Minggu ini Pena SaiFai berpeluang mewawancara Asmar Shah, seorang penulis muda yang berbakat dan sentiasa tersenyum ceria (tak percaya, lihat gambarnya). Di sini kami sertakan biodata ringkas beliau (diambil dari novel sulungnya Bolot):
Asmar Shah berasal dari Sandakan, Sabah dan sekarang bermukim di Shah Alam, Selangor. Pendidikan yang diterokai hanya secondary school sahaja dan kini menjadi kuli-kuli tegar di bumi Allah. Sebelum ini, hanya menulis cerpen dengan Buku Hitam Press di dalam enam buah naskhah dan cerpen di dalam Iretaliate dari Lejen Press sendiri serta The V (Project V) dari Terfaktab Media. Seorang yang biasa-biasa. Tidak mempunyai paras, rupa persis pelakon Tom Welling atau Aaron Taylor Johnson dan tidak juga sebijak manusia-manusia yang terkenal di dunia ini dengan kebijaksanaan otak yang dianugerahkan. Tapi satu yang tetap tersemat di dalam hati, bahawa dunia ini dan takdir hanya ditentukan oleh Yang Maha Esa. Peluang dan ruang akan sentiasa ada! Oh ya, encik penulis ini baru ingin berjinak-jinak di dalam dunia penulisan! Jadi mari kenali dia dan karakter-karakter yang lahir dari mindanya.
Sebelum kita berbicara lebih lanjut tentang novel Bolot terbitan Lejen Press, mari kita baca dahulu sinopsisnya.
Pengembaraan ke zaman futuristik yang menggunakan mesin masa yang masih di dalam percubaan, langsung tidak diduga oleh Ads dan rakan-rakannya selepas bertemu dengan Khaizrul ; lelaki yang dianggap kurang waras oleh Ads yang kononnya datang dari zaman hadapan.
Mereka masuk ke dalam relung masa dan berpijak ke dunia yang semakin huru-hara yang diperintah oleh sang kapitalis berhati kering.
Pelbagai momen yang harus dihadapi. Juang atau mati?
Perjuangan dan kematian akan dilalui. Mereka berharap ianya hanya sekadar mimpi. Namun ianya bukan imaginasi tapi sebuah realiti!
Bagi Ads, semua yang terjadi saling bersangkut-paut dengan kehidupan masa lampau keluarganya. Mimpi-mimpi yang mengganggu hidupnya, akhirnya terungkai apabila pertemuannya dengan Profesor Junaidi.
Tapi pertemuan dan perpisahan adalah takdir yang telah ditentukan oleh Sang Tuhan yang Maha Esa. Dan tiada siapa yang tahu akan kesudahannya.
Adakah pengembaraan ini akan memberi satu erti kepada mereka atau membawa kepada sebuah kedukaan yang sukar untuk dipadam di dalam benak minda? Adakah mampu Ads dan rakan-rakannya pulang semula ke zaman asal?
Novel Bolot merupakan karya Asmar Shah yang pertama kali diterbitkan. Ceritanya mempunyai elemen SaiFai, berkisar tentang konsep pengembaraan merentas masa dan perjuangan watak-watak utamanya pada latar yang futuristik, iaitu pada tahun 2100. Mengapa Asmar memilih untuk menulis dalam genre sebegini?
Sebenarnya sudah lama saya berharap dapat menghasilkan cerita mengenai rentas masa mengikut imaginasi saya sendiri. Tapi tidak berkesempatan dan tidak tahu hendak diberikan kepada siapa sejurus saya menyiapkan nanti. Tapi apabila mengenali penerbitan indie yang sekarang saya tidak pasti sama ada masih indie atau tidak, maka saya mencuba dan syukur sebab impian itu terlaksana juga walaupun hasilnya hanyalah suam-suam kuku dan agak klise. Malahan sangat sukar untuk diterima pembaca di luar sana sebab Bolot berunsurkan Saifai. Ada juga Mak Cik-Mak Cik kat luar sana yang tidak boleh hadam akan novel ini. Saya pun tidak pasti kenapa. Mungkin tulisannya sangat kebudak-budakan kot. *Senyum*
Apakah antara filem, buku atau lagu yang menjadi inspirasi dan rujukan untuk Asmar menulis Bolot?
Saya banyak terpengaruh dengan cerita/movie Hollywood. Terutamanya Back To The Future. Kesemua siri wayang itu saya tengok. Dan pendek kata, saya memang lebih banyak dan gemar menonton cerita orang putih berbanding cerita-cerita melayu. Imaginasi mereka terlalu luar biasa. Di samping itu, saya suka dengan karya Sahidzan Salleh -– Kolonial Mimpi dan karya Fadli Al-Akiti — Saga Horizon pada masa itu, kerana saya memang tertarik dengan cerita pasal perjuangan.
Ceritalah sedikit mengenai pengalaman Asmar menulis Bolot. Berapa lama masa yang diperlukan untuk menyiapkannya? Apakah teknik dan strategi yang Asmar gunakan untuk memastikan karya ini siap sepenuhnya?
Saya menulis Bolot selama dua bulan. Siap edit. Waktu itu saya sangat teruja apabila menerima e-mel susulan dari pihak Lejen Press yang mengatakan manuskrip awal saya itu diterima dan lulus untuk penilaian yang seterusnya. Maka, saya cuba siapkan dengan segera walaupun punyai kekangan masa dan badan keletihan disebabkan kerja di sebuah kedai barang terpakai. Saya cuba untuk menulis sehari satu bab. Jikalau terlalu penat, saya cuba pujuk diri untuk tulis walau sebait perkataan. Yang penting saya tulis walau satu huruf.
Dalam bab 27, Asmar menulis tentang suasana di sebuah pusat membeli-belah bernama Bangunan Kristal di Kota Besar pada tahun 2100. Inilah sedutannya:
Suasana sekeliling di Kota Besar sentiasa kelihatan sibuk. Tidak pernah lekang dari kelibat manusia yang meneruskan keberlangsungan hidup. Pelbagai ragam dan rencah hidup manusia dapat dilihat di merata penjuru. Zaman yang telah berubah mengubah seratus-peratus kehidupan manusia dan cara hidup mereka. Melayu yang dahulu sopan dan tertib sudah ditelan peradaban. Islam yang suatu masa dahulu kukuh di tanah melayu, semakin malap akibat hilang tokoh-tokoh agama dan penghalangan beragama di kawasan terbuka oleh pihak kerajaan. Inikah dunia yang akan dikecapi kelak? Kemodenan mengatasi segalanya dan manusia terus semakin lupa tentang sesuatu yang penting di dalam jiwa?
– halaman 222, Bolot
Boleh Asmar terangkan dengan lebih lanjut, mengapa Asmar memilih untuk mengutarakan persoalan-persoalan sedemikian?
Mungkin kerana persekitaran kita sekarang ni semakin lama semakin ditelan arus kemodenan yang terlalu buas. Lihat saja para remaja sekarang, mudah terpengaruh dengan keadaan semasa yang menggila. Berapa saja pelapis di negara ini yang akan menjadi contoh di masa hadapan kelak yang kita boleh perhatikan di dalam negara ini. Silap-silap, kosong/tiada. Dan agama kini turut dijaja dan dijual untuk mendapatkan keuntungan pada diri-sendiri. Undang-undang juga banyak yang dilaksanakan mengikut sedap hati dan rasa. Maka, tidak mustahil suatu hari, benda itu akan berlaku. Para agamawan pun kekadang hanya sekadar melaksanakan tugas atas angin. (Mungkin/sebilangan.)
Asmar menulis satu petikan yang cukup menarik di dalam novel ini:
Rakyat negara ini sendiri yang impikan semua ni, Ads. Mereka beriya-iya tumbangkan kerajaan yang sedia-kala konon untuk memperjuangkan hak rakyat. Namun apabila satu kekejaman tumbang, maka kekejaman lain akan muncul malahan lebih kejam dari yang lalu. Kita dianugerahkan otak untuk berfikir, namun kalau hati dah tertutup dengan hasutan dan janji manis, takde siapa yang harus dipersalahkan! Semua inginkan yang terbaik, tapi semua lupa, takkan ada yang paling terbaik di dunia ini melainkan Tuhan Yang Satu! Aku takkan menyalahkan sesiapapun dalam masalah ni. Cuma aku hanya sedikit kecewa dengan kebodohan rakyat negara ini sendiri.
– halaman 278, Bolot
Situasi ini sebenarnya telah pun berlaku secara realiti kepada negara-negara di luar sana, contohnya Syria dan Iraq yang kini di bawah penguasaan ISIS. Yang sebenarnya, strategi membodohkan dan menakut-nakutkan rakyat sudah kerap digunakan sebagai senjata yang sangat ampuh buat para pemerintah yang mahu mengekalkan kekuasaan mereka. Inikah yang mendorong Asmar untuk menulis petikan ini?
Ya. Salah satunya adalah disebabkan oleh situasi dunia yang semakin menjadi-jadi. Di samping itu, saya ada membaca sebuah buku dan artikel di laman sesawang (sewaktu dalam proses menyiapkan novel ini dan saya sudah lupa buku apa yang saya baca itu) mengenai politik di beberapa buah negara. Penulis itu ada mengatakan bahawa, banyak negara yang menjadi semakin mundur dan teruk hanya selepas tampuk pemerintahan kerajaan berubah. Bukan bertambah baik tapi sebaliknya. Hasil negara hanya digunakan untuk kegunaan peribadi. Rakyat diabaikan. Dan selain itu, pada waktu itu, saya melihat keadaan politik negara ini yang boleh dikatakan sangat teruk (sehingga hari ini). Bermacam yang berlaku dalam masa terdekat (tahun itu). Semua berkelahi untuk merebut sesebuah kawasan. Tapi ‘kawasan’ yang diperintah seperti dianaktirikan. Bak kata peribahasa, kera di hutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan. Maka, saya cuba selitkan petikan itu sedikit bagi memandangkan sesuai dengan jalan cerita novel ini.
Sedikit sedutan dari bahagian epilog:
Cerita dalam buku ni, bukanlah nak mengagungkan atau supaya manusia yang membaca cerita ini akan mempercayai bahawa mesin masa boleh diwujudkan. Tapi penulis cerita ni, nak membawa pembaca mengetahui bahawa persahabatan yang terjalin sukar dihapuskan walau apa pun terjadi. Persahabatan antara Ads, Faisal dan Nad. Lepas tu, perjuangan juga menjadi fokus penulis walaupun penulis bukanlah menulis sehebat penulis-penulis yang ada kat Malaysia ini. Dia juga ingin menyampaikan mesej di dalam penulisannya, bahawa kejahatan pasti akan tumbang juga di dunia ini. Memang ramai yang akan mengetahui ending cerita-cerita sebegini, hero atau heroin pasti akan menang. Klise sangat kata mereka, tapi yakinlah selagi berpegang pada yang Satu, Maha Esa, kejahatan takkan pernah menang walaupun beribu tahun akan datang.
– halaman 297, Bolot
Selain daripada tema persahabatan dan perjuangan, Asmar menekankan mesej bahawa kejahatan tidak akan selama-lamanya mampu bertahan selagi kita berpegang kepada kuasa Allah SWT. Adakah Asmar terdetik menulis tema sebegini selepas menyaksikan suatu ketidakadilan atau kejahatan yang berlaku di alam realiti (Palestin contohnya)?
Menulis tema berkaitan dengan agama dan perjuangan orang Islam? Sebenarnya sesiapa saja pun ingin melakukan perkara sebegitu. Cuba menolong saudara-saudara yang jauh di sana walau hanya menyedarkan sesiapa di dalam penulisan ataupun apa saja yang mereka mampu. Tapi saya, cuma menulis dalam skop yang kecil mengenai hal itu. Saya rasanya belum mampu untuk menulis dengan lebih luas berkaitan tema tersebut. Oleh sebab itu, hanya apa yang mampu saya fikirkan kala itu, hanya itu yang saya berani untuk selitkan di dalam novel saya. Saya lebih takut jika apa yang saya perkatakan itu tidak tepat.
~
Minggu depan: Ikuti perkongsian Asmar tentang rutin penulisannya, serta karya-karya terbarunya yang terbit pada tahun 2016.
Novel Bolot boleh dibeli secara atas talian dari laman web Fixi atau Lejen Press.
One thought on “Wawancara Bersama Asmar Shah, Penulis Novel SaiFai “Bolot”, Bahagian 1”