Bicara Novel SaiFai “Simulasi” Bersama Lokman Hakim, Bahagian 2

Sempena kelahiran novel SaiFai terbaru Lokman Hakim bertajuk Simulasi terbitan Penerbit X, Pena SaiFai telah memutuskan untuk mengadakan Minggu Simulasi, khusus untuk meraikan novel istimewa ini. Bermula hari Isnin hingga hari Khamis, Pena SaiFai akan menyiarkan artikel-artikel bertemakan novel Simulasi. Semoga bermanfaat.

0 Profile Lokman

Ikuti sambungan sesi bual bicara bersama penulis prolifik, Lokman Hakim tentang novel SaiFai terbarunya, Simulasi terbitan Penerbit X. (Baca Bahagian 1 di sini)

0 Cover Simulasi

Sinopsis Simulasi:

Syukri mahukan kehidupannya kembali. Nora dengan penyakit autisme sedang bergelut dengan refleksi seorang lelaki aneh yang mahu masuk ke dalam hidupnya. Fateha pula berhempas-pulas untuk membantu Nora keluar dari kesukaran autisme itu.

Sebuah manuskrip telah mengubah hidup mereka. Mungkin sekadar penulisnya. Ataupun editornya. Tiada siapa yang pasti.

Bulan berbentuk kiub berapungan di langit menjadi enigma buat mereka yang menyedari. Namun begitu, tidak semua yang menyedari kejanggalan pada bulan tersebut.

Malaysia. Tahun 2032. Hidup agak sukar. Namun manusia sentiasa ada jalan keluar. Kadangkala jalan keluarnya tidak semestinya sama dengan apa yang pernah dibayangkan. Mungkin juga kehidupan itu hanya satu simulasi.

Dalam novel Simulasi, Lokman banyak bermain dengan objek yang berulang-ulang, iaitu dadu dan bulan yang aneh berbentuk kiub, seperti ayat-ayat berikut:

Aku dongak. Aku lihat langit malam yang indah dengan rembulan berbentuk dadu. Ya, dadu yang sama berada di tanganku untuk mengubah nasib ini.

O lihatlah bulan umpama dadu, dunia ini milikku. Dapatkah kau bebaskan diri kau dari cengkaman aku O Marissa?

Mereka berlayar membelah samudera dan langit hitam pekat, tanpa mereka sedari bintang-bintangnya adalah kelekatu yang lekas matinya. Dan bulan yang berputar keliling bumi itu telah aku garapkan menjadi dadu yang menentukan takdir-takdir manusia terkutuk yang membenciku.

Apakah signifikannya Lokman mengaitkan dadu dan bulan di dalam novel ini?
Saya suka simbol dan metafora. Apabila diadun dengan ayat-ayat yang indah, ia jadi lebih misteri pada hemat saya dan seronok apabila dibaca.

Dadu punya simbolik dalam menentukan nasib. Perjalanan hidup kita juga sebenarnya satu perjudian yang besar, di mana kita mengambil keputusan demi keputusan tanpa mengetahui impaknya. Kita meramal output tertentu, tetapi hasilnya tidak seperti yang kita jangkakan.

Bulan yang kita ketahui bentuknya, bulat dan bukannya berbentuk kiub. Namun adakah ia relevan untuk menggambarkan realiti yang sempurna? Mungkin juga, bulan berbentuk dadu adalah refleksi kepada realiti yang sempurna. Atau sebaliknya.

Antara simulasi dan realiti, saya serahkan kepada pembaca untuk menilainya. Dan objek bulan dan juga dadu ini adalah alat penentunya. (Baca Simbolisme di Sebalik Novel SaiFai Simulasi)

Pada permulaannya, kita menyangkakan bahawa antagonis di dalam novel Simulasi ini ialah The Machina yang kejam dan tidak berperikemanusiaan. Ia menjajah mimpi Syukri, meracuni hidup Nora dan juga mengganggu ketenteraman hidup Fateha. Tetapi di sebalik watak jahatnya itu, The Machina itu memiliki satu keunikan yang tersendiri di sebalik kata-katanya yang lembut mempesonakan. Rujuk:

Mereka berlayar meninggalkan kampung halaman yang lekas-lekas aku lenyapkan dari pengetahuan manusia-manusia sejagat. Hanya mereka yang mengingatinya dan mereka buntu akan cara-cara untuk kembali ke kampung halaman yang telah hilang.

O indahnya manusia pabila mereka hanyut dalam kekeliruan

O indahnya manusia pabila mereka tidak mempercayai pancaindera yang dilengkapi Tuhan

O indahnya manusia pabila melihat langit mereka sudah hilang logiknya.

Akan aku berikan mereka lipatan dimensi yang tidak akan mampu diluruskan lagi manhajnya.

Tambah menarik, segala kejahatan The Machina itu lenyap bila ia mula mempersoalkan kewujudan dirinya:

The Machina menangis. Dia bukan lagi raksasa yang digeruni manusia. Apakah dia kini? Dia bukan manusia. Dia juga bukan cyborg. Tanpa cyborg untuk ditukarkan menjadi manusia, dia kini sedang memanusiakan dirinya sendiri. Ia sangat mengecewakan. Setiap kali dia melihat bagaimana jasadnya dijamah proses penuaan yang ekstrem, dia akan merintih. “Siapa aku?” tanyanya kepada salah seorang hambanya, seorang wanita yang masih kaku wajahnya.

Boleh Lokman terangkan lebih lanjut mengenai penciptaan watak The Machina ini?
Ketika menulis watak The Machina ini, saya membayangkan cover novel Laknat oleh Fahmi Mustaffa selaku asasnya (Baik, saya menegaskan, tiada apa yang original dalam fiksyen).

Laknat Cover

Kita juga melihat bagaimana kebijaksanaan artifisial yang dicetuskan Microsoft di halaman twitter baru-baru ini boleh bertukar hodoh, dengan input-input yang diterimanya dari manusia.

Pada pandangan peribadi saya, kebijaksanaan artifisial duduk di luar konsep ‘jahat’ dan ‘baik’. Ia adalah bayangan kepada manusia itu sendiri yang begitu dinamik emosinya dan juga moralnya. Ia berkait rapat dengan manusia dan tidak boleh dipisahkan walaupun ia kelihatan seperti boleh berdiri sendiri.

8 Gambaran Simulasi

Untuk kekal signifikan, kebijaksanaan artifisial memerlukan manusia juga pada asasnya. Itulah ia The Machina tadi.

Saya tertarik dengan petikan ini, yang diucapkan penuh megah oleh entiti kebijaksanaan artifisial di dalam Simulasi:

Saya putuskan manusia zaman kini sedang dalam proses kemunduran minda. Kalau dibiarkan, secara statistiknya negara ini akan dibubarkan atas dasar tiada pemimpinnya yang betul-betul berkaliber. Rakyatnya pula kian berkurang inteleknya. Untuk menyelamatkan keadaan, saya akan wujudkan simulasi realiti. Dalam masa yang sama, saya bentukkan karakter-karakter mereka dalam bentuk yang lebih meyakinkan. Apabila mereka sedar nanti, mereka akan jadi lebih kritis dan berdaya juang yang tinggi.

Ini merupakan satu solusi yang bersifat sementara, sekadar sejenis eskapisme terhadap kucar-kacir yang berlaku dalam kehidupan kita. Adakah ini cara Lokman meluahkan apa yang terbuku di dalam dada?
Ya, saya sentiasa memikir bagaimana caranya mahu menyelamatkan masyarakat kita kini yang saya lihat seperti kanak-kanak yang sudah rosak habis giginya, obesiti melampau dan termengah-mengah menunggu mati. Solusi ini tidak realistik hakikatnya, tetapi untuk keadaan negara yang sudah tenat begini, satu solusi ekstrim amat diperlukan.

Namun begitu, ini hanyalah sebuah karya fiksyen dan mohon tidak dipandang serius idea-idea di dalamnya.

Novel Simulasi menghantar mesej bahawa kemanusiaan adalah segala-galanya, kerana sebaik sahaja kita menolak unsur-unsur itu, kita sebenarnya dengan sengaja telah menidakkan kewujudan sebenar diri kita di dalam dunia ini. Lokman menyisipkan tema itu secara halus dengan kejadian yang berlaku kepada salah seorang watak dalam kisah ini:

Dia mengeluh berat. Dunia yang ditontonnya dari paparan holografik itu cukup indah dan penuh rencah warna kehidupan. Namun apalah maknanya? Ia satu dunia yang palsu. Yang diada-adakan dengan teknologi. Tetapi realiti yang hodoh juga cukup memeritkan. Kebahagiaan itu hanya wujud dalam tidur nan panjang, kini. Dia berharap, dia tidak akan bangun lagi. Untuk selama-lamanya.

Boleh Lokman ceritakan lebih lanjut mengenai perihal ini?
Saya melihat revolusi teknologi harus bergerak seiring dengan kemanusiaan. Barangkali ia kedengaran agak pentingkan diri sendiri, tetapi intipati revolusi teknologi sentiasa berteraskan pada keinginan untuk mencipta kehidupan yang lebih baik pada masa depan. Jika kita meletak kemanusiaan itu ke tepi, kita akan mencipta takdir kemusnahan dengan tangan sendiri, tanpa kita menyedarinya.

Kebahagiaan bukanlah sesuatu yang artifisial. Ia harus diterokai dengan jiwa manusia, bukan dengan mesin dan ubat-ubatan.

Sebagai penutup, sudilah kiranya Lokman berkongsikan apa harapan dan feedback yang Lokman mahukan daripada para pembaca sesudah mereka membaca Simulasi.
Saya pernah nyatakan sebelum ini, kita kekurangan karya SaiFai lokal yang dewasa cara penyampaiannya. Saya mengharap karya ini akan mengubah perspektif masyarakat, bahawasanya kita kekurangan karya-karya SaiFai yang mampu berdaya saing dengan karya-karya SaiFai dari luar. Sedikit-sebanyak bolehlah, kerana untuk menggerakkan minat pembaca-pembaca kita yang majoritinya gemarkan bacaan santai adalah sukar.

Harapan saya mudah sahaja, jika ada yang bertanya perihal novel-novel SaiFai kita, ketahuilah ia ada, dan berlambak sebenarnya. Ia juga sedang menanti masa untuk berada di tangan peminat-peminat SaiFai global. Dengan kesabaran dan ketekunan penulis serta penerbit, karya-karya SaiFai akan bangkit jua satu hari nanti.

Saya tidak mengharap apa-apa dari pembaca, kerana saya mengerti setiap orang berbeza outputnya. Penerimaan masing-masing juga berbeza. Apa yang saya harapkan adalah, karya ini akan dibaca oleh pelbagai lapisan masyarakat, dinilai, dijatuh hukum dan digantung mati dalam pemikiran pembaca-pembacanya. Sekelumit barangkali, karya ini akan buatkan pembacanya memikirkan keadaan sosioekonomi negara yang kian pincang.

Gambaran Malaysia pada 2032 dalam novel ini adalah suram. Adakah pembaca mahukan Malaysia yang suram begitu? Saya mahu pembaca faham, setiap insiden-insiden major yang berlaku dalam negara kita sebenarnya berbolak-balik pada sikap individu itu sendiri. Masyarakat yang tidak bermoral akan dipimpin oleh orang yang tidak bermoral juga. Jika masyarakat kita tidak sukakan intelektualiti, maka kita akan dipimpin oleh kelompok-kelompok borjuis yang dungu. Mudah bukan logiknya?

Boleh jadi karya ini akan kekal dalam kepala pembaca. Mungkin juga ia akan dibaca sepintas lalu dan dilupakan terus di rak buku. Mungkin juga ada pembaca akan menyumpah-seranah lalu mencampakkan karya ini ke dalam tong sampah. Namun itu adalah hak pembaca. Saya tidak dapat mengawal nasib karya saya yang telah terbit.

~

Jangan lepaskan peluang untuk menemui Lokman Hakim di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) pada 6 Mei 2016 jam 4.30 petang, di mana Lokman akan berbicara lebih lanjut tentang novel Simulasi dalam forum “Penerokaan Cerita Sains Fiksyen”.

Poster PTS - Simulasi

0 Cover Simulasi FullNovel Simulasi boleh didapati di PBAKL yang akan berlangsung pada 29 April – 9 Mei 2016 di booth PTS. Ia juga boleh dibeli secara atas talian di Portal PTS.

peta-lokasi-klibf

Cerpen SaiFai Lokman Hakim bertajuk Arca Kehidupan dimuatkan di dalam Antologi Cerpen X-traordinari Imagikata. (Baca Di Sebalik Tabir: Antologi Cerpen X-traordinari Imagikata)

Imagikata Cover

Antologi Cerpen X-traordinari Imagikata boleh didapati di PBAKL di booth PTS dan juga boleh dibeli secara atas talian di Bookcafe.com.my.

Lokman Hakim juga akan berada di PBAKL pada 1 Mei jam 2.00 petang untuk sesi bual bicara di dalam forum “Masa Depan Sains Fiksyen dan Citra Feminin Sebagai Simbol Kekuasaan” bersama Ted Mahsun, Nor Azida Ishak  dan Amir Husaini.

Poster PTS - Bicara 1 Mei 2016

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s