Salam,
Genre fiksyen sains ini sebenarnya bukanlah suatu genre yang hanya tertakluk kepada penceritaan berlatarkan futuristik atau bermain-main di medan angkasa.
Selain memaparkan teknologi canggih, cerita-cerita SaiFai juga boleh berkisar dan bermain-main dengan soalan-soalan “What if…?” atau “Apakah yang akan berlaku jika…?” dan jika penulis memikirkan dengan dalam soalan-soalan seumpama ini, mereka boleh sahaja menemui jawapan yang sangat menarik untuk dituang ke dalam cerita SaiFai.
Apabila penulis bertanyakan kepada dirinya soalan seperti, “Apakah akan terjadi jika Malayan Union tidak pernah dibubarkan?” (sebagai contoh), ia akan membangkitkan beberapa soalan lagi yang perlu dijawab. Dari sini, kita mungkin pula bertanya, “Apakah yang terjadi dengan gerakan orang Melayu yang dipimpin Dato’ Onn Jaafar untuk menentang dengan keras pertubuhan Malayan Union?” Adakah mereka berjaya disenyapkan konco-konco Harold MacMichael yang berusaha bersungguh-sungguh untuk mengurangkan kuasa sultan-sultan Melayu ketika itu?
Dalam suasana sebegini, mungkinkah Tanah Melayu dapat diberikan kemerdekaan pada tahun 1957? Kita putarkan jam dan anjakkan kalendar ke hadapan, dan sekarang kita lihat, apa pula rupa Tanah Melayu ini apabila sudah tiba tahun 2016? Sudah tentu ia akan sungguh berbeza daripada tahun 2016 yang kita kenali. Mungkin Malaysia tidak pernah ditubuhkan dan telah diganyang oleh Indonesia sama sekali. Mungkin juga ia berjaya ditubuhkan dan Brunei dan Singapura kini antara negeri-negeri di bawah persekutuan. Mungkin juga negara ini tidak diberikan kemerdekaan langsung dan masih di bawah pengaruh pihak British. Mungkin sultan-sultan yang dihalau keluar semasa zaman Malayan Union ditubuhkan kini sedang merancang tindakan menyerang dan mengambil semula Tanah Melayu dari kepulauan Seychelles.
Soalan-soalan seperti ini membolehkan kita membayangkan suatu sejarah alternatif untuk mencipta latar yang menarik dalam cerita seseorang penulis. Proses pemikiran seperti ini bolehlah kita namakan suatu “thought experiment” atau “eksperimen pemikiran” dan inilah proses yang membolehkan seseorang penulis itu mempersembahkan suatu cerita yang lain dari yang lain.
Eksperimen pemikiran yang berkisar sejarah alternatif telah menginspirasi ramai penulis, daripada Philip K. Dick sehinggalah ke Faisal Tehrani. Philip K. Dick telah menulis sebuah novel bertajuk The Man in the High Castle di mana beliau telah menganjurkan situasi di mana Kuasa Paksi iaitu Jerman Nazi dan Imperialis Jepun berjaya menakluk Amerika Syarikat selepas memenangi Perang Dunia Kedua. Amerika Syarikat dibahagi tiga: pantai timur di bawah penguasaan Nazi, pantai barat di bawah pengaruh Jepun, dan kawasan-kawasan diantaranya menjadi sebuah negeri penampan (buffer state). Plotnya pula berkisar watak-watak yang merupakan rakyat biasa semasa tahun 1962, berdekad lamanya setelah peperangan tamat, menjadikan peperangan itu hanya satu memori pahit yang silam bagi watak-watak tersebut. Kini, novel ini telah dijadikan siri televisyen yang juga menarik untuk ditonton.
Dalam novel 1515 pula, Faisal Tehrani mengangkat soalan di mana Melaka tidak ditawan oleh pihak Portugis pada tahun 1511 dan sebaliknya, seorang srikandi muda berjaya mengumpul dan menaikkan semangat orang Melayu untuk bersatu menentang kuasa Feringgi yang sebenarnya tidaklah berapa kuat. Dan srikandi itu tidak berhenti di situ. Kejayaan menumpaskan pihak Portugis itu telah menaikkan semangat orang Melaka sehingga membolehkan mereka berlayar sehingga ke Eropah dan membawa peperangan ke pintu depan rumah Portugis sehingga mereka berjaya ditawan. Novel pascamoden ini diolah dengan menarik dan saya sangat gemarkan gaya dreamlikenya yang membuatkan kita tertanya-tanya, adakah ini semuanya betul-betul terjadi atau ia hanya suatu khalayan seorang sejarawan yang imaginatif?
Sudah tentu kita tidak perlu mengongkong soalan-soalan seperti ini kepada kisah-kisah sejarah alternatif sahaja. Boleh sahaja kita lihat tajuk-tajuk berita hari ini dan bertanya kepada diri kita, “Apakah akan terjadi jika kita membina tembok mengelilingi kedua-dua bahagian Malaysia untuk menghalang pendatang haram daripada berjaya masuk ke negara ini?” Sudah tentu ia menjadi sebuah distopia. Atau utopia. Atau kedua-duanya sekali! ia bergantung kepada perspektif watak yang diceritakan.
Itulah nikmatnya menjadi penulis SaiFai. Awak boleh menentukan apa yang boleh terjadi dalam senario-senario seperti ini, dan menggunakan latar-latar ini untuk mengolah sebuah cerita yang amat menarik.
Boleh sahaja saya bayangkan dalam senario ini, nasi lemak telah dijadikan makanan yang wajib dimakan oleh rakyat setiap pagi untuk menunjukkan sifat patriotis kepada negara, tetapi mungkin terdapat seorang yang masih teringat-ingat kepada sup miso dari zaman kecilnya. Sup miso sudahpun diharamkan kerana menjadi simbol kapitalis dan imperialis dari Luar. Dalam senario negara yang mengalami xenofobia sebegini, di manakah watak itu boleh mendapatkan semangkuk sup miso? Mungkin di meja makan pemimpin-pemimpin yang telah mengeluarkan arahan untuk mengharamkan sup miso itu. Mungkin. Contoh sahaja.
Menulis cerita SaiFai sebenarnya memerlukan kita sentiasa bertanya, “mengapa?”, “bila?”, “apakah?”, “bagaimana?”, tentang bermacam-macam di dalam hidup ini. Apabila ada yang bertanya soalan yang berbunyi, “Hei, di manakah awak mendapat idea untuk cerita-cerita awak?”, mereka seharusnya tahu bahawa idea sesuatu cerita itu terkandung di dalam jawapan kepada soalan-soalan yang ditanya dalam sesuatu eksperimen pemikiran.
Mungkin ada yang bertanya, adakah cerita-cerita sebegini merupakan SaiFai? Di mana sainsnya di dalam fiksyen sains seperti ini? Jawapannya, di dalam eksperimen pemikiran yang kami jalankan untuk mendapatkan cerita ini. Sains merupakan bidang di mana kita bertanya bermacam-macam soalan dan apabila kita bertanya soalan-soalan yang menarik di dalam eksperimen pemikiran kita, sebuah cerita SaiFai yang mengagumkan pembaca boleh terhasil.
Ini adalah artikel yang sangat baik, dan semestinya ia lahir daripada buah pemikiran Ted Mahsun. Gabungan sains + sejarah tidak banyak dilakukan oleh penulis Malaysia. Mungkin selepas membaca artikel ini, akan lahirlah lebih banyak karya seperti ini. Atau mungkin saya akan menulisnya? Hehehe. Tahniah Ted, ini sangat menginspirasi!
LikeLiked by 1 person
Perkongsian Ted kali ini bagi saya adalah tentang penulisan saifai alternate universe. Secara peribadi penulisan tentang alternate universe secara per se agak tipis muatan sains dan teknologinya. Tetapi jika dicari satu konsep saintifik atau direka satu teknologi yang membawa kepada terciptanya alternate universe ini, akan terciptalah cerita alternate universe yang saifai. Satu lagi idea yang boleh dicuba. Terima kasih Ted Mahsun kerana tidak lokek berkongsi idea dan ilmu.
LikeLiked by 1 person