Sempena penerbitan semula novel Transgenesis karya Amir Husaini oleh Penerbit-X, Pena SaiFai telah memutuskan untuk mengadakan Minggu Amir Husaini. Artikel-artikel pada minggu ini bertemakan buku-buku Amir Husaini. Semoga bermanfaat.
Pemenang tempat ketiga dalam Sayembara Fiksyen Sains dan Teknologi UTM-Utusan Musim Ke-2 merupakan seorang cendekiawan negara iaitu Dr. Shaikh Mohd Saifuddeen Shaikh Mohd Salleh yang menggunakan nama pena Amir Husaini. Selain memiliki kelulusan Sarjana Muda Sains (Kepujian) dalam bidang Kimia dan Sarjana Pengurusan Perniagaan dari University of Glasgow, beliau turut memegang Sarjana Sains dan Doktor Falsafah dalam bidang Sejarah dan Falsafah Sains dari Universiti Malaya. Beliau yang kini berkhidmat di Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) pernah bertugas di beberapa organisasi lain seperti Pusat Kajian Strategik Malaysia, Yayasan Ilmuwan dan Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya. Beliau turut menyumbangkan buah fikirannya dengan berkongsi ilmu pengetahuannya dalam dua puluh buku akademik seputar isu-isu semasa sains dan teknologi dari perspektif Islam.
Sebagai permulaan, boleh Dr. Shaikh berkongsi bagaimana Dr. boleh menceburi bidang penulisan kreatif?
Minat menulis cerpen dan novel sebenarnya bermula semasa di sekolah menengah. Kebetulan semasa di Darjah Enam, saya bersekolah di tempat novelis terkenal, Azizi Haji Abdullah (Allahyarham), berkhidmat sebagai guru. Ketika itu, novel beliau iaitu Seorang Tua di Kaki Gunung menjadi sebutan ramai. Secara tidak langsung dan tanpa disedari, perkenalan dengan tokoh ini mencetus minat tersebut. Bagaimanapun, sepanjang waktu persekolahan, saya sekadar menulis secara suka-suka untuk majalah sekolah dan newsletter persatuan pelajar sewaktu menuntut di United Kingdom. Minat kepada genre fiksyen sains tercetus kerana minat saya menonton siri-siri televisyen dalam genre yang sama. Kemudiannya semasa di sekolah menengah dan universiti, saya mula terdedah kepada karya-karya genre ini daripada penulis-penulis Barat seperti Isaac Asimov dan Arthur C. Clarke.
Novel SaiFai Dr. Shaikh yang pertama bertajuk Transgenesis: Bisikan Rimba merupakan kisah misteri yang penuh dengan elemen mendebarkan. Saya sendiri menggemari adegan pembunuhan di dalam hutan yang dihidangkan pada bahagian awal cerita. Malah, kebanyakan pembaca juga memberi reviu yang mengujakan untuk novel ini. Boleh Dr. Shaikh ceritakan serba sedikit pengalaman menulisnya?
Sebenarnya novel Transgenesis: Bisikan Rimba ini lahir daripada sebuah cerpen dalam bahasa Inggeris berjudul “Flora” yang saya tulis pada tahun 1992 sewaktu menuntut di United Kingdom. Cerpen ini berkisar mengutarakan persoalan apakah akan berlaku jika pokok-pokok boleh bertindak balas ke atas eksploitasi manusia yang memusnahkan hutan. Sayangnya, cerpen yang tidak diterbitkan itu tidak ada lagi dalam simpanan saya. Sekadar saya masih ingat jalan cerita yang pada saya ada potensi untuk dikembangkan. Kemudian, pada tahun 2007, saya terlibat dengan satu program di hutan di kaki Gunung Pulai. Sewaktu itulah, ilham untuk mengembangkan kisah Flora ini tercetus. Sebab itu jugalah saya gunakan latar tempat yang sama untuk kisah Transgenesis: Bisikan Rimba ini.
Dari segi proses penulisan, sedari awal lagi saya sudah jelas apa yang saya ingin sampaikan iaitu isu pelanggaran etika dan fitrah dalam pembangunan dan penggunaan teknologi. Cuma saya cabar diri saya supaya menghasilkan sesuatu yang tidak klise dan sukar untuk ditelah oleh pembaca. Setiap kali siap satu bab, saya berikan kepada dua orang sahabat untuk membaca dan memberi pandangan, dan pada waktu yang sama, saya bertanya kepada mereka, apa yang mereka jangka akan berlaku pada bab berikutnya. Jika jangkaan mereka itu sama dengan apa yang saya rancangkan, saya ubah dan pinda sedikit jalan cerita supaya menjadi sesuatu yang sukar dijangka. Proses ini sedikit meletihkan, tetapi pada akhirnya, ia memberi kepuasan kepada saya sebagai penulis.
Transgenesis: Bisikan Rimba menjadi rujukan bagi kertas kerja bertajuk “Transgenesis: Pelanggaran Etika Bioteknologi dalam Karya Sastera” yang ditulis oleh Dr. Maharam Mamat. Ia menghujahkan kepentingan etika dalam bidang teknologi pengklonan dan kejuruteraan genetik, seperti yang turut dinyatakan Dr. dalam novel itu. Adakah ini matlamat asal Dr. Shaikh menghasilkan karya ini? Atau ada lebih banyak lagi mesej-mesej lain yang ingin Dr. tekankan?
Ya, itu memang matlamat utama isu yang hendak dikupas dalam novel itu. Sepanjang karier saya sebagai ahli akademik, saya banyak terlibat dalam penyelidikan dan pewacanaan isu-isu etika sains dan teknologi. Bagi saya, isu etika ini amat penting untuk diketahui dan disedari oleh masyarakat awam. Cumanya apabila isu-isu ini dikupas atas platform akademik, khalayak sasarannya terhad. Saya terfikir yang mungkin isu-isu ini boleh disampaikan kepada khalayak yang lebih luas melalui penulisan kreatif. Maka, saya mencabar diri saya untuk menyampaikan sesuatu yang sebenarnya “ilmiah,” “kontemporari” dan “serius” menggunakan pendekatan penceritaan kreatif berteraskan genre fiksyen sains. Pada waktu yang sama, etika yang dikupas juga bukanlah etika saintisme atau sekular, sebaliknya etika yang berteraskan nilai-nilai Islami.
Dr. Shaikh menulis Transgenesis: Bisikan Rimba dengan kesudahan yang tergantung dan beberapa persoalan yang belum dijawab. Saya masih tertanya-tanya siapakah lelaki tua yang menguasai ruang Prolog dan Epilog. Mungkinkah Dr. bakal menghadiahkan para pembaca dengan kemunculan sekuelnya suatu hari nanti?
Sebenarnya banyak soalan yang sengaja ditinggalkan tidak dijawab dalam novel itu. Memang itu dilakukan dengan sengaja kerana beberapa sebab. Pertama, saya secara peribadi tidak gemar cerita yang berakhir secara “kemas” dengan mengikat mati setiap perkara yang dibawa dalam penceritaan. Ini kerana saya berpandangan bahawa tidak ada perkara yang selesai 100% dengan kemas dalam hidup kita. Jika penceritaan kreatif menjadi perlambangan kepada kehidupan sebenar, seharusnya ada persoalan-persoalan yang tidak dijawab dan tidak berjawab.
Keduanya, saya mahu pembaca berfikir mengenai watak, perwatakan dan penceritaan novel ini. Walaupun ada persoalan yang tidak dijawab, terdapat begitu banyak sekali petunjuk dalam watak, perwatakan dan penceritaan yang memberikan jawapan tanpa perlu ditulis jawapannya. Yang perlu hanyalah keupayaan berfikir dan melakukan sedikit inferens. Saya berikan satu contoh iaitu watak pembantu kepada Datuk Jay yang bernama Ixora. Peranan watak ini dalam kisah ini kecil sahaja tetapi amat signifikan. Ramai pembaca yang memberi maklum balas kepada saya bahawa sepanjang membaca novel itu daripada awal hingga akhir, watak Ixora itu hanya dilihat sebagai watak sampingan yang tidak penting, malah ada yang menganggap watak ini sebagai tempelan. Bagaimanapun, apabila membaca bab terakhir, mereka berkata, “Ya tak ya juga. Semuanya masuk akal.” Ini kerana sepanjang penceritaan novel itu, ditaburkan banyak petunjuk yang apabila sampai ke penghujung cerita memberikan natijah yang logikal. Jadi sebenarnya, bagi semua persoalan yang tidak terjawab atau tidak berjawab, jawapannya ada sepanjang penceritaan Transgenesis: Bisikan Rimba.
Sebab ketiga novel ini nampak tergantung adalah kerana ia memberi ruang kepada saya untuk mengembangkan sambungan dalam bentuk novel atau kisah sisi dalam bentuk cerpen. Saya “pelajari” perkara ini daripada penulis komik iaitu Peter David. Apabila beliau menulis siri komiknya seperti The Incredible Hulk atau X-Factor, sentiasa ada plot-plot kecil yang sengaja dibiarkan tergantung dalam satu komik yang kemudiannya beliau akan kembangkan menjadi plot utama dalam siri akan datang. Kalau kita ikat kemas semua perkara, sukar untuk kita kembali kepada kisah atau watak itu tanpa perlu melakukan apa yang dipanggil retcon (memasukkan maklumat baharu yang memaksa perspektif baharu kepada cerita asal).
Untuk makluman, satu kisah sisi yang lahir daripada Transgenesis akan dapat dibaca dalam antologi Imagikata yang bakal terbit. Juga jika Transgenesis yang dicetak di bawah penerbit baharu mendapat sambutan, insya-Allah sekuelnya sedia menanti.
~
Esok: Amir Husaini berkongsi tentang novelnya yang mendapat tempat ketiga di dalam Sayembara Fiksyen Sains UTM-Utusan Musim Ke-2 dan pengalamannya bersaing di dalam sayembara itu.
Novel Transgenesis (edisi 2016) dan antologi Imagikata boleh dibeli secara atas talian di BookCafe.com.my.
adakah novel transgenesis sudah ada sambungan?
LikeLike