Persediaan untuk Menulis Novel Fiksyen Sains dalam Masa Singkat

Menulis sebuah novel adalah perbuatan rumit. Ketika pelancaran Cerpen Terbaik 2015, saya dilabelkan selaku seorang penulis yang menakutkan dan diletak jolokan “writing machine“.FB Zaki

Saya anggap ia selaku satu pujian kerana saya telah berjaya melakukan satu perkara yang sukar dalam masa singkat — yakni menulis 17 buah manuskrip dalam masa dua tahun dengan 8 daripadanya telah terbit.

Lokman's Manuscript

Ia menyakinkan saya untuk membicarakan perihal kaedah menulis novel dengan cepat dengan anda semua. Mungkin boleh dipraktikkan oleh anda juga. Manalah tahu, bukan?

Namun kali ini saya bukan mahu membicarakan perihal kegilaan saya menulis novel tadi. Saya percaya, apa yang saya lakukan ini bukanlah satu perkara yang mustahil untuk dituruti penulis-penulis lain. Barangkali anda boleh mengadaptasi sedikit demi sedikit kaedah-kaedah yang saya gunakan dalam menulis.

Baik, saya akan kongsikan cara-cara untuk menulis sebuah fiksyen sains dalam masa yang singkat. Baiklah, saya letak durasinya sebulan. Susah? Baik, saya huraikan caranya.

Untuk menulis fiksyen sains dalam masa singkat, keperluan pertama sekali adalah anda selaku penulis itu sendiri harus sukakan sains itu sendiri. Anda sentiasa mengambil tahu perkembangan dalam dunia sains global.

Terdapat lambakan buku-buku yang memudahkan kita memahami konsep sains pada asasnya di pasaran pada harga berpatutan. Tidak perlu mengikuti lambakan kertas-kertas penyelidikan yang kita ketahui agak kompleks untuk difahami oleh golongan yang bukan pakarnya. Namun begitu, jika punya masa, bacalah semuanya. Tidak salahpun.

Rujukan MSS 16Apabila kita sentiasa berada dalam keadaan sedar akan perkembangan sains di sekitar kita, ia sudah jadi bonus dalam proses penyiapan manuskrip fiksyen sains dalam masa singkat.

Keperluan kedua pula, mengetahui perkembangan semasa akan insiden-insiden yang terjadi dalam negara. Ini penting untuk anda yang mahu menulis novel spekulatif atau futuristik. Saya sendiri telah menulis novel yang berlatarkan 16 tahun akan datang. Ekonomi, sosial dan politik. Sentiasa perhatikan apa yang berlaku dan lihatlah impaknya kepada masyarakat. Seperti contoh, pengenalan GST. Apa impaknya? Benda-benda ini harus dilihat secara neutral jika anda mahu menuliskannya selaku bahan di dalam novel anda.

Keperluan ketiga, anda haruslah seorang pembaca tegar. Anda baca banyak buku-buku yang berlainan genre. Anda baca buku ilmiah. Anda baca buku berat-berat. Anda juga biasa menganalisa setiap buku yang anda baca dan anda sentiasa cuba memahami bagaimana penulis tersebut menuliskan karyanya. Cintailah sastera itu, kerana tanpa cintakan sastera, bagaimana mahu menulis?

Books and Laptop

Anda telah punya pengetahuan semasa dalam sains dan juga rangkaian peristiwa-peristiwa penting dalam masyarakat. Anda juga punya perbendaharaan kata yang luas dan lambakan idea-idea penulisan akibat pembacaan yang pelbagai. Wow. Anda hebat. Maka bagaimana pula hendak aplikasikannya dalam proses penulisan pula?

Penulisan novel adalah satu proses pembelajaran. Saya sendiri tidak boleh menulis novel dalam masa sebulan untuk novel pertama saya. Saya mula laju menulis pada penulisan manuskrip ke 7, itupun kerana saya menyertai National Novel Writing Month, di mana anda perlu menulis sebuah novel pada 50,000 patah kata dalam masa sebulan. Ia satu praktis yang bagus, kerana anda boleh menyelaraskan pemikiran anda untuk menyiapkan novel tersebut dalam masa yang diletakkan.

1. Pilih subjek sains yang anda selesa dan gemar.
Perhatian, saya kata sesuatu yang anda selesa, bukan SENANG. Kerana saya percaya, apabila kita lebih akrab dengan sesuatu tajuk itu, kita akan lebih bersemangat untuk membuat kajian ke atas subjek tersebut. Apabila menaipnya, ayat akan mengalir umpama empangan air yang pecah. Banjir besar.

2. Letak deadline.
Katakan anda mahu menyiapkannya dalam tempoh masa sebulan. Buat pengiraan ke atas jumlah patah kata yang anda hendak tulis dalam masa sehari. Secara logiknya, sebuah novel 60 ribu patah kata memerlukan anda menaip sekurang-kurang 2,000 patah kata dalam masa 30 hari. Namun begitu, jangan terletak statik pada 2,000 patah kata. Jika boleh, tulis lebih. Akan ada masanya kita punya masa yang lengang, maka gunakan peluang itu untuk taip 5,000 patah kata, contohnya.

3. Binakan jadual menulis dan disiplin.
Anda bukan penulis sepenuh masa. Baik, saya faham. Saya sendiri juga bukan penulis sepenuh masa. Maka, anda harus buatkan jadual menulis. Kenal pasti bila waktunya anda lengang untuk menulis. Jika memilih untuk menulis pada waktu pagi, pastikan tidurnya cukup. Badan letih, tidak akan memudahkan proses penyiapan novel. Ia akan jadi satu paksaan pula.

4. Perangkaan plot/pemahaman ke atas konsep cerita.
Kekuatan fiksyen sains pada hemat saya adalah jalan ceritanya, maka lekas-lekas tuliskan jalan cerita tadi. Buatkan dalam bentuk poin-poin penting. Buatkan seringkas mungkin. Apa yang penting adalah, anda harus jelas dengan jalan ceritanya semasa menaipkannya. Bukan terkial-kial memikir jalan cerita semasa proses penulisan berlangsung.

Library

Saya sarankan, sepanjang sebulan itu, anda sentiasa memikirkan cerita anda. Jangan sekali-kali berhenti kalau boleh. Ketika makan tengahari, keluarkan buku nota anda, tulis poin-poin anda. Jika anda rasa banyak masa dihabiskan di media sosial, kurangkan tabiat itu, dan tuliskan poin-poin anda. Paksa otak itu untuk berfikir.

5. Tulis fiksyen sains atau buku fakta sains?
Sesetengah orang berpendapat, menulis fiksyen sains memerlukan anda meletak informasi sains yang terperinci di dalam novel anda. Ketahuilah perbezaannya antara menulis kertas kajian dengan fiksyen sains. Jika kertas kajian sains memerlukan anda meletakkan huraian yang terperinci dan juga penuh teknikal, fiksyen sains tidak begitu. Memadailah anda meletakkan konsep yang tepat untuk idea sains yang dikemukakan itu tadi. Oleh itu, dapatkan naskhah-naskhah sains yang asas. Ketahui konsep asas tadi dan aplikasikannya. Tak perlu letakkan formula yang rumit.

6. Semak draf manuskrip anda.
Apabila siap menulis draf pertama, saya akan mencetak manuskrip tadi untuk keselesaan membaca. Pembacaan semula manuskrip sebenarnya meletihkan, bahkan kita cenderung untuk terlepas pandang aspek-aspek penting yang terabai dalam manuskrip tadi. Saya selesa mencetak manuskrip saya sendiri dan menyemaknya perlahan-lahan seperti kita membaca novel.

Cetak

Sebab itu, perkara pertama yang saya lakukan apabila mendapat royalti buku adalah membeli sebuah mesin pencetak yang efisien dan kertas-kertas A4. Untuk menyelaraskan minda tadi yang keletihan setelah menaip draf pertama, buat kerja-kerja yang santai. Mungkin baca novel-novel lain atau buku-buku puisi, yang tiada kaitan langsung genre ataupun temanya dengan karya yang kita tulis. Mungkin juga boleh tengok wayang atau beriadah. Terpulang pada individu masing-masing, tetapi kalau boleh jangan berehat terlalu lama. Cukup 2 atau 3 hari, semaklah manuskrip anda. Ingat, anda ada tarikh tutup. Patuhlah pada tarikh yang ditetapkan itu.

Kesimpulannya, saya setuju apa yang saya praktikkan di atas barangkali tidak sesuai dipraktikkan oleh semua penulis. Setiap penulis ada kaedahnya yang tersendiri. Namun begitu, saya percaya, kita sedang mengarang karya kreatif, jadi cubalah jadi kreatif dalam apa-apa aspek pun.

Baiklah, sebagai contohnya, saya membayangkan satu babak cerita menarik. Saya rasa, saya nak letakkan babak itu di tengah-tengah manuskrip saya. Saya akan kembangkan ia dari tengah, bergerak ke depan dan juga ke belakang. Ini satu contoh. Oh, boleh jadi juga seseorang sedang memuatnaik status menarik di twitter. Bagaimana dia boleh terdetik untuk menaip status tersebut? Proses pemikiran itu mungkin boleh jadi cerita yang menarik untuk dituliskan.

Akhir kata, pelbagaikan kaedah penulisan anda, agar momentum penulisan tadi terus kekal padu dan tidak meletihkan.

~

Berkaitan: Ikuti juga “Wawancara bersama Lokman Hakim, penulis prolifik” yang pernah tersiar dalam Pena SaiFai pada 20 Januari 2016.

Advertisements

5 thoughts on “Persediaan untuk Menulis Novel Fiksyen Sains dalam Masa Singkat

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s