Sempena kelahiran novel SaiFai terbaru Lokman Hakim bertajuk Simulasi terbitan Penerbit X, Pena SaiFai telah memutuskan untuk mengadakan Minggu Simulasi, khusus untuk meraikan novel istimewa ini. Bermula hari Isnin hingga hari Khamis, Pena SaiFai akan menyiarkan artikel-artikel bertemakan novel Simulasi. Semoga bermanfaat.
Sinopsis Simulasi:
Syukri mahukan kehidupannya kembali. Nora dengan penyakit autisme sedang bergelut dengan refleksi seorang lelaki aneh yang mahu masuk ke dalam hidupnya. Fateha pula berhempas-pulas untuk membantu Nora keluar dari kesukaran autisme itu.
Sebuah manuskrip telah mengubah hidup mereka. Mungkin sekadar penulisnya. Ataupun editornya. Tiada siapa yang pasti.
Bulan berbentuk kiub berapungan di langit menjadi enigma buat mereka yang menyedari. Namun begitu, tidak semua yang menyedari kejanggalan pada bulan tersebut.
Malaysia. Tahun 2032. Hidup agak sukar. Namun manusia sentiasa ada jalan keluar. Kadangkala jalan keluarnya tidak semestinya sama dengan apa yang pernah dibayangkan. Mungkin juga kehidupan itu hanya satu simulasi.
Apabila saya menggunakan nama Syukri selaku watak utamanya, ia merupakan alegori kepada peribadi saya sendiri. Amat mudah menggunakan diri sendiri selaku contoh dan saya percaya ramai penulis melakukan perkara yang sama. Untuk pengetahuan umum, nama saya pada sijil beranak adalah Muhammad Syukri, sebelum dibatalkan dan digantikan dengan nama Lokman Hakim. Seronok bukan? Menggunakan informasi peribadi selaku permainan dalam novel seperti ini amat menyeronokkan.
Ia satu proses memahami diri. Penulisan novel seringkali menjadi medan perang buat saya untuk membuka kotak-kotak tersembunyi yang menyimpan identiti saya. Apabila mengatakan ia satu medan perang, saya serius dengan metafora itu. Saya berperang dengan rangkaian imaginasi dan watak-watak yang separuh siap, mencari diri saya di dalam setiap watak, mengeluarkannya dengan susah payah. Meletupkan kubu-kubu watak yang bengis. Merodok perut mutan-mutan dengan keris, agar rahsia di dalam genetiknya, memberitahu saya, kenapa saya boleh terperangkap dalam fitrah seorang Lokman Hakim.
Baik, untuk novel Simulasi, saya bongkarkan kotak ‘autisme’ dalam kepala saya. Autisme adalah penyakit yang punya impak besar pada keluarga saya. Anda boleh lihat ‘impaknya’ dalam rentetan peristiwa demi peristiwa di dalam novel ini seperti berikut:
- Syukri melarikan diri ke Kuala Lumpur dan bekerja di situ.
- Kehilangan ahli keluarga Syukri dalam kemalangan tragis.
- Penutupan cawangan NASOM di Sibu, Sarawak.
- Kewujudan watak-watak yang menyerupai Nora seperti Marissa dan juga klon-klon yang kelihatan serupa, lebih bijak dan sempurna.
- Pembacaan surah Al-Fatihah oleh Nora dalam salah satu babak.
Saya akan terangkan makna di sebalik garapan plot dan peristiwa yang dinyatakan seperti di atas.
- Syukri melarikan diri ke Kuala Lumpur dan bekerja di situ
Memikirkan kosnya sahaja sudah cukup membuatkan jiwa Fateha pedih. Selama ini duit perbelanjaan mereka ditanggung oleh Syukri yang diketahuinya sedang bertungkus-lumus mencari wang ringgit untuk mereka semua meneruskan kelangsungan hidup yang begitu sukar. Seringkali Syukri menyatakan kekesalannya dalam usaha membina kehidupan stabil di Kuala Lumpur. Tiga pekerjaan tidak memadai.
Mempunyai ahli keluarga dengan penyakit autisme bukan satu perkara yang mudah. Apabila kita melihat golongan cacat ini diperlakukan seperti haiwan oleh keluarganya, kita mudah menuding jari kepada ahli keluarga orang-orang cacat ini. Kita anggap mereka tidak ada nilai kemanusiaan, tidak berhati perut dan hina.
Pernahkah anda tanya diri anda sendiri, jika anda berada di tempat mereka, sanggupkah anda menjaga golongan cacat ini tadi, dengan pengetahuan, anda tidak dapat mengubah nasibnya sehingga ke akhir hayatnya?
Watak Syukri ini sebenarnya berlindung di sebalik topeng ketidaksanggupan untuk menghadap hari-hari di rumahnya, melihat penderitaan adiknya yang tidak mampu berdiri sendiri tanpa bantuan orang lain. Dia senantiasa memikir, jika dirinya mati, siapa yang akan menjaga adik bongsunya itu?
Dalam dunia di mana urusan kebajikan dan juga perubatan merupakan satu entiti ekonomi, nasib golongan cacat ini tidak begitu terbela, tanpa bantuan orang-orang yang berkemampuan.
- Kehilangan ahli keluarga Syukri dalam kemalangan tragis
Mereka punya lima orang adik-beradik sebenarnya. Ayah dan ibu mereka bekerja di sektor swasta dan merupakan pekerja yang gigih untuk menjaga kebajikan mereka sekeluarga. Malam itu, kemalangan jalan raya berlaku. Kesemua ahli keluarga mereka yang terlibat terkorban serta-merta di tempat kejadian itu. Digeser treler yang gagal mengawal breknya yang rosak tidak memberi keluarganya harapan. Matinya mereka itu dalam keadaan dahsyat sekali. Ketika itu Fateha sedang menjaga Nora yang memang sukar hendak dibawa bersiar-siar. Ulah Nora yang susah dibendung itu telah menyelamatkan nyawa Fateha. Syukri pula ketika itu masih berada di perantauan.
Tahukah anda betapa pesakit autisme ini penting pada keluarganya? Tahukah anda betapa pentingnya sokongan dari keluarga itu dalam pembentukan hidup seorang pesakit autisme? Nah, saya ciptakan satu keadaan di mana, hanya tinggal si kakak Fateha sahaja yang terselamat untuk menjaga adiknya, Nora itu. Saya gambarkan juga bagaimana Syukri itu, terpaksa berhempas pulas mencari wang ringgit untuk disalurkan ke akaun adiknya agar kebajikan ahli-ahli keluarganya terjaga. Di mana bantuan kewangan dari golongan-golongan yang menyimpati secara bermusim ini?
Realitinya, keluarga-keluarga yang punya masalah ahli keluarga yang berpenyakit begini, biasanya tidak mendapat bantuan sewajarnya. Mengapa? Mereka tidak berteriak di media sosial selalu, mengemis simpati dan pertolongan dari orang lain. Mereka tahu, orang-orang di luar tidak akan mengerti masalah mereka. Mereka tahu, kekuatan untuk meneruskan kehidupan itu penting. Inilah cabaran yang dihadapi oleh keluarga yang punya ahli keluarga yang bermasalah kesihatan tadi.
- Penutupan cawangan NASOM di Sibu, Sarawak
“Oh, Fateha. Pusat ini disita. Dengar cerita pemilik rumah ini gagal bayar dengan bank. Kami pun baru tahu hari ini. Kami diminta untuk kosongkan rumah ini dalam tempoh 24 jam.”
“Ini dah melampau, Puan. Mana boleh diorang buat macam tu.”
Puan Clarissa menggeleng, mukanya ditundukkan seolah tidak mahu pandangannya bertaut dengan Fateha. Apakah yang mampu dikatakan lagi? Biarpun pusat autisme itu didirikan atas dasar prihatin ke atas jumlah peningkatan pesakit-pesakit autisme, ia tidak memadai tanpa campur tangan ahli-ahli politik. Mereka perlukan sokongan orang berpangkat besar untuk terus bertahan di atas tanah lot tersebut.
Mungkin ramai sedia maklum. Tiada cawangan NASOM (National Autism Society of Malaysia) di Sibu, Sarawak. Ia melambangkan pengharapan saya agar satu hari nanti, sebuah cawangan NASOM akan dibuka di Sibu dan adik bongsu saya bolehlah beroleh rawatan dan latihan sewajarnya di sana. Namun saya sedar, pengharapan begitu agak merepek, maka saya lakukan ia dengan babak penutupan cawangan NASOM di Sibu, Sarawak.
- Kewujudan watak-watak yang menyerupai Nora seperti Marissa dan juga klon-klon yang kelihatan serupa, lebih bijak dan sempurna
Seperti yang dijangka Syukri, Marissa tidak berkedipan matanya tatkala bertemu Nora yang betul-betul semiripnya. Bahkan Fateha sendiri ternganga mulutnya seolah tidak percaya dengan apa yang dilihatnya. Tatkala Nora dan Marissa berdiri bersetentangan antara satu sama lain, mereka yang berada di dalam restoran itu seolah menyaksikan sebuah cermin 3D yang bergerak hidup di depan mata.
Pembentukan watak-watak seperti ini juga merupakan perlambangan kepada harapan saya. Harapan yang barangkali tiada gunanya juga. Saya sentiasa membayangkan masa depan seorang pesakit autisme tadi. Bagaimana dia mahu meneruskan hidupnya sesudah ahli keluarganya tiada?
Kehidupan seorang Marissa, penuh misteri dan penuh cabaran. Dan dia dapat menghadapinya dengan hati tekal, bahkan mampu menentang The Machina dalam keadaan dirinya berseorangan. Klon-klon yang menyerupai Marissa, tetapi kejam dan gagah. Mereka umpama mesin yang takkan mati, jika tidak dilawan menggunakan kepintaran akal.
Kadangkala, saya mengharap penyakit autisme itu sendiri umpama sejenis cip, yang boleh ditanggalkan dari otak pesakitnya, dan pesakit itu tadi akan dapat menjalani kehidupan yang normal seperti orang lain.
Harapan yang tiada gunanya.
- Pembacaan surah Al-Fatihah oleh Nora di suatu babak
Hari ini adalah hari penting buat keluarga Syukri. Pada hari inilah pusara ayah dan ibunya serta adik-beradik lelakinya didirikan. Syukri masih dapat mengingati detik-detik dia mengusung jasad ayah, ibu dan adik beradiknya ke dalam liang lahad. Sebak menguntum di dada. Namun ditahankan sahaja air mata yang mahu mengalir.
Tikar dibentangkan, lalu mereka adik-beradik duduk bersimpuh di sisi pusara. Syukri mengeluarkan buku bacaan Yasin dan mula membacanya. Marcus dan Maria pula hanya berdiri dan menundukkan kepala masing-masing tanda hormat.
Tiba-tiba kedengaran Nora membacakan Al-Fatihah. Sepatah-sepatah dan liat benar ayatnya. Namun dia berjaya menghabiskan bacaan Al-Fatihah tersebut. Untuk seorang pesakit autisme sepertinya, ia adalah satu pencapaian yang bagus.
Syukri dan Fateha hanya menguntum senyum. Usaha mereka selama ini untuk melatih Nora agar mampu berkomunikasi dengan baik kini membuahkan hasil.
Tahu mengapa saya pilih surah Al-Fatihah? Mudah sahaja. Adik bongsu saya bernama Nur Fatihah. Di samping itu juga, Al-Fatihah juga merupakan surah pembukaan. Dalam novel ini, ia melambangkan satu permulaan yang baik untuk masa depan Nora yang telah berjaya mengatasi autisme tadi, dan menjalani kehidupan normal seperti orang lain.
Anda boleh melihat sendiri, bagaimana saya mengadunkan kisah-kisah peribadi saya menjadi sebuah fiksyen yang pada hemat saya, cukup simbolik dan juga peribadi pada saya sendiri. Barangkali, anda yang membaca naskhah ini nanti, akan melihat simbolisme yang cocok dengan tafsiran anda, berdasarkan pengalaman hidup anda sendiri.
Apa yang saya tegaskan di sini, setiap seorang dari kita, punya kisah hidup yang boleh diceritakan, dan juga boleh diputarbelitkan jalan ceritanya agar kita lebih memahami makna yang tersirat di sebalik kisah hidup itu tadi.
Saya melihat fiksyen begitu. Saya melihat proses penulisan itu selaku satu cara saya mengenal diri saya sendiri. Oleh sebab itulah, saya mengatakan proses penulisan merupakan satu terapi. Ia membawa saya dari satu hakikat ke hakikat kehidupan yang kadangkala saya sendiri tidak mahu menerimanya.
Dengan terus menulis, saya belajar untuk menjadi manusia yang lebih baik dan juga belajar untuk menerima sepenuhnya kekurangan diri ini. Dalam waktu yang sama juga, saya meraikan kelebihan yang ada dan tahu bagaimana untuk menggunakannya dengan lebih baik untuk kebaikan kita bersama.
~
Jangan lepaskan peluang untuk menemui Lokman Hakim di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) pada 6 Mei 2016 jam 4.30 petang, di mana Lokman akan berbicara lebih lanjut tentang novel Simulasi dalam forum “Penerokaan Cerita Sains Fiksyen”.
Novel Simulasi boleh didapati di PBAKL yang akan berlangsung pada 29 April – 9 Mei 2016 di booth PTS. Ia juga boleh dibeli secara atas talian di Portal PTS.
One thought on “Simbolisme di Sebalik Novel SaiFai “Simulasi””