Kita bersambung pada minggu ini wawancara bersama Bapa SaiFai Moden Malaysia, Dr. Rahmat Haroun, dengan bahagian kedua. Baca bahagian satu di sini.
Rahmat Haroun (Hashim), suatu nama yang amat agung dalam persada fiksyen sains Malaysia. Sebelum beliau, karya fiksyen sains hanya “dirasionalisasikan” sebagai suatu karya yang layak dalam genre pembacaan kanak-kanak dan remaja. Malah, novel sulungnya, Di.Ar.Ti (1989) disalah anggap sebagai “novel perubatan” oleh editor dan penerbitnya pada waktu itu.
Seorang pengarang yang juga berkhidmat sebagai seorang doktor perubatan, Rahmat terus menghasilkan beberapa karya fiksyen sains lagi, termasuk dua yang dianggap “besar” dalam dokumentasi fiksyen sains tempatan, Manuklon (1991) (novel ini tidak dianggap sebagai fiksyen sains tetapi “futuristik” oleh penerbitnya) dan Hikayat Neogenesis (2005).
Malah Fitrah Kimiawi (2005) yang dianggap bergenre remaja dan berlegar dalam hal keremajaan, mempunyai ikutan peminat yang tersendiri, malah menarik pandangan baharu pembaca tempatan akan sejauh mana fiksyen sains dapat diadun dalam karya yang mengikut jejak minat pembaca kontemporari.
Rahmat bukan calang-calang orangnya. Beliau juga seorang pemikir dan memikir pelbagai persoalan sarwa masa hadapan dalam karyanya. Mungkin kerana ini juga, beliau sepatutnya diwartakan sebagai “Bapa SaiFai Moden” Malaysia.
Apakah karya SaiFai kegemaran Dr.?
Saya suka membaca karya Arthur C. Clarke, tetapi bukan naratifnya tetapi idea sains yang diketengahkannya. Saya lebih menggemari karya-karya Robin Cook kerana beliau seorang doktor seperti saya. Karyanya berkisar latar belakang sains perubatan dan hospital, seperti Coma, Chromosome 6, dan sebagainya.
Secara introspeksi, saya tidak nampak saya dipengaruhi atau terpengaruh dengan mana-mana karya. Dari segi pengkaryaan kreatif, DBP telah melantik Sasterawan Negara, Allahyarham Keris Mas sebagai mentor saya dulu.
Saya sempat beberapa kali bertandang ke rumahnya sebelum arwah meninggal dunia. Kebetulan pula, anak Keris Mas kenalan saya yang juga seorang doktor. Untuk makluman saudara, sebenarnya, dahulu saya seorang pelajar sains yang mengambil subjek Kesusasteraan Melayu untuk SPM pada tahun 1968.
Saya menelaah novel Desa Pingitan karya Ibrahim Omar waktu itu, membaca cerpen-cerpen Keris Mas, mengkaji Misa Melayu, membaca hikayat Awang Sulong Merah Muda, epik Ramayana, dan pelbagai lagi teks bacaan wajib sastera ketika itu. Pendedahan awal inilah yang membentuk jiwa kepengarangan saya, dan bukan daripada pendedahan literari Barat.
Apakah yang penting sekali apabila Dr. hendak menulis?
Saya selalu memikirkan, bagaimana hendak membuka minda pembaca tentang kemungkinan merealisasikan suatu idea sains pada tahap aplikasi yang dapat mendatangkan kebaikan kepada manusia sejagat.
Dalam penceritaan, memanglah kita juga memerlukan unsur-unsur dijalini dalam cerita agar ia menghasilkan pemerian cerita yang akhirnya memenangkan keadilan putitik, agar barangkali, hala tuju sains dan teknologi sentiasa menuju kepada kebaikan.
Ceritakan sedikit pengalaman Dr. sewaktu sekolah dan universiti dan bagaimana hal ini membantu menemui “suara penulisan” Dr.?
Sebahagiannya terjawab dalam penjelasan sebelumnya. Di universiti, walaupun saya di Fakulti Perubatan di Indonesia, pelajar perubatan di sana rata-ratanya mendampingi sasterawan mereka. Golongan siswa sains gemar membaca dan mendampingi hasil karya sastera mereka. Hal ini dapat dibaca melalui memoir saya, Terang Bulan.
Apakah falsafah terpenting Dr. dalam penulisan?
Bagi saya, jika sekali pun ada falsafah yang perlu dijadikan panduan dalam penulisan SaiFai pada umumnya, maka ianya berupa falsafah penerokaan ilmu baru, penciptaan ilmu dengan penyelidikan dan eksperimen dalam kerangka merangsang pembaca untuk tahu danmabil tahu tentang kemajuan ilmu dan teknologi yang sentiasa pantas bergerak, membuka minda pembaca meneroka bidang-bidang sains baru.
Yang penting, kita perlu meneliti realiti kerjaya dan bidang kita sendiri dalam menerapkan kreativiti pembacaan pada jelmaan penerapan ilmu mutakhir lantas memberikan penyelesaian masalah kemanusiaan setempat mahupun sejagat. Penanaman semangat kreativiti dalam fiksyen sains merupakan benih yang mampu tumbuh dalam benak pembaca SaiFai untuk mencari solusi terhadap permasalahan yang bakal meningkat. Inilah martabat kemanusiaan pada peringkat yang tertinggi.
Jika merujuk karya saya pula, tidak ada falsafah tertentu yang dianuti, melainkan ianya ditulis secara holistik. Menganuti falsafah atau teori tertentu dalam penulisan kreatif seolah-olah membuat bingkai yang membatasi karya atau membina landasan yang tetap, sehingga destinasi karya akan berakhir pada noktah yang sama dalam semua karya. Kreativiti sepatutnya bernafas dalam pelbagai landasan dan suasana.
Ada yang menyatakan, Panggil Aku Melaju merupakan suatu reaksi terhadap dasar PPSMI. Benarkah, atau Dr. ingin gerakkan suatu perkara yang lebih mendalam daripada itu?
Ya, benar. China dan Rusia membina roket tanpa bahasa Inggeris. Daya penciptaan dan kreativiti boleh dicapai melalui pelbagai bahasa. Bahasa Melayu dan bangsanya mempunyai jati diri yang kerdil. Panggil Aku Melaju merupakan satu satira yang membedah asal usul Melayu, suatu epik kembara bahasa yang berkembang dari zaman prasejarah hingga zaman kini, sewaktu generasi sekarang tidak lagi menghargai khazanah yang dituruni berabad lama.
Perlu diingat, penemuan rangka manusia tertua, Perak Man yang lebih tua secara carbon dating daripada usia Peking Man dan Java Man membuktikan bahawa Perak Man merupakan manusia awal yang keturunannya tersebar ke seluruh Nusantara. Kajian ini pun sudah disahihkan, digerakkan oleh USM dengan pengesahan saintifik oleh pihak autjorito Jepun.
Adakah SaiFai Malaysia harus hanya berbahasa Melayu, mengikut Dasar Kebudayaan Kebangsaan?
Tidak juga. Jika penulis SaiFai mahir menulis dalam bahasa Inggeris, maka dia tidak lagi terkongkong dalam kepompong “kebangsaan”. Karyanya sudah mendunia. Bagi saya, silakan, silakan menulis dalam apa-apa bahasa pun.
Saya ada menulis dan menterjemah Hikayat Neogenesis dalam bahasa Inggeris, berjudul The New Book of Genesis di blog saya, suatu wacana seni. Namun begitu, karya versi Inggeris itu tidak mendapat perhatian melainkan sejumlah kecil pengunjung.
Apakah bentuk fiksyen sains yang paling penting untuk penulis tempatan sekarang hasilkan?
Penulis fiksyen sains juga seorang pemikir, jadi pemikir fiksyen sains harus lebih pantas daripada saintis yang berpengetahuan semasa. Mereka harus lebih ke hadapan daripada pencipta teknologi baru.
Dalam kepengarangan, bentuk fiksyen sains yang dipilih merupakan hak istimewa si penulis. Jika ditekankan bentuk tertentu, hal itu akan membatasi pemilihan bentuk dan juga ruang lingkup penciptaan. Pada umumnya. Penulis fiksyen sains harus mendahului pemikiran para saintis. Untuk berbuat demikian, mereka harus memahami pemikiran sains selain menjadi seorang futuris.
Harapan Dr. untuk persada SaiFai Malaysia, baik berbahasa Melayu, Inggeris atau bahasa lain?
Bukanlah saya ingin bersikap pesimistik dengan karya SaiFai tempatan kita, namun dalam khalayak pembaca Malaysia yang mengecil dan terus mengecil, melainkan novel-novel romantik, harapan saya, agar ada pemilihan novel SaiFai sebagai teks dalam bahasa Melayu diperhebatkan lagi, perlu dipertimbangkan, terutamanya bagi teks KOMSAS untuk pelajar sains yang menduduki peperiksaan Kertas Bahasa Melayu.
Harapan saya yang lebih besar, semoga penghayatan karya SaiFai menjadi inspirasi kepada para pelajar sains merealisasikan penerokaan ilmu sains dalam penciptaan, yang mampu menyelesaikan pelbagai masalah dunia yang ada sekarang dan yang berkemungkinan pada zaman mendatang.
Lukisan yang cantik. Suka membaca bahagian terakhir, yakni harapan Dr. Rahmat tentang masa depan SaiFai tempatan.
LikeLiked by 1 person
Lega yang Dr. Rahmat yang saya pasti sangat mahir berbahasa Inggeris bersikap terbuka tentang medium bahasa pilihan perkarya & sambil itu memberi komen yang Russia & China membina teknologi tanpa bahasa Inggeris. Bahasa itu mempunyai fungsi yang berbeza bagi tujuan yang berbeza. Terima kasih Fadli Al-Akiti kerana telah menemuramah seorang tokoh.
LikeLiked by 1 person