Kita bersambung pada minggu ini bersama pemenang Sayembara Fiksyen Sains, Amer Hmzah L. Kadir, dengan bahagian kedua. Baca bahagian satu di sini.
Alhamdulillah, berpeluang juga kami nak mewawancara penulis prolifik dari utara ni. Siapa yang tak kenal dengan nama Amer Hmzah L. Kadir, penulis prolifik yang memenangi Hadiah Sastera Kumpulan Utusan (HSKU) 2005 dengan novel hebatnya Kembara Amira. Cikgu Amer juga telah berjaya menggondol dua anugerah dalam Sayembara Fiksyen Sains UTM-Kumpulan Utusan (Sayembara SaiFai) dengan bukunya bertajuk Kala Yuda (hadiah pertama untuk musim pertama) dan ID: Interdimensi (hadiah saguhati untuk musim kedua). Terkini, beliau dinobatkan sebagai salah seorang pemenang untuk Sayembara Penulisan ITBM-PENA-BH 2015 dengan novelnya Bedar Tanpa Laut. Jom kita ikuti sesi bual bicara dengan penulis serba boleh dan luas pengalaman ini.
Cikgu Amer sememangnya berbakat besar dalam menulis, dan ini terbukti apabila karya Cikgu banyak kali memenangi beberapa anugerah prestij peringkat negara. Boleh Cikgu kongsikan tips atau petua untuk para penulis muda yang berminat hendak bersaing dalam dunia sayembara?
Mungkin tips yang ingin saya berikan sama seperti penulis-penulis yang lain.
- Jadilah diri anda dan jangan jadi seperti penulis idola anda. Jangan cuba meniru gaya penulisan penulis idola kerana semua itu akan membunuh diri kita sendiri. Sebab itu saya tidak akan membaca mana-mana novel ketika dalam proses menulis. Jika saya hendak membaca karya orang lain saya akan berhenti menulis untuk seketika.
- Berfikir di luar kotak. Jangan biarkan anda terseret dalam acuan yang sama. Biar orang kata apa sahaja tentang karya kita. Kita harus berbangga kerana sebuah karya yang telah kita siapkan perlukan banyak pengorbanan.
- Jangan sesekali menciplak. Saya dapat mengesan ada penulis yang menciplak plot Kembara Amira. Namun saya reda.
- Rajin-rajin menyelongkar mencari bahan terbaharu. Biarlah orang kata tidak logik. Itu hak kita sebagai penulis.
- Dalam sayembara, tarik perhatian panel hakim dengan cara menimbulkan rasa ingin tahu. Jika manuskrip terpilih untuk penilaian akhir, itu sudah memadai. Jangan letakkan harapan yang amat tinggi. Kita harus mengukur keupayaan kita. Saya tidak pernah mengharapkan menang. Semua itu terserah kepada Allah SWT.
Dapatkan laporan panel hakim dalam setiap sayembara kerana laporan ini amat penting untuk kita jadikan panduan ketika menghasilkan karya. Hadiah Sastera dan Sayembara Fiksyen Sains dan Teknologi ada dibukukan laporan panel hakim. Baca dan kaji kehendak sayembara.
- Perlu ada penilai atau pembaca kedua untuk menilai dan mengesan sebarang kesilapan sebelum manuskrip dihantar. Biarlah penilai atau pembaca kedua itu orang yang jujur. Penilai dan pembaca kedua saya adalah isteri saya sendiri!
- Akhir sekali lakukan solat hajat. Banyak berdoa. InsyaAllah.
Sebagai seorang penulis separuh masa, tentu Cikgu ada rutin penulisan tertentu untuk memastikan manuskrip yang ditukang itu siap sepenuhnya. Kebanyakan penulis terbengkalai manuskripnya kerana kerap menggunakan alasan sibuk, penat, mengantuk dan tidak cukup masa. Jadi apa rahsia Cikgu untuk menangani semua cabaran ini?
Tugas guru semakin mencabar. Terlalu banyak tugas. Tetapi saya tetap menulis setiap malam bermula selepas maghrib hingga pukul 12.00 malam. Dulu saya menulis di meja makan. Tiada tempat khas. 8 novel di meja makan dan 1 novel dalam bilik menulis. Saya menulis sambil menonton televisyen, mendengar lagu, mendengar ceramah agama dari YouTube, berFB, berWhatsApp dan berbual dengan isteri atau anak-anak. Saya juga melukis kerana itu minat saya. Semuanya saya lakukan dalam masa yang sama. Bagi saya tiada sebarang alasan kalau kita hendak jadi penulis. Itu gaya dan cara saya. Saya tidak boleh menulis ketika sunyi. Saya tidak pernah bangun malam jika tiba-tiba tersedar ada idea. Cukup pukul 12.00 malam. Saya membina draf ketika mesyuarat atau mengawas pelajar ketika peperiksaan. Cuma saya tidak pernah menulis ketika mengajar. Itu pantang saya sejak dulu. Bukankah banyak masa untuk kita menulis.
Jika terputus idea, saya tidak akan memaksa diri saya. Berhenti. Buatlah apa yang kita suka. Saya peminat ayam eksotik dan ada koleksi beberapa spesies ayam. Saya akan melihat ayam-ayam yang ada dalam 3 reban di belakang rumah.
Itulah saya sebagai seorang penulis.
Karya-karya Cikgu Amer tidak hanya bertemakan sains dan teknologi, namun merangkumi juga bidang sejarah, fantasi, serta misteri dan penyiasatan yang mengujakan. Apakah antara bahan bacaan dan juga filem-filem yang Cikgu Amer minati?
Dahulu saya memang fanatik dengan filem. Ketika itu ada iklan wayang gambar dalam akhbar dan saya akan menonton apa sahaja filem yang saya suka. Namun hanya beberapa filem sahaja yang begitu kuat mengikat saya. Saya suka kaedah penceritaannya. Terlalu banyak filem yang berjaya menarik saya ke panggung wayang atau membeli DVD cetak rompak (jangan tiru saya dalam hal ini). Filem terbaru yang saya tonton adalah Star Wars yang memang mengujakan walaupun ianya adalah fantasi. Unsur-unsur retro dalam sekuel terkini mengingatkan kembali filem pertama dahulu.
Saya suka buku ilmiah. Setelah menghabiskan Sejarah Falsafah Islam oleh Majid Fakhry untuk kali kedua, saya baca kisah Ibnu Battuta juga untuk kali kedua dan terkini Merungkai Genom oleh Kevin Davies untuk kali ke empat! Dan semua itu saya lakukan ketika saya tidak menulis. Bukankah saya masih ada masa?
Cikgu Amer khabarnya sangat gemar mencipta draf dengan hanya sebatang pen dan sekeping kertas A4. Lakaran-lakaran yang dihasilkan bersama draf itu juga cantik berseni. Selalukah cikgu melakukannya sebelum memulakan aktiviti penulisan?
Ini adalah draf Empayar Fantasi. Sebenarnya saya mahu menulis trilogi dan sudah ada persetujuan dengan sebuah penerbitan. Malah sudah off-set (saya tidak pasti istilah ini tepat atau tidak) untuk bahagian pertama. Namun secara tiba-tiba syarikat berkenaan diam sehinggalah hari ini. Malah saya masih menyimpan off-set tersebut sehingga sekarang. Dan kisah fantasi terhenti begitu sahaja. Untuk menguatkan lagi daya ingatan saya, saya akan melukis dalam draf tersebut. Saya rasa draf inilah yang paling banyak mempunyai lukisan begitu. Begitu juga draf yang lain, cuma untuk seketika saya mahu simpan dahulu.
Biasanya draf begini saya lakukan dalam masa terhad dan tidak sempat menulis. Terus terang saya katakan masa yang paling banyak saya lakukan kerja begini ialah ketika mesyuarat atau ketika mengawas peperiksaan. Saya hanya perlukan sebatang pen dakwat cair yang begitu besar khidmatnya kerana kesemua draf novel saya gunakan pen itu. Sekeping kertas A4 dan saya segera tenggelam dalam fantasi yang hanya orang tertentu sahaja yang tahu.
Akhir sekali, besar harapan kami agar Cikgu Amer boleh memberikan sedikit kata-kata semangat dan nasihat untuk menjadi seorang penulis yang baik dan berjaya, macam Cikgu.
Saya hanyalah penulis biasa. Tiada apa yang istimewa. Sama seperti penulis-penulis lain. Bagi saya kehebatan diri saya hanyalah tidak pernah jemu mencuba. Manuskrip terkini yang sedang saya usahakan adalah kisah haiwan. Saya tidak tahu kenapa saya tulis manuskrip begitu. Tidak salah saya mencuba dan mungkin ada penerbitan yang berminat.
Paling penting jangan sesekali meniru. Meniru akan membunuh anda!
~
Dapatkan novel Kala Yuda dan ID: Interdimensi dari laman web www.mybooks.com.my
Seronok betul baca pos ini. Saya juga amalkan teknik yang sama dengan Cikgu Amer. Buat draf semasa mesyuarat & ketika mengawas peperiksaan ( sambil berdiri!) sebab tak dibenarkan duduk ketika mengawas peperiksaan. Juga menulis di tengah aktiviti keluarga. Juga pantang yang sama – tidak menulis sewaktu mengajar (tak berkat) termasuk waktu relief. Relief pun mengajar kecuali budak2 betul2 melarang kita mengajar (mereka nsk siapkan folio maut dsb). Penulis yang matang reda dengan kritikan & tidak defensif. Bahkan berfikiran terbuka yang karya kita ada kelemahan. Saya rasa telah bertemu denfan kindred spirit apabila membaca temuramah ini.
Terima kasih Azida & Cikgu Amer. You both are the best!
LikeLiked by 2 people
Sama-sama Kak Sri! Seronok bila melihat penulis-penulis hebat datang menjengah laman web ini.
LikeLiked by 1 person
Saya juga rasa seronok apabila membaca semula jawapan saya. Tak tahu pula kenapa jawapan saya jadi begitu. Terima kasih tim pena saifai. Juga untuk Puan Sri.
LikeLiked by 2 people
Sama-sama Cikgu Amer! Jawapan-jawapan Cikgu memang menarik, jelas memperlihatkan semangat Cikgu dalam bidang menulis, dan juga Cikgu langsung tidak lokek untuk membimbing kami semua.
LikeLiked by 1 person