Sempena penerbitan semula novel Transgenesis karya Amir Husaini oleh Penerbit-X, Pena SaiFai telah memutuskan untuk mengadakan Minggu Amir Husaini. Artikel-artikel pada minggu ini bertemakan buku-buku Amir Husaini. Semoga bermanfaat.
Kita bersambung pada hari ini bersama novelis Transgenesis dan Detik, Amir Husaini, dengan wawancara bahagian kedua. Baca bahagian satu di sini.
Pemenang tempat ketiga dalam Sayembara Fiksyen Sains dan Teknologi UTM-Utusan Musim Ke-2 merupakan seorang cendekiawan negara iaitu Dr. Shaikh Mohd Saifuddeen Shaikh Mohd Salleh yang menggunakan nama pena Amir Husaini. Selain memiliki kelulusan Sarjana Muda Sains (Kepujian) dalam bidang Kimia dan Sarjana Pengurusan Perniagaan dari University of Glasgow, beliau turut memegang Sarjana Sains dan Doktor Falsafah dalam bidang Sejarah dan Falsafah Sains dari Universiti Malaya. Beliau yang kini berkhidmat di Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) pernah bertugas di beberapa organisasi lain seperti Pusat Kajian Strategik Malaysia, Yayasan Ilmuwan dan Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya. Beliau turut menyumbangkan buah fikirannya dengan berkongsi ilmu pengetahuannya dalam dua puluh buku akademik seputar isu-isu semasa sains dan teknologi dari perspektif Islam.
Nama Amir Husaini semakin dikenali setelah dinobatkan sebagai salah seorang pemenang Sayembara Fiksyen Sains dan Teknologi UTM-Kumpulan Utusan (Sayembara SaiFai) melalui novel Detik. Sejujurnya, inilah antara novel SaiFai kegemaran saya, kerana Dr. telah melahirkan suatu kemungkinan bahawa konsep pengembaraan masa boleh berlaku dengan kehadiran partikel takion. Apakah yang mengilhamkan Dr. Shaikh untuk meneroka subjek ini?
Novel Detik saya tulis hasil perbincangan dengan seorang sahabat mengenai falsafah peredaran masa. Banyak kisah fiksyen sains yang berkisar mengenai pengembaraan masa kerana banyak isu dan paradoks yang boleh kita terokai. Saya sejujurnya kurang selesa untuk menulis mengenai sesuatu yang berasaskan fizik teoretikal, tetapi sekali lagi, saya cuba mencabar diri saya untuk menghasilkan sesuatu yang berbeza. Itu yang membawa kepada lahirnya Detik.
Saya ingin memetik sedikit ulasan saudara Fadli al-Akiti mengenai novel Detik dalam blognya:
“Bolehkah manusia melanggar ketentuan detik?” Persoalan ini membawa kepada persoalan moral yang lebih besar, yang biasa dalam kefahaman Timur, yakni melanggar fitrah (ketentuan yang sudah ditentukan Tuhan). Saya kenal dengan Amir Husaini dan beliau memang menyukai persoalan ini disuntik dalam karya-karyanya, suatu semangat biasa yang wujud sedari sastera Gothic mengambil tempat (pembikinan raksasa Frankenstein merupakan alat moral melanggar fitrah yang didaktik, paling berpengaruh sehingga sekarang). Dan hal ini dilakukan dengan lancar oleh Amir.
Apa pula pandangan peribadi Dr. Shaikh tentang ulasan ini?
Itu yang saya cuba lakukan dalam semua penulisan saya. Bagi setiap karya yang saya hasilkan, ada mesej mengenai isu etika dan agama yang saya cuba ketengahkan. Walaupun demikian, saya cuba mengelak daripada menghasilkan sesuatu yang bersifat khutbah, sebaliknya saya mahu isu etika itu menjadi sebahagian daripada penceritaan secara organik.
Dr. pernah menyebut dalam blog bahawa Dr. lebih cenderung menulis SaiFai menggunakan latar realiti masa sekarang, dengan menjukstaposisikan elemen fiksyen sains pada latar tersebut. Penceritaan sebegini dapat menjinakkan masyarakat untuk mendekati SaiFai, kerana sudah terlalu banyak keluhan bahawa SaiFai itu menakutkan, susah untuk difahami. Apa pendapat Dr. mengenai perkara ini?
Ya, itu memang menjadi pendekatan saya dalam penceritaan. Setiap penulis ada kelebihan dan kekuatan masing-masing. Ramai penulis yang mempunyai tahap imaginasi yang tinggi sehingga mampu membayangkan perkara masa hadapan atau perkara yang menyentuh ruang fantasi. Saya perlu berlaku jujur kepada diri saya. Saya tidak ada kemampuan itu. Saya sekadar boleh melihat apa yang ada sekarang ini di hadapan mata saya. Apa yang saya lihat, maka itulah yang menjadi latar penceritaan saya. Seperti yang saya katakan di awal tadi, apabila saya berada di dalam hutan di kaki Gunung Pulai, itu menjadi pilihan saya untuk dijadikan latar penceritaan Transgenesis: Bisikan Rimba. Saya juga merasakan penghayatan pembaca adalah lebih baik jika latar penceritaan berkisar realiti kehidupan hari ini. Sekadar ada perkara yang bersifat fiksyen sains yang berlaku dalam realiti tersebut yang menjadi isi dalam penceritaan.
Sebagai seorang yang berlatar belakangkan sains dan menceburi bidang sains sepenuh masa, tentunya Dr. Shaikh berasa teruja bila melihat hasil penulisan kreatif Dr. dalam tema sains mendapat sambutan menggalakkan. Ini tentunya menjadi dorongan untuk Dr. terus menulis. Sekiranya diberi kekuatan dan keizinan, apakah jenis-jenis karya dan tema yang ingin Dr. sentuh pada masa akan datang?
Sambutan yang diberikan memang amat menggalakkan, apa lagi untuk orang seperti saya yang tidak ada latihan formal dalam bidang penulisan. Cuma yang menjadi hambatan saya sekarang ialah tugas dan masa yang terbatas. Namun, jika ada peluang, pastinya masih ada cerita yang hendak saya sampaikan. Saya fikir saya akan terus kekal dalam genre fiksyen sains, walaupun mungkin sesekali akan menulis genre lain seperti cerpen Kilt dan Kimono dalam Dewan Siswa, dan cerpen Mencari Cahaya di Bumi Sakura dalam Dewan Sastera. Pastinya kesinambungan Transgenesis menjadi prioriti.
Inilah soalan favorite yang kerap diajukan oleh mereka yang baru sahaja berjinak-jinak dalam dunia SaiFai, lebih-lebih lagi buat para penulis yang berminat hendak bersaing dalam Sayembara SaiFai. Sudikah Dr. berkongsi beberapa tips dan petua untuk mereka?
Saya tidak ada petua khusus. Sekadar yang saya boleh nyatakan ialah dua perkara. Pertama, untuk menjadi penulis yang baik, kita perlu banyak membaca karya orang lain. Ini penting bagi kita melihat gaya penulisan orang untuk kita jadikan sebagai contoh. Kedua, jangan syok sendiri apabila menulis. Maksud saya ialah, letakkan diri kita sebagai pembaca apabila kita menulis. Baca semula apa yang kita tulis, dan tanya dengan jujur kepada diri kita: Jika kita seorang pembaca, adakah kita berpuas hati dengan apa yang telah ditulis? Jika jawapannya tidak, lakukan proses penulisan semula sehingga kita memperoleh hasil yang benar-benar memuaskan hati.
Apa harapan dan keinginan Dr. untuk melihat masa depan SaiFai di Malaysia ini?
Saya berharap agar genre ini terus berkembang dan mendapat sambutan daripada kalangan pembaca di Malaysia. Bagi saya, genre SaiFai mempunyai potensi yang amat besar untuk dikembangkan. Kita perlu berusaha ke arah mengarusperdanakan genre SaiFai di Malaysia jika kita mahu lebih banyak karya berkualiti dihasilkan.
Novel Detik boleh dibeli secara atas talian di MyBooks.com.my.
Novel Transgenesis (edisi 2016) boleh dibeli secara atas talian di BookCafe.com.my.
salam alaikum, transgenesis edisi 2016 itu sambungan kepada trangenesis Bisikan Rimba atau bukan? saya belia belasan yang mengikuti perkembangan buku tersebut…
LikeLike