Jutaan terima kasih saya ucapkan kepada Hafizul Osman kerana sudi menyertai wawancara untuk Pena SaiFai. Bagi memperkenalkan pembaca dengan penulis muda yang berbakat ini, mari kita lihat biodata beliau:
Hafizul Osman dilahirkan pada 21 April 1986 dan berasal dari Sungai Buloh, Selangor. Beliau memiliki Ijazah Kejuruteraan Mekanikal dari Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Beliau merupakan seorang pengkarya yang aktif dan pernah menghasilkan tiga buah novel remaja dan sebuah kumpulan cerpen. Novel fiksyen sains pertama beliau pula bertajuk Misi 2050, manakala novel fiksyen sains beliau yang kedua bertajuk Kronikel Etanol telah memenangi hadiah saguhati Sayembara Fiksyen Sains dan Teknologi UTM-Kumpulan Utusan (Sayembara SaiFai) Musim Ketiga. Di samping itu, beberapa buah cerpen karya beliau tersiar dalam majalah-majalah Dewan Bahasa dan Pustaka serta akhbar Berita Harian. Kini, Hafizul berkhidmat sebagai pembantu tadbir di Pasukan Polis Marin PDRM Langkawi, Kedah.
Tahniah diucapkan kepada Hafizul kerana telah berjaya memenangi hadiah saguhati Sayembara SaiFai Musim Ketiga melalui novel Kronikel Etanol. Dalam novel ini, Hafizul bercerita tentang serangan di ladang tebu yang berpunca daripada ulat perosak, serta keunikan watak jahat yang menjadi dalang kepada sabotaj itu. Apa yang mengilhamkan Hafizul untuk menukilkan novel ini?
Terima kasih saya ucapkan. Novel Kronikel Etanol terilham selepas menghadiri bengkel Sayembara SaiFai di UTM, Jalan Semarak (pada ketika itu sebelum ditukar nama kepada Jalan Sultan Yahaya Petra) Kuala Lumpur. Sebelum saya menghadiri bengkel itu, saya sudah pun mempunyai sedikit idea untuk mengangkat hasil penyelidikan projek tahun akhir ijazah sarjana muda saya iaitu mengenai penggunaan etanol sebagai bahan api kenderaan. Selepas saya ‘dimomokkan’ dengan isu-isu tenaga alternatif dan tenaga diperbaharui barulah saya mendapat kekuatan untuk memfiksyenkan hasil kerja selama 2 semester di universiti.
Mari kita lihat Laporan Panel Hakim mengenai novel Kronikel Etanol dari sudut strategi naratifnya:
Susunan plot secara lurus sangat berguna untuk pengarang menimbulkan kesan psikologi kepada watak-wataknya secara bertahap, yakni mengembangkan naratif setingkat demi setingkat dengan masukan konflik demi konflik sehingga ke tahap peleraian. Teknik penceritaan seperti ini sedikit tradisional sifatnya, namun melalui sisipan unsur saspens pada tempat yang sesuai, naratif menjadi segar dan memukau pembacaan.
Adakah Hafizul sudah merancang sedari awal untuk memplotkan novel ini mengikut teknik plot linear yang disebutkan?
Oh, pada awalnya saya bercadang untuk menggunakan kaedah melompat-lompat masa atau time travel. Tapi, idea itu jadi berubah apabila saya mula menulis prolog dan bab pertama. Saya mula berfikir, apa kata saya tulis dalam bentuk biasa supaya saya mudah dan tak terlalu melompat-lompat sangat takut terjatuh ketika melompat. Dan, akhirnya saya siapkan novel itu dengan cara linear tapi pada masa yang sama juga saya selitkan beberapa unsur suspens agar jalan cerita saya tidak menjadi mendatar dan hambar.
Satu lagi Laporan Panel Hakim mengenai novel Kronikel Etanol dari sudut ideologi dan idealismenya:
Antara nilai moral yang terkesan ialah prinsip Islami yang menjadi pegangan saintis Melayu Dr. Johari Musa dan isterinya, Dr. Ramlah serta anak mereka, Dr. Majmin. Pasangan saintis ini menegakkan nilai Islam dalam setiap tindakan saintifik mereka bagi mengimbangi keperluan kehidupan dengan kebebasan sains. Mereka bergabung tenaga mencari tenaga alternatif baharu bagi menggantikan petroleum dan menyifatkan usaha itu sebagai ibadah.
Ini adalah ciri-ciri terbaik bagi seorang saintis beragama Islam yang menjalankan tanggungjawab dengan penuh hemah dan rasa rendah diri, kerana agama Islam itu sendiri tidak pernah menidakkan kepentingan sains dalam membangunkan tamadun manusia. Pandangan Hafizul?
Rata-rata dari segi sejarah, ramai saintis Islam yang telah meneroka pelbagai bidang sains seperti perubatan, astronomi, matematik, fizik dan sebagainya. Mereka inilah yang telah ‘mencantikkan’ lagi teori dan penemuan yang telah ditemui oleh saintis-saintis Yunani dan Rom sebelum itu yang berdasarkan logik akal semata-mata dengan menambah elemen tauhid dalam penemuan mereka. Kerana itulah, perkembangan sains dan teknologi sebenarnya tidak pernah dihalang oleh agama Islam malah sangat-sangat dianjurkan dengan syarat tidak membatasi hukum syarak dan tidak melangkaui ketauhidan manusia pada-Nya.
Saya hendak memetik sedikit ulasan saudara Fadli Al-Akiti mengenal Kronikel Etanol dalam blognya:
Hafizul menyimpan “rahsia” pada tempat-tempat tertentu (bagi pembaca misteri biasa, pelakunya sudah dapat dihidu pada awal plot penceritaan) sebagai ruang dramatik dan kejutan. Yang lebih menarik ialah cara penyiasatan yang dilakukan oleh penulis terhadpa watak-watak, ia kelihatan natural dan berlaku seadanya dan bukan dibuat-buat, menunjukkan kekuatan penulis adalah pada sebab-akibat dan perjalanan struktur cerita, walaupun konvensional. Logiknya tinggi dan baik, mungkin suatu kebiasaan dalam mana-mana novel berunsur penyiasatan.
Saya juga suka dengan dialog watak yang bersahaja dan tidak dibuat-buat, menyampaikan, contohnya, fakta dan maklumat sains pada tempat yang tertentu dan mempunyai sebab-sebab tertentu, tidak dicampak secara semberono seperti yang biasa kita baca dalam novel fiksyen sains.
Fadli Al-Akiti merupakan seorang peminat dan pemerhati dunia SaiFai sejak dari dulu lagi, dan komen yang diberikan kepada novel ini agak baik. Apa pula pandangan Hafizul?
Saya sebenarnya agak terkejut juga dengan komen saudara Fadli al-Akiti yang semua orang tahu apabila lelaki ini membuat ulasan sesebuah buku mahupun filem, bersiap-sedia untuk ‘tersentap’. Bagi saya, saya tidak ada masalah dengan komen Fadli kerana dia mengulas apa yang dirasakan olehnya apabila membaca novel saya mahupun karya-karya penulis lain. Dalam ulasan Fadli itu juga, dia ada menyentuh beberapa perkara yang boleh saya baiki dari segi ideologi dan jalan cerita untuk projek penulisan yang seterusnya. Saya menerima ulasan Fadli dengan baik dan hati yang terbuka.
Sebagai seorang penulis cerpen dan novel yang berpengalaman, malah pernah pula memenangi Sayembara SaiFai, kami nak mohon Hafizul bagilah sebanyak mungkin tips penulisan yang berguna dan boleh dijadikan rujukan buat para penulis muda di luar sana.
Okey, tidak banyak yang saya ingin katakan tapi banyakkan membaca, menonton filem SaiFai dan bergaul dengan masyarakat kerana apa yang kita tulis itu adalah berkaitan dengan masyarakat. Jangan menoleh kerana syok sendiri kerana kita nak masyarakat berubah tapi kita tak beri pada mereka apa yang mereka perlukan untuk berubah. Dan, satu lagi disiplin menulis itu perlu juga dijaga kerana ada masa kita akan menjadi malas menulis dan ada masa kita akan jadi sangat rajin menulis. Itu normal sebagai seorang penulis tapi kurangkan gejala itu sebab tidak bagus kepada momentum penulisan kita.
Apa pula perancangan Hafizul untuk projek penulisan selepas ini? Adakah Hafizul akan tetap menulis saifai atau akan beralih kepada genre lain?
Sekarang ini saya dalam proses menukangi sebuah travelog perjalanan saya mengembara ke Jepun dalam baru-baru. Insya-Allah, buku ini akan diterbitkan oleh Penerbit Kuras Buku dalam sedikit waktu lagi. SaiFai adalah makanan penulisan saya, saya akan terus menulis karya-karya SaiFai sambil tidak akan melupakan tema-tema lain kerana kita juga perlu versatil dalam penulisan. Karya-karya SaiFai masih lagi belum diterima sepenuhnya dalam industri buku kita. Kita perlu terus berusaha sambil untuk meneruskan survival kita dalam industri ini kita juga perlu menulis dalam bentuk tema dan genre lain agar nama kita tidak hilang dalam industri ini.
Terima kasih Hafizul di atas sesi temubual ini!
Terima kasih sekali lagi kepada pihak Pena Sai Fai kerana sudi menemuramah saya.
~
Novel Kronikel Etanol boleh dibeli secara atas talian di MyBooks.com.my.
Novel Misi 2050 boleh dibeli secara atas talian di JS Adiwarna Sdn Bhd.