Salam,
Mendedahkan latar belakang dalam sesebuah cerita adalah kerja yang amat sukar. Ia merupakan satu kerja penyeimbangan atau “balancing act“, di mana penulis perlu memberitahu kepada pembacanya maklumat penting supaya pembaca dapat faham jalan cerita yang cuba disampaikan. Namun demikian, terlalu banyak maklumat yang disampaikan akan menyebabkan pergerakan cerita menjadi tidak begitu lancar.
Pendedahan latar belakang dalam cerita dinamakan “eksposisi” atau “exposition“. Dalam SaiFai (dan juga fantasi), eksposisi sangat penting kerana penulis perlu menyampaikan konsep-konsep atau idea-idea yang masih belum wujud di dalam dunia ini, dan ianya perlu diterangkan kepada pembaca supaya cerita dapat difahami dengan betul.
Mereka yang baru berjinak-jinak dalam dunia penulisan mungkin akan menggunakan kaedah eksposisi yang cliché yang berbunyi begini:
“Seperti yang kita sedia maklum…”
atau
“Seperti yang kalian semua tahu…”
As you may know my dear reader, teknik ini sebenarnya menggalakkan penulis menulis secara malas. Beliau akan mencampakkan segala maklumat tentang latar ceritanya ke dalam dialog supaya pembaca dapat memahami keadaan yang sedang berlaku dengan lebih teliti, tetapi jika watak lain yang sedang mendengar dialog yang disampaikan itu sudah “sedia maklum,” kenapa pula dia perlu diterangkan maklumat yang sudah diketahuinya terlebih dahulu?
Tetapi jika kita sebagai penulis tidak mahu menulis cara ini, bagaimana pula kita boleh terangkan kepada pembaca tentang latar cerita kita? Bagaimanakah eksposisi yang elok boleh berlaku dalam penceritaan supaya ceritanya boleh bergerak dengan lancar dan seronok?
Pertama, penulis harus faham bahawa maklumat tentang latar cerita tidak perlu dicampakkan kesemuanya pada bahagian awal cerita. Penulis tidak perlu menceritakan segalanya tentang dunia hebat yang telah diciptakannya di dalam lima halaman yang pertama. Pembaca tidak perlu tahu itu semua pada waktu itu. Terlalu awal untuk pembaca menghadamnya. Seorang penulis itu haruslah memperkenalkan watak-wataknya terlebih dahulu sebelum latarnya supaya pembaca boleh menjalinkan suatu “hubungan” dengan mereka.
Kedua, perlu adanya watak yang menjadi “audience surrogate” atau pengganti kepada pembaca. Apa yang pembaca tahu, watak itu tahu. Apa yang pembaca tak tahu, watak itu tak tahu. Dari situ, apabila watak dalam cerita itu musykil atau keliru, pembaca juga akan mempunyai perasaan yang sama. Apabila watak itu kebingungan dan mahu bertanyakan soalan, pembaca juga akan mahu bertanyakan soalan yang sama.
Ketiga, apabila watak dalam cerita memerlukan maklumat yang penting untuk didedahkan kepadanya, waktu itulah penulis boleh mendedahkan latar atau maklumat yang sebelum ini sengaja disembunyikan daripada pembaca. Jangan pula penulis dedahkan segala maklumat yang telah diciptanya! Hanya beritahu apa yang watak itu perlu tahu pada ketika itu.
Maklumat tentang latar haruslah dititipkan sedikit demi sedikit ke dalam cerita, supaya pembaca sentiasa dahagakannya lagi. Jika ditumpahkan kesemuanya sekali, minat pembaca mungkin hilang terus kerana terlalu banyak maklumat yang perlu dihadam dan pergerakan cerita juga terjejas.
Sebagai contoh, mari kita lihat contoh perenggan pertama dari salah sebuah cerpen saya:
Pagi itu Firas bangun badannya kuyup lencun, bukan kerana sekali lagi dia telah berjalan sambil tidur dan menemui dirinya telah masuk ke dalam dewan pemprosesan air di mana ruang itu sentiasa dipenuhi kabus yang sarat dengan air.
Ayatnya panjang dan berbelit-belit tetapi kita diperkenalkan kepada watak utama yang bernama Firas. Dari perenggan ini pembaca akan tahu bahawa watak bernama Firas inilah yang akan menjadi watak sudut pandang bagi pembaca dalam cerita ini. Penulis yang baik akan mengekalkan sudut pandang kepada satu watak sahaja dalam suatu cerpen, dan jika ada lebih daripada satu sudut pandang, ia akan dibahagikan kepada seksyen tersendiri dan bukan dicampuradukkan di dalam perenggan yang sama untuk mengelakkan pembaca terkeliru.
Pembaca juga diberi maklumat bahawa di dalam cerita ini terdapat sebuah dewan pemprosesan air yang dipenuhi kabus, malah Firas pula sentiasa berjalan sambil tidur ke dalam dewan itu. Perenggan pertama ini sebenarnya padat dengan eksposisi tetapi ia sebenarnya masih okey kerana tidak membebankan pembaca dengan maklumat berlebihan (harap-harap), malahan membuat pembaca tertanya-tanya pula — Mengapa si Firas ini sentiasa berjalan sambil tidur? Mengapa pula dia tidur di dalam suatu tempat yang punya sebuah dewan pemprosesan air? Apakah yang sebenarnya berlaku ini?
Jadi, eksposisi yang cantik ialah eksposisi yang bukan sahaja mendedahkan latar kepada pembaca tetapi sebaliknya membuat pembaca mahu bertanya lebih lagi soalan. Dan semoga sifat ingin tahu ini akan mendorong pembaca untuk terus membaca cerita itu sehingga ke kesudahannya.
~
Cerpen yang dimaksudkan di atas bolehlah dibaca di dalam Antologi Cerpen X-traordinari Imagikata yang kini boleh dibeli dari BookCafe.