

Ahmad Patria adalah anak sulung kepada Sasterawan Negara, Dato’ Abdullah Hussain. Novel pertama beliau, Permata Aurorius, buku pertama dalam siri fantasi Saga Artakusiad, diterbitkan pada 1987, sewaktu beliau berumur 17 tahun. Novel ini terpilih sebagai novel remaja terbaik oleh Majlis Kemajuan Buku Kebangsaan dan disifatkan sebagai novel fantasi terbaik pernah dihasilkan dalam bahasa Melayu (Johan Jaafar, Berita Harian).

Ahmad Patria telah menghasilkan sembilan buah novel dan kini sedang menulis buku kedua dalam siri fantasi terbarunya, Kronika Nashan. Beliau adalah seorang Ahli Farmasi, sudah berkeluarga dan kini menetap di Seremban, Negeri Sembilan.

Awal pembabitan penulisan abang, abang sebenarnya amat mesra dengan penulisan fantasi dan juga fiksyen sains, namun sekarang, abang jelas lebih menekuni fantasi (cerpen yang dikirimkan kepada DS juga bertema fantasi), adakah ini disebabkan abang lebih selesa dengan fantasi (menyelesaikan Saga Artakusiad) atau ada faktor lain?

Alhamdulillah, Permata Aurorius, novel pertama saya yang diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (terima kasih Dewan Bahasa dan Pustaka, terima kasih, terima kasih) pada tahun 1987, adalah sebuah novel fantasi. Maka pembabitan saya di dalam dunia penulisan bermula dengan genre berkenaan. Pada waktu itu, belum ada yang menulis sepertinya dalam suasana kesusasteraan tanahair, sehingga saya dianggap sebagai pengasas genre fantasi Malaysia dengan kemunculan Permata Aurorius, yang diikuti oleh novel kedua Saga Artakusiad iaitu Kota Arialun, juga pada tahun yang berikutnya. Yang demikian itu sejarah membuktikan bahawa genre fantasi senantiasa menjadi pilihan saya mendahului yang lain.

Saga Artakusiad 2010

Barangkali ini adalah kerana asal saya sebagai peminat genre berkenaan. Sehingga ke hari ini, novel yang paling mengesankan adalah Lord of the Rings karya JRR Tolkien. Saya pertama kali membacanya pada tahun 1978 dan sehingga ke hari ini, saya masih membacanya, sekali-sekala, apabila ada waktu terluang.

Namun saya tidak juga mengabaikan fiksyen sains, masih menulisnya untuk peminat. Perang Bayang, karya terbaru saya, adalah dari genre tersebut.

Abang pernah menulis siri cerpen berkait, AMUK, bermula tersiar bulan Mei 1993 dalam majalah Dewan Kosmik. Siri itu bolehlah dikatakan sebuah opera angkasa atau tema penjelajahan/perisikan angkasa yang serius ditulis di Malaysia. Apakah sumber inspirasi abang sewaktu memulakannya?

Amuk

Sumber inspirasi saya tentunya opera angkasa Star Wars karya George Lucas, yang menggegarkan dunia kanak-kanak saya. Juga novel perisikan dan espionaj yang menjadi kegemaran saya sejak dari kecil, seperti Moscow Rules oleh Robert Moss, The Cardinal of the Kremlin oleh Tom Clancy dan Firefox oleh Craig Thomas.

Barangkali sukar dipercayai, tetapi saya memulakan pembacaan novel berat pada usia yang sangat muda. Pada usia 12 tahun, saya sudah pun membaca The Rising Sun : The Decline and Fall of the Japanese Empire karya John Toland yang memenangi anugerah Pulitzer, sebuah buku berbahasa Inggeris setebal 976 muka surat. Bayangkanlah! Seorang anak Melayu yang masih belajar dalam Darjah 6 di sekolah rendah membaca buku seperti itu. Saya masih ketawa mengenangkannya. Dan pada waktu itu, saya sudah pun selesai membaca Tolkien!

Dan saya masih memiliki buku John Toland itu sehingga ke hari ini, 36 tahun kemudian (walaupun sudah tidak mempunyai kulit hadapan lagi).

John Toland

Menariknya tentang AMUK, terdapat satu jalinan kronologi yang panjang, suatu sejarah pembinaan dunia dan teknologi dalam dunia futuristik itu. Bagaimana hal ini dicipta?
Pembentukan sebuah dunia rekaan sebagai latar naratif merupakan teknik pilihan saya sejak dahulu. Kebanyakan karya saya akan bermula dari dunia rekaan tersebut dan kemudian berkembang di dalamnya sehingga ke bahagian perleraian. Bukan sahaja bagi siri AMUK, malah untuk siri Saga Artakusiad, juga novel terbaru saya Aristokra, buku pertama dalam siri Kronika Nashan. Elemen ini sangat kritikal dan merupakan komponen penting dalam pengkaryaan saya.

Aristokra

Dunia rekaan yang menjadi latar naratif karya saya terbina menerusi beberapa prinsip. Yang pertama, ia mesti menarik kerana jika tidak, saya akan hilang minat terhadapnya. Yang kedua, dunia rekaan tersebut mesti berdasarkan realiti, supaya karya yang dihasilkan meyakinkan. Jika latar naratif tersebut berbantah dengan realiti, maka perlu ada alasan yang meyakinkan mengapa ia demikian. Yang ketiga, perlu ada metod serta justifikasi dalam pembinaan dunia rekaan tersebut. Ini bererti kedudukan serta taburan elemen di dalam latar naratif berkenaan adalah terancang, bukan sesuatu yang rawak.

Proses pembinaan dunia rekaan ini biasanya tersusun menurut lojik. Barangkali ini adalah warisan pemikiran profesional saya selaku Ahli Farmasi, yang terlatih mengikut kaedah saintifik.

Abang tidak mahu menyambung kembali AMUK dan perjalanan kisah Maisara, Mustang dan Konfederasi? Tidak ada percubaan untuk membukukan AMUK?
Saya sudah menyambung kembali kisah konflik kuasa besar Persekutuan dan Konfederasi di dalam siri terbaru saya, Perang Bayang.

Apakah buku pertama SaiFai yang abang baca?

The Tripods CollectionSeingat saya, buku SaiFai pertama yang saya baca adalah The White Mountains oleh John Christopher, buku satu dalam The Tripod Trilogy. Saya membacanya pada tahun 1978. Kemudian The City of Gold and Lead dan selepasnya The Pool of Fire, buku kedua dan ketiga dalam trilogi berkenaan.

Penulis SaiFai kegemaran abang? Mengapa?

Penulis SaiFai kegemaran saya ialah Fred Saberhagen. Ini adalah kerana pada pendapat saya, novel beliau bertajuk Empire of the East adalah karya SaiFai yang paling hebat, mengatasi Ender’s Game tulisan Orson Scott Card, yang juga amat saya minati. Ini adalah dua penulis SaiFai kegemaran saya.

Fred Saberhagen dan Orson Scott Card. Terbaik!

Fantasi pun mempunyai pengikut yang lebih besar daripada fiksyen sains di Malaysia, benar? Mengapa?
Pada saya soalan ini berdasarkan persepsi serta tertakluk kepada tafsiran individu, kerana saya tidak pasti bilangan sebenar pengikut fantasi berbanding fiksyen sains. Juga, terdapat pertindanan antara keduanya, kerana ramai juga peminat fantasi yang mengikuti fiksyen sains dan sebaliknya.

Barangkali persepsi bahawa fantasi mempunyai pengikut yang lebih ramai serta lebih popular berbanding fiksyen sains diwarnai oleh bilangan karya fantasi yang banyak. Namun kejayaan siri AMUK serta peningkatan bilangan edaran Dewan Kosmik sewaktu majalah berkenaan memuatkan cerita berkenaan setiap bulan, membuktikan bahawa fiksyen sains juga mampu menjadi bacaan popular. Sehingga ke hari ini, meskipun 20 tahun sudah berlalu sejak saya berhenti menulis siri AMUK pada tahun 1995, saya masih menerima permintaan untuk siri tersebut.

Boleh dikatakan, genre fantasi lebih mudah dihirup oleh pembaca wanita dan genre SaiFai lebih mudah dihirup oleh pembaca lelaki, setuju?
Pada saya soalan ini juga berdasarkan persepsi serta tertakluk kepada tafsiran individu. Dan saya tidak bersetuju, kerana secara jujurnya saya tidak gemar stereotaip sedemikian.

Sebelum menulis, apa yang terlintas dahulu dalam kepala?
Perkara pertama yang melintas dalam fikiran sebelum menulis adalah kesedaran bahawa ilham kepunyaan Allah dan bukan milik saya.

Apakah perkara yang paling penting yang mesti ada dalam seorang pengarang SaiFai?
Pada pendapat saya, perkara paling penting bagi seorang pengarang SaiFai adalah memahami konsep sains. Jika mahu menulis SaiFai, mesti mengenali sains, harus mengetahui apa itu sains.

Abang juga pemerhati SaiFai kita (abang ada menilai manuskrip/hakim), abang rasa, apakah masalah penulis muda SaiFai kita sekarang?
Pada pendapat saya, masalah penulis muda SaiFai adalah dari segi konseptual. Tidak ramai yang memahami konsep sains. Mereka yang mahu menceburi bidang ini harus memahami bahawa sains adalah suatu disiplin yang berdasarkan bukti serta mempunyai metodologi yang jelas (Science is evidence based, with clearly defined methodology).

Maka setiap karya SaiFai yang baik perlu bermula dari pemahaman konseptual ini. Penulis mesti memahami bahawa sains adalah disiplin yang berdasarkan kepada bukti berserta metodologi.

Juga, apabila menulis SaiFai, perlu mempunyai kekuatan ilmu berkenaan subjek yang ditulis, kerana demikian tuntutan konseptual karya berkenaan. Kita tidak perlu menjadi seorang saintis untuk menulis SaiFai, malah ramai juga penulis SaiFai ternama yang bukan berasal dari latarbelakang sains, tetapi penyelidikan berkenaan subjek yang ditulis adalah wajib. Contohnya, jika kita menulis tentang opera angkasa, kita hendaklah membuat penyelidikan tentang angkasa lepas, perlu mempunyai pengetahuan asas tentangnya.

Apa yang dapat saya katakan, sewaktu menjadi hakim pertandingan fiksyen sains, lebih kurang 80% karya yang diberikan kepada saya untuk dinilai tidak menepati definisi fiksyen sains dan lebih bercorak pengembaraan atau fantasi yang sekadar berlatarkan angkasa lepas. Maka markah yang saya berikan paling rendah, sehingga disoal oleh pihak penganjur pertandingan, mengapa demikian!

Selain daripada dua perkara di atas, penulis juga perlu banyak membaca karya fiksyen sains ternama, supaya boleh mempelajari bagaimana pengarang besar genre berkenaan menulis.

Maka pada pandangan saya, kelemahan penulis muda SaiFai kita adalah kerana mereka tidak mempunyai kefahaman konseptual tentang sains, tidak mempunyai kekuatan ilmu kerana kurang membuat penyelidikan serta tidak memiliki kekuatan teknik kerana kurang pembacaan.

Apakah lagi percubaan yang perlu dibuat oleh kita untuk memajukan genre SaiFai?
Pada pandangan saya, kita sebenarnya mempunyai ramai penulis SaiFai yang hebat serta berbakat. Namun mereka berhenti menulis, atau tidak lagi mahu menulis, kerana sumbangan mereka sering tidak dihargai. Bayaran yang mereka terima bukan sahaja kecil, malah kadang-kadang sangat lewat. Keadaan ini tentunya sangat mengecewakan.

Yang demikian itu, pada saya, apa jua percubaan untuk memajukan genre SaiFai akan gagal tanpa memberikan keutamaan kepada kebajikan penulis SaiFai. Negara kehilangan ramai bakat penulisan SaiFai, kerana kebajikan penulis sering terabai akibat dasar serta polisi penerbitan yang tidak meletakkan penulis sebagai keutamaan, malah menempatkannya pada kedudukan belakang. Sikap ini bukan sahaja di Malaysia, malah berlaku di peringkat antarabangsa.

Karya fiksyen sains saya pernah terpilih untuk menjadi bahan teks pengajian Bahasa Melayu di sebuah negara asing. Dan mereka mengirim surat kepada saya meminta supaya ianya diberikan secara percuma! Saya ketawa membacanya, tetapi ekspresi berkenaan penuh ironis. Saya memikirkan bahawa pembekal kertas perlu dibayar, penerbit buku juga perlu dibayar, tetapi penulis yang menghasilkan kandungan buku berkenaan, kalau boleh, tidak perlu dibayar.

Tipikal.

Bagi abang, dalam 10 tahun lagi, apakah akan berlaku dengan SaiFai dan fantasi?
Pada pandangan saya, selagi kebajikan penulis SaiFai dan fantasi tidak diberi keutamaan, kita akan terus berada di aras ini.

Namun saya berikrar bagi pihak semua penulis SaiFai dan fantasi Melayu, insyaAllah, meskipun genre SaiFai dan fantasi tidak membangun seperti yang kita harapkan, tetapi ia tidak akan hilang. Akan ada penulis SaiFai dan fantasi Melayu yang terus berjuang, meskipun dalam keadaan serba kekurangan. Sungguh, kami sudah biasa dengan keadaan itu.

Dan suatu hari nanti, insyaAllah, kami tetap akan berjaya.

~

Jangan lepaskan peluang untuk menemui Ahmad Patria sempena Majlis Pelancaran Novel Aristokra di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) pada 8 Mei 2016 jam 4.00 petang.

Poster PTS 8 Mei - Aristokra

Promo Aristokra

Novel Aristokra: Kronika Nashan ini boleh didapati di PBAKL yang akan berlangsung pada 29 April – 9 Mei 2016 di booth PTS.  Ia juga boleh dibeli secara atas talian di bookcafe.com.my

peta-lokasi-klibf

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s