Detik – Natijah Melanggar Fitrah

Sempena penerbitan semula novel Transgenesis karya Amir Husaini oleh Penerbit-X, Pena SaiFai telah memutuskan untuk mengadakan Minggu Amir Husaini. Artikel-artikel pada minggu ini bertemakan buku-buku Amir Husaini. Semoga bermanfaat.

detik

Tajuk Buku: Detik
Pengarang:
Amir Husaini
Penerbit:
Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd
Tahun Terbitan:
2012
Halaman:
166

Sayembara Fiksyen Sains & Teknologi UTM-Kumpulan Utusan Musim Kedua mengangkat jalur sains fiksyen ke arah dampak positif dengan membuka ruang buat penulis-penulis baharu menyuburkan kreativiti di samping memberi pencerahan kepada ilmu sains dan teknologi. Jalinan murni di antara UTM dan Kumpulan Utusan jelas menzahirkan apresiasi kedua-dua pihak terhadap usaha pihak kerajaan yang tidak jemu-jemu menarik minat orang ramai terutamanya golongan pelajar dan kanak-kanak agar menanam sifat kecintaan pada mata pelajaran sains yang senantiasa segar dan bernafas baharu.

Usaha penggalakan dan inisiatif kolaborasi di antara UTM dan Kumpulan Utusan dianggap sebagai satu wadah penting untuk merealisasikan dasar kerajaan mencapai sekurang-kurangnya 60 peratus pelajar aliran sains dan 40 peratus aliran sastera ke arah impian Wawasan 2020. Di samping itu, cetusan minat terhadap bidang sains dan teknologi mampu melahirkan graduan yang cemerlang untuk menyumbang kepada penghasilan tenaga kerja profesional dan berkualiti dalam bidang kejuruteraan, sains, teknologi dan kedoktoran untuk manfaat negara.

Pemenang tempat ketiga dalam sayembara ini merupakan seorang cendekiawan negara iaitu Dr. Shaikh Mohd Saifuddeen Shaikh Mohd Salleh yang menggunakan nama pena Amir Husaini. Selain memiliki kelulusan Sarjana Muda Sains (Kepujian) dalam bidang Kimia dan Sarjana Pengurusan Perniagaan dari University of Glasgow, beliau turut memegang Sarjana Sains dan Doktor Falsafah dalam bidang Sejarah dan Falsafah Sains dari Universiti Malaya. Selain menyumbangkan tenaga di Pusat Kajian Strategik Malaysia, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Yayasan Ilmuan dan Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, beliau turut menyumbangkan buah fikirannya dengan berkongsi ilmu pengetahuannya dalam dua puluh buku akademik seputar isu-isu semasa sains dan teknologi dari perspektif Islam.

Novel Detik merupakan buah tangan Amir Husaini yang ke-3 dalam bidang penulisan kreatif, dan pertama kali memenangi hadiah tempat ketiga dalam Sayembara Sains Fiksyen & Teknologi paling berprestij di Malaysia. Tema yang diketengahkan dalam penulisannya ini adalah kelampauan manusia mengejar nikmat dunia atas tiket kemajuan sains dan inovasi teknologi, sehingga dengan sengaja menidakkan tonggak ketentuan dan fitrah Ilahi yang kerap didokong oleh Al-Quran sebagai panduan.

Novel Detik menghantar persoalan sama ada pengembaraan merentas masa dicakupi sebagai sesuatu yang menentang fitrah Tuhan. Teknologi perpindahan jasad melalui ruang masa yang dipelopori pengarang menceritakan kewujudan sejenis partikel takionik yang dipanggil takion. Ahli fizik Gerald Feinberg pada tahun 1967 mencipta istilah takion berdasarkan hipotesis bahawa partikel istimewa ini boleh bergerak mengatasi kelajuan cahaya. Partikel takion ini diragui kewujudannya disebabkan uji kaji Feinberg yang gagal dalam mematuhi hukum fizik sedia ada. Menariknya, teori takion ini dijangka bakal diaplikasikan sebagai tujuan telekomunikasi, namun penulis mencerahkan lagi keupayaannya dengan melahirkan idea penciptaan senapang takion yang berkebolehan menerobos masa.

Konsep dan idea teleportasi telah lama diketengahkan di dalam siri drama pengembaraan angkasa lepas Star Trek, di mana diceritakan bahawa manusia boleh bergerak daripada satu tempat ke tempat lain melalui teknik pemecahan dan percantuman zarah. Dengan aplikasi teleportasi, seseorang itu dapat bergerak ke destinasi yang dituju dengan hanya satu kilauan cahaya. Suatu masa dahulu, para saintis menganggap fenomena pemindahan objek ini sebagai sesuatu yang tidak logik dan melanggar teori Kuantum Mekanik. Terdapat beberapa klasifikasi teleportasi, antaranya Teleportasi Kuantum yang menggambarkan konsep teleportasi secara pemindahan zarah dan molekul unsur (proton atau neutron) dan Teleportasi Lenturan Ruang Masa yang merupakan konsep teleportasi sewaktu saintis mencipta jalan pintas.

Pada tahun 1993, sekumpulan saintis telah berjaya membuat uji kaji khas tentang Teleportasi Kuantum yang dikenali sebagai “Kesan Einstein-Podolsky-Rosen”. Uji kaji tersebut berjaya menunjukkan bahawa sesuatu objek atau data boleh diteleportasikan ke kawasan lain, di mana kawasan itu tidak langsung mempunyai sebarang perkaitan dengan objek di lokasi asal. Di samping itu, objek yang wujud di kawasan baharu itu tidak akan kekal di lokasi asal secara total. Kajian ini disahkan mempunyai sumbangan besar dalam masa depan teleportasi dan diterbitkan di dalam jurnal Physical Review Letters keluaran Mac 1993.

Namun begitu, kesukaran nyata buat saintis untuk mencapai impian teleportasi adalah kelajuan cahaya sebagai satu syarat untuk menjayakan proses ini. Persoalan yang sering timbul adalah kewajaran dunia realiti mencapai tahap kelajuan melebihi kelajuan cahaya. Ini kerana saintis memerlukan suatu tahap keupayaan yang luar biasa bagi mencipta medan tenaga dan ruang masa yang akan digunakan sebagai pengangkutan dalam teleportasi. Medan tenaga eksotik yang kuat dan stabil ini sebenarnya yang akan digunakan bagi mencipta terowong perpindahan jasad. Sumber menyatakan bahawa tenaga yang diperlukan adalah satu per tiga daripada tenaga yang dimiliki jisim Planet Musytari, planet terbesar dalam sistem solar dan 317 kali ganda Bumi. Biar pun para saintis mampu menghasilkan tenaga sebesar itu kelak, persoalan seterusnya yang harus dipertimbangkan adalah sama ada kita mampu untuk mengawal dan menstabilkan medan tenaga yang sangat dahsyat kuasanya.

Pandangan sempit protagonis di dalam novel Detik iaitu Profesor Sa’at bahawa sains tidak wajar dikekang oleh pertimbangan etika atau pun garis panduan agama nyata meninggalkan natijah buruk terhadap dirinya sendiri. Kesedaran yang timbul pada saat akhir disebabkan pelanggaran ketentuan ini tidak lagi berupaya membantu, malah menyebabkan beliau kehilangan satu-satunya anak lelaki tunggal kesayangannya. Penulis menyimpulkan bahawa kesan perbuatan merentas masa yang melanggar tabii dan perbuatan alam akan mendatangkan lebih banyak keburukan daripada kebaikan kepada umat sejagat. Bukan sekadar kesilapan Profesor Sa’at dalam melanggar kejadian Tuhan dibayar dengan nyawa anaknya, malah segala ujikaji yang dijalankan di bawah Projek Kronos terbakar teruk menyebabkan segala usahanya selama ini termusnah begitu sahaja.

Dr. Ali Muhyy Ed-Deen Al-Qara Daghi dari Fakulti Shari’ah di Universiti Qatar pernah membincangkan isu etika dan dilema yang dialami oleh para saintis dalam meneruskan kajian sains yang kontroversi dan begitu terkedepan, seperti usaha memajukan teknologi terapi gen. Islam sebagai agama yang benar dan saksama tidak pernah menidakkan kepentingan sains dalam membangunkan tamadun manusia. Dari kaca mata Islam, sesuatu uji kaji sains itu hendaklah dijalankan berasaskan syariah, tidak mendatangkan kesengsaraan/kemusnahan, serta memberi lebih banyak kebaikan kepada umat manusia secara keseluruhannya. Para saintis disarankan agar kewajaran sesuatu ciptaan sains itu adalah berdasarkan rasa rendah diri dan takjub terhadap ciptaan Allah SWT, di samping menolak rasa taksub yang seringkali hadir dalam hati seorang manusia yang lemah pegangannya.

Dr. Ali turut berpendapat bahawa alam semesta ciptaan Allah ini sememangnya dijadikan untuk golongan manusia mencurahkan bakti kepada Yang Maha Kuasa. Sesungguhnya Allah SWT memberi keistimewaan kepada kita sebagai khalifahnya untuk mentadbir dunia dengan cara yang paling bijaksana. Oleh itu, wajarlah umat manusia mewujudkan pelan etika terhadap suatu kajian sains yang berlandaskan Daruriyyat (keperluan) dan Hajiyyat (kesaksamaan). Paling utama, telah digariskan sejelas-jelasnya dalam Al-Quran agar manusia itu menjauhi ciptaan yang bakal menggelincirkan kita daripada landasan agama yang sempurna, lebih-lebih lagi jika penciptaan itu jelas menentang kekuasaan Ilahi dan bakal mendatangkan kemusnahan kepada seluruh sarwajagat.

Ulasan ini pernah tersiar di Mingguan Malaysia pada 16 Disember 2012.

Novel Detik boleh dibeli secara atas talian di MyBooks.com.my.
Novel
Transgenesis (edisi 2016) boleh dibeli secara atas talian di BookCafe.com.my.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s