Pena SaiFai telah mempelawa penulis Antologi Cerpen X-traordinari Imagikata untuk berkongsikan cerita di sebalik cerita yang mereka tulis.
Buku antologi yang memuatkan cerpen-cerpen fiksyen sains, fantasi, dan seram ini boleh didapati secara atas talian daripada BookCafe.
Daerah Sebalik Tembok – Arif Zulkifli
Selepas membaca The Hunger Games, saya jadi ketagih dengan cerita-cerita bertemakan distopia, sehinggakan setiap buku yang saya beli selepas membaca siri itu, hampir kesemuanya bertemakan sebegitu. Dan saya terus terfikir, bagaimana kalau Malaysia pula yang menjadi sebuah negara distopia?
Oh ya. Satu lagi, dalam tahun lepas, saya berkesempatan untuk mengikuti satu program penyerahan barang keperluan seharian kepada golongan kurang berada. Terdapat satu rumah yang kami singgah, di mana rumah itu tak ubah seperti pondok buruk, dinding kayu beratap zink, tapi dalam hanya beberapa puluh meter dari pondok itu, tersergam sebuah rumah agam, yang sangat besar!
Dari situ saya kembangkan idea itu menjadi cerpen, di mana Malaysia yang menjadi negara distopia, di mana golongan kaya dan golongan miskin dipisahkan sama sekali kehidupan seharian mereka. Dan mungkin (mungkin!) cerpen ini akan dipanjangkan menjadi satu novel yang lengkap. Mohon tembakan doa!
Kampung Surotai – Bahruddin Bekri
Saya adalah orang yang apabila ditawarkan, “Nak menulis tak?” terus saya kata, “Nak!”
Walaupun banyak kali juga, “nak” saya tu tidak kesampaian kerana masa.
Untuk ini, tawaran itu datang lagi. Terus saya sahut, “Nak.”
Seperti biasa juga, selepas seminggu saya terlupa dan diingatkan lagi oleh editor, dan saya mula kelam kabut. Sebab saya tidak ada idea lagi. Tidak ada cerita lagi. Oleh kerana sering juga saya diberi peluang memberi bengkel penulisan kepada anak-anak sekolah, dan antara tip penulisannya yang sering saya sebut, “Sekiranya tidak tahu nak mula macam mana, tulis sahaja apa-apa dulu.”
Itu yang saya buat. Saya tulis babak dramatik yang umum. Yang boleh dihalakan ke mana-mana. Habis beberapa perenggan, saya masih belum pasti ini cerpen tentang apa.
Mujur, saya teringat dokumentari tentang sebuah daerah di India yang akan diserang tulis setiap 43 tahun (saya tidak pasti tahunnya. Semasa menulis ini saya tidak google pun). Begitulah cerpen ini bermula. Saya gunakan watak-watak budak sekolah, kerana pada akhirnya saya sedar, cerpen ini boleh dikembangkan lagi menjadi novel sekiranya ada masa. InsyaAllah.
Saka – Khairul Nizam Khairani
Bila editor mintak cerpen, aku tak angkat jari pun nak tulis cerita. Macam semua penulis lain, cerpen dan manuskrip yang kena reject dan terbengkalai, bersepah dalam CPU. Jadi aku cuma pilih je mana yang aku nak.
Sebenarnya Saka ni salah satu dari cerpen-cerpen yang aku tulis untuk projek komik antologi tahun 2015. Tapi projek tergendala. Dari biar terperap, rasanya elok aku hantar kat editor. Boleh jugak orang lain baca.
Aku dapat idea Saka bila aku tengok ada karakter komik dari barat yang kekuatan dia orang tidak berasaskan sains tapi mistik. Macam Dr. Strange, The Shadow, The Crow. Jadi aku cuba tulis satu karakter dengan kelebihan kuasa mistik Melayu. Jadi terhasillah Saka.
Arca Kehidupan – Lokman Hakim
Cerita ini ditulis ketika saya mendapat pengkhabaran tentang ibu saya yang sakit berada di kampung. Ia agak peribadi sebenarnya. Karya ini merupakan metafora kepada keadaan saya yang terperangkap dalam realiti pekerjaan yang menghalang saya dari bersama keluarga yang begitu jauh. “Simulasi” ini merupakan pembebasan saya daripada realiti ini dan hidup kembali bersama keluarga.
Hidup ini merupakan arca yang boleh diacu bentuknya, tetapi jika tidak cermat, sang pengukir akan terperangkap dalam arca yang dibinanya sendiri.
Dan Lukisan, Apabila Ia Bernyawa… – Masdalifadzlie M Saaid
Istikharah, kawan. Penulisan Dan Lukisan, Apabila Ia Bernyawa… bermula dengan istikharah. Kemudian, dari negeri antah-berantah ia muncul antara celik dan lena. Lalu keesokannya dan seminggu seterusnya, ia menjadi kata-kata yang berfantasi, kata-kata penuh imaginasi. Imagikata!
Asal-muasal kisah ini sebetulnya berlatarbelakangkan peperangan, penuh darah dan kematian, disulami dengan unsur-unsur magis dan fantasi. Namun peruntukan 15 halaman tidak mencukupi bagi memperihalkannya. Maka berlakulah perubahan latar waktu dan percantasan watak-watak yang tidak perlu bagi menggambarkan ini ialah penceritaan cerpen, bukan novel. Teknik imbasan, juga imbasan dalam imbasan, digunakan ketika proses penyusunan plot. Gaya penulisannya juga ditetapkan berentak laju agar tidak meleret hingga boleh mendatangkan bosan kepada pembaca.
Setiap pagi dan petang, di dalam gerabak ulang-alik ke tempat kerja selama seminggu, cerpen ini ditulis sepenuhnya dengan bantuan peranti telbimbit, melalui aplikasi teknologi awan berjenama Google Docs.
Hari-Hari Hari Ini – Zaki Zainol
Awalnya saya memang tidak ada apa-apa idea untuk ditulis kerana saya cuma penulis “sendal” untuk antologi ini (tetapi, akhirnya cerpen saya menjadi cerpen paling panjang. Betul-betul “sendal” dah ni…). Kemudian saya teringat kata-kata Jane Foster dalam filem Thor; “Magic’s just science we don’t understand yet,” yang sebenarnya memetik kata-kata Arthur C. Clarke. Maka saya sesuaikan petikan ini kepada budaya sosial Asia (Melayu khususnya).
Inspirasi lain saya bagi cerpen ini adalah daripada satu episod Stargate SG-1 bertajuk Window of Opportunity. Saya tidak mahu cerita lebih-lebih kerana sekiranya saya sentuh sedikit sahaja, ia akan jadi spoiler. Para pembaca yang budiman tentu tidak mahukan spoiler, bukan? Jadi, dapatkan Imagikata dan menangislah kekaguman membaca karya-karya lain yang rakan-rakan saya tulis.
Cincin – Shariman Ismadi Ismail
Sejujurnya, cerpen Cincin ini ternukil pada akhiran deadline antologi Imagikata. Terlupa? Ataupun tiada masa? Mungkin ianya gabungan kedua-dua elemen tersebut menyebabkan saya menulis Cincin dalam masa tiga jam, pada suatu pagi di hari yang sepatutnya menjanjikan suasana kasual dan santai.
Cincin terilham daripada satu projek penulisan saya yang terbengkalai sejak tahun 2012. Bermula dengan 2-3 muka surat yang ditulis pada 2012, saya menyambung semula apa yang selama ini tiada noktah akhirnya. Selepas 2 jam menulis, saya mendapati bahawa saya langsung telah tidak mengikut story line penulisan asal 2012 saya yang dahulu.
Saya mengambil keputusan untuk kekal dengan storyline baru dan syukur menjelang satu jam yang berikutnya, saya telah menjumpai titik noktah yang terakhir untuk Cincin. Penulisan ala-ala Shinkansen ini memang kadangkala sangat efektif. Cuma, pengakhiran penulisan Cincin ini telah memberikan saya satu dilema lama… saya masih mempunyai satu cereka tahun 2012 yang masih belum siap di tulis!
Arcee – Asyiqin Azra’ai
Adapun ceritera ini terinspirasi apabila saya menemani anak saya menonton rancangan Ultraman Kids. Betapa seronoknya dapat mengembara dari satu planet ke satu planet bersama rakan-rakan Ultraman untuk mencari ibu bapanya sambil menentang raksasa jahat. Lantas saya terinspirasi, alangkah terujanya emosi jika manusia juga boleh mengembara bersama rakan-rakan dari suatu galaksi ke suatu galaksi dengan begitu pantas dan mudah ibarat semudah naik basikal.
Walaubagaimanapun, saya tidak mahu mengkomplekskan ceritera ini dengan hujahan-hujahan fakta yang pasti akan membebankan otak pembaca. Nanti hilang pula mood pengembaraan yang semudah naik basikal tu. Saya masukkan elemen motivasi ikatan persahabatan dan menghormati orang tua agar sepanjang pengembaraan dalam ceritera ini pembaca dapat merasakan perasaan kasih sayang serta rindu yang meluap-luap.
Alegori Cycad – Sayidah Mu’izzah
SIMBOLISME ASBAB KESENDIRIAN PALING SEJATI DI DUNIA
Alegori Cycad saya tulis dengan desakan tugasan kumpulan sebenarnya. Di Legasi Oakheart, kami mengadakan satu kumpulan kecil yang wajib menulis cerpen setiap minggu mengikut tema yang diberikan oleh ketua mingguan. Jika kami tidak menyiapkannya, kami akan didenda sebanyak RM5. Jadi, kami usahakan agar siap. Kebetulan pada suatu minggu saya mencabut undian tema yang kena dengan saya ialah fiksyen sains dengan “subject matter” kereta Cinderella. Pada saya kisah Cinderella agak lucu kerana ia pencarian jodoh yang dilakukan melalui saiz kasut. Ia kedengaran gila. Dengan dua orang kakak tiri yang terdesak mencari jodoh dan menginginkan putera raja sebagai suami, ia adalah utopia anak gadis yang “pathetic“.
Tema apapun, termasuklah fiksyen sains boleh sahaja kita jadikan sebuah kritikan sosial. Oleh itu di sini, saya ingin mengkritik perempuan-perempuan yang terdesakkan jodoh yang sempurna sedangkan tidak ada sesiapa pun yang sempurna di dunia ini. Perkahwinan diciptakan untuk saling melengkapi. Ia bukan suatu perlawanan mencari kesempurnaan atau siapa yang harus jadi (lebih) suci untuk siapa. Ah, yang pasti ia adalah sebuah perhubungan yang harus saling melengkapi.
Jadi kedua-dua watak perempuan dalam cerpen ini adalah suatu kegilaan mencari kesucian dalam diri seorang lelaki, dalam suatu zaman yang mana dalam tanggapannya, cinta menjadi terlalu sukar untuk sejati. Antara dua watak ini, ada satu watak yang tidak jelas wujudnya. Pembaca boleh mencarinya sendiri, seperti mana mencari diri sendiri, apakah kita sudah benar untuk mencintai sehingga kita menidakkan kesucian orang lain untuk memiliki cinta kita sehabis baik.
Disebabkan fiksyen sains mengharuskan alat teknologi, dan harus tercapai dek akal, saya wujudkan suatu kegilaan secara fizikal juga, yakni sebuah kereta mencari jodoh, yang dipercayai benar boleh berfungsi untuk mencari orang suci untuk dikahwini. Adakah perempuan-perempuan ini berjaya mencipta alat pencari jodoh yang sejati? Semoga yang membaca Alegori Cycad menemukan jawapannya nanti.
Misi 3077 – Amli Ghazali
Sebenarnya pengaruh genre fiksyen sains amat dekat dengan minat saya. Saya suka cerita X-Men, Superman, Ultraman, Space Sheriff Gavan, dan cerita-cerita Jepun. Cerita sebegini walaupun fiksyen tetapi ada kebaikan sains di dalamnya.
Walaubagaimanapun, Misi 3077 tercetus setelah menonton filem Elysium yang diarahkan oleh Neill Blomkamp dan dibintangi Matt Damon serta Jodie Foster. Bagi mendapatkan lebih banyak ilham, saya turut menonton sebuah filem penerokaan angkasa lepas bertajuk Ender’s Game. Saya gabungkan elemen survival kehidupan manusia di luar angkasa dalam Ender’s Game dan penghijrahan manusia ke angkasa lepas bagi menyelamatkan manusia dalam filem Elysium.
Selain itu, Saya juga membaca novel berjudul Meja 17 yang dikarang oleh Irwan Abu Bakar untuk mendapat idea gila-gila berkaitan fiksyen. Bagi saya, gaya penyampaian beliau sangat berbeza dan unik.
Akhir sekali, buat pembaca budiman, cerita ini (Misi 3077) dikarang bertujuan untuk mengingatkan bahawa ilmu sains itu penting untuk kelangsungan kehidupan kita. Walaupun dihasilkan dalam sebuah cerita, namun saya berharap ia dapat menarik minat pembaca untuk meneroka lebih dalam lagi berkaitan ilmu sains dan penerokaan angkasa lepas. Manalah tahu, suatu hari nanti kita benar-benar dapat hidup di planet lain selain bumi.
8 thoughts on “Di Sebalik Tabir: Antologi Cerpen X-traordinari Imagikata”