Wawancara bersama Dr. Idris Boi, Penulis Novel SaiFai “Klon”

Pena SaiFai kali ini mendapat peluang berbicara dengan seorang pengarang prolifik yang terkenal dari Sarawak, Dr. Idris Boi.

Idris Boi with Trophy

Di sini disertakan biodata Dr. Idris Boi seperti yang tersiar di laman web UTM Press:

Idris Boi dilahirkan pada 3 Mac 1954. Lulusan Senior Cambridge dari St. Joseph Secondary School, Kuching. Memperoleh Diploma Pertanian dari Universiti Putra Malaysia (UPM) Serdang, Selangor. Melanjutkan pelajaran di Colombia University, Amerika Syarikat (dalam bidang HRD–1998), Berkeley International University (USA HRD–2000), dan Ph.D. di Golden State University, Wyoming, USA (Management-2005).

Menjadi guru sandaran di Sek. Men. Keb. Tun Abang Haji Openg (guru sains dan Inggeris), Pegawai Bank Utama (M) Bhd., Pegawai Eksekutif Pemasaran–Komal Sdn. Bhd., A Kodak Company (USA) Wilayah Sarawak, Editor Utusan Sarawak dan Utusan Borneo, pensyarah sambilan serta penceramah bebas motivasi/keluarga bahagia untuk Jabatan KPSU, Pejabat Daerah, KEMAS, PEMADAM, BTN, dan lain–lain.

Aktif dalam dunia penulisan khususnya sastera Melayu. Pernah menjadi Ketua–II PEKASA, ahli GAPENA. Banyak menulis rencana politik, ekonomi, sosial, budaya dan pembangunan, isu global dan sastera seperti puisi, cerpen, drama radio RTM Kuching, dan novel.

Pernah memenangi Anugerah Shell Kenyalang tiga kali berturut–turut (1994–1996) dalam penulisan esei. Penulis Terbaik AZAM (1994–1996) untuk esei dan jurnalisme, menerima hadiah daripada Jabatan Penerangan Sarawak, Perpustakaan Negeri Sarawak untuk tulisan esei, Hadiah Penghargaan Penulis Sarawak (tempat kedua) genre cerpen Tong Drum (1994) DBP.

Antara karya yang pernah diterbitkan ialah Antologi Cerpen Meminggir (1997) DBP, novel Permata Desa (2000) DBP, Pelagus–Antologi Sastera Sarawak (2003) DBP, Antologi Puisi Wilayah–Bandaraya 2004: Kota Gemilang Warisan Kita (2004) DBP, Puisi “Lok Cinta” (PEKASA–2007), novel Wasiat Ayah (2005) DBP, Sumpah Anak Bumi (2006) DBP, Bujang Senang: Legenda Sebuah Cinta (2008–BUKU PRIMA (Alaf 21), Klon (2015) Utusan Publications & Distributors, dan Sayang Sarawak (2015) DBP. 

Sebagai permulaan, boleh Dr. Idris berkongsi bagaimana Dr. boleh menceburi bidang penulisan kreatif?
Mula menulis sudah lama. Sejak tahun 70-an lagi tetapi rencana dalam bahasa Inggeris untuk suratkhabar Borneo Bulletin. Dibayar RM 16.50 suku muka surat. Saya juga banyak menulis skrip drama radio RTM Kuching dan juga persembahan bangsawan tiga babak. Pernah mengadakan bangsawan di balairaya Kpg. Lintang,  Kpg. Tabuan, Kpg. Gita (Pinang Jawa) dan Kpg. Meludam dibayar RM10.00 satu malam.

Sejujurnya saya tak pernah ikut bengkel tapi banyak membaca karya novel terbitan DBP sebagai panduan.

Tahniah Dr. Idris kerana berjaya memenangi tempat ketiga Sayembara Fiksyen Sains dan Teknologi UTM-Kumpulan Utusan (Sayembara SaiFai) Musim Ketiga melalui novel Klon. Dengan ketebalan mencecah 400 muka surat, ini merupakan novel paling tebal dalam sejarah Sayembara SaiFai. Kita semua tahu bahawa penulisan novel SaiFai memerlukan penelitian dan kajian yang mendalam. Berapa lamakah masa yang diambil oleh Dr. untuk menulisnya, dan apakah rujukan yang digunakan oleh Dr. untuk menghasilkan kisah ini?

Klon

Terima kasih. Saya ambil 4 bulan setengah untuk menyiapkan novel Klon. Merujuk buku Kelahiran Manusia Klon Pertama oleh Imam Musbikin terbitan Diva Press 2010.

Kelahiran Manusia Klon Pertama

Juga buku Art of Deception, America, Freemason, Zionis. Mereka Menipu Dunia oleh Jerry D. Gray. PTS 2012.

Art of Deception

Memperkatakan tentang New World Order (NWO) yang dilaksanakan oleh kader-kader Iluminati tetapi didalangi Amerika Syarikat.

Bila melihat senarai karya Dr. Idris sebelum ini, Dr. lebih banyak menulis novel bertemakan sejarah dan kemasyarakatan. Apakah faktor yang mendorong Dr. untuk menulisnya?
Saya banyak menulis tentang sosial dan alam sekitar di samping memberi ceramah kepada umum yang dianjurkan oleh KPSU, KEMAS, PEMADAM, Pejabat Residen Kuching,  Bintulu dan pejabat daerah Kota Samarahan,  Miri, Sri Aman,  Kuching,  sekolah menengah dan rendah,  parti politik dan lain-lain. Ia semuanya dijadikan bahan rujukan melalui pembacaan dan pengalaman ketika berinteraksi dengan khalayak.

Mari kita baca sinopsis Klon di bawah:

Washington D.C. Konspirasi peringkat tertinggi sedang berlangsung dan Amerika Syarikat dikuasai tangan-tangan di belakang tabir.

Ryan Smith dibunuh lalu seorang pakar biokimia, bioteknologi dan genetick warganegara Malaysia yang bekerja di sebuah konglemerat disiasat FBI dan CIA.

Kehilangan dokumen sulit, diburu dan menjadi pelarian di negara asing telah mengikat hubungan antara manusia berlainan agama, bangsa dan benua.

Dibantu Dr. Susan Lancester, dan melalui peristiwa demi peristiwa, Dr. Fakiruddin merungkai konspirasi terbesar dunia.

Dalam Klon, Dr. Idris menulis mengenai konspirasi pertubuhan Iluminati yang bersekongkol dengan Amerika Syarikat untuk menguasai dunia. Menariknya, watak saintis Malaysia bernama Dr. Fakiruddin telah berusaha keras untuk mematahkan agenda jahat itu. Secara halus, kita melihat bahawa ideologi Timur menentang Barat telah disisipkan, dan ini ternyata memberi banyak kelebihan kepada novel ini. Adakah Dr. sememangnya sudah berhasrat hendak menekankan ideologi ini semasa menulisnya?
Saya cuba menyanggah dominasi Barat. Bukan melalui konfrontasi tetapi melalui nilai ketimuran yang berlandaskan agama Islam. Menakluk keangkuhan Barat melalui kasih sayang.

Penghasilan karya yang mempunyai tema pengklonan manusia selalunya agak kontroversi kerana melibatkan persoalan etika sesama manusia. Ia malah dianggap sebagai percubaan melawan fitrah semulajadi Tuhan. Tidak ramai penulis yang berani hendak membawa isu ini, tetapi Dr. dengan berani telah mengambil risiko menulisnya. Apa yang menguatkan semangat Dr. untuk menerokanya?
Berdasarkan fakta dan maklumat kemudian diolah secara kreatif dan santai tetapi berteraskan sains sebagai teras novel yang dihasilkan.

Izinkan saya memetik sedikit kenyataan daripada Laporan Panel Hakim mengenai novel Klon:

Klon mengangkat Islam sebagai satu destini yang membawa kesejahteraan makhluk, dengan memaparkan kehancuran dan suasana huru-hara akibat penciptaan tanpa batas. Dr. Fakiruddin dan Dr. Susan Lancaster digambarkan sebagai makhluk yang huru-hara kehidupannya kerana terlibat dengan sains pengklonan. Bagaimana pun, kesejahteraan dan ketertiban dicapai apabila mereka dapat kembali ke Malaysia dan menemukan Islam sebagai destini kesejahteraan makhluk.

Apa pandangan Dr. Idris berkenaan hal ini?
Semuanya berlaku atas kuasa Tuhan. Manusia cuma mampu merencana tetapi perencanaan Allah mengatasi segala-galanya.

Ada pengalaman manis yang Dr. perolehi semasa menulis Klon?
Tentu. Apalagi berjaya menghasilkan novel sains fiksyen berimpak tinggi dan bermutu berdasar ulasan ahli-ahli panel penilaian yang terdiri daripada yang memang arif dan pakar dalam bidang masing-masing. Mendapat anugerah adalah merupakan satu bonus.

Apakah perancangan masa depan Dr. Idris dalam bidang penulisan? Mungkinkah kami bakal mendapat peluang untuk membaca lebih banyak hasil karya Dr. yang bergenre SaiFai?
Saya terus menulis tetapi berbagai tema sesuai dengan peredaran zaman tetapi tetap mengekalkan nilai-nilai estetika sastera.

Sebagai penutup, sudilah kiranya Dr. Idris memberikan sepatah dua nasihat buat golongan penulis yang bersemangat hendak memulakan perjalanan menulis novel, lebih-lebih lagi untuk mereka yang berminat hendak menghasilkan novel tebal seperti Klon dan Sayang Sarawak (1146 halaman).

Sayang Sarawak

Kurangkan bercakap lebihkan menulis. Slogan saya. Jangan cepat berpuas hati. Tulis apa saja jangan dengar cakap orang. Kita adalah kita. Bukan untuk cari glamour atau jadi termasyhur tetapi semata kerana lillahi ta’alaa. Dan jangan tunggu. Berani mencuba isu-isu baru sebagai tema dalam pembikinan novel dalam konteks global bukan tertumpu kepada isu remeh temeh seperti novel cinta murahan yang tidak ada ilmu untuk dikongsikan bersama. Gaya menurut citarasa masing-masing di samping membaca novel-novel Inggeris yang bermutu sebagai rujukan dalam mengolah sebuah manuskrip yang baik dan bermutu.

~

Novel Klon boleh dibeli secara atas talian di MyBooks.com.my.

2 thoughts on “Wawancara bersama Dr. Idris Boi, Penulis Novel SaiFai “Klon”

  1. izinkan saya mengetahui sedikit maklumat tentang Dr Idris..kerana saya memerlukan karyanya sebagai kajian Penulisan Ilmaiah Tahun Akhir.

    Like

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s