Bagi memperkenalkan pembaca dengan penulis muda yang berbakat ini, mari kita lihat biodata beliau:
Hafizul Osman dilahirkan pada 21 April 1986 dan berasal dari Sungai Buloh, Selangor. Beliau memiliki Ijazah Kejuruteraan Mekanikal dari Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Beliau merupakan seorang pengkarya yang aktif dan pernah menghasilkan tiga buah novel remaja dan sebuah kumpulan cerpen. Novel fiksyen sains pertama beliau pula bertajuk Misi 2050, manakala novel fiksyen sains beliau yang kedua bertajuk Kronikel Etanol telah memenangi hadiah saguhati dalam Sayembara Fiksyen Sains dan Teknologi UTM-Kumpulan Utusan (Sayembara SaiFai) Musim Ketiga. Di samping itu, beberapa buah cerpen karya beliau tersiar dalam majalah-majalah Dewan Bahasa dan Pustaka serta akhbar Berita Harian. Kini, Hafizul berkhidmat sebagai pembantu tadbir di Pasukan Polis Marin PDRM Langkawi, Kedah.
Membaca biodata di atas, ternyata Hafizul seorang yang sangat rajin menulis sehingga berjaya menerbitkan beberapa buah buku pada usia yang agak muda. Ceritalah sedikit bagaimana Haifzul boleh menceburkan diri dalam bidang penulisan?
Pertama kali saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kembali kerana pihak Pena SaiFai sudi untuk menemuramah saya. Untuk pengetahuan saudara/saudari, saya sebenarnya sudah mula menulis sejak bangku sekolah lagi. Kalau ikutkan yang paling tepat ketika saya berada dalam darjah 2. Ketika itu, saya selalu berulang-alik ke Khutub Khanah di kampung saya (kini dikenali sebagai Perpustakaan Desa) dan sering meminjam novel-novel penyiasatan seperti Nancy Drew, Hardy Boys, Enid Blyton dan siri penyiasat Alfred Hitchcock untuk dibaca di rumah.
Setelah berapa lama, timbul keinginan saya untuk menghasilkan buku yang bercirikan penyiasatan. Maka, dengan berbekalkan sebuah buku latihan sekolah dan pen (ketika itu komputer tidak lagi mampu dimiliki oleh semua keluarga) saya menghasilkan sebuah buku yang saya namakan sebagai Siri Kamil. Buku itu dibaca oleh rakan-rakan dan guru-guru saya dan mereka memberikan galakan untuk saya terus menghasilkan buku-buku yang lain pula. Sehingga saya memasuki darjah 6, saya telah menghasilkan 10 judul buku itu. Sayangnya, buku-buku yang saya tulis dengan tangan itu sudah pun rosak dimakan anai-anai.
Bermula dari situlah, minat saya menulis mula bercambah dan saya sudah mula menghantar karya ke media cetak.
Boleh Hafizul senaraikan setiap satu buku yang pernah ditulis (mengikut tahun terbitan) dan juga sedikit sinopsis mengenainya?
Novel pertama yang saya tulis adalah Misi 2050, sebuah novel SaiFai yang diterbitkan tahun 2011. Novel ini berkenaan dengan tiadanya kewujudan negara-bangsa dan setiap negara mula bergabung bagi membentuk wilayah-wilayah yang besar. Wilayah Barat cuba menghancurkan wilayah Nusantara namun setiap wilayah membantu bagi menyelamatkan dunia dengan menggunakan abiliti individu yang mempunyai kuasa indigo.
Novel kedua bertajuk Damai Aku Dalam Haruman Sakura terbit tahun 2012. Sebuah novel remaja yang menceritakan perjalanan seorang pelajar sekolah Malaysia ke Jepun bagi mengikuti program pertukaran pelajar di sana. Di sana dia berkenalan dengan seorang gadis Jepun yang sangat rapat dengan dirinya sebelum perlahan-lahan mula mengenali Islam. Apabila gadis itu ingin memeluk agama Islam, keluarganya menghalang dan ini telah mengeruhkan hubungan antara keluarga angkat lelaki Melayu itu dengan keluarga gadis Jepun itu.
Buku ketiga pula merupakan sebuah kumpulan cerpen berjudul Dia, Seorang Geisha dan diterbitkan pada tahun 2012 juga. Kumpulan cerpen ini menghimpunkan 15 buah cerpen-cerpen terbaik saya dari tahun 2007 hingga tahun 2011. Ada tiga buah cerpen SaiFai yang saya muatkan dalam kumpulan cerpen itu iaitu cerpen Misi 2050, Projek Hitler dan Budak Psikik.
Buku keempat berjudul Geng Anak Harimau, sebuah novel remaja yang diterbitkan pada tahun 2013. Buku ini merupakan sebuah novel berkenaan sebuah pasukan bola sepak remaja yang ingin menyertai satu pertandingan bola sepak bawah umur peringat daerah. Novel ini banyak menceritakan pasal setiakawan dan kejujuran dalam bersahabat.
Yang terbaru adalah sebuah buku yang diterbitkan pada tahun 2015, sebuah novel SaiFai yang memenangi hadiah saguhati Sayembara SaiFai musim ketiga iaitu novel Kronikel Etanol. Sebuah novel yang menceritakan bagaimana Malaysia sudah mula beralih kepada penggunaan etanol sebagai bahan api kenderaan. Namun, akibat dendam ladang tebu yang dijadikan sumber etanol dirosakkan oleh seseorang dengan menggunakan seekor serangga perosak.
Setakat ini itu sahaja buku-buku yang pernah saya tulis dan insya Allah sebuah lagi buku bakal muncul iaitu sebuah kumpulan cerpen yang bakal diterbitkan oleh Legasi Oakheart. Beberapa buah cerpen SaiFai juga bakal dimuatkan dalam kumpulan cerpen itu.
Misi 2050 merupakan karya SaiFai Hafizul yang pertama. Taglinenya — ‘sebuah karya sains fiksyen yang mengangkat kegemilangan Nusantara’ ternyata memberi kelainan kepada novel SaiFai ini. Apa yang mencetuskan minat Hafizul untuk menulisnya?
Idea novel Misi 2050 bermula setelah saya menulis sebuah cerpen dengan judul yang sama. Cerpen itu telah diterbitkan dalam majalah Dewan Kosmik pada April 2008. Pada masa yang sama juga, saya juga telah membaca dua novel SaiFai yang ditulis oleh Faisal Tehrani iaitu 1511H [Kombat] dan Detektif Indigo.
Jika saudara/saudari pernah membaca kedua-dua novel ini, saudara/saudari akan nampak pengaruh kedua-duanya dalam novel saya itu. Intipati dan pemikiran yang cuba dibawa di dalam kedua-dua novel itu telah menarik minat saya untuk menghasilkan novel Misi 2050.
Mari kita kongsi dengan para pembaca sinopsis Misi 2050:
Tahun 2050!
Dunia sudah berubah. Tiada lagi konsep negara bangsa bilamana negara-negara membentuk blok. Di barat, bersatu negara-negara di Amerika Utara, Amerika Tengah, Amerika Selatan dan Eropah membentuk Wilayah Barat yang diterajui Amerika Syarikat, Britain, Jerman dan Perancis.
Ketamakan Presiden Amerika Syarikat membawa pada penghantaran tentera manusia dan cyborg untuk menyerang satu-satunya wilayah yang belum dijajah di Asia Tenggara iaitu Wilayah Nusantara, untuk Barat menguasai dunia secara mutlak.
Dalam kegawatan di ambang perang muncul sekumpulan ‘adiwira’ diketuai Leftenan Hakimi, dari dunia Timur. Mereka manusia indigo yang mempunyai kebolehan luar biasa.
Tetapi tugas mereka tidak mudah apabila harus berdepan dengan Diego Sequiera, manusia indigo jadian Wilayah Barat yang dulunya adalah bekas tentera Wilayah Nusantara yang bernama Akram, bekas sahabat baik Hakimi.
Mampukah hero-hero indigo Wilayah Nusantara itu menyelesaikan Misi 2050?
Apakah tema yang mahu Hafizul sampaikan melalui penghasilan novel ini? Kongsilah dengan kami beberapa pengalaman menarik menulis Misi 2050 ini.
Saya berfikir pada masa hadapan manusia tidak lagi hidup dalam negara-bangsa sebaliknya setiap negara bergabung untuk menjadi wilayah-wilayah tertentu seperti negara-negara di Asia Tenggara khususnya yang menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar bergabung menjadi wilayah Nusantara. Negara-negara lain membentuk wilayah-wilayah masing-masing seperti wilayah Timur dan wilayah Selatan. Negara-negara Eropah, benua Amerika Utara dan Amerika Selatan membentuk wilayah Barat dan wilayah yang diterajui oleh Amerika Syarikat ini dalam rangka menguasai dunia seperti mana apa yang mereka lakukan dalam 30 – 40 tahun sebelum tahun 2050. Mereka cuba menguasai semua wilayah termasuk wilayah Nusantara namun niat mereka terhalang apabila mereka dihalang oleh satu projek yang mengumpulkan manusia-manusia yang mempunyai kuasa istimewa yang dikenali sebagai manusia indigo.
Apa yang cuba saya sampaikan di sini ialah Barat (baca Atheis) berterusan untuk menguasai dunia dan cuba menghapuskan semua kepercayaan beragama (baca Islam berdasarkan novel ini) yang wujud di dunia ini. Jadi, dengan penyatuan seluruh umat Islam di dunia, penguasaan mereka bakal terhalang walaupun sesuatu kaum memiliki teknologi yang terhad. Namun dengan bekerjasama dan saling bantu-membantu daripada bangsa atau kaum lain setidak-tidaknya dapat menampung kekurangan sesuatu bangsa atau kaum itu.
Pelbagai maklumat baharu yang saya perolehi ketika menghasilkan novel ini. Saya dapat mengetahui serba-sedikit mengenai manusia indigo setelah membaca novel 1511H [Kombat] selain membuat rujukan dalam majalah Dewan Kosmik yang ada menyiarkan artikel berkenaan manusia indigo ini.
Sudah tentunya sebagai sebuah novel sulung saya dan diterbitkan pula sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2011 memberikan satu pengalaman manis yang tidak dapat saya lupakan sehingga sekarang.
~
Minggu depan: Ikuti perkongsian Hafizul tentang tema penting yang ingin disampaikan di dalam Kronikel Etanol, serta pandangan beliau mengenai Laporan Hakim Sayembara SaiFai untuk novel itu.
Novel Kronikel Etanol boleh dibeli secara atas talian di MyBooks.com.my.
Novel Misi 2050 boleh dibeli secara atas talian di JS Adiwarna Sdn Bhd.
Terima kasih Azida Ishak kerana telah membawa kepada khalayak banyak maklumat berguna tentang penulis muda yang elusif lagi misterius ini. Saya suka benar mengetahui proses pemikiran penulis, apatah penulis yang sangat berahsia ini. Semoga Hafizul Osman terus berkarya dan menjadi pelapis saifai yang kuat. Tak sabar hendak membaca Bahagian ke-2.
LikeLiked by 2 people