Akhirnya, peluang yang ditunggu-tunggu sudah tiba. Berjaya juga kita mendapatkan Tuan Editor Pena SaiFai untuk berkongsi pengalaman beliau menulis kisah terhasilnya Berus Melakar Awan yang dimuatkan di dalam antologi Imagikata.
Ted Mahsun merupakan seorang penulis yang wajar diberi perhatian dalam industri penulisan Bahasa Melayu, kerana inilah cubaan kali pertama beliau menerbitkan cerpen dalam Bahasa Melayu. Untuk pengetahuan para pembaca semua, kesemua karya dan cerpen yang pernah ditulis oleh Ted Mahsun sebelum ini adalah dalam Bahasa Inggeris sahaja. Bila kita membaca cerpen Berus Melakar Awan ini, kita dapat lihat bakatnya yang terpendam sehingga berjaya melahirkan sebuah karya yang begitu indah, disulam pula dengan kata-kata yang mempesonakan.
Mari kita baca nukilan Ted Mahsun tentang proses penciptaan Berus Melakar Awan ini.
Antara planet yang saya sangat gemari adalah planet Musytari. Ramai yang lebih sukakan planet Zuhal kerana cincinnya yang mempesonakan tetapi bagi saya planet Musytari menawarkan pemandangan yang lebih menarik kerana awan-awan yang sering bergelora di permukaannya sangat indah.
Antara gambar Musytari kegemaran saya ialah sebuah gambar yang diambil oleh kapal angkasa Voyager I pada 5 Mac 1979:
Pertama kali melihat gambar ini saya sudahpun jatuh cinta dengan awan-awan indah di Musytari. Ia mengingatkan saya kepada lukisan-lukisan yang dikaryakan Vincent Van Gogh, seorang pelukis pascaimpresionisme dari Belanda. Terutama sekali saya teringat kepada lukisan terkenalnya, Starry Night:
Dengan ini saya terasa sangat berinspirasi untuk menulis sebuah cerita yang boleh mengaitkan Vincent Van Gogh dengan awan-awan Musytari, dan saya rasa cara yang paling sesuai adalah untuk membalutkannya dalam genre fiksyen sains. Lahirlah cerita Berus Melakar Awan, yang saya tulis dalam masa dua hari sahaja.
Pada suatu hari, rakan penulis saya, Lokman Hakim, sedang menulis di tempat kegemarannya dan saya rasa terpanggil untuk menyertainya supaya saya juga dapat menulis. Sebaik sahaja saya bertemu dengannya, saya meminta beliau untuk memberi cadangan nama untuk protagonis cerita saya. Dia memberi cadangan “Firas” dan di situlah nama watak itu lahir.
Saya menulis cerita itu tanpa outline, hanya dengan idea dalam kepala. Ini antara cerita yang paling seronok saya hasilkan. Saya membayangkan watak Firas itu seorang pelukis yang amat berbakat, seperti pelukis-pelukis zaman pascaimpresionisme:
“Sebuah lukisan seperti yang diilhamkan karya pascaimpresionisme yang didokong Cezanne, Gauguin, Seurat mahupun Van Gogh. Tetapi ini lebih daripada sebuah karya yang hanya bermediakan cat minyak di atas kanvas. Lukisan ini hidup, menggunakan elemen alam. Ia bergerak-gerak seolah-olah bernyawa. Sesiapa yang melihat lukisan itu dengan matanya sendiri akan tersentuh jiwanya kerana terlalu lawa karya yang memanipulasi awan-awan jingga dan perang di atmosfera Musytari itu.”
– petikan dari Berus Melakar Awan
Dan untuk membezakan Firas daripada pelukis-pelukis lagenda itu, saya membuatkannya menggunakan awan Musytari sebagai mediumnya, tetapi apakah yang digunakan sebagai berusnya untuk melakar awan?
Ha, belilah buku Antologi Cerpen X-traordinari Imagikata untuk mengetahui dengan lebih lanjut.
~
Ted Mahsun merupakan pengasas bagi laman web Pena SaiFai. Cerpen-cerpen beliau boleh didapati di dalam antologi Fixi Novo bertajuk Trash (2016) , Hungry in Ipoh (2015) dan juga Cyberpunk: Malaysia (2015). Salah satu cerpen beliau bertajuk The Ghost in the Garden pernah tersiar di dalam jurnal kesusasteraan Griffith Review 49: New Asia Now.