Tajuk Buku: Aristokra: Kronika Nashan
Pengarang: Ahmad Patria
Penerbit: Penerbit X
Tahun Terbitan: 2016
Halaman: 384
SINOPSIS
Nashan.
Sebuah negara kecil jauh ke utara Aurora, yang kini diperintah oleh Melyn ien Sarra iea Nashrain, puteri dan Aristokra yang terakhir. Daerah legenda dan mitos, paling gemilang antaranya adalah Spiara Bulwar, kisah epik yang menceritakan persahabatan pahlawan terbilang itu dengan Shilrung, serta pertarungan mereka menentang Krodra, gergasi samudera yang menggerunkan.
Dan kini pemerintahan Melyn diancam bahaya.
Sursis, pahlawan adi dan panglima gagah dari banjaran gunung jauh, mahu menakluki Nashan. Kehadiran Mori, kesatria misteri yang dikirim oleh Artakus, Lodra Perang Aurora, bakal mengubah segala-galanya. Namun, kehebatannya tidak dapat menandingi kegagahan Sursis, yang belum pernah tewas dalam pertempuran. Percaturan Merkia, wizra terulung yang menguasai magis tinggi, memberikan sinar harapan dalam usaha mereka menentang ancaman musuh. Namun, rahsia yang bakal menentukan takdir seluruh Nashan tersembunyi dalam legenda Spiara Bulwar. Firasat murni dan magis tinggi, persahabatan sejati dan pengkhianatan misteri, kesemuanya tergabung dalam perjuangan Melyn ien Sarra iea Nashrain, puteri Kushan yang pintar dan jelita, yang paling terkenal dengan hanya satu gelaran: Aristokra.
ULASAN
Saya tidak akan menceritakan rantaian plotnya. Tak adil untuk orang yang baru nak membacanya. Saya akan menceritakan aspek-aspek menarik yang saya ketemui dalam karya epik ini selaku contoh yang boleh diaplikasikan dalam penulisan fiksyen secara umumnya.
1. Garapan naratif yang berkesan
Saya tertarik dengan bagaimana karakter-karakter di dalam novel ini berinteraksi. Dengan menggunakan perkara-perkara asas seperti lirikan mata, pelontaran suara dan juga pergerakan tubuh, disulami pula dengan keindahan ayatnya menjadikan situasi itu hidup. Dialognya digarap dengan naratif kemas sekali.
Antara babak-babak yang saya suka dan menggambarkan betapa mahirnya pengarang melakar perbualan adalah seperti berikut:
a) Perundingan Nashan dengan Armorikus untuk mendapatkan bantuan ketenteraan dalam menangani kemaraan bala tentera Sursis
Aristokra digambarkan selaku seorang wanita bijak dan tenang dalam mengatur perundingan, biarpun Shirgen yang mengatur bicara. Cara pengarang menceritakan reaksi Aristokra terhadap persekitaran dan juga orang-orang yang berbeza pangkat dan kekuasaan cukup kemas. Jiwa Aristokra mudah diselami melalui pembacaan demi pembacaan. Amat berkesan.
b) Pertempuran Nashan dengan Sursis
Baiklah, apa yang saya maksudkan di sini adalah bagaimana Shirgen dan juga Hulber memulakan pertarungan. Mukadimah yang digunakan sebelum pertarungan sebenar berlangsung cukup mendebarkan. Bahkan garapan ayat yang tepat, membuatkan pembaca seperti saya mudah menggambarkan pertarungan antara dua seteru tersebut. Kepincangan watak diselit sama, menunjukkan betapa pertarungan seorang manusia itu tidak sempurna serba-serbi. Pasti ada langkah tersilap dan pasti ada kaedah menanganinya. Pendek kata, pertarungan yang digambarkan agak realistik.
c) Gambaran kekuatan Sursis
Sursis, seorang panglima adi yang tak terkalahkan. Cara pengarang menggambarkan kekuatan Sursis cukup mengujakan. Perbandingan tenaga dan kekuatan diterangkan dengan baik. Selitan watak-watak dan tahap kekuatan mereka dalam kronika ini ringkas penerangannya tapi memadai untuk memberi gambaran pada pembaca.
2. Susun atur plot yang mudah, tetapi berkesan
Bayangkan begini sahaja. Jika dibaca dari sinopsis di belakang buku, ia sebenarnya sudah memadai untuk memberitahu pembaca apa yang tersirat di dalam buku ini. Peperangan antara Nashan dan juga Sursis, selingan mitos Spiara Bulwar yakni, pertarungan antara Bulwar dan Shilrung dengan Krodra adalah plot utama cerita ini. Namun begitu, selingan plot-plot tambahan seperti, sejarah Spiara Bulwar di tangan pemerintah yang membunuh naga, konflik Merkia dengan kejahatan yang masih kabur penceritaannya dan pelbagai lagi subplot yang berkesan telah mengukuhkan dua plot utama itu tadi.
Ia umpama sebuah dua kota dengan pertahanan yang cantik dan sukar ditembusi. Pendek kata, selaku pembaca, kita akan terperangkap dalam dua buah kota tersebut tanpa mahu meninggalkannya kerana kedua-dua buah kota itu telah memerangkap kita dalam keindahannya.
Kesimpulannya, kekuatan dalam kepengarangan Ahmad Patria untuk karya Aristokra ini boleh dihuraikan seperti berikut:
- Jalan ceritanya mudah dan tidak berbelit, tetapi diselitkan dengan emosi dan watak-watak yang penuh dinamik. Ini membuatkan Aristokra begitu mesra pembaca dari pelbagai tahap.
- Bahasa yang digunakan juga puitis, tetapi tidak melampau-lampau aplikasinya.
- Jalinan plot demi plot terlalu kemas dan berkesan, tidak meninggalkan satu ruang lompong pun yang akan membuatkan pembaca mengerutkan dahi.
Gabungkan semua ini, maka inilah hasilnya – sebuah karya fantasi epik yang begitu indah.
Secara peribadinya, selaku seorang pengarang dan juga pembaca yang gemarkan cerita yang kompleks, saya percaya, kepuasan maksima buat saya akan tercapai apabila saya berpeluang membaca keseluruhan siri Kronika Nashan ini.
Diharap Ahmad Patria meneruskan kecemerlangan ini untuk Wizra, novel kedua Kronika Nashan dan novel-novel seterusnya. Saya harus menunggu dengan sabar walaupun jiwa memberontak mahukan sambungannya terbit segera.
~
Jangan lepaskan peluang untuk menemui Ahmad Patria sempena Majlis Pelancaran Novel Aristokra di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) pada 8 Mei 2016 jam 4.00 petang.
Novel Aristokra: Kronika Nashan ini boleh didapati di PBAKL yang akan berlangsung pada 29 April – 9 Mei 2016 di booth PTS. Ia juga boleh dibeli secara atas talian di bookcafe.com.my