Kita bersambung dengan sesi wawancara bersama Asmar Shah, seorang penulis muda yang berbakat dan sentiasa tersenyum ceria. (Baca Bahagian 1.) Di sini kami sertakan biodata ringkas beliau (diambil dari novel sulungnya Bolot):
Asmar Shah berasal dari Sandakan, Sabah dan sekarang bermukim di Shah Alam, Selangor. Pendidikan yang diterokai hanya secondary school sahaja dan kini menjadi kuli-kuli tegar di bumi Allah. Sebelum ini, hanya menulis cerpen dengan Buku Hitam Press di dalam enam buah naskhah dan cerpen di dalam Iretaliate dari Lejen Press sendiri serta The V (Project V) dari Terfaktab Media. Seorang yang biasa-biasa. Tidak mempunyai paras, rupa persis pelakon Tom Welling atau Aaron Taylor Johnson dan tidak juga sebijak manusia-manusia yang terkenal di dunia ini dengan kebijaksanaan otak yang dianugerahkan. Tapi satu yang tetap tersemat di dalam hati, bahawa dunia ini dan takdir hanya ditentukan oleh Yang Maha Esa. Peluang dan ruang akan sentiasa ada! Oh ya, encik penulis ini baru ingin berjinak-jinak di dalam dunia penulisan! Jadi mari kenali dia dan karakter-karakter yang lahir dari mindanya.
Asmar banyak menulis cerpen dengan penerbit-penerbit indie seperti Buku Hitam Press, Lejen Press dan Terfaktab Media. Boleh Asmar senaraikan kesemua cerpen-cerpen itu?
Saya menulis cerpen-cerpen ini sekadar untuk cuba memperbaiki mutu penulisan saya yang masih amatur. Isi dalam cerpen yang terhasil juga masih mentah dan banyak yang perlu diperbaiki. Bak kata orang, kita kena bertatih dulu jikalau ingin berjaya. Tidak semestinya cerpen saya banyak tersiar menampakkan yang saya bagus. Masih banyak lagi kekurangan apa yang saya tulis. Ada lagi yang lebih baik di luar sana.
Tajuk naskhah yang mengandungi cerpen saya:
–Titah Bukan Sabda (November 2013)
–Maut Sebelum Ajal (Disember 2013)
–Iretaliate (Disember 2013)
–The V – Project V (2014)
–Kopi Lejen (Disember 2014)
–Lebih Indah (2014)
–Suara Dari Langit (April 2014)
–Berat Sebelah Kiri (April 2014)
–Tanah Tumpah Darah (April 2014)
–Bidadari Buat Syaitan (April 2014)
–Roadtrip (April 2015)
–Kembali ke Bumi (April 2015)
–Antara Dua Sangkakala (April 2015)
–Kala Langit Runtuh (April 2015)
–Cinta Hipster (Februari 2016)
Syarat utama untuk menjadi penulis yang baik, kita perlu membaca banyak karya penulis-penulis yang baik juga. Jadi siapakah antara penulis (dalam negara dan luar negara) yang Asmar sukai? Mengapa Asmar meminati mereka?
Saya tidak pasti penulis mana yang saya minat. Saya lebih fokus kepada bahan bacaan. Saya akan tanya kepada sesiapa saja, mengenai buku apa yang bagus untuk dibaca. Dan saya lebih banyak melihat review-review pembaca di Goodreads apabila ingin membaca sesebuah buku. Walaupun penulis itu penulis terkenal dan popular tapi jika bukunya kurang menepati citarasa saya, saya akan hold dulu atau tidak akan baca sama sekali. Pendek kata, saya membaca buku secara rawak. Jika bukunya seronok dibaca, saya akan minat penulis itu (Pada masa itu sahaja). *senyum*
Jika tak keberatan, ceritalah serba sedikit tentang buku-buku baru Asmar yang bakal terbit tidak lama lagi. Apakah tema dan genre yang ditampilkan? Bilakah karya-karya ini akan dilancarkan?
Baru-baru ini, sebuah buku dari saya dan kumpulan penulisan saya yang awesome (abang Lokman Hakim dan Kak Dalila Dahri) telah terbit di bawah naugan Lejen Press yang berjudul Dua Nyawa. Cover kaler pink! Hehe.
Kalau ada rezeki, mungkin selepas ini saya akan terbit novel solo bersama dengan Lejen Press (kalau manuskrip penuh tak kena reject) bergenre thriller/psikotik.
Novel terbaru saya dengan Rumah Lipur Lara bertajuk Sekolah Bernama Kehidupan dan ianya bergenre realisme. Novel ini boleh dibeli di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) yang akan berlangsung pada 29 April – 9 Mei 2016 di Malaysia Agro Exposition Park Serdang (MAEPS).
Owh ya, ada sebuah lagi manuskrip yang sudah dihantar ke pihak penerbit (Fixi). Novel tiga penulis juga tapi kali ini melibatkan penulis bestseller Ariff Adly bersama dengan Lokman Hakim. Tapi kami masih tidak pasti jika ianya akan diterbitkan atau tidak. Harapan kami sangat tinggi untuk manuskrip yang sudah dua tahun tergendala untuk disiapkan itu. Yeah! Buat masa ini, hanya itu perkembangan karya saya.
Apakah rutin harian Asmar bagi menyiapkan sebuah karya? Adakah Asmar menetapkan deadline kepada diri sendiri, atau menunggu deadline daripada para penerbit?
Saya adalah penulis yang selalu ditemani dengan sahabat yang bernama MALAS. Jadi saya menulis sangat lambat. Maka, setiap hari saya akan cuba memujuk diri untuk menulis walau sedikit. Bak kata orang lama-lama jadi bukit. Tapi sepanjang saya cuba menyiapkan karya itu, saya MESTI baca buku. Supaya bahasa saya tidak terlalu teruk. Selalunya, saya yang akan menentukan deadline sendiri untuk karya solo. Dan jarang ada penerbit yang menentukan deadline kepada saya. Sebab saya bukan penulis bestseller. Tapi saya lebih suka buat berkumpulan sebab ada deadline yang ditetapkan dan saya akan push diri untuk menulis. Tapi apa-apa pun, jangan contohi cara menulis saya. Hahaha…
Soalan terakhir! Boleh kongsikan apa perancangan Asmar bagi karya-karya seterusnya? Adakah Asmar akan terus menulis dalam genre SaiFai, atau cenderung untuk meneroka genre-genre lain juga?
Saya sebenarnya sangat suka untuk menghasilkan karya SaiFai. Banyak yang boleh dikarutkan di dalam cerita itu. Cuma saya agak takut dengan hasilnya yang tidak cemerlang. Maka, saya cuba rendamkan kaki ke dalam genre-genre yang lain. Seperti thriller, realisme dan lain-lain. Tapi buat masa ini, genre cinta dan Islamik saja yang saya masih belum terfikir nak buat. Sebab saya tahu saya masih tak mampu. Pendek kata, saya akan cuba hasilkan genre apa saja yang saya rasa mampu untuk hasilkan.
~
Novel Bolot boleh dibeli secara atas talian dari laman web Fixi, Lejen Press atau MPHOnline.
Novel Dua Nyawa boleh dibeli secara atas talian dari laman web Fixi, Lejen Press atau bookcafe.com.my.
Jangan lepaskan peluang untuk menemui Asmar Shah yang akan berada di MAEPS semasa berlangsungnya PBAKL (ikuti jadual di bawah untuk maklumat lanjut).
Buku Sekolah Bernama Kehidupan juga boleh didapati dengan menghantar Whatsapp kepada Lili seperti maklumat di bawah (tawaran sah sehingga 28 April 2016 sahaja).
One thought on “Wawancara Bersama Asmar Shah, Penulis Novel SaiFai “Bolot”, Bahagian 2”