Sempena kelahiran novel SaiFai terbaru Lokman Hakim bertajuk Simulasi terbitan Penerbit X, Pena SaiFai telah memutuskan untuk mengadakan Minggu Simulasi, khusus untuk meraikan novel istimewa ini. Bermula hari Isnin hingga hari Khamis, Pena SaiFai akan menyiarkan artikel-artikel bertemakan novel Simulasi. Semoga bermanfaat.
Bagaimana saya mula mengarang novel Simulasi?
Semua ini bermula pada 1hb Januari 2016. Saya memulakan penulisan di Starbucks Serdang ditemani lagu-lagu jazz dan juga rakan penulis, Ted Mahsun. Saya menaip 5,205 patah perkataan pada pagi itu. Saya bertukar lokasi, dari Starbucks Serdang ke Amcorp Mall, kerana kalau tidak berjalan, bagaimana saya mahu laju menulis?
Saya sentiasa memastikan rujukan dari internet tersimpan kemas di bahagian bookmark seperti berikut.
Mudah untuk saya membuat rujukan kemudian hari, mungkin anda juga boleh praktikkannya kalau dirasakan sesuai.
Oh ya, sambil menaip itu, saya ditemani bahan-bahan bacaan dan juga muzik seperti berikut, kerana saya percaya kombinasi bahan bacaan yang baik dan juga muzik yang sesuai akan membantu saya membangkitkan semangat menulis tadi.
Jazz Moods yang dibeli di Amcorp Mall
Membaca There Be Monsters oleh Julya Oui tatkala sesi menaip di malam hari
Mendengar lagu David Bowie yang terbaru dan terakhir. Lagu-lagunya menjadi latar ketika saya membina dunia simulasi dalam karya ini
Semua dah tersedia? Muzik, latar tempat menulis, bahan bacaan dan bahan rujukan. Saya masukkan ia dalam jadual saya. Lokasi tempat mengarang yang dipilih kali ini adalah:
- Starbucks Serdang
- MJK Banana Leaf Kinrara
- Old Town White Coffee, Cheras
- Bites Cafe di Lake Fields
- Perpustakaan Awam Taman Tun Dr Ismail
- Gloria Jean’s Coffee di AmCorp Mall
Asalkan tiada asap rokok berkepul-kepul dalamnya sudah memadai. Proses penulisan novel ini agak mudah kerana saya tidak terbelenggu untuk menuliskan sains yang setepatnya dan tiada halangan untuk menyelitkan fantasi. Namun begitu, saya masih cuba melebihkan pada elemen SaiFai untuk karya ini berbanding fantasi.
Secara kronologinya, saya menaip pada 1hb Januari 2016 dan draf pertama siap pada 21hb Januari 2016. Jika dirujuk pada instagram saya, saya ada merekodkan jumlah patah perkataan yang telah ditaip seperti berikut:
Hari 1 : 5,205 patah kata
Hari 7: 27,000 patah kata
Hari 9 : 34, 042 patah kata
Hari 10 : 37,000 patah kata
Hari 15 : 44,481 patah kata
Hari 16 : 49,763 patah kata
Hari 17 : 52,529 patah kata
Hari 20: 59,000 patah kata
Hari 21: 62, 193 patah kata
Draf pertama yang telah selesai dikarang dari 1hb Januari 2016 – 21hb Januari 2016
Sebaik sahaja usai menyiapkan draf pertama, saya mencetaknya dan menjilidkan naskhah itu untuk memudahkan saya menyemaknya. Proses penyemakan typo dan juga plot-plot lompong mengambil masa sehari. Pada hari ke-22, draf pertama manuskrip diemelkan ke Penerbit X.
Draf pertama yang dicetak untuk tujuan semakan
Untuk proses penulisan ini, terdapat beberapa lakaran yang harus dibuat untuk memudahkan saya memberi gambaran jelas ke atas apa yang berlaku dalam babak demi babak yang saya karangkan.
Gambaran keadaan dalam salah satu simulasi yang terdapat dalam novel ini
Konsep dadu dan juga bulan – garapan dan manipulasi konsep
Menulis novel tetap perkara yang sukar. Anda boleh melihat senarai kafe-kafe yang saya tujui. Jaraknya jauh-jauh belaka. Pemilihan kafe itu agak cerewet juga kerana entah apa dalam kepala saya ini, memilih kafe yang kurang sesak dengan orang. Apabila idea saya mati, saya akan berjalan keluar dari kafe tersebut dan berpindah untuk menulis di tempat lain. Ia satu proses mempermudakan idea yang berterusan dan dipaksa.
Perancangan plot amat penting. Tanpa merancang plot untuk sesi penulisan seterusnya, saya yakin, saya tidak mungkin dapat menyiapkan karya ini dalam tempoh sesingkat ini. Saya sentiasa memikir plot sewaktu lengang tidak bekerja. Saya bawa sentiasa buku nota saya dan sebatang pen, dan menuliskan plot sebaik sahaja terbitnya masa senggang. Konsistensi amat penting juga. Sentiasa menggunakan masa yang ada dengan produktif. Tidak boleh beri ruang langsung untuk bermalas-malasan.
Walaupun saya seorang yang pantas menulis, tetapi ia adalah hasil dari latihan dan komitmen penulisan yang tinggi (dan merepek). Saya percaya, masih jauh lagi perjalanan saya dalam dunia penulisan. Banyak lagi yang saya hendak terokai dan perbaiki untuk menjadi seorang penulis yang baik. Saya sentiasa meragui kualiti penulisan saya, tetapi tidaklah bermakna apabila saya ragu, maka saya harus berhenti menulis. Saya belajar untuk menambahbaik kualiti penulisan saya dengan terus menulis dan belajar dari persekitaran saya.
Nasihat saya kepada anda yang mahu jadi penulis yang super-prolifik mudah sahaja.
Berdisiplinlah menulis dan membaca setiap hari tanpa henti walaupun jiwa itu mati.
~
Jangan lepaskan peluang untuk menemui Lokman Hakim di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) pada 6 Mei 2016 jam 4.30 petang, di mana Lokman akan berbicara lebih lanjut tentang novel Simulasi dalam forum “Penerokaan Cerita Sains Fiksyen”.
Sinopsis Simulasi:
Syukri mahukan kehidupannya kembali. Nora dengan penyakit autisme sedang bergelut dengan refleksi seorang lelaki aneh yang mahu masuk ke dalam hidupnya. Fateha pula berhempas-pulas untuk membantu Nora keluar dari kesukaran autisme itu.
Sebuah manuskrip telah mengubah hidup mereka. Mungkin sekadar penulisnya. Ataupun editornya. Tiada siapa yang pasti.
Bulan berbentuk kiub berapungan di langit menjadi enigma buat mereka yang menyedari. Namun begitu, tidak semua yang menyedari kejanggalan pada bulan tersebut.
Malaysia. Tahun 2032. Hidup agak sukar. Namun manusia sentiasa ada jalan keluar. Kadangkala jalan keluarnya tidak semestinya sama dengan apa yang pernah dibayangkan. Mungkin juga kehidupan itu hanya satu simulasi.
Novel Simulasi boleh didapati di PBAKL yang akan berlangsung pada 29 April – 9 Mei 2016 di booth PTS. Ia juga boleh dibeli secara atas talian di Portal PTS.
2 thoughts on “Kronologi Mengarang Novel SaiFai “Simulasi””