Wawancara bersama Zaki Zainol, Editor Penerbit X

Minggu ini Pena SaiFai berbesar hati dapat mewawancara saudara Zaki Zainol, editor untuk Penerbit X. Penerbit X mempunyai tagline yang agak unik — “Kami penerbit misteri yang menerbitkan buku-buku yang mysteriously best.” Jadi apa yang dikatakan misteri mengenai Penerbit X? Mari kita ikuti sesi wawancara bersama beliau.

Zaki Zainol

Salam Zaki! Terlebih dahulu kami nak ucapkan terima kasih kepada Zaki kerana sudi menerima jemputan kami untuk menjadi tetamu bual bicara dalam Pena SaiFai pada kali ini.
Waalaikumussalam. Sama-sama. Ini satu penghargaan kepada kami (Penerbit X) selaku penerbit baru apabila diwawancara oleh pihak yang saya anggap sebagai barisan hadapan penggiat sastera SaiFai negara.

Sebelum kita berbicara lebih lanjut, apa kata Zaki ceritakan serba sedikit latar belakang Zaki yang mengkhusus kepada bidang penulisan (karya-karya yang pernah diterbitkan) dan juga kerjaya Zaki dalam bidang penerbitan?

Saya tidak banyak berkarya. Setakat ini saya ada dua buah novel bersiri iaitu Takluk Jagat dan Indera Bumi yang diterbitkan oleh Karangkraf (sebelumnya diterbitkan oleh PTS Fortuna), dan dua buah cerpen yang satunya diterbitkan dalam antologi Lelaki Simpanan terbitan Sindiket Sol-Jah dan satu lagi cerpen dalam antologi Imagikata terbitan Penerbit X.

Zaki Zainol 1

Selain menjadi editor di Penerbit X, saya juga bertugas sebagai Penolong Pengurus Penerbitan unit Fiksyen di PTS Media Group Sdn. Bhd.

Penerbit X merupakan sebuah badan penerbitan yang agak baru kerana ia mula ditubuhkan pada awal tahun 2016. Bila sahaja mendengar nama Penerbit X, ramai juga yang menyangkakan bahawa nama itu bukannya nama sebenar, kerana kewujudan huruf “X” yang unik pada pangkalnya. Boleh Zaki terangkan kepada para pembaca, apakah maksud “X” itu dan mengapa nama Penerbit X menjadi pilihan?
Idea menubuhkan Penerbit X seingat saya adalah pada penghujung 2015. Ketika itu saya menamakannya sebagai “Titania”. Pada awal Februari baru penerbitan ini “berfungsi” dengan namanya yang baru, iaitu Penerbit X. Nama ini dipilih kerana ia boleh memberi gambaran yang pelbagai –- misteri, anonymous, heroism (ala X-Men), dengan pada masa yang sama dan paling penting, ia dulu sudah terkenal dalam iklan-iklan sabun pencuci sebagai “Jenama X”.

Apakah misi dan objektif utama Penerbit X? Adakah ia hanya untuk memberi fokus kepada penerbitan karya-karya berbentuk SaiFai dan fantasi sahaja?
Kami menawarkan pelbagai pilihan kepada pembaca tempatan dalam aliran fiksyen. Walaupun kami tumpukan pada SaiFai dan fantasi, karya lain dilupa tiada. Kami ada menerbitkan juga military thriller seperti Anarkis, dan insyaAllah tidak lama lagi crime thriller daripada karya seorang penulis legenda yang sudah lama menyepi. Bukan… bukan Tamar Jalis. Beliau tulis cerita seram sahaja….

Peminat-peminat SaiFai dan thriller di Malaysia tentunya berasa teruja dengan maklumat bahawa Penerbit X akan mencetak semula karya-karya yang telah lama tidak didapati di pasaran, iaitu Anarkis oleh Khairul Nizam Khairani, Transgenesis oleh Amir Husaini, Galaksi Muhsinin oleh Azrul Jaini dan Opera Angkasa oleh Nazri M. Annuar. Jadi apakah yang mendorong Penerbit X untuk melahirkan kembali buku-buku ini dengan wajah yang serba menarik dan berbeza?

Keempat-empat buku ini adalah karya yang baik, dan sayang jika dibiarkan hilang begitu sahaja. Jadi, kami mengambil inisiatif untuk menghidupkan semula karya-karya ini supaya dapat dinikmati oleh pembaca baru, di samping memberi nostalgia kepada pembaca yang sudah pernah membacanya.

Walaupun keempat-empatnya adalah karya yang pernah diterbitkan, tetapi kami “melayannya” seperti karya baru. Sebab itu ia dipersembahkan dalam visual yang baru. Keempat-empatnya sudah boleh dibeli secara online di bookcafe.com.my atau Kedai Buku PTS dan mana-mana pameran buku PTS berada. InsyaAllah, tidak lama lagi akan berada di kedai berhampiran anda.

Anarkis PreviewTransgenesis PreviewGalaksi Muhsinin PreviewOpera Angkasa Preview

Satu lagi berita menarik daripada Penerbit X adalah penerbitan sebuah antologi cerpen yang bertajuk Imagikata. Ia memuatkan 16 cerpen bertema SaiFai hasil nukilan penulis-penulis terkenal seperti Amir Husaini, Ted Mahsun, Khairul Nizam Khairani, Bahruddin Bekri, Fahmi Mustaffa dan Lokman Hakim. Boleh Zaki ceritakan bagaimana mendapat ilham untuk menghasilkan antologi sebegini?

Lahirnya Imagikata adalah daripada perbincangan ringkas antara saya dan Nor Azida Ishak melalui Facebook. Kalau tak salah, ketika itu kami sama-sama mempunyai idea untuk menghasilkan antologi cerpen SaiFai (saya perlukan buku baru untuk Penerbit X, sebagai peneman kepada Aristokra karya Ahmad Patria).

Aristokra

Walau bagaimanapun, masing-masing ada kekangan. Saya tidak punya cukup masa, dan beliau pula tiada platform. Nampak seperti kami boleh bersimbiosis di situ, lalu… bamm! Terhasillah Imagikata. Seketul batu kecil yang dicampakkan ke dalam kolam, ia menghasilkan riak yang besar. Begitu mudah. Alhamdulillah.

Imagikata Cover

Satu lagi kelainan yang dilakukan oleh Penerbit X adalah mempromosikan T-shirt eksklusif yang bertulis nama Penerbit X pada harga RM35 sahaja. Apakah strategi pihak penerbit menghasilkan T-shirt hitam serba unik ini?

Sebenarnya ia bukanlah strategi apa-apa. Kami cuma terfikirkan mahu hasilkan merchandise bagi Penerbit X, dan pihak marketing telah merealisasikannya. Kelebihannya, selain menjadi merchandise, ia juga seperti promosi percuma di mana logo Penerbit X boleh nampak jelas pada baju tersebut. Memang tidak malu untuk dipakai di mana-mana, kerana designnya memang cantik dan kainnya selesa. Murah pula tu. Jadi, cepatlah beli melalui Penerbit X atau mana-mana tempat yang menjualnya.

Selain itu, buku-buku yang diterbitkan oleh Penerbit X juga menggunakan kertas yang 100% kitar semula. Apakah yang mendorong pihak penerbit untuk menekankan konsep mesra alam sebegini?
Saya tidak mahu Captain Planet marah kepada kami. Kalau Captain Planet marah, dia akan tukar orang itu menjadi pokok.

Tentunya sesi ini tidak lengkap sekiranya tidak menghantar pertanyaan kepada Penerbit X mengenai buku terbaru Ahmad Patria Abdullah, pengarang fantasi terkenal di Malaysia dengan tajuk Aristokra. Melihat bahawa buku baru ini bakal diterbitkan tidak lama lagi ibarat pucuk dicita ulam mendatang buat semua peminat Ahmad Patria yang rindu hendak membaca karya terkininya. Ceritalah lebih lanjut mengenai latar belakang buku ini.

Aristokra Preview

Aristokra merupakan spin-off kepada siri buku beliau sebelum ini yang dikenali sebagai Saga Artakusiad. Kisahnya berlaku di negeri bernama Nashan, di mana peperangan bakal berlaku. Melyn, puteri negeri Nashan ini perlu membawa rakyatnya yang rata-ratanya petani, penternak dan pedagang mengharungi peperangan menentang kaum pahlawan dari gunung yang ingin menakluk. Ceritanya memang suspens dan bahasanya amat indah. Saya memberi jaminan, pembaca pasti terpesona dengan Aristokra. Tempahan awal untuk Aristokra sudah dibuka di bookcafe.com.my dengan diskaun istimewa. Cepat-cepatlah beli untuk menjadi pemilik terawal naskhah hebat ini.

Boleh terangkan cara bagaimana hendak menghantar karya kepada Penerbit X? Apakah kriteria serta prosedur yang perlu dipatuhi oleh para penulis yang berminat untuk menulis dalam genre SaiFai, fantasi mahu pun thriller?
Penerbit X boleh dihubungi menerusi Facebook kami. Hantarkan mesej kepada kami (PM) dan ceritakan tentang karya anda (beri sinopsislah maknanya) dan dua bab terawal karya untuk kami nilai. Sekiranya karya tersebut menarik, penulis akan tahu apabila sudah berjaya unlock ke level seterusnya.

Akhir sekali, kongsilah serba sedikit mengenai idea, perancangan serta impian yang ingin dicapai oleh Penerbit X pada masa akan datang? Apakah pandangan Zaki mengenai genre SaiFai dan fantasi di Malaysia ini?
Idea dan perancangan saya tidak boleh kongsikan di sini, bahaya. Tetapi itu semua saya akan kongsikan bersama penulis-penulis Penerbit X, dan pada masa sekarang ini, saya berasa amat bersyukur kerana penulis-penulis yang terlibat dengan Penerbit X amat komited dan tidak lokek idea untuk sama-sama membangun. Impian saya pula, harapnya terbitan Penerbit X diterima baik oleh pembaca di semua lapisan masyarakat dan segenap umur.

Tentang genre SaiFai dan fantasi Malaysia? Saya anggap kedua-dua genre ini, sebelum ini, umpama ular yang menyusur lantai hutan. Ia ada, tapi seperti antara nampak atau tidak. Saya harap, dan mendoakan tahun ini dan seterusnya, ular ini akan memanjat pokok, dan bermetamorfosis menjadi naga.

Terima kasih Zaki sebagai wakil Penerbit X kerana sudi menjawab soalan-soalan kami!
Sama-sama, Pena Saifai. Usaha kalian amat penting dan bermakna. Jadilah kriptonite merah kepada Superman.

~

PenerbitXLogo

Maklumat lanjut mengenai Penerbit X boleh didapati di Facebook.

Advertisements

2 thoughts on “Wawancara bersama Zaki Zainol, Editor Penerbit X

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s