Bicara Novel SaiFai “Simulasi” bersama Lokman Hakim, Bahagian 1

Sempena kelahiran novel SaiFai terbaru Lokman Hakim bertajuk Simulasi terbitan Penerbit X, Pena SaiFai telah memutuskan untuk mengadakan Minggu Simulasi, khusus untuk meraikan novel istimewa ini. Bermula hari Isnin hingga hari Khamis, Pena SaiFai akan menyiarkan artikel-artikel bertemakan novel Simulasi. Semoga bermanfaat.

Siapa yang tidak kenal dengan penulis bernama Lokman Hakim? Beliau begitu hebat, rajin dan pantas menulis sehingga digelar ‘alien’ oleh orang-orang yang mengenalinya. (Baca “Wawancara bersama Lokman Hakim, penulis prolifik” yang pernah tersiar dalam Pena SaiFai pada 20 Januari 2016)

Lokman Image

Lokman sudah pun berjaya menulis 18 buah manuskrip dalam masa dua tahun dengan 9 daripadanya telah terbit.

Lokman's Manuscript

Terkini, kita mendapat khabar gembira bahawa sebuah lagi novel Lokman yang baru diterbitkan merupakan sebuah novel SaiFai bertajuk Simulasi di bawah Penerbit XTentulah kami di Pena SaiFai rasa bertuah kerana berpeluang mengundang Lokman untuk menjadi tetamu bual bicara pada kali ini.

Jom kita baca sesi borak buku Simulasi bersama Lokman kali ini.

0 Cover Simulasi

Tajuk novel Lokman kali ini begitu mudah, hanya sepatah perkataan – Simulasi. Ringkas, padat, menarik. Boleh Lokman ceritakan berkenaan pemilihan tajuk berkenaan?
Pada awalnya, saya meletakkan tajuk asalnya “Autista 2032”. Sudah lama saya ingin menyiapkan manuskrip “Autista 2032” ini berdasarkan sindrom autisme yang secara peribadinya, pernah saya hadapi dalam keluarga sendiri.

Namun begitu, semasa menggarap karya ini, saya mendapati, tema autisme memerlukan sentuhan realisme yang padu. Tambahan pula plot ceritanya berubah, di mana, simulasi merupakan aspek utama cerita yang lebih menonjol berbanding penyakit autisme yang dihidapi salah seorang watak tadi.

Apabila disuruh oleh penerbit untuk menukar tajuk, saya memberi lima buah tajuk alternatif dan Simulasi adalah salah satunya. Dan penerbit juga setuju untuk memilih Simulasi selaku tajuk baru untuk naskhah ini.

Apakah ilham dan idea yang menjadi cetusan inspirasi Lokman sehingga lahirnya kisah Simulasi ini?
Autisme dan teori ‘hidup ini adalah satu simulasi’ adalah dua subjek yang begitu dekat dengan saya dari dahulu lagi. Adik bongsu saya sendiri menghidap autisme dan saya sendiri melihat kepayahan yang ditempuhi kami sekeluarga dalam menjaga dan membimbingnya.

Di samping itu, saya sering mempersoalkan kesahihan hidup ini. Adakah kita memang sebenarnya ‘hidup’ atau dijadikan untuk ‘percaya diri kita hidup’? Persoalan ini menghantui saya sejak sekian lama.

Bagaimana caranya untuk meleraikan dua subjek ini dari perspektif lain? Dengan menjadikannya subjek untuk novel saya.

Baik, itu berkenaan dengan pemilihan subjek. Untuk menjadikannya sebuah novel, saya perlukan visual. Kita biasa mendengar penulis-penulis membuat rujukan kepada beberapa buah filem, tetapi saya tidak begitu gemar menonton filem. Saya lebih cenderung menonton video muzik yang pelbagai.

Sepanjang penulisan novel ini, saya menjadikan video muzik Blackstar dan Lazarus oleh David Bowie selaku pilihan.

5 David Bowie

Lagunya sendiri mungkin sesuai menggambarkan The Machina itu sendiri.

Latar lagu pula saya membayangkan alunan lagu-lagu Chet Baker dan juga Julie London, dan ia digambarkan pada salah satu watak yang gemarkan lagu-lagu jazz.

Saya sentiasa dihantui beberapa anime baik dalam bentuk filem ataupun cerita bersiri. Antaranya adalah Angel’s Egg dan juga Serial Experiments Lain. Ia turut mempengaruhi cara saya memberi visual kepada imaginasi saya sebelum saya menuliskannya ke dalam novel ini.

Penulisan merupakan satu outlet untuk para penulis meluahkan apa yang terbuku dalam fikirannya, lebih-lebih lagi jika ia membicarakan subjek yang dekat dengan hati penulis itu sendiri (kasih sayang sesama keluarga contohnya). Malah aktiviti menulis boleh menjadi satu terapi yang sangat melegakan buat diri penulis sendiri. Adakah Lokman melalui semua ini semasa menulis Simulasi?
Saya memang percaya menulis adalah satu terapi yang melegakan. Untuk saya yang punya imaginasi tinggi dan sering melihat sesuatu subjek atau objek dari pelbagai sudut, penulisan amat penting.

Penulisan adalah satu proses peleraian idea, mimpi ngeri, atau kenangan-kenangan kabur yang menghantui pemikiran untuk satu tempoh yang lama.

Untuk naskhah ini, saya telah meleraikan subjek autisme dalam kepala saya sebanyak 10 peratus dan juga baki selebihnya adalah ‘hidup ini adalah satu simulasi’. Mungkin peleraian subjek autisme sebanyak 90 peratus akan saya gunakan untuk novel yang lain pula. Saya membayangkan genre realisme selaku medium yang sesuai.

Khabarnya Lokman berjaya menyiapkan Simulasi dalam tempoh sebulan sahaja. Boleh Lokman kongsikan proses penulisannya?
Saya memulakan penaipan naskhah ini pada 1 haribulan Januari 2016 sambil ditemani Ted Mahsun di Starbucks Cafe, yang ketika itu sedang menyiapkan cerpen untuk Imagikata, juga terbitan Penerbit X.

Imagikata Cover

Proses penulisannya linear dan saya tidak memberi peluang langsung untuk kebuntuan idea menghalang kelajuan saya menaip. Setiap kali buntu, saya akan buka nota saya dan biarkan idea mengalir melalui mata pena. Ia berkait dengan cafe-cafe yang saya singgahi sepanjang penulisan ini. Sebaik sahaja saya buntu, ia menandakan saya harus bertukar tempat menulis. Saya adalah seorang penulis yang gemar berjalan sambil menyiapkan karya saya.

Saya bangun setiap hari pukul 4 pagi, menaip dalam 1,000 patah kata atau lebih sebelum masuk ke pejabat. Apabila tiba di pejabat pula, saya selesaikan mana-mana kerja-kerja pejabat dengan kadar segera, dan terus menulis lagi. Apabila balik dari kerja, saya singgah di MJK Banana Leaf Corner, Bandar Kinrara hampir setiap malam dan mendengar bunyi gerabak LRT yang baru dibuka, selaku inspirasi kepada mod pengangkutan utama di dalam novel ini. Sabtu dan Ahad saya sasarkan penaipan sebanyak 7,000 patah kata atau lebih kerana saya punya banyak masa pada hujung minggu.

StarbucksDraf pertama siap 15 hari dan saya menyemaknya selama 7 hari. Genap 22 hari penaipan 62 ribu patah kata untuk draf pertama novel ini. Kalau dilihat dari halaman instagram saya, saya telah memetakan proses penulisan novel Simulasi ini hampir setiap hari di sana.

Setiap proses penulisan novel adalah satu pengalaman yang berbeza. Ia sentiasa menyeronokkan walaupun sukar. (Baca Kronologi Mengarang Novel SaiFai Simulasi).

0 Cover Simulasi Full

Berikut adalah sinopsis ringkas untuk Simulasi:

Syukri mahukan kehidupannya kembali. Nora dengan penyakit autisme sedang bergelut dengan refleksi seorang lelaki aneh yang mahu masuk dalam hidupnya. Fateha pula berhempas-pulas untuk membantu Nora keluar dari kesukaran autisme itu.

Penghijrahan ke Kuala Lumpur untuk mendapatkan rawatan autisme yang lebih baik telah mengundang rentetan peristiwa-peristiwa yang tidak tersangka. Syukri beroleh pekerjaan baru dari sebuah syarikat penerbitan buku. Namun kejanggalan pada mimpi-mimpinya sesudah itu, membuatkannya keliru akan keputusan itu.

Sebuah manuskrip telah mengubah hidup mereka. Mungkin sekadar penulisnya. Ataupun editornya. Tiada siapa yang pasti.

Bulan berbentuk kiub berapungan di langit menjadi enigma buat mereka yang menyedari dan tidak semua yang menyedari kejanggalan pada bulan tersebut.

Malaysia. Tahun 2032. Hidup agak sukar. Namun manusia sentiasa ada jalan keluar. Kadangkala jalan keluarnya tidak semestinya sama dengan apa yang pernah dibayangkan.

Lokman memilih latar tahun 2032 yang sememangnya futuristik untuk Simulasi, namun untuk lanskap negara Malaysia, tidak begitu banyak unsur-unsur futuristik yang merajai penceritaan. Lihat petikan di bawah:

Tolonglah, sekarang dah tahun 2032. Negara-negara barat dan Asia dah berpusu-pusu nak mendiami Marikh, dan kita di sini, masih bergelut dengan bagaimana nak cari solusi untuk ganti minyak petrol yang kian menyusut. Kita masih guna wifi tatkala negara-negara lain dah mula guna lifi untuk akses internet yang lebih lancar.

Fateha mengeluh berat. Maria membantu Nora meletakkan barang-barang yang dibeli tadi di kabinet kecil di sebelah katil. Tiada banyak perubahan sebenarnya. Biarpun hospital itu telah berkembang pesat, peralatan-peralatannya masih menyerlahkan garapan dekad-dekad lalu yang agak lusuh. Wawasan 2020 telah dilalui dengan penuh kehampaan.

Mengapa Lokman memilih untuk menulis berlatarkan keadaan sebegini?
Apabila menulis sebuah novel spekulatif, saya sentiasa berpendapat, apa yang terjadi pada hari ini, punya impak yang besar pada masa depan kita. Kita harus melihat isu-isu besar yang dibincangkan dalam negara, mengasingkannya di bawah subjek ekonomi, sosial dan politik. Kita juga harus melihat perkaitan antara setiap isu-isu yang timbul dan membina model ‘rangkaian reaksi’ terhadap isu-isu tersebut dengan berlandaskan jurang masa yang diguna pakai.

Sebagai contoh, kedengaran desas-desus mengatakan Thailand dan China telah memeterai persetujuan untuk membina terusan Kra Ithmus, namun telah dinafikan oleh kerajaan Thailand pada 19hb Mei 2015. Jika terusan ini dibina, impaknya mungkin menjejaskan aktiviti-aktiviti pelabuhan di sepanjang Selat Melaka. Ekonomi Malaysia dan juga Singapura boleh terjejas sekiranya terusan ini dibina.

Krisis minyak global yang menampakkan impak besar kepada negara dan langkah-langkah untuk menanganinya, yang saya tampak agak suram, menjadi intipati model ‘Malaysia pada tahun 2032’. Ia diiringi pula dengan isu pendidikan yang tidak ditangani dengan baik, tahap intelektualiti masyarakat yang menampakkan graf penurunan, ekstrisme agama, penolakan sekularisme dan pelbagai sebaran negativiti yang tidak terhad.

Apabila kita melihat secara menyeluruh, saya hanya nampak satu keadaan yang menghampiri distopia. Ya, Malaysia pada tahun 2032 tidak cerah visinya jika melihat kepada situasi-situasi yang melanda negara pada masa kini.

Namun begitu, ini hanya satu spekulasi yang mungkin ada kekurangan dalam pembentukan model masa depan tersebut. Untuk novel ini sahajalah, ia tampak suram. Diharap Malaysia pada tahun 2032 tidak murung begini, sama-samalah  kita mendoakan kesejahteraan negara.

~

Besok: Ikuti perkongsian Lokman Hakim tentang tema, pengertian pada metafora yang digunakan serta penjelasan mengenai seorang watak paling menarik yang terdapat di dalam novelnya.

Jangan lepaskan peluang untuk menemui Lokman Hakim di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) pada 6 Mei 2016 jam 4.30 petang, di mana Lokman akan berbicara lebih lanjut tentang novel Simulasi dalam forum “Penerokaan Cerita Sains Fiksyen”.

Poster PTS - Simulasi

Novel Simulasi boleh didapati di PBAKL yang akan berlangsung pada 29 April – 9 Mei 2016 di booth PTS. Ia juga boleh dibeli secara atas talian di Portal PTS.

peta-lokasi-klibf

Cerpen SaiFai Lokman Hakim bertajuk Arca Kehidupan dimuatkan di dalam Antologi Cerpen X-traordinari Imagikata. (Baca Di Sebalik Tabir: Antologi Cerpen X-traordinari Imagikata)

Imagikata Cover

Antologi Cerpen X-traordinari Imagikata boleh didapati di PBAKL di booth PTS dan juga boleh dibeli secara atas talian di Bookcafe.com.my.

Lokman Hakim juga akan berada di PBAKL pada 1 Mei jam 2.00 petang untuk sesi bual bicara di dalam forum “Masa Depan Sains Fiksyen dan Citra Feminin Sebagai Simbol Kekuasaan” bersama Ted Mahsun, Nor Azida Ishak  dan Amir Husaini.

Poster PTS - Bicara 1 Mei 2016

One thought on “Bicara Novel SaiFai “Simulasi” bersama Lokman Hakim, Bahagian 1

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s